Sahabat Sejati

Monday 31 October 2011

Saya jatuh cinta...


“Eh, biar betul...”

“Dah buang tabiat ke orang tua ni...”

“Masih ada hati lagi rupanya...”

Agaknya itulah reaksinya apabila membaca tajuk di atas.

Benar, ini bukan main-main. Saya betul-betul maksudkannya, ‘saya dah jatuh cinta’.

Jangan silap faham, bukan jatuh cinta yang ‘itu-itu.’ Sebenarnya saya jatuh cinta dengan lagu-lagu dendangan Opick. Pertama kali mendengarnya setelah diperkenalkan oleh seorang sahabat, saya terus terpikat.

Lagu-lagunya mempunyai keenakan yang tersendiri, manakala susunan muziknya yang lembut dan mesra begitu membangkitkan rasa.

Meneliti bait-bait senikatanya amat menyentuh hati, saya bagaikan terserap ke dalam keindahannya. Pastinya saya tidak jemu-jemu melayannya.

Tidak hairanlah anak-anak saya turut dijangkiti ‘demam’ lagu Opick ini...

“Abi, nak dengar lagu Opick...”

Opick

Manusia juga perlu berhibur

Berkata Saiyidina Ali bin Abi Thalib ra.: “Hiburkan hatimu waktu demi waktu, kerana hati itu jika dipaksa akan menjadi buta...”

Manusia, sekuat mana pun fizikal, jiwa dan fikirannya, ada masa-masa akan tergugat dengan ujian hidup. Ia adalah perkara biasa. Manusia memerlukan kerehatan dan ketenangan, kerana mereka adalah makhluk yang lemah.

Bayangkan sebuah mesin jika berterusan beroperasi tanpa henti, apa yang akan terjadi? Pasti ia akan mengalami sedikit sebanyak kerosakan. Begitulah juga dengan manusia, jika melakukan kerja berat tanpa rehat, maka akan sakitlah ia. Sama juga jika sentiasa dihenyak ujian dan dugaan, maka akan resahlah jiwa dan kusutlah fikiran.

Oleh itu manusia memerlukan hiburan untuk memberikan kerehatan dan ketenangan, baik kepada jasadnya maupun jiwa dan fikirannya.

Untuk berhibur, manusia melakukan berbagai-bagai cara. Tetapi apa yang terjadi, kadang-kala manusia tersilap memilih dalam berhibur.

Hiburan yang mendamaikan

Menyintai nyanyian dan merindukan suara yang indah itu adalah naluri peradaban manusia...
Bahkan juga dikatakan bahawa burung-burung dan binatang-binatang ternak turut terpesona dengan suara yang indah dan terbuai oleh bunyi seruling yang dialun...

Hiburan yang sejati menjadi penawar kepada diri. Hiburan sejati memberikan ketenangan dan mendamaikan hati. Demikianlah hiburan yang hakiki.

Termasuklah alunan ayat-ayat suci al-Quran, selawat yang memuji Nabi saw, nasyid-nasyid yang mengagungkan Allah, puisi-puisi yang menghaluskan rasa kehambaan kepada Tuhan lagu-lagu yang membangkitkan semangat untuk berjihad serta menegakkan Islam dan lagu-lagu yang meniupkan rasa keinsafan, mengenang kebesaran Allah dan menuju ketakwaan kepada Allah serta mahu bertaubat. Rentak irama, lagu dan liriknya dapat menenang jiwa, menghilangkan tekanan perasan, mengenyahkan kebosanan serta mengembalikan kesegaran spiritual, jasad dan emosi.

Masih ramai yang menganggap jika Islam diamal dan dihayati, maka akan murunglah dunia. Hidup menjadi tidak ceria. Bukan begitu, Islam tidak jumud dan tidak mengongkong. Islam tidak menolak hiburan sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tetapi Islam datang untuk mengawal dan memberi panduan agar tidak tersalah dalam berhibur.

Hukum asal mendengar muzik tanpa nyanyian, mendengar muzik beserta nyanyian, mendengar sambil menonton penyanyi menyanyi adalah ‘harus’ tetapi ‘beryarat’. Syaratnya ialah rentak, irama, lagu dan liriknya tidak melalaikan, mengkhayalkan, membawa kepada lupa diri dan lupa Allah. Persembahan dan penampilan penyanyi juga mestilah menutup aurat dan geraknya tidak menghairahkan pendengar dan penonton.

