Sahabat Sejati

Monday, 29 August 2011

Salam Aidilfitri 1432H



Assalamualaikum wrm. wbt,

Taqabballahu Minna wa Minkum Solehal A`mal, Kullu`Am wa Antum Bilkhair...
(Semoga Allah menerima amal soleh (ibadatnya) dari kami dan juga kalian, setiap tahun kalian sentiasa di dalam kebaikan...)

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat hari raya aidilfitri, maaf zahir batin kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan.

Marilah kita semua kembali kepada kebenaran. Kukuhkan semula tautan ukhuwah,jalinkan semula ikatan yang longgar, rebutlah peluang beramal ibadat sementara usia masih tersisa. Sesungguhnya hidup ini tidak akan terduga bila tamat riwayatnya, entahkan sampai bila kita mampu menghirup dan menghembus udara. Kemudian kita akan kembali kepada-Nya.

Justeru, sentiasalah berada di landasan yang diredhai-Nya.

Kami redha Allah sebagai Tuhan kami, Islam sebagai agama kami, Muhammad sebagai Nabi dan Rasul-Nya.

Maafkan seadanya...

“Selamat hari raya,...kosong, kosong ye…”

Entahlah, semacam ada yang tidak kena tatkala mendengar ucapan-ucapan yang sedemikian.

Gersang.

Tawar dan hambar.

Apakah ucapan hari raya dan permohonan maaf itu sekadar adat atau seloka yang terlafaz tanpa sebarang makna?
Pernahkah kita memikirkan betapa besarnya permohonan maaf itu?
Bolehkah ucapan yang seperti itu mampu meraih keampunan dan menjernihkan perhubungan?

“Ketahuilah sesungguhnya Allah SWT tidak memakbulkan doa yang datang dari hati yang lalai.” (al-Hakim dan at-Tirmidzi yang mensahihkannya)

Kemaafan bukan sekadar perhiasan atau kosmetik yang memeriahkan Aidilfitri, tetapi permohonan yang menjadi punca kepada tautan ukhuwah dan kejernihan hati.

Maka bersungguhlah dalam memohon kemaafan, lahirkan dari hati yang tunduk dan ikhlas.

Semoga ia menjadi bekal untuk meraih keredhaan-Nya dan punca kejenihan fitrah di pagi lebaran nanti.

Maafkan seadanya.

Sunday, 28 August 2011

Cetusan rasa: kemaafan

Abu Hurairah meriwayatkan daripada Rasulullah bersabda:
Musa bin Imran bertanya: "Hai Tuhanku, siapakah hambaMu yang paling mulia di sisi-Mu? Firman-Nya: "Siapa yang mengutamakan kemaafan sedangkan dia mampu untuk membalas kejahatan orang lain."

Indahnya kehidupan tanpa persengketaan, tatkala semua orang tidak segan memohon kemaafan dan tidak lokek memberi kemaafan.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat." [al-Hujurat: 10]

Saturday, 27 August 2011

Cerita lailatul qadar

Lailatul Qadar adalah kemuncak kepada agenda ibadah bulan Ramadhan. Setiap orang yang yakin dan percaya akan bersungguh memburunya, kerana besar ganjaran yang akan diperolehi darinya.

Sebagaimana sabda Rasulullah saw: “Sesiapa yang bangun (beribadat) pada malam al-Qadar dengan penuh keimanan dan Ihtisab, maka baginya keampunan untuk dosa-dosa yang lepas.” (Bukhari dan Muslim)

Semasa kecil, saya sering mendengar orang tua-tua bercerita mengenai lailatul qadar.

Kata mereka,pada malam itu pokok akan sujud ke bumi, air akan menjadi beku, alam menjadi sunyi sepi tanpa suara riang-riang dan cengkerik malam dan bermacam-macam kepelikan lagi. Dan itulah yang saya pegang sejak sekian lama.

Pernah juga saya bangun waktu malam untuk melihat kalau-kalau pokok sujud dan membuka paip air, manalah tahu jika air paip menjadi beku. Otak budak-budak ketika itu. Yang pastinya saya tidak pernah melihat peristiwa itu berlaku. Sedikit demi sedikit pegangan itu terhakis dari fikiran, setelah usia mula menginjak kematangan.

Sebagaimana yang disebut oleh Prof Hamka semua perkara-perkara itu tidak dapat dipertanggungjawabkan menurut ilmu agama yang sebenarnya.

Wallahua`lam.

Tetapi saya tidak nafikan, sesungguhnya Allah Maha Berkuasa untuk melakukan sedemikian, malah lebih dari itu lagi. Bukanlah sesuatu yang rumit. Tetapi tidaklah menjadi syarat bahawa lailatul qadar mesti terjadi perkara itu. Kadang-kadang suasana biasa sahaja tanpa ada sebarang keganjilan. Namun, sekiranya kita bersungguh-sungguh dan konsisten beribadah bermula satu Ramadhan hingga penghujungnya, tidak mustahil kita akan memperolehinya walaupun tanpa sebarang tanda-tanda kepelikan yang berlaku. Insya-Allah, kerana dalam sebulan Ramadhan, akan berlaku satu hari lailatul qadar.

Sebenarnya pokok memang sentiasa tunduk dan sujud kepada Allah SWT tanpa mengira masa. Pokok sujud dalam erti kata patuh dan taat kepada perintah dan ketentuan Allah yang disebut dengan ‘Sunnatullah’ atau ‘Sunnah Alam’.

Pokok membesar menjulang ke langit tidak tunduk mencucuk bumi. Pokok memerlukan udara, air dan baja untuk hidup. Pokok berbunga dan berbuah menurut masa yang ditentukan. Ada buah yang gugur sendiri dan ada yang perlu dikait atau petik. Daun yang hijau apabila tua berwarna kuning layu dan gugur. Semuanya menurut sunnatullah.

Begitu juga dengan makhluk Allah yang lain seperti matahari yang tunduk dan patuh kepada Allah memancarkan cahayanya pada waktu siang, manakala bulan menyusul pada malamnya. Tidak pernah keduanya berebut atau bertukar masa terbit. Termasuklah anginyang bertiup, petir dan kilat yang memancar, lautan yang terbentang, sungai yang mengalir dan sebagainya tunduk dan sujud pada sunnatullah. Tidak sekali-kali mengingkarinya.

Lailatul Qadar

Allah SWT berfirman:

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam al-Qadar. Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sehingga terbit fajar.” (al-Qadar: 1-5)

Menurut Prof Hamka di dalam Tafsir al-Azhar, lailatul qadar diertikan dengan malam kemuliaan, kerana setengah dari erti qadar itu adalah kemuliaan. Dan boleh juga diertikan lailatul qadar itu dengan malam Penentuan, kerana pada waktu itulah mulai ditentukan khittah atau langkah yang akan ditempuh oleh Rasul-Nya di dalam memberi petunjuk bagi umat manusia. Kedua-dua makna ini adalah betul iaitu jika diertikan kemuliaan bermaksud mulai malam itulah kemuliaan tertinggi dianugerahkan kepada Nabi saw, kerana itulah permulaan malaikat Jibril menyatakan diri di hadapan baginda di dalam gua Hira`.

Jika diertikan dengan penentuan, bermaksud malam itu dimulai menentukan garis pemisah antara iman dan kufur, Islam dan kufur serta syirik dan tauhid. Maka teranglah dari kedua makna itu, lailatul qadar adalah malam yang amat istimewa.

“Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran pada suatu malam yang diberkati, dan sesungguhnya Kamilah yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.” (ad-Dukhan: 3-4)

Tingginya nilai malam tersebut melebihi seribu bulan. Pada kali pertama dan utama itu Jibril memperlihatkan dirinya kepada Muhammad menurut keadaan yang asli, sehingga Nabi saw sendiri pernah mengatakan bahawa hanya dua kali baginda dapat melihat Jibril dalam keadaan sebenarnya. Iaitu pada malam al-Qadar atau malam Nuzul al-Quran di gua Hira`. Dan melihatnya sekali lagi di Sidratul Muntaha ketika peristiwa Isra` dan Mi`raj. Manakala ketika yang lain baginda melihat Jibril dalam penjelmaan manusia, sepertimana yang pernah Jibril merupakan dirinya dengan sahabat Nabi saw iaitu Dahiyyah al-Kalbi.

