Sahabat Sejati

Monday, 9 January 2012

Bagaimana kedudukan ‘takliq talaq’?


Soalan:

Saya sering hadiri upacara akad nikah di Selangor, yang di akhiri dengan ‘takliq talaq’. Baru-baru ini saya di Perlis (negeri Dato`), menghadiri perkahwinan sepupu saya dan tidak ada sebarang ‘takliq talaq’ yang dilafazkan. Mengapa berbeza dan apa komen Dato’ mengenai ‘takliq’ di Selangor ini, adakah itu tuntutan Islam yang sebenar?

Jawapan:

‘Takliq talaq’ dengan maksud, suami melafazkan kata-kata yang mengikat dirinya atau isterinya dengan suatu tingkah laku yang jika dilakukan perkara yang disebut dalam ‘takliq’ itu, jika sabit, maka tertalaklah isteri tersebut dengan talak satu atau sebagainya.

Contohnya, seperti suami menyebut selepas akad nikah, “Apabila saya meninggalkan isteri saya, atau dia (isteri) meninggalkan saya selama tiga bulan hijrah berturut-turut atau lebih, maka tertalaklah isteri saya dengan satu talak.”

‘Takliq talaq’ seperti yang disebut itu, diamalkan di seluruh negeri di Malaysia kecuali Perlis (negeri saya).

Sebenarnya, hukum bertaklik sedemikian itu, tidak disemuafakati semua ulama tentang sah tidaknya dan tentang keharusannya.

Umum mengetahui bahawa ‘takliq talaq’ itu harus dan mempunyai kesan di dalam perkahwinan, di mana talak akan jatuh, apabila yang ditaklikkan itu berlaku secara sah dan taklik yang dibuat itu, secara sukarela dan ada keperluannya.

Namun demikian, terdapat golongan yang menyatakan ‘takliq talaq’ tidak sah dan tiada kesannya di dalam perkahwinan.

Ia lagha dan terbatal. Pandangan ini dipegang oleh sebahagian sahabat seperti Ali bin Abi Talib, Syuraih al-Qadi, Taawuus, `Akrimah, Ataa`, Abu Tsuur, Ibnu Taimiyah, Ibnu Hazm dan lain-lain, termasuk as-Syeikh Mahmud Saltut (bekas Syeikh al-Azhar)

Pandangan inilah yang diterima pakai oleh penggubal undang-undang keluarga Islam di Timur Tengah, yang keseluruhannya tidak menjadikan ‘takliq talaq’ suatu amalan selepas akad nikah disempurnakan.

Tidak seperti yang diamalkan di Malaysia (kecuali Perlis), yang mengamalkan selepas akad nikah, ‘takliq talaq’ itu dilafazkan.

Alasan golongan yang mengharuskan taklik, pertamanya, mereka berpegang kepada firman Allah (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman, sempurnakanlah janji-janjimu.” (al-Maidah: 1)

‘Takliq talaq’ adalah merupakan janji, maka wajiblah disempurnakannya, mengikut apa yang disebut dalam taklik tersebut.

Kedua, as-Sunnah. Sabda Rasulullah saw (mafhumnya): “Orang-orang Islam hendaklah mematuhi syarat-syarat yang dipersetujui di antara mereka.” (Riwayat al-Hakim)

Oleh itu kata mereka ‘takliq talaq’ itu hendaklah disempurnakan mengikut kehendaknya.

Adapun hujah yang menyatakan ‘takliq talaq’ itu tidak sah dan terbatal, juga berpandukan dengan hujah-hujah dari al-Quran dan as-Sunnah.

Allah berfirman (mafhumnya): “Wahai Nabi, apabila kamu (dan umatmu) hendak mentalakkan isteri mereka, maka talaklah mereka, pada masa mereka dapat memulakan, hitungan iddahnya.” (at-Talaq: 1)

Talak yang berlaku kerana taklik boleh berlaku pada ketika pelanggaran taklik pada bila-bila masa dalam serba keadaan, sama ada isteri dalam keadaan suci ataupun tidak. Sedangkan talak yang diperintahkan oleh Allah kepada Rasul-Nya dan kepada umat Islam, hendaklah dikira suci dan hendak dihitung iddahnya.

Oleh kerana itu maka talak yang berlaku kerana taklik tidak sah.

Pada saya, kedua-dua pandangan itu boleh dipakai, akan tetapi, mana yang lebih sesuai dengan zaman dan berhikmah, serta tidak berlawanan dengan falsafah perkahwinan.

Perkahwinan adalah sesuatu yang mulia, sunnah Rasul. Tujuan perkahwinan adalah untuk selama-lamanya dalam erti kata, seseorang yang berkahwin tidak ada niat berkahwin untuk bercerai. Kalau boleh perkataan cerai (talak) tidak ada dalam sunnah pasangan yang berkahwin.

Elokkah, sebaik sahaja akad nikah diselesaikan, tiba-tiba disuruh melafazkan talak (cerai), satu, dua dan tiga secara lafaz taklik di hadapan ramai hadirin dan sanak saudara.

Adakah elok pada hemat kita, suatu majlis yang mulia berakhir seperti suatu bencana. Suami telah melafazkan cerai ke atas isteri, cuma cerai yang tergantung. Yang penting cerai sudah dilafazkan? Perlukah cerai itu ditaklikkan dilakukan?

Dr Wahbah az-Zuhaili (penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Malaysia) menyebut dalam kitabnya Fiqhul Islami menyatakan: “Sebenarnya ‘takliq talaq’ adalah talak, walaupun tergantung-gantung dan talak itu merubah ikatan perkahwinan, hanya menunggu masanya.”

Adalah tidak manis dan tidak wajar, sebaik selesai akad nikah, talak dilafazkan. Eloklah diganti dengan yang lebih baik dan lebih sopan.

‘Takliq talaq’ dihapuskan seperti yang berlaku di Perlis (tanah tumpah darahku), diambil segala kandungan taklik itu dijadikan undang-undang nikah kahwin dan dijadikan tatacara salah laku suami atau isteri yang boleh dihukum mengikut undang-undang bertulis dan bukan secara ‘takliq talaq’.

Inilah amalan yang dilakukan di keseluruhan dunia Islam yang lain, kecuali Malaysia. Apabila undang-undang taklik dikuatkuasakan, maka ertinya, semua orang yang berkahwin di Malaysia (kecuali Perlis) telah pun melafazkan talak kepada isterinya dan talak telah terkeluar dan menunggu masa untuk jatuh.

Berbarakahkah perkahwinan yang menunggu masa talak yang tergantung-gantung. Oleh itu saya berpandangan, elok diberi perhatian dan difikirkan semula untuk mencari yang lebih baik. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

3 comments:

hamba lemah said...

‘Takliq talaq’ dihapuskan seperti yang berlaku di Perlis..... diambil segala kandungan taklik itu dijadikan undang-undang. .....

Boleh encik jelaskan lebih mendalam bgaimana lafaz itu diletak dlm undang2 bertulis bagi negeri perlis?

hamba lemah said...

‘Takliq talaq’ dihapuskan seperti yang berlaku di Perlis..... diambil segala kandungan taklik itu dijadikan undang-undang. .....

Boleh encik jelaskan lebih mendalam bgaimana lafaz itu diletak dlm undang2 bertulis bagi negeri perlis?

Fadzlan Zameri said...

Berapa lama tempoh iddah bagi perceraian secara taklik?adakah si suami masih lagi dapat rujuk kembali walaupun si isteri tetap enggan...adakah dengan lafaz "aku rujuk kau kembali" memadai untuk menyambung hubungan suami isteri walaupun isteri menjawab dia tetap tidak mau kembali?...

Post a Comment