Sahabat Sejati

Wednesday, 25 July 2012

Bolehkah atlet tangguh puasa kerana olimpik?

Isu atlet tangguh puasa kerana olimpik telah menjadi satu perbahasan di kalangan massa.

Dengarlah penerangan daripada ulama tersohor nusantara, Tuan Guru Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki mengenai perkara ini.

video

Monday, 23 July 2012

RAMADAN TERAKHIR


Ramadan terakhir mengajak pembaca menghayati Ramadan dengan jiwa hamba yang total. Berpuasa bukan hanya pada lapar dan dahaga tetapi berusaha sedaya upaya merebut pelbagai ganjaran hebat yang hanya ditawarkan pada bulan Ramadan sahaja.

Persediaan menghadapi Ramadan bermula sejak Rejab lagi diikuti Syaaban yang merupakan bulan-bulan 'warming up' sebelum menempuh Ramadan. Seterusnya Syawal untuk menuai hasil Ramadan. Setiap kali kita berjaya menjejak masuk ke gerbang Ramadan, anggaplah ia sebagai Ramadan yang terakhir kerana belum tentu usia kita sampai ke Ramadan yang akan datang. maka sewajarnya Ramadan yang kita tempuh dimanfaatkan sepenuhnya. Sewajarnya amal ibadah kita lebih baik dan cemerlang daripada tahun-tahun sudah. Rejab, Syaaban,

Ramadan dan Syawal merupakan bulan-bulan mega bagi umat Islam yang mesti kita hargai dengan keimanan dan ketakwaan. Cukuplah kita bodoh dan diperbodohkan selama ini. Kita tidak mahu jadi bodoh dan rugi selama-lamanya. Marilah kita jadi cerdik pada Ramadan kali ini dan seterusnya. Bodohnya kita apabila berpuasa pada siang hari tapi mampu menipu, mencuri, terlibat dengan rasuah, tidak menjaga aurat dan mengumpat. Bodohlah kita jika seronok bersolat tarawih beramai-ramai dimasjid dan surau, namun solat fardu masih kita tinggalkan. Pantang kita tinggal solat tarawih tetapi kita tidak berpantang untuk meninggalkan solat Subuh dan Zuhur.Alangkah bodohnya manusia dihadapan Allah.

Tajuk : Ramadan Terakhir
Penulis : Hisham AR
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
M/S : 197
Harga : SM 19.00 / SS 21.00

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

Sunday, 22 July 2012

Berpuasa tapi tak solat, bagaimana?


Soalan:

Ustaz, apakah diterima puasa orang yang sengaja meninggalkan solat? Kerana saya melihat ramai orang yang berpuasa tapi tidak mengerjakan solat.

Jawapan:

Orang yang meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulamak. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.

Adapun jika ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (yakni ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya; 1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir. 2. Jumhur ulamak berpandangan: ia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar.

Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulamak hari ini (terutamannya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerjakan solat, kami ingin menegaskan kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…” (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).

Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu); puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah ialah; dia tidak dituntut lagi mengqadha/mengganti puasanya. Namun perlu dipersoalkan; adakah puasanya itu akan diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang cukup besar dalam Islam iaitu solat? Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah. Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riyak; solatnya sah (dari sudut Fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riyak tersebut. Kerana itu, ulamak-ulamak al-Azhar (seperti Syeikh ‘Atiyah Saqar (bekas ketua Lujnah Fatwa al-Azhar), Dr. Ahmad asy-Syirbasi (bekas pensyarah di Universti al-Azhar), Dr. Muhammad Bakr Ismail, Dr. Muhammad ‘Ali Jum’ah dan ramai lagi), walaupun pendapat mereka tidak sekeras ulamak-ulamak dari Arab Saudi tadi, tetapi mereka menegaskan; “Orang yang tidak mengerjakan solat sekalipun puasanya sah tetapi tidak diterima Allah (yakni tidak diberi pahala)”. Syeikh ‘Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; “Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi s.a.w. menunjukkan ia tidak diterima…”. Hadis yang dimaksudkan oleh Syeikh ‘Atiyah itu ialah sabda Nabi s.a.w. (bermaksud):

“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah ra.).

Jika dengan kerana akhlak mazmumah (dusta dan sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardhu yang dosanya amatlah besar, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.

Wallahu a’lam.

Rujukan:
1. al-Fatawa; Min Ahsan al-Kalam, Syeikh Aiyah Saqar, 2/32
2. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198
3. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/149
4. Yas-alunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah, Dr. Ahmad as-Syirbasi, jilid 4

Bulan Ramadhan Bulan Mulia


video

NADAMURNI - Bulan Ramadhan Bulan Mulia

Saturday, 21 July 2012

Ramadhan Kareem, TAQWA yang didamba


Berkata Saiyidina Umar al-Khattab ra. dengan gembiranya setiap kali menjelang Ramadhan:

“Selamat datang bulan yang akan membersihkan kami, sebab Ramadhan ini semuanya baik, puasa pada siang harinya dan bangun pada malamnya, dan sedekah (belanja) dalam bulan ini sama dengan membelanjai perjuangan jihad fi sabilillah.”

