Sahabat Sejati

Tuesday 7 February 2012

Bicara santai: Dikhianati, apa rasanya...maafkanlah

Pada zaman dahulu kala, ada dua sahabat baik iaitu burung merak dan burung gagak. Merak dan gagak hanya mempunyai bulu yang sama iaitu berwarna putih. Kedua-dua sahabat baik ini sering bersama walau ke mana sahaja.

Satu hari mereka terlihat pelangi di sebalik bukit.

“Wah, cantiknya pelangi tu! Alangkah seronoknya jika aku cantik macam tu,” kata burung merak.

“Betul, memang cantik,” sahut si gagak pula.

Tiba-tiba burung merak mendapat satu akal.

“Apa kata kita warnakan bulu kita macam pelangi tu, tentu cantik,” kata burung merak.

“Hmm...bagus juga cadangan kamu tu,” kata gagak memberi persetujuan.

“Baiklah. Kalau begitu, apa kata kamu warnakan dulu bulu saya, kemudian saya warnakan pula bulu kamu,” kata burung merak. Gagak pun mewarnakan sahabat karibnya. Alangkah gembiranya merak setelah melihat dirinya.

“Wahh...aku dah cantik,” kata merak dengan gembira.

“Baiklah merak, sekarang giliran kamu pula mewarnakan bulu saya,” kata gagak.

Tiba-tiba timbul di fikiran merak, “kalau aku warnakan dia cantik-cantik, tentu ramai yang akan suka kepada gagak. Kalau macam tu, tak boleh jadi...”

Merak pun mewarnakan gagak dengan warna hitam. Lalu menangislah gagak apabila melihat keadaan dirinya. Akhirnya mereka bergaduh dan tidak bertegur sapa.

Kisah ini hanyalah kisah rekaan semata-mata. Saya yakin kisah ini direka hasil pemerhatian dua sifat yang berlawanan, satu dengan bulu yang cantik berwarna-warni dan satu lagi yang tampak memang tidak menarik dengan bulu yang hitam legam. Saya merasakan jika si merak serta sang gagak mengetahui cerita ini, pasti saya akan dimarahi.

Muliakah si merak dengan bulu yang berwarna-warni, manakala hina sangatkah gagak yang hitam legam itu? Itulah yang sering terjadi, cantik dan hodoh menjadi perbandingan. Seakan ada pemisah antara keduanya, sedangkan tiada istilah cantik dan hodoh di sisi Allah SWT. Kita sering terlupa, Allah SWT tidak melihat rupa paras, tetapi nilai ketaqwaan yang menjadi ukurannya.

Kata seorang sahabat: “Cantik atau hodoh, semuanya ciptaan Allah. Siapalah kita untuk menilai dan menghinanya.”

Ambil pengajaran

Dikhianati???

Namun dari kisah ini mari kita ambil satu lagi pengajaran, kita berfikir sejenak tentang apa yang berlaku di sekeliling kita.

Benar, di antaranya sifat khianat!

Betapa sakitnya apabila dikhianati. Bukan hanya khianat kepada fizikal, malah lebih sakit lagi khianat kepada jiwa dan perasaan. Memang tidak tertanggung sakitnya. Bayangkan, jika orang yang di sayangi dan dikasihi, malah orang yang dipercayai, tiba-tiba mengkhianati kita. Bagai dihempuk batu yang besar lagaknya, kita menanar tidak menyangka.

Buruknya sifat khianat, hubungan yang baik boleh menjadi renggang, hatta adik-beradik sendiri sekalipun.

Sifat khianat adalah termasuk budi pekerti yang buruk dan dibenci, ia umpama racun yang boleh membunuh jiwa. Ia menjelaskan kerendahan sifat manusia yang menjauhkan seseorang dengan yang lain, dan lebih malang lagi ia menjauhkan seseorang dari sisi Allah SWT.

Orang yang khianat adalah orang yang terang-terangan melakukan kezaliman. Mereka menzalimi orang lain, mereka mencabuli hak orang lain. Kezaliman mengundang kemurkaan Allah SWT dan orang yang zalim sekali-kali tidak akan mendapat petunjuk-Nya. Bahkan ianya memungkinkan pintu yang terbuka untuk memasuki neraka Allah SWT yang menyala-nyala apinya andai tidak memohon keampunan dari mereka yang telah dikhianati dan bertaubat kepada-Nya.

