Sahabat Sejati

Monday 5 December 2011

Samakah mempersoal, meremehkan hukum Allah?

Soalan:

Adakah dengan semata-mata mempersoalkan hukum Allah, itu juga dia dianggap mempersenda-sendakan hukum Allah, meremeh-remehkan hukum Allah yang akan mendapat seksaan Allah? Betulkah begitu?

Jawapan:

MEMPERSOALKAN hukum-hukum Allah, boleh diperincikan kepada beberapa kategori. Sekurang-kurangnya tiga kategori.

Pertama, menyoal untuk meluaskan pengetahuan, dengan niat untuk mendalami ilmu agama untuk diamalkan. Ini tidak syak lagi adalah harus, malah sangat-sangat digalakkan.

Inilah yang disebut di dalam al-Quran, menceritakan umat Islam pada zaman awal (zaman Rasulullah saw).

Sahabat-sahabat sering bertanya kepada Rasulullah saw, antaranya firman Allah (mafhumnya): “Mereka bertanya kamu (wahai Muhamad) tentang peperangan di bulan haram (bulan yang dilarang berperang). Jawablah bahawa berperang di bulan itu adalah berdosa besar.” (al-Baqarah: 219)

Firman Allah (mafhumnya): “Mereka bertanya kamu tentang roh. Jawablah kepada mereka bahawa roh itu adalah urusan daripada Tuhanku dan kamu tidak diberi ilmu pengetahuan tentangnya melainkan yang sedikit.” (al-Isra’: 85)

Contoh-contoh sebegini banyak terdapat di dalam al-Quran. Hukumnya adalah harus dan tidak ada kena mengena dengan penghinaan kepada hukum-hukum Allah.

Kedua, bertanya sesuatu dengan niat untuk menguatkan keimanan kepada Allah SWT. Ini boleh. Sebagaimana Nabi Ibrahim as. bertanya Allah tentang bagaimana Allah menghidupkan orang yang telah mati

Kisah ini terdapat di dalam al-Quran sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Dan (ingatlah) ketika Nabi Ibrahim (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan makhluk-makhluk yang mati?” Allah berfirman: “Adakah engkau belum percaya (kepada kekuasaan-Ku)?” Nabi Ibrahim menjawab: “Bahkan (aku percaya dan yakin), akan tetapi (aku memohon yang demikian ialah) supaya tenteram hatiku (yang amat ingin menyaksikannya).” Allah berfirman: “(Jika demikian) ambillah empat ekor burung, kemudian kumpulkanlah olehmu (dan cincanglah semuanya). Setelah itu letakkanlah di atas tiap-tiap sebuah bukit sebahagian daripadanya. Kemudian serulah burung-burung itu nescaya semuanya akan datang kepadamu dengan segera.” Dan ketahuilah sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana).” (al-Baqarah: 260)

Persoalan yang sebegini semata-mata kerana ingin tahu, bertujuan mendalami dan meyakini hukum Allah, maka ia diharuskan.

Kategori yang ketiga, mempersoalkan hukum-hukum Allah dengan niat untuk menghina hukum atau sengaja memperolok-olokkannya. Ini yang ditegah dan dilarang.

Contohnya seperti soalan, mana lebih baik dihukum pencuri dengan memotong tangannya dan cacat dia sepanjang hidup, tanpa dia dapat menyumbang ke arah pembangunan negara, berbanding memulihkannya menerusi pendidikan menjadi warganegara yang berguna dan terselamat dia daripada dipotong tangan.

Atau dengan lebih jelas merendah-rendahkan hukum Allah dengan pertanyaan, mana lebih baik, batu-batan yang ada ini digunakan untuk melontar orang yang berzina atau menggunakannya bagi pembinaan jalan raya, yang jelas manfaatnya untuk pembangunan.

Persoalan itu berbaur ejekan dan merendah-rendahkan hukum Allah. Kepada golongan ini, Allah mengingatkan mereka, sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejekan-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”
“Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak daripada kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah).” (at-Taubah: 65-66) Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

0 comments:

Post a Comment