Ramadhan tiba berulang masa.

Dikesempatan yang terluang ini, saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan yang penuh dengan keberkatan kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Mudah-mudahan kita semua diberikan kesungguhan untuk melakukan segala amal kebaikan, tentunya ia diganjari dengan sebanyak-banyak ganjaran.

Bersungguhlah dalam melaksanakan segala amal ibadat, kerana kesungguhan itulah pelengkap proses TAQWA. Bukankah itu yang ‘diburu’ oleh pencinta akhirat sepanjang zaman? Mereka mengimpikannnya kerana mereka tahu kelebihan yang ada pada sifat TAQWA.

Maka, carilah taqwa, burulah taqwa. Bahkan taqwa adalah tanda kecintaan kepada-Nya. Namun tidak mudah untuk memiliki taqwa, semua itu memerlukan kesabaran dan mujahadah tanpa jemu. Tetapi Allah SWT yang memiliki sifat Kasih Sayang, Dia Maha Mengetahui kesukaran itu, lalu dipermudahkannya. Berpuasalah 30 hari dengan sebaiknya, nescaya taqwa akan datang mendampingi. Nah! inilah jalannya. Rebutlah peluang yang terhidang di atas jalan Ramadhan ini...

Selamat menjalani ibadah puasa demi sebuah taqwa yang didambakan.

Berkata Ibnu Abbas ra: "Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda: 'Jika sekiranya umatku mengetahui segala (kebaikan) di bulan Ramadhan, nescaya mereka menginginkan supaya sepanjang tahun itu menjadi Ramadhan, kerana semua kebaikan berkumpul di bulan Ramadhan, ketaatan mudah diterima, semua doa dikabulkan, semua dosa diampuni dan syurga rindu kepada mereka'".

Thursday, 19 July 2012

Syurga Merinduimu


‘Wahai lelaki tua, selamatkanlah aku daripada ular ini dan semoga Allah menyelamatkanmu jua.’ Lelaki itu pun menangis dan berkata: ‘Aku ini lemah dan ia (ular) pula lebih kuat daripadaku. Berlarilah dengan segera. Semoga Allah merupakan buatmu sesuatu yang menyelamatkanmu daripadanya. Aku pantas berlalu terus ke hadapan. Lalu aku pun naik ke atas satu anjung daripada anjung-anjung hari kiamat itu.

Lalu aku melalui tepi beberapa tingkatan api neraka dan aku hampir-hampir terjatuh ke dalamnya disebabkan pergelutanku itu. Maka satu suara menjerit: ‘Berundurlah kamu! Kamu bukan daripada ahlinya.’ Lalu aku berasa senang dengan kata-katanya itu dan aku pun berundur.
 ---------------

Tajuk : Syurga Merinduimu
Penulis : Amaluddin Mohd Napiah
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
M/S : 317
Harga : SM 24.00 / SS 26.00

SYURGA MERINDUIMU merupakan himpunan pilihan 30 bab (artikel) yang membicarakan persoalan asas kehidupan seorang Muslim. Berbeza dengan perbahasan yang lebih ringkas dalam tiga buku beliau sebelum ini, sentuhan Ustaz Amaluddin Mohd Napiah kali ini lebih mendasar, namun masih mengekalkan penggunaan ayat, contoh dan analogi yang mudah dihadam.

Ia diberi nilai tambah dengan paparan kisah-kisah teladan yang mengukuhkan perbahasan. Secara bersahaja dan lembut namun mengesankan, buku ini menyuntik semangat dan motivasi diri untuk terus beribadah, beramal soleh, menuntut ilmu, berjuang dan bermujahadah demi mendapatkan redha Allah Tabaraka wa Taala kerana sesungguhnya ... syurga merindui kita!

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

36 tahun, sudah jauh perjalanan ini...


Pagi ini.

Saat aku menatap wajah di cermin. Membelek-belek kecantikan yang dirapi selama ini. Menilik-niliknya menerbitkan rasa bangga dihati.

Allah!

Sesuatu yang benar-benar mengejutkan diriku.

Telah berkedut kulit dimuka.

Telah memutih uban dikepala

Berapakah usiaku?

Aku menghitung ia semakin bertambah, hakikatnya ia dipotong sehari demi sehari.

Sesungguhnya begitulah kehidupan manusia di hadapan Allah SWT. Demikianlah aturan taqdir yang sentiasa di dalam genggaman-Nya.