Bilakah masanya lailatul qadar

Ahli-ahli hadis dan riwayat membincangkan dengan panjang lebar mengenai bilakah berlakunya lailatul qadar. Disebutkan di dalam Kitab Fathul Baari syarah Bukhari dari Ibnu Hajar al-Asqalani dinyatakan lebih 45 qaul tentang malam terjadinya lailatul qadar.

Begitu juga dinukilkan di dalam Kitab Nailul Authar oleh al-Imam as-Syaukani. Tetapi terdapat juga riwayat yang kuat menyatakan berlaku pada 10 akhir Ramadhan. Dikatakan Nabi saw lebih menguatkan ibadahnya berbanding malam-malam sebelumnya serta mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah. Baginda mahu supaya mereka juga tidak ketinggalan di dalam mendapat kebaikan yang disediakan Allah SWT.

Abdullah bin Ma`ud, asy-Sya`bi, al-Hasan dan Qatadah pula berpendapat bahawa malam itu adalah malam 24 Ramadhan. Alasan mereka adalah kerana ada hadis dari Wasthilah bahawa al-Quran diturun pada 24 Ramadhan.

Malah, ada sebahagian ulama yang menyatakan bahawa sepanjang Ramadhan itu boleh menjadi lailatul qadar.

Bilakah waktunya bukan persoalannya, apa yang penting marilah kita mengisi Ramadhan dengan sebaik-baiknya. Ikhlaskan diri dalam beramal tanpa mengira malam-malam tertentu. Hakikatnya hanya Allah SWT sahaja yang mengetahui dan menetapkan sebarang malam untuk menjadi malam al-qadar. Seperti yang saya tegaskan di awal tadi beribadatlah dengan konsisten sepanjang Ramadhan, bermula awal hingga akhirnya. Insya-Allah kita akan beroleh lailatul qadar yang diimpikan.

Bersama memburunya...

(Rujukan Tafsir al-Azhar oleh Prof Hamka)

Wednesday, 24 August 2011

Puasa tanpa solat

فَأَقِيْمُوا الصَّلاَةَ إِنَّ الصَّلاَةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ كِتَابًا مَوْقُوْتًا
"Maka dirikanlah olehmu akan sembahyang sesungguhnya sembahyang itu difardhukan ke atas orang mukmin pada waktu yang ditetapkan." (an-Nisa’: 103)

Solat adalah salah rukun Islam. Ia merupakan tiang yang menegakkan agama, atau ibadah pengabdian kepada Allah SWT yang paling utama. Namun berapa ramai umat Islam hari ini yang meninggalkannya.

Ya, tidak mudah mendirikan solat, kerana Allah SWT sendiri menyatakan bahawa solat itu amat berat melainkan bagi orang-orang yang khusyuk.

Sebab itu kita tidak pelik jika sekiranya ada orang yang sanggup bertahan untuk berpuasa selama 13 jam tetapi mengabaikan solat yang hanya sekitar 10 hingga 15 minit.

Anehkan?

Yang mewajibkan solat dan puasa adalah Tuhan yang sama, tetapi mengapa ada pemisahan.

Sesungguhnya rukun Islam itu berkaitan antara satu sama lain serta saling lengkap melengkapi. Jika salah satu daripada rukun itu tidak dilaksanakan, maka pincanglah agama.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

“Sesungguhnya yang paling mula-mula dihisab pada seorang hamba di hari Kiamat daripada amalannya ialah solat. Sekiranya solatnya baik, maka dia akan berjaya dan selamat. Sekiranya solatnya rosak, maka dia akan kecewa dan rugi”. (Riwayat at-Tirmizi, an-Nasaei dan Ibnu Majah).

video

Sunday, 21 August 2011

Apa pandangan Islam terhadap ISA?


Soalan:

Apakah pandangan Islam terhadap hukuman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan diminta diberikan dalil-dalilnya.

Jawapan:

ISA begitu terkenal dalam masyarakat, khususnya orang-orang politik. Sebut sahaja ISA sudah cukup untuk meremang bulu tengkuk. Gerun dan amat menyayat hati apabila kita singkap kisah-kisah yang berlaku disebaliknya.

ISA dihasilkan pada zaman keselamatan negara amat terancam oleh anasir-anasir komunis. Pada era pasca Perang Dunia kedua, di mana komunis bermaharajalela dengan pelbagai keganasan berlaku sebagaimana dimaklumi ramai, hingga ke era Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957.

Pada zaman itu pegawai-pegawai keselamatan, belum sampai ke tahap mengendalikan keselamatan dengan benar-benar berkesan dan terjamin keselamatan negara.

Darurat menjadi satu fenomena yang dihadapi semua anggota masyarakat. Pelanggaran undang-undang bermaharajalela, yang pada ketika itu, amat wajarlah undang-undang yang dinamakan ISA dengan menahan orang-orang yang disyaki, tanpa dibicarakan.

Kini, kita telah 54 tahun merdeka. Pegawai-pegawai keselamatan boleh dikatakan lengkap. Mereka boleh mengendalikan soal keselamatan umum. Mahkamah-mahkamah telah canggih. Pegawai-pegawai yang terlatih dalam bidang-bidang berkaitan semuanya telah tersedia.

Maka sepatutnya semua kes yang melibatkan keselamatan jika benar-benar ada, hendaklah dibawa ke muka pengadilan, dengan memberi hak kepada yang dituduh untuk membela diri, dan boleh dihukum, jika ia benar-benar bersalah.

ISA kini adalah suatu kuasa menahan atau memenjarakan seseorang itu tanpa sebarang tuduhan atau sebarang kesalahan yang jelas dituduh seseorang itu melakukannya.

Mengapa tidak dibawa orang yang tertuduh itu di bawah undang-undang yang sedia ada?

Islam adalah agama sejagat. Undang-undangnya dari Allah SWT. Undang-undang Allah lengkap dan sempurna, mencakupi segala aspek kehidupan.

Firman Allah (mafhumnya): "Dan Kami turunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab (al-Quran) dengan membawa kebenaran, untuk mengesahkan benarnya Kitab-kitab Suci yang telah diturunkan sebelumnya dan untuk memelihara serta mengawasinya.

Maka jalankanlah hukum di antara mereka (Ahli Kitab) itu dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kepadamu), dan janganlah engkau mengikut kehendak hawa nafsu mereka (dengan menyeleweng), daripada apa yang telah datang kepadamu daripada kebenaran. Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing).

Dan kalau Allah menghendaki nescaya Ia dijadikan kamu satu umat (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Ia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu. Oleh itu berlumba-lumbalah kamu membuat kebaikan (beriman dan beramal soleh). Kepada Allah jualah tempat kembali kamu semuanya, maka Ia akan memberitahu kamu apa yang kamu berselisihan padanya." (al-Maidah: 48)

Di bidang undang-undang, Allah menetapkan perkara yang amat penting padanya, iaitu mestilah adil.

Firman Allah (mafhumnya): "Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesunggunya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan." (al-Maidah: 8)

Untuk mendapatkan keadilan, Islam mengamalkan dasar keadilan yang diterima umum dalam perundangan iaitu' yang dituduh tidak bersalah selagi tidak dibuktikan kesalahannya.'

Islam telah lama mengamalkan prinsip itu dengan hadis Rasulullah saw yang jelas (mafhumnya): "Jika yang menuduh dan yang kena tuduh berada di hadapanmu (kadi), maka jangan sesekali kamu menghukum sebelum kamu mendengar hujah-hujah kedua-duanya dengan teliti."

Di dalam hadis riwayat Imam at-Tirmidzi, Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): "Bebanan pembuktian adalah terletak ke atas orang yang membuat tuduhan, dan yang kena tuduh, hendaklah membuktikan sebaliknya."

ISA seolah-olah menafikan hak orang yang kena tuduh. Ia menafikan hak seseorang itu membuat penafian di mahkamah, iaitu menurut proses pendakwaan dan penafian yang sah.

Oleh itu mereka yang dipenjarakan tanpa pembicaraan adalah suatu kezaliman. Keadilan ke atas orang yang kena tuduh adalah berkaitan dengan hak asasi manusia sejagat. Hak itu perlulah dijaga dengan baik.

