Sahabat Sejati

Thursday, 22 November 2012

Ajaibnya tawakkal


Selalu saya menyebut dan mengulang-ulanginya: “Tiada siapa yang dapat menjangka atau meneka apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Bahkan seminit dari sekarang juga kita tidak dapat memastikannya. Kita mungkin boleh mengagak jika buat begini, ini yang akan berlaku, itu yang akan berlaku, tetapi hakikatnya hanya Allah SWT yang menentukan kehidupan ini.”

Kadang-kadang terbit difikiran kita iaitu ada perkara-perkara yang kita rasa tidak mampu untuk menggalasnya, tetapi jika Allah mengizinkan ia tetap berlaku dan terbukti kita mampu. Dan ada pula orang yang merasakan dirinya mampu menghadapi sesuatu, yakin dengan segala kekuatannya, tiba-tiba dia gagal dalam hidupnya.

Cuba kita ingat kembali sewaktu kita bersekolah dahulu, kita lihat rakan-rakan kita yang mendapat nombor yang baik-baik, gred yang bagus-bagus. Tetapi pada hari ini cuba kita fikir, adakah semua yang mendapat nombor dan gred yang baik itu menjadi orang yang hebat-hebat? Anda berfikir demikian, belum tentu bukan? Kerana taqdir kehidupan ini adalah milik Allah SWT. Dia yang Maha Mengetahui apa yang terbaik buat para hamba-Nya.

Sengaja saya lontarkan kenyataan-kenyataan ini untuk kita berfikir sejenak betapa ajaibnya kehidupan yang sedang kita lalui ini.

Hayati kisah ini:

Umar al-Khattab pernah melihat sekelompok manusia yang mengaku sebagai orang yang bertawakkal, namun mereka tidak melakukan usaha apa-apa. Lalu Umar bertanya kepada mereka: “Siapa kalian?” “Kami adalah mutawakkiluun, (orang yang bertawakkal)”, jawab mereka. Lantas Umar menjawab: “Tidak. Kalian adalah muta-akkalun (orang yang hanya menanti diberi makan).” Iaitu mereka itu sebenarnya hanyalah orang yang hanya menanti huluran tangan orang lain dan bukan orang yang bertawakkal.

Orang yang bertawakkal harus melakukan usaha. Umar al-Khattab mengatakan:

 لقد علمتم أن السماء لا تمطر ذهبا ولا فضة 
“Sesungguhnya kamu semua telah mengetahui bahawa langit sama sekali tidak akan menurunkan emas atau perak.”

Sesungguhnya di dalam agama Islam, di antara perkara besar dan penting yang ditekan dalam perkara aqidah ialah berkaitan dengan bab tawakkal, iaitu pergantungan sepenuhnya insan kepada Allah. Manusia diminta berusaha dalam setiap apa yang dilakukan, bahkan kita dituntut pula untuk sentiasa yakin dalam berusaha melakukan sesuatu. Tetapi keyakinan itu janganlah sampai tahap keterlaluan, kerana keyakinan yang melampau boleh menjerumuskan seseorang itu kepada kegagalan. Lebih teruk lagi keyakinan yang melampau menjadikan seseorang itu sombong, bermegah dan lupa akan tempat pergantungan. Sedangkan manusia dituntut agar yakin dan percaya bahawa di atas segala usahanya, kuasa yang lebih besar ialah Allah SWT yang memiliki kuasa mentaqdir, sama ada memberi kejayaan ataupun kegagalan.

Sebilangan orang menyangka bahawa rezekinya adalah makan, minum, wang gaji, kenderaan dan berbagai-bagai keperluan hidup yang lain, namun jika hanya bergantung kepada kadar kesungguhan dan kebijaksanannya, dia tidak mungkin akan dapat semua itu, tetapi Allah memberikan banyak kurniaan, semata-mata kerana Dia Maha Memberi Rezeki. Lihatlah jika Allah yang mentadbir dan mentaqdir segala urusan kita, maka ia menjadi sangat ajaib dan tidak disangka-sangka.

Banyak perkara atau urusan yang kita sangka dalam kehidupan ini kita akan memperolehi kejayaan, tetapi apabila Allah SWT mentaqdirkan kita gagal, maka kita gagal. Ada pula perkara yang orang ramai melihat dan menjangka kita akan gagal, tetapi jika kita bergantung sepenuhnya kepada Allah, maka Dia memberikan keajaiban di luar daripada jangkaan orang ramai.  Demikianlah ajaibnya tawakkal atau pergantungan sepenuhnya kepada Allah.

Tetapi tawakkal difahami mesti dengan sebaiknya. Ia terkumpul dalamnya dua syarat iaitu: (1) menyandarkan hati pada Allah, dan (2) melakukan usaha (sebab). Ada sebilangan orang yang memahami bahawa tawakkal ialah dengan hanya bersandar  kepada Allah SWT tanpa ada usaha yang dilakukan. Dan tidak benar pula jika ada orang yang hanya berusaha namun tidak menyandarkan hatinya kepada Allah, kerana segala sesuatu di dalam genggaman kekuasaan-Nya.

Teruskan kehidupan


Kita ada kehidupan yang perlu dilalui. Kita tidak mampu menjangka apa yang akan berlaku di masa hadapan. Kadang-kadang Allah SWTmenimpakan ujian hidup kepada kita dengan berbagai-bagai ujian. Ada ketikanya kita merasakan betapa beratnya ujian itu sehingga kita berkata: “habislah aku, tidak mampu menghadapi ujian ini.” Entah berapa banyak ujian yang berat yang telah kita lalui dan hari ini, lihatlah kita masih menjalani kehidupan seperti biasa, sedangkan pada hari ditimpakan ujian kita benar-benar merasakan tidak mampu menghadapinya sehingga kita berkata: “habislah aku…habislah aku…”

Kehidupan ini berjalan dan terus berjalan, dari satu peringkat ke satu peringkat sehinggalah kita bertemu Allah SWT. Maka, dalam perjalanan kehidupan ini, jangan putus pergantungan kepada Allah SWT bersandar bulat kepada-Nya, disamping berusaha dan berikhtiar dan sentiasalah hati merintih: “Ya Allah bantulah aku, kasihanilah aku…”

Kata Ibnu Atha`illah: "Buktikan dengan sungguh-sungguh sifat-sifat kekuranganmu, nescaya Allah membantu engkau dengan sifat-sifat-Nya (kesempurnaan-Nya). Akuilah kehinaanmu nescaya Allah menolong padamu dengan kemuliaan-Nya, akuilah kekuranganmu nescaya Allah menolong kepadamu dengan kekuasaan-Nya, akuilah kelemahanmu nescaya Allah menolong padamu dengan kekuatan-Nya."

Ajaibnya tawakkal!  

0 comments:

Post a Comment