Sahabat Sejati

Monday 31 December 2012

Cerita di sebalik banjir (2)


Terlibat dalam misi-misi kebajikan dan kemanusiaan benar-benar memberikan seribu obor keinsafan. Apa yang dilihat dan diperhati tentunya meruntun jiwa dan meninggalkan kesan yang mendalam. Sejujurnya setiap manusia mempunyai rasa cinta dan kasih sesama mereka. Walaupun tidak terzahir namun ia tetap wujud di celahan denyut nadi insan.

Kerana cinta dan kasih itu, kita mudah melahirkan simpati tatkala melihat sebuah penderitaan. Simpati itulah yang akhirnya diterjemahkan dengan empati. Itulah yang menggerakkan kita untuk membantu sesama insan.

Kerana cinta dan kasih itu juga, kita merasa rindu. Merindui suasana kebaikan dan sebuah kegembiraan. Tidakkah kita merasa gembira apabila berjaya memutikkan kegembiraan kepada orang lain? Demikianlah nikmat kepuasan yang tidak mampu diungkapkan dengan coretan maupun bual bicara.

Allah SWT berfirman:
“Kemudian akan disempurnakan balasan tiap-tiap seorang menurut apa yang telah diusahakannya, sedang mereka tidak dikurangkan balasnya sedikit pun.” (al-Baqarah: 281)

Yang menjentik hati


Dari al-Munzir bin Jarir, dari bapanya ra, katanya: Semasa kami sedang duduk di sisi Rasulullah saw pada waktu tengahari (di Masjid Nabi di Madinah), tiba-tiba datang satu rombongan (dari kaum Arab, suku Mudhar yang sangat-sangat miskin) dengan berkaki ayam dan berpakaian compang-camping, berubahlah air muka Rasulullah saw kerana melihatkan penderitaan mereka. Lalu baginda masuk (ke rumahnya: yang terletak di tepi masjid) kemudian keluar semula, lalu menyuruh Bilal azan. Bilal pun azan dan iqamat, lalu baginda (bersama-sama sidang jemaah) mengerjakan solat (Zohor). Selepas solat, baginda (bangun) berucap (menggalakkan umatnya bersedekah kepada orang-orang yang memerlukan bantuan). Baginda memulakan ucapannya dengan ayat al-Quran yang bermaksud:

“Wahai sekelian manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam)...” hingga akhir ayat.

Nabi membacakan lagi sebahagian dari (ayat 18), surah al-Hasyar yang bermaksud: “(Wahai orang-orang yang beriman), bertaqwalah kamu kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah dia sediakan dari (amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat)...”

(Rawi hadis ini berkata: Mereka pun bersedekah), ada yang memberi dari wang dinarnya, dari wang dirhamnya, dari pakaiannya, dari segantang gandumnya, dari segantang buah kurmanya, sehingga baginda bersabda: “(Bersedekahlah) walau dengan sebiji buah kurma sekalipun.”

Katanya lagi: Tiba-tiba datang seorang lelaki dari kaum Ansar membawa satu bungkusan besar dan berat, hampir-hampir tapak tangannya lemah menatangnya, bahkan tidak dapat menatangnya.”

Setelah itu, orang ramai pun datang berduyun-duyun, (membawa sedekah, menurut kemampuannya), sehingga aku melihat bertimbun dua longgok dari makanan dan pakaian. Pada saat itu aku melihat wajah Rasulullah saw berseri-seri seperti benda indah yang keemasan (kerana gembira) lalu baginda bersabda:

“Barang siapa membuat satu rancangan yang baik dalam Islam maka ia akan dapat pahala rancangannya itu dan pahala orang-orang yang mengerjakannya sesudah ia memulakannya, dengan tidak mengurangkan pahala orang-orang yang mengerjakannya sedikit pun.” “Dan barang siapa yang membuat satu rancangan yang jahat dalam Islam maka ia akan menanggung dosanya dan dosa orang-orang yang melakukannya sesudah ia melakukannya, dengan tidak mengurangkan dosa orang-orang yang melakukannya sedikitpun.” (Hadis sahih – Riwayat Muslim)

Berdasarkan hadis yang panjang ini, maka dapatlah kita ambil pengajaran iaitu Rasulullah saw adalah seorang yang amat mengambil peduli akan keadaan dan kesusahan orang lain. Lebih dari itu Rasulullah saw turut menggalakkan sahabat-sahabat yang lain untuk membantu meringan beban penderitaan manusia lain.

Niat hati saya


Apakah yang saya mahukan dari coretan ini, Rasa megah dan bangga diri kerana turut sama dalam menabur kebaktian ini? Layakkah saya untuk merasa megah?

Ahh...tidak sekali-kali terniat untuk merasa begitu dengan apa yang dilakukan. Sedaya-upaya saya cuba mengikisnya dari melekat di dinding hati. Apalah yang mahu dibanggakan dengan amal kebaktian yang sedikit ini berbanding mereka yang diberikan keluasan dalam medan amal yang tidak bertepi ini.

Sedar, sebesar zarah rasa riyak sudah cukup untuk melebur hanguskan markah amal yang telah dikutip. Bimbang menjadi manusia yang muflis di akhirat kelak. Bagaimana agaknya jika mengadap Allah SWT dalam keadaan membawa segunung pahala amal kebaktian, tetapi tanpa sedar ianya dimakan sedikit demi sedikit oleh perasaan riak dan bangga diri. Akhirnya habislah amal kebaikan itu, maka tinggallah apa yang akan tertinggal. Ibarat kayu kering yang dimakan api, yang tersisa hanyalah abu yang lenyap begitu sahaja apabila ditiup angin. Ataupun seumpama batang kayu dimakan anai-anai, terlihat cantik dan indah di luar, tetapi lompang di dalam. Hanya menunggu masa untuk menyembah bumi. Sentiasa saya ingati dan jadikan ia bekalan azimat dalam perjalanan hidup ini.

Pastinya tidak saya menyangkal akan perkongsian pengalaman ini semata-mata dengan niat mahu merangsang dan menjentik hati sahabat sekelian untuk sama-sama menyedari bahawa kita hidup bukan untuk kehidupan kita sahaja. Teringat kata guru saya: “ Tidak ramai orang yang menjadikan hidupnya untuk orang lain. Sedangkan Rasulullah saw sentiasa menjadikan seluruh kehidupannya untuk orang lain. Dicerca, dipulau, diusir dan diancam bunuh semata-mata untuk memberikan kegembiraan hidup kepada orang lain.”

Benar, biarlah kegembiraan hidup ini kita kongsi bersama dengan manusia lain. Mudah-mudahan di akhirat nanti ia akan menjadi sumber kegembiraan pula kepada kita. Insya-Allah.

Terkesan dengan pesanan ini. Amat dalam maknanya.

Alhamdulillah, Allah SWT yang saya kasihi sentiasa melimpahkan ruang dan peluang untuk saya berbuat sedikit amal kebaktian. Dengannya juga saya dapat menyelami kesedihan dan kesusahan mereka yang ditimpa musibah. Bahkan lebih besar lagi tersimbah ingatan akan rahmat dan kasih sayang-Nya yang memutikkan rasa keinsafan dan muhasabah diri betapa kita ini hamba yang amat lemah. Tiadalah harapan yang dapat disandarkan melainkan pada-Nya jua.

Takziah buat semua mereka yang ditimpa ujian banjir baru-baru ini. Namun, renungilah dengan mata hati agar tersingkap bicara Allah di sebalik segalanya...

Firman Allah SWT:
"Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir." (Yusuf: 87).

0 comments:

Post a Comment