Firman Allah SWT (mafhumnya): "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat." (an-Nisa`: 58)

Ingatlah bahawa Allah SWT menerima permohonan orang yang kena zalim, sama ada lambat atau cepat. Yang pasti di akhirat nanti Allah akan menolong orang yang kena zalim dan membalas si zalim di atas kezalimannya.

Oleh itu kita yang berada pada zaman yang serba canggih dengan ilmu pengetahuan dan kebolehan asas untuk menegakkan keadilan kepada masyarakat, amat wajar undang-undang yang ada unsur-unsur kezaliman seperti ini, dihapuskan dan digantikan dengan undang-undang yang jelas memberikan hak kepada seseorang tertuduh untuk mendapat keadilan dalam mempertahankan haknya. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Jangan Buruk Sangka Pada Tuhan



Jiwa yang penuh kasih sayang akan melahirkan seorang pengasih. Jiwa yang dibangun dengan kekentalan akan membentuk seorang juara. Jiwa yang terasuh dengan pengorbanan akan membina seorang pejuang. Jiwa yang terisi ilmu bermanfaat akan menemani seorang pemikir. Jiwa yang sentiasa kuat tidak akan membenci episod kegagalan kerana ianya adalah sebahagian daripada pengalaman perjalanan sebuah kehidupan.

Jiwa yang sering berkecai akan memadamkan seri wajah. Jiwa yang kekontangan kasih akan terasa sakit bila melihat kasih sayang. Jiwa yang lemah akan senang mengalah. Jiwa yang rosak akan sentiasa buruk sangka pada takdir andai ditimpa kegagalan atau musibah.

Sebuah karya motivasi. Membacanya seolah anda sedang menilik cermin tentang sikap diri dan masyarakat.

Tajuk : Jangan Buruk Sangka Pada Tuhan
Penulis : Zulnaidi Yaacob
Penerbit : MUST READ SDN BHD
M/S : 132
Harga : SM 18.00 / SS 21.00

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

Thursday, 18 August 2011

Hasad dengki yang membakar

Jalan menuju ke rumah bonda

Kesempatan pulang ke kampung amat saya nantikan. Selain dapat bertemu bonda dan keluarga, bermacam-macam lagi aktiviti yang dapat saya lakukan.

Di antaranya membersih halaman rumah bonda.

Memotong rumput, mengumpul daun-daun kering dan kayu-kayu buruk kemudian membakarnya. Ahh...terasa puas. Maklumlah di tempat tinggal saya, tidak ada peluang membakar sampah kerana akan mengganggu penghuni yang lain, biasalah taman perumahan.

Tak pasal-pasal nanti di saman pihak perbandaran...

Melihat yang tersirat

Saya mengumpul daun-daun kering di tempat pembakaran lalu menghidupkan api. Dengan cepat api memakannya. Asap berkepul-kepul naik ke udara. Saya mencampakkan pula ranting-ranting dan kayu-kayu buruk. Sekejap sahaja api semakin marak menyala itu membaham kayu-kayu tadi.

Bahang panas memijar ke muka, tidak tertahan rasanya. Hmm...baru api dunia, tidak sampai sebesar debu berbanding api neraka yang sememangnya tiada terbanding akan kepanasannya. Di dalam al-Quran, Allah SWT menceritakan bagaimana keadaan orang-orang kafir tatkala melihat api neraka yang menjulang-julang.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepada kamu akan (terjadinya) azab yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua-dua tangannya. Dan orang kafir berkata, “Aduhai! Alangkah baiknya kalau dulu aku hanya menjadi tanah!” (an-Naba’: 40)

Sesalan dan keluhan! Di saat ianya tidak berguna lagi. “Kalau dahulu aku hanya menjadi tanah, kalau dulu aku tidak menjadi manusia. Tidak tercatat dalam diari kehidupan, tentu tidak begini azab yang aku rasakan.

Sesalan yang tiada gunanya.

Hasad dengki umpama api

Melihat api yang semakin marak membakar, lantas benak saya ligat mengingatkan pada satu peringatan Nabi saw:

“Hendaklah kamu menjauhi sifat hasad dengki, kerana sifat dengki itu menghapuskan segala amalan kebajikan seperti mana api memakan kayu-kayu.” (Riwayat Abu Daud dari Abi Hurairah)

Begitu buruk sekali kesan hasad dengki, sehinggakan Rasulullah saw mengumpamakan ia sebagai api yang membakar segala kebaikan.

Hasad atau dengki merupakan sifat yang amat tercela. Ia bersumberkan dari iri hati atau ketidaksenangan dalam hati. Ia amat keji kerana boleh mendatangkan akibat buruk bukan sahaja kepada orang didengkikannya, bahkan kepada puak dan masyarakat seluruhnya. Apabila bersarang sifat dengki, maka segala kebaikan akan lenyap dan terhapus sama sekali. Yang tinggal hanyalah keburukan dan dendam kesumat sahaja.

Oleh yang demikian tiap-tiap orang Islam hendaklah menjauhkan diri daripada hasad dengki yang tercela ini.

Menurut Imam al-Mutawalli al-Sya`rawi, hasad adalah mengharapkan hilangnya nikmat daripada orang yang didengki melalui ucapan atau perbuatan.

Yang dimaksudkan nikmat ini ialah yang berbentuk dunia seperti kekayaan harta, pangkat, keluarga yang bahagia, kecantikan, kesihatan dan lain-lain lagi. Maakala ada nikmat yang berbentuk akhirat seperti iman, amal, taqwa dan sebagainya. Jadi, orang yang hasad ini akan cuba untuk menghilangkan nikmat-nikmat tersebut yang ada pada orang lain.

Sebagaimana sabda Rasulullah saw: “Ingatlah bahawa setiap nikmat Allah SWT ada musuhnya.” Baginda saw ditanya: “Siapakah musuh nikmat-nikmat Allah SWT itu, ya Rasulullah. Jawab Rasulullah saw: “Musuh tersebut ialah mereka yang dengki terhadap nikmat kurniaan Allah SWT yang diberikan kepada manusia lain.” (Riwayat at-Thabrani)

Hasad boleh berlaku kepada sesiapa sahaja baik orang miskin, kaya, jahil, berilmu, berjawatan, yang berpengaruh dan sebagainya. Orang kaya boleh hasad kepada orang kaya yang lain, mungkin juga orang kaya boleh hasad kepada orang miskin, agar orang miskin itu sentiasa miskin. Begitu juga orang yang berilmu, boleh hasad kepada orang berilmu yang lain atau kepada orang jahil. Begitulah seterusnya.

Bersihkan hati

Bagi insan yang bersih hatinya dari sifat hasad dan dengki, ia akan masuk syurga. Hal ini telah disabdakan Nabi saw sebagai berikut. Anas ra. bercerita:

“Pada suatu hari kami duduk-duduk bersama Rasulullah saw, maka baginda berkata: “Sebentar lagi akan ada yang masuk dari pintu itu seorang laki-laki dari penghuni syurga.” Tidak lama kemudian maka masuklah seorang laki-laki dari Ansar sambil menyeka dan menggerak-gerakkan janggutnya dari air wudhuk, ia membawa seliparnya pada tangan yang kiri, lalu memberi salam. Pada keesokkan harinya baginda saw berkata lagi, bahawa seorang ahli syurga itu akan masuk lagi. Betul ternyata orang itu masuk lagi. Kemudian pada hari ketiga Rasulullah saw berkata begitu pula; dan orang itu pun masuk (ke masjid).”

Setelah Rasulullah saw bangun, orang itu diikuti oleh Abdullah bin Umar dan Abul Ash, lalu berkatalah Abdullah kepadanya:

“Saya bersumpah, tidak akan bersama Nabi di masjid selama tiga hari. Kalau anda berkenan saya akan tinggal di rumahmu selama tiga hari.”

Orang itu berkata: ”Baiklah!”

Abdullah tinggal di rumah orang tersebut selama tiga malam, ia tidak melihat ahli syurga itu bangun untuk bersolat malam. Hanya setiap ia berbalik ke tempat tidurnya dia menyebut nama Allah (berzikir). Dan ia tidak bangun hingga fajar menyinsing. Tetapi Abdullah tidak pernah mendengar dari mulutnya kecuali perkataan yang serba baik.

