Sahabat Sejati

Tuesday 18 October 2011

Koreksi diri...


Amat sukar untuk menulis sesuatu tentang diri sendiri. Apatah lagi jika ianya berkaitan dengan kelemahan dan kekurangan diri. Itulah hakikatnya.

Jika kita diberikan sehelai kertas dan diminta menulis kelemahan orang lain, tentunya berkajang-kajang yang dapat kita senaraikan. Tetapi jika diminta untuk menulis kelemahan diri sendiri, maka berapa lama masa yang diperlukan, dan kita masih termenung sambil menggaru-garu kepala. Sedangkan kertas masih lagi kosong. Kita tidak mampu, itulah realiti yang harus ditelan.

Menulis sesuatu kecacatan pada diri sendiri, diibarat membuka pekung di dada dan ia bukanlah suatu yang menarik. Kita mengakuinya termasuk saya.

Fitrah manusia

Apakah perasaan kita jika ada sahabat yang berkata:

“Kamu ini hamba Allah yang taat, cantik, baik, cerdik...bla...bla...bla...”
Kita merasa gembira? Sudah tentu! Hati kita seronok, berbunga-bunga, walaupun kita sebenarnya tidak begitu. Tetapi kita memang gembira.

Bagaimana pula jika seorang lagi sahabat berkata:

“Kamu ini degil, tidak sembahyang, bodoh, hamba nafsu...bla...bla...bla...”
Automatik kita akan sakit hati, marah, memberontak tidak setuju. Terasa mahu melayangkan sebijik dua buah tangan, walaupun kita memang begitu. Itulah keadaan kita sebenarnya, tetapi kita marah dan tidak menyukainya.

Kenapa?

Manusia sukakan kepada kesempurnaan dan mencari-cari kesempurnaan. Fitrahnya memang begitu. Lebih-lebih lagi kesempurnaan zahir. Tanyalah kepada sesiapa pun, “Ya...” jawab mereka. Siapa yang tidak mahu kelihatan cantik, gagah, cerdik, kaya, berpengaruh dan berbagai-bagai lagi. Dan itulah di antara kesempurnaan yang menjadi impian, sebagaimana asal penciptaannya dengan sebaik-baik kejadian.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya telah Kami ciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian.” (at-Tin: 4)

Allah SWT memulakan ayat ini dengan lafaz sumpah iaitu sebaik-baik makhluk yang Allah SWT ciptakan adalah manusia. Bentuk tubuhnya melebihi keindahan bentuk tubuh makhluk yang lain, tentang ukuran badannya, tentang manis air mukanya, sehingga digelar ‘basyar’, ertinya wajah yang menggembirakan. Untuk menyempurnakan lagi penciptaannya dianugerahkan pula akal sebagai pedoman dan pengimbang dalam melakukan sesuatu perkara.

Manusia, sebaik-baik ciptaan...

Justeru, marilah kita memperbanyakkan syukur di atas kurniaan yang amat hebat ini.

0 comments:

Post a Comment