Anda pernah dikhianati?

Apakah tindakan anda seterusnya? Membalas kembali pengkhianatannya? Ya, anda berhak untuk membalasnya. Namun, cuba perhatikan firman Allah SWT ini:

وَجَزَاء سَيِّئَةٍ سَيِّئَةٌ مِّثْلُهَا فَمَنْ عَفَا وَأَصْلَحَ فَأَجْرُهُ عَلَى اللَّهِ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الظَّالِمِينَ
وَلَمَنِ انتَصَرَ بَعْدَ ظُلْمِهِ فَأُوْلَئِكَ مَا عَلَيْهِم مِّن سَبِيلٍ
إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَظْلِمُونَ النَّاسَ وَيَبْغُونَ فِي الْأَرْضِ بِغَيْرِ الْحَقِّ أُوْلَئِكَ لَهُم عَذَابٌ أَلِيمٌ
وَلَمَن صَبَرَ وَغَفَرَ إِنَّ ذَلِكَ لَمِنْ عَزْمِ الْأُمُورِ
“Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim. Dan sesungguhnya orang-orang yang membela diri sesudah teraniaya, tidak ada satu dosa pun terhadap mereka. Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih. Tetapi orang yang bersabar dan memaafkan, sesungguhnya (perbuatan ) yang demikian itu termasuk hal-hal yang diutamakan. ” (asy-Syuura: 40–43)

Tentu susahkan untuk memaafkannya. Jika terkena pada saya mungkin juga saya akan berfikir dua kali. Mungkin juga saya akan membalasnya sekiranya diberi peluang. Tetapi inilah yang disebut oleh Allah SWT, bersabar dan memaafkan adalah yang terbaik.

Jika kita mengerti, sesungguhnya Allah SWT ingin memberi kita pahala yang amat besar. Lihatlah pertama kita dikhianati, kemudian kita bersabar dengan tidak membalasnya dan akhirnya kita boleh pula memaafkannya seterusnya melupakan perbuatan khianat itu. Berapa banyak pahala yang diperolehi jika lulus dengan ujian tersebut.

Betapa besarnya jiwa mereka yang boleh melakukan demikian. Marilah kita mengambil contoh perbuatan khianat pemuka-pemuka kafir Quraisy ke atas Nabi Muhammad saw, namun demikian baginda mampu memaafkannya yang menyebabkan mereka tertarik dengan akhlaq yang ditunjukkan oleh baginda. Akhirnya mereka bersyahadah memeluk agama Islam. Kisah-kisah sebegini banyak terdapat di dalam sirah baginda.

Justeru, marilah kita mengambil contoh ikutan yang ditunjukkan oleh junjungan besar Nabi SAW dalam segala hal kehidupan. Lebih-lebih lagi bersempena dengan Maulidur Rasul yang masih hangat lagi sambutannya.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَيْسَ الشَّدِيدُ بِالصُّرَعَةِ ، إِنَّمَا الشَّدِيدُ الَّذِى يَمْلِكُ نَفْسَهُ عِنْدَ الْغَضَبِ
Bukanlah orang yang kuat itu dengan bergusti, tetapi orang yang kuat itu ialah orang yang mengawal diri mereka ketika marah. (al-Bukhari, al-Jami’ al-Sahih al-Mukhtasar, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, jil. 5, hlm. 2267, no. hadith: 5763)

Anda mampu mengubahnya!

Anda dikhianati? Jangan bersedih...maafkanlah

3 comments:

Ckin Kembaq said...

penah..penah... =_= tapi perasaan tu sekejap je...tak lama..cuma jika diingat kembali, mungkin ada rasa geram sikit...tp sekejap je.hilang balik.normal tak? ^_^

gadis kepastian said...

thnks untuk entry nie....sangat2 bermakna.....=)

Anonymous said...

mmg susah utk memaafkan, apatah lagi melupakan sesuatu prkara jika dikhianati..moga diri ini di beri kekuatan memaafkan..

Post a Comment