Sahabat Sejati

Thursday, 6 September 2012

Ia umpama tetamu


Sebagaimana tetamu yang datang berkunjung ke rumah kita, melabuhkan punggung dan berehat seketika, selepas itu dia akan memohon diri untuk pulang kembali ke tempat asalnya. Begitulah perbandingan Ramadhan. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah tetamu agung yang datang bertandang. Akan tetapi setelah tiba waktunya, Ramadhan akan berlalu mengucapkan selamat tinggal kepada semua dan akan hadir kembali apabila tiba masanya.

Rugilah jika kita mensia-siakan tetamu agung ini kerana belum pasti kita dapat bertemu dengan Ramadhan yang akan datang, tentunya Allah SWT jua yang mengetahui. Mungkin Ramadhan ini adalah yang terakhir untuk kita, sebagaimana mereka yang telah pergi tidak berkesempatan melalui Ramadhan tahun ini, tanpa sekali-kali mengetahui Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buat mereka.

Sesungguhnya bulan Ramadhan ini adalah anugerah daripada Allah SWT sebagai lambang kasih sayang kepada para hamba-Nya. Setiap apa sahaja yang dilakukan padanya akan mendapat balasan berganda. Allah SWT tidak mensia-siakan keletihan hamba-Nya yang menahan lapar dan dahaga serta runtunan hawa nafsunya, hinggakan tidur diwaktu siang juga diberikan pahala. Begitulah agungnya Ramadhan, namun tidak semua yang merasakan demikian, tentunya mereka yang diberi hidayah dan taufiq oleh Allah SWT sahaja yang dapat mengecapi kemanisannya.

Kini Ramadhan telah pun berlalu meninggalkan kita. Sejauh mana kita telah mengisinya, hanya diri sendiri yang dapat menjawabnya. Teringat di dalam satu riwayat, ketika Rasulullah saw menaiki tangga-tangga mimbar masjidnya, lalu baginda mengaminkan satu-persatu yang disebutkan oleh Jibril as. Di antaranya ialah sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah saw:

“Jibril mendatangiku seraya berkata; “Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan, lantas tidak mendapat ampunan, kemudian mati, maka ia masuk Neraka serta dijauhkan Allah (dari rahmat-Nya)” Jibril berkata lagi; “Ucapkan “Amin”. Maka kuucapkan “Amin”.

Ahh, betapa gerunnya mendengar amaran ini. Bagaimana kita mengisi Ramadhan, hati kecil sendiri yang menjawabnya. Tetapi tidak susah untuk melihat hasil dari tarbiah Ramadhan.

Alat dan matlamat

Seringkali kita melihat di bulan Ramadhan amat terserlah sifat taqwa yang disebut sebagai natijah daripada berpuasa. Namun, selepas berlalu Ramadhan maka semuanya berbalik kepada asal. Dimanakah kesilapannya?

 Sesungguhnya ramai dikalangan kita yang tersasar dalam membuat perhitungan. Kita gagal untuk membezakan di antara alat dan matlamat. Justeru, apabila gagal membezakan keduanya, maka apa yang dilakukan tidak akan berjaya dan seterusnya tidak mencapai sasaran.

Mari kita beranalogi.

Makan adalah alat, apakah pula matlamatnya? Apabila dikatakan makan adalah alat maka matlamatnya adalah kenyang. Mudah! Kita makan apabila lapar, setelah sampai had kenyang kita akan berhenti makan kerana matlamat telah tercapai iaitu kenyang. Tetapi apabila makan menjadi matlamat, maka kita akan terus makan dan makan. Biarpun telah sendawa sepuluh kali, kita masih lagi makan. Inilah yang terjadi apabila alat dan matlamat tidak dapat dibezakan.

Begitu juga dengan ibadah puasa. Berpuasa adalah alat sedangkan matlamatnya adalah taqwa. Tetapi ramai yang tersilap, mereka melihat puasa yang menjadi matlamat.

