Sahabat Sejati

Saturday 29 September 2012

Alhamdulillah, Ustaz Azhar Idrus di TV3

Tak apalah, walaupun hanya 30 saat, yang penting dakwah tetap berjalan...


وَلْتَكُن مِّنكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ وَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah dari yang munkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali-Imran: 104)

Wednesday 26 September 2012

Ekspo Buku Islam 3 Pahang, jom!!!

Alhamdulillah...

Sebaik-baik kalam.

Telah lama saya nantikan, akhirnya ia tiba juga. Tidak tergambar perasaan saya teruja, kembang berbunga, dan berbagai-bagai lagi.


Seingat saya belum pernah diadakan ekspo buku Islam di Pahang sebelum ini. Tetapi jika dilihat pada poster sudah kali ke 3, wallahua`lam mungkin saya yang terlepas pandang dan terlepas peluang menghadirinya. Yang pasti, pesta buku anjuran persatuan-persatuan cina sudah berkali-kali. Sempat juga saya mencelah-celah tetapi nak buat apa, semuanya buku di dalam bahasa cina.

Insya-Allah, saya akan mencuba menghadirinya kali ini di celah-celah kesibukan masa. Semoga Allah mempermudahkannya.

Entahlah berapa RM pula yang akan dihabiskan, bimbang juga jika berbelanja sampai lupa diri. Itulah diri saya, terlalu lemah di hadapan kedai buku. Kalau boleh semua buku nak dibeli. Duit pula meluncur laju seperti air. Sebagaimana saya pernah menulis: “Entah mengapa saya sangat teruja dengan buku. Dua tempat yang saya baca Au`udzubillah, iaitu ketika memasuki tandas dan KEDAI BUKU, kerana ketika keluar dari KEDAI BUKU saya jadi manusia fakir tetapi penuh kepuasan dengan buku yang dibeli.”

Namun, saya tidaklah kisah untuk berbelanja ‘lebih sedikit’ kerana setiap sen yang dilaburkan adalah dengan niat untuk mencari ilmu, kebaikan, motivasi, panduan dan sebagainya. Dan saya yakin ia memang berbaloi dalam mencari erti hidup agar hari ini lebih baik daripada semalam.

Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada pihak penganjur. (Kalau boleh dalam setahun buatlah banyak kali)

Ayuh! Sahabat-sahabat sekelian luangkan masa untuk ke Ekspo Buku Islam 3 Pahang khususnya warga Kuantan. Rugi kalau tak pergi... 

Tuesday 25 September 2012

Alamak, uban!!!

“Eh, rambut abang dah ada uban,” tegur seorang isteri kepada suaminya tatkala menghidang minuman petang.

Petang yang redup itu tercalar kedamaiannya dek kerana sesuatu yang tidak disangka-sangka.

“Hah, banyak ke? Cabut, cabut,” bersungguh sang suami menyuruh isterinya sambil meraba-raba kepalanya. Benar-benar terkejut, malu benar jika dilihat orang, nanti dikata sudah tua.

Begitulah takutnya apabila kepala mula ditumbuhi uban. Bagi sesetengah orang uban adalah suatu yang amat sensitif. Bahkan bukan hanya orang lelaki, golongan perempuan pun sama. Malu yang teramat sangat. Tetapi bukanlah semuanya begitu, ada juga yang biasa-biasa sahaja. Tak ambil hal pun, ada uban ataupun tiada.

Sebenarnya beruban tidak semestinya sudah tua, kerana ramai juga orang muda yang beruban. Tetapi beruban adalah perkara biasa apabila seseorang telah memasuki usia tua. Sebagaimana ungkapan irama dan lagu tidak terpisah, begitulah juga uban dan usia tua.

Mengapa harus membenci uban? Cacatkah kita dengan tumbuhnya uban? Sepatutnya kita bersyukur, sekurang-kurangnya rambut yang mula memutih itu dapat mengingatkan kita akan dekatnya ajal dan telah tertutup jalan angan-angan terhadap dunia. Disamping itu, ia juga menandakan bahawa masa untuk berangkat hampir tiba.

Diceritakan Nabi Musa pernah memberitahu malaikat supaya segera memberitahunya sebelum mencabut nyawanya. Tetapi tatkala akan diambil nyawanya, Nabi Musa bertanya kenapa malaikat itu tidak memberitahunya lebih awal. Malaikat segera menjawab, Allah telah banyak kali menghantar peringatan demi peringatan. Di antara peringatan yang dihantar oleh Allah ialah pertukaran rambut dari hitam menjadi putih.

Kata al-Khatib Ibnu Nutabah: “Sesungguhnya uban itu laksana perbatasan hidup yang tidak dapat disekat, kerosakannya tidak dapat diperbaiki oleh zaman. Ia adalah cahaya yang muncul bersama dengan surutnya nafas seseorang, yang akan memimpin setiap insan ke tempat tersimpannya tulang-belulang. Oleh kerana itu, semoga Allah merahmatimu, jangan membakar cahaya ubanmu dengan api-api dosamu.”

