Sahabat Sejati

Monday 10 October 2011

Senang lenang tanpa penyakit ciri ahli neraka?

Soalan:

Benarkah ada anggapan yang menyatakan bahawa penyakit yang terkena kepada manusia adalah berpunca daripada dosanya kepada Allah SWT. Semakin besar dosanya semakin teruk sakitnya. Dan yang tidak ada sakit bermakna ia tiada dosa kerana dikasihi Allah, lalu dilindungi dari semua bala. Saya agak keliru, jelaskan ungkapan tersebut.

Jawapan:

ANGGAPAN yang puan sebutkan itu hanyalah semata-mata anggapan dan bukannya kenyataan. Dari sudut syarat hampir berlaku sebaliknya, dalam hadis sahih riwayat al-Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah, Rasulullah saw pernah bersabda (mafhumnya): “Sesiapa yang Allah inginkan kepadanya sesuatu kebaikan, lalu Allah mengujinya dengan penyakit.”

Nabi Ayub as. diuji dengan penyakit yang dahsyat. Berpuluh-puluh tahun menderita tanpa dosa yang baginda lakukan.

Nabi Yaakub as. diuji dengan berbagai kesusahan. Sedih menanggung penderitaan. Menangis kerana kehilangan anak sehingga buta kedua-dua matanya.

Nabi Muhammad saw, ditimpa pelbagai ujian termasuk penyakit. Malah pernah kena sihir sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari.

Abu Sa`id al-khudry menceritakan: Pada satu hari dia telah pergi menemui Rasulullah saw, pada ketika itu baginda sedang demam. Lalu beliau meletakkan tangannya ke atas tubuh Rasululah saw, beliau mendapati tubuh dan tangan Rasulullah sangat panas. Lalu dia berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, alangkah beratnya cubaan Allah kepada tuan.” Lalu baginda menjawab, “Sesungguhnya kami (para Rasul) sememangnya begitu. Dilipatgandakan cubaan-Nya terhadap kami dan dilipatgandakan pahala-Nya kepada kami.”

“Saya pun bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah di kalangan manusia yang paling berat menerima ujian?”

Baginda menjawab, “Para Nabi.”

“Kemudian siapa ya Rasulullah?” soal saya

Kata baginda, “Kemudian orang-orang soleh. Bahkan ada di antara mereka yang diuji dengan kefaqiran sehingga dia tidak memiliki apa-apa kecuali sehelai kain untuk menutup auratnya. Sehingga ada di atara mereka yang merasa gembira menerima musibah itu, sebagaimana ada di antara kamu yang gembira menikmati kesenangan dunia.” (Riwayat Ibnu Majah)

Lebih jelas daripada itu Rasulullah saw pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah (mafhumnya): “Seseorang Muslim tidak ditimpa sesuatu musibah seperti keletihan (yang amat sangat), berpenyakit, kebingungan, kesedihan, kesengsaraan dan kedukacitaan, sehinggalah kepada ujian terkena duri yang menyakiti dirinya, melainkan Allah menghapuskan dosa-dosanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Adapun anggapan orang yang tidak pernah kena sakit, kononnya dia disayangi Allah, lalu dilindungi-Nya daripada segala penyakit, juga amat tidak benar sama sekali. Kerana ada hadis yang menyatakan sebaliknya.

Abu Hurairah dalam sebuah hadis menceritakan, kisah kecil iaitu berlaku suatu hari ada seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah saw dan terjadi dialog seperti berikut:

Rasulullah saw bertanya kepada Badwi itu, “Adakah engkau pernah mengalami serangan Ummu Mildam?”

Dia bertanya Rasulullah, “Apa itu Ummu Mildam?”

Jawab Rasulullah, “Rasa panas dahsyat yang dirasai di antara kulit dan daging, sangat menyeksakan.”

Orang itu menjawab, “Saya tidak tahu dan tidak pernah merasainya.”

Rasulullah saw bertanya lagi, “Adakah engkau pernah rasa sakit kepala dan kepening-peningan yang berat?”

Dia bertanya kembali, “Penyakit apa itu?”

Rasulullah menjelaskan kepadanya, “Iaitu rasa sakit berdenyut-denyut di kepala, seperti ditikam atau dipukul hingga tak keruan.”

Dia menjawab, “Tidak pernah sekalipun saya menghadapi demikian.”

Setelah lelaki tersebut beredar dari majlis berkenaan, baginda bersabda kepada sahabat-sahabat yang masih ada di situ dengan katanya: “Sesiapa yang mahu melihat contoh atau rupa seorang lelaki daripada bakal-bakal penghuni neraka, maka lihatlah kepada lelaki tadi.” (Riwayat Ibnu Hibban dalam sahihnya)

Oleh itu, dari semua keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa Allah akan menguji seluruh hamba-Nya dengan pelbagai ujian.
Dalam ujian tersebut amat ketara, jika berlaku kepada orang yang muqarrabin kepada Allah dan taat kepada Allah, itu adalah ujian yang akan dibalas dengan ganjaran yang cukup besar.

Dan orang yang tidak pernah diuji Allah SWT jelas petunjuk-Nya, iaitu orang-orang itu diberi kesenangan oleh Allah dan ia akan ketemu dengan balasan Allah SWT pada hari kiamat. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

0 comments:

Post a Comment