Selain dari sifat muzik, rentak, irama, lirik, cara dan perlakuan si pendengar ketika mendengar muzik juga akan menentukan hukum mendengar muzik. Keterlaluan yang melampau, ketagih serta gian dalam mendengar muzik akan merubah hukum harus mendengar muzik kepada haram. Ia telah termasuk kepada perbuatan sia-sia dan boleh mendatangkan kesan kesan yang negatif. Pendengar akan tergoda, terbawa-bawa dan terfitnah dengan kemerduan suara penyanyi dan senikata serta lirik dan tergoda kepada batang tubuh penyanyi.

Pandai-pandai memilih dan selamat berhibur!

(Rujuk buku al-Islam wa al-Fann karangan Dr Syeikh Yusuf al-Qardhawi untuk keterangan lebih lanjut)

Sunday 30 October 2011

Ceria pagi minggu...

Ketika pergi melawat saudaranya di Hospital Sakit Jiwa Tanjung Rambutan, Meon pun bertanyalah kepada pengarah hospital itu:

"Tuan pengarah, apa kriteria yang digunakan untuk menentukan sama ada seseorang itu patut ditahan di wad, atau sebaliknya."

Jawab pengarah hospital, "Senang sahaja, kita akan penuhkan air dalam tab mandi, kemudian berikan sudu, cawan dan besen kepada pesakit, suruh mereka keringkan tab mandi tu."

Secepat kilat Meon mengangguk, "Oh saya faham, saya faham! Kalau orang tu fikiran,ya waras, dia akan buang air dalam tab mandi menggunakan besen sebab besen lebih besar daripada sudu dan cawan. Betul, kan macam tu, tuan pengarah?" kata Meon dengan yakin sekali.

"Tak!" Jawab pengarah hospital. "Orang yang waras akan cabut getah penutup lubang tab tu! Sekarang Encik Meon beritahu saya, nak bilik yang kat tingkat atas ke, atau tingkat bawah?"

Ceria pagi minggu...

Thursday 27 October 2011

Lihatlah pada diri...fikir-fikir


“Dan apakah mereka tidak memikirkan pada diri mereka sendiri.....” (ar-Rum: 8)

Satu pertanyaan yang bukan sekadar pertanyaan tetapi lebih dari itu, mengandungi saranan.

Berfikirlah!

Gunakanlah fikiran!

Jangan berhenti berfikir!

Sentiasa memikirkan dan renungkanlah ke dalam diri sendiri!

Lihatlah pada dirimu, bagaimanakah ia diciptakan. Nescaya bertemulah dengan Maha Kuasa Allah.

Betapa luarbiasa indahnya diri manusia jika dibanding dengan makhluk yang lain.

Susunan letak tubuh, keseimbangan wajah, ukuran kedua mata di atas hidung, satu mulut untuk menjamah makanan, di dalamnya terdapat satu lidah yang pelbagai guna untuk melantunkan gema suara. Lebih dari itu buat membezakan rasa masam, manis, tawar, pahit, pedas dan bermacam-macam lagi. Susunan gigi yang merata dengan berbagai jenis.

“Maka nikmat yang manakah yang kamu dustakan?

Lihat pula kepada kedua tangan yang seimbang. Pertautan kelima-lima jari namun kuat tatkala menggenggam. Sedangkan setiap satunya berbeza fungsi dan kegunaan. Hidung yang menyedut dan menghembus udara. Darah yang berganti keluar masuk ke dalam jantung, sedangkan jantung tidak jemu-jemu berdegup sejak lahir sehinggalah manusia menemui kematian.

“Maka nikmat yang manakah yang kamu dustakan?

Tidakkah kita merasa takjub melihat dan memikirkan susunan tubuh kita sendiri. Hati, jantung,limpa dan paru-paru. Lihat bagaimana limpa berfungsi untuk menyaring darah, darah pembagi kekuatan. Dari jantung naik ke otak, dan otak untuk berfikir. Urat-urat yang berselirat berfungsi mengalirkan darah dengan cepat.

“Maka nikmat yang manakah yang kamu dustakan?

Perhatikan pula pada jari! Sudah berbilion manusia yang mati, ramai lagi yang hidup sekarang ini, dan semuanya akan mati serta akan datang lagi manusia baru sehinggalah hari kiamat, namun tidak ada yang serupa cap jarinya, hatta pasangan kembar sekalipun. Tidak sama!

Sepasang kaki yang cepat melangkah dan pantas berlari sama panjangnya. Kuat menampung berat badan.

“Maka nikmat yang manakah yang kamu dustakan?

