Sahabat Sejati

Tuesday 28 August 2012

Bukan nak berpolitik, tapi...

 Bukan ahli politik...

Saya bukan ahli politik. Tidak terfikir di minda saya untuk menjadi seorang ahli politik. Blog ini juga bukan blog politik, biarpun ada juga sesetengah artikelnya menyentuh tentang politik. Walaupun begitu ini tidak bermakna saya buta politik, menutup mata dan memekakkan telinga dari berfikir tentang politik, apatah lagi menganggap politik bukan urusan saya dan bukan urusan agama.

Bagi saya politik adalah sebagai disiplin mengatur kehidupan manusia. Tentang peraturan hablun minannaas yang merupakan separuh daripada tuntutan agama kita. Mahu tidak mahu, kita tetap merupakan sebahagian daripada politik. Soal keterlibatan kita dengan parti-parti politik, itu soal kedua. Parti politik hanyalah kenderaan dan wadah untuk memperjuangkan isu-isu serta masalah masyarakat.

Isu tol, kenaikan harga minyak, kepincangan sosial, korupsi serta kronisma dan nepotisma semuanya adalah isu yang merupakan masalah kepada masyarakat. Tetapi tanpa parti politik sekali pun, isu berkenaan tetap wujud di depan mata dan perlu diperjuangkan.

Sebab itulah di dalam Islam ada istilah amar makruf, ada istilah nahi munkar. Bagaimanakah kita melaksanakan dua tanggungjawab ini, semua ini akan dipersoalkan peranan kita terhadapnya.

Saya tegaskan sekali lagi, saya bukan ahli politik, blog ini juga bukan blog politik.

Tetapi apabila saya membaca satu tulisan daripada seorang ahli politik yang telah melepasi tahap veteran, saya merasa sedikit kurang selesa. Tulisnya: "Lebih baik syaitan yang anda kenal daripada malaikat yang anda tidak kenal. Malaikat itu bukanlah golongan yang suci kerana kadang-kadang, malaikat juga boleh buat banyak perkara salah.”

Mungkin beliau mempunyai niat atau maksud yang tersendiri, wallahua`lam. Tetapi kenyataan yang sebegini pasti akan mengundang pelbagai persepsi yang negatif. Mengapa tidak digunakan istilah lain untuk menggambarkan apa yang dimaksudkan? Apakah telah tiada istilah lagi yang boleh dibuat analogi?

Di dalam al-Quran sendiri banyak ayat-ayat yang menegaskan betapa syaitan itu musuh, bahkan disebut dengan musuh yang paling nyata. Maka layanlah dia sebagai musuh, malaikat pula Allah sifatkan tidak pernah bantah apa yang diperintah dan buat apa yang disuruh. Saya bertanya, yang mana hendak dibuat kawan?

Tepuk dada tanya iman. Fikir-fikir dalam diri. Mudah-mudahan kita dilindungkan daripada menjadi golongan Allah SWT sebutkan di dalam firman-Nya:

اسْتَحْوَذَ عَلَيْهِمُ الشَّيْطَانُ فَأَنسَاهُمْ ذِكْرَ اللَّهِ أُوْلَئِكَ حِزْبُ الشَّيْطَانِ أَلَا إِنَّ حِزْبَ الشَّيْطَانِ هُمُ الْخَاسِرُونَ
"Syaitan telah menguasai mereka lalu menjadikan mereka lupa mengingat Allah; mereka itulah golongan syaitan. Ketahuilah, bahwa sesungguhnya golongan syaitan itulah golongan yang merugi." (al-Mujadalah: 19)

Marah? Tentu sekali tidak tetapi kerana sayang.

“Sekuat-kuat ikatan iman ialah cinta dan berkasih-sayang Allah dan marah juga kerana Allah.” (Riwayat Imam Ahmad).

0 comments:

Post a Comment