Sahabat Sejati

Thursday, 29 September 2011

MISTERI FIRAUN MUSUH PARA NABI

Menyingkap misteri peradaban tamadun paling berpengaruh sepanjang zaman


Tentu Anda Ingin Tahu...

-Siapakah Firaun dan bagaimana perkembangan tamadun mereka?

-Firaun manakah yang terlibat dengan Nabi Musa?

-Firaun yang manakah yang membina piramid?

-Firaun yang manakah yang terlibat dengan Nabi Yusuf?

-Mungkinkah ada di antara Firaun yang mengamalkan kepercayaan yang satu?

-Adakah semua Firaun dalam tempoh 3,000 tahun itu sejahat seperti yang disangkakan?

-Adakah Firaun yang mengarahkan pembunuhan bayi-bayi lelaki adalah firaun yang sama yang mati lemas ketika mengejar Nabi Musa?

Sejarah merekodkan tamadun Mesir Purba sebagai antara tamadun terhebat sepanjang zaman.

Namun, tidak ramai yang tahu secara terperinci mengenai perkembangan tamadun ini. Apa yang kita hanyalah mengenai Firaun dan Piramid.

Sebenarnya banyak misteri yang tersembunyi di sebalik lipatan sejarah tamadun Mesir Purba.

Misteri-misteri itu akan dibongkar dalam buku ini.

Berbekalkan kajian mendalam melibatkan pandangan dan kajian tokoh-tokoh agama, pakar sejarah dan para intelektual, buku ini memuatkan perbincangan lengkap disertai dengan gambar rujukan mengenai Firaun dan perkembangan Tamadun Mesir Purba. Ia menjawab persoalan-persoalan kritikal berkaitan Firaun.

Jangan lepaskan peluang bagi memahami sejarah dengan perspektif yang lebih baik.

Tajuk: Misteri firaun musuh para Nabi
Penulis: Dr Afareez Abd Razak al-Hafiz
Penerbit: PTS Millennia Sdn Bhd
Harga: RM 60.00 / RM 63.00 (kulit tebal dengan kertas kualiti majalah)
ISBN-13: 978-967-5564-21-5
Jumlah Muka Surat: 320

Kandungan:

Kata Pengantar Rektor UIAM vii
Kata Pengantar UNESCO xi
Prakata xii
Bahagian 1 1
Pengenalan 2
Penyatuan Mesir 15
Zaman Pembinaan Piramid 33
Kebangkitan Kerajaan Baru 56
Raja Hatshepsut 64
Firaun Akhenaten 81
Bahagian 2 101
Firaun Tutankhamun 102
Makam Firaun Tutankhamun 111
Firaun Ramesses II (Ramesses Agung) 132
Pemerintahan Nubia 158
Kemasukan Yunani (Greek) 171
Dinasti Ptolemaic 181
Firaun Cleopatra 191
Bahagian 3 203
Nabi Yusuf Memasuki Mesir 204
Kelahiran Nabi Musa 219
Nabi Musa Diancam Bunuh dan Melarikan Diri 246
Nabi Musa Berhadapan dengan Firaun 250
Firaun Mengejar Nabi Musa 258
Di Mana Berlakunya Peristiwa Lintasan
Laut Terbelah? 275
Penutup 288

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

Monday, 26 September 2011

Benarkah manusia pra-sejarah tiada ilmu?

Soalan:

Saya hendak kemukakan soalan berkenaan manusia pada zaman pra-sejarah. Saya pernah mendengar teori pada zaman pra-sejarah, atau zaman batu, di mana manusia tidak mempunyai apa-apa ilmu, benarkah begitu? Tidakkah ia bertentangan dengan penciptaan Nabi Allah Adam as. yang seterusnya melahirkan umat manusia yang mempunyai akal fikiran sempurna. Bukan seperti manusia pada zaman pra-sejarah sebagaimana yang dikatakan sejarawan Barat. Mohon huraikan persoalan ini, terima kasih.

Jawapan:

APA yang anda sebut dalam persoalan di atas adalah penemuan-penemuan dalam disiplin sosiologi yang nature ilmu itu mengkaji berkenaan kehidupan manusia zaman-berzaman.

Pertumbuhan dan perkembangan manusia dikaji dari masa ke semasa. Dari zaman pra-sejarah seperti dalam soalan anda hingga ke zaman kini.

Ilmu itu adalah disiplinnya, yang berasaskan kepada penemuan-penemuan bahan sejarah arkeologi dan di analisis bahan-bahan itu berdasarkan ilmu tersebut.

Saya bukannya ahli sosiologi. Cuma mengetahui sedikit sebanyak tentang manusia di dalam al-Quran dan as-Sunnah.

Di dalam al-Quranulkarim Allah SWT memaparkan berkenaan kisah kejadian Nabi Adam as. sebagai insan pertama yang wujud daripada kalangan seluruh manusia hari ini.

Adam as. diciptakan Allah dengan sempurna sifatnya sebagaimana manusia dan diajar kepadanya ilmu pengetahuan, khusus baginya. Dengan nama-nama benda dalam alam ini dan kegunaan benda-benda tersebut untuk faedah manusia.

Dalam Tafsir al-Qurtubi, juzuk 1, halaman 282 disebut dengan jelas bahawa: “Ibnu Abbas berkata, dengan perantaraan malaikat, Allah mengajar Adam, ilmu pengetahuan yang perlu baginya untuk hidup sebagai khalifah Allah di muka bumi. Nama-nama makhluk, nama-nama benda, tumbuhan dan sebagainya, diajar dengan jelas kegunaan yang ada pada benda-benda tersebut.”

