Sahabat Sejati

Sunday 6 November 2011

Salam Aidiladha


Firman Allah SWT yang bermaksud: "Dan sesiapa yang tidak suka kepada ajaran agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim, dia adalah orang yang membodohkan dirinya sendiri, kerana sesungguhnya Tuhan memilihnya di dunia ini (menjadi nabi dan rasul) dan di akhirat nanti dia termasuk di kalangan orang-orang yang soleh (yang mendapat martabat yang tinggi di sisi Allah). Ingatlah apabila Tuhan berfirman kepada Ibrahim: Serahlah diri kamu (yakni Islam), Ibrahim menjawab: Saya Islam, menyerah diri kepada Allah Tuhan semesta alam. Ibrahim memberi wasiat kepada anak-anaknya, begitu juga Nabi Yaakub (memberi wasiat yang sama): Wahai anak-anakku, sesungguhnya Allah memilih kamu satu agama iaitulah agama Islam, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam yang sebenar." (Surah al-Baqarah: 130-132)

Para sahabat yang amat ku kasihi, bersempena dengan Hari Raya Aidiladha ini, marilah sama–sama kita menginsafi diri dan memperbanyakkan amal serta mempertingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT.

Pengorbanan itu bukan sekadar kita menumbangkan binatang ternakan, tetapi hendaklah dilihat dari kacamata yang lebih luas. Lihatlah, sebagaimana kisah pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan anaknya Nabi Ismail. Baginda diuji pada perintah menyembelih anaknya sendiri. Seorang bapa diperintahkan meletakkan senjata tajam di tengkuk anak yang selama ini dijaga penuh kasih, jauh dari duri dan bahaya kehidupan.

Namun, apakah kata Nabi Ismail kepada ayahandanya:
“Teruskan ayahanda, nescaya engkau akan dapati aku ini dari kalangan mereka yang sabar”, Seruan yang juga bukan calang-calangnya. Keyakinan yang datang juga dari cinta dan taat yang tinggi kepada-Nya.

Sesungguhnya Nabi Ibrahim membuktikan cinta dan taat kekada kekasihnya, Allah SWT. Baginda tidak tergugat dengan perintah menyembelih anak kesayangannya.

Akhirnya, Allah SWT menukarkan dengan binatang sembelihan yang akhirnya menjadi sunnah ikutan sehinggalah ke akhir zaman.

Merenung dalam diri.

Sesungguhnya, apabila kita mengaku berjuang untuk menegakkan agama Allah, maka bertanyalah pada diri, berapa banyakkah masa, fikiran, tenaga atau wang ringgit yang telah kita belanjakan untuk perjuangan ini. Hatta, bersediakah kita mengorbankan nyawa apabila seruan memanggil kedengaran.

Soalan ini tidak perlu dijawab tetapi hendaklah dirasa. Tepuk dada, tanya iman.

Sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan syurga yang penuh kenikmatan pada hamba yang berjuang dijalan-Nya samada dengan harta dan nyawa.Apakah kita tidak tertawan dengan janji Allah itu. Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali memungkiri janji-Nya.

“Selawat Allah ke atas junjungan Muhammad, dan keluarga Muhammad, sebagaimana selawat-Mu ya Allah ke atas Ibrahim dan keluarga Ibrahim."

"Kehidupan adalah satu kembara, merentasi masa dan ketika
Namun jangan dilupa sifat seorang hamba, agar kelak tiada duka nestapa"

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan "Aidiladha mubarak, Kullu `Aam wa Antum bi Alf al-Khair" khususnya kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan, semoga anda semua sentiasa di dalam rahmat-Nya. Ameen.

2 comments:

Anonymous said...

Selamat Hari Raya Aidiladha daripada saya, Nurul Nadiah Mamat.. :)

abuikhwan said...

Salam `iduladha juga buat Nurul Nadiah...

Post a Comment