Sahabat Sejati

Thursday 3 November 2011

Usahakanlah perubahan dirimu (kepada kebaikan)


Sampai satu masa manusia akan berubah.

Berubah pada pemikiran.

Berubah pada gaya penampilan.

Berubah pada sikap dan kelakuan.

Perubahan itu adalah proses biasa dalam kehidupan. Berubah kerana pilihan untuk berubah, atau berubah kerana dipaksa berubah.

Atau hanya menanti taqdir yang mengubahnya.

Yang pasti manusia akan tetap menempuh proses perubahan, seiring pertambahan usia dan kematangan jiwa.

Tetapi perubahan yang bagaimana?

Sekiranya kita diberi pilihan, apakah yang kita pilih, tidak baik kepada baik atau berubah daripada baik menjadi tidak baik. Terpulang kepada empunya diri, dengan prtimbangan akal yang dikurniakan oleh Tuhan.

Namun percayalah, selagi kita hidup, selama itulah kita akan menempuh perubahan. Jangan ditangguh perubahan itu andai ianya menjurus ke arah kebaikan. Bimbang ia adalah peluang datang yang hanya sekali. Tetapi jika perubahan itu ke arah yang tidak baik, pasti ada yang tidak kena. Kerana fitrah manusia mahukan kepada yang baik. Maka segeralah koreksi diri, sebelum terlambat.

Biarpun perubahan ke arah kebaikan itu amat menyakitkan dan memeritkan, umpama menelan bara api. Namun bersabarlah dan yakin bahawa yang pahit itu adalah ubat yang akan menyembuhkan. Akhirnya ada manis yang akan dikecapi.

Usahakanlah perubahan kepada kebaikan.

Pertemuan petang itu

“Assalamualaikum. Kenal aku lagi tak?” Tanya seorang ‘rocker’ yang menyandang beg besar dihadapanku sambil menghulur tangan untuk bersalam.

“Waalaikum salam. Rasa macam pernah jumpa tapi tak ingatlah,” saya menyambut tangan yang dihulur. Wajahnya saya amati tetapi ingatan masih kabur.

“Aku, Azmi (bukan nama sebenar) satu kelas dengan kau di SMA dulu,” katanya lagi bersungguh, cuba menjelaskan dirinya.

“Azmi...? Ketua kelas yang digelar ‘mat sivik’ dulu tu?” Saya cuba mengingat-ingat kembali.

“Ha! betullah tu...ha..ha..ha..” jawabnya dengan ketawa yang bercampur rasa.

Rupa-rupanya ‘rocker’ di hadapan saya itu adalah bekas rakan sekolah yang dikenali dengan gelaran ‘mat sivik’. Dari tingkatan satu sampai tingkatan tiga kami sekelas, selepas peperiksaan SRP beliau bertukar sekolah dan kami terus terputus hubungan. Tiba-tiba petang itu kami ditemukan, terkejut dengan perubahannya.

“Kenapa tengok aku macam tu? Tak percaya ‘mat sivik’ boleh bertukar menjadi ‘rocker’...” katanya lagi setelah melihat reaksi saya yang seakan ada riak-riak terkejut.

Saya hanya tersenyum tanpa sebarang ulasan.

“Jom kita berborak di restoran depan tu,” saya mengajaknya, tidak selesa berbual di tepi jalan besar berhadapan terminal bas. Agak terganggu dengan bunyi bising kenderaan yang lalu lalang.

Kami berbual-bual, bertanya perkembangan masing-masing. Katanya, dia bekerja di Kuala Lumpur sejak tiga tahun yang lalu. Basnya akan berlepas tidak lama lagi.

Tatkala pertemuan aku dan Azmi setahun yang lalu berlaku tanpa diduga, aku sentiasa memanjatkan doa agar beliau tidak kecewa, tidak berputus asa dengan ujian kehidupan dan sentiasa dilorongkan kepadanya jalan perubahan yang baik.

Sememangnya kami menjalani proses perubahan yang sama, tetapi bukan perubahan aspek fizikal. Wajah saya dan wajahnya, dahulu dan sekarang malahan akan datang tidak banyak berubah. Buktinya kami masih saling mengenali. Sesungguhnya bukan fizikal kami yang berubah tetapi jiwa yang berubah sehingga merubah pemikiran.

Ya, perubahan jiwa merubah pemikiran!

Justeru, pilihlah perubahan ke arah kebaikan...

2 comments:

Rintihan HambaMu said...

Assalamualaikum,
alhamdulillah...best tajuk perubahan ni,,
tapi law kita nk bertaubat, kena skrg, bkn nanti..kan?
terusknlah menulis..moga usahamu dalam jalan-Nya mendpat redha ilahi.
amin.

abuikhwan said...

`alaikum salam, semoga Allah SWT berkenan meredhai kita semua...

Post a Comment