“Setelah selesai tiga hari, hampir-hampir saja saya mencela amalnya, kerana saya melihat ia tidak berbuat apa-apa,” kata Abdullah bin Umar.

Ku katakan kepadanya: “Wahai hamba Allah, antara saya dan ayah saya tidak ada suatu yang membuatnya marah sehingga saya ingin tinggal di sini. Namun saya mendengar Rasulullah saw berkata begini dan begitu kepada anda.”

Orang itu menjelaskan: “Dan itu kerana engkau melihatku tidak lebih dari itu.”

Setelah saya pergi, maka ia memanggilku. Dia lalu berkata: “Saya tidak berbuat kecuali seperti yang anda lihat, hanya saja dalam jiwa dan hati saya tidak ada sifat hasad, dengki atau iri hati, atau ingin menipu dalam nikmat yang dianugerahkan Allah kepada orang lain.” Abdullah bin Umar berkata kepadanya:

“Itulah sifat yang telah sampai kepadamu yang kami tidak mampu melakukannya.” (Riwayat Imam Ahmad)

Petikan kisah di atas sangat tepat menusuk dan membekas ke dalam hati. Betapa Allah SWT menjanjikan rahmat dan syurga kepada para hamba-Nya yang bersih hati dari sifat hasad dengki, dan sangat murka kepada sesiapa yang cuba menyemarakkan api persengketaan dengan sifat hasad ini.

Hapuskanlah titik-titik hitam di hati yang sentiasa menghasut mata supaya memandang dengan pandangan hasad dengki. Buangkanlah gejolak di dalam jiwa yang dipenuhi nafsu keburukan.

Bukankah seorang mukmin terhadap mukmin yang lain adalah bersaudara?

Hindarilah sifat dengki ini, bersyukurlah kepada Allah dengan apa yang telah diberikan. Memadailah apa yang ada di tangan kita. Semoga kita semua beroleh kebaikan dan kebahagiaan.

Buang yang keruh, ambil yang jernih!

Anda mampu mengubahnya!

Tuesday, 16 August 2011

Perbanyakkan sedekah

Suatu hari, dalam sebuah bank ternama, duit seringgit telah bertemu dengan duit lima puluh ringgit. Duit seringgit pun bertanya, "Oii... lama tak nampak, mana kau pergi?"

Duit lima puluh ringgit pun menjawab, "Aku pergi merata tempat. Pergi stadium tengok bola, pergi Medan naik Air Asia, naik STAR Cruise, lepak KLCC, tengok konsert AF, Malaysian Idol, pergi Genting, main boling... tempat-tempat macam tulah. Eh engkau macam mana pulak?

Duit seringgit menjawab perlahan sambil menunduk, "Hmm... biasalah... balik-balik tempat sama... surau, masjid, surau..."

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya orang-orang yang bersedekah baik laki-laki mahupun perempuan dan meminjamkan kepada Allah pinjaman yang baik, niscaya akan dilipat-gandakan (ganjarannya) kepada mereka; dan bagi mereka pahala yang banyak.” (al Hadid: 18)

Anas ra menceritakan; Seorang lelaki bertanya Rasulullah saw: "Ya Rasulullah! Apakah sedekah yang paling afdhal?" Jawab Rasulullah s.a.w. "Sedekah pada bulan Ramadhan." (Riwayat Imam at-Tirmizi)

Imam Bukhari meriwayatkan dari Ibnu Abbas yang menceritakan:

“Rasulullah SAW adalah orang yang paling dermawan dan lebih besar kedermawannya pada bulan Ramadan ketika Jibril menemuinya. Jibril biasanya menemuinya setiap malam Ramadan, lalu tadarus al-Quran (dengan Nabi SAW). Sungguh Rasulullah ketika ditemui Jibril menjadi orang yang lebih bermurah hati dalam memberikan kebaikan, sehingga lebih banyak daripada tiupan angin.’ (Hadis Bukhari dan Muslim)

*Perbanyakkanlah bersedekah di bulan Ramadhan ini.

Monday, 15 August 2011

!!!أما استحييت تعصيني؟؟؟

video

Sekiranya nanti Tuhanku berkata padaku…
Apakah kamu tidak malu kepada-Ku dengan keingkaran dan dosamu?
Dan kamu merahsiakan dosamu dari makhluk-Ku, lalu sekarang dengan penuh dosa kamu datang mengadap-Ku?

Apakah nanti ada kata-kata yang mampu ku ungkapkan, apabila…
Apakah nanti ada kata-kata yang mampu ku ungkapkan, apabila…
Apakah nanti ada kata-kata yang mampu ku ungkapkan, apabila…

Tuhanku memurkaiku lalu menghalau daku...

Apakah Allah tiada kuasa jadikan alam secara automatik?

Soalan:

Di dalam Surah Yaasin ayat 82, Allah ada menyebutkan Kudrat-Nya semasa ingin menjadikan sesuatu, dengan hanya menyebut 'Kun' (jadilah), maka jadilah benda itu. Namun di dalam Surah Sajadah, ayat 4, Allah menyebut tentang penciptaan langit dan bumi serta seluruh isinya mengambil masa enam hari (masa). Jadi bolehkah dijelaskan, adakah Allah memerlukan masa untuk mencipta seluruh alam ini, atau menjadikannya secara automatik, seperti sekadar menyebut 'Kun' sahaja.

Jawapan:

MERUJUK kepada soalan yang anda ajukan, yang menjadi asas utama kepada kita ialah berkuasakah Allah melakukan sesuatu dengan hanya memerintah menyatakan 'Kun' sahaja, maka jadilah benda itu?

Maka jawapannya ya! Sudah tentu. Pasti Allah boleh melakukannya. Hal ini banyak dijelaskan dalam al-Quran. Antaranya seperti firman-Nya (mafhumnya): "Dan Ia menjadikan kamu mewarisi tanah-tanah dan rumah-rumah serta harta benda mereka, dan juga tanah-tanah (di negeri-negeri lain) yang belum kamu menjejaknya. Dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (al-Ahzab: 27)

Firman Allah (mafhumnya): "Tidakkah orang-orang (yang tidak mahu beriman) itu telah mengembara di muka bumi, lalu mereka menyaksikan bagaimana kesudahan orang-orang kafir yang terdahulu daripada mereka, sedang orang-orang itu lebih kekuatannya daripada mereka? Dan (sudah tetap) bahawa kekuasaan Allah tidak dapat dilemahkan atau dihalangi oleh sesuatu apa pun sama ada di langit atau di bumi; sesungguhnya Ia adalah Maha Mengetahui lagi, Maha Kuasa." (Faathir: 44)

Banyak lagi ayat-ayat yang seumpama dengannya, yang jelas menunjukkan bahawa Allah Maha Berkuasa, boleh melakukan apa sahaja dengan 'Kun Fayakun'.

Kuasa Allah itu pula, mengikut kehendak-Nya sendiri. Sama ada hendak melakukan sesuatu itu sekaligus, amat segera dan serentak berlaku, seperti Allah hendak merosakkan alam ini dengan sekelip mata, atau mengambil beberapa masa, semuanya terpulang kepada-Nya.

Yang berlaku sekelip mata, sekaligus, memang wujud. Seperti firman Allah (mafhumnya): "Dan (ingatlah), Allah jualah yang mengetahui segala rahsia langit dan bumi; tiadalah hal kedatangan hari Kiamat itu melainkan seperti sekelip mata, atau ia lebih cepat lagi; sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu." (an-Nahli: 77)

Di samping itu ada yang Allah berkehendak dengan Iradah-Nya, hendak menjadikan (mencipta)alam semesta dalam masa enam hari atau enam masa, itu terpulang kepada kebijaksanaan-Nya.

Seperti Allah hendak menjadikan Nabi Adam. Memang Allah boleh menjadikannya dengan 'Kun fayakun', tetapi Allah memilih untuk tidak melakukan sedemikian. Malah Allah memerintah malaikat, menciptakan jasadnya daripada tanah, dengan mengikuti beberapa proses kejadian. Hal ini dipaparkan dalam al-Quran.

