Sahabat Sejati

Saturday 31 December 2011

Insya-Allah, kami akan turun...kerana sayang

“Enta buatkan risalah untuk edaran malam tahun baru nanti,” kata sahabat saya, Ustaz Zaki beberapa hari yang lalu.

“Insya-Allah, nanti ana cuba buatkan,” saya menjawab.

Hari ini 31 Disember, bermakna hari yang terakhir bagi tahun 2011. Malam ini sudah pasti gegak-gempita dan hiruk-pikuk sambutan tahun baru. Kebanyakan tempat akan berpesta menyambutnya. Maka penuhlah lokasi-lokasi yang berkenaan dengan muda-mudi, tidak kurang juga yang menghampiri usia senja.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, kami DPPIM akan turun juga pada malam tahun baru, bukan untuk menyambutnya, tetapi terlibat dalam program mengedarkan risalah dakwah. Tidak hanya malam tahun baru, termasuk malam sambutan kemerdekaan, malam valentine dan sebagainya.

Setahun yang lalu

Saya teringat ketika program edaran risalah dakwah pada tahun lepas. Sasaran malam itu ialah muda-mudi di beberapa lokasi di antaranya Teluk Cempedak, Taman Esplanade dan lain-lain. Kami berkumpul di Masjid Negeri serta diberikan taklimat oleh ketua XPDC. Kami dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan bergerak ke lokasi yang telah ditetapkan.

Kami dinasihatkan supaya membuka kopiah. Kami juga dinasihatkan supaya bermanis muka dan jangan melayan sebarang provokasi. Kami diingatkan bahawa kami membawa mesej DUTA PENYELAMAT DAN KASIH SAYANG. Saya pula mengingatkan diri supaya tidak merasa lebih mulia dari mad'u. Dalam al-Mustakhlas fi Tazkiyyat al-Anfus tulisan Syaikh Sa'id Hawwa rahimahullah, ada dinukilkan kata-kata Abu Yazid al-Bustomi rahimahullah,

ما دام العبد يظن أن في الخلق من هو شر منه فهو متكبر
"Selagi mana seseorang hamba menyangka ada makhluk yang lebih buruk daripadanya, maka dia ialah seorang yang takabbur; sombong..."

Saya ditugaskan mengedar risalah dakwah bersama kumpulan di lokasi Teluk Cempedak. TC singkatannya. Lokasi perkelahan popular yang juga merupakan tempat muda-mudi memadu asmara dan melampiaskan nafsu. Di Teluk Cempedak, kita boleh menikmati pemandangan Laut China Selatan di samping menyaksikan maksiat anak muda yang bermaharajalela tanpa mengenal dosa pahala.

Sejurus berdoa memohon keselamatan, kami memulakan langkah dengan diiringi harapan dipermudahkan segalanya.

Kami tiba di Teluk Cempedak dan mula mengedarkan risalah. Kami dekati sepasang kekasih. Si lelaki berkata, "Perempuan di sebelah ini isterinya.." Wallahua`lam. Jika dia menipu, maka dia tambah dosanya. Kami berbual pendek, hulurkan risalah dan beredar. Kami bukan budak kecil yang mudah ditipu. Tapi kami tak mahu penipuannya melarat. Kami juga tiada kuasa untuk soal siasat.

Kami terus berjalan. Susah juga mahu memanjat batu besar. Teapi ada dua pasangan di atasnya. Pandai betul mereka memanjat. Kawan kami hulurkan risalah, nasihat supaya bubar lalu kami beredar. Apabila berpatah balik, kami dapati mereka masih di situ. Mereka tahu kami cuma orang biasa, tiada kad kuasa. Lalu, beberapa pegawai dari Pejabat Agama menuju ke sana. Hah, siap la mereka!

Di dalam sebuah pondok, terlihat kelibat dua orang manusia. Seorang rakan pergi kepada mereka manakala yang lain menunggu di belakang. Kami diingatkan supaya jangan melingkungi mereka seperti samseng. Kami bukan mahu memukul. Kami hanya mahu menjentik hati. Apabila didekati, si lelaki segera mengalihkan tangannya dari bahu si gadis. Apabila disoal siapa gadis di sebelah, dia pula menyoal si gadis. Si gadis membisu. Oh, mungkin mereka terlupa mereka tiada sebarang hubungan pun sebenarnya.

Kami juga tertipu dengan penampilan luaran sesetengah orang. Seorang brader yang kelihatan rock dengan mudah menerima risalah yang dihulurkan sambil mengucapkan terima kasih dan mengukirkan senyuman. Seorang brader yang berwajah skema pula hanya memandang dengan ekor mata dan berwajah masam. Walaupun kami tidak berkopiah, kami tetap dikenali. Mungkin kerana sejemput janggut pada dagu kami dan risalah pada tangan kami. Maka apabila melintas di hadapan sekumpulan anak gadis Melayu, ada di kalangan mereka yang bertakbir raya 'menyambut' kami. Sakitnya hati hanya Allah Yang Maha Tahu.

Kerana sayang

Titt....titt...titt...

Tiba-tiba telefon bimbit saya berbunyi.

“Assalamualaikum, kepada semua sahabat. Program edaran risalah dakwah malam ini bersempena sambutan tahun baru. Minta berkumpul di Musolla ar-Raudhah jam 11.00 malam. Jazakallah”

Insya-Allah, malam ini kami akan turun!

Kerana sayang...

Setahun yang lalu

Friday 30 December 2011

Malunya pada diri sendiri


Saya benar-benar maksudkannya.

Kadang-kadang saya terasa malu sendiri. Tidak tahu ke mana mahu disembunyikan wajah ini. Apa tidaknya, seringkali saya mencuaikan perintah-perintah-Nya. Alasannya mudah: "Aku manusia biasa, tidak dapat lari daripada membuat kesilapan." Cukup mudah, itulah yang diratib setiap kali terlanjurnya kelalaian diri. Sedangkan apa yang diberi tidak terhitung jumlahnya, manakala sedikit sahaja syukur yang dipersembahkan.

Kadang-kadang saya terasa malu sendiri. Entah bagaimana mahu diungkapkan bual bicara. Apa tidaknya, ada ketika saya seolah-olah melupakan-Nya. Lebih-lebih lagi apabila terasa diri cukup sempurna. Sedangkan Dia tidak pernah menyisihkan saya walau jangka satu kerdipan mata. Setiap detik saya sentiasa dalam pengawasan-Nya.

Saya mengaku mencintai-Nya, namun berapa pula nilai harganya. Apa tidaknya, ia hanyalah getaran rasa pada sepasang bibir, tetapi amat sedikit yang menembusi dasar hati. Bimbang benar jika cinta yang menjadi wirid di kelopak bibir hanyalah pemanis tanpa perisa di hujung lidah semata.

Saya merintih memohon keampunan-Nya.

Kadang-kadang saya terasa malu sendiri. Tatkala menyelak lembaran-lembaran kalamullah. Lidah terkedu sedangkan hati berdetik, saat bebola mata terpana menatap firman-Nya yang mulia:

"Demi kuda perang yang berlari kencang termengah-mengah."
"Dan kuda yang memercikkan bunga api (dengan pukulan kuku kakinya)."
"Dan kuda yang menyerang (dengan tiba-tiba) pada waktu pagi."
"Sehingga menerbangkan debu-debu."
"Lalu menyerbu ke tengah-tengah kumpulan musuh."
"Sesungguhnya manusia itu sangat engkar, (tidak bersyukur)kepada Tuhannya."
"Dan sesungguhnya dia (manusia) menyaksikan (mengakui) keengkarannya."
(al-'Adiyat: 1-7)

Masya-Allah...

Apakah yang Dia mahu sampaikan dalam surah yang pendek ini? Adakah sekadar satu kisah yang dibaca setiap kali membuka kitab-Nya. Tiadakah pengajaran yang terkandung di dalamnya?

Mustahil, mana mungkin ia sia-sia begitu sahaja!

Mari kita fikirkan bersama.

Berfikir dan ambil pengajarannya

Sesungguhnya Allah sedang membuat satu perbandingan. Ya, perbandingan buat manusia yang mempunyai akal fikiran dan digunakannya untuk mencari pengajaran, agar hati sentiasa tunduk dan patuh kepada-Nya.

Memang ia kisah kuda perang.

Kuda yang digunakan untuk berperang, justeru ia mestilah kuda yang tangkas dan gagah. Tidak kurang pula keberaniannya memencak derapan langkah. Ia sentiasa menemani tuannya di medan perang dan sentiasa berisiko untuk kehilangan nyawa di perbatasan yang dahsyat.

Makanan hariannya tidak seenak mana. Hanya berupa rumput kering dan air kosong yang tidak dimasak. Tempat tidurnya, sekadar pondok beralaskan jerami kering. Tiada yang istimewa hanya ala kadar sahaja.

Ia berjuang bersama tuannya dengan bersungguh-sungguh. Allah SWT menceritakan bahawa bersemangatnya kuda perang ini. Derapan kakinya memercikkan api serta menaikkan debu-debu ke udara. Ia sanggup bangkit ketika dini hari dan bergerak ke medan perang tanpa bantahan. Ia menyerbu berani ke tengah-tengah kumpulan musuh, walaupun tindakannya membahayakan nyawa. Ia tetap setia menurut perintah tuannya.

Melihat diri

Saya memerhati tembus ke dalam diri.

Membanding-banding pula dengan diri saya yang dianugerahi bermacam-macam nikmat. Bermula dari mencelikkan mata sehinggalah melelapkan mata kembali. Segalanya adalah nikmat-Nya. Sedangkan dapat melelapkan mata juga adalah nikmat yang tidak terkira besarnya.

Saya mempunyai akal, sedangkan kuda perang tidak berakal. Namun ketaatan kepada tuannya terlalu besar. Kuda perang apabila mati, ia akan dilupakan begitu sahaja. Malah perkiraan syurga neraka juga tiada padanya.

