Sahabat Sejati

Monday 28 November 2011

Taubat orang hina hukum Allah

Soalan:

Saya ragu dengan orang yang tidak henti-henti menghina dan mempertikaikan hukum Allah. Mereka terus-menerus melakukan dengan berulang kali dengan memberikan pelbagai alasan. Soalan saya, jika mereka bertaubat, adakah Allah SWT menerima taubat mereka, sedangkan dalan surah an-Nisa` ayat 17, Allah berfirman (mafhumnya): “Hanya diterima oleh Allah, daripada orang yang melakukan dosa kerana jahil dan segera bertaubat kerana mengetahui kesalahan mereka.” Sedangkan yang menghina hukum Allah melakukan dengan penuh angkuh dan degil. Adakah Allah boleh menerima taubat orang yang sebegini?

Jawapan:

BERTITIK tolak daripada menghina dan mempersenda-sendakan hukum Allah, itu adalah kesalahan yang besar, menyamai kesalahan syirik dan kufur kepada Allah.

Ini kerana hukuman kedua-duanya sama sahaja iaitu ke neraka jahanam akhirnya.

Maka wajarlah orang yang melakukan kesalahan itu, segera rujuk untuk kembali kepada Allah dan memohon keampunan Allah dengan hati yang ikhlas untuk mendapat redha-Nya dan kembali kepada-Nya.

Ayat yang anda sebut dalam soalan di atas, jika dirujuk semula, makna sebenarnya seperti berikut:

“Sesungguhnya penerimaan taubat itu disanggup oleh Allah hanya bagi orang-orang yang melakukan kejahatan disebabkan (sifat) kejahilan kemudian mereka segera bertaubat, maka (dengan adanya dua sebab itu) mereka diterima Allah taubatnya; dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

Sambungan ayat itu bermaksud begini:
“Dan tidak ada gunanya taubat itu kepad orang-orang yang selalu melakukan kejahatan, hingga apabila salah seorang daripada mereka hampir mati, berkatalah ia: “Sesungguhnya aku bertaubat sekarang ini” (sedang taubatnya itu sudah terlambat), dan (demikian juga halnya) orang-orang yang mati sedang mereka tetap kafir. Orang-orang yang demikian, Kami telah sediakan bagi mereka azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (an-Nisa`: 18)

Mafhum dari kedua-dua ayat di atas, kita boleh perincikan ada tiga kategori azab dan tiga kategori taubat.

Pertama, taubat pada zahirnya diterima Allah dan yakinlah bahawa Allah akan menerima taubat tersebut. Iaitu taubat orang yang melakukan dosa, yang tidak disengajakan akibat kejahilan, tidak menyedarinya suatu kesalahan, lalu apabila ia sedar, ia terus bertaubat nasuha kepada Allah dan itulah yang Allah sebutkan dalam ayat 17 surah an-Nisa` di atas, Allah menerima taubatnya.

Kategori kedua, taubat yang diserahkan kepada Allah sama ada Dia menerima atau menolaknya. Kita cuma mengharapkan Allah menerimanya. Inilah yang disebut dalam firman Allah (mafhumnya): “Dan (sebahagian) yang lain mengakui dosa-dosa mereka. Mereka telah mencampuradukkan amal yang baik dengan amal yang lain, yang buruk. Mudah-mudahan Allah akan menerima taubat mereka; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (at-Taubah: 102)

Ini bererti bahawa dalam kategori ini, harapan untuk diterima taubat masih ada dan ia terserah kepada Allah untuk menerimanya.

Kategori yang ketiga adalah taubat yang tidak diterima Allah (taubat yang sia-sia). Inilah yang disebut dalam surah an-Nisa` ayat 18 di atas.

Ayat ini Allah tujukan kepada golongan yang taubat mereka tidak diterima. Walau apa pun hendaklah kita bersangka baik kepada Allah kerana Allah Maha Pengampun Maha Penyayang.

Pohonlah keampunan kepda Allah seperti dalam firman-Nya (mafhumnya): “Khabarkanlah kepada hamba-hamba-Ku (wahai Muhammad), bahawa Akulah Yana Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani (bagi mereka yang bertaubat dan beramal soleh).” (al-Hijr: 49)

Dalam hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari mafhumnya: “Rasulullah saw menceritakan, perihal seorang insan daripada kalangan Bani Israil yang pernah berdosa dengan membunuh 99 nyawa, lalu hendak bertaubat kepada Allah SWT dengan bertanya cerdik pandai pada zamannya, bagaimana caranya beliau boleh bertaubat untuk diterima Allah SWT.

“Dia dianjurkan untuk menemui seorang rahib. Lalu rahib itu berkata kepadanya, “Sudah tertutup jalan (pintu) taubat buat kamu, kamu tidak perlu lagi bertaubat kerana Allah tidak mahu menerima taubat kamu.”

“Lalu dengan perasaan yang amat marah, lelaki itu terus membunuh rahib tersebut, dengan menggenapkan orang ke-100 yang dibunuhnya.”

“Dia mencari lagi orang yang boleh menunjukkan jalan untuk dia bertaubat. Lalu dia menemui seorang alim lagi abid. Orang itu menunjuk jalan kepadanya dengan mengatakan, “Tinggalkanlah daerah ini dan pergilah ke suatu tempat yang dihalalkannya. Di sana kamu akan menemui insan-insan yang soleh, di bumi soleh yang akan memandu kamu ke arah taubat dan Allah akan menerima taubat.

“Pembunuh itu terus menuju ke arah yang ditunjukkan orang alim tersebut, lalu di pertengahan jalan, dia menemui ajalnya. Bagaimana pun berlaku pertelagahan antara malaikat azab dan malaikat rahmah. Hendak dibawa ke manakah roh si pembunuh ini.

“Malaikat rahmah mahu membawa ke rahmah Allah kerana dia nyata hendak bertaubat, sedangkan malaikat azab hendak membawanya ke azab Allah kerana dia tidak pernah melakukan apa-apa kebaikan, malah sudah membunuh 100 orang.

“Dalam keadaan demikian, datanglah penyelesaian, maka datanglah malaikat ketiga yang menganjurkan kepada kedua-dua malaikat yang bertelagah dengan mengukur jalan, dari tempat asal yang penuh kesesatan, ke arah jalan yang benar-benar dia hendak bertaubat. Mana yang lebih hampir.
“Apabila diukur maka didapati dia sudah benar-benar hampir ke tempat untuk dia bertaubat bersungguh-sungguh, maka dia dihukum sudah bertaubat, lalu rohnya dibawa ke rahmat Allah SWT.”

Maka renung-renunglah wahai saudaraku. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

0 comments:

Post a Comment