Sahabat Sejati

Thursday 13 December 2012

Kembara Mencari Hamba, hari ini...


Kebelakangan ini hujung minggu saya sentiasa terisi dengan program masyarakat. Kesibukan yang bagaikan menghambat masa yang terluang. Sibuk tetapi menyeronokkan, melelahkan tetapi menyegarkan. Tiadalah kesibukkan ini menjadi satu bebanan tetapi sentiasa diiringi rasa syukur yang tidak terhingga kerana dapat menginfaqkan sedikit usia sebagai amal jariah. Tiadalah niat menjulang riak jauh sekali membumbung rasa bangga diri melainkan kepada Allah jua di kembali segala urusan.

Saya benar-benar yakin dan percaya kewujudan kita ini adalah untuk memaknai sebuah kehidupan. Kita tidak hidup hanya untuk sebuah kehidupan. Jika sekadar kehidupan, maka samalah seperti kehidupan makhluk yang lain. Hidup, berkembang biak dan mati, lalu kehidupan diteruskan oleh generasi seterusnya sehinggalah masa yang telah ditentukan. Kita tidak begitu, kita ada tujuan dan matlamat yang harus dicapai. Kita nyata berbeza.

Kata guru saya: “Tidak ramai orang yang menjadikan kehidupan mereka untuk orang lain. Mereka hidup untuk kehidupan mereka. Sedangkan Rasulullah saw adalah contoh insan yang menjadikan kehidupannya untuk orang lain.”

Benar. Selaklah lembaran sirah, kita pasti kita akan memahaminya. Tidak sedikit ujian dan cabaran yang dihadapi baginda dalam menyampaikan apa yang telah kita perolehi hari ini.

Kembara mencari hamba, hari ini 

Setiap dari kita mengimpikan kekuatan dalam melayari kehidupan ini. Kita sentiasa mahukan kekuatan untuk menampal kelemahan dan kesilapan yang sering memayuti diri setiap masa. Tanpa pertolongan dan kasih sayang-Nya tidak mungkin kekuatan itu kita miliki. Kita hanyalah hamba-Nya yang amat lemah.

Hari ini Kembara Mencari Hamba telah pun memasuki tahun ketiga. Maknanya sudah tiga tahun saya mencoretkan tinta-tinta di pondok kecil abuikhwan ini. Biarpun masih di usia bertatih namun cabarannya cukup besar. Seringkali kesuntukan masa dan ketandusan idea merencatkan coretan dan nukilan. Tetapi dapat istiqamah dalam meneruskan perjuangan tinta dakwah juga menjadi kejayaan yang besar buat saya.

Saya memasuki diri di dalam dunia blog ini dengan ketakutan gagal untuk sentiasa menghasilkan coretan-coretan yang baru. Sahabat-sahabat akan berkunjung ke sini tetapi akan merasa kecewa apabila saya gagal memberikan yang terbaru. Membina blog semudah menghitung ABC, tetapi untuk terus istiqamah menulis dan menulis adalah menjadi cabarannya. Kita boleh membuat banyak blog, tetapi untuk sentiasa memberikan coretan yang baru amat menyukarkan. Tidak hairan ramai yang kecundang dengan situasi sebegini, sehingga blog mula terbiar bersawang. Ini juga di antara perkara yang amat meresahkan saya.

Saya hanya menulis, segala kebaikan hanyalah milik Allah SWT, sedangkan segala kelemahan dan kesilapan pastilah milik saya.

Segera saya memohon keampunan-Nya. Justeru, doakan agar saya sentiasa diberikan kekuatan dan istiqamah untuk terus menulis dengan niat yang tulus ingin menyampaikan dakwah dan berkongsi segenap kebaikan.

Jika pondok kecil abuikhwan ini dapat menyumbang sedikit peranan untuk dakwah Islam, mengapa perlu berhenti darinya?

Dari Abu Hurairah ra., dari Nabi saw sabdanya: "Sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang baik, adalah baginya pahala sebanyak pahala orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun pahala itu dari pahala-pahala mereka; dan (sebaliknya) sesiapa yang mengajak ke jalan mengerjakan sesuatu amal yang menyesatkan, adalah ia menanggung dosa sebanyak dosa orang-orang yang menurutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dosa itu dan dosa-dosa mereka." (Muslim, Abu Daud dan Tirmizi)

0 comments:

Post a Comment