Orang pertama yang beruban ialah Nabi Ibrahim al-Khalil as. Ketika baginda melihat rambut putih itu, baginda bertanya: “Wahai Tuhanku, apakah ini?” Allah menjawab: “Ini tanda kewibawaan”. Maka berkata Nabi Ibrahim lagi: “Tuhanku, tambahkanlah itu bagiku!”

Oleh itu jangan merasa gundah gulana sekiranya rambut mula beruban tetapi berbanggalah kerana itu adalah lambang kewibawaan. Ini ditegaskan lagi oleh Rasulullah saw di dalam hadis baginda: “Berubannya rambut seseorang Muslim merupakan nur baginya.” (Riwayat Tirmidzi dan Nasaei)

Adapun harus jika mahu menutupi warna uban, sebaiknya adalah warna kuning ataupun merah, sebagaimana hadis Nabi saw: "Tukarlah ia (warna rambut, janggut dan misai ) dan jauhilah dari warna hitam." (Shohih Muslim)

Manakala di dalam satu peristiwa, ketika Abu Bakar membawa bapanya Abu Qufahah ke hadapan Nabi saw pada hari penaklukan Mekah, baginda melihat rambutnya seperti pokok Thughamah yang terlalu putih buah dan bunganya. Lalu baginda bersabda: "Ubahlah ini (uban) tetapi jauhilah warna hitam." (Riwayat Muslim)

Adapun larangan mewarnainya dengan warna hitam ialah kerana terdapat unsur-unsur penipuan di dalamnya. Tetapi diharuskan bagi mereka yang berjuang fisabilillah untuk menakut-nakutkan orang-orang kafir.

Monday 24 September 2012

Macam mana keadaan awak sekarang? Dah okey?

Samad, seorang lelaki kurus dari Terengganu duduk di tepi tingkap sebuah pesawat yang hendak berlepas ke England. Dua minit kemudia, seorang lelaki Afrika, mukanya garang, badannya gemuk dan berbau hapak, duduk di sebelahnya, kemudian terus tidur.

Kapal terbang berlepas. Sejam kemudian Samad mula pening kepala apabila pesawat itu bergoyang-goyang akibat melanggar kepulan awan tebal. Dia ingin ke tandas untuk membuang air, tetapi tidak berani mengejutkan lelaki Afrika yang sedang tidur itu. Nak melompat atas badan lelaki itu, memang tak lepas punya.

Samad berdiri, dia memikir-mikir bagaimana hendak ke tandas tanpa mengejutkan lelaki Afrika itu. Tiba-tiba pesawat itu melanggar lompongan udara(air pocket) menyebabkan ia menjunam dengan mengejut. Lepas itu pesawat itu melanggar awan pula , ia bergoyang-goyang membuatkan perut Samad rasa mual dan hendak termuntah. Kapal terbang bergoncang kuat dan Samad tidak mampu menahannya lagi, lalu dia pun termuntah di dada lelaki Afrika yang masih tidur itu.

Lima minit kemudian lelaki Afrika itu terjaga. Dia memandang ke arah dadanya yang penuh muntah, kemudian ke arah Samad yang duduk di sebelahnya.

"Ha...macam mana keadaan awak sekarang? Dah okey?" Tanya Samad.

Wednesday 19 September 2012

JOM KE KULIAH!

Jom sahabat-sahabat sekelian! Jangan lepaskan peluang untuk bersama dengan ikon anak muda masakini di dalam kuliah bulanan Kitab Jam`ul Jawame`.

Pada hari Ahad, 23 September 2012 bertempat di Masjid al-Muttaqin, Tanah Putih Baru Kuantan.

Ayuh warga Kuantan, pakat datang ramai-ramai...


Bertaubatlah duhai pencacai kerana kebiadapanmu melampau tahap gaban!


Benar-benar biadap! Penghinaan yang amat keterlaluan bukan sahaja kepada TG Nik Aziz tetapi kepada sunnah Rasulullah saw.

Kita boleh berbeza pandangan politik, kita diizinkan untuk mengkritik tetapi biarlah dengan berhemah dan berakhlaq. Tetapi dengan menghasilkan sesuatu yang seperti ini menggambarkan betapa sakit dan rosaknya pemikiran kita. 

Apakah menghabiskan makanan di dalam pinggan dianggap sesuatu yang tidak sopan dan boleh disamakan dengan khinzir? Bukankah apa yang dilakukan oleh TG Nik Aziz dan kebanyakan ulama lain adalah merupakan sunnah Rasulullah iaitu menghabiskan sisa rezeki yang ada di dalam pinggan.  Belajar jika tidak tahu...

Bertaubatlah duhai pencacai!

