Sahabat Sejati

Tuesday 19 June 2012

Hari yang memberi erti


Multaqa Guru Agama Indera Mahkota, itulah program yang perlu saya hadiri pada 16 Jun yang lalu. Saya tidak mengambil masa yang lama untuk menyatakan persetujuan setelah mendapati nama saya turut berada dalam senarai mereka yang mesti hadir. Memandangkan multaqa pada tahun lepas saya tidak dapat menghadirinya kerana terpaksa menyelesaikan urusan keluarga, jadi kali ini saya bertekad untuk tidak mahu tercicir daripada menyertainya.

Program yang akan diadakan di Dewan Sekolah Islam al-Irsyad ini bermula jam 9 pagi dan kertas kerjanya pula akan dibentangkan oleh dua ilmuan yang amat saya kagumi iaitu al-Fadhil Ustaz Mokhtar Senik dan al-Fadhil Ustaz Nafiri Toazi. Wahh, tentu berbaloi! Bahkan Ustaz Mokhtar adalah guru tafsir saya yang saya ikuti setiap kuliah pengajiannya.

Multaqa adalah dari ungkapan Arab yang membawa maksud pertemuan beberapa pihak. Contohnya anak-anak sungai yang bercantum di antara satu sama lain lalu menghasilkan satu sungai yang besar. Oleh itu, multaqa menggambarkan pertemuan beberapa pihak yang membentuk satu kumpulan besar dan menghasilkan percambahan pemikiran yang disertai oleh para ilmuan dan ulama'. Ia bagaikan kalimah keramat yang menggambarkan kematangan, keilmuan dan hikmah.

Pagi Sabtu, saya berkira-kira mahu turun awal pagi, tetapi disebabkan saya telah berjanji dengan tukang rumah yang mahu datang untuk berbincang mengenai kerja-kerja renovation rumah saya, menyebabkan saya terlewat sedikit untuk ke sana.

Lima belas minit hampir pukul sembilan, saya mula menyusuri aspal jalan. Alhamdulillah, Perjalanan cukup selesa dan teratur kerana tidak banyak kenderaan yang lalu lalang. Mudah-mudahan saya tidak terlalu lewat.

Bicara masa

Di sepanjang perjalanan menuju ke Sekolah Islam al-Irsyad, fikiran saya melayang mengingati tazkirah yang saya telah sampaikan pada pertemuan Pemuda Islam di Sekolah PASTI pada malam sebelumnya. Saya menghuraikan berkenaan ayat 1 dan 2 dari surah al-`Asr:

وَالْعَصْرِ * إِنَّ الْإِنسَانَ لَفِي خُسْرٍ
“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada di dalam kerugian.”

Dalam ayat pertama Allah SWT melafazkan kalimah sumpah iaitu ‘demi masa’ atau boleh juga diertikan dengan ‘demi waktu asar’.

Waktu asar, waktu petang hari seketika bayang-bayang badan sudah mulai lebih panjang daripada badan kita sendiri. Waktu asar adalah waktu yang hampir menuju waktu senja. Boleh kita umpamakan waktu asar seperti usia yang sedang menghampiri usia senja.

Maka jika dengan usia yang kian menghampiri usia senja, kita masih lagi berdegil, mematungkan diri dari menambah amal kebajikan maka kitalah yang akan menanggung kerugian buat selama-lamanya.

Antara nasihat Rasulullah SAW kepada umatnya:

"Tanda ALlah membenci seseorang hamba-Nya; ia akan sentiasa sibuk dengan perkara yang tiada kaitan dengan dirinya. Sesungguhnya sesaat umur yang pergi tanpa digunakan di dalam ibadah, pasti membuatkan manusia menyesal di kemudian hari. Sesiapa yang telah mencapai umur 40 tahun, sedangkan amalan kebaikannya terlalu sedikit dibandingkan dengan kejahatan yang dilakukannya, maka bersedialah untuk ke neraka."

Nasihat ini sudah cukup bagi mereka yang berakal dan mahu berfikir tentang kehidupan ini.

Kita yang sentiasa dalam kesibukan, terbuai dengan nikmat dan keseronokan dunia, kadang-kadang terlupa dengan anugerah masa yang diperolehi. Sesungguhnya masa akan terus bergerak dan terus bergerak, bahkan ia tidak akan pulang kembali setelah ia berlalu.