Baru semalam rasanya mengenal dunia.

Baru semalam rasanya menjadi kanak-kanak.

Baru semalam rasanya menginjak dewasa.

Hari ini, tenaga mulai lemah. Pandangan mulai kabur. Ingatan pun mula beransur-ansur hilang. Pendengaran mulai berkurangan. Dada juga sentiasa semput tatkala kaki jauh melangkah.

Inilah kehidupan. Yang muda akan tiba waktu-waktu tua, dan aku telah menemuinya sebagaimana ia telah menemui orang-orang lain yang terdahulu.

 وَالْعَصْرِ إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ إِلَّا الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menetapi kesabaran.” (al-`ashr: 1-3)

Berputar dunia ini dengan masa. Kita melalui kehidupan ini dengan perantaraan masa. Masa suka dan duka, lapang dan sibuk, masa muda hingga menjengah masa tua. Masa hidup sehingga dijemput kematian. Lalu tinggallah ia sebagai kenangan-kenangan yang disebut orang. Setelah kita pergi, maka habislah masa yang digunakan, dan masa itu akan terus diguna pula oleh manusia lain yang masih hidup, ianya silih berganti. Masa tidak akan berhenti sehinggalah akhir usia ini.

Masa terus berjalan meninggalkan semua kenangan. Pantasnya masa berlalu menghabiskan sisa-sisa usia yang ada pada diri manusia. Mungkin masa yang berlalu itu telah terisi dengan sesuatu yang bermanfaat yang dapat mencapai kecemerlangan dunia dan akhirat. Maka berbahagialah bagi mereka yang mendapatinya. Atau mungkin juga masa yang diperuntukkan hanya berlalu tanpa makna, tanpa faedah apa-apa. Seumpama kita melihat masa berlalu pergi, lalu kita melambaikan tangan sambil mengucapkan “selamat jalan masa, selamat jalan masa...” Andai itu yang berlaku, maka bersedihlah kerana usia berkurangan dan terus berkurangan setiap hari, sedangkan kita masih lagi terleka mengejar keseronokan.

Masa bukanlah seperti botol plastik. Tiada istilah kitar semula atau guna semula. "Masa itu kehidupan." Itulah antara kata-kata Imam Hasan Al-Banna. Selagi mana mentari berputar, selagi itulah masa bergerak. Andai ku mampu menghentikan pergerakanmu sang mentari...

Sudah jauh perjalanan ini...

Benarlah, perjalanan hidup yang jauh dan panjang ini sentiasa terselit ibrah dan pengajaran. Namun, dengan pengajaran yang terbentang ini, kita masih lagi mematungkan diri, menutup pintu hati dari berfikir dengan mata hati, maka kitalah yang akan menanggung kerugian.

Mengisi kehidupan ini, kita yang sentiasa sibuk dengan nikmat dan keseronokan dunia kadang-kadang kita terlupa akan ketentuan yang pasti. Kematian adalah satu kepastian yang tidak mungkin disangkal kebenarannya. Ketika hari ini kita sedang bergelak ketawa dengan saudara-mara dan handai-taulan, esok tanpa disangka kita mendengar berita kematiannya. Demikianlah hakikatnya kita dan dia atau sesiapa sahaja akan bertemu saat itu.

Sesungguhnya ujian kematian adalah satu muhasabah dan renungan yang dapat menghantar kita kepada jiwa seorang hamba kepada Allah SWT. Maka seharusnya kita diam sejenak memikirkan apakah persiapan yang telah disediakan untuk menghadapinya.

Dalam satu hadis Rasulullah saw bersabda:

“Pada Hari Kiamat dibawa seorang penduduk dunia paling nikmat kehidupannya yang menjadi orang ahli neraka. Dia dicelup ke dalam neraka satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernah engkau melihat kesenangan? Pernah engkau mendapat kenikmatan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!”.

Lalu dibawa seorang penduduk dunia yang paling derita kehidupannya yang menjadi ahli syurga. Dia dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan sahaja, kemudian dia ditanya: “Wahai anak Adam, pernahkah engkau melihat penderitaan? Pernahkah engkau mengalami kesusahan? Jawabnya: “Tidak! Demi Allah, wahai Tuhanku!. Aku tidak pernah melihat penderitaan. Aku tidak pernah mengalami kesusahan”. (Riwayat Muslim).

Kasih sayang-Nya yang sejati

Tiada yang mengenal manusia selain Allah SWT, kerana Dia adalah sebenar-benar pencipta. Dia menciptakan manusia dan alam seluruhnya yang berkeliling dan sentiasa mempengaruhinya. Manusia mudah terpengaruh dengan apa yang ada disekelilingnya. Manusia sentiasa terumbang-ambing menghadapi asakan-asakan hidup di antara unsur kebaikan dan unsur keburukan. Ia sentiasa berperang untuk membuat pilihan di antara pahala dan dosa. Dari pilihan tersebut maka lahirlah manusia yang tinggi peribadinya dan manusia yang rendah peribadinya, lahir manusia yang mulia dan manusia yang hina.