Dari Anas ra: “Bahwasanya Rasulullah saw, sewaktu makan menggunakan tiga jari, dan sabdanya: “Ketika suapan seseorang dari kamu jatuh, hendaklah diambil, dibersihkan dari kotorannya, lalu dimakan, jangan dibiarkan syaitan yang makan. Dan baginda saw, menyuruh membersihkan sisa makanan di piring dengan sabdanya: “Kalian tiada mengetahui dengan pasti butiran makanan yang mana terletaknya barakah pada makanan” (HR. Muslim)

Kenyataan DPPM:

MENGECAM TINDAKAN BIADAP MENGHINA YAB TUAN GURU DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT 

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengecam sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak yang menghina peribadi YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan menyamakan beliau seperti babi. Dalam satu posting yang disebarkan oleh individu bernama 

2. Idham bin Zulkifli dengan tajuk “Antara Dua Haiwan ini mana yang lebih sopan” dengan menyiarkan gambar YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik sedang menghirup makanan dan disebelahnya gambar seekor babi yang sedang minum air. Beliau turut menulis dengan kata-kata ...” nampaknya begitulah. Babi tu lebih sopan dari Nik Aziz..” 

3. DPPM melihat kenyataan beliau serta posting yang beliau sebarkan terlalu berniat jahat, biadap serta menghina peribadi YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Individu ini telah merendahkan darjatnya dengan begitu hina sekali sehingga hilang kewarasan, dan kemanusiaan serta adab-adab dalam penulisan beliau. 

4. DPPM mengingatkan mana-mana pihak bahawa YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz adalah seorang ulama’ yang disegani oleh seluruh umat Islam di negara ini bahkan masyarakat antarabangsa turut menghormati beliau. Allah SWT merakamkan di dalam al Qur’an bahawa para Ulama’ adalah pewaris para Nabi a.s. Ini bererti menghina para ulama’ seperti menghina para nabi a.s. 

5. Selain itu, YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz juga merupakan seorang pemimpin di negeri Kelantan. Beliau telah dipilih melalui sistem demokrasi di negara ini melalui pilihanraya umum yang lalu. Menghina YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz bererti menghina rakyat Kelantan keseluruhannya. Dalam keadaan isu penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW sedang marak di seluruh dunia, ada juga pihak yang tergamak menghina ulama’ sebaik YAB Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Jelaslah, individu terbabit adalah mereka yang tidak peka, sensitif, serta amat biadap terhadap umat Islam di negara ini. 

6. Jika pengarah filem di Amerika Syarikat diancam bunuh kerana kebiadapannya terhadap Nabi Muhammad SAW, apakah pula balasan terhadap mereka yang menghina para ulama’ sebagai pewaris para Nabi a.s? 

7. DPPM meminta kerajaan khususnya pihak keselamatan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tegas terhadap individu ini. Tulisan seperti ini sama sekali tidak layak berada dalam laman sosial yang dibaca dan disebarkan oleh rakyat di negara ini. 

8. DPPM juga menyeru mana-mana pihak yang sensitif untuk bangkit menyatakan bantahan dengan membuat laporan polis agar tindakan sewajarnya dapat diambil. DPPM turut mengingatkan agar sesiapa juga menghormati nilai demokrasi dalam negara ini. 

RIDUAN MOHD NOR 
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia

Alamak, ni kat tempat aku ni!

BANDUAN LARIKAN SENJATA API DALAM KEMALANGAN KERETA POLIS 

Keadaan kereta peronda polis yang telah remuk selepas kemalangan tersebut

KUANTAN, 18 Sept - Orang ramai di kawasan Beserah, Balok dan sekitarnya digesa berjaga-jaga kerana dikhuatiri adanya ancaman penjenayah di kawasan mereka. Ini berikutan satu kemalangan yang melibatkan sebuah kereta peronda polis yang sedang membawa banduan telah berlaku di jalan By-Pass (Kuantan-Kemaman) berhampiran Taman Dato' Rashid tengahari tadi. Difahamkan penjenayah terbabit berjaya merampas pistol polis dan melarikan diri menghala ke hutan Beserah menghala ke Pelabuhan Kuantan. Oleh itu orang ramai diminta berhati-hati dan sekiranya ternampak kelibat individu yang mencurigakan, sila laporkan kepada polis.-PDO

Sunday 16 September 2012

Syair Imam Syafie

Syair Imam Syafie rahimahullah yang telah dijadikan nasyid.

Luahan, rintihan dan seorang hamba yang mengharapkan rahmat keampunan dan belas kasihan daripada Tuhannya. Seorang hamba yang sentiasa merasakan betapa lemah dan tidak berdaya dirinya tanpa pertolongan dan pengawasan-Nya. Sesungguhnya pergantungan dan pengharapan kepada Allah SWT adalah pergantungan yang mutlaq, pergantungan yang teguh tanpa dapat dibinasakan oleh sesiapapun.

Terus mengharap kepada-Nya...