Ahh...bagaimana pula ketaatan saya kepada Tuan yang menciptakan saya, yang melimpah-ruah pemberian-Nya. Dia yang sentiasa mencurahkan nikmat kasih sayang dan segala nikmat yang tidak terhitung. Tidakkah saya perlu lebih hebat lagi ketaatan kepada-Nya berbanding kuda perang kepada tuannya?

Aduhh...saya menjerit. Kepala saya bagaikan dihempuk sebutir batu yang besar.

Keinsafan segera menerjah. Saya dikurniakan akal, maka sepatutnya saya menggunakannya untuk berfikir akan tanggungjawab seorang hamba. Kepatuhan dan ketundukan yang melebihi kuda perang tersebut.

Ya, seharusnya begitu.

Semoga hari-hari yang dilalui akan menambah ketaatan kepada-Nya.

Thursday 29 December 2011

Hukum atas nama menjual hutang

Soalan:

Saya telah memberikan hutang RM100 ribu kepada kawan saya sebagai modal perniagaannya dan sudah sampai masa untuk beliau membayarnya, tetapi beliau meminta tangguh. Lalu saya mendesaknya membayar walau dengan apa cara sekalipun, atas keperluan saya pula. Kawan kepada kawan saya itu datang bersama dengannya, berunding dan menawarkan kepada saya, agar hutang itu dijual kepadanya dan dia sanggup membeli hutang itu dengan harga yang sedikit kurang. Tetapi beliau sanggup membayarnya. Saya tertarik dengan tawaran itu, kerana boleh mendapat balik wang saya, walau pun sedikit kekurangan, tetapi lebih baik 'have something from get nothing'. Tetapi saya ragu. Boleh atau tidak saya menjual hutang itu kepada seseorang atas nama menjual hutang? Mohon perjelaskan.

Jawapan:

PERSOALAN anda tersimpul dalam permasalahan ekonomi Islam yang disebutkan sebagai 'al-bai`u daym' atau jual hutang.

Haruskah atau tidak bermuamalah dengan hutang yang dijadikan barang dagangan dan berjual beli dengannya.

Perbahasan hukum syarak tentang persoalan 'al-bai`u daym' ini, perlulah difahami terlebih dahulu bahawasanya ia bukan sekadar jual hutang yang difahami ramai, sebagai wang tunai yang dihutangkan kepada seseorang dan hutang itu hendak dijual kepada seseorang yang lain pula.

Ini adalah salah satu daripada jenis-jenis hutang yang termasuk dalam istilah 'al-bai`u daym'.

Hutang juga meliputi bayaran terhadap sesuatu jenis barangan yang ditangguhkan pada mulanya. Atau bayaran kepada sewa yang tertunggak. Atau ganti rugi yang perlu dibayar kepada keluarga mangsa kerana terlibat dalam sesuatu jenayah, seperti membunuh dengan tidak sengaja, ini disebut dalam istilah syarak sebagai 'arsy'.

Ganti rugi kerana kerosakan harta benda dan berbagai-bagai lagi. Ini semua dapat dikategorikan sebagai hutang.

Penjualan hutang yang saya kategorikan di atas, termasuk dalam persoalan yang berlaku terhadap diri anda, yang hendak anda jualkan hutang kepada seseorang, hukumnya tidak disemuapakati ulama.

Anda yang kata harus dan ada yang kata tidak harus. Ada yang kata harus dengan berbagai-bagai syarat.

Dalam Mazhab as-Syafie, secara umum ulama-ulama muktabarnya berpendapat, menjual hutang yang tersebut di atas kepada pihak yang ketiga, adalah harus (dibolehkan) dengan syarat, hutang tersebut 'tsabit' tanggungan pembayarannya dan terjamin untuk mendapat balik wang tersebut kepada pihak ketiga, meskipun memakan masa.

Semua yang terbabit disyaratkan berpuashati transaksi tersebut. Namun yang demikian, disyaratkan juga bahawa, pembayaran kepada belian hutang tersebut hendaklah dengan segera (tunai) tanpa bertangguh. Jika berlaku pembayaran tertangguh, maka akan berlaku pembelian hutang yang bertangguh, harga belian yang juga bertangguh, maka transaksi sedemikian tidak berguna.

Oleh kerana itu maka diharuskan pembelian balik hutang secara tunai.

Maksudnya, apabila berlaku transaksi sedemikian, maka masalah pembayarannya mesti secara tunai, harga tukarannya dengan wang tunai atau boleh juga bukan dengan wang tunai tetapi dalam bentuk barangan yang sama nilainya dengan wang tunai tersebut.

Dengan syarat wujud persetujuan dengannya dicapai oleh semua pihak, iaitu bersetuju hutang tersebut dilangsaikan secara tunai.

Maka merujuk kepada persoalan yang anda ajukan di atas, mengikut Mazhab as-Syafie, anda harus berbuat demikian atas nama transaksi penjualan hutang dengan belian tunai sama dalam bentuk tunai atau barangan. Ia harus menjadi harta yang anda persetujui bersama dan redha-meredhai.

Sebenarnya inilah transaksi perniagaan yang diamalkan dalam sistem perbankkan Islam yang terkandung dalam amalan 'akad' yang terkandung dalam 'mu`aawadzah maliyyah' (akad pertukaran harta).

Antara transaksi-transaksi yang terlibat adalah akad murabahah, akad ijarah, akad bai` bitahamin ajil', akad istisna' dan lain-lain. Semuanya, secara umumnya adalah harus, berpandukan kepada hujah-hujah syarak, yang dijelaskan oleh ulama-ulama muktabar dalam Mazhab as-Syafie. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Wednesday 28 December 2011

Sama jeee....

Suatu hari sepasang suami isteri tua pergi ke klinik. Si suami mengadu isterinya diserang penyakit lupa. Doktor pun memegang bahu si isteri, dan bertanya...

“Makcik... umur makcik berapa?

Makcik itu pun mengira-ngira jarinya. “20 tahun, doktor,” jawabnya.

Doktor tersenyum. Dia bertanya lagi, “berapa ketinggian makcik?”

Makcik itu berfikir sambil menggaru-garu kepala lalu memberitahu, “dua kaki doktor.”

Doktor itu bertanya lagi, “berat badan makcik berapa?”

Makcik menggaru-garu kepala lagi, “errr...dua kilo agaknya.”

Doktor mengeleng-gelengkan kepala. Dia menulis sesuatu di atas kertas, dan menyuruh makcik itu keluar dahulu. Nanti dia akan panggil semula dan berikan ubat. Kemudian doktor itu memanggil lelaki tua tersebut dan berkata...

“Saya tengok isteri pakcik ni dah serius sangat. Ingatannya dah terjejas teruk. Tapi sebelum saya terangkan lebih lanjut keadaannya serta cara rawatan, saya nak tanya dulu, apa nama pakcik?”

“Nama saya tuan doktor?”

Doktor mengangguk.

Mulut pakcik itu tiba-tiba terkumat-kamit. Selang beberapa ketika, barulah dia menjawab, “Kassim, doktor.”

Doktor berasa pelik. Lalu dia pun bertanya, “apa yang mulut pakcik terkumat-kamit tadi tu?”

Jawab pakcik tersebut: “Ohhh...saya nyanyi lagu, “Happy birthday to you. Happy birthday to you. Happy birthday to.......”

Doktor: "Sama je...(dalam hati)

Tuesday 27 December 2011

Tua yang begitu? Moga dilindungkan...

“Dan Allah menciptakan kamu, kemudian kamu diwafatkan-Nya. Dan di antara kamu ada yang berusia lanjut (tua bangka) sehingga tidak tahu apa-apa lagi (sudah nyanyuk). Sesungguhnya Tuhan Maha Mengetahui lagi Maha Kuasa.” (an-Nahl: 70)

Tua? Mungkin sampai...mungkin tidak.

Sampai jika panjang umurnya.

Maka jadilah si tua yang mulia. Sebagaimana yang diisyaratkan Rasulullah saw, panjang umur dalam ketaatan kepada Allah SWT.

Si tua yang telah tiada tetapi masih disebut orang namanya.

Si tua yang sentiasa dicerita akan kebaikan, dikenang segala pengorbanan.

Si tua yang menjadi kebanggaan anak, cucu serta keturunan.

Jangan jadi si tua yang berhati muda. Tidak sedar hakikat diri, sedangkan rumah kata pergi kubur kata mari.

Anak cucu pun dah meluat tidak mahu ambil peduli.

“Kami berlindung kepada-Mu dari penghujung hidup yang sedemikian.”

Salam buat warga tua yg taatkan ALLAH, dan kasihkan Rasul-Nya.......

Sunday 25 December 2011

Ghazwah Khaibar di akhir Muharam

Assalamualaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, marilah kita memperbanyakkan syukur kepada Allah SWT kerana masih lagi diberikan kehidupan hingga ke saat ini. Tiadalah nikmat yang dipinta melainkan diberikan hidayah untuk terus berada di dalam ketaatan dengan melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran.

Mudah-mudahan kebaikan yang dilakukan dan kemungkaran yang ditinggalkan akan diberi ganjaran pahala yang pasti dihitung pada hari pertemuan di akhirat kelak. Berbahagialah mereka yang kebaikannya melebihi keburukan, sebaliknya sesiapa yang keburukan melebihi kebaikan, maka penyesalannya sudah tidak berguna lagi.

Justeru, dengan usia yang bagaikan berbaki di hujung jari gunakanlah sebaiknya. Gunakanlah kesempatan yang anda untuk menambah amal, lantas memperolehi keredhaan-Nya. Kita harapkan demikian.

Ghazwah Khaibar

Kita telah pun berada pada hari-hari terakhir bulan Muharram. Seperti yang selalu kita dengar banyak peristiwa penting telah berlaku di dalam bulan ini. Salah satunya ialah Ghazwah Khaibar atau peperangan Khaibar. Penting untuk kita fahami, ada peperangan yang dipanggil ghazwah dan ada yang dipanggil sariyah.