Kita boleh melihat, apabila masuk bulan Ramadhan, ramai yang berpuasa. Berpusu-pusu memenuhkan masjid dan musolla walaupun solat subuh, berlumba-lumba untuk memenuhi majlis ilmu. Mampu bangun malam dengan menghidupkan ibadah qiamullail setia p malam yang sunyi. Menjadi pemurah dengan banyak bersedekah, al-Quran dibaca setiap hari. Pendekata, bulan Ramadhan dilipatgandakan ibadat, setiap kebaikan dilakukannya.

Namun, setelah berlalu Ramadhan itu semua ditinggalkan. Masjid menjadi lengang, yang datang hanya mereka yang tetap dan berpencen. Ibadah malam mula ditinggalkan dengan alasan ibadah sunat , al-Quran mula berhabuk di dalam rak dan akan dibuka semula pada tahun hadapan. Telinga mula disumbat dengan alunan-alunan yang mengheret kepada kelalaian. Mengapa terjadi begini? Kerana Ramadhan yang dilihat hanyalah berpuasa dan itulah yang telah pun menjadi matlamat.

Inilah kesilapan yang perlu diperbetulkan dari semasa ke semasa. Seolah-olah bagi pandangan mereka ini Allah hanya wujud pada bulan Ramadhan, sedangkan pada bulan lain tidak perlu pengisian dan pentarbiyahan rohani. Inilah persepsi yang silap, tibanya Syawal bukan bermakna segala amalan yang dilakukan sewaktu Ramadhan perlu dilupa dan kembali menjadi diri yang sebelum itu, sebagaimana nasihat berharga Fadhilah as-Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi hafizahullah: “Jadilah hamba Allah, bukan menjadi hamba Ramadhan.”

Taqwa adalah matlamat

Madrasah Ramadhan adalah sebagai penjana sifat taqwa. Firman Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh Taqwa.” (al-Baqarah: 183) 

Memang, erti taqwa amat terserlah di bulan Ramadhan. Kemanisan yang dirasai, kebaikan yang amat mudah dilakukan di bulan Ramadhan adalah isi sebuah taqwa. Kita sentiasa mendengar pesanan supaya bertaqwa. Jika sekarang kita berumur 45 tahun dan mula bersolat Jumaat bermula usia 15 tahun, maka sudah lebih 1500 kali kita mendengar pesanan taqwa oleh khatib yang berkhutbah.

Di antara maksud taqwa ialah menempuh hidup ini dengan penuh hati-hati sebagaimana seorang yang melalui jalan yang penuh duri bagai yang didefinisikan oleh Ubai bin Ka`ab ra. itulah taqwa. Rasa takut yang benar dan dibenarkan oleh perbuatan. Kita takut duri, kita berhati-hati melangkah dan mengelaknya, bukan membiarkan tubuh dicarikinya.

Manusia ditentukan nilainya pada taqwa yang dimiliki. Kita boleh hidup sesuka hati, makan dan minum apa sahaja yang boleh dicapai, bercampur gaul tanpa batasan dan berkehidupan tanpa sempadan. Tetapi dengan taqwa yang dimiliki kita terpelihara daripada menjadi hamba dunia dan harta benda. Dengan taqwa juga kita berupaya menjaga batasan dan sempadan yang dibenarkan. Pujilah Allah atas nikmat taqwa yang amat mahal ini.

“Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada kami ke arah ini, yang tidaklah kami beroleh panduan hidayat jika tidak diberi petunjuk oleh Allah.” (al-A`raaf: 43) 

Semoga dengan keberkatan Ramadhan yang telah kita lalui selama sebulan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan menundukkan nafsu kita yang bertahta di hati selama ini. Raikanlah Aidilfitri dengan sebaiknya.

Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar! Wa Lillahil Hamd!

1 comments:

Ismi Iman said...

pe matlamat iman hidup sebenarnya..ku masih mencari matlamat yg xpasti

Post a Comment