Kupersembahkan (rintihan) kepada-Mu Tuhan sekalian makhluk akan harapanku
Sekalipun aku seorang yang berdosa wahai yang Maha Pemberi dan Maha Pemurah
Bilamana keras hatiku dan terasa sempit perjalananku
Kujadikan rayuan (rintihan) daripadaku sebagai jalan untuk mengharapkan keampunan-Mu
Bilamana Engkau yang memiliki keampunan menghapuskan dosa yang berterusan ini
Kurniaan-Mu dan keampunan-Mu adalah merupakan rahmat dan kemuliaan
Bukankah Engkau yang memberi aku makan serta hidayah kepadaku
Dan janganlah Engkau hapuskan kurniaan anugerah dan nikmat itu kepadaku (walaupun aku seorang yang sentiasa berdosa)
Semoga Yang memiliki ihsan mengampunkan kesalahanku
Dan menutup dosa-dosaku serta setiap perkara yang telah lalu
Sekiranya Engkau ampunkan aku, ampunkan dari kederhakaan kezaliman, penganiayaan yang tak akan terhapus di hari berhimpun kesedihan
Namun jika Engkau membalas siksa terhadapku, aku tidak akan berputus asa
Sekalipun dosa-dosaku itu memasukkan diriku ke dalam neraka
Dia adalah seorang yang fasih ketika menyebut dan mengingati Rabbnya
Dan bila dia bersama selain tuhannya di dunia ini dia membisu
Dia (Rasulullah SAW) berkata: Kekasihku, Engkaulah tempatku meminta
Cukuplah Engkau bagi yang berharap sebagai tempat bergantung dan memohon
Kupelihara kasihku yang dicemari nafsu
Dan kujaga janji kasih yang telah tercalar
Di saat kujaga, aku rindu di saat kulelap, aku berharap
Mengiringi langkahku dengan penuh semangat dan berulang-ulang
Sesungguhnya dosaku adalah besar sejak dulu dan kini
Namun (ku tahu) keampunanmu yang mendatangi hamba adalah lebih agung dan lebih mulia

Thursday 13 September 2012

HIMPUNAN BANTAH FILEM HINA NABI

Ayuh teman rapatkan saf, buktikan rasa kasih dan sayang kepada Junjungan Besar saw.  Marilah bersatu membantah penghinaan ke atasnya.

Kami katakan "tidak semudah itu agama ini 'kamu' perlekehkan..."

Sumber: dppsa

Jalan Retak


Cuti sekolah adalah masa yang ditunggu-tunggu oleh semua pelajar asrama, tetapi tidak bagi Raimah dan adiknya, Rejab. Rumah tempat mereka pulang tidak lagi menanti dengan mesra. Ayah dan ibu tidak lagi sehaluan.

Mujurlah ada datuk mereka yang internasional!

Apa lagi yang seronok dilakukan pada penghujung tahun 70-an? Jalan-jalan, makan-makan, tonton wayang cerita Latiff Ibrahim dengan motor 'scrambler'nya... dan semuanya datuk belanja!

Demi memadamkan resah dan gelisah kedua-dua cucunya, si datuk sanggup melakukan apa sahaja. Tetapi, sejauh manakah usahanya dapat menyatukan kembali keluarga yang semakin meretak?

Kandungan:

Menyusuri Jalan Retak Rindu
Menanti Cucu Pulang
Mana Ayah? Mana Ibu?
Sementara Bas Itu Bergerak
Mengapa Orang Mesti Berpisah?
Yang Penting dan Yang Berat
Berhujah Tentang Hang Tuah
Tidak Tahu Erti Senyuman
Mereka Akan Pergi Jauh
Datuk Janji, Datuk Janji!
Glosari

Tajuk : Jalan Retak
Penulis : SN A.Samad Said
Penerbit : PTS Media Group Sdn Bhd
M/S : 88
Harga : SM 11.00 / SS 13.00
Kategori : Kanak-kanak

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

Sunday 9 September 2012

Pergunakanlah masa dengan sebaiknya...

Sumber: Jundi Tarbawi

وَالْعَصْرِ* إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ* إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ 
"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran." (al-`Asr: 1-3)

Friday 7 September 2012

DALIL-DALIL TENTANG AURAT WANITA

Aurat wanita adalah seluruh anggota tubuhnya kecuali wajah dan dua telapak tangannya. Leher dan rambutnya adalah aurat di hadapan lelaki ajnabi (bukan mahram) walaupun sehelai. Pendek kata, dari hujung rambut sampai hujung kaki kecuali wajah dan dua telapak tangan adalah aurat yang wajib ditutup.

Hal ini berlandaskan firman Allah Subhanahu wa Taala, “Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak darinya” [An Nur:31].

Yang di maksud (janganlah mereka menampakkan perhiasannya), adalah "Janganlah mereka menampakkan tempat-tempat (anggota tubuh) yang di situ dikenakan perhiasan". [Lihat Abu Bakar Al Jashshash, Ahkamul Qur`an, Juz III hal.316].

Selanjutnya, kalimah (kecuali yang (biasa) nampak darinya), ini bermaksud ada anggota tubuh yang boleh dinampakkan iaitu wajah dan kedua telapak tangan. Demikianlah pendapat sebahagian sahabat, seperti Ibnu Abbas, Ibnu Umar dan juga Aisyah.