Jika disebut ghazwah bermakna peperangan itu turut disertai Rasulullah saw. Manakala jika peperangan yang tidak disertai oleh Rasulullah, maka ia disebut sariyah.

Khaibar adalah sebuah kota besar dikelilingi tembok berbenteng dan taman-taman, jaraknya ke Madinah 60 atau 80 batu di sebelah utara, tapi sekarang sebagai sebuah kampung dengan cuacanya yang kurang baik untuk kesihatan.

Ghazwah Khaibar berlaku pada akhir Muharram, tahun ke-7 Hijrah bersamaan bulan Mei / Jun 628 Masehi. Khaibar merupakan sebuah oasis besar yang didiami oleh Yahudi.

Sebab berlaku peperangan

Setelah Nabi saw memperolehi keamanan daripada pihak Quraisy hasil perdamaian yang dicapai di Hudaibiah, Baginda memutuskan untuk membersihkan saki baki Yahudi di sekeliling Madinah.

Tindakan ini diambil setelah Yahudi dibersihkan daripada Kota Madinah. Yahudi di Khaibar mempunyai kubu-kubu yang kukuh. Di dalamnya terdapat kira-kira 10000 orang pejuang. Mereka juga mempunyai kemampuan senjata dan peralatan yang besar di samping terkenal sebagai pakar muslihat, permainan kotor dan tipudaya. Oleh itu, masalah ini perlu dibersihkan segera sebelum mereka menjadi punca kekacauan dan kebimbangan orang Islam di ibukota mereka, Madinah.

Apa yang dikatakan Khaibar sebagai pencetus kesemuanya, ini kerana kita tidak boleh melupai usaha-usaha penduduk Khaibar yang menghimpun tenaga Barisan Bersekutu untuk memerangi kaum muslimin, malah mereka juga yang menginisiatifkan kepada Bani Quraidhah supaya mengkhianati orang-orang Islam, dan mereka jugalah yang bertindak membuat hubungan dengan musuh dalam selimut iaitu kaum munafiqin, juga hubungan dengan Ghatafan dan Arab-arab Badwi yang merupakan sayap ke tiga kepada Barisan Bersekutu. Malahan mereka sendiri sudah pun mempersiapkan diri untuk memasuki kancah peperangan, mereka sudah pun memulakan percubaan itu dengan beberapa siri serangan, di antara yang terkutuk ialah mereka merencana untuk membunuh Rasulullah saw.

Berhadapan dengan usaha jahat mereka, kaum muslimin terpaksa menghantar beberapa unit tentera ke sana, hinggalah kepada tindakan membunuh kepala samseng dan perancang kejahatan seperti Salam bin Abi al-Haqiq dan Asir bin Zarim, namun kewajipan kaum muslimin terhadap golongan Yahudi ini lebih besar dari itu. Ditangguhkan operasi, kerana kekuatan yang lebih besar dan seteru yang lebih biadab lagi iaitu Quraisy sedang mengancam mereka. Oleh itu sebaik sahaja kaum muslimin melangsaikan perkiraan mereka dengan golongan pengkhianat itu kini tiba masanya pula untuk membuat perkiraan dengan golongan Yahudi Khaibar.

Ibnu Ishak mengisahkan katanya: Sekembalinya dari al-Hudaibiah, Rasulullah tinggal di Madinah. Baginda tinggal di sana pada sebahagian dari bulan Zulhijjah dan Muharam. Di akhir bulan Muharam Baginda keluar ke Khaibar.

Ahli tafsir mengatakan: Bahawa Khaibar itu adalah janji yang telah dibuat oleh Allah SWT di dalam firman-Nya yang bermaksud:
Allah menjanjikan kamu rampasan-rampasan yang banyak kamu mengambilnya namun Allah menyegerakan bagi kamu yang ini.(iaitu perjanjian al-Hudaibiah manakala rampasan-rampasan yang banyak ialah Khaibar). (al-Fath: 20)

Apabila Rasulullah saw hendak keluar ke Khaibar, Baginda mengiklankan bahawa yang akan turut serta hanya orang yang ingin berjihad sahaja, oleh itu yang turut serta hanyalah mereka berbaiah al-Ridhwan. Bilangan mereka 1400 orang.

Rasulullah melantik Siba' bin 'Arfatah al-Ghifari sebagai amir al-Madinah. Tetapi, kata Ibnu Ishak: Namilah bin Abdullah al-Laithi. Namun pendapat yang pertama lebih sahih pada pandangan golongan pengkaji.

Di masa itu Abu Hurairah pun sampai ke Madinah mengiklan keislamannya, di sana beliau sempat dengan Siba' bin Arfatah, Amir al-Madinah di dalam sembahyang subuhnya. Setelah selesai sembahyang terus beliau menemui Siba', maka beliau pun diberi bekalan, terus beliau ke Khaibar menemui Rasulullah. Rasulullah saw pun memberitahu kepada kaum muslimin seterusnya, Rasulullah pun membahagikan saham rampasan bersama-sama dengan sahabatnya yang lain.

Dalam riwayat yang lain disebut, Rasulullah saw bersepakat untuk keluar memerangi mereka pada akhir Muharam. Baginda keluar memerangi mereka dalam satu angkatan seramai 1600 orang pejuang termasuk 200 orang pahlawan berkuda. Baginda telah mengumumkan panggilan perang kepada para sahabat yang menyertai Baginda dalam Ghazwah Hudaibiah sebelum ini.

Baginda berjalan sehingga tiba di pinggir Khaibar lalu berkata kepada para sahabat: "Berhenti!". Kemudian Baginda berdoa:

“Ya Allah, Tuhan seluruh langit dan apa yang dinaunginya, Tuhan seluruh bumi dan apa yang ditanggungnya, Tuhan seluruh syaitan dan apa yang disesatkan mereka, Tuhan seluruh angin dan apa yang diterbangkannya. Kami memohon kepada Kamu kebaikan kampung ini, kebaikan penduduknya dan kebaikan apa yang ada di dalamnya. Kami berlindung dengan Kamu daripada kejahatannya, kejahatan penduduknya dan kejahatan apa yang ada
di dalamnya. Maralah kamu semua dengan nama Allah .”

Bermula perang

Apabila sampai di Khaibar, Rasulullah saw berpengkalan hampir dengan salah satu kubu Khaibar bernama Hisn an-Natoh. Yahudi telah menghimpunkan pejuang-pejuang mereka di dalamnya. Hubab bin al-Munzir mencadangkan agar angkatan tentera Islam berpindah tempat, kerana dia cukup kenal dengan penduduk an-Natoh. Mereka terkenal dengan panahan yang jauh dan tepat apatah lagi kedudukan mereka terletak lebih tinggi daripada kedudukan orang Islam. Oleh itu, anak-anak panah mereka lebih cepat meluncur turun mengenai barisan tentera Islam. Mereka juga boleh menyerang hendap orang Islam pada waktu malam dengan berselindung di celah-celah pokok-pokok kurma yang banyak.

Oleh yang demikian, Rasulullah saw bersama tentera Islam mengambil langkah berpindah ke tempat yang lain.

Pada malam hari penyerangan, Rasulullah saw bersabda:
"Akan ku serahkan bendera ini pada esok hari kepada seorang lelaki yang mencintai Allah dan Rasul-Nya disebaliknya Allah serta Rasul-Nya mencintainya". Bila siang menjelang semua orang ke hadapan Rasulullah, semua mereka mengharapkan bendera itu akan diserahkan kepadanya, lantas Rasulullah bertanya: Di mana Ali bin Abi Talib. Jawab hadirin: Beliau mengadu hal matanya yang sakit. Kata Rasulullah: Hantarkan beliau ke mari. Maka beliau pun di bawa ke hadapan Rasulullah saw. Baginda meludah ke dalam kedua-dua matanya sambil berdoa, sesudah itu matanya tidak sakit-sakit lagi bagaikan tak ada apa pun sebelumnya, Baginda menyerah bendera kepadanya, dan beliau berkata: "Wahai Rasulullah akan ku perangi mereka hingga mereka menjadi seperti kita semua". Jawab Baginda: "Ayuh laksanakan tugas mu itu, apabila kamu sampai di perkarangan mereka, serulah mereka kepada Islam, beritahukan mereka segala sesuatu mengenai hak Allah, demi Allah sekiranya dengan kau Allah memberi hidayah kepada seseorang maka itu terlebih baik bagi kau dari sekumpulan unta-unta merah".

Kubu Khaibar

Khaibar terbahagi kepada dua kelompok, satu kelompok ialah:
1. Kubu Nairn
2. Kubu al-Saab bin Muaz
3. Kubu Qaladah al-Zubair
4. Kubu Ubai
5. Kubu al-Nizar

Tiga kubu yang pertama terletak di kawasan yang dikenali sebagai al-Nutah yang dua lagi terletak di kawasan yang dikenali sebagai al-Syaq.

Kelompok kedua dikenali dengan nama al-Katibah, terdapat tiga kubu sahaja.
1. Kubu al-Qamus ianya kubu qabilah Abu al-Haqiq keturunan Banu al-Nadhir.
2. Kubu al-Watih
3. Kubu al-Salalim

Namun demikian di Khaibar masih terdapat kubu-kubu dan tembok-tembok lain, selain dari lapan yang tersebut, cuma ianya kecil tidak segagah dan perkasa seperti yang lapan itu.

Pertempuran sengit kemudiannya bermula dan orang Islam membuka satu demi satu kubu kecuali dua kubu terakhir. Penduduk kedua kubu tersebut mahu berdamai dengan syarat darah pejuang-pejuang mereka terpelihara dan zuriat mereka dilepaskan (tidak dijadikan tawanan). Mereka juga meletakkan syarat agar mereka dibenarkan keluar dari bumi Khaibar bersama-sama zuriat. Mereka setuju keluar dengan hanya sehelai sepinggang. Baginda saw berdamai dengan mereka dengan syarat-syarat tersebut. Sekiranya mereka menyembunyikan sesuatu ketika keluar dari kubu tersebut, perlindungan Allah dan rasul-Nya terbatal.

