Sahabat Sejati

Wednesday 12 October 2011

Bicara santai: Indahnya masjid

Allahu akbar...
Allahu akbar...

Laungan kalimah membesarkan Allah berkumandang, membelah keheningan dan kesunyian. Maka berpusu-pusulah mereka yang mahu menjadi tetamu-Nya. Tunduk dan patuh menyahut panggilan muazzin-Nya, mengaku sebagai hamba yang beriman dan bertaqwa.

Ada yang berjalan, cepat atau lambat dan ada yang berkenderaan. Tidak mahu ketinggalan. Semuanya menuju arah yang satu.

Itulah masjid...gedung rahmat Allah di muka bumi.

“(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di dalam rumah-rumah (Allah, yakni masjid-masjid) yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; bertasbih bagi-Nya di dalam rumah itu pada waktu pagi dan petang.” (An-Nuur:36).

Usaha pertama Rasulullah saw ketika hijrah ialah membina masjid Quba`. Sesudah itu ketika tiba di Madinah, baginda dan para sahabat bertungkus lumus membina pula masjid Nabawi. Sehingga sekarang masjid semakin banyak didirikan di seluruh dunia. Ini adalah kerana kepentingan masjid sebagai pusat perhubungan dan titik perpaduan umat Islam.

Masjid bukanlah tempat beribadah semata-mata, tetapi yang lebih penting dari itu sebagai pusat perkembangan ilmu, yang fungsinya untuk membina akhlaq dan pemikiran serta tempat mengatur strategi perang, betapa luasnya peranan masjid di zaman Rasulullah saw.

“Sesungguhnya masjid yang diasaskan atas dasar taqwa itu, lebih berhak untuk engkau berdiri (bersolat dan beramal) di dalamnya; di dalamnya terdapat ‘rijaal’ (lelaki-lelaki) yang suka menyucikan dirinya. Dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri (zahir dan batin).” (At-Taubah:108)

Masjid adalah jantung umat Islam, tempat bertapaknya hati-hati yang tulus, terikat dengan kasih dan cinta Allah. Jika kita menghubungkan diri kita dengan masjid maka kita akan menikmati cinta dan kasih sayang Allah. Sesungguhnya cinta dan kasih sayang Allah amat tinggi nilainya. Sumber ketenangan abadi.

Demikianlah betapa tinggi nilai masjid sebagai pusat utama kepada umat Islam. Marilah kita bersama-sama mencintai masjid kerana salah satu golongan yang mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tiada naungan selain dari naungan-Nya ialah seseorang yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid.

Bicara hadis

'Seketika di Masjid Kristal'

Pengalaman menjelajah di seluruh pelosok negara dalam setiap program Amal dan Dakwah banyak menghadiah pengalaman buat saya. Tentunya masjid sebagai persinggahan utama buat melepaskan penat dan seterusnya menjadi tempat bermalam melelapkan mata. Di samping mudah melaksanakan ibadat tanpa gangguan.

Ya, persinggahan yang mendamaikan.

“Masjid di Malaysia cantik-cantik,” kata seorang kenalan dari Selatan Thailand suatu ketika dahulu.

Ya, saya akui kenyataannya, masjid di Malaysia cantik dan lebih indah lagi jika ianya dimakmurkan dengan sewajarnya.

Teringat satu hadis Rasulullah saw:

Dari Anas bin Malik ra. bahawasanya Rasulullah saw bersabda: “Tidak berlaku (terjadi) kiamat sehingga umatku bermegah-megah dengan (binaan) masjid.” (Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ahmad dalam kitab Musnadnya, 3: 134,145. Dalam Sunan Nasai 2:23. Dalam Sunan Abu Daud, 449. Dalam Sunan Ibnu Majah, 739)
Hadis ini termasuk dalam hadis akhir zaman dan membenarkan kerasulan Nabi Muhammad saw.

Disebutkan di antara tanda kiamat ialah umat Islam berbangga dan bermegah-megah dengan binaan masjid. Mereka lebih mementingkan keindahan dan kecantikan masjid tetapi dari segi pengisian dan kemakmurannya kosong dan hambar.

Ianya bukan sahaja berlaku di negara kita, bahkan di seluruh dunia terutamanya di negara-negara Teluk.

Rasulullah saw bersabda:

“Saya tidak diperintahkan untuk menjulangkan masjid-masjid.” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih, Sunan Abu Daud no. 448)
Kata Ibnu Abbas: “Sungguh kamu akan menghiasinya sebagaimana kaum Yahudi dan Nasrani menghiasinya.”

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda:

“Di antara tanda dari sudah mendekatnya kiamat adalah bahawa orang akan melihat bulan sabit seperti sebelumnya, maka orang akan mengatakan satu bentuk darinya untuk dua malam dan masjid akan dijadikan sebagai tempat bersiar-siar dan matinya mendadak.” (Hadis hasan menurut at-Tayalisy dari Anas dan dalam kitab “as-Sahihah” Al-Albani no. 2292)
Di akhir zaman, manusia mula berkurang hormatnya kepada syiar dan syariat Allah SWT. Sedangkan membesarkan syiar-syiar agama adalah sebahagian daripada ketaqwaan dan iman. Ini disebut oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

“(Ikutilah yang) demikian! Sesiapa yang menghormati syiar-syiar Allah (amal ibadah di bulan-bulan haji), maka itu adalah (tanda) hati yang bertaqwa.” (al-Hajj: 32)

Jika kita lihat kerosakan akhlaq manusia dalam menghormati syiar-syiar Allah amat ketara kebelakangan ini. Ada yang tidak segan silu merokok di dalam masjid. Saya ada pengalaman itu di salah sebuah masjid utara semenanjung. Saya pula yang terasa malu dan segan.

Ada juga yang singgah di masjid kerana mahu ke tandas, ada juga yang sekadar mahu berehat atau tidur sebentar kemudian terus berlalu tanpa menunaikan solat sunat dua rakaat misalnya, sebagai tanda kehormatan terhadap rumah Allah.

Anda boleh melihat dan menilainya.

Coretan ini bukanlah mahu menidakkan usaha sesetengah pihak jauh sekali mahu memperlekehkan sesiapa, tetapi sekadar peringatan bersama untuk difikir-fikirkan.

Semoga kita semua sentiasa di bawah naungan rahmat-Nya.

1 comments:

Anonymous said...

Ustadz, dulu waktu saya masih remaja tinggal di rumah orangtua yang dekat dengan masjid. Meskipun tiada TPA, saya suka sholat di masjid dan menghabiskan Maghrib di sana untuk tilawah Al Qur-an. Sekarang saya dan keluarga tinggal di rumah sendiri di samping musholla, sayang jarang remaja yang suka berjam'ah di musholla apalagi berlama-lama tilawah di situ.

Bagaimana cara menarik mereka untuk mencintai masjid/musholla?

Salam dari saya di Depok, Indonesia :)

Post a Comment