Ibnu Jarir At Thobari (wafat 310H) menjelaskan dalam kitab tafsirnya, Jami' Al Bayan fi Tafsir Al Qur`an Juz XVIII ms 84, mengenai apa yang di maksud “kecuali yang (biasa) nampak darinya (illaa maa zhahara minha)”, katanya, pendapat yang paling mendekati kebenaran adalah yang mengatakan bahawa, yang dimaksudkan (dalam ayat di atas) adalah wajah dan dua telapak tangan.

Pendapat yang sama dinyatakan Imam Al Qurtubi dalam kitab tafsirnya Al Jamia li Ahkam Al Qur’an, Juz XII hal. 229. Jadi, apa yang biasa nampak darinya adalah wajah dan dua telapak tangan sebab kedua anggota tubuh inilah yang biasa nampak dari kalangan Muslimah di hadapan Nabi S.A.W sedangkan Baginda mendiamkannya. Kedua anggota tubuh ini pula yang nampak dalam ibadah-ibadah seperti haji dan solat dan biasa terlihat di masa Rasulullah iaitu di masa masih turunnya ayat Al Quran.

Dalil lain yang menunjukkan bahawasanya seluruh tubuh wanita adalah aurat kecuali wajah dan dua telapak tangan ialah sabda Rasulullah kepada Asma’ binti Abu Bakar, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haidh) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya” [HR Abu Dawud]

Aurat Wanita dalam Hayaatul ‘Am (Kehidupan Umum/Public Life)

Yang dimaksudkan dengan hayaatul ‘am adalah keadaan di mana wanita itu berada di luar dari kawasan rumahnya di mana mereka bercampur dengan masyarakat. Pakaian wanita dalam kehidupan umum iaitu di luar rumahnya terdiri dari dua jenis iaitu:

• libaas asfal (baju bawah) yang disebut dengan jilbab, dan;
• libaas ‘ala (baju atas) iaitu khimar (tudung).

Dengan dua pakaian inilah seseorang wanita itu boleh berada dalam kehidupan umum seperti di jalanan, di pasar-pasar, pasar raya, kampus, taman-taman, dewan orang ramai dan seumpamanya. Dalil wajib memakai jilbab bagi wanita adalah berdasarkan firman Allah, “Wahai Nabi! katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, ‘Hendaklah mereka melebarkan jilbabnya” [Al Ahzab:59].

Oleh sebab Al Quran berbahasa Arab, dan perkataan “jilbab” itu adalah perkataan Arab, maka kita hendaklah memahami apakah yang dimaksudkan “jilbab” di dalam bahasa Arab. Dengan kata lain, kita hendaklah memahami dan mengikuti apakah yang orang Arab faham bila disebut jilbab. Maka inilah pakaian yang diperintahkan oleh Allah kepada perempuan. Di samping itu, perincian tentang pakaian ini telah pun dijelaskan di dalam banyak hadis sahih yang wajib diikuti oleh setiap orang.

Jadi, apakah makna jilbab itu? Selain dari melihat sendiri kepada nas-nas hadis tentang pakaian yang dipakai Muslimah semasa zaman Rasulullah, kita juga boleh merujuk kepada banyak kamus Arab untuk mengetahui makna “jilbab”. Dalam kitab Al Mu’jam Al Wasith karya Dr. Ibrahim Anis [Kaherah: Darul Maarif ms 128], jilbab diertikan sebagai ats tsaubul musytamil ala al jasadi kullihi (pakaian yang menutupi seluruh tubuh), atau ma fauqa ats tsiyab kal milhafah (pakaian luar yang dikenakan di atas pakaian rumah, seperti milhafah (seperti jubah), atau al mula’ah asy tamilu biha al mar’ah (pakaian luar yang digunakan untuk menutupi seluruh tubuh wanita).

Berdasarkan pengertian ini, jelaslah bahawa yang diwajibkan ke atas wanita adalah mengenakan pakaian yang satu (sekeping) yang lurus dari atas hinggalah ke bawah, yakni hingga ke mata kaki. Maksud milhafah/mula’ah (Arab) adalah pakaian yang dikenakan sebagai pakaian luar lalu dilebarkan sehingga ke bawah hingga menutupi kedua mata kakinya. Untuk pakaian atas, wanita disyariatkan/diwajibkan memakai “khimar” iaitu tudung atau apa sahaja bahan/kain yang serupa dengannya yang berfungsi menutupi seluruh kepala, leher, dan lubang leher baju di dada.

Dalil mengenai wajibnya mengenakan pakaian bahagian atas (khimar/tudung) adalah Firman Allah, “Hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka” [An Nur:31].