Mereka kemudiannya meninggalkan kedua-dua kubu tersebut. Orang Islam mendapati di dalam kedua-dua kubu tersebut terdapat senjata yang banyak dan lembaran-lembaran Taurat. Yahudi telah datang menuntut kitab tersebut. Baginda mengarahkan agar ia dipulangkan kepada mereka.

Selepas perang

Sesudah itu Rasulullah saw pun mula bergerak menuju ke Madinah. Di dalam perjalanan pulang itu Baginda berjalan sepenuh malam dan tidur di akhir malam di suatu tempat, dengan berkata kepada Bilal: Malam telah melindungi kita, beliau pun tertidur dengan bersandar pada binatang tunggangannya tak seorang pun sedar kecuali setelah cahaya matahari menikam mereka, orang pertama terjaga ialah Rasulullah saw dengan itu Baginda pun keluar dari lembah itu mendahului tenteranya kemudian Baginda menunaikan solat subuh bersama kalian hadirin. Ada pendapat mengatakan kisah ini berlaku di dalam peristiwa lain.

Setelah meneliti huraian peperangan Khaibar, jelaslah kepulangan Rasulullah saw dari Khaibar ialah di penghujung bulan Safar atau di bulan Rabiul Awwal tahun ke-7 Hijrah.

Dalam keadaan Rasulullah saw sedang berehat selepas pembukaan Khaibar seorang wanita Yahudi yang dikenali sebagai Zainab bin al-Harith isteri Salam bin Misykam telah tampil ke hadapan Rasulullah, beliau menghadiah kepada Rasulullah seekor kambing panggang, sebelum ini beliau telah bertanya khabar mana satu di antara anggota kambing panggang yang digemarinya dan diberitahu: Pahanya, untuk itu maka beliau memasukkan racun kedalamnya sebanyak yang mungkin, kemudian diracun kesemuanya, setelah itu beliau membawa sajian itu kepada Rasulullah.

Baginda pun mengambil paha kambing bakar tadi dan menggigitnya, didapati dagingnya tidak baik lalu diluahkannya dan bersabda: Tulang kambing ini memberitahu daku yang ianya telah diracunkan; setelah itu dipanggil perempuan Yahudi tadi dan disoal, beliau pun membenarkan kata-kata Rasulullah itu, dan bila ditanyanya mengapa beliau berbuat demikian, jawab beliau: Kalaulah Muhammad ini raja akan selamatlah daku darinya dan kalau ianya seorang nabi maka beliau akan diberitahu, dengan itu Rasulullah memaafkannya.

Bersama Rasulullah di ketika itu Bisyr bin al-Barra' bin Ma'rur, beliau telah mengambil sebahagian dari daging kambing itu, dimakan malah didapati menyelerakan akhirnya beliau mati selepas itu.

Riwayat berikhtilaf mengenai kesudahan perempuan tadi, dimaaf atau dibunuh, satu riwayat sebulat mengatakan Rasulullah memaafkannya pada permulaan, kemudian dibunuh sebagai qisas, hukuman di atas kematian Bisyr.

Syuhada Khaibar

Jumlah tentera Islam yang syahid di dalam pertempuran Khaibar, ialah 16 orang empat Quraisy, seorang Banu Asyja', seorang Banu Aslam, seorang dari penduduk Khaibar selebihnya adalah dari golongan Ansar.

Pendapat lain menyebut bahawa syahid Islam adalah 18 orang, al-Alamah al-Mansurpuri menyebut 19 orang, kemudian beliau berkata: selepas penyelidikan ku dapati sebenarnya 23 orang. Seorang darinya tersebut di dalam sejarah al-Tabari sahaja, dan seorang darinya juga, hanya tersebut di dalam al-Waqidi sahaja. Seorang darinya mati kerana memakan daging kambing yang beracun, manakala seorang yang lain mereka berikhtilaf apakah ianya terbunuh di Badar atau di Khaibar. Tapi yang sahih ianya mati di Badar.

Manakala jumlah qurban orang Yahudi ialah 93 orang. Wallahua`lam.
Semoga Allah SWT meredhai para syuhada di medan Khaibar.

Rujukan:
Sirah Nabawiyyah (Dr Mustafa as-Sibae`i)
Ar-Raheeq al-Makhtum (Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri)

Dah ok...

Alhamdulillah, sebaik-baik kalam buat-Nya.

Hari ini talian internet dah pun ok setelah beberapa hari tergendala. Terima kasih kepada dua orang encik telekom yang datang ke rumah untuk 'menyetelkannya'...

Wednesday 21 December 2011

Dosa yang meresahkan, taubat yang mendamaikan...


Buntu. Tidak tahu apa yang mahu dicoretkan. Beberapa artikel yang dikarang terhenti separuh jalan. Hati resah dan gelisah, fikiran menjadi tidak keruan, kabut dan serabut seringkali muncul di permukaan hati. Anehnya, perasaan-perasaan ini hadir tanpa ada ransangan yang jelas. Puas diselidiki dan dikoreksi mengapa ianya berlaku.

Berfikir terus berfikir dengan akal yang cetek dan dangkal...

Akhirnya saya temui jawapannya dalam engsot-engsot lemahnya seorang hamba.

Sabda Rasulullah saw:
Daripada al-Nawwas bin Sam’aan Radiyallahu ‘anhu, Nabi sallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: Kebajikan itu adalah pada keelokan akhlak. Manakala dosa kejahatan pula adalah apa yang mendatangkan resah pada dirimu, dan engkau tidak suka manusia lain melihat atau mengetahuinya.” (Riwayat Imam Muslim)

Sabdanya lagi:
“Perbuatan baik adalah sesuatu yang menenangkan jiwa dan mententeramkan hati, sedangkan dosa adalah sesuatu yang tidak menenangkan jiwa dan tidak mententeramkan hati, meskipun engkau mendapat fatwa dari orang ramai.” (Riwayat Imam Ahmad)

Setiap kita melakukan dosa, tiap detik dan ketika. Dosa dari hati yang lalai, lidah yang kerap mengguris, sikap dan akhlaq yang menjengkelkan dan berbagai-bagai dosa yang sedar atau tidak. Kita berdosa kerana kita adalah manusia. Tidak mungkin manusia terselamat daripada dosa.

Dosa adalah kegelapan yang amat menakutkan, sebagaimana malam yang pekat menyerkupi siang. Bayangkan anda bangun di tengah malam, anda mencelikkan mata tetapi anda tidak melihat apa-apa kerana kelamnya malam. Anda meraba-raba dalam kegelapan itu, sehinggalah anda menyalakan sebatang lilin. Apa yang berlaku? Anda masih lagi tidak dapat melihat kerana pekatnya kegelapan. Tidakkah ini amat menakutkan?

Dosa adalah penyakit yang menyerang manusia. Kerananya manusia menjadi lemah, hati menjadi resah dan gelisah, hati menjadi sekeras batu akhirnya ia akkan mati jika tidak segera diubati. Dosa adalah kerisauan. Dosa adalah keaiban dan kehinaan. Ia boleh menjerumuskan pelakunya ke lembah azab neraka kerana ia menutupi kebenaran. Buruknya natijah dosa, justeru ia perlu dibuang sejauhnya.

Benarlah kata-kata ulama, jika dosa itu berbau, nescaya ku tak mampu keluar rumah kerana malu busuk tubuhku dikesani orang kerana dosa-dosaku...

Taubat yang mendamaikan

Di saat kita terlanjur melakukan dosa, lalu kita tersedar maka mohonlah keampunan dari-Nya. Sisihkanlah ia dengan istighfar dan taubat kepada Allah. Taubat adalah kedamaian, penghilang resah dan gelisah. Siapakah yang selayaknya memberikan keampunan selain-Nya?

Bukankah Dia memiliki sifat yang Maha Pengampun? Tanpa batasan dan sempadan, biarpun selangit dosa yang pernah dilakukan, segalanya akan sirna dek luasnya rahmat pengampunan-Nya. Pintu pengampunan tidak pernah dikunci, malahan sentiasa terbuka menanti rintihan dan rayuan para hamba-Nya. Tundukkan hati yang tulus, baluti diri dengan penyesalan, hiasi permohonan dengan seikhlasnya, mudah-mudahan akan diterima.

Dalam hadis Qudsi disebutkan bahawa Allah SWT berfirman:
“Wahai anak Adam, sesungguhnya kamu telah berdoa kepada-Ku, dan mengharapkan kepada-Ku, pasti Aku akan mengampunkan kamu di atas dosa yang telah kamu lakukan itu dan Aku tidak akan peduli. Wahai anak Adam! Sekiranya dosa-dosamu itu telah memenuhi isi langit, kemudian kamu meminta ampun kepada-Ku, pasti Aku akan mengampunkan kamu dan sudah pasti Aku tidak akan peduli. Wahai anak Adam! Sekiranya kamu datang kepada-Ku dengan dosa yang memenuhi bumi kemudian kamu menemui-Ku dalam keadaan kamu tidak syirik kepada-Ku, pasti Aku akan datangkan pengampunan-Ku sepenuh bumi.” (Riwayat at-Tirmidzi: 3463)

Demikianlah penegasan Allah dengan rahmat dan kasih sayang-Nya yang amat luas. Dia yang tidak pernah memungkiri janji.

Justeru, betapa rugi seandainya kita tidak mahu merebut pengampunan-Nya. Malanglah kita jika masih lagi dengan keegoan yang menghanyutkan diri.

Di sisi yang lain

Kelam...

Memang sukar menyelami hakikat dosa, kerana ia bukanlah sesuatu kefahaman yang boleh dilihat dengan mata atau pun difikir dengan akal semata. Ia perlu dirasa dengan hati dan jiwa melalui ilmu dan iman. Bila ia telah dirasa dengan hati dan jiwa barulah ada kemampuan dan kekuatan untuk meninggalkannya.

