Sahabat Sejati

Tuesday 31 January 2012

Cetusan rasa: Seorang hamba...


Memerhati hakikat kehidupan ini, umpama lautan yang luas. Sedangkan kita hanyalah perahu kecil yang belayar di permukaannya. Kadang-kadang berhanyut tenang, seketika pula terumbang-ambing diterjah gelombang membadai.

Kita belayar dan mengawal kemudi menuju destinasi persinggahan. Apakah ada pilihan buat diri, kerana pelabuhan yang dituju pasti di hadapan menanti. Akhirnya berlabuhlah di pelabuhan akhir kehidupan.

Hidup tidak mungkin tanpa ujian, kerana ia adalah sebahagian proses kehidupan. Ia berkeliling pada setiap insan. Di mana-mana sahaja dalam setiap episod perjalanan kehidupan pasti ada ujian. Kita melihat ujian adalah tapisan Allah, siapa di kalangan hamba-Nya yang terbaik keyakinan di sebalik taqdir yang menjelma.

Kesedihan dan kegembiraan adalah ujian Allah. Kesedihan bertandang selepas kegembiraan berundur. Ia berundur apabila kegembiraan menjelma semula.

Begitu juga kegagalan dan kegembiraan, ia juga adalah ujian. Tiada siapa yang mahukan kegagalan kerana kegagalan bererti kesedihan, manakala kejayaan adalah suatu kegembiraan. Bahkan tidak ramai yang memandang kegembiraan juga suatu ujian.

Kadang-kadang kita terlupa, kegagalan adalah lebih manis dari kejayaan. Kegagalan yang menjenguk menyedarkan kita bahawa kita adalah hamba-Nya yang lemah dan serba kekurangan. Kita mengakui kita adalah hamba, Dia adalah Tuan. Kegagalan menyebabkan kita mengadu kepada-Nya. Disitulah letak manisnya kegagalan, dan ini tidak dirasai andai tidak ditilik melalui mata hati. Dapatkah kita berbangga, andai kejayaan yang diperolehi menyebabkan kita hanyut dalam pujian. Kita sering terlupa pada DIA yang menganugerahkan kejayaan tatkala meraikan kejayaan.

Kita hamba-Nya yang lemah. Kesilapan dan kesalahan seringkali mengekori. Besar atau kecil kesilapan, banyak atau sedikit kesalahan, ianya memutik tiap waktu dan ketika. Tanpa petunjuk-Nya bergelumanglah insan dalam dosa yang bertitik hitam.

Allah, Tuhan kita yang Maha Penyayang, dengan rahmat-Nya ditutupi kesilapan dan kesalahan kita. Maka tampillah kita di hadapan manusia dengan wajah yang suci dan bersih. Sedangkan DIA menutupi kesilapan kita kerana memberi peluang untuk kita bertaubat dan kembali menginsafi diri. Binasalah diri andai ini juga tidak dimengertikan. Pasti binasa...

Dalam letih aku merintih
Dalam gundah aku menadah
Dalam sendu aku merayu
Selautan kelalaianku
Segunung dosaku
Namun tidak terhitung limpahan rahmat-Mu
Tidak terjangkau luasnya keampunan-Mu
Berapa pula nilai syukurku...

Seorang hamba,
abuikhwan

0 comments:

Post a Comment