Pakaian jenis ini (jilbab dan khimar) wajib dipakai oleh seorang Muslimah (yang telah baligh) apabila hendak keluar menuju ke pasar-pasar atau berjalan melalui jalanan umum. Setelah memakai kedua jenis pakaian ini (jilbab dan khimar) maka barulah dibolehkan baginya keluar dari rumahnya menuju ke kehidupan 'am tanpa sebarang dosa. Jika tidak, maka dia tidak boleh (haram) keluar dari rumah kerana perintah yang menyangkut kedua jenis pakaian ini datang dalam bentuk yang umum, dan tetap dalam keumumannya dalam semua keadaan. Mana-mana wanita yang telah baligh dan melanggar ketetapan Allah ini, maka berdosalah mereka dan layak mendapat seksa Allah di akhirat nanti.

Pakaian wanita dalam Hayatul Khassah (Kehidupan Khusus/private life)

Yang dimaksudkan dengan hayatul khassah adalah keadaan di mana seseorang wanita itu menjalani kehidupannya di rumahnya bersama dengan anggota keluarganya yang lain. Adapun cara seorang Muslimah menutupi auratnya di hadapan lelaki ajnabi dalam kehidupan khusus seperti di rumahnya atau di dalam kenderaan peribadi, syara' tidak menentukan bentuk/fesyen pakaian tertentu tetapi membiarkan secara mutlak tanpa menentukannya dan cukup dengan mencantumkan lafaz dalam firman-Nya, “wa laa yubdiina” (“dan janganlah mereka menampakkan”) [Surah An Nur:31]

Atau sabda Nabi, “lam yashluh an yura minha” (“tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya”) [HR Abu Dawud].

Jadi, pakaian yang menutupi seluruh auratnya kecuali wajah dan telapak tangan dianggap sudah menutupi, walau bagaimana pun bentuknya. Tetapi ia adalah tertakluk kepada hukum tabarruj (sila lihat perbincangan di bawah).

Berdasarkan hal ini maka setiap bentuk dan jenis pakaian yang dapat menutupi aurat iaitu yang tidak menampakkan aurat dianggap sebagai penutup bagi aurat secara syar'i, tanpa melihat lagi bentuk, jenis, atau fesyennya. Namun demikian syara' telah mensyaratkan dalam berpakaian agar pakaian yang dikenakan dapat menutupi kulit. Jadi pakaian wajib dapat menutupi kulit sehingga warna kulitnya tidak diketahui. Jika tidak demikian, maka tidak dikatakan menutup aurat. Oleh kerana itu apabila kain penutup itu tipis/transparent sehingga nampak warna kulitnya dan dapat diketahui sama ada kulitnya berwarna merah atau coklat, maka kain penutup seperti ini tidak boleh dijadikan penutup aurat dan haram hukum memakainya.

Larangan Bertabarruj

Adapun dalil tentang larangan bertabarruj adalah juga dari Surah An Nur:60 iaitu Firman Allah, “Dan perempuan-perempuan tua yang telah terhenti [dari haid dan mengandung] yang tiada ingin kawin [lagi], tiadalah atas mereka dosa menanggalkan pakaian mereka dengan tidak [bermaksud] menampakkan perhiasan (tabarruj), dan berlaku sopan adalah lebih baik bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui”. [An Nur:60]

Mafhum muwafaqah (yang disepakati) dari ayat ini adalah jika perempuan tua yang telah putus haid haram menampakkan perhiasan iaitu bertabarruj, apatah lagi perempuan yang masih muda, belum putus haid dan berkeinginan berumahtangga, tentulah lebih lagi. Dalil lain ialah, “Dan hendaklah kamu tetap di rumah kamu, dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang jahiliah.” [Al Ahzab:33]

Dan Hadis Rasulullah riwayat dari Bazzar dan At Termizi menjelaskan, “Sesungguhnya wanita itu adalah aurat, setiap kali mereka keluar, syaitan akan memperhatikannya”.

Abul A’la al Maududi berkata, “Jika kalimat tabarruj dipergunakan kepada kaum wanita, ia bermakna :

(i) wanita yang menunjukkan kecantikan wajahnya, daya tarik tubuhnya kepada lelaki asing (yang bukan mahramnya);

(ii) wanita yang mendedahkan kecantikan pakaian dan perhiasannya kepada lelaki asing; dan memperlihatkan dirinya, make-upnya, gerak-gerinya dan kemegahannya. Selain memastikan pakaiannya tidak nipis, jarang, longgar, tidak memakai perhiasan yang menarik perhatian lelaki ajnabi, tidak menyerupai pakaian lelaki atau orang kafir/musyrik, pakaiannya yang bukan melambangkan kemegahan, dia juga tidak boleh tampil dengan haruman semerbak. "Sesiapa jua wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan dihidu bau yang dipakainya, maka dia dikira berzina” [hadis dari Abu Musa al-Asy’ari].

Penutup

Sesungguhnya aurat wanita Islam bukanlah hanya tudung semata-mata sebagaimana yang difahami oleh sebahagian umat Islam sebaliknya apa yang paling penting ialah setiap Muslimah mestilah memahami batasan aurat dalam hayatul khassah (kehidupan khusus) dan hayatul am (kehidupan umum) menurut syarak selain menyedari keharaman bertabarruj atas semua wanita sama ada belum atau telah putus haid. Menutup aurat juga hendaklah didasari dengan iman dan taqwa iaitu mengharapkan keredhaan Allah semata-mata, bukan atas dasar hak asasi atau rutin harian.