Oleh kerana itu jelas, bahawa Adam insan ulung, yang mempunyai akal yang sempurna. Boleh menerima dan cepat mempelajari apa yang diajarkan kepadanya dengan mudah.

Adam mempelajarinya sehingga menjadi seorang yang terpelajar. Justeru ilmu sedemikian itu, sudah pasti akan diajar kepada anak-anaknya.

Anak-anak Adam, iaitu Qabil terkenal dalam sejarah sebagai petani yang menanam gandum dan keperluan manusia untuk menyara kehidupannya. Habil pula terkenal sebagai penternak.

Hal sedemikian tercatat dalam al-Quran di mana Allah meminta mereka berkorban dengan apa yang mereka miliki sebagai menentukan siapakah yang Allah terima korbannya.

Qabil membawa tangkai-tangkai gandumnya sebagai korban. Manakala Habil membawa kambingnya sebagai korban. Akhirnya Allah menerima korban Habil dan menolak korban Qabil

Tanpa pengetahuan yang cukup tentang perihal pertanian dan tanaman, bagaimana mungkin mereka boleh survive pada zaman awal manusia. Zaman mereka jauh lebih awal dari zaman pra-sejarah.

Oleh itu, saya berpendapat bahawa manusia, sejak dari awal kejadiannya sudah mendapat anugerah ilmu pengetahuan yang Allah berikan, sesuai dengan zaman mereka untuk survival mereka.

Ada pun insan-insan yang ditemui oleh sosiologis, terutama manusia pada zaman pra-sejarah, besar kemungkinan wujudnya kelompok-kelompok tertentu yang tersisih daripada arus kehidupan manusia lain. Mereka menghuni gua-gua tertentu dengan penghidupan ala-gua., tanpa mempunyai ilmu pengetahuan.

Ilmu yang ada pada mereka, mungkin sekadar untuk survival asas sahaja.

Dari sudut sejarah Islam yang bermula sejak Adam as., Allah tidak pernah lupa untuk menghantar Rasul-Nya kepada mereka. Sudah tentu Rasul tersebut membawa ajaran-ajaran dari Allah untuk kebahagiaan manusia dunia dan akhirat.

Sebagaimana Allah berfirman (mafhumnya): “Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) daripada dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah); dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (al-Qasas: 77)

Ayat di atas memberi panduan untuk mengenali manusia di sepanjang sejarahnya. Mereka mempunyai akal sempurna di sepanjang sejarahnya. Walahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Thursday, 22 September 2011

Cetusan rasa: Sahabat...


"Sekali kita bersahabat, syurga adalah pelabuhannya....."

Dari Abu Musa al-Asy’ari ra., Rasulullah saw bersabda:

“Diumpamakan rakan yang soleh dan rakan yang jahat ialah seperti (berkawan) dengan penjual minyak wangi dan tukang besi. Penjual minyak wangi tidak akan mensia-siakan anda, sama ada anda membelinya atau hanya mendapat bau harumannya. Tukang besi pula boleh menyebabkan rumah anda atau baju anda terbakar, atau mendapat bau busuk.” (al-Bukhari)

Masukkan cahaya...


Zikir itu umpama memasukkan cahaya ke dalam hati. Namun bagaimanakah keadaan hati ketika itu, adakah turut sama bercahaya? Ataupun kelam seperti cermin pelita yang diselaputi jelaga hitam...

اللَّهُ نُورُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ مَثَلُ نُورِهِ كَمِشْكَاةٍ فِيهَا مِصْبَاحٌ الْمِصْبَاحُ فِي زُجَاجَةٍ الزُّجَاجَةُ كَأَنَّهَا كَوْكَبٌ دُرِّيٌّ يُوقَدُ مِن شَجَرَةٍ مُّبَارَكَةٍ زَيْتُونِةٍ لَّا شَرْقِيَّةٍ وَلَا غَرْبِيَّةٍ يَكَادُ زَيْتُهَا يُضِيءُ وَلَوْ لَمْ تَمْسَسْهُ نَارٌ نُّورٌ عَلَى نُورٍ يَهْدِي اللَّهُ لِنُورِهِ مَن يَشَاء وَيَضْرِبُ اللَّهُ الْأَمْثَالَ لِلنَّاسِ وَاللَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ عَلِيمٌ
"Allah memberi cahaya di langit dan bumi. Perumpamaan cahaya-Nya seperti lubang di dinding yang di dalamnya ada pelita. Pelita itu di dalam gelas, gelas itu seperti bintang yang berkilauan. Pelita itu dinyalakan dengan minyak pohon yang diberkati, minyak zaitun yang tumbuh bukan di timur dan bukan pula di barat. Minyak itu hampir bercahaya dengan sendiri meskipun tidak disentuh api. Cahaya di atas cahaya. Allah menunjuk kepada cahaya-Nya (kebenaran agama-Nya) sipa yang Dia kehendaki. Dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia. Dan Allah Maha Mengetahui tiap-tiap sesuatu." (an-Nuur: 35)

Bersihkan hati untuk menerima cahaya petunjuk Allah...

Tuesday, 20 September 2011

Bonda, semoga damai dalam rahmat-Nya...

Dalam kenangan: Bonda ketika melayani anakandaku, Haikal

Sukar benar untuk mencoretkan sesuatu, sebagaimana sukarnya untuk mengungkap kata-kata. Di saat hati masih bersulam sebak yang menggigit rasa.

"18 September 2011 bersamaan 20 Syawal 1432H, jam 1.00 pagi."