Tiap-tiap manusia diciptakan dengan keperibadian sendiri, yang tidak dapat ditukar atau diganti dengan keperibadian orang lain. Saya adalah saya, dia adalah dia, manakala kamu adalah kamu. Mana mungkin saya dapat ditukar atau diganti dengan keperibadian dia maupun kamu atau sesiapa.

Manusia memang sama jenisnya, tetapi garis hidup yang dilaluinya tidak sama. Ada yang menjadi pemimpin, ada yang menjadi ulama`, ada yang menjadi terkenal seumpama artis, karyawan dan sasterawan. Ada juga yang datang kosong dan pulang juga kosong. Namun yang sama adalah, semuanya tetap mendapat rezeki dari-Nya.

Perhatikanlah dan fikirkanlah.

Renungilah keajaiban ini, pasti akan timbul kekaguman, akan timbul rendah hati dan kekerdilan diri.

Tidak akan berhenti ‘perasaan jiwa hamba’ jika akal ini sentiasa merenung dengan mata hati.

“Dan (juga ada tanda-tanda kekuasaan Allah) pada diri kamu sendiri. Kenapa tidak kamu perhatikan?” (az-Zaariyat: 21)

Kenapa al-Quran tidak bicara IT?


Soalan:

Kesempurnaan al-Quran dipertikaikan dengan alasan logik. Dihujahkan, banyak hal tidak termasuk dalam al-Quran, contohnya perihal teknologi moden seperti IT, globalisasi dunia tanpa sempadan, rekaan-rekaan produk komunikasi yang canggih, semuanya tidak ada dalam al-Quran. Bagaimana hendak kita jelaskan kepada peragu-peragu, untuk kita mempertahankan kesempurnaan al-Quran sebagai Kitab Allah. Mohon penjelasan.

Jawapan:

AL-QURANUL KARIM adalah wahyu Allah yang sempurna. Itu adalah tsabit dengan Allah menyebut menerusi firman-Nya (mafhumnya): “...tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab al-Quran ini...” (al-An`am: 38)

Perlulah difahami bahawa, secara al-Quran bukan buku sains moden atau yang tidak moden. Ia juga bukan buku teknologi atau manual pentadbiran harian.

Al-Quranulkarim adalah kitab hidayah, kitab petunjuk yang memandu manusia kepada hidayah Allah, Tuhan pencipta alam. Mengajak manusia supaya beriman dengan sebenar-benar iman.

Iman yang bertolak daripada dasar ilmu hak hakiki. Mengenali siapa makhluk dan siapa khaliq. Mengenali siapa yang sempurna dan siapa yang lemah, yang memerlukan hidayah daripada Allah.

Al-Quranulkarim seawal surah al-Baqarah (surah kedua), seawal ayat kedua daripada surah kedua ini Allah berfirman (mafhumnya): “Kitab al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya daripada Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa.” (al-Baqarah: 2)

Kesempurnaan al-Quran, hendaklah dilihat dari sudut ia ciptaan Allah (bukan ciptaan manusia). Dan tabiat penciptaan Allah selama-lamanya sempurna kerana Allah itu sempurna. Pastinya yang diciptakan itu sempurna.

Penciptaan alam semesta sebagai contoh, adalah sempurna dan Allah menyebut dalam firman-Nya (mafhumnya): “Dialah (Allah) yang telah mengaturkan kejadian tujuh petala langit yang berlapis-lapis; engkau tidak dapat melihat pada ciptaan Allah Yang Maha Pemurah itu sebarang keadaan yang tidak seimbang dan tidak munasabah; (jika engkau ragu-ragu) maka ulangilah pandangan (mu), dapatkah engkau melihat sebarang kecacatan?
“Kemudian ulangilah pandangan (mu) berkali-kali, nescaya pandanganmu itu akan berbalik kepadamu dengan hampa (daripada melihat sebarang kecacatan), sedang ia pula berkeadaan lemah lesu (kerana habis tenaga dengan sia-sia).” (al-Mulk: 3-4)

Apatah lagi al-Quran itu kalamullah. Ini disebut dalam firman-Nya (mafhumnya): “Yang tidak dapat didatangi (al-Quran) sebarang kepalsuan daripada mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan daripada Tuhan Yang Maha Bijaksana, lagi Maha Terpuji.” (Fussilat: 42)

Kesempurnaan al-Quran juga dapat dilihat daripada sejarah turunnya al-Quran itu kepada Nabi Muhammad saw, dari ayat pertama, seterusnya kepada ayat terakhir, walaupun pada saat turunnya ayat-ayat tersebut seperti tidak teratur atau tersusun.