Ahh...Tentu sahaja saya bukan orang yang paling layak untuk membicarakan soal dosa, siapalah saya...siapalah saya? Malu membicarakannya kerana sayalah orang yang paling banyak melakukan dosa.

Namun, saya meyakini sebagai manusia kita perlulah ingat-mengingati, berpesan-pesan dalam perkara taqwa dan kebaikan. Bukankah umat Islam ini saling lengkap-melengkapi seperti susunan batu-bata yang kukuh? Ya saya memahatnya di sudut kehidupan saya.

Masih saya ingati tutur lembut sang murabbi ketika bergulat di medan menuntut ilmu dahulu. Pesanan yang masih terpahat kukuh di dasar hati:

“Kita seumpama tangan kotor yang hendak dibersihkan. Tidak mungkin kita boleh membersihkannya sendirian. Tangan kanan harus digosokkan bersama tangan kiri, dengan air yang bersih. Barulah kotoran akan tanggal dan tangan akan menjadi bersih.”

Lenyapkanlah dosa-dosa, masukkanlah kecintaan Allah ke dalam hati sanubari, agar hilang resah dan gelisah. Sesungguhnya dosa yang meresahkan, namun taubat yang mendamaikan...

Mari bertaubat bersama saya...

Monday 19 December 2011

Bolehkah diwasiatkan harta kepada pewaris?

Soalan:

Bapa kami baru kembali ke rahmatullah. Kami menemui buku wasiatnya yang lengkap mengenai wasiat. Beliau mewasiatkan untuk memberikan hartanya separuh kepada anak perempuan bongsunya (adik bongsu kami) dan separuh lagi dibahagi sama rata di antara adik-beradik lain (lelaki dan perempuan) enam orang. Kami berbalah sesama sendiri kerana ada yang mahu melaksanakan sepenuhnya dan ada yang menyatakan bahawa wasiat itu tidak ada maknanya. Kami bertelagah, apakah nasihat untuk kami mengatasi masalah rumit ini? Terima kasih.

Jawapan:

MASALAH kalian adalah masalah ramai umat Islam, menempuhinya apabila berlaku kematian ketua keluarga mereka. Punca utama berlaku sedemikian, antaranya kerana masyarakat membelakangi hukum syarak (hukum Allah).

Kalau semua berpegang dan akur dengan hukum Allah, maka insya-Allah, segala kemelut selesai dengan baik.

Hukum Allah yang harus difahamidan hendaklah dipegang bahawa, wasiat adalah harus pada perkara yang diharuskan syarak, seperti wasiat tidak melebihi satu pertiga daripada hartanya untuk diberi kepada jalan Allah, atau kepada orang tertentu yang bukan waris untuk menerima pusakanya.

Adapun wasiat harta kepada orang yang boleh menerima pusaka, secara fardz atau secara ketentuan syarak kepadanya, yang disebut ashabul furudh, iaitu mereka yang seharusnya mendapat habuan yang nyata seperti isteri yang dapat 1/8, anak lelaki mendapat dua bahagian berbanding anak perempuan yang mendapat satu bahagian.

Maka berwasiat bagi golongan yang sudah ditentukan ini adalah dilarang, tidak diluluskan syarak.

Jika berlaku wasiat pun, maka ia tidak ada kesan dan jangan sesekali dilaksanakan. Ada hadis yang jelas melarang perbuatan tersebut yang mafhumnya: “Sesungguhnya Allah telah memberi kepada setiap orang haknya. Oleh itu tiada wasiat kepada pewaris.” (hadis riwayat Tirmidzi dalam kitab wasiat pada bab “Tiada wasiat untuk pewaris”).

Pewaris yang dimaksudkan dalam hadis ini, adalah pewaris yang menerima harta pusaka secara fardz atau `asabah.

Dalam hal anda, adik bongsu anda atau anak bongsu bapa anda adalah pewaris yang boleh menerima harta pusaka bapa anda secara fardz. Maka menurut syarak wasiat untuknya adalah tidak sah dan terbatal dengan sendirinya.

Namun demikian, wasiat itu masih boleh dilaksanakan juga, jika anda dan pewaris lain sepakat hendak melaksanakannya dengan mengambil jalan tanazul. Maksudnya, selepas anda membahagikan harta pusaka tersebut mengikut hukum faraid, selepas itu masing-masing menyerahkan atau menghadiahkan bahagiannya kepada adik tadi, sehingga mencapai tahap yang bapa anda sebutkan dalam wasiat tersebut.

Hal sebegini dilaksanakan bukan kerana mengikut wasiat, kerana wasiat tidak sah. Tetapi ia dilakukan kerana kasih sayang sesama keluarga dan dengan hasrat untuk memenuhi kehendak bapa.

Maka dengan selesainya pembahagian itu, diberikan juga kepada adik bongsu secara sukarela dan redha-meredhai antara satu sama lain.

Demikian juga dengan pembahagian harta pusaka secara sama rata. Hukum syarak amat jelas, sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Allah mewasiatkan kamu (memerintahkan kamu) mengenai pembahagian harta pusaka anak-anak kamu dengan seorang anak lelaki mendapat bahagian menyamai dua bahagian anak perempuan.”

Jelas ayat Allah ini, bahawa pembahagian harta tidak boleh sama rata. Anak lelaki mendapat dua bahagian, berbanding anak perempuan mendapat satu bahagian.

Akan tetapi jika hendak diberikan sama rata juga, meskipun hukum Allah jelas, maka harus dilakukan sedemikian, setelah hukum Allah dipatuhi dahulu dan kemudiannya diagihkan pula secara sukarela, maka boleh berbuat demikian dengan tidak membelakangi hukum Allah dan tertunailah segala yang dihajati. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Saturday 17 December 2011

Sejenak bersama Hujjatul Islam...


Tentang celaan orang, mengapa kita mesti takut kepadanya?

Ia tidak akan menambah atau mengurangi kita sesuatu pun, selagi ALLAH tidak menentukan yang demikian itu atas diri kita.

Celaan orang juga tidak akan menyegerakan ajal kita, tidak akan melambatkan rezeki kita dan tidak akan menjadikan kita dari ahli neraka, sekiranya kita memang dari ahli syurga.

Ia tidak akan dapat menjadikan kita dibenci di sisi ALLAH, sekiranya kita memang dipuji di sisi-Nya.

Fikir-fikirkan..................

“Ya Allah, kurniakanlah kami iman yang sebenarnya sehingga kami tidak lagi gentar atau mengharap orang lain selain dari-Mu. Kembangkanlah lembayung rahmat-Mu kepada kami, keluarga dan anak-anak kami serta sesiapa saja yang bersama-sama kami. Ya Allah, janganlah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh diri kami sendiri, walau hanya sekelip mata atau kadar masa lebih singkat dari itu. Wahai Tuhan yang paling mudah dan cepat memperkenankan, terimalah permohonan doa kami.”

Friday 16 December 2011

Bertanyalah, tapi...


Hidup ini dipenuhi dengan pertanyaan. Banyak persoalan yang perlu ajukan untuk memberi kefahaman dalam sesuatu perkara.

Kata pepatah melayu berzaman: “Malu bertanya sesat jalan.” Ada benarnya, kerana hidup di zaman yang serba canggih ini memerlukan banyak penjelasan, maka amat berhajat kepada pertanyaan. Jika tidak akan kaburlah kefahaman dan pemikiran.

Sesungguhnya bertanya adalah alat untuk meneroka ilmu.

Saya teringat satu kisah yang diceritakan oleh tuan guru ketika bersekolah arab dahulu. Saya rasa kisah itu hanyalah rekaan semata. Sekadar penyedap halwa telinga. Namun ianya memberi pengajaran dan apa yang berlaku realiti sekarang.

Ada seorang ustaz yang mengajar kitab jawi lama.

“Haram memakan batang keladi,” katanya.

Tercengang anak-anak murid yang sedang mendengar. Masakan tidak, puas seumur hidup memakan sayur batang keladi, tiba-tiba hari ini baru terdengar haram hukumnya.

Salah seorang anak muridnya memberanikan diri bertanya, “betul ke ustaz, haram memakan batang keladi? Saya selalu makan sayur batang keladi.”

“Sesiapa yang banyak bertanya maka lemahlah imannya,” jawab ustaz tersebut.

Terdiam semua anak muridnya. Mahu bertanya lagi takut termasuk orang yang lemah iman.

Sebenarnya kitab itu menyebut “Haram memakan binatang keldai” tetapi kerana tidak mahir membaca kitab jawi lama, maka tersalah baca dengan “Haram memakan batang keladi.” Begitulah jadinya.

Buka ruang pertanyaan, tapi...

Jangan sekat untuk bertanya, kerana menyekat pertanyaan seperti membunuh pemikiran. Bukalah ruang untuk bersoal jawab supaya kekaburan dan kekusutan sesuatu perkara itu dapat dirungkai. Bukankah Islam adalah agama yang menggalakkan berfikir dan bertanya?

Tetapi harus diingat, pertanyaan mestilah pertanyaan yang ada tujuan. Supaya pertanyaan itu ada manfaat dan faedah kepada semua. Bertanya untuk mendapatkan ilmu. Bukan bertanya untuk mengelakkan dari melakukan sesuatu suruhan. Contohnya Allah memerintahkan sesuatu perkara, maka banyak persoalan yang dibangkitkan. Jika untuk kefahaman ianya amat digalakkan, tetapi banyak bertanya supaya nampak sukar dan sulit supaya diberi keizinan untuk tidak melakukannya. Maka inilah pertanyaan yang amat dilarang dan dibenci.

Di dalam al-Quran Allah SWT menceritakan perihal Bani Israil yang banyak bertanya dalam peristiwa penyembelihan lembu betina. Mereka bersoal jawab dengan Nabi Musa as. sehingga ianya menyulitkan dan menyusahkan diri sendiri.

