Sahabat Sejati

Tuesday 14 February 2012

Memang begitu jalannya...


Sekuntum mawar merah sebuah puisi
Untuk gadis pilihan ohh...
Di bulan Februari
Mulanya cinta bersemi dan kehadiran
Ribuan mimpi-mimpi ohh...
Di bulan Februari

Kemesraanmu dan cintaku
Berlagu dalam irama nan syahdu
Tapi mengapa hanya sementara
Cinta yang menyala padam tiba-tiba...

Lagu sekuntum mawar merah sebuah puisi dendangan Alleycats, cukup syahdu dan romantis. Mawar merah dan sekeping kertas yang tertuang bait-bait puisi, menjadi manifestasi cinta sepasang kekasih.

Namun, kemesraan dan cinta pasangan kekasih ini tidak kekal, ibarat kata pujangga "ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengahari." Lalu berpisahlah mereka, entahlah mungkin dah dapat apa yang dicita, lalu kekasih ditinggalkan. Inilah namanya cinta kerana nafsu...

Tetapi saya tidak pasti apakah lagu ini ada kaitan dengan hari kekasih atau pun tidak.

Misi dakwah ‘hari kekasih’

Teringat kata-kata sang murabbi...

"90% manusia berfikir dan bertindak menjual barangan dan perkhidmatan mereka kepada orang muda.
10% manusia berfikir tentang cara untuk menyelamatkan mereka.
Segelintir manusia, memindahkan fikiran itu kepada tindakan."

Alhamdulillah. Misi dakwah malam sambutan hari kekasih semalam telah dijayakan dengan lancarnya. Tiada perkara-perkara buruk yang berlaku, jika adapun sekadar kata-kata sindirin dengan pandangan sinis yang sudah biasa dialami tatkala terlibat dalam misi dakwah.

Kami bukan bermaksud mahu memarahi, jauh sekali menangkap mereka , tetapi dengan bermanis muka sambil menyampaikan kata-kata nasihat serta menghulur risalah dakwah kepada mereka.

Memang sebelum itu kami telah diberi taklimat agar membuka kopiah, bermanis muka, jangan mengelilingi mereka sehingga menyebabkan mereka berasa tidak selesa serta sampaikan nasihat dengan cara yang lembut.

Walaupun ada kata-kata yang kurang enak di dengar, disamping beberapa perlakuan yang kurang menyenangkan, namun inilah realiti dakwah yang harus dihadapi. Jalan dakwah bukan sesuatu yang mudah seumpama menyebutnya, bukan jalan yang dipacakkan bunga manggar di kiri kanan jalan. Bukan juga jalan yang dihamparkan karpet merah disepanjang langkah. Bahkan diejek, disindir, dijadikan bahan ketawa adalah perkara biasa seumpama makanan harian dalam mengenal erti dakwah.

يَا بُنَيَّ أَقِمِ الصَّلَاةَ وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
“Wahai anak kesayanganku, dirikanlah solat, dan suruhlah berbuat kebaikan, serta laranglah daripada melakukan perbuatan yang mungkar, dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang amat besar dan penting untuk dilakukan.” (Luqman: 17)

Oleh itu, jangan sekali-kali berputus asa, malah jangan kecewa dan berasa lemah tidak berupaya. Setiap kali kita bercakap seruan dakwah, cakap itu sebenarnya sampai. Biar pun ia disambut dengan ejekan dan caci makian, percayalah ia sudah pun tembus ke telinga, mata, otak dan hatinya. Mungkin ianya diremehkan pada hari ini. Namun akan sampai harinya, mutiara pemberian itu dikutipnya sebagai bekal menuju perubahan. Suatu hari nanti mereka akan mengerti jua.

Berlapang dadalah di medan dakwah.

Memang begitu jalannya.

Kita bukan memaksa perubahan, tetapi sebagai penyampai pesan.

فَذَكِّرْ إِنَّمَا أَنتَ مُذَكِّرٌ لَّسْتَ عَلَيْهِم بِمُصَيْطِرٍ
“Oleh itu berikanlah sahaja peringatan kepada manusia, dan janganlah berdukacita kiranya ada yang menolaknya, kerana sesungguhnya engkau hanyalah seorang pemberi ingatan; Bukanlah engkau seorang yang berkuasa memaksa mereka (menerima ajaran Islam yang engkau sampaikan itu).” (al-Ghasyiah: 21-22)


Bersama risalah misi dakwah sambutan hari kekasih

1 comments:

Ckin Kembaq said...

alhamdulillah..moga istiqamah dalm mlksanakan amar makruf nahi munkar naa. ^_^

Post a Comment