Sahabat Sejati

Monday 6 February 2012

Sesekali ia menjengah, terima kasih Tuhan...


Ujian yang datang tidak diduga. Seumpama kita melihat hari yang cerah, tanpa disangka mendung menyelubungi membawa hujan. Begitu juga hari yang gelap bergumpal awan hitam, tiba-tiba hujan tidak turun. Siapalah kita untuk meneka taqdir yang tersurat. Kita hanya menerima, redha atau sebaliknya.

Hari ini benar-benar satu ujian. Seharian, ada sahaja peristiwa yang tidak enak untuk dikenang. Bertalu-talu, belum mampu menghadapi ujian pertama datang pula ujian kedua. Letih, penat dan lemas. Kekabutan dan kecelaruan yang memenuhi rongga hati, hampir-hampir hilang kesabaran. Ahh... iman di dada tipisnya lebih dari kulit bawang.

Saya mencari teman-teman rapat untuk meluah perasaan. Namun, semuanya tidak dapat membantu. Saya mencari dan terus mencari. Apa yang ada, kosong dan hampa, lemah dan longlai.

Saya terasa seperti kehilangan sesuatu, tiba-tiba timbul pula perasaan rindu yang mendalam dan mencengkam. Hati benar-benar terusik. Saya cuba bertanya kepada diri, apakah aku ini kehilangan sesuatu? Tidak! Siapa yang dirindui sebenarnya? Entahlah! Saya jadi tidak menentu, sulitnya jawapan yang dicari.

Teman-teman sudah tidak dapat membantu...

Saya pasrah, saya akur...

Tiba-tiba lembut terngiang suara hati menjengah: “Mungkin kamu sudah lama tidak merintih dan menangis kerinduan kepada-Nya. Mungkin juga DIA rindu untuk mendengar rintihan hati kamu, maka diberikan ujian kepada kamu. Dengan ujian kamu akan segera ingat kepada-Nya, kamu akan merasa lemah dan kerdilnya diri. Sebab itu anggaplah ujian itu sebagai ‘jemputan’ DIA kepada kamu untuk bertemu dengan-Nya. Itulah rahmat disebalik ujian.”

Benarlah sudah lama saya tidak merintih dan menitiskan air mata kerinduan. Mungkin kerana dek kesibukan dengan urusan dunia, atau mungkin merasakan diri telah cukup sempurna??? Astaghfirullah...

Akhirnya saya merasakan bahawa DIA mahu saya mengadu dan bergantung harap hanya kepada-Nya. Saya segera insaf, lalu saya berwudhuk dan bersolat dua rakaat. Saya bermunajat memohon keampunan-Nya, menyelami perasaan hati. Merintih dan merayu kepada-Nya, biarlah malam yang indah ini menjadi milik saya dan DIA.

Sejenak saya merenung firman-Nya:

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (sahaja) mengatakan "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?" (al-Ankabut: 2)

Seketika saya merasa tertampar oleh diri sendiri. Seringkali saya mengatakan saya beriman, dan jika dikatakan “kamu tidak beriman” pasti saya akan merasa marah. Hakikatnya ujian itu adalah tapisan kepada iman saya.

Benar, sesekali ujian itu menjengah untuk mengetahui apakah benar kita telah beriman dengan sesungguhnya ataupun sekadar mainan kata di bibir semata.

Saya segera insaf. Ujian adalah kasih sayang-Nya.

Terima kasih Tuhan...

1 comments:

||aLeaSaRa|| said...

salam maulidur rasul kepada sahabat abu ikhwan.owh setiap dugaan yg tiba2 dtg menjengah itu sedikit amaran ringan....menunjukkan yg kita sebagai hamba-NYA sudah lama tak bertafakur,tak basahi sejadah dgn tangisan kerinduan dan keinsafan terhadap pencipta dunia semesta iaitu ALLAH S.W.T

saya juga hari ni dihujani dugaan demi dugaan tapi dgn adanya blog,saya dpt lupakan seketika kesedihan di dunia realiti.di blog saya seakan bebas di dunia yg penuh dgn perkongsian cerita...

pernah beberapa kawan baik di office mahupun di blog bertanya,saya ni tak pernah sedih,ke?sbb jarang saya nak kgsikan hal peribadi di blog seperti mak2 dan isteri2 yg lain.bagi saya biarlah saya bahagia di blog,saya bebas mencari ilmu,saya bebas menulis,saya bebas bersuara dgn syarat tidak menyentuh agama dan kaum.

semoga sahabat abu ikhwan peroleh kembali ketenangan dan teruskan berkongsi ilmu di sini ye ^*

Post a Comment