“Dan (ingatlah) ketika Musa berkata kepada kaumnya, “Sesungguhnya Allah SWT menyuruh kamu menyembelih seekor lembu betina.” Mereka menjawab, “Adakah engkau memperolok-olokkan kami?” Nabi Musa berkata, “Aku berlindung dengan Allah SWT agar tidak termasuk dalam golongan orang-orang yang jahil.”

“Mereka berkata, “Mintalah kepada Tuhanmu agar Dia menerangkan kepada kami sifat lembu betina itu.” Musa menjawab, ”Sesungguhnya Allah SWT berfirman bahawa lembu betina itu tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, pertengahan antaranya. Maka lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu.”

“Mereka berkata lagi, “Mintalah kepada Tuhanmu agar menerangkan kepada kami apakah warnanya?” Nabi Musa menjawab, “Allah berfirman bahawa lembu betina itu berwarna kuning tua, menyukakan orang yang melihatnya.”

“Mereka berkata lagi, “Mintalah kepada Tuhanmu agar Dia menerangkan kepada kami lembu betina apakah sebenarnya? Sesungguhnya lembu yang dikehendaki itu masih meragukan kami. Dan insya-Allah kami akan mendapat petunjuk.”

“Nabi Musa menjawab, “Sesungguhnya Allah SWT berfirman bahawa lembu itu bukan digunakan untuk membajak dan mengairi tanaman, tidak cacat dan tiada sedikitpun belang pada warnanya.” Mereka berkata, “Sekarang jelaslah keteranganmu.” Kemudian mereka pun menyembelih lembu tersebut dan hampir-hampir mereka tidak dapat melakukannya.” (al-Baqarah: 67 – 71)

Kisah ini merupakan satu pelajaran kepada orang-orang yang suka menyempitkan perintah Allah. Allah menyuruh mereka menyembelih lembu betina, sekiranya mereka terus menyembelih sebarang lembu itu sudah memadai. Tetapi disebabkan banyak terlalu bertanya, ia menyusahkan untuk mencari lembu tersebut. Dan hampir-hampir mereka tidak dapat menunaikan perintah Allah SWT.

Begitu juga dalam persoalan hukum HUDUD. Dewasa ini banyak perbincangan mengenainya termasuk di akhbar, blog, facebook dan sebagainya. Alhamdulillah ia satu perkembangan yang sihat kerana telah ramai yang ingin mengetahuinya. Maka bertanyalah kepada yang berilmu, bertanyalah dengan tujuan untuk mencari kefahaman, mencari kebenaran dan kebaikan.

Jangan bertanya dengan niat mempermain dan memperlekehkannya, bimbang mengundang kebinasaan kerana boleh merosakkan aqidah. Maka berhati-hati. Ingin tahu, bertanyalah tetapi biar berasaskan tujuan.

فَسْـَٔلُوٓا۟ أَهْلَ ٱلذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
“Maka bertanyalah kepada ahlinya (orang-orang yang tahu atau pakar) jika kamu tidak mengetahui (keadaan sesuatu perkara).” (an-Nahl: 43)

Thursday 15 December 2011

Sembang-sembang mengenai hukum hudud


Alhamdulillah, tazkirah secara santai. Usaha yang baik untuk memahamkan orang ramai tentang hukum hudud. Semoga memberi kebaikan kepada semua, Insya-Allah...

Wednesday 14 December 2011

Ketika masih diberikan masa

"Bonda yang dirindui...semoga sentiasa di dalam rahmat dan redha-Nya"

Termengah-mengah emak mencedok air perigi lalu menjirus kepada saya yang duduk mencangkung. Saya terketar-ketar menahan kesejukan. Selesai mandi, emak membimbit sebaldi air manakala saya mengekor di belakang. Emak melangkah perlahan menyusuri denai sambil terbatuk-batuk. Penyakit semput emak menyerang lagi.

Emak tertunduk-tunduk di bawah sinaran lampu gasolin menjahit seluar pakaian Melayu saya yang koyak di celah kelengkang. Saya berasa menyesal kerana tidak mendengar kata emak supaya tidak berlumba lari ketika balik dari mengaji al-Quran.

Saya menahan sakit kerana terjatuh dari basikal, akibatnya dahi saya lebam terhantuk pada ‘handle’. Tetapi lembut usapan tangan emak menuam pasir panas membawa pergi kesakitan yang dialami. Saya melihat wajah kasih seorang ibu walaupun ia tidak terucap dengan lafaz yang terang.

Di antara kenangan yang amat memaknakan kasih sayang dalam perjalanan hidup yang dilalui. Pada hela nafas yang keletihan terkandung pengorbanan yang tidak dapat diungkap nilai keikhlasan.

Kita ini sering menyusahkan. Semasa lahir, ibu menahan kesakitan kerana kita. Berbagi nyawa di antara hidup dan mati. Masa membesar, ibu kepenatan, kepeningan kerana karenah kita. Kenapa mereka boleh bersabar? Ya, kerana kasih mereka tanpa syarat. Sedang yang demikian tidak mampu dibalas oleh anak-anak.

Ketika masih diberikan masa

Semasa ibu dan bapa masih ada, seringkali kita merasakan masih mempunyai banyak masa dengan mereka. Lalu kita sia-siakan masa yang ada untuk menziarahi serta berkongsi suka dan duka, sedangkan masa yang ada hanya sebentar sahaja. Kadang-kala kita menangguhkan kesempatan untuk berbakti kepada mereka, sedangkan ianya terhidang luas ketika itu.

Lalu saya menyeru pada sahabat-sahabat sekelian, sekiranya masih mempunyai ibu bapa selalulah menziarahi mereka. Tataplah wajah mereka serta kucuplah tangan mereka. Sekiranya kita tiada kesempatan untuk menziarahi mereka, selalulah bertanya khabar dengan menghubunginya.

Ketika kita masih diberikan masa, gunakanlah kesempatan sebelum terlambat. Selagi mereka masih ada.

“Ya Allah, ampunilah ibu bapa kami, rahmatilah mereka, maafkanlah mereka. Uzurkanlah kekurangan-kekurangan mereka. Limpahilah rahmat-Mu di dunia dan redha-Mu di akhirat. Engkaulah sebaik-baik pemberi kasih sayang. Ameen.”

Tuesday 13 December 2011

Kembara Mencari Hamba: Dua tahun sudah berlalu


Assalamualaikum warahmatullah…

Alhamdulillah.

Pertama dan selamanya kita memanjatkan segenap kepujian dan syukur kepada Tuan empunya dunia dan apa yang ada di dalamnya, yang telah memberikan berbagai-bagai nikmat, termasuk dua nikmat terbesar iaitu nikmat Iman dan nikmat Islam. Dialah Tuhan yang layak disembah serta dipuja dan dipuji.

Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad saw, pesuruh Allah yang mengorbankan seluruh kehidupannya untuk mengeluarkan umat manusia dari kegelapan kepada cahaya hidayah. Juga salam sejahtera buat ahli keluarganya, para sahabatnya dan seluruh umat Islam umumnya.

Saya masih bernafas. Allah dengan keluasan kasih sayangnya masih memberikan kelapangan kepada saya untuk meneruskan tinta-tinta dakwah. Saya amat bersyukur dengan anugerah-Nya. Hari ini KEMBARA MENCARI HAMBA telah pun berusia dua tahun! Saya sisihkan perkataan jemu menulis dalam kamus kehidupan agar ianya tidak terkubur tanpa nisan. Walaupun sesekali ia hadir jua.

KEMBARA MENCARI HAMBA ini hanyalah anyaman kata dari lukisan rasa yang terjelma, tampil untuk berkongsi sedikit ilmu pengetahuan yang hakikatnya tidak sampai separuh debu. Ahh... betapa kerdil diri ini jika mahu dibandingkan hasil penulisan sahabat-sahabat yang lain.

Bukan merendah diri, tetapi mengakui kelemahan diri dan menghitung-hitung setelah menyuluh ke dalam diri sendiri, melihat dengan mata hati dan mendongak ke daerah tertinggi ke pangkuan Ilahi. Benar-benar kerdil...

Diriwayatkan oleh al-Hakim, sesungguhnya Rasulullah saw bersabda:
“semasa Musa bertemu Khaidir, telah datang seekor burung lalu memasukkan paruhnya ke dalam air. Berkata Khaidir kepada Musa; “Adakah kamu ketahui apa yang dikatakan oleh burung ini?” Musa berkata; “Apakah yang dikatakan olehnya?” Berkata Khidir; “Kata burung itu, tiadalah ilmumu dan Musa pada ilmu Allah melainkan seperti air yang terlekat pada paruhku ini (dibandingkan air di lautan).”

Mudah-mudahan hadis junjungan mulia ini sentiasa memenuhi relung hati.

Mula menulis

Sejujurnya saya mengakui, saya mula mencoret bait-bait bahasa di alam maya ini agak terlewat, sedangkan ketika itu ribuan malahan jutaan blog telah pun meluncur laju di persada maya. Masih saya ingati, pada satu petang yang indah ketika matahari tersipu-sipu di sebalik awan saya mencuba-cuba untuk menukilkan sesuatu. Alhamdulillah, bermula detik itu saya terus menulis dan menulis, walaupun kadang-kadang terencat juga kerana kesibukan dan ketumpulan idea. Terima kasih sahabat saya yang membantu membina KEMBARA MENCARI HAMBA ini.

Saya menulis. Apakah saya merasakan bahawa saya penulis yang baik? Tidak sekali-sekali, tidak! Mahu mengaku sebagai penulis pun saya tidak mampu. Kadang-kadang terdetik juga rasa cemburu dihati tatkala membaca coretan sahabat-sahabat, penuh dengan gaya dan kreativiti yang tersendiri. Begitu juga dengan limpahan idea sahabat-sahabat tatkala saya kekontangan cerita yang mahu dicoretkan.