Allah yang memiliki sifat kasih sayang, tidak pernah membiarkan manusia dalam kegelapan kejahilan. Ada pertolongan yang tiba, ada tangan yang menghulur. Maka, diturunkan pengajaran dan panduan dalam sebuah manual yang dipanggil al-Quran. Di dalamnya terkandung segala macam ilmu dan panduan yang menyinari jalan-jalan yang samar.

Allah juga Maha Mengetahui manusia ini berbilang-bilang dan berbeza-beza pendapat, maka diutuskan pula seorang manusia yang agung untuk menerangkan isi kandungan al-Quran, agar manusia tidak berbalah dan berbantah-bantah kerana kejahilan dan kekeliruan.

Allah memberi kita sinar yang memancar. Dialah cahaya di langit dan di bumi. Sinar itulah al-Quran dan tubuh qudwah, Rasulullah saw.

Di cermin ini

Membelek-belek wajah di cermin ini benar-benar memutikkan keinsafan diri. Ahh.. telah banyak masa yang telah disia-siakan. Melihat-lihat tarikh yang tersurat hari ini, dalam hati berkira-kira:

“Telah 36 tahun usiaku hari ini, apakah kebaikanku telah mengatasi kejelekan...?”

Entahlah... sedangkan umur telah pun berkurang setahun maka semakin dekatlah dengan kematian itu.

Sabda Rasulullah saw, kata ‘Abdullah bin ‘Umar r.a:

“Rasulullah s.a.w memegang bahuku lalu bersabda: “Jadilah engkau di dunia ini bagaikan orang asing, atau seorang musafir”. (Riwayat al-Bukhari). Ya, inilah yang al-Quran tegaskan: (maksudnya) “dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah hiburan dan permainan; dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat itu)”. (al-‘Ankabut: 64).

Monday, 16 July 2012

Bicara malam...

Roda kehidupan sentiasa berpusing dengan pantas. Masa pula tanpa peduli meninggalkan semua kenangan. Tanpa sedar angka usia semakin meningkat, membawa kita ke daerah senja. Alam cergas dan serdas semakin jauh kita lewati ke belakang.

Musibah kesakitan adalah ruang masa untuk berfikir dan bermuhasabah. Kesakitan adalah isyarat rasa cinta Allah kepada manusia, andai kita memikirkannya dengan hikmah dan mata hati. Boleh jadi sedikit ujian kesakitan yang mencelah-mencelah di sebalik nikmat kesihatan yang panjang adalah pengikis karat-karat dosa yang menumpuk di dinding jiwa. Semoga ianya tidak dibalas di akhirat kelak kerana telah redha di dunia ini. Namun, tidak semua yang memandang begitu lantaran kekotoran hati dan pengaruh nafsu liar di dalam diri. Itulah kesan hati yang sedang tenat dengan kegelapan penyakit. Terhijab dari melihat kebenaran.

Firman Allah SWT: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah. Sesiapa yang beriman kepada-Nya, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar). Ingatlah, Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (at-Taghaabun: 11)

Kesakitan tidak semestinya berakhir dengan kematian. Kata alim ulama: “Jangan tertipu dengan usia yang muda kerana mati buka syarat tua, jangan tertipu dengan badan yang sihat kerana mati bukan syarat sakit. Mati apabila telah sampai ajal.” Namun saat ditimpa musibah kesakitan seolah-olah berada di serambi kematian. Bahkan ia benar-benar menginsafkan.

Oleh itu, ketika seseorang menderita ditimpa sakit, hendaklah selalu bertaubat dan memperbanyakkan istighfar. Memperbanyakkan mengingati Allah dan sentiasa memohon diampuni segala kesalahan yang lalu. Begitu juga hendaklah banyak bersabar dan berbaik sangka kepada Allah SWT.

Lebih malang lagi tatkala ditimpa kesusahan ataupun musibah kesakitan, kita bertindak melontar segala kebencian terhadap-Nya. Merasakan kesakitan itu sebagai penderaan kepada kita. Seolah-olah kita terlupa segala penyakit dan kesusahan itu semata-mata daripada-Nya.

Pada suatu hari Rasulullah saw yang menziarahi seorang pemuda yang sedang sakit dan baginda bertanya kepadanya: “Bagaimana perasaanmu?” Jawab pemuda itu: “Aku meletakkan sepenuh harapan kepada Tuhan-ku dan aku selalu cemas tentang dosa-dosaku.”

