Sahabat Sejati

Thursday 2 August 2012

Memberi kerana masih ada kasih...


Jiwa yang penuh kasih sayang akan melahirkan seorang yang pengasih. Sesiapa yang memiliki lebih kasih sayang maka dia akan banyak memberi. Apabila kurang memberi maka itu petanda kurang rasa kasih. Oleh itu, hidup ini akan damai dan harmoni jika kita saling memberi.

Hari ini kita lihat ramai yang beranggapan mereka akan berjaya dan lebih bahagia dengan menerima. Sebagaimana sepotong kata-kata hikmah yang berbunyi: “Kita membina hidup dengan apa yang kita dapat tetapi kita membina kehidupan dengan apa yang kita berikan.”

Kekayaan sebenar bukanlah kerana kita banyak ‘memiliki’, tetapi kerana kita banyak ‘memberi’. Justeru, Allah SWT adalah sebaik-baik Pemberi kerana Dia bersifat dengan Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih.

Islam adalah agama yang amat sinonim dengan amalan memberi. Rasulullah saw diutuskan sebagai rahmat kepada sekelian alam. Lihatlah sirah baginda saw tentang kesantunannya memberikan tenaga, harta malah jiwanya untuk umat yang kesusahan.

Sejarah kehidupan Rasulullah saw merakamkan baginda memberi bukan sahaja dalam keadaan senang, malahan semasa susah. Memberi penuh kesabaran ketika susah, manakala memberi dengan penuh kesyukuran ketika senang. Selayaknya baginda saw digelar tokoh misi bantuan.

Oleh itu, di bulan Ramadhan yang penuh dengan keampunan, keberkatan dan kelebihan ini, marilah kita kikiskan sifat bakhil yang masih tersisa di dalam diri. Memberilah kepada yang memerlukan, sesungguhnya tidak akan berkurang apa yang ada pada kita dengan memberi, malahan akan bertambah dan bertambah. Itulah yang perlu kita yakini dengan sebenarnya.

Mungkin ada yang terfikir bagaimana harta boleh bertambah dengan memberi, sedangkan jika sesuatu yang dikeluarkan maka ia akan berkurang. Contohnya kita ada sepuluh, dikeluarkan dua maka akan tinggallah lapan. Benar! Jika kita berfikir dengan logik akal tanpa melihat dengan hikmah. Tetapi bukan begitu.

Analoginya mudah! Jika anda mahukan pokok tanaman anda subur merimbun, apa yang anda lakukan selain menyiram dan membaja. Anda tentu akan memotong pucuk-pucuk yang ada, maka pokok anda akan bertunas baru dengan lebih banyak lagi. Bukankah pokok anda akan lebih rimbun dan  merendang? Manakala membaja boleh diibaratkan sifat ikhlas dan menyiram adalah sifat istiqamah. Kedua-duanya perlu ada ketika memberi.

Dari Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda: “Tidak berlalu hari-hari yang tatkala manusia memulakan pekerjaan melainkan turun dua malaikat yang satu malaikat berdoa, “Ya Allah berilah ganti kepada orang yang membelanjakan (iaitu menderma atau mensedekahkan) hartanya.” Sedangkan malaikat yang kedua berdoa : “Ya Allah, binasakanlah orang yang bakhil.” (Bukhari no. 2383)

Sahabat sekelian, berikanlah apa yang Allah SWT berikan kepada kita kerana di sana ada hak yang perlu diamanahkan. Begitu juga ini memberi isyarat bahawa kita masih lagi memiliki sifat kasih sayang.

Salam Ramadhan!

0 comments:

Post a Comment