Yang akhirnya selepas sempurna jasad Nabi Adam, beberapa ketika, mengambil masa yang agak panjang, lalu Allah meniupkan roh di dalam jasad Adam, maka jadilah Adam.

Itu kuasa Allah. Itu kehendak-Nya, dengan mengambil masa untuk menciptakan Adam.

Anak-anak Adam, Allah mengkehendakinya tercipta melalui rahim ibu secara berperingkat-peringkat, yang dimulakan melalui peringkat titisan mani. Ini disebutkan dalam sebuah hadis yang masyhur (mafhumnya): "Allah mengumpulkan kejadianmu di dalam rahim ibunya 40 hari dalam proses ketulan mani. 40 puluh hari proses menjadikannya ketulan darah, 40 hari proses kejadiannya daging, maka selepas itulah dijadikan dan disempurnakan tulang yang diselaputi oleh daging, maka jadilah ia makhluk yang serba sempurna, yang kesemuanya memakan masa dalam kandungan ibunya 9 bulan 10 hari."

Ini semua adalah proses yang dikehendaki oleh Allah SWT dengan tidak menjadikannya dengan serentak dan sekaligus dan 'Kun fayakun'.

Semuanya kehendak Allah dan Allah Maha Berkuasa melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya berdasarkan maslahah dan kepentingan serta kebaikan-kebaikan yang ada pada kejadian yang sedemikian. Apa pun yang disebut yang diolah, tidak akan terkeluar daripada kehendak Allah.

Allah SWT amat berkuasa melakukan apa sahaja atas kehendaknya, ada yang berlaku serentak dan sekaligus, ada yang mengambil masa. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Saturday, 13 August 2011

Cetusan rasa: Bukan sekadar selipar buruk

Mentari petang telah pun condong menenggelamkan cahaya merahnya. Tanda malam hampir berlabuh menggantikan siang. Pasti, tidak perlu kita tertanya-tanya apakah malam akan berkunjung selepas siang begitu juga sebaliknya. Kerana semuanya tunduk dan patuh pada aturan-Nya.

Azan maghrib sayup-sayup berkumandang dari corong pembesar suara memanggil manusia untuk datang menunaikan tanggungjawab kepada Pencipta, setelah siangnya diisi dengan mencari kehidupan.

Saya berdiri di pintu surau memerhati burung-burung yang terbang berkawan kembali ke sarang. Keluar pada waktu pagi dengan perut yang kosong, tetapi kembali pada waktu petang dengan tembolok yang penuh terisi. Itulah kasih sayang Allah, sentiasa memberikan rezeki kepada makhluk-Nya.

Sebagaimana cicak yang dunianya hanyalah melata pada dinding tetapi makanannya adalah serangga yang terbang bersayap. Tidak logikkan? Tetapi tidak pernah kita dengar ada cicak yang mati kelaparan, tidak pernah.

Subhanallah!

Dialog hati



Entah mengapa tiba-tiba hati saya digamit sehingga mata saya terdorong untuk memerhatikan selipar ‘jepun’ yang terletak di tepi tiang. Sudah lama ia disitu, seperti sengajakan ditinggalkan.

Hanya sebelah!

Usang, talinya sudah pun terputus manakala di bahagian tumitnya pula telah pun menipis menandakan sudah lama digunakan.

Mata saya memerhati, benak saya berfikir, dulu ia baharu dan menjadi kesayangan tuannya, tetapi sekarang telah pun buruk dan tidak berguna lagi. Lalu ia dibuang begitu sahaja. Maka tamatlah kisahnya.

Hati kecil pula mencelah, sekurang-kurangnya selipar jepun itu telah melaksanakan peranannya sebagai selipar.

Ya, kerana ia bukan manusia, maka ia tidak akan ditanya di akhirat tentang apa yang telah dilakukan. Walaupun si pemakainya adalah seorang yang jahat atau bukan Islam, ke mana pun ia dibawa, memijak tanah dan kotoran, hatta memijak najis sekalipun, ia hanyalah selipar dan tetap begitu keadaannya. Risiko syurga dan neraka tidak perlu susah payah difikirkannya.

Lalu saya memerhatikan pula diri saya, sebagai manusia yang diciptakan oleh Allah SWT dengan sebaik-baik kejadian. Mengikat janji mengakui bahawa Dia adalah Tuan dan saya adalah hamba.

“Bukankah Aku ini Tuhanmu?”

“Benar, bahkan kami menyaksikan!”

Saya diberikan akal fikiran untuk menentukan kebaikan dan keburukan. Tetapi adakah saya telah berperanan sebagai hamba?

Aduh, kadang-kadang terasa malu untuk mengakui seorang hamba, sedangkan tingkah dan laku jauh tersasar.

Saya tahu jika saya tidak berperanan sebagai seorang manusia yang bertaraf Muslim dan Mukmin, tentu lebih hina dari selipar buruk tadi yang telah pun melaksanakan peranan dan fungsi asasnya suatu masa dahulu.

“Adakah aku telah berperanan sebagai hamba?” Suara hati menerjah lagi. Mengasak-asak sanubari inginkan satu kepastian.

Sukar untuk saya berikan jawapannya kerana tidak sedikit kelalaian dan kealpaan yang dilakukan. Alasannya “aku hanya manusia biasa, tidak dapat lari dari kesilapan.”

Mudahnya...satu alasan.

Ya, saya tidak berkuasa menentukan taqdir hidup saya. Bahkan, untuk mengerdip mata atau mengangkat tangan bagi menutup mulut ketika menguap pun saya memerlukan pertolongan-Nya. Apatah lagi dalam pekerjaan-pekerjaan yang lebih besar. Justeru, hanya kepada-Nya saya memohon pimpinan dalam kembara hidup ini. Agar apa yang ditaqdirkan untuk saya biarlah sentiasa terisi dengan kebaikan dan keredhaan-Nya. Tanpa petunjuk-Nya pasti saya tersasar dari landasan kebenaran.

Ahhh...mengapa pula dialog hati berlaku ketika ini.

“Itu tandanya hatimu masih hidup!!!” rakan halusinasi dalam diri menjawab.

Alhamdulillah.

"(Mereka berdoa), "Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau jadikan hati-hati kami terpesong ke arah kesesatan, sesudah Engkau memberi petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami rahmat-Mu. Dan sesungguhnya Engkau Maha Pemberi." (ali-Imran: 8)

Thursday, 11 August 2011

Berlalu 10 Ramadhan

Assalamualaikum wrm. wbt.

Alhamdulillah, pertama dan selamanya marilah kita memanjatkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Tuan empunya dunia, Allah SWT di atas nikmat masa dan kesihatan. Lebih-lebih lagi nikmat Islam dan Iman yang diberikan hanya kepada mereka yang terpilih.

Syukur juga kerana masih dipanjangkan usia sehingga dapat bertemu lagi Ramadhan tahun ini. Sedangkan ramai yang tidak berpeluangbersama Ramadhan, kerana kematian telah menjemput mereka.

Firman Allah SWT: “Wahai orang-orang yang beriman! Telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu, mudah-mudahan kamu menjadi orang yang bertaqwa.” (al-Baqarah: 183)

Pantasnya masa berlalu, hari ini telah pun 10 Ramadhan, bermakna telah sepuluh hari kita menjalani ibadat berpuasa. Isilah Ramadhan yang dirindui ini dengan sebaiknya untuk kita mencari rahmat, keredhaan dan keampunan-Nya. Janganlah kita termasuk ke dalam golongan yang tidak mendapat apa-apa manfaat di bulan ini, sedangkan Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa dengan kelebihan dan keistimewaan yang melimpah-ruah baik diwaktu siang maupun malamnya.

Dari Abu Hurairah ra, beliau berkata bahawa Rasulullah saw telah bersabda: “Betapa ramai daripada orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa dari puasanya kecuali lapar dan dahaga, dan betapa ramai orang yang beribadat malam tetapi tidak mendapat apa-apa kecuali berjaga malam.”