Maka bersabda Rasulullah saw: “Selama kedua sifat ini berkumpul dalam hati seorang Muslim, sedang ia dalam keadaan menghadapi maut, maka Allah akan mengabulkan semua yang diharapkan dan menyelamatkan dari semua yang ditakutinya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Insya-Allah, mudah-mudahan...

Thursday, 12 July 2012

Yakinlah duhai si Muslim!


Tidaklah dinamakan kehidupan andai tiada ujian.

Kehidupan seorang manusia pasti dilingkari dan dirintangi dengan pelbagai ujian dan dugaan. Janganlah sesekali berasa kecewa dan putus asa tatkala berhadapan dengannya. Bukankah ia hanya musim-musim yang berlalu dalam kehidupan kita? Maka, hadapilah ia dengan sepenuh keyakinan.

Yakin kerana kita memiliki syariat TERBAIK di muka bumi yang melengkapi aturan hidup. Yakin kerana kita memiliki kitab TERBAIK sebagai panduan sepanjang zaman. Yakin kerana Nabi dan Rasul akhir zaman yang di utuskan kepada kita adalah utusan TERBAIK yang menyelamatkan. Yakin bahawa kita adalah umat TERBAIK yang dijanjikan kemenangan. Justeru, mengapa kita tidak yakin untuk terus mendaki ke puncak impian? Bukankah kita memiliki impian TERBAIK di sisi Allah selaku Muslim yang benar-benar beramal untuk itu.

Tidak lain dan tidak bukan kita mengimpikan keredhaan-Nya yang melayakkan kita menjadi penghuni syurga-Nya yang tidak terjangkau luas itu.

Gapaikanlah...

Monday, 9 July 2012

Lagu Revolusi Jasmine Sham Syria - Yahya Hawwa

Lagu revolusi Syria dendangan Yahya Hawwa, seorang artis Syria yang turut serta dalam perjuangan membebaskan bumi Syria dari si durjana Bashar dan konco-konconya

video


Apakah Revolusi Jasmine: (Baca di sini)

Sunday, 8 July 2012

Karikatur dari Harian Metro, saya terlewat...

 
Tengok gambar dan baca artikel ini.

Sphinx adalah sebuah patung besar berbentuk separuh manusia, dan separuh singa yang terdapat di Mesir, di Dataran Giza, tepi barat Sungai Nil, sekarang dekat Kaherah. Ini adalah satu dari beberapa patung terbesar di dunia yang terbuat dari satu batu utuh, dan dipercayai telah dibangun oleh Mesir Kuno pada milenium ketiga SM.

Nama yang digunakan bagi masyarakat Mesir Kuno untuk menyebut patung ini sama sekali tidak diketahui. Nama "sphinx" yang biasa digunakan diambil dari nama makhluk mitologi Yunani dengan tubuh seekor singa, kepala seorang wanita, dan sayap seekor helang, walaupun patung sphinx Mesir memiliki kepala laki-laki.

Kata "sphinx" berasal dari bahasa Yunani (Sphinx, dari kata kerja sphingo) yang bererti mencekik, kerana sphinx dari mitologi Yunani mencekik orang yang tidak dapat menjawab pertanyaan teka-tekinya.

Bagi beberapa orang, dipercayai bahwa nama ini merupakan perubahan kata dari bahasa Mesir kuno Shesep-ankh, sebuah nama yang diberikan kepada patung bangsawan pada Dinasti Keempat. Pada tulisan-tulisan abad pertengahan, nama balhib dan bilhaw yang menunjuk pada Sphinx dipergunakan, termasuk oleh sejarawan Mesir Maqrizi, yang menyarankan penyusunan bahasa Koptik, tapi istilah Arab-Mesir Abul-Hôl, yang diartikan sebagai "Bapa Teror (Pengganas)," lebih banyak digunakan.

Sumber: Wikipedia

Yang ini pula

Lihat pula gambar di bawah ini. Hampir sama dengan yang di atas bukan? Bezanya ia adalah gambar karikatur seorang pelukis tempatan. Apa yang ada dalam fikiran anda?

Ini adalah gambar karikatur yang telah tersiar di dalam akhbar Harian Metro keluaran Sabtu, 7 Julai 2012. Jelasnya, ia adalah satu penghinaan yang amat keterlaluan.

Melukis dan menerbit lukisan seperti ini adalah sesuatu penghinaan kepada Islam! Dr Muhammad Morsi yang merupakan seorang hafiz al-Quran juga seorang Presiden Mesir yang dipilih secara sah oleh rakyat digambarkan seperti firaun. Manakala Bulan Bintang, lambang Islam diletak di atas piramid. Apakah layak kemenangan mereka yang berjihad memperjuangkan Islam digambarkan seperti ini, tatkala umat Islam mengharapkan sinar kegemilangan Islam.

