Sahabat Sejati

Tuesday 17 April 2012

Hati yang sejahtera, carilah ia...

Menghitung bilah-bilah hari menuju usia tua adalah satu keinsafan. Helaian demi helaian amalan dicatatkan untuk dinilai pada hari yang telah dijanjikan. Bertemulah pada hari yang dikatakan tiada berguna lagi harta dan anak-anak.


Setiap dari kita telah pun mengetahui bahawa kita akan kembali kepada-Nya hanyalah dengan balutan kain putih. Segala-galanya ditinggalkan, harta, pangkat, keluarga, sahabat-handai dan sebagainya, yang turut menemani hanyalah sekeping hati yang sejahtera dan merasa benar-benar gembira untuk bertemu dengan Tuhan-Nya.

Firman Allah SWT: “Hari yang tidak memberi manfaat harta dan anak-anak. Melainkan orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang sejahtera.” (asy-Syuaraa`: 88-89) 
 
Ulama tafsir dalam menghuraikan tentang pengertian atau sifat yang terkandung dalam hati yang sejahtera ialah hati yang menyerah kepada Allah SWT. Hati yang sentiasa tunduk dan patuh kepada kehendak-Nya. Apabila hati itu cenderung kepada kehendak Allah, maka dengan sendirinya ia terpelihara dari perkara-perkara yang keji dan mungkar.

Amat beruntung sesiapa yang memiliki hati yang sejahtera. Yang dimaksudkan dengan keuntungan ialah kebahagiaan di dunia iaitu dijauhkan dari sifat resah gelisah, sentiasa bertenang dan berlapang dada ketika ditimpa kesusahan. Manakala keuntungan di akhirat ialah dimasukkan ke dalam syurga Allah SWT yang diidam-idamkan.

Mencapai darjat hati yang sejahtera adalah terlalu sukar, sesukar perjalanan yang dirintis untuk mencarinya. Mengapa ianya begitu sukar? Sesungguhnya hati itu amat berbolak-balik sifatnya. Seketika ia melonjak sifat benar di dalam diri, kemudian ia boleh menjunam lantas menidakkan kebenaran yang telah ditunjangi keimanan.

Peperangan dan perjuangan dalam diri untuk memelihara hati telah lama bermula, sejak kita menginjak usia kematangan. Sememangnya ia satu perjuangan dalam kehidupan, tiada jalan pintas untuknya. Betapa sukarnya kerana ia menuntut kesabaran dan istiqamah yang tinggi.

Masa yang berlalu 

Semua kita semakin dimamah usia, kita semakin tua. Tidak hanya saya dan anda, malahan semua orang akan melalui saat itu sekiranya belum ajal di usia muda. Kita yang sentiasa di dalam kesibukan nikmat dan seronok dunia kadang-kadang terlupa hakikat tersebut.

Sesungguhnya masa akan terus bergerak dan ia tidak akan pulang kembali setelah ia berlalu. Ingatlah pesanan junjungan besar Rasulullah saw: "Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Pertama: masa sihat sebelum sakit. Kedua: masa kaya sebelum datangnya masa sempit (miskin). Ketiga: masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Keempat masa mudamu sebelum datang masa tua dan kelima masa hidup sebelum tiba masa mati." (Riwayat al-Hakim dan al-Baihaqi).

Justeru, demi memperolehi keselamatan hidup dunia dan akhirat, marilah kita mengambil peringatan terhadap saranan Rasulullah saw yang amat penting seperti yang tersebut di dalam hadis di atas.

Marilah kita bersungguh-sungguh mengisi kehidupan ini dengan segenap kebaikan, agar ketika bertemu Allah SWT nanti tiada kesedihan dan kebimbangan kerana telah membawa sekeping hati yang hening lagi sejahtera.

Sesungguhnya hati yang sejahtera adalah tuaian yang ditawarkan oleh Allah SWT buat para hamba-Nya yang meyakini pertemuan dengan-Nya. Maka janganlah kita kempunan untuk memilikinya...

Ayuh! Bersama saya mendaki puncak kebahagiaan.

Demi sekeping hati yang sejahtera, Insya-Allah.

2 comments:

Rintihan HambaMu said...

Allah..rsa betul2 smngt nak mendaki puncak kebahagiaan..jzkk tas kesedarannya.

abuikhwan said...

Mudah-mudahan tidak luntur semangatnya...I-Allah

Post a Comment