Sahabat Sejati

Thursday, 12 April 2012

Usaha dan tawakkal...


“Tetap berusaha, tidak kenal erti putus asa. Tetap berdoa, penuh harap kurnia-Nya. Bersikap tenang, menerima kenyataan yang ada. Berlapang dada, tanpa mengungkit-ungkit kesilapan yang berlaku...”

Dalam benar kata-kata ini.

Siang dan malam silih berganti. Selepas siang berakhir, malam pula mengengsot tiba. Tatkala malam berundur pergi, siang pula memunculkan diri. Begitulah seterusnya tanpa perlu kita bertanya apakah siang akan hadir selepas malam berlalu.

Sama jua dalam kehidupan ini, suka dan duka, tangis dan tawa, seringkali ia silih berganti. Menjamah dan menyapa sesiapa sahaja. Orang miskin atau kaya, orang tua atau muda. Bilamana ia bergelar manusia pasti ianya akan merasainya. Tiada orang yang gembira setiap waktu dan tiada juga yang kesedihan tiap ketika. Inilah yang dinamakan irama kehidupan.

Apa jua nasib kita, haruslah ia dihadapi dengan sabar dan tawakkal kepada-Nya. Apakah tawakkal?

Menyerah...

Pasrah...

Berserah...

Mungkin ada yang memahaminya dengan makna yang begitu.

Tawakkal bukanlah duduk bersahaja sambil menupang dagu ke lutut. Tawakkal bukan seperti rerumput yang bergoyang apabila disentuh angin atau diam tidak bergerak setelah angin berlalu. Tidak juga tunduk kelesuan dipijak oleh lembu dan kerbau. Bukan begitu.

Tawakkal adalah menetapkan hati kepada Allah atas segala apa yang berlaku. Kita percaya dan yakin dengan sebenar-benarnya bahawa hanya Dia yang berkuasa memberi manfaat dam memberi mudharat. Kita juga yakin dengan sebenar-benarnya Dia yang mentadbir dan mengatur setiap kejadian.

Namun, berserah kepada Allah perlulah disertai dengan ikhtiar dan usaha. Bukankah Allah SWT menjadikan sesuatu itu dengan sebab-sebab yang ada. Contohnya, pandai dengan belajar, kenyang dengan makan, mahu anak dengan berkahwin dan sebagainya.

Dalam Dalilul Falihin dinukilkan perkataan Imam Qusyairi yang bermaksud, “Ketahuilah tempat bagi tawakal ialah di hati. Adapun pergerakan zahir (iaitu usaha), ia tidak membatalkan tawakal yang di hati kerana si hamba telah meyakini bahawa apa yang akan berlaku adalah mengikut ketetapan Allah. Jika dipermudahkan usahanya maka ia berlaku dengan kehendak Allah demikianlah juga sebaliknya.”

 Rasulullah saw pernah menegur seorang arab badwi yang membiarkan untanya merayau-rayau dengan berkata, “Ikatlah ia dan kemudian hendaklah kamu bertawakal.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi. Demikian juga dalam aspek pengubatan. Apabila kita mendapat sakit kita disuruh berubat. Berhubung dengan ini Imam Tirmizi dan Ibn Majah meriwayatkan sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “Berubatlah wahai hamba Allah. Sesungguhnya Allah telah menjadikan penyakit dan ubat.”


Imam Al-Ghazali telah merumuskan konsep ini dalam kitab Ihya Ulumuddin dengan berkata, “Tidaklah mengurangkan tawakal dengan mengunci rumah ketika keluar dari rumah atau ketika menambat unta (kenderaan), kerana kesemua ini dikenali sebagai sunnah Allah.”

Justeru, adalah satu kesilapan jika kita menganggap tawakkal adalah berserah dan pasrah. Lalu kita menafikan usaha sedangkan usaha itu juga adalah suruhan Allah SWT. Maka berusaha dan tawakkallah.

Sesungguhnya ia dapat melahirkan ketenangan dan berlapang dada. Sifat yang mampu menilai dan mengukur kelebihan dan ketabahan diri. Sedangkan ianya amat sulit untuk dimiliki dan dirasai. 

Terlalu sulit...

4 comments:

||aLeaSaRa|| said...

slm pagi shabat ye saudara abu ikhwan mmg sahabat dunia maya saya yg sgt baik.saya mmg tgh kusut ni..sggh sini baca entri byk yg menyedarkan saya erti khdpn yg sebenar.dari satu entri ke satu entri ada yg buat saya nk nangis,ada yg buat saya kuat semula dan tersenyum.

saya tau Allah sygkan saya itu sbb banyak diuji.bulan lepas saya bermimpi didatangi lelaki berjubah dan berkopiah,tersenyum tenang memandang saya.saya lgsg tak kenal siapakah dia.

tapi bila tersedar,saya rasa itu satu teguran utk saya tidak meninggalkan al-quran.saya akui kdg2 kesibukan mencari rzki memaksa saya nak baca cepat2 je segala surah..mmg saya silap besar :(

alhamdulillah saya harap saudara x jemu2 kgsikan buku2 dan entri yg bagus utk kami semua.hari tu pun saya xda rzki utk hadir ke ceramah agama ustaz azhar sebab ibu dan ayah lebih saya pentingkan,kerana mereka memerlukan pertolongan saya masa itu.sedih tapi xpalah mgkn ada rzki saya lain kali utk hadir ceramah agama :)

abuikhwan said...

Semoga sahabat sentiasa tabah dalam mengharungi perjalanan hidup...
Teringat pesanan murabbi ketika zaman belajar dahulu "Jgn tiada masa dengan Allah, nanti Allah tiada masa dengan kita..."
Mudah2an rahmat-Nya sentiasa bersama kita semua!

suhanaazman88 said...
This comment has been removed by the author.
suhanaazman88 said...

Laa ilahaillallah Muhammadurrasulullah.
ﺍﻟﻠَّﻬُـﻢّ ﺻَــــــﻞٌ ﻋﻠَﮯَ ﻣُﺤﻤَّــــــــﺪْ ﻭ ﻋﻠَﮯَ ﺁﻝ ﻣُﺤﻤَّــــــــﺪْ▬ Banyakkan berzikir di kala susah dan senang.

Post a Comment