Sesungguhnya Ramadhan adalah bulan yang penuh kerahmatan, justeru itu bina dan pupuklah kasih sayang berteraskan ukhuwwah Fillah sesama kita, hargai mereka yang tidak bernasib baik, santuni mereka yang kasar, didik mereka yang jahil, bimbing mereka yang tersasar dari jalan kebenaran. Mudah-mudahan ia menjadi penyebab turunnya rahmat dan barakah dan memayungi kita semua.

Bersungguh-sungguhlah dalam mengejar manfaat dan kelebihan Ramadhan sebagai bulan mendidik nafsu, disamping itu gembelengkan seluruh tenaga dalam meyakinkan segenap lapisan masyarakat bahawa formula untuk menyelamatkan agama, bangsa dan negara kita hanyalah apabila kita kembali kepada al-Quran yang diturunkan pada bulan ini di samping berpegang teguh kepada Sunnah Rasul-Nya.

“(Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (di antara yang hak dan yang bathil ).” (al-Baqarah: 185)

Di bulan penuh barakah ini juga, janganlah sekali-kali kita lupa akan nasib saudara-saudara kita di bumi Islam yang sedang bergolak khasnya di Palestin, Iraq dan Afghanistan, di samping mereka yang sedang bertarung nyawa di Chechnya, Selatan Filipina, Selatan Thai dan seluruh bumi umat Islam di dunia ini.

Panjatkanlah doa dan permohonan di bulan yang penuh rahmat ini, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kejayaan dan kemenangan kepada mereka setelah sekian lama hidup dalam penderitaan dan kesengsaraan, bergenang air mata serta mengalir keringat darah.

Orang-orang yang memiliki hati yang suci dan ikhlas pasti merasakan betapa besarnya nilai Ramadhan. Tidak hairanlah, sebagaimana yang disebut oleh Ma`la bin Fadhal, “Dahulu sahabat Rasulullah saw berdoa kepada Allah sejak enam bulan sebelum masuk Ramadhan agar Allah sampaikan umur mereka ke bulan yang penuh berkat itu. Kemudian, selama enam bulan sejak Ramadhan berlalu, mereka berdoa agar Allah menerima semua amal ibadat mereka di bulan itu.”

Justeru, rebutlah setiap peluang menambah ibadat yang ada dalam bulan ini. Jadikanlah madrasah Ramadhan sebulan ini untuk membersihkan karat-karat yang melekat di hati, mudah-mudahan ia akan bersinar sebagaimana fitrah kita hadir ke dunia ini.

Biarlah Ramadhan ini adalah yang terbaik dan terindah...

Wednesday, 10 August 2011

Teruskan perjalanan, walau ada yang menghiris...

Rasulullah saw insan yang mulia.

Allah SWT benar-benar mengumpulkan dalam peribadi baginda segala sifat-sifat yang baik, sempurna, keluhuran budi pekerti dan akhlaq yang terpuji. Namun seringkali mendapat cacian dan cercaan dari kaum musyrikin Quraisy yang gelap mata hati.

Maka apalagi saya, anda dan kita semua sebagai manusia yang selalu terlanjur dan tersalah, tiap detik dan ketika melakukan dosa.

Dalam hidup ini kita akan selalu bertemu kata-kata yang pedas dan memilukan. Tidak sedikit, adakalanya benar-benar menyentuh hati dan menghiris perasaan.

Adapun bila anda masih berada di tengah-tengah mereka, maka akan selalu ada perbuatan mereka yang membuat anda bersedih dan menitiskan air mata, mengocak dan mengusik ketenangan sanubari anda.

Firman Allah AWT:

“Jika kamu mendapat kebaikan, mereka bersedih (iri hati). Manakala apabila kamu ditimpa musibah mereka merasa gembira. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, nescaya tipu daya mereka tidak akan merosakkan kamu sedikitpun. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa sahaja yang mereka lakukan.” (ali-Imran: 120)

Oleh itu, siniskanlah terhadap apa yang mereka katakan, kuatkan jiwa untuk menghadapi cemuhan dan hinaan mereka. Jadilah umpama batu karang di tengah samudera, tetap kukuh dan teguh meskipun diterpa ombak-ombak ganas yang mendera.

Kita tidak akan mampu menutup mulut mereka dan menahan gerakan lidah mereka. Yang anda mampu adalah hanya mengubur dalam-dalam setiap kritikan mereka, dan bersikap acuh tak acuh terhadap mereka.

Allah SWT berfirman:

“Kamulah yang mengasihi mereka, padahal mereka tidak menyukaimu. Dan kamu berima kepada semua kita-kitab. Apabila mereka berjumpa dengan kamu, mereka berkata, “kami beriman.” Dan apabila mereka menyendiri (terpisah dari kamu) mereka menggigit hujung jari mereka kerana marah kepada kamu. Katakanlah, “Matilah kamu dengan kemarahan kamu.” Sesungguhnya Allah mengetahui apa yang terpendam di dalam dada.” (ali-Imran: 119)

Bersabarlah dengannya, bahkan tunjukkanlah sifat yang terpuji dengan memperbaiki akhlaq dan melembutkan perkataan. Itu yang sebaik-baiknya.

Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali pernah berpesan:

“Tentang celaan orang, mengapa kita mesti takut kepadanya?
Ia tidak akan menambah atau mengurangi kita sesuatu pun, selagi ALLAH tidak menentukan yang demikian itu atas diri kita.
Celaan orang juga tidak akan menyegerakan ajal kita, tidak akan melambatkan rezeki kita dan tidak akan menjadikan kita dari ahli neraka, sekiranya kita memang dari ahli syurga.
Ia tidak akan dapat menjadikan kita dibenci di sisi ALLAH, sekiranya kita memang dipuji di sisi-Nya.”

Fikir-fikirkan..................

Tuesday, 9 August 2011

Kisah di mahkamah...

Di hujung perbicaraan, seorang lelaki didapati bersalah kerana membunuh isterinya dengan mengetuk wanita itu sampai mati menggunakan tukul besi. Tiba-tiba terdengar satu suara dari galeri awam, “Kau memang kurang ajar, penipu!”

Semua yang berada di dalam mahkamah itu terkejut. Polis dan kakitangan mahkamah cepat-cepat tenangkan lelaki yang menjerit tadi.

Apabila keadaan kembali tenang, hakim menyambung keputusannya. “Raju, kamu juga dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana membunuh anak perempuan kamu dengan tukul besi.”

Terdengar suara jeritan di kerusi belakang galeri awam, “Kau memang kurang ajar, penipu!”

Polis dan kakitangan mahkamah meminta lelaki yang menjerit tadi supaya bertenang. Ini mahkamah.

Hakim menyambung lagi, “Hukuman kedua... Raju, kamu turut didapati bersalah membunuh pembantu rumah kamu menggunakan tukul besi.”

Sekali lagi lelaki di kerusi belakang galeri awam menjerit, “Kamu memang kurang ajar penipu!”

Hakim naik berang. “Diam! Saya tak mahu dengar lagi kamu menyampuk dan membuat bising. Kamu buat juga, saya akan hukum kamu kerana menghina mahkamah. Haa kamu, kenapa kamu buat bising?” Tanya hakim kepada lelaki yang menjerit dan membuat bising itu.

“Tuan hakim, mana saya tak angin satu badan, dekat 20 tahun kami berjiran tapi tiap kali saya nak pinjam tukul besi, dia kata tak ada, tak ada, tak ada...”

(Rekaan semata-mata)

Sunday, 7 August 2011

Puasa dan sabar

Pada hakikatnya puasa dan sabar amat berkait rapat.

Rasulullah saw telah bersabda dalam sebuah hadith yang dinilai sebagai hasan oleh Imam Tirmizi, "Puasa itu sebahagian daripada kesabaran."

Sabdanya lagi, "Dan ia (Ramadhan) bulan kesabaran dan kesabaran itu ganjarannya syurga." Riwayat Ibnu Khuzaimah di dalam Kitab Sahihnya.

Apabila seseorang berpuasa dengan ikhlas maka dia akan bersabar untuk menahan dirinya daripada segala perkara yang membatalkan puasa. Dia perlu bersabar dengan semua kategori kesabaran. 3 kategori sabar:

Pertama: Sabar untuk melakukan ketaatan
Kedua: Sabar untuk meninggalkan maksiat
Ketiga: Sabar di atas ujian Allah yg menyakitkan

Ketiga-tiga kategori sabar itu terdapat di dalam ibadah puasa.