Tarikh itu pasti menjadi ingatan dan kenang-kenangan. Tiba-tiba diterpa dengan dugaan Allah SWT, cuma pengambilan hak-Nya yang dipinjamkan, tempat tumpahnya kasih sayang.

Tiada lagi tangan untuk dikucup. Tiada lagi sesusuk tubuh untuk didakap. Sedangkan berada di dalam pelukannya bagaikan turun sakinah dari langit tinggi. Tenang dan mendamaikan.

Kesedihan ini hanyalah sebahagian cebisan dari rasa sedih junjungan besar Rasulullah saw, sebagaimana baginda merasa kesedihan dengan pemergian kaum keluarganya, isterinya, datuknya, anaknya serta bapa saudaranya, yang banyak berjasa kepada agama Islam. Namun, apalah pula mahu dibandingkan dengan diri ini yang banyak mengisi kelalaian dari kesedaran dan keinsafan. Justeru, keampunan-Nya sentiasa dipanjatkan. Allah dengan sifat Kasih Sayang, dikurniakan jua kesempatan merasai belaian kasih bonda selama 35 tahun.

Sememangnya saya percaya ia benar-benar suatu ketentuan, buat menguji para hamba-Nya.

Allah SWT berfirman: “ Dan sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sesuatu; perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda jiwa dan hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (menghadapi ujian itu). (Orang-orang yang sabar ialah) iaitu apabila ditimpa kesusahan (musibah), mereka berkata, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya jualah kami akan kembali.” (al-Baqarah: 155-156)

Saya redha...

“Ya Allah, ampunkanlah dosaku, ampunkan dosa kedua ibu bapaku, dan rahmatilah mereka dengan kasih sayang-Mu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil. Tempatkanlah mereka bersama orang-orang yang mendapat limpahan redha-Mu. Sesungguhnya Engkaulah Tuhan yang melimpahkan nikmat kasih sayang...Amin.”

Bonda...inilah yang mampu ku kirimkan sebagai bahasa doa buat mengiringimu, mudah-mudahan ianya menjadi peneman di `sana’ sehinggalah waktu yang djanjikan. Biarlah kesempatan hidupku ini, untuk sentiasa kupanjatkan doa buatmu. Mudah-mudahan tatkala dibangunkan di akhirat kelak, telah ada penolakmu ke syurga...aku memohon dengan izin-Nya.

Fitrah kehidupan pasti ada perhentian. Siapa yang dulu, siapa yang kemudian...

"Bonda, kami pasti merinduimu..." Al-Fatihah.

Friday, 16 September 2011

Perihal kedudukan jenazah ketika solat mayat


Soalan:

Telah berlaku satu kematian di sebuah rancangan Felda di Pahang. Jenazah lelaki disolatkan sesudah solat Jumaat. Imam masjid mengarahkan supaya jemaah mengangkat jenazah dan meletakkan kepalanya menghala ke sebelah kanan imam. Pada pemahaman saya kebiasaannya jenazah perempuan sahaja yang diletakkan sedemikian. Ada makmum mengingatkan imam, bahawa jenazah tersebut lelaki bukan perempuan. Tetapi imam menjawab bahawa kedudukan yang diarahkan jenazah diletakkan sudah betul. Imam terus menyempurnakan solat jenazah. Saya mohon penjelasan, adakah solat jenazah itu sah?

Jawapan:

SOLAT jenazah rukunnya ada tujuh. Pertama, berdiri bagi orang yang mampu. Kedua, niat solat jenazah. Ketiga, takbir empat kali. Keempat, baca Surah al-Fatihah (selepas takbir pertama). Kelima, selawat ke atas Nabi Muhammad saw. Keenam, berdoa ke atas jenazah dan ketujuh, salam.

Jika lengkap tujuh rukun tersebut, maka sahlah solat jenazah itu tanpa mengambil kira kedudukan jenazah itu letaknya di mana.

Dan tidak perlu diperpanjang-panjangkan dengan mengaitkannya dengan sah atau tidak solat, jika semua yang dilaksanakan sudah menepati rukunnya.

Cukup rukun, sahlah solat jenazah itu.

Apa yang anda timbulkan dari persoalan ini, bukanlah perkara asas atau perkara utama yang perlu dipenuhi. Ia adalah ranting kecil, atau cabang yang tidak menjejaskan sahnya solat jenazah itu.

Kedudukan jenazah di hadapan imam adalah perkara yang diperselisihkan ulama. Biasanya begitulah, iaitu kepala jenazah lelaki di kiri imam, manakala jenazah perempuan berada di kanan imam.

Tetapi jika berlaku jenazah lelaki berada di sebelah kanan pun boleh. Tidak mengapa, malah itulah yang diamalkan oleh kebanyakan umat Islam.

Kita lihat kedudukan mayat yang diletakkan ke dalam kubur, mesti mengadap kiblat, dengan lambung kanannya mengadap ke tanah dan mukanya mengadap kiblat.

Solat jenazah bagi mereka yang belum berbuat demikian harus melakukannya sesudah dikebumikan. Pada ketika itu tentulah mayat lelaki atau perempuan di dalam kubur adalah berada di kanan imam. Tidak mungkin di kiri imam. Kerana mereka yang menunaikan solat jenazah itu mestilah menghadap kiblat, di belakang jenazah yang kepalanya berada di kanan imam.

Oleh itu bagi solat jenazah ghaib, imam berdiri menghadap kiblat dan diketahui di mana letaknya kepala jenazah, sama ada kiri atau kanan, tetap sah solat tersebut tanpa khilaf.