Dr Muhammad Morsi seusai pengumuman keputusan, mengimami solat hajat dan sujud syukur sebagai tanda terima kasih kepada anugerah Allah SWT yang mahukan golongan aliran Islam mentadbir negara. Majlis angkat sumpah dilakukan dua kali, pertama di hadapan jutaan penyokong Presiden di Medan Tahrir dengan ungkapan yang serupa dilafazkan oleh Khalifah Abu Bakar as-Siddiq dan Amirul Mukminin Umar al-Khattab sebagai tanda takutnya beliau terhadap amanah yang diberikan rakyat kepadanya dengan izin Allah SWT.

Yang kedua di pejabat rasmi Presiden disaksikan individu-individu penting seperti wakil tentera dan pegawai tertinggi negara.

Beliau juga amat memelihara hubungan baik Mesir dengan Palestin dan berjanji untuk menjaga kepentingan rakyatnya. Beliau bercadang untuk membuka terowong dan pintu laluan masuk utama antara Mesir – Palestin di Rafah yang ditutup kepada semua kenderaan pada era pemerintahan diktator Mubarak.



Antara cadangannya yang lain adalah untuk membebaskan tahanan-tahanan yang masih merengkok di dalam penjara era pemerintahan Mubarak. Beliau akan mengkaji kesalahan mereka yang tidak disabitkan dengan bukti.

Begitu juga beliau mengusulkan untuk menaikkan elaun bagi pesara tentera dari 10 peratus kepada 15 peratus sebagai menghargai jasa-jasa mereka. Dan bagi rakyat jelata pula mereka yang mendapat bantuan subsidi 200 pound Mesir satu keluarga akan dinaikkan kepada 300 pound Mesir.

Itulah diantara kebajikan yang akan dilaksanakan oleh beliau. Tidak syak lagi beliau memang seorang yang menjaga kebajikan rakyat jelata.Tentunya sebagai orang Islam, kita juga merasa gembira dan berbangga dengan kemenangan Dr Muhammad Morsi dan kita menganggap ini adalah kemenangan yang telah dianugerahkan oleh Allah SWT.

Mengapa begini?

Tetapi lain pula apa yang berlaku di negaraku yang tercinta ini. Inikah cara akhbar Malaysia meraikan kemenangan pejuang Islam di Mesir? Tidakkah ada cara lain yang lebih sopan, yang tidak mengguris hati umat Islam.

Apa tujuan Harian Metro melukis gambar Morsi pada piramid yang terkenal sinonim dengan Firaun laknatullah itu, saya tidak tahu. Mungkin ia ada sebab yang tersendiri. Wallahua`lam.

Semoga isu yang sebegini tidak lagi berlaku di masa akan datang.

Saturday, 7 July 2012

Cubalah, anda tentu terpegun...


Jika ada yang bertanya...

Juzuk ke 5 di halaman berapa?

Juzuk ke 10 di halaman berapa?

Ahh.. tentu susah juga mahu menjawabnya kerana kita tidak menghafal mukasurat setiap permulaan juzuk. Lainlah jika anda telah menghafalnya, tentu ia tidak menjadi masalah.

Jadi, bagaimana? Susah juga nak mengingat setiap muka suratnya. Jangan bimbang, setiap masalah pasti ada penyelesaiannya.

Nah! Disini saya ingin berkongsi satu kaedah yang menakjubkan dari tuan guru saya, iaitu Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.  Jom, kita cuba.

Contoh 1:
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 5 di halaman ke berapa:
5-1 = 4, 4 perlu didarab dengan 2 jadi 4 x 2 = 8
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzuk 5 adalah pada halaman 82.
Sekarang lihat pada Quran dan anda akan lihat Juzuk 5 bermula pada halaman 82. Menarikkan?

Contoh 2:
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 10 di halaman ke berapa:
10-1 = 9, 9 perlu didarab dengan 2 jadi 9 x 2 = 18
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzuk 10 adalah pada halaman 182

Contoh 3:
Jika anda ingin mengetahui Juzuk 23 di halaman ke berapa:
23-1 = 22, 22 perlu didarab dengan 2 jadi 22 x 2 = 44
Letakkan no 2 selepas jawapan.
Jadi, juzuk 23 adalah pada halaman 442

Subhanallah, memang menakjubkankan sahabat semua. Sama-sama kita kongsikan kepada sahabat handai kita, adik-adik kita, keluarga kita dan suadara-saudara kita supaya sama-sama beroleh pahala…

Cubalah, anda tentu terpegun!