Sebegitu besar keutamaan bagi orang yang memiliki sifat sabar, sudah tentu kita tertanya-tanya apakah maksud sabar. Sabar dari sudut bahasa bermaksud menahan. Ada pun dari sudut istilah, ia bermaksud kekuatan jiwa untuk menahan dari berakhlak buruk apabila munculnya sesuatu.

Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan amalan hamba-Nya yang bersabar dengan diganjar kebaikan di dunia dan akhirat.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira” (az-Zumar: 10).

“Malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (memberi hormat dengan berkata): ‘Selamat sejahteralah kamu, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu.” (al-Ra’d: 23-24)

Maka, berpuasa dan bersabarlah. Insya Allah, akhirnya adalah syurga.

Thursday, 4 August 2011

Puasa bukan untuk bermalasan


Puasa memang meletihkan, memenatkan ditambah dengan lapar dan dahaga. Tetapi bukan alasan untuk bermalas-malasan. Ada yang menyatakan bahawa puasa melembabkan, membantutkan produktiviti dan bermacam-macam alasan untuk meremehkan puasa.

Buktinya, di dalam sejarah apabila Presiden Tunisia yang pertama Habib Bourguiba (1957 – 1987) telah mengeluarkan arahan tidak membenarkan penjawat awam di negaranya berpuasa di bulan Ramadhan. Alasannya mudah, berpuasa mengurangkan produktiviti.

Beliau dan anggota kabinetnya telah muncul secara langsung di kaca televisyen pada tengahari bulan Ramadhan sambil makan beramai-ramai.

Pemikiran sceptic!

Tetapi salahnya bukan pada puasa tetapi manusia.

Satu analogi.

Jika anda ternampak sebuah kereta yang tersadai melanggar tiang lampu, apakah anda akan menyalahkan kereta?

Tidak mungkin. Tiada yang akan menyalahkan kereta.

Sebaliknya semua orang akan menyalahkan pemandunya. Itu yang sebetulnya.

Badar al-Kubra

Peperangan Badar al-Kubra ini telah berlaku pada 17 Ramadhan tahun 2 Hijrah di mana pada tahun ini juga Allah mewajibkan berpuasa sebulan Ramadhan. Peristiwa ini berlaku apabila Rasulullah saw sendiri yang mengetuai pasukan tentera Islam seramai 313 orang berhadapan dengan 1000 orang tentera kafir Quraisy.

Jika kita berfikir sejenak, apakah Allah SWT tidak mengetahui bahawa tentera Islam sedang berpuasa? Jadi, mengapa diwajibkan berperang sedangkan ketika itu masing-masing dalam keadaan lapar dan keletihan.

Jelas bagi kita bahawa Allah SWT ingin menunjukkan bahawa walaupun sedang berpuasa tetapi bukan alasan untuk bermalas-malasan, meletihkan dan sebagainya. Terbukti tentera Islam menang dalam peperangan tersebut.

Bagaimana keadaan kita hari ini, adakah puasa untuk bermalasan dan mengurangkan produktiviti?

Tepuk dada tanya iman di dalam dada...

Wednesday, 3 August 2011

Gapai cita-cita dengan usaha

Dunia tidak dibangunkan dengan angan-angan dan khayalan kosong. Dunia sentiasa bergerak.

Berangan-angan dan berkhayal kosong hanyalah membuat jiwa menjadi beku dan kaku. Hidup bagaikan terhenti. Hanya berlegar di ruangan mimpi, hidup dalam dunia sendiri tanpa mempedulikan apa yang berlaku di sekeliling.

“Orang sudah menjejak kaki ke bulan, namun kita masih lagi berseloka dengan peribahasa bagai pungguk rindukan bulan.”

Ada yang mimpikan menjadi kaya-raya tetapi malas bekerja dan berusaha. Ada yang ingin menjadi cerdik pandai tetapi malas belajar. Ada yang berangan-angan mahu masuk syurga tetapi culas dalam beramal. Apakah mungkin menjadi kenyataan!

Sabda Rasulullah saw:

“Sesungguhnya Allah SWT menyukai apabila seseorang kamu bekerja dan melakukan pekerjaan itu dengan tekun.” (Riwayat Abu Daud).

Apabila seorang Muslim suka membuat sesuatu pekerjaan dengan tekun dan bersungguh-sungguh sehingga selesai dan sempurna pekerjaannya, maka dia termasuk dalam kategori manusia yang disukai oleh Allah SWT.


Ambillah hikmah dari kehidupan semut! Mereka bergerak dan bergerak untuk terus hidup. Apakah pernah melihat seekor semut yang membuang masa, bersahaja tanpa melakukan apa-apa kerja. Tidak! Sebaliknya semut sama-sama berganding bahu membangunkan komunitinya.

Benar, bersungguh-sungguh mencapai impian dan cita-cita.

Berkhayal atau impian kosong tidak sama dengan cita-cita, kerana cita-cita memerlukan perancangan dengan teliti dan rapi. Kemudian berusaha untuk menggapai apa yang diimpikan itu. Bukan hanya duduk bersahaja sambil tangan menupang dagu, ataupun hanya terbaring di tempat tidur sambil tangan melekat di dahi.

Khalifah Umar bin Khattab ra. Pernah berpesan dengan menyeru umat Islam supaya tidak malas bekerja: “Janganlah setiap orang daripada kamu suka duduk bermalas-malas daripada berusaha mencari rezeki sambil berdoa; Wahai Tuhanku, berilah rezeki kepadaku, sedang dia tahu sebenarnya langit tidak pernah menurunkan hujan emas dan perak.”

Keazaman yang gigih dan usaha yang berterusan untuk mencapai cita-cita adalah kunci kepada kejayaan.

Usaha tangga kejayaan!

Catatan Ramadhan 1


Hari pertama Ramadhan 1432H.

Sang mentari memancarkan cahaya cerahnya, bersama hembusan bayu sejuk sekali-sekala.

Cuaca sebegini menimbulkan kedamaian dalam hati. Terselit rasa syukur yang tidak terhingga kerana masih dipanjangkan usia untuk bertemu dengan Ramadhan kali ini. Semoga dapat menikmati keberkatan Ramadhan sehingga ke penghujungnya.

Apabila manusia berdoa agar dipanjangkan umur, terdapat perbincangan di kalangan ulama tentang keharusan dan manfaatnya apabila berdoa sedemikian. Mungkin pada pandangan kita, panjang umur bermaksud dangan bertambahnya usia ataupun dengan lamanya hidup. Namun di sisi Allah lain pula perkiraannya, kerana Allah memanjangkan usia dengan meningkatkan kualiti dan nilai pada hidup.

Sebagai contoh, Imam Nawawi walaupun usianya hanya 45 tahun tetapi namanya masih disebut sehingga ke hari ini. Begitu juga dengan para ulama yang lain, masih lagi disebut namanya.

Ramadhan ini tanpa anak sulong, yang telah menginap di asrama SMAPT. Teringat saya kepada kenangan yang sama ketika tinggal di asrama waktu bersekolah dahulu. Berbuka, berterawih, bertadarus dan bersahur bersama rakan-rakan. Seronoknya.

Hilang teman ke masjid berterawih seperti tahun-tahun sebelumnya.

Persiapan berbuka

Perjalanan pulang dari tempat kerja saya singgah di kedai rakan, Ustaz Suhaimi Saad untuk membeli tamar. Juadah berbuka tahun ini amat sederhana, sama sepertimana tahun lalu hanya tamar dan sedikit kuih yang dibuat sendiri serta air. Alhamdulillah, itupun sudah mencukupi.

Cuba untuk bersederhana, mengubah kebiasaan berlebihan dalam berbuka puasa. Ramadhan bulan untuk berjimat-cermat. Ramadhan sepatutnya menjadi pesta ibadah tetapi bertukar kepada pesta makan.

Saya bertarawih di Musolla ar-Raudhah, penggeraknya adalah Ustaz Nasrudin Thantawi, cukup subur dengan majlis ilmu. Solat tarawih diadakan di perkarangannya yang diberi nama Dataran Ilmu Imam Nawawi. Malam ini tazkirah disampaikan oleh Ustaz Mohd Nor Hamzah dari Terengganu.