Sumber: Akademi Tarbiyah DPPM

Tuhan, kudambakan belas-Mu...


وَسَارِعُواْ إِلَى مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَاوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
"Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa." (Ali-`Imran: 133)

Thursday 6 September 2012

Ia umpama tetamu


Sebagaimana tetamu yang datang berkunjung ke rumah kita, melabuhkan punggung dan berehat seketika, selepas itu dia akan memohon diri untuk pulang kembali ke tempat asalnya. Begitulah perbandingan Ramadhan. Sesungguhnya bulan Ramadhan adalah tetamu agung yang datang bertandang. Akan tetapi setelah tiba waktunya, Ramadhan akan berlalu mengucapkan selamat tinggal kepada semua dan akan hadir kembali apabila tiba masanya.

Rugilah jika kita mensia-siakan tetamu agung ini kerana belum pasti kita dapat bertemu dengan Ramadhan yang akan datang, tentunya Allah SWT jua yang mengetahui. Mungkin Ramadhan ini adalah yang terakhir untuk kita, sebagaimana mereka yang telah pergi tidak berkesempatan melalui Ramadhan tahun ini, tanpa sekali-kali mengetahui Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buat mereka.

Sesungguhnya bulan Ramadhan ini adalah anugerah daripada Allah SWT sebagai lambang kasih sayang kepada para hamba-Nya. Setiap apa sahaja yang dilakukan padanya akan mendapat balasan berganda. Allah SWT tidak mensia-siakan keletihan hamba-Nya yang menahan lapar dan dahaga serta runtunan hawa nafsunya, hinggakan tidur diwaktu siang juga diberikan pahala. Begitulah agungnya Ramadhan, namun tidak semua yang merasakan demikian, tentunya mereka yang diberi hidayah dan taufiq oleh Allah SWT sahaja yang dapat mengecapi kemanisannya.

Kini Ramadhan telah pun berlalu meninggalkan kita. Sejauh mana kita telah mengisinya, hanya diri sendiri yang dapat menjawabnya. Teringat di dalam satu riwayat, ketika Rasulullah saw menaiki tangga-tangga mimbar masjidnya, lalu baginda mengaminkan satu-persatu yang disebutkan oleh Jibril as. Di antaranya ialah sebagaimana yang disebutkan oleh Rasulullah saw:

“Jibril mendatangiku seraya berkata; “Barangsiapa yang mendapati bulan Ramadhan, lantas tidak mendapat ampunan, kemudian mati, maka ia masuk Neraka serta dijauhkan Allah (dari rahmat-Nya)” Jibril berkata lagi; “Ucapkan “Amin”. Maka kuucapkan “Amin”.

Ahh, betapa gerunnya mendengar amaran ini. Bagaimana kita mengisi Ramadhan, hati kecil sendiri yang menjawabnya. Tetapi tidak susah untuk melihat hasil dari tarbiah Ramadhan.

Alat dan matlamat

Seringkali kita melihat di bulan Ramadhan amat terserlah sifat taqwa yang disebut sebagai natijah daripada berpuasa. Namun, selepas berlalu Ramadhan maka semuanya berbalik kepada asal. Dimanakah kesilapannya?

 Sesungguhnya ramai dikalangan kita yang tersasar dalam membuat perhitungan. Kita gagal untuk membezakan di antara alat dan matlamat. Justeru, apabila gagal membezakan keduanya, maka apa yang dilakukan tidak akan berjaya dan seterusnya tidak mencapai sasaran.

Mari kita beranalogi.

Makan adalah alat, apakah pula matlamatnya? Apabila dikatakan makan adalah alat maka matlamatnya adalah kenyang. Mudah! Kita makan apabila lapar, setelah sampai had kenyang kita akan berhenti makan kerana matlamat telah tercapai iaitu kenyang. Tetapi apabila makan menjadi matlamat, maka kita akan terus makan dan makan. Biarpun telah sendawa sepuluh kali, kita masih lagi makan. Inilah yang terjadi apabila alat dan matlamat tidak dapat dibezakan.

Begitu juga dengan ibadah puasa. Berpuasa adalah alat sedangkan matlamatnya adalah taqwa. Tetapi ramai yang tersilap, mereka melihat puasa yang menjadi matlamat.

Kita boleh melihat, apabila masuk bulan Ramadhan, ramai yang berpuasa. Berpusu-pusu memenuhkan masjid dan musolla walaupun solat subuh, berlumba-lumba untuk memenuhi majlis ilmu. Mampu bangun malam dengan menghidupkan ibadah qiamullail setia p malam yang sunyi. Menjadi pemurah dengan banyak bersedekah, al-Quran dibaca setiap hari. Pendekata, bulan Ramadhan dilipatgandakan ibadat, setiap kebaikan dilakukannya.

