Sahabat Sejati

Sunday 11 December 2011

Bicara santai: Hujan hari minggu


Hari ini seharian hujan turun di tempat saya. Bermula dari pagi membawa ke malam. Jika berhenti pun dalam sepuluh hingga dua puluh minit, selepas itu hujan semula. Tidak pelik, musim tengkujuh!

Teringat zaman budak-budak dulu, sajian yang menyelerakan di musim tengkujuh. Ubi kayu rebus cicah kelapa parut, diganding pula dengan kopi ‘O’ panas. Fuhh...

Hujan yang mengganas di luar menaikkan selera makan. Indahnya kehidupan lalu, ia kenangan sepanjang zaman.

Cuti hujung minggu begini ditambah dengan hujan yang turun mencurah-curah, tidak banyak yang boleh dilakukan. Banyak berkurung di dalam rumah melayani karenah anak-anak. Maghrib dan Isya` pun tidak ramai yang hadir berjemaah di musolla. Bukan bererti saya ‘bagus’ dapat hadir berjemaah walaupun dalam keadaan hujan, sebenarnya rumah saya kebetulan berhampiran dengan musolla. Jika tidak saya pun sama terkulai layu di rumah. Manusia bukannya sempurna, ada hari-harinya iman mencanak naik ada pula hari iman layu serendah-rendahnya...

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.” (al-Anfal: 2)

Bertambah iman bermaksud pertambahan di dalam keyakinan mereka. Di mana meyakini setiap firman-firman Allah SWT adalah bukti keimanan.

Begitu juga Rasulullah saw pernah ditanya oleh seorang lelaki iaitu: “Adakah sesungguhnya iman itu bertambah dan berkurang?” Baginda Rasulullah saw telah membenarkan pertanyaan lelaki tersebut.

Iman yang sempurna lahir dari keyakinan yang bertapak kukuh di dalam hati terhadap kebesaran Allah SWT. Dengan keyakinan itu maka suburlah kecintaannya kepada Allah SWT. Apa sahaja perintah-Nya akan dituruti, baik suruhan maupun tegahan.

Bumi masih lagi diterjah hujan, mungkin berterusan hingga ke tengah malam. Mudah-mudahan hujan rahmat.

Catatan ini bukanlah ilmiah, jauh sekali berfalsafah. Sekadar perkongsian rasa seorang yang biasa-biasa sementara menanti mata terlena.

Mudah-mudahan iman itu sentiasa subur di jiwa ini.

4 comments:

CETUSAN SEIKHLAS RASA said...

Singgah dan terpikat dgn n3... maka duduklah sebentar membaca dan menghayatinya. Masih mencari iman dalam diri... semakin mengenalinya maka semakin cinta terhadap agama pilihanku... ISLAM.

abuikhwan said...

terima kasih atas persinggahannya...

Nazihah@Jiha said...

Hujan rahmat Allah :)
seronok membacanya ustaz.

abuikhwan said...

alhamdulillah, puji-pujian hanya buat-Nya. terima kasih atas sokongannya...

Post a Comment