Malam ini

Sukar benar untuk melelapkan mata.

Fikiran bercampur baur, banyak yang menerjah di minda. Sesekali ingatan menjengah rakan-rakan yang telah mendahului, yang pastinya mereka semua tidak mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir.

Sedih dan sebak.

Mudah-mudahan Allah SWT memberikan rahmat dan kerehatan buat mereka.

Demikian jua buatku janji yang pasti itu...Benak mencelah menyampaikan ingatan.

Dalam kelip-kelip mata yang menanti terkatup, saya berdoa memohon dari-Nya...

Ya Allah, kurniakanlah kepada kami lisan yang lembut basah untuk mengingati dan menyebut nama-Mu. Hati yang penuh segar mengingati-Mu, serta badan yang ringan menyempurnakan ketaatan kepada perintah-Mu. Ya Allah, kurniakanlah kami deen, cara hidup yang jitu dan unggul, selamat dari segala mara bahaya dan petaka.

Ya Allah, kami memohon kecukupan yang tidak sampai kami terpaksa meminta jasa orang lain. Berikanlah kepada kami iman yang sebenarnya, sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain dari-Mu. Kembangkanlah lembayung rahmat-Mu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa sahaja yang bersama-sama kami.

Ya Allah, janganlah biarkan nasib kami ditentukan oleh kami sendiri, walau kadar sekelip mata atau kadar masa yang lebih cepat dari itu. Wahai Tuhan yang melimpah ruah rahmatnya dan cepat memperkenankan permintaan. Perkenankanlah...

Akhirnya...zzzzz...zzz

Monday, 1 August 2011

Hukum jual beli gamat, lintah

Soalan:

Saya ada persoalan dalam isu jual beli. Saya terbaca artikel yang menyatakan ‘tokke’ (sejenis cicak besar) adalah haram. Jelas haramnya. Ia adalah cicak yang menjijikkan tidak kira apa alasan penjualannya, adalah haram. Bagaimana pula dengan gamat, lintah dan sebagainya. Harap dapat memberikan penjelasan yang jelas. Terima kasih.

Jawapan:

Semua perkara atau benda dalam alam ini, hukum awalnya adalah harus pada dasarnya. Melainkan dinyatakan haramnya dengan jelas, maka haramlah ia.

Inilah yang disebutkan dalam syarak sebagai `al-ibaahah al-asliyyah`. Maksudnya asal sesuatu itu adalah harus.

Contohnya, tanda awalnya arak, judi, tenungan nasib, pada asalnya adalah harus. Sehinggalah Allah SWT menurunkan ayat yang mengharamkannya maka jadilah ia haram.

Firman Allah SWT (mafhumnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (al-Maidah: 90)

Bagi binatang-binatang yang anda kemukakan dalam soalan, tiada penjelasan yang khusus dalam mana-mana ayat al-Quran dan as-Sunnah. Akan tetapi termasuk di dalam sebutan Allah pada ayat-ayat umum yang boleh dimasukkan di dalamnya.

Seperti firman Allah SWT (mafhumnya): “Iaitu orang-orang yang mengikuti Rasulullah (Muhammad saw) Nabi yang ummi, yang mereka dapati tertulis (namanya dan sifat-sifatnya) di dalam Taurat dan Injil yang ada di sisi mereka. Ia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik (tayyibat), dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk (khabais), dan ia juga menghapuskan daripada mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka. Maka orang-orang yang beriman kepadanya, dan memuliakannya, juga menolongnya, serta mengikut nur (cahaya) yang diturunkan kepadanya (al-Quran), mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (al-A`raf: 157)

Ayat-ayat sebegini banyak terdapat dalam al-Quran.

Perkataan `tayyibat` bermaksud baik, sedap, enak, citarasa dan sebagainya. Akan tetapi siapakah yang menentukannya sedangkan setiap bangsa ada citarasanya sendiri.

Yang baik bagi sesuatu bangsa, mungkin tidak baik bagi bangsa yang lain.
Sebagai contoh `ad-Dhab` atau biawak padang pasir. Memang menjadi kegemaran Arab, malah ada kalangan sahabat Nabi Muhammad saw yang menyukainya. Tetapi Nabi Muhammad yang pernah dihidangkan kepada baginda `ad-Dhab` itu, baginda tidak menjamahnya dan mempelawa sahabat-sahabat memakannya.

Tetapi bagi orang Melayu, haiwan yang bernama biawak itu, sukar hendak diterima sebagai makanan yang menyelerakan. Lebih-lebih lagi biawak dalam penghidupan orang Melayu di kampung-kampung.

Maka dalam hal ini, terpulang kepada masyarakat setempat, yang pada kepentingan umumnya sesuatu makanan atau haiwan yang digunakan untuk makanan, sama ada baik atau tidak, terpulang kepada penilaian sesuatu masyarakat yang berkenaan.

Yang jelas banyak sangat perkara seperti ini, tidak terdapat nas yang jelas sama menghalal atau mengharuskannya, melainkan nas yang saya bawakan di atas.

Oleh itu gamat misalnya, sudah terkenal lama dan diterima masyarakat umum sebagai makanan dan dijadikan ubat atau minyak yang sudah diujikaji ada kemanfaatan kepada manusia, serta tidak termasuk dalam perkara yang menjijikkan.

Adapun jika ada seorang dua yang masih jijik kepadanya, maka ia tidak boleh dijadikan sebagai hukum. Gamat adalah harus, lebih-lebih lagi ia digunakan untuk kegunaan perubatan dan ianya tidak menjijikkan.

Adapun mengenai lintah, ada dua kategori yang jelas padanya. Untuk makan lintah, sup lintah atau apa sahaja untuk dimakan. Maka ianya menjijikan. Tekak orang Melayu tidak boleh menerimanya kerana ia termasuk dalam golongan `khabais`. Menjijikkan.

Maka untuk makanan ianya adalah haram.

Adapun jika digunakan lintah itu untuk menghisap darah para pesakit dan terbukti kaedahnya. Jika ia tidak menjijikkan, maka ia adalah harus bagi tujuan pengubatan.

Dengan lain perkataan, digunakannya untuk luaran atau external use bukannya untuk internal use.

Apa yang saya sebutkan ini tidak terkeluar daripada sebuah hadis yang disabdakan oleh Rasulullah saw (mafhumnya): “Sesungguhnya Allah mewajibkan kamu melakukan beberapa perkara, maka jangan dipersia-siakan. Diharamkan ke atas kamu beberapa perkara, jangan kamu lakukannya. Didiamkannya beberapa perkara sebagai rahmat ke atas kamu, bukan kerana lupa, maka jangan kamu mencungkil-cungkil untuk membahaskannya."

Maksud ungkapan akhir hadis ini, bahawa Allah SWT dan Rasul-Nya tidak menyebut hukum haram tentang sesuatu perkara bukan kerana lupa, tetapi kerana kelonggaran yang diberikan.

Di atas kelonggaran yang diberikan, maka hukumnya adalah harus sebagaimana yang saya huraikan di atas. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Ramadhan Kareem...Munawwar


Remang-remang mentari petang
Melambai Sya`ban kian menghilang
Ramadhan dinanti penuh harapan
Pesta ibadah pohon keberkatan

Di kesempatan yang terluang, ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Mudah-mudahan sepanjang Ramadhan ini kita semua sentiasa dilimpahi rahmah dan barakah.

Dari Ubadah bin Shamit, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkatan, Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu. Kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapat rahmat Allah di bulan ini.” (Riwayat at-Thabrani)

Sesungguhnya puasa Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Puasa Ramadhan adalah proses melatih kita mengawal diri.

Kita tidak makan bukan kerana tiada makanan. Kita tidak minum bukan kerana tiada minuman. Kita tidak makan dan minum kerana mentaati perintah Allah SWT, walaupun ketika itu kita mempunyai segudang makanan dan minuman. Itulah latihan mengawal diri.

Penuhi siang dengan kebaikan sesama manusia
Isikan malam dengan mengharap kebaikan daripada Allah.

Selamat mencari taqwa!