Turunnya ayat-ayat al-Quran adalah mengikut keadaan dan keperluan semasa, bercampur-baur di antara satu sama lain.

Bagaimana pun al-Quran disusun semula oleh Jibril atas arahan Allah SWT, yang akhirnya menjadi sebuah kitab suci yang tidak ada sebarang kesalahan padanya sama ada dari sudut bahasa, nahu, faktanya, kisah-kisah yang disebutkan di dalamnya, susur galur keturunan para anbiya dan apa sahaja yang ada padanya. Semuanya benar.

Apakah yang akan berlaku dalam dunia moden ini, sekiranya seseorang itu buta huruf dan tidak pernah membaca sebarang buku atau kitab. Tidak pernah memegang pena untuk menulis, tiba-tiba menghasilkan sebuah buku atau kitab seperti al-Quran yang tidak wujud kepalsuan di dalamnya.

Malah penuh dengan fakta-fakta yang semakin hari terbukti bahawa al-Quran adalah benar dan tidak pernah berlawan dengan mana-mana fakta sains yang ditemui manusia hari ini.

Inilah al-Quran yang Allah sebutkan dalam firman-Nya (mafhumnya): “Dan engkau (wahai Muhammad) tidak pernah tahu membaca sesebuah kitab pun sebelum turunnya al-Quran ini, dan tidak pula tahu menulisnya dengan tangan kananmu; (kalaulah engkau dahulu pandai membaca dan menulis) tentulah ada alasan bagi orang-orang kafir yang menentangmu akan merasa ragu-ragu (tentang kebenaranmu).
“(Al-Quran tetap datangnya daripada Allah yang tidak syak lagi) bahkan ia ayat-ayat keterangan yang jelas nyata, yang terpelihara di dalam dada orang-orang yang berilmu; dan tiadalah yang mengingkari ayat-ayat keterangan Kami melainkan orang-orang yang zalim.’ (al-Ankabut: 48-49)

apabila persoalan hidayah selesai dengan panduan al-Quran yang sempurna dan manusia beriman dengan Allah, maka masalah-masalah lain seperti yang anda sebut, memang semuanya ada asas-asasnya dalam al-Quran.

Contohnya seperti asas al-Quran untuk mencari ilmu, menyelidik, mengkaji dan menerokai ilmu fardhu kifayah, sains teknologi dan sebagainya.

Semua asas itu ada di dalam al-Quran. Maka kerana itu kita perlu fahami bahawa al-Quran adalah kalamullah yang sempurna dan walaupun tidak disebut secara terperinci atau fakta kecil atau ilmu yang anda sebutkan dalam persoalan, ia tidak sama sekali menjejaskan kesempurnaan al-Quran.

Jika semua ilmu yang anda tanyakan mahu disebut dalam al-Quran, anda bayangkanlah akhirnya ia akan menjadi berapa ratus atau beberapa ribu jilid pun tidak habis al-Quran.

Maka al-Quran yang ada hari ini sudah lengkap sebagai kitab hidayah. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Wednesday 26 October 2011

Kerana pulut...


Kerana pulut santan binasa,
Kerana mulut badan binasa.

Kita mungkin biasa mendengar pepatah lama ini. Kesan terlanjur cakap tidak kurang yang tergadai maruah dan kerana mulut atau tutur kata yang tidak terkawal juga menjadikan badan binasa.

Memang tidak mudah mengawal lidah. Walaupun lembut, tidak bertulang tetapi tajamnya menikam lebih daripada pedang. Jika menyalahgunakannya, boleh mengakibatkan perpecahan di kalangan umat.

Ya, tersilap satu perkataan sahaja boleh mendorong kepada penggunaan senjata, tercetusnya perbalahan dan pergaduhan dan lebih dahsyat lagi adalah berlakunya peperangan. Lebih dari itu, penyalahgunaannya juga boleh menjerumuskan pemiliknya ke jurang neraka.

