Sahabat Sejati

Monday, 16 July 2012

Bicara malam...


 Roda kehidupan sentiasa berpusing dengan pantas. Masa pula tanpa peduli meninggalkan semua kenangan. Tanpa sedar angka usia semakin meningkat, membawa kita ke daerah senja. Alam cergas dan serdas semakin jauh kita lewati ke belakang.

Musibah kesakitan adalah ruang masa untuk berfikir dan bermuhasabah. Kesakitan adalah isyarat rasa cinta Allah kepada manusia, andai kita memikirkannya dengan hikmah dan mata hati. Boleh jadi sedikit ujian kesakitan yang mencelah-mencelah di sebalik nikmat kesihatan yang panjang adalah pengikis karat-karat dosa yang menumpuk di dinding jiwa. Semoga ianya tidak dibalas di akhirat kelak kerana telah redha di dunia ini. Namun, tidak semua yang memandang begitu lantaran kekotoran hati dan pengaruh nafsu liar di dalam diri. Itulah kesan hati yang sedang tenat dengan kegelapan penyakit. Terhijab dari melihat kebenaran.

Firman Allah SWT: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah. Sesiapa yang beriman kepada-Nya, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar). Ingatlah, Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (at-Taghaabun: 11)

Kesakitan tidak semestinya berakhir dengan kematian. Kata alim ulama: “Jangan tertipu dengan usia yang muda kerana mati buka syarat tua, jangan tertipu dengan badan yang sihat kerana mati bukan syarat sakit. Mati apabila telah sampai ajal.” Namun saat ditimpa musibah kesakitan seolah-olah berada di serambi kematian. Bahkan ia benar-benar menginsafkan.

Oleh itu, ketika seseorang menderita ditimpa sakit, hendaklah selalu bertaubat dan memperbanyakkan istighfar. Memperbanyakkan mengingati Allah dan sentiasa memohon diampuni segala kesalahan yang lalu. Begitu juga hendaklah banyak bersabar dan berbaik sangka kepada Allah SWT.

Lebih malang lagi tatkala ditimpa kesusahan ataupun musibah kesakitan, kita bertindak melontar segala kebencian terhadap-Nya. Merasakan kesakitan itu sebagai penderaan kepada kita. Seolah-olah kita terlupa segala penyakit dan kesusahan itu semata-mata daripada-Nya.

Pada suatu hari Rasulullah saw yang menziarahi seorang pemuda yang sedang sakit dan baginda bertanya kepadanya: “Bagaimana perasaanmu?” Jawab pemuda itu: “Aku meletakkan sepenuh harapan kepada Tuhan-ku dan aku selalu cemas tentang dosa-dosaku.”

Maka bersabda Rasulullah saw: “Selama kedua sifat ini berkumpul dalam hati seorang Muslim, sedang ia dalam keadaan menghadapi maut, maka Allah akan mengabulkan semua yang diharapkan dan menyelamatkan dari semua yang ditakutinya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Insya-Allah, mudah-mudahan...

0 comments:

Post a Comment