Friday, 6 July 2012

The Store buat promosi Carlsberg sempena Ramadhan

 Ramadhan sale: 22/6/12 - 8/7/12

PETALING JAYA: Langkah sebuah pasaraya di Sri Petaling membuat promosi arak Carlsberg dengan meletakkannya 'Ramadhan Sale' menyemarakkan darah umat Islam menjelang Ramadhan ini.

Iklan itu yang kemudiannya dimasukkan dalam facebook sekejap sahaja sudah menerima puluhan komen dari pengguna laman sosial itu.

Posting gambar iklan ini dibuat melalui facebok milik Lajnah Penerangan Dppsa (Dewan Pemuda PAS Shah Alam) dan beberapa pemilik lagi telah mendapat pelbagai reaksi dari orang ramai.

Ramai yang marah-marah namun ada juga yang agak rasional dengan berkata, mungkin ianya dibuat oleh orang Bukan Islam yang tidak faham.

Oleh itu, mereka yang terjumpa iklan sebegini sepatutnya terus membuat bantahan kepada pihak pengurusan pasaraya ini.

Iklan ini seumpama promosi daging babi panggang yang dibuat oleh akhbar MCA, The Star dalam bulan Ramadhan yang lalu.

The Star telah menerima amaran ekoran penyiaran itu.

Namun pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus juga memberi amaran apabila The Star membuat satu lagi kesilapan apabila menyiarkan tulisan dan gambar penyanyi Amerika, Erika Badu yang bertatu nama Allah di dadanya yang telanjang.

Sumber: Harakahdaily

Tuesday, 3 July 2012

Mesir, bantulah Palestin dengan anugerah kemenangan ini

Segenap pujian buat Allah SWT yang telah memilih Islam sebagai agama yang diredhai-Nya. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, yang telah bermandi keringat dan memercikkan darah sehingga alam ini dicoretkan dengan keindahan Islam, dan buat kaum keluarga, para sahabat serta orang-orang yang mengikuti jalannya sehingga hari akhirat.

Firman Allah SWT:

 الَّذِينَ إِن مَّكَّنَّاهُمْ فِي الْأَرْضِ أَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ وَأَمَرُوا بِالْمَعْرُوفِ وَنَهَوْا عَنِ الْمُنكَرِ وَلِلَّهِ عَاقِبَةُ الْأُمُورِ 
“(yaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan."(al-Hajj: 41) 

Kita telah pun menghampiri pertengahan bulan sya`ban, sesungguhnya Allah SWT dengan rahmatnya yang luas telah memilih bulan ini untuk menganugerahkan kegembiraan kepada seluruh umat Islam khususnya di Mesir dan umat Islam diseluruh dunia amnya. Berita gembira itu tidak lain ialah era baru yang terukir dalam sejarah politik dan pemerintahan Mesir.


 Buat pertama kalinya terlakar dalam sejarah, rakyat Mesir telah berjaya memilih seorang presiden yang dipilih terus oleh rakyat setelah berpuluh-puluh tahun di bawah pemerintahan diktator dan kuku besi. Calon yang terpilih adalah Dr Muhammad Morsi dari Freedom and Justice Party (FJP) parti politik tajaan Ikhwanul Muslimin Mesir.

Sejak penubuhan Republik Arab Mesir pada tahun 1953, Dr Muhammad Morsi adalah satu-satunya presiden yang dipilih melalui pilihanraya dan datang daripada kalangan rakyat awam. Sedangkan kesemua presiden republik sebelumnya daripada latar belakang pemerintah tentera dan bukan dipilih melalui pilihanraya yang telus.

Generasi Mesir hari ini telah dapat merasai manis buah yang telah disemai benihnya oleh pejuang-pejuang terdahulu. Betapa peritnya perjuangan mereka yang terdahulu seperti as-Syahid Imam Hasan al-Banna, as-Syahid Syed Qutb, as-Syahid Abdul Qader Awdah dan ramai lagi. Mereka telah digiring ke penjara pengap, diseksa dengan keras dan ada yang terbunuh syahid di tali gantung.

Marilah kita menzahirkan kegembiraan dengan bersujud syukur atas kurniaan ini. Sesungguhnya kemenangan ini bukan hanya kemenangan rakyat Mesir, bahkan kemenangan milik umat Islam di seluruh dunia. Walaupun kita berjauhan dipisahkan dengan sempadan negara, berbeza warna kulit, bahasa dan budaya, hakikatnya umat Islam adalah bersaudara. Mereka bersatu hati di bawah satu lafaz kalimah tauhid Asyhadu alla Ilaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadar Rasulullah.

Firman Allah SWT:

 إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ 
"Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." (al-Hujurat: 10) 

Mesir yang dungu (dahulu)

Mesir adalah negeri yang masyhur sejak zaman berzaman. Bumi ini pernah menjadi saksi pertembungan iman dan kufur, pertarungan di antara Nabi Musa dan Firaun yang mengaku sebagai tuhan. Ardul kinanah ini juga sekaligus menjadi jelapang makanan bagi benua Arab dengan Nil sebagai anugerah Tuhan. Benar, betapa sinonimnya Nil dengan Mesir sehingga disebut ungkapan ‘bagai Nil dengan Mesir’.