Namun, setelah berlalu Ramadhan itu semua ditinggalkan. Masjid menjadi lengang, yang datang hanya mereka yang tetap dan berpencen. Ibadah malam mula ditinggalkan dengan alasan ibadah sunat , al-Quran mula berhabuk di dalam rak dan akan dibuka semula pada tahun hadapan. Telinga mula disumbat dengan alunan-alunan yang mengheret kepada kelalaian. Mengapa terjadi begini? Kerana Ramadhan yang dilihat hanyalah berpuasa dan itulah yang telah pun menjadi matlamat.

Inilah kesilapan yang perlu diperbetulkan dari semasa ke semasa. Seolah-olah bagi pandangan mereka ini Allah hanya wujud pada bulan Ramadhan, sedangkan pada bulan lain tidak perlu pengisian dan pentarbiyahan rohani. Inilah persepsi yang silap, tibanya Syawal bukan bermakna segala amalan yang dilakukan sewaktu Ramadhan perlu dilupa dan kembali menjadi diri yang sebelum itu, sebagaimana nasihat berharga Fadhilah as-Syeikh Dr Yusuf al-Qardhawi hafizahullah: “Jadilah hamba Allah, bukan menjadi hamba Ramadhan.”

Taqwa adalah matlamat

Madrasah Ramadhan adalah sebagai penjana sifat taqwa. Firman Allah SWT:

Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu beroleh Taqwa.” (al-Baqarah: 183) 

Memang, erti taqwa amat terserlah di bulan Ramadhan. Kemanisan yang dirasai, kebaikan yang amat mudah dilakukan di bulan Ramadhan adalah isi sebuah taqwa. Kita sentiasa mendengar pesanan supaya bertaqwa. Jika sekarang kita berumur 45 tahun dan mula bersolat Jumaat bermula usia 15 tahun, maka sudah lebih 1500 kali kita mendengar pesanan taqwa oleh khatib yang berkhutbah.

Di antara maksud taqwa ialah menempuh hidup ini dengan penuh hati-hati sebagaimana seorang yang melalui jalan yang penuh duri bagai yang didefinisikan oleh Ubai bin Ka`ab ra. itulah taqwa. Rasa takut yang benar dan dibenarkan oleh perbuatan. Kita takut duri, kita berhati-hati melangkah dan mengelaknya, bukan membiarkan tubuh dicarikinya.

Manusia ditentukan nilainya pada taqwa yang dimiliki. Kita boleh hidup sesuka hati, makan dan minum apa sahaja yang boleh dicapai, bercampur gaul tanpa batasan dan berkehidupan tanpa sempadan. Tetapi dengan taqwa yang dimiliki kita terpelihara daripada menjadi hamba dunia dan harta benda. Dengan taqwa juga kita berupaya menjaga batasan dan sempadan yang dibenarkan. Pujilah Allah atas nikmat taqwa yang amat mahal ini.

“Segala puji bagi Allah yang telah memberi petunjuk kepada kami ke arah ini, yang tidaklah kami beroleh panduan hidayat jika tidak diberi petunjuk oleh Allah.” (al-A`raaf: 43) 

Semoga dengan keberkatan Ramadhan yang telah kita lalui selama sebulan ini kita akan dapat menggilap kembali hati kita yang pudar dan menundukkan nafsu kita yang bertahta di hati selama ini. Raikanlah Aidilfitri dengan sebaiknya.

Allahu akbar! Allahu akbar! Allahu akbar! Wa Lillahil Hamd!

Monday 3 September 2012

Alhamdulillah, inilah nikmat kemenangan...

TV Mesir mansuh larangan bertudung penyampai berita.

(Fatma Nabil menjadi wanita pertama negara tersebut untuk menyampaikan berita sambil memakai tudung dalam tempoh setengah abad- AFP)

KAHERAH: Stesen televisyen negara Mesir telah menarik balik larangan berusia satu dekad yang menghalang penyampai berita wanita mereka dari memakai tudung. Larangan itu berkuatkuasa di zaman rejim-rejim sebelum ini yang cenderung kepada fahaman sekular.

Fatma Nabil yang muncul Ahad lalu dengan memakai tudung berwarna krim dan sut berwarna gelap, menyampaikan berita pada pukul 12 tengah hari.

TV Mesir memberitahu ini adalah penampilan pertama seorang penyampai wanita bertudung sejak stesen TV itu ditubuhkan separuh abad lalu.

Pegawai stesen TV tersebut, Mohammed Fathi berkata bahawa penampilan Nabil akan menggalakkan pemakaian tudung oleh ramai wanita lain yang ingin memakai tudung tetapi takut kehilangan pekerjaan mereka.

TV Mesir mengekalkan dasar larangan pemakaian bertudung kepada penyampai berita sepanjang era Presiden Hosni Mubarak, diktator yang digulingkan dalam kebangkitan Dunia Arab tahun lepas, serta rejim-rejim sebelumnya.

Sesetengah penyampai berita menyaman stesen TV tersebut, dan menang kes, tetapi mereka masih dihalang dari muncul di kaca TV.

Sumber: al-Jazeera