Apabila masa mengucapkan selamat tinggal, maka ia benar-benar memaksudkannya. Ia adalah ucapan selamat tinggal yang benar-benar hakiki. Walau sekaya manapun manusia, dia tidak akan dapat membeli kembali masa yang telah berlalu.

Kerugian masa ialah kerugian mutlak. Kerugian yang tidak mungkin digantirugi dan tidak mungkin dituntut kembali. Fikir sejenak, jika jam 9 hingga 10 pagi ialah waktu membaca lalu ditangguhkan dan dibiarkan waktu itu kosong sehingga ke jam 10, sebenarnya satu jam yang telah berlalu itu tidak terganti dengan sejam selepasnya. Walaupun kita benar-benar membaca bermula jam 10 dan selesai pada jam 11. Mungkin kita berfikir kita telah menggantikan sejam yang telah berlalu. Tetapi secara hakikatnya, jam 10 hingga jam 11 juga sememangnya telah ditetapkan untuk kita membaca. Ini bererti, di antara jam 9 hingga 10 adalah sejam yang berlalu kosong tanpa gantian! Kerana setiap waktu itu punya kerja yang mengisinya.

Maka awaslah, supaya kita tidak termasuk ke dalam golongan yang dikatakan benar-benar di dalam kerugian!

Program di al-Irsyad

Tanpa sedar, saya sudah tiba di Sekolah Islam a-Irsyad. Dua orang sahabat saya berada di pintu pagar menyambut para peserta yang hadir. Sejurus meletakkan kenderaan, saya menemui mereka berdua. Ingatkan saya sudah terlewat, rupa-rupanya penceramah juga belum sampai lagi.

“Enta tolong ganti ana tunggu penceramah, ana nak ke dewan, nak pastikan semuanya sudah siap.” Kata sahabat saya, Ustaz Zaki yang bertindak sebagai pengarah program.

“Ok, tak ada masalah.” balas saya sambil menunjukkan ibu jari ke atas.  Kami berbalas senyuman, kemesraan yang berputik di atas jalan dakwah.

Secara ringkasnya multaqa ini bertujuan membincangkan keterlibatan ilmuan Islam dalam meletakkan batu asas gerakan dakwah di negara kita, memberi motivasi kepada para pendakwah atau guru agama agar melibatkan diri dalam amal Islami, membuka ruang untuk berperanan walaupun dalam ruang yang mengongkong, mengenalpasti permasalahan yang dihadapi oleh guru agama dalam menyampaikan ilmu serta kerterlibatan atau peranan yang harus dimainkan oleh guru agama dalam masyarakat kerana guru agama adalah individu yang amat rapat dengan masyarakat.

Tiada individu yang paling senang mendekati masyarakat selain para guru agama atau ulama`. Kita boleh melihat, masyarakat sentiasa memerlukan guru agama. Mereka bersolat di belakang ulama`, bersila kukuh menadah telinga dengan tekun mendengar kuliah dan ilmu yang disampaikan oleh guru agama. Ternyata sebahagian besar urusan kehidupan masyarakat berurusan dengan guru agama atau ulama`. Kesempatan ini sewajarnya diambil oleh mereka yang bergelar guru agama untuk menyalurkan nasihat, bimbingan dan sebagainya.

Oleh itu, multaqa ini seharusnya dimanfaatkan oleh guru-guru agama untuk bermuhasabah, berbincang pelbagai perkara berkaitan pendidikan. Terlalu banyak isu-isu dalam Pendidikan Islam yang perlu diselesaikan. Ia juga satu medan untuk membincangkan masalah ribuan pelajar sekolah menengah yang tidak tahu membaca Al Quran, yang tidak solat dan terlibat dengan pelbagai masalah sosial yang kian membimbangkan hari ini.

Alhamdulillah, saya merasa cukup terisi hari ini.

Usai program, saya terus pulang rumah. Tiba di rumah sekitar jam 3 petang. Insya-Allah malam ini saya mahu ke Masjid Balok Makmur untuk mendengar kuliah al-Fadhil ustaz Azhar Idrus, ikon anak muda dan contoh pendakwah yang kreatif dalam menyampaikan ilmu. Banyak perkara yang saya boleh belajar daripadanyamengenai uslub dakwah yang berkesan.

Semoga Allah menerima amal kami semua di hujung minggu ini sebagai amal soleh yang diredhai-Nya, ameen.

0 comments:

Post a Comment