Saya amat menghargai kata-kata peransang dan galakan dari sahabat-sahabat di kotak komentar, terima kasih saya ucapkan. Namun saya amat takut pada pujian. Pesan guru saya, seorang da`ei yang seronok dipuji biasanya akan lupa hakikat kelemahan diri. Akhirnya jika ditegur dia akan kecewa, luntur semangatnya apabila dinasihati. Inilah penyakit jiwa, maka berhati-hatilah tatkala dipuji.

Namun tidak semua pujian membantutkan fikiran. Tidak kurang pujian sebagai perangsang ataupun sokongan dari belakang.

Mungkin limpahan coretan dari tarian jari yang menekan butang-butang huruf ini terlalu jauh mahu diungkapkan kesempurnaannya, kerana tiada yang sempurna selain-Nya. Namun, biarlah yang sedikit ini dapat menjadi sebahagian daripada ruang untuk sahabat sekelian mencari kesempurnaan itu.

Apa yang harapkan dari coretan-coretan yang dipersembahkan?

Tiada yang lebih bermakna selain daripada kepuasan pembaca mencicip manisnya ilmu yang terkandung dalam blog ini, pasti lebih berharga lagi jika apa yang dipersembahkan ini menjadi simpulan manfaat buat pembaca sekelian. Benar-benar ia menjadi harapan saya dalam setiap doa yang meluncur dari kelopak bibir.

Di hening ini juga, saya membisikkan bisikan penuh harapan, agar bait-bait huruf yang tersusun di dalam blog ini dinilai oleh Allah SWT sebagai amal soleh yang tersimpan diperbendaharaan-Nya. Andai ada belas ehsan-Nya, mohon diganjari pahala dari usaha yang kerdil lagi kecil ini. Lalu saya hadiahi khusus buat ayahanda dan bonda tersayang, yang terlebih dahulu berkelana di alam abadi. Mudah-mudahan tatkala dibangkitkan nanti telah ada penolaknya ke syurga Ilahi.

Bukan niat membalas jasa, tetapi sekadar menukilkan rasa cinta dan tulus bakti. Mana mungkin diri sang anak dapat membalas jasa keduanya. Longgokkanlah harta, berilah seisi dunia, belum mampu membayar setengah nafas mereka.

Dan pada akhirnya, saya berdoa sekiranya termuat pada coretan saya kesilapan dan kesalahan, mudahan-mudahan Allah SWT menggerakkan dan membuka pintu hati sahabat sekelian untuk menegur dan membetulkannya.

Jadikanlah pondok kecil abuikhwan satu persinggahan mengutip bait-bait mutiara kata, sebelum meneruskan perjalanan menuju destinasi seterusnya.


Saudara kalian,
abuikhwan (KembaraMencariHamba)

Monday 12 December 2011

Ragu dengan pembelian rumah secara Islam


Soalan:

Ustaz, saya terjumpa dalam buku hadis Muslim (hadis 1459), hadis sahih yang bermaksud, “Jangan kamu membeli barang yang sedang dibeli orang lain.” Tetapi ini yang dilakukan oleh Islamic Bank (bank yang mengamalkan perbankan Islam), mereka beli rumah yang orang hendak beli, selepas itu menjual kepada pembeli tersebut. Tidakkah ini bertentangan dengan amalan Islam?

Jawapan:

HADIS yang anda nukilkan itu sebenarnya tidak lengkap. Versi yang lengkapnya adalah seperti berikut: Daripada Abdul Rahman bin Syumaasah meriwayatkan, bahawasanya dia mendengar Uqbah bin `Aamir r.anhum. berkata di atas mimbar, bahawasanya Rasulullah saw pernah bersabda (mafhumnya): “Seorang mukmin adalah saudara kepada seorang mukmin. Maka tidak halal bagi seorang mukmin membeli barangan yang sedang dibeli oleh seorang mukmin yang lain. Dan tidak boleh meminang ke atas orang yang sedang dipinang oleh seorang mukmin yang lain, sehingga saudaranya itu menolaknya.” (Dikeluarkan oleh Imam Muslim, hadis 1414)

Hadis tersebut tidak sesekali melarang, apa yang anda sebut dalam amalan perbank Islam itu. Yang dilarang dalam hadis itu ialah, membeli sesuatu barangan yang sedang diuruskan pembeliannya oleh seorang pembeli untuk dirinya. Jika ada pembeli lain meminta barangan itu untuk dirinya pula, maka berlaku pertindihan pembelian, berlaku perebutan barangan, inilah yang dilarang dalam hadis di atas.

Nabi saw menyuruh kita menunggu sehingga pembeli pertama tadi menolak pembeliannya, maka apabila dia tidak jadi membeli, barulah pembeli kedua datang untuk menawarkan harga.

Begitu juga dalam soal peminangan seorang perempuan. Sewaktu seorang lelaki telah meminang seorang perempuan, maka tidak boleh seorang lelaki lain, datang meminang perempuan tersebut, kecuali peminangan yang pertama telah ditolak, terputus atai si peminang itu menarik balik pinangannya.

Bagi amalan perbankan Islam yang anda sebutkan, pembeli barang yang sedang diuruskan oleh seorang pembeli, lalu seorang lain membelinya, bukanlah berlaku pertindihan pembelian kerana bank membeli rumah itu bukan untuk dirinya atau untuk orang lain.

Malah bank menyerahkannya kepada pembeli yang tidak mampu membeli sesuatu barang atau rumah itu secara tunai. Maka bank menjadi perantara, menolong beli dahulu rumah tersebut dengan harga semasa (harga tunai) dan dijual semula kepada pemheli dengan harga tertangguh, atau dengan lain bahasa dijual dengan harga akan datang

Sistem ini dinamakan BBA atau Bai` Bitthaman `Aajil atau maknanya ‘jual dengan harga tertangguh’ (harga akan datang).

Penjualan seperti ini ada asasnya pada hukum syrarak. Ia harus dilakukan menepati syarat-syarat yang ditetapkan.

Justeru, tidak berbangkit sama sekali, apa yang anda sebut sebagai membeli rumah yang orang hendak beli.

Dari segi fizikalnya betul memang rumah itu hendak dibeli oleh seseorang, kemudiannya dibeli oleh bank. Tetapi untuk siapa bank membelinya? Jika dibeli rumah itu untuk diberi kepada orang ketiga, yang mengakibatkan pembeli pertama terlepas hak pembeliannya, maka itulah yang dilarang.

Akan tetapi jika bank tolong membelikan rumah itu bagi pihaknya (pembeli pertama), maka ia tidak dilarang.

Jadi apa yang berlaku dalam soal pembelian rumah oleh pihak bank bagi pembeli pertama, ia tidak bersalahan dengan kehendak hadis di atas. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Sunday 11 December 2011

Bicara santai: Hujan hari minggu


Hari ini seharian hujan turun di tempat saya. Bermula dari pagi membawa ke malam. Jika berhenti pun dalam sepuluh hingga dua puluh minit, selepas itu hujan semula. Tidak pelik, musim tengkujuh!

Teringat zaman budak-budak dulu, sajian yang menyelerakan di musim tengkujuh. Ubi kayu rebus cicah kelapa parut, diganding pula dengan kopi ‘O’ panas. Fuhh...

Hujan yang mengganas di luar menaikkan selera makan. Indahnya kehidupan lalu, ia kenangan sepanjang zaman.

Cuti hujung minggu begini ditambah dengan hujan yang turun mencurah-curah, tidak banyak yang boleh dilakukan. Banyak berkurung di dalam rumah melayani karenah anak-anak. Maghrib dan Isya` pun tidak ramai yang hadir berjemaah di musolla. Bukan bererti saya ‘bagus’ dapat hadir berjemaah walaupun dalam keadaan hujan, sebenarnya rumah saya kebetulan berhampiran dengan musolla. Jika tidak saya pun sama terkulai layu di rumah. Manusia bukannya sempurna, ada hari-harinya iman mencanak naik ada pula hari iman layu serendah-rendahnya...

Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan ayat-ayat Allah bertambahlah iman mereka, dan hanya kepada Tuhanlah mereka bertawakkal.” (al-Anfal: 2)

Bertambah iman bermaksud pertambahan di dalam keyakinan mereka. Di mana meyakini setiap firman-firman Allah SWT adalah bukti keimanan.

Begitu juga Rasulullah saw pernah ditanya oleh seorang lelaki iaitu: “Adakah sesungguhnya iman itu bertambah dan berkurang?” Baginda Rasulullah saw telah membenarkan pertanyaan lelaki tersebut.

Iman yang sempurna lahir dari keyakinan yang bertapak kukuh di dalam hati terhadap kebesaran Allah SWT. Dengan keyakinan itu maka suburlah kecintaannya kepada Allah SWT. Apa sahaja perintah-Nya akan dituruti, baik suruhan maupun tegahan.

Bumi masih lagi diterjah hujan, mungkin berterusan hingga ke tengah malam. Mudah-mudahan hujan rahmat.

Catatan ini bukanlah ilmiah, jauh sekali berfalsafah. Sekadar perkongsian rasa seorang yang biasa-biasa sementara menanti mata terlena.

Mudah-mudahan iman itu sentiasa subur di jiwa ini.

Friday 9 December 2011

Cetusan rasa: Matahari petang


Sinar matahari petang rakus menyimbah cahaya keemasannya, berbalam-balam disebalik bukit. Kawanan burung berpapasan terbang pulang ke sarang. Saya sorotkan sepasang anak mata menikmati keindahannya. Tenang hati, malah ia begitu mengasyikkan.

Jika saya seorang sasterawan, sudah tentu telah terhasil sebuah syair atau sajak yang lahir dari inspirasi matahari petang. Realitinya saya bukan penyair atau penyajak, maka tidak terhasil bait-bait mutiara bersulam kata. Saya pasrah, merah darah yang mengalir dalam jasad bukan darah seni.