Rasulullah saw bersabda: “Diam itu adalah suatu hukum dan sedikitlah (orang) yang melaksanakannya.” (Riwayat Abu Mansur ad-Dailami daripada Ibnu Umar)

Rasulullah saw menyebut bahawa diam itu adalah suatu hukum. Apa yang dimaksudkan dengan hukum? Ianya adalah hikmah, iaitu hasil pemikiran yang mengkaji dan memikirkan akibat dan kesan jika diam dan sebab akibat jika bercakap perkara yang buruk dan sia-sia. Jika diam maka selamatlah dari berbuat dosa. Sebaliknya jika bercakap bimbang ditimpa bencana dan binasa.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang banyak bercakap banyaklah kesalahannya, sesiapa yang banyak kesalahannya maka banyaklah dosanya dan siapa yang banyak dosanya, api nerakalah paling layak untuk dirinya.” (Diriwayatkan oleh Baihaqi)

Imam Nawawi ketika membicarakan hal yang sama berkata, ketahuilah, seseorang mukalaf itu sewajarnya menjaga lidahnya daripada sebarang percakapan kecuali percakapan yang menghasilkan kebaikan. Apabila bercakap dan berdiam diri adalah sama saja hasilnya, maka mengikut sunnahnya adalah lebih baik berdiam diri. Percakapan yang diharuskan mungkin membawa kepada yang haram atau makruh.

Orang yang beriman dan bijaksana tidak akan berkata sesuatu yang tidak berfaedah. Mereka akan berfikir sebelum berkata-kata dengan maksud mahu menjaga tutur kata. Ianya semata-mata mahu mengelakkan daripada berkata-kata sesuatu yang sia-sia apatah lagi mengumpat dan mengeji serta mencaci sesama manusia.

Oleh itu, untuk menjaga keharmonian hidup dalam masyarakat amatlah penting kita menjaga lidah supaya tidak mencetuskan perselisihan dan perbalahan. Kita mahukan masyarakat yang harmoni, hormat-menghormati, kasih-mengasihani dan hidup dalam rukun aman damai.

Satu kisah ahli Sufi

Diceritakan di dalam kitab Al-Hikam yang ditulis oleh Syeikh Ibnu Atho`illah:

Abu Qasim al Junaid ra. berkata: "Ketika saya sedang menunggu jenazah bersama orang ramai yang akan disembahyangkan di Masjid Assyuniziyah, tiba-tiba ada seorang miskin meminta-minta, maka dalam perasaan hatiku: Andaikan orang itu bekerja sedikit-sedikit supaya tidak meminta-minta, tentu akan lebih baik baginya.

Kemudian ketika pada malam harinya, saya akan mengerjakan wirid yang biasa saya kerjakan pada tiap malam, terasa sangat berat dan tidak dapat berbuat apa-apa, sambil duduk akhirnya tertidurlah mataku. Tiba-tiba mimpi orang-orang datang membawa orang miskin itu di atas talam, dan orang-orang ini berkata kepadaku: "Makanlah daging orang ini sebab engkau telah mengghibah padanya."

Maka langsung saya tersedar, dan saya tidak merasa ghibah padanya hanya tergerak dalam hati, tetapi saya diperintahkan harus minta halal kepada orang itu, maka tiap hari saya berusaha mencari orang itu. Akhirnya bertemu di tepi sungai sedang mengambil daun-daunan yang baik untuk dimakan dan ketika saya memberi salam kepadanya, langsung ia berkata: "Apakah akan mengulangi lagi hai Abul Qasim?"

Jawabku: "Tidak"

Maka ia berkata: "Semoga Allah mengampunkan kami dan kamu."

Firman Allah SWT:

لَّا خَيْرَ فِى كَثِيرٍۢ مِّن نَّجْوَىٰهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَٰحٍۭ بَيْنَ ٱلنَّاسِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ٱبْتِغَآءَ مَرْضَاتِ ٱللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًۭا
"Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka kecuali bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat kebaikan atau mengadakan perdamaian di antara manusia dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak Kami akan memberi pahala yang besar." (an-Nisaa`: 114)

Wahai saudaraku...

Berhati-hati dalam mengeluarkan kata-kata serta berfikir dengan sehabisnya apa yang mahu dituturkan oleh lidah, kerana benar kata orang tua-tua "terlajak perahu boleh diundur tetapi terlajak kata buruk padahnya."

Fikir-fikirkanlah dalam diri.

Monday 24 October 2011

Di Mana DIA di Hatiku?


Tajuk : Di Mana DIA di Hatiku?
Penulis : Pahrol Mohd Juoi
Penerbit : KARYA BESTARI SDN BHD
M/S : 304
Harga : SM 15.00 / SS 18.00

ALLAH itu amat hampir
Tapi, kenapa aku masih meminggir?
Akalku alpa berfikir, hatiku lupa berzikir...

Kita perlukan Allah lebih daripada kita perlukan udara. Kalau hidup tanpa Allah, apalah guna kita hidup. Hati akan mati, hidup hilang erti. Tanpa-Nya, kita akan hilang arah dan diri sentiasa gelisah. Jiwa akan terasa kosong sekalipun punya nama, rupa dan harta yang melimpah-ruah.