Yang diperbahaskan uama dengan panjang lebar dalam hal ini ialah, di mana imam akan berdiri. Jika jenazah lelaki, imam akan berdiri bertentangan dengan kepalanya (atau di kepalanya). Bagi jenazah perempuan, imam berdiri bertentangan dengan punggungya (atau di tengahnya)

Diriwayatkan Anas bin Malik: "Telah bersolat jenazah lelaki dengan berdiri di sisi kepalanya dan bagi jenazah perempuan di tengahnya (di sisi punggungnya). Lalu Al`Alaak bin Ziyad bertanya kepada Anas bin Malik, adakah begitu Rasulullah saw melaksanakan solat jenazah. Jawab Anas, "Ya begitulah".

Apa yang disebutkan oleh Anas bin Malik itu, sabit daripada hadis sahih Rasulullah saw yang diriwayatkan oleh Abu Daud, at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan lain-lain, semuanya hadis sahih.

Namun demikian, sekiranya ada imam yang menunaikan solat jenazah dengan terbalik, iaitu berdiri di tengah-tengah jenazah lelaki dan di kepala perempuan, hukum solat tersebut adalah sah. Cuma bersalahan dengan sunnah.

Ini disebut sebagai khilafus sunnah.

Dalam mazhab Hanafi, Imam Abu hanifah sendiri berpendapat, bahawa imam berdiri di hadapan dada jenazah, sama ada lelaki ataupun perempuan. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Aku dah lupa...

Shaari diundang seorang kawannya makan malam. Kadir si tuan rumah, memanggil isterinya dengan kata-kata Sayang, Manis, Manjaku, Cintaku, Kasihku, Jantung Hatiku, Sayangku...dan bermacam-macam lagi ungkapan indah.

Shaari memandang Kadir dan berkata: "Romantis betul, dah berpuluh tahun kahwin, kamu tetap panggil isteri dengan Cinta, Sayang!"

Kadir mengangkat bahu dan berbisik: "Sebenarnya, aku dah lupa namanya sejak dua tahun lalu...!"

Thursday, 15 September 2011

Sabar...sabar...

Sakit hati. Tetapi ini bukan saya, kerana saya masih lagi mampu mengawal perasaan walaupun hampir-hampir juga terbakar...

Saya menghabiskan dua jam untuk menulis. Ketika menekan butang publish, tiba-tiba semuanya hilang. Seringkali ia berlaku...entah di mana silapnya.

Sakit kepala, sakit tangan, sakit mata...

Sakit hati lebih-lebih lagi, membuak-buak 'api' di dalam dada. Terasa ringan mulut mahu menghambur kata-kata yang tidak enak didengar. Jika mahu diikutkan perasaan...

Allah...mungkin inilah ujian kesabaran yang perlu saya hadapi, yang sering saya coretkan.

Mudah-mudahan saya dipermudahkan untuk beramal dengan apa yang saya katakan.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu katakan apa yang tidak kamu lakukan? Sesungguhnya kemurkaan yang besar di sisi Allah jika kamu katakan apa yang tidak lakukan." (As-Saff: 2-3)

Kita yang faqir...


Mari sejenak kita mengoreksi perjalanan hidup kita di dunia ini. Alam yang penuh dengan duri dan kabut yang melingkari perjalanan kita. Di sanalah, terkadangnya kita gembira dan berduka. Kadang-kala kita tersenyum dan menangis. Seringkali perjalanan ini terasa terlalu lapang, namun tidak kurang juga sempit yang menghimpit lagaknya.

Itulah hakikatnya kehidupan ini. Semua itu merupakan ujian buat hamba-Nya, siapakah yang terbaik amalannya. Maka laluilah ia dengan penuh kesedaran, sedar bahawa ianya ketentuan dari-Nya, sama ada baik atau buruk.

Kita adalah faqir di sisi-Nya

Kita adalah manusia yang lemah, tidak berdaya dan tidak berkemampuan. Kita semua berhajat kepada-Nya. Hendak atau tidak, setuju atau engkar, manusia memerlukan Allah SWT dalam setiap saat kehidupannya. Tiada siapa yang dapat menafikannya. Walau siapa pun dia.

Allah SWT berfirman:
“Wahai manusia! Kamulah yang faqir (sentiasa berhajat) kepada Allah, sedang Allah itu Dialah yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji.” (Faathir: 15)

Dalam ayat di atas Allah SWT mengatakan bahawa manusia semuanya faqir. Semuanya amat berharap kepada Allah, tiada yang terkecuali.

Faqir lebih rendah tarafnya daripada miskin. Jika miskin memberi makna cukup-cukup makan atau kais pagi makan pagi manakala faqir memberi makna tidak mempunyai apa-apa dan terpaksa meminta-minta. Itu istilah dari sudut bahasa.

Di dalam peristiwa Badar al-Kubra, diceritakan bahawa Rasulullah saw berdoa dan bermunajat pada malam 17 Ramadhan dengan bersungguh-sungguh, khusyuk dan merendah diri sehingga kain rida`nya yang di atas bahu jatuh ke tanah. Sehinggalah Abu Bakar as-Siddiq yang melihatnya lantas memujuk baginda dengan menyatakan:

“Cukuplah wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah SWT mendengar doa permohonanmu.”

Mengapa Rasulullah berdoa dengan begitu bersungguh-sungguh? Sedangkan baginda telah mengetahui bahawa Allah SWT akan memberikan kemenangan dengan bantuan dari para malaikat. Ulama menyatakan baginda mengetahui kemenangan tentera Islam di medan Badar kerana ketika tiba di kawasan yang akan berlaku pertempuran, baginda menunjukkan kepada para sahabat tempat terbunuhnya pemuka-pemuka Quraisy.

“Si polan bin si polan terbunuh di sini.”

“Manakala si polan bin si polan pula terbunuh di sini.”

Terbukti benar apa yang dinyatakan oleh Rasulullah.

Sesungguhnya Rasulullah saw mahu mengajarkan kepada umatnya bahawa faqirnya kita dan amat berhajatnya kita kepada Allah SWT. Maka menunduklah, hanya dengan ketundukan itu kita akan memperolehi keredhaan-Nya.

“Tidaklah Kami yang meminta rezeki daripadamu, bahkan Kamilah yang memberikan rezeki kepada kamu.” (Thaha: 132)

Saturday, 10 September 2011

Akan ku terus merintih pada-Mu


Akan ku terus merintih pada-Mu
Kala dinihari hening syahdu
Menangis, mengadu dalam sendu...
Bersama titisan air mata sejernih salju

Burung tukang sudah berhenti memalu
Cengkerik malam juga telah penat berlagu
Aku masih bersimpuh mengatur kalam di penghujung waktu
Dalam samar-samar cahaya pelita membakar sumbu
Aku tahu...
Tuhanku tetap mendengar walau siapa yang menyeru

Akan ku terus merintih pada-Mu
Saat bani insan masih lena beradu
Nama-Mu kusebut berulang-kali tanpa jemu
Telapak tangan kuhamparkan seluasnya tanpa malu
Sekalipun titik-titik hitam dosa membusung di kalbu
Semoga penyesalan kulafazkan bukannya palsu

Malam merangkak sepi
Waktu insan berselimut menganyam mimpi...
Ku ulang bait-bait ratib berkali-kali
Agar ia ia bisa tembus ke rongga hati
“Tuhanku, aku tidak layak untuk syurga-Mu
Dan tidak pula aku sanggup ke neraka-Mu
Oleh itu kurniakanlah keampunan kepadaku”

Aku hanyalah hamba bersulam kedhaifan
Menitip bait-bait kata mutiara keinsafan
Pada-Mu Tuhan sesungguhnya aku dambakan
Percikan rasa belas kasihan dan keampunan
Kerna ku tahu Engkau pasti tidak menghampakan

Saudara kalian.
abuikhwan (10.9.11/3.00ptg)

Friday, 9 September 2011

Cetusan rasa: Bukan bermusim...


“Sesiapa yang menyembah Ramadhan sesungguhnya Ramadhan telah berlalu. Sesiapa yang menyembah Allah sesungguhnya Allah tetap hidup dan tidak mati.”

Solat tarawih hanya dalam bulan Ramadhan. Sebulan berpuasa juga pada bulan Ramadhan. Zakat fitrah juga ditunaikan dalam bulan Ramadhan. Tetapi solat sunat berterusan. Witir sentiasa dituntut sepanjang malam. Puasa sunat Isnin Khamis, tiga hari di tengah bulan serta sempena tertentu berterusan. Sedekah dan infaq juga dituntut. Al- Quran mesti dibaca, difahami, dihayati dan diamalkan sepanjang masa. Ibadah tidak bermusim, seumpama bola dan durian.

Ianya berterusan.

Sesungguhnya madrasah Ramadhan memupuk taqwa dan ianya tidak terhenti dalam bulan Ramadhan sahaja. Taqwa mesti dibaja dan disirami agar sentiasa subur sepanjang masa. Bukankah itu yang kita buru ketika Ramadhan?

Istiqamah dalam beramal...

Kerana kita adalah hamba Allah bukan hamba Ramadhan...

Sekadar membetulkan pandangan. Anda mampu mengubahnya!

Wednesday, 7 September 2011

Siapa punya pisau lipat...

Suatu hari di tengah hutan, ketika para pelajar sebuah universiti sedang melakukan penyelidikan terhadap tumbuhan hutan, seorang pelajar senior yang juga merupakan pemimpin kepada rombongan itu terjumpa sebilah pisau lipat di atas tanah.

Menurut peraturan yang telah ditetapkan semasa membuat penyelidikan di dalam hutan, sesiapa yang meninggalkan barang penyelidikan di dalam perjalanan akan dihukum!

Lalu pelajar senior mengambil pisau lipat dan menghimpunkan semua pelajar untuk tujuan menghukum mana-mana siswa dan siswi yang lalai meninggalkan pisau lipatnya.

"Siapa yang merasa kehilangan pisau lipat di tengah perjalanan tadi?" tanya pelajar senior itu. Tiada seorang pun yang berani mengaku. Kemudian pelajar senior itu meninggikan suaranya.

"Ayuh cepat! Mengaku aje la, lagipun saya sudah tahu siapa pemilik pisau lipat ini kerana namanya terukir di sini. Tetapi saya inginkan kejujuran kamu semua untuk mengaku!"

Senyap! Masih tiada jawapan dari pelajar lain.

"Kerana tidak ada yang jujur mahu mengakui kesalahannya, maka saya akan panggil namanya!" Kata senior itu denga nada yang tegas.

Pelajar-pelajar yang lain semuanya diam. Masing-masing mahu mendengar nama siapakah yang akan dipanggil. Akhirnya pelajar senior itu tidak dapat bersabar lagi.

Lalu diambilnya pisau lipat tadi kemudian dengan lantang dia menyebut nama pemilik pisau lipat itu...

"STAINLESS STEEL! Cepat keluar!!!

Tuesday, 6 September 2011

Ngomelan selepas Ramadhan


Benar-benar Ramadhan itu bulan yang dipenuhi dengan kebaikan. Di dalamnya terkandung rahmat yang melimpah-ruah. Puasa yang diwajibkan mengandungi falsafah ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT, namun hikmahnya yang sebenar hanya Allah yang Maha Mengetahui.

Alhamdulillah.

Segala puji bagi Allah SWT yang telah mengurniakan Ramadhan sebagai bulan yang dipermudahkan untuk beribadah. Manusia berlumba-lumba merebut peluang melakukan kebajikan yang diganjari pahala sehingga berlipat kali ganda nilainya. Di mana semua amalan sunat dibalas dengan pahala ibadah wajib manakala amalan wajib pula digandakan sehingga tujuh puluh kali kelebihannya.

Yang jarang ke masjid mampu datang ke masjid untuk bersolat tarawih sekalipun lenguh lutut dan peha, waktu subuh juga penuh masjid yang kebiasaannya banyak tiang dari jemaah. Manakala al-Quran yang berhabuk jarang dibuka mampu dikhatamkan berkali-kali. Semuanya kerana tidak mahu melepas peluang meraih ganjarannya.

Mungkin jika tanpa Ramadhan, bilakah masanya kita dapat memperbaiki diri dan menambah amal ibadat setelah sebelas bulan kita disibukkan serta dilalaikan dengan berbagai-bagai urusan yang tidak pernah selesai. Itulah nikmat Ramadhan tidak pernah kecundang menzahirkan dirinya saban tahun, tetapi hanya kita yang sering alpa, lalai dan membiarkannya pergi begitu saja.

Hamba Allah bukan hamba Ramadhan


Kita beramal kerana yakin dan percaya dengan ganjarannya. Tetapi bagaimanakah tanda-tanda amal tersebut diterima? Jika selepas Ramadhan kita mampu meneruskan momentum ketaatan dan kepatuhan kepada Allah SWT sebagaimana sebulan Ramadhan, itulah sebesar-besar nikmat dan kurniaan-Nya yang wajib disyukuri.

Namun, jika selepas Ramadhan kita mula culas untuk hadir ke masjid, al-Quran kita tinggikan kembali dengan meletakkannya di tempat yang tinggi sehingga payah untuk dicapai, ibadah kita umpama ibadah bermusim, maka jadilah kita hamba kepada Ramadhan bukan hamba Allah SWT. Jika demikian, apalah makna Ramadhan yang datang berkunjung, sedangkan hebat dan gahnya Ramadhan, ia disebut madrasah tarbiyyah yang mampu menjana dan membentuk modal insan dengan akhlaq mulia dan berjiwa besar.

Jangan diteruskan tradisi beribadat semaksima pada Ramadhan dan berakhir apabila berakhirnya Ramadhan. Jangan biarkan ia tergantung begitu sahaja. Jadikan ia proses berterusan dalam meningkatkan keimanan dan ketaqwaan. Justeru, muhasabahlah diri dengan memohon keampunan-Nya.

Meraikan fitrah


Ramadhan berlalu, tibalah masa kita meraikan pula aidilfitri yang datang berkunjung. Kita raikan dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Kita bertakbir, bertahmid dan bertasbih kepada-Nya. Kita lafazkannya setiap tahun agar jiwa kita sentiasa merasa bangga dan mulia dengan Islam yang tercinta ini.

“...dan hendaklah kamu mengagungkan Allah SWT atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, mudah-mudahan kamu bersyukur.” (al-Baqarah: 185)

Namun apakah sebenarnya yang kita raikan? Adakah meraikan berakhirnya puasa dan kita bebas melakukan apa sahaja yang dilarang ketika berpuasa?

Sesungguhnya kita meraikan hakikat kita sebagai Muslim. Sesuai dengan makna aidilfitri iaitu kembali kepada fitrah. Sesungguhnya kita kembali kepada fitrah yang suci dan murni.

Dengan Islam kita terpelihara daripada menjadi hamba kepada dunia dan harta. Dengan Islam kita mampu menjaga diri dari perbuatan dosa dan noda. Dengan Islam kita bebas merdeka daripada menjadi hamba kepada manusia. Dengan Islam kita suka untuk menjaga ukhuwah dan persaudaraan sesama manusia. Dengan Islam kita terselamat dari dipesongkan dari jalan kebenaran-Nya. Dengan Islam kita dipandang mulia, sebagaimana ungkapan Saiyidina Umar ra.:

“Kita adalah kaum yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam, bilamana kita mencari kemuliaan selain daripada Islam, maka kita akan dihina oleh Allah”.

Oleh itu, jangan dicemari fitrah ini dengan kelalaian dan kecuaian kepada perintah Allah SWT. Sebaliknya, isilah ia dengan rasa taqwa sebagaimana yang dijanjikan natijah daripada puasa. Renungilah kisah kejatuhan Kota Baghdad di zaman pemerintahan kerajaan Abbasiyyah. Imam Ibnu Katsir menyebut di dalam al-Bidayah wa an-Nihayah bagaimana pada tahun itu umat Islam di Kota Baghdad terlupa untuk menunaikan solat Aidilfitri lalu mengqada`kannya selepas Maghrib. Dengan kecuaian mereka terhadap solat, amar ma`ruf nahi mungkar serta jihad, maka disaat itulah Allah SWT menimpakan kebinasaan walaupun pada masa itu Kota Baghdad adalah qiblat tamadun dan ilmu pengetahuan.

Marilah kita semua mengambil kisah ini sebagai pengajaran.

Akhirnya, jadikanlah madrasah Ramadhan ini dan bulan seterusnya adalah pelaburan untuk akhirat dan amat rugi sekali kepada mereka yang masih leka dibuai mimpi serta dilalaikan dengan aktiviti keduniaan yang tidak pernah habis.

“Semoga Allah SWT menerima amalan kami dan amalan kalian semua.” (Fath al-Bari, Ibn Hajar al-Asqalani)

Sunday, 4 September 2011

Bicara santai: Hati sekeras batu


Mengapa tidak mahu tunduk sujud dan patuh pada perintah Allah?

Tinggi mana kekuasaan sekiranya mahu dibanding dengan Firaun laknatullah?

Banyak mana harta jika mahu dibanding dengan si Qarun sepupu Nabi Musa as.?

Hebat manakah tamadun yang kita capai? Apakah setara dengan kaum `Ad? Kaum Thamud? Tamadun mereka dirakam Allah di dalam al-Quran yang mulia.

Dimanakah mereka semua?

Mereka semua binasa dan hancur berantakan kerana tidak mahu tunduk kepada Allah.

Anak dan isteri Nabi Nuh as. ke neraka.....

Isteri Nabi Lut as. ke neraka.....

Bapa saudara Rasulullah saw juga ke neraka....

Semuanya kerana hati yang tidak mahu tunduk.

Rasulullah saw bersabda:
“Sesungguhnya di dalam jasad seseorang ada seketul daging, apabila baik daging itu maka baiklah seluruh anggota badan dan apabila rosak daging itu maka rosaklah seluruh anggota badan. Ketahuilah, itulah yang dikatakan hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Rasulullah saw menggambarkan bahawa fungsi hati secara maknawi, iaitu hati yang menentukan perjalanan hidup anak Adam di segenap perkara, hati juga yang memberi gambaran kehidupan sebenar untuk menjadi hamba Allah SWT. Sekiranya ia dimakmurkan dengan iman dan keyakinan, sudah tentu ia akan memandu seluruh anggota yang lain dengan penuh ketundukan dan kepatuhan dalam kebaikan.

Namun, jika hati tidak diurus dan dirawat daripada kelalaian dan keingkaran yang bertapak di dalamnya, maka ia akan terputus hubungan dengan Allah SWT seumpama layang-layang yang terputus tali, terbang tanpa haluan. Akhirnya ia semakin menjauh. Al-Quran menggambarkan hati yang tidak dikawal lama-kelamaan akan menjadi keras sebagaimana kerasnya batu, bahkan lebih keras lagi. Ketika itu sukar untuk kebaikan masuk ke dalamnya.


Firman Allah SWT:
"Kemudian sesudah itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.Sesungguhnya pada sebahagian batu-batu itu,terpancar dan mengalir air sungai daripadanya, dan ada pula di antaranya yang pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya, dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah. Sedang Allah sekali-kali tidak lalai daripada apa sahaja yang kamu kerjakan.” (aL-Baqarah: 74)

Syeikh an-Nasafi dalam tafsirnya, Madarik at-Tanzil, berkata: “Bahawa ia merupakan penerangan betapa kerasnya hati mereka berbanding batu. Kerana batu yang pejal tersebut boleh mengeluarkan air yang banyak, sedangkan hati akan menjadi gersang dan kering. Di samping itu, sebahagian batu gugur dari puncak gunung semata-mata kerana berasa takut dan gerun kepada Allah. Ia sentiasa mengikut fitrah Allah, sedangkan hati tidak tunduk dan patuh kepada segala yang diperintahkan.”

Manakala Syeikh as-Sya’rawi pula menyebut di dalam tafsirnya: Kenapa Allah menyebut hati dan menyifatkannya dengan keras, di samping tidak menyebut berkenaan jiwa atau nafsu?

Ini kerana hati merupakan tempat yang lembut, rahmat, kasih sayang dan lain-lain. Apabila kita mengisi hati kita dengan banyak zikrullah, nescaya ia memenuhi rahmat dan kasih sayang.

Oleh itu, lembutkanlah hati untuk menerima segala kebaikan.

Ibnu al-Qayyim rahimahullah mengatakan dalam kitabnya Bada’i al-Fawa’id [3/743], “Tatkala mata telah mengalami kekeringan disebabkan tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah SWT, maka ketahuilah bahwa sesungguhnya keringnya mata itu adalah bersumber dari kerasnya hati. Hati yang paling jauh dari Allah adalah hati yang keras.”

Ingatlah bahawa Allah SWT Maha Mengetahui atas setiap perbuatan kita dan kita pasti akan bertemu dengan-Nya pada hari kiamat nanti untuk dipertanggungjawabkan. Sedangkan di waktu itu kita amat berhajat dengan segala rahmat dan keampunan-Nya. Ya, kita semua amat berhajat kepada rahmat dan keampunan-Nya.

Justeru, jangan sekali-kali melakukan perkara-perkara yang boleh menjadikan hati keras sehingga dibuang daripada mendapat rahmat Allah. Jika tidak kitalah yang akan menanggung penyesalan yang tidak terhingga.

Ya Allah, lunakkanlah hati kami dengan mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu…

Anda mampu mengubahnya!!!

Saturday, 3 September 2011

Cetusan rasa: Taqwa, layakkah diri ini...

“Assalamualaikum, tahniah...” sms yang diterima dari seorang rakan.

“Wa`alaikum salam, kenapa ye?” saya membalas.

“Anta telah berjaya menghabiskan kursus tarbiyah di madrasah Ramadhan, mudah-mudahan mendapat ijazah taqwa...”sambungnya lagi.

Allah...

Madrasah Ramadhan yang menghasilkan Taqwa.

Jika Taqwa itu bermaksud menempuh hidup ini dengan penuh hati-hati sebagaimana seorang yang melalui jalan penuh duri bagai yang didefinisikan oleh Ubai bin Ka’ab Radiyallahu ‘anhu, maka mampukah diri ini menempuh jalan yang berduri itu, sedangkan kehidupan beragama di akhir zaman ini seumpama menggenggam bara api.

Dalam getar perasaan yang tersimpan di dalam hati, saya teringat pesanan Rasulullah saw:

Abu Hurairah -radhiyallahu ‘anhu- berkata,

"Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- naik ke atas mimbar seraya bersabda :
"Amiin…amiin…amiin". Beliau ditanya, "Wahai Rasulullah, engkau tidak pernah melakukan seperti ini". Beliau menjawab, "Jibril -alaihis salam- berkata kepadaku, "Semoga kecelakaan bagi seorang hamba yang didatangi oleh bulan Ramadan, namun tidak diberi keampunan", maka saya pun berkata, "Amiin". [HR. Ibnu Khuzaimah dalam Shohih-nya (3/192), Ahmad dalam Al-Musnad (2/246 & 254), dan Al-Baihaqiy dalam As-Sunan (4/204). Di-shohih-kan oleh Al-Albaniy dalam Shohih Al-Adab Al-Mufrod (646)]

Semoga ada belas kasihan-Mu dengan taqwa yang dijanjikan, sedangkan tidak layak bagiku dengan puasa dan ibadat yang sekadarnya ini.” Hati kecil berkira-kira lagi.

Gambar hiasan

Bagaimana lupus akhbar ada catatan ayat Quran, nama Allah?

Soalan:

Sebagai makluman, akhbar-akhbar Harakah lama dan baru, begitu banyak dalam stor simpanan saya. Yang pasti di dalamnya ada catatan ayat-ayat al-Quran dan nama-nama Allah, serta nama-nama Rasul dalam setiap keluaran Harakah. Saya musykil bagaimana tindakan yang sesuai untuk melupuskan akhbar tersebut, takut termasuk dalam golongan yang menghina ayat-ayat Allah. Bagi kebiasaan masyarakat, dijual sahaja sebagai akhbar lama. Tidakkah itu termasuk dalam menghina ayat-ayat al-Quran. Mohon nasihat, terima kasih.

Jawapan:

PADA asasnya syiar-syiar Allah, hendaklah dihormati dan disanjungi sebagai tanda ketaqwaan kepada Allah, seperti mana firman Allah (mafhumnya): "Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah maka (dialah orang yang bertaqwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat taqwa hati orang mukmin." (al-Hajj: 32)

Syiar-syiar Allah maksudnya lambang-lambang agama Allah (Islam). Ia berkait rapat dengan kehidupan beragama, yang disanjung oleh umatnya sebagai syiar yang mesti dihormati. Nama-nama Allah, ayat-ayat al-Quranul karim, hadis-hadis Nabi yang sahih, tempat-tempat ibadat seperti masjid dan sebagainya, adalah antara syiar Allah yang mesti dihormati.

Oleh itu jika dipersendakan syiar-syiar ini, akan termasuk dalam golongan yang mempersendakan agama Allah. Seperti orang yang memijak atau menghinanya, atau sebagainya.

Mempersendakan syiar-syiar Allah adalah dosa besar yang boleh membawa kepada kekufuran. Firman Allah (mafhumnya): "Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejekan-ejekan agama Islam itu) tentulah mereka akan menjawab: "Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main." Katakanlah: "Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?

"Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah." (at-Taubah: 65-66)

Oleh kerana itu apa sahaja yang berkaitan dengan syiar agama Allah, adalah suci mesti disanjung dan dihormati.

Adapun yang terdapat dalam akhbar-akhbar Harakah, tidaklah termasuk dalam perkara seperti yang disebut di atas, jika ada terjemahan al-Quran atau terjemahan hadis sahaja, jika tidak ada ayat al-Quran atau hadis yang ditulis sepenuhnya.

Terjemahan itu dan sebutan-sebutan kalimah Allah dan Rasul pada Harakah memanglah wujud. Oleh itu akhbar Harakah itu hanyalah akhbar dan tuntutan syarak kepadanya tidaklah sampai sehingga menghormati dan menyanjunginya seperti yang disuruh kita menyanjungi syiar-syiar agama Allah. Yang nyata, Harakah adalah sebuah akhbar.

Akan tetapi oleh kerana pada Harakah tercatat nama Allah yang Agung dan nama Muhammad, sebagai akhir zaman yang juga agung, maka Harakah wajar dipelihara dan jangan sesekal dipijak atau digunakan untuk membungkus barang-barang haram. Jangan digunakan untuk membungkus sesuatu yang hina seperti memasukkannya ke dalam tandas dan sebagainya. Ia wajar dijaga.

Untuk mengelak daripada berlakunya kejadian-kejadian seperti di atas, maka elok sangat, ia dilupuskan sahaja, seperti membakarnya. Ia dibenarkan. Hatta, al-Quran lama yang tidak digunakan atau hampir musnah dan tidak boleh digunakan, maka ia hendaklah dilupuskan dengan pelbagai cara.

Antaranya ialah dengan membakarnya. Ada juga ulama yang melarang ia dibakar, disarankan ia ditanam, atau diikat dengan benda berat dan dicampakkan ke dalam laut atau sebagainya.

Bertindaklah dengan matang dan sesuai untuk melupuskan akhbar-akhbar tersebut. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din