Sahabat Sejati

Thursday, 7 June 2012

Bersegera kepada keampunan-Nya


Abu Said al-Khudri ra berkata, Rasulullah saw bersabda:

“Ada seorang yang masuk syurga tanpa amal kebaikan, hanya ketika ia akan mati, berpesanlah ia kepada keluarganya: “Jika saya meninggal dunia, bakarlah mayatku dan tumbuklah tulang-tulangku sampai halus, kemudian abunya taburlah separuh di darat dan separuh di laut.” Maka ketika mati, dilaksanakan wasiatnya. Maka Allah menyuruh darat dan laut supaya mengumpulkan abunya. Kemudian ketika ditanya: “Mengapa kamu berbuat demikian itu?” Jawabnya: “Kerana aku takut kepada-Mu Tuhan.” Maka Allah mengampunkan baginya kerana takutnya kepada Tuhan itu.”

Allah...

Alangkah ngerinya. Namun disebalik itu terselit rasa takjub kekaguman, betapa hebatnya doa ini. tetapi balasan yang diterima amat berbaloi, walaupun dia tidak pernah melakukan sebarang kebaikan.

Hari ini, ramai orang yang tidak takut melakukan dosa. Buktinya, lihat senario yang berlaku. Betapa perlakuan jenayah yang berleluasa mengundang seribu kerisauan. Bunuh, rogol, samun, rompak, judi, rasuah, anak-anak muda merempit, terlibat dalam penyalahgunaan dadah, menjadi keldai dadah dan sebagainya.

Malahan apa yang berlaku hari ini di luar jangkauan pemikiran kita. Sesuatu yang tidak pernah terfikir oleh akal kita. Bapa merogol anak kandung, anak pula memukul ibu bapa, malah ada yang sampai tahap meragut nyawa, suami main kayu tiga, isteri curang, hubungan kelamin sejenis dan banyak lagi.

Ada pula yang bukan sahaja tidak takut melakukan maksiat, malahan tidak malu atau segan melakukannya, mereka senang dengan palitan dosa. Mereka tidak bimbang kejahatannya diketahui orang lain. Bahkan ada yang berbangga dengan kejahatannya dan menayangkan dosa yang dilakukan. Bagi golongan ini dosa yang dilakukan seumpama lalat yang hinggap di atas hidung sahaja, ditepis, hinggap lagi lalu ditepis lagi. Sedangkan para sahabat terdahulu apabila mereka melakukan dosa, mereka merasakan seolah-olah Gunung Uhud mahu menghempap kepala mereka. Betapa jauhnya rasa prihatin antara mereka dengan kita.

Mengapa ini berlaku?

Apakah masyarakat hari ini telah dihinggapi penyakit keliru dalam pemikiran, sehingga tidak dapat berfikir dengan waras? Perbuatan yang baik dilihat tidak baik. Manakala maksiat dan dosa bagai tiada apa-apa, hanya sesuatu yang biasa-biasa sahaja.

Dosa pasti mengundang resah

Kejahatan mengundang dosa, sedangkan dosa adalah satu kejahatan. Apakah dosa? Dosa adalah getaran dalam jiwa dan takut perbuatannya dilihat atau diketahui orang lain.

“Daripada al-Nawwas bin Sam`aan ra, Rasulullah saw telah bersabda: “Kebajikan itu pada keelokan akhlaq. Manakala dosa kejahatan pula adalah pada apa yang mendatangkan resah pada dirimu, dan engkau tidak suka manusia lain melihat dan mengetahuinya.” (Riwayat Muslim)

Inilah panduan Rasulullah saw. Cukup mudah. Jika sesuatu yang kita mahu lakukan itu mendatangkan resah kepada diri, dan kita tidak mahu orang lain mengetahuinya. Insya-Allah, DOSA jua namanya perbuatan itu.

Sesungguhnya perkara dosa bukanlah suatu hal yang boleh dipandang ringan atau acuh tak acuh. Sebaliknya memerlukan kita sentiasa berwaspada dalam setiap tindak-tanduk, maka awaslah dalam gerak laku dan tutur bicara. Jangan sampai apa yang dilakukan menjadi dosa dan maksiat yang akan menempah azab Allah di akhirat.

Jalan kebaikan terlalu banyak. Maka isilah seluruh masa kehidupan dunia yang singkat ini untuk berbuat kebaikan sebanyak mungkin sebelum ajal menjengah. Janganlah sesekali merasa aman kerana terlepas hukuman di dunia lantaran berbuat dosa, kerana hukuman itu tetap menanti dan akan diterimanya di akhirat kelak.


Marilah kita menginsafi kehidupan ini. Segeralah bertaubat dan memohon keampunan-Nya setiap masa dan ketika. Mudah-mudahan pada hari kebangkitan nanti kita akan bertemu-Nya dengan membawa sekeping hati yang hening dan sejahtera. Seterusnya diperintahkan memasuki syurga-Nya yang dirindui itu.

وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُواْ فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُواْ أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُواْ اللّهَ فَاسْتَغْفَرُواْ لِذُنُوبِهِمْ وَمَن يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ اللّهُ وَلَمْ يُصِرُّواْ عَلَى مَا فَعَلُواْ وَهُمْ يَعْلَمُونَ أُوْلَـئِكَ جَزَآؤُهُم مَّغْفِرَةٌ مِّن رَّبِّهِمْ وَجَنَّاتٌ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا وَنِعْمَ أَجْرُ الْعَامِلِينَ 
“Dan orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah lalu memohon ampun atas dosa mereka dan siapakah lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah? Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu sedang mereka mengetahui. Balasan bagi mereka ialah ampunan Allah dan syurga yang mengalir di dalamnya sungai dan itulah sebaik-baik pahala bagi orang yang beramal.” (Ali Imran: 135-136).

0 comments:

Post a Comment