Saya hanya mampu menikmati keindahan buat menjamu halwa mata. Tidak lupa sepasang bibir yang bergetar dengan kalimah tasbih serta tahmid kerana takjub dengan indahnya alam ini.

Firman Allah SWT:

وَمَا ذَرَأَ لَكُمْ فِي الْأَرْضِ مُخْتَلِفًا أَلْوَانُهُ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِّقَوْمٍ يَذَّكَّرُونَ
“Dan apa (benda-benda) yang diciptakan Allah untuk kamu di muka bumi, berbagai jenis warnanya. Yang demikian itu adalah tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi kaum yang mengambil pengajaran.” (an-Nahl: 13)

Teringat kata-kata cerdik pandai bahawa alam adalah sebaik-baik guru kepada manusia. Tuhan tidak menjadikan alam ini sia-sia. Bahkan apa sahaja ciptaan-Nya ada kegunaan dan manfaat. Memerhati alam ini dengan mata hati agar terbit keinsafan serta rasa kekerdilan diri. Kerdil bukan bermakna lemah tetapi kerdil yang memberikan kekuatan dan ketenangan. Kerana apabila terbit kekerdilan, lantas kita terasa mahu mengadu, memohon dan bergantung harap. Kita terasa semakin dekat dengan-Nya.

Allah SWT berfirman:

يٰأَيُّهَا النّاسُ أَنتُمُ الفُقَراءُ إِلَى اللَّهِ ۖ وَاللَّهُ هُوَ الغَنِىُّ الحَميدُ
“Wahai manusia! Kamulah yang berkehendak kepada Allah dan Dialah Allah Yang Maha Kaya (tidak bergantung kepada apa juapun) lagi Maha Terpuji.” (al-Faathir: 15)

Fajar senja melabuhkan tirai siang di ufuk barat. Bukit-bukau yang berwarna keemasan disimbah cahaya matahari petang mula berubah warna kehitaman. Sayup-sayup terdengar laungan azan Maghrib memanggil hamba menunaikan perintah Yang Maha Esa, bersujud kepada-Nya.

Asyik dengan keindahan alam jangan sampai terlupa kepada yang mencipta keindahan alam!

Malam pun menjelma...

TRAVELOG MINDA TAJDID: Catatan Perjalanan Dari Tanah Barat


Lama juga rasanya saya tidak berkongsi buku di pondok abuikhwan ini.

Alhamdulillah, dalam kesibukan hari Jumaat, saya sempat membeli sebuah buku untuk koleksi perpustakaan peribadi saya. Buku hasil buah tangan ilmuwan yang sentiasa saya ikuti tulisannya iaitu al-Fadhil Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Entahlah bila agaknya saya dapat menghadam isinya...

Tajuk : TRAVELOG MINDA TAJDID: Catatan Perjalanan Dari Tanah Barat
Penulis : Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Penerbit : PTS Islamika Sdn Bhd
M/S : 205
Harga : SM 16.00 / SS 18.00

Travelog Minda Tajdid ini adalah catatan dari hati seorang tokoh yang menjadi rujukan masyarakat masa kini. Mengulas isu yang dikemukakan berpaksikan al-Quran dan Hadis, menjadikan pendapat Dr. Mohd Asri Zainal Abidin ini relevan sepanjang zaman.

Antara yang menarik dalam buku ini:

- Kenapa Takut Bawa Perubahan?
- Antara Tudung dan Cawat Besi
- Maulid: Antara Fakta dan Amalan
- Kebangkitan Rakyat: Mengapa Rakyat Tidak Puas Hati?
- Bahaya Demokrasi Tanpa Prinsip Wahyu
- Jiwa 'hamba' Melayu Menghalang Pembaharuan
- Siapa lebih layak: Ulama ataupun Profesional Jadi Pemimpin
- Misteri Wahabi di Malaysia

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

Wednesday 7 December 2011

Imamuddin Haikal: Ana sittah el-yaum


Selamat menyambut ulangtahun kelahiran pada hari ini buat anakandaku Imamuddin Haikal. Semoga celoteh dan karenahnya akan sentiasa menghiburkan kami sekeluarga.

Daripada Saiyidina Ali ra; Sesungguhnya Rasulullah saw bersabda: "Didiklah anak kalian tiga perkara! Kasih kepada nabi mereka, kasih kepada ahli keluarga Rasulullah dan membaca al-Quran. Sesungguhnya mereka yang memikul al-Quran berada di bawah lindungan Allah ketika tiada lindungan melainkan lindungan-Nya bersama para nabi dan mereka yang suci." (Riwayat at-Thabrani)

Motivasi pagi: Kita memang layak diuji, kitakan hamba!


Dalam hidup kita, susah atau senang, sihat maupun sakit, bahagia atau derita semuanya adalah ujian. Kita diberikan nikmat berupa kebaikan supaya kita sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada-Nya. Apabila ditimpa musibah keburukan supaya kita bersabar dan sentiasa ingat kepada-Nya.

Sesungguhnya “disebalik ujian itu” ada sinar bahagia, ada cahaya yang menerangi, ada syurga yang menanti. Justeru itu bersabarlah dalam menghadapi ujian kerana “kita memang layak di uji”....kitakan hamba!

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sesuatu: perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda, dengan kematian, dan kekurangan hasil tanam-tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar (menghadapi ujian itu). (Orang-orang yang sabar) iaitu apabila di timpakan kesusahan (musibah), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah jua kami akan dikembalikan.” (Al-Baqarah: 155-156).

Yakinlah! Hikmah disebalik ujian itu adalah semata-mata dari sifat kasih sayang-Nya yang tidak pernah berkurang.

Tuesday 6 December 2011

Bukan sekadar lalang...



"Apa sahaja yang Allah ciptakan pasti ada manfaat dan kegunaannya, tidak ada yang sia-sia. Mungkin kita sahaja yang tidak pernah terfikir akan kebaikannya, sedangkan manfaatnya tetap ada," saya membuat kesimpulan daripada cerita "Raja dan penasihatnya" yang saya kongsikan pada pagi itu bersama para peserta kursus.

Suasana hening, diselangi dengan bunyi aliran air yang melanggar batuan dari jeram yang berhampiran. Damai dan mendamaikan.

Benar, aliran air sungai yang amat mendamaikan hati. Sebab itulah di dalam al-Quran Allah SWT menggambarkan keadaan syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.

"Begitu juga dengan sesuatu yang Allah taqdirkan, tentu ada hikmah dan kebaikan disebaliknya. Mungkin hari ini kita rasa apa yang ditaqdirkan itu tidak baik dan merugikan kita, tetapi suatu hari nanti barulah kita akan ternampak kebaikannya seperti dalam cerita saya tadi," saya menyambung kata sambil memerhati wajah-wajah jernih di hadapan, para peserta yang berusia dalam lingkungan dua belas hingga tujuh belas tahun.

"Itulah kebijaksanaan Allah, yang sentiasa melimpahkan kasih sayang kepada kita," saya menyambung kesimpulan tadi.

Pagi itu saya diamanahkan untuk menyampaikan sedikit motivasi, seusai solat subuh. Seperti biasa saya suka selitkan cerita-cerita motivasi dalam penyampaian. Alhamdulillah, cukup berkesan. Seperti kata guru saya: "Permudahkan dalam berdakwah, sampaikan agama melalui cerita."

"Cuba kamu bagi contoh apa yang Allah ciptakan tetapi tidak ada gunanya kepada kita?" Saya bertanya menyegarkan kembali suasana.

Masing-masing mendiamkan diri, ada yang tunduk memandang lantai.

Ada yang dihinggapi penyakit gatal tangan, menggulung-gulung hujung sejadah.

Saya masih sabar menanti jawapan.

Bukan sekadar lalang

#Apa ada pada lalang... bunganya tidak wangi, pokoknya tidak dimakan, tapi...

"Ustaz, apa kegunaan lalang, saya rasa tak ada apa pun yang boleh dibuat dengan lalang," tanya seorang peserta, memberanikan diri.

Saya tersenyum.

"Ada sesiapa yang boleh bagitahu saya apa kegunaan lalang?" Saya melontar soalan provokasi, cuba mengetuk minda mereka.

"Lalang boleh buat alas tempat ayam bertelur," jawab seorang pelajar. Kami semua tergelak.

"Kebaikan lalang ialah melahirkan pencipta racun lalang," saya menjawab ringkas, memahat minda mereka.

"Nak buat racun lalang kena ada kilang racun lalang, jadi kena ada orang yang bekerja membina kilang tersebut. Bila dah ada kilang kena ada pekerja kilang. Pekerja pula pergi kerja naik kenderaan, kena ada pekerja yang yang memasang kenderaan. Lepas tu kenderaan guna minyak, kena ada orang yang bekerja mencarigali minyak dan kena ada pula orang yang bekerja di stesen minyak." Saya menerangkan satu persatu.

"Ada lagi! Pekerja perlukan tenaga untuk bekerja, jadi perlu makan dan minum. Petani, pesawah, nelayan, pekedai terlibat sama. Pencipta racun lalang kena pergi ke sekolah untuk mendapatkan ilmu, kalau tak ada ilmu tak boleh nak buat, jadi cikgu di sekolah, di universiti pun terlibat."

"Tengok! hanya kerana lalang yang kita kata tak berguna ni, semua orang mendapat manfaat. Itu belum habis lagi kalau nak difikirkan."

Ada riak-riak kepuasan pada wajah mereka, mungkin selama ini tidak terfikir sehingga ke tahap itu. Apa yang ada pada lalang...

"Jadi, kita kena sentiasa bersyukur kepada Allah SWT kerana memberikan kepada kita berbagai-bagai nikmat. Lebih-lebih lagi jika ada di antara ahli keluarga kamu yang menjadi pekerja di tempat-tempat yang saya sebutkan tadi." Saya menyudahkan motivasi pagi itu.

Masing-masing tersenyum.

"Ayuh kita sarapan," kami beredar menuju ke tempat makan.