Mesir yang berpotensi dengan sumbangan kepada Islam sememangnya sentiasa diintai oleh penjajah Barat. Tidak pelik kerana Mesir amat diperlukan supaya regim Israel dapat bernafas dengan aman.

Presiden-presiden Mesir terdahulu seperti Jamal Abdel Nasser, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak mengambil pendekatan keras kepada gerakan Islam. Mereka rela diperalat oleh musuh Islam dan kuasa besar dunia. Bahkan sanggup berbaik dengan Israel serta menekan gerakan Islam.

Hosni Mubarak dikatakan bertindak zalim dengan membina tembok pemisah bagi menghalang sepanjang perjalanan antara Rafah dan Gaza. Para penunjuk perasaan dari kalangan ulama menyatakan pendirian mereka bahawa pembinaan tembok tersebut adalah haram di sisi agama, undang-undang manusia seolah-olah dengan sekatan itu membenarkan penceroboh Yahudi membantai warga Palestin.

Demikianlah kebobrokan pemerintah Mesir yang amat meledakkan rasa marah dan kebencian orang ramai. Sebab itulah saya menyebut MESIR YANG DUNGU kerana kedunguan pemerintahnya. Mujurlah ada Universiti al-Azhar yang menjadi kemuncak mercu tanda kehebatan ilmu, jika tidak entahlah apa atau bagaimana mahu dikatakan keburukan rupa Mesir itu.

Semoga kemenangan ini akan dapat merubah lanskap kehidupan rakyat Mesir yang telah sekian lama tertindas di bawah cengkaman diktator kuku besi yang berkiblatkan sekularisme. Namun, lebih dari itu saya amat mengharapkan satu lagi perubahan yang lebih besar dari kemenangan ini.

Tentunya pembebasan dan pengiktirafan negara umat Islam Palestin yang berdaulat...

Palestin, derita yang telah lama

Isu Palestin tidak pernah selesai. Namun, ia seakan-akan tertutup dari perhatian dunia, bahkan ia dilihat sebagai isu yang amat kecil. Ia terus terabai dan tercicir. Hanya orang beriman dan bertaqwa sahaja yang sentiasa memikirkan nasib dan pembebasannya.

Palestin seakan dilupakan. Bukan hanya pemimpin Mesir, malah pemimpin Arab yang lain seperti Syria, Arab Saudi, Libya, Kuwait tidak bertegas dalam isu Palestin kerana bimbangkan ancaman Amerika bahkan sebahagiaannya pula menjadi ‘barua atau boneka’ kepada negara yang didakwa sebagai polis dunia itu. Sedangkan Palestin saban hari diserang dan dibantai tanpa belas kasihan.

Palestin adalah sebahagian ujian Allah SWT ke atas umat nabi Muhammad saw. Dari tiga bumi suci-Nya itu, Allah memberi keamanan kepada Makkah dan Madinah tetapi tidak untuk Palestin. Demikianlah hikmah Ilahi yang mentaqdirkannya. Ia sentiasa berdarah, pergolakan yang berlaku seumpama tiada ruang kedamaian. Malahan disekelilingnya penuh dengan komplot dan konspirasi jahat yang mahu merampasnya.

Ia menjadi rebutan sepanjang zaman untuk umat tiga agama langit yang memiliki kita samawi masing-masing yang mendakwa sejarah pendudukan dan pemerintahan disitu.

Kata Salahuddin al-Ayubi: “Sesiapa yang menguasai Palestin, maka dia akan menguasai dunia.”

Amat benar sekali kata-kata ini. Roda zaman yang berpusing menentukan bahawa bangsa Yahudi telah berjaya merampas dan mendudukinya kini selepas perjuangan lama mereka untuk menguasainya semenjak ribuan tahun dahulu. Kerana itu bangsa Yahudi telah mengusai hampir keseluruhan aspek keperluan kehidupan manusia. Mereka menguasai kedudukan ekonomi, sukan, hiburan, ketenteraan, budaya pemikiran dan sebagainya.

Palestin ceritanya panjang dan akan memanjang sehingga hari kiamat. Bermula keamanan dunia adalah dengan amannya Palestin dan bermula kecelakaan dunia dengan celakanya keadaan dibumi Palestin. Begitulah Allah SWT menetapkan sunnah-Nya bahawa Palestin adalah ujian kehidupan manusiawi.

Mudah-mudahan kemenangan ini memberi sinar baru buat umat Islam di Palestin, saya harapkan!