Orang yang cintakan Allah akan tenang dengan mengingati-Nya. Orang yang takutkan Allah pasti bergetar hati apabila mendengar ayat-ayat-Nya. Andai cinta dan takut Allah ada dihati, kita seolah-olah memiliki segala-galanya. Itulah kekayaan, ketenangan dan kebahagiaan yang hakiki dan abadi.

Di Mana DIA di Hatiku adalah suara kalbu yang mengungkapkan segala rintih pedih, ratap harap serta suka duka seorang hamba yang sentiasa mengharap redha-Nya. Sesungguhnya Allah itu dekat, pintu keampunan-Nya lebih luas daripada pintu kemurkaan-Nya. Semoga pengisian buku ini dibaca seiring rasa muhasabah diri...di mana letaknya kita di sisi ILAHI?

Antara yang menarik:

* Orang Baik Mati Cepat?
* Allah Maha Mendengar
* Rintih Hati Mencari ILAHI
* Singkaplah Rahsia Malam
* Serasikan Tadbir dan Taqdir
* Kutiplah Ilmu ALLAH
* Bicara Kalbu di Saat Keliru
* Biarlah Wajah Tidak Cantik
* Dunia di Tangan Akhirat di Hati
* Jangan Lupakan 'Siti Khadijah ' Kita

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

Kan dah kena..!

Seorang profesor melangkah penuh bergaya menuju ke bilik kuliahnya. Dia hendak menguji pelajarnya mengenai kelemahan diri.

Profesor itu bertanya: "Siapa yang merasakan dirinya bodoh, sila berdiri."

Semua pelajar diam. Ada juga yang senyum. Tidak lama kemudian, seorang pelajar bangun.

Profesor itu berkata: "Oooh... jadi awak mengakulah diri awak ini bodoh!?"

"Bukan... sebenarnya saya kesian, tak sanggup lihat profesor seorang saja yang berdiri!" Jawab pelajar tersebut dengan bersahaja.


Saturday 22 October 2011

Allah, malaikat berselawat ke atas Nabi?


Soalan:

Setiap kali bersolat Jumaat, kita akan sama-sama mendengar bilal mengingatkan makmum sebelum khatib berkhutbah dengan pelbagai ingatan. Entah bacaan al-Quran atau hadis yang maksudnya, “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi, wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kepadanya, serta ucapkanlah salam dengan selamat sejahtera sesempurna ke atasnya. Yang hendak saya ajukan persoalan, bagaimanakah caranya Allah berselawat ke atas Nabi? Adakah sama dengan kita membaca selawat ke atasnya. Terima kasih atas penjelasan.

Jawapan:

AYAT yang dibaca adalah ayat al-Quranul Karim, bukannya hadis. Ianya adalah sebagaimana firman Allah (mafhumnya): “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad saw); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (al-Ahzab: 56)

Ia, sama seperti yang anda ajukan dalam persoalan dan ayat itulah kebanyakan bilal di masjid seluruh Malaysia membacakannya. Akan tetapi makna selawat yang sebenarnya dalam tersebut, berbeza daripada satu ke satu yang lain.

Selawat Allah ke atas Nabi Muhammad, tidak seperti selawat para malaikat. Dan selawat para malaikat ke atas Nabi Muhammad saw, tidak seperti selawat umat Muhammad ke atas Nabi mereka.

Semuanya berlainan walaupun istilah asal masing-masing adalah selawat.

Selawat Allah ke atas Nabi Muhammad bukan dengan kata-kata seperti yang kita menyebut dalam ungkapan selawat yang terkenal. Selawat Allah ke atasnya bermaksud Allah SWT sentiasa memberikan kepadanya kebaikan dan kerahmatan daripada hidupnya sehingga wafatnya dan sehingga pada hari-hari baginda hidup dalam alam barzakh hinggalah ke hari kiamat.

Inilah yang disebutkan dalam kitab Tafsir al-Qurtubi, juzuk 14, halaman 222 yang bermaksud: “Selawat daripada Allah adalah turunnya rahmat Allah dan keredhaan-Nya kepada Nabi Muhammad sepanjang masa.”

Selawat daripada para malaikat bermaksud, malaikat-malaikat sentiasa berdoa kepada Allah untuk kebaikan dan keampunan Nabi Muhammad sepanjang zaman serta meredhainya.

Adapun selawat umat (kita) Muhammad kepada baginda Nabi saw adalah dengan menyebut selawat yang terkenal itu, yang di dalamnya mengandungi doa kepada Allah, agar Allah menurunkan rahmat dan kesejahteraan-Nya kepada baginda. Kita juga memohon agar Allah membesarkan dan memuliakan Nabi Muhammad sepanjang masa.

Dari tiga perbezaan jelas bahawa istilah selawat itu begitu unik. Ia boleh dipakai untuk tiga situasi yang berbeza. Pertama Allah. Kedua, malaikat dan ketiga, umat manusia.

Yang penting kita menghayati dan memahami bahawa Rasulullah saw itu makhluk istimewa pilihan Allah, yang Allah sendiri menjanjikan bahawa Allah sentiasa mencurahkan rahmat kepada baginda, hari hidupnya, ke alam kuburnya sehinggalah ke hari akhirat.

Malah para malaikat seluruhnya sentiasa memohon kepada Allah agar dilimpahkan rahmat dan keampunan-Nya kepada Rasulullah saw.

Di hujung ayat tersebut, selepas Allah dan malaikat berselawat ke atas Nabi Muhammad, maka Allah menyeru kita, orang-orang beriman supaya mengucapkan selawat dan salam yang makruf.

Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): “Sesiapa yang berselawat ke atasku satu selawat, maka Allah merahmatinya dengan 10 selawat.”

Oleh kerana itu, ulama dalam memperhalusi persoalan selawat ke atas Nabi Muhammad itu wajib atau sunat, tidak berlaku khilaf (perselisihan) daripada kalangan ulama, bahawa selawat ke atas nabi Muhammad adalah wajib, sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Dalam hidup seharian, berselawat adalah sunat muakkad.

Sa`id Ibnu Musayyid meriwayatkan daripada Umar al-Khattab, beliau berkata: "Doa hamba kepada Allah tidak diangkat apabila tidak disebut selawat ke atas Nabi dalam doa itu. Apabila disebut selawat, barulah diangkat doa tersebut. Dan sesiapa yang menulis selawat ke atas Nabi dalam mana-mana penulisan (kitabnya), maka malaikat-malaikat terus berselawat ke atas Nabi dan selama penulisannya itu kekal, maka selama itulah malaikat-malaikat mendoakan rahmat ke atasnya."

Demikian hebatnya selawat ke atas Nabi Muhammad saw. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

كارتون أطفال - يعلمنا آداب البيع والشراء

Kartun berbahasa Arab yang menceritakan situasi di antara penjual dan pembeli. Ada penjual yang jujur dan ada yang sebaliknya.

*Teringat waktu mula-mula belajar bahasa Arab, hampir-hampir juga berputus asa...




"Alif Lam Raa. Itulah ayat-ayat al-Kitab yang jelas. Sesungguhnya Kami telah menurunkannya sebagai al-Quran yang berbahasa Arab, mudah-mudahan kamu memikirkannya." (Yusuf: 1-2)


Pabila hujan turun...


Firman Allah SWT:

“Dan Dialah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati, (daerah yang kering-kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan ituberbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya).” (al-A`raaf: 57)

Sesungguhnya angin yang berhembus adalah pembawa berita gembira sebagai permulaan daripada rahmat Allah yang akan dilimpahkan semua makhluk. Di dalam tafsir Al-Jalalain menyatakan, maksud rahmat adalah rezeki dan hujan.

Dalam satu hadis Rasulullah saw telah bersabda:

Daripada`Atha` bin Abu Rabah ra. katanya, dia mendengar Ummul Mukminin A`isyah rha. berkata: "Bila angin bertiup kencang dan langit mendung berawan banyak, tampak kegelisahan di wajah baginda berjalan mundar-mandir. Apabila hujan turun wajah baginda berubah menjadi gembira dan kegelisahannya hilang. A`isyah berkata: Aku bertanya kepada baginda, apa yang menyebabkan baginda begitu gelisah." Baginda menjawab: Aku bimbang kalau-kalau angin mendung itu menjadi laknat yang ditimpakan kepada umatku. Tetapi bila hujan telah turun maka hal itu adalah rahmat." (Muslim)

Apabila hujan turun, umat Islam disunatkan untuk berdoa. Antara doa yang diajar oleh Rasulullah saw ialah doa yang diriwayatkan oleh 'Aisyah rha. Doanya seperti berikut:


اللَّهُمَّ صَيِّباً نَافِعاً
"Ya Allah, jadikanlah ia hujan yg memberi manfaat." (Riwayat Bukhari)

Terdapat juga beberapa riwayat lain dengan lafaz yang sedikit berbeza.

Di luar hujan turun mencurah-curah. Boleh dikatakan setiap pagi dan petang hujan turun. Hujan hari ini boleh dianggap sebagai mukaddimah atau permulaan kepada pertukaran musim. Musim sejuk sedang menanti gilirannya.

Jauhi gejala ‘tenggiling’.

Wednesday 19 October 2011

Hukum menghina Rasulullah

Soalan:

Saya ingin bertanya perihal mengejek dan menghina Rasulullah saw. Bagaimanakah gambarannya dan apakah hukumnya? Jika berlaku, bagaimana hendak menebusnya atau menghapuskannya?

Jawapan:

PERKATAAN menghina atau mengejek, boleh dipadankan dengan istilah asal syarak seperti yang disebut di dalam al-Quran seperti al-istihza` atau istilah taskheer yang juga bermaksud mengejek atau mengolok-olokkan.

Al-Quranulkarim menyebutkan, seperti firman Allah (mafhumnya): “Dan demi sesungguhnya, telah memperolok-olokkan beberapa Rasul sebelummu, lalu orang-orang yang mengejek-ejek di antara mereka, ditimpakan balasan azab bagi apa yang mereka telah perolok-olokkan itu.” (al-Anbiya: 41)

Maksud ayat tersebut jelas. Allah amat memurkai orang-orang yang meengejek dan memperolok-olokkan mana-mana Rasul yang terdahulu, apatah lagi mengolok-olokkan dan mempermain-mainkan Nabi Muhammad saw.

Bagi Nabi Muhammad saw, Allah berfirman khusus untuk dirinya dengan firman-Nya (mafhumnya): “Dan sesungguhnya engkau tetap beroleh pahala yang amat besar, yang tidak putus-putus, (sebagai balasan bagi menjalankan ajaran Islam);
Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlaq yang amat mulia.” (al-Qalam: 3-4)

Oleh kerana itu Nabi Muhammad saw dikenali sebagai ‘sebaik-baik makhluk Allah’, ‘semulia-mulia makhluk Allah’, ‘sesempurna makhluk Allah’.

Ini menggambarkan tiada kecacatan baginda sebagai Rasul utusan Allah. Kerana itu Allah memujinya, malaikat-malaikat memujinya, malah dipuji oleh semua makhluk yang beriman kecuali mereka yang kufur kepada Allah.

Firman Allah (mafhumnya): “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejekan-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayat-Nya serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?
Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak daripada kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.” (at-Taubah: 65-66)

Jika wujud sebarang elemen pengejekan, sama ada tentang kata-katanya, atau sunnahnya atau apa sahaja yang berlaku ke atas Nabi Muhammad maka rosaklah iman, cacatlah aqidah dan kufurlah orang itu terhadap Allah SWT.

Gambarannya mudah. Seperti ada orang yang mengeluarkan kata-kata mempersendakan peribadi Rasulullah saw dengan katanya (sebagai contoh):

“Muhammad seorang playboy (womaniser)”.

“Kepimpinannya seperti seorang diktator.”

“Mengamalkan kronisme.”

Atau seumpamanya. Atau mempersoalkan dan merendahkan kata-kata Muhammad dengan menyebutnya sebagai “amat tidak rasional”, “zero minded” atau “tidak ada kelas” dan sebagainya.

Atau celaan yang merosakkan aqidah seperti yang disebutkan seorang ilmuan Islam dahulu iaitu Ali Abdul Raziq dalam bukunya ‘Al-Islam wa Usulull hukmi’, beliau mencatatkan: “Muhammad tidak pernah diperintah oleh Allah untuk menegakkan negara Islam, dia hanya diperintahkan untuk menyampaikan ayat-ayat Allah sahaja. Adapun mendirikan negara Islam, pandai-pandainya sahaja, kerana inginkan kuasa dan bukan atas perintah Allah.”

Malah apa sahaja perkataan atau tindakan manusia yang mempersendakan Allah, dari segi apa sahaja, maka hukumnya berdosa besar dan rosak aqidah.

Bagi menebus kesalahan dosa seperti ini, seseorang itu hendaklah dengan disedari kesalahan itu, menyesali keterlanjuran itu dengan bersungguh-sungguh, lalu bertaubat nasuha kepada Allah dengan penuh rasa penyesalan bahawa, itu adalah kesalahan besar yang dilakukannya.

Memohon kemaafan daripada Allah dengan berjanji tidak akan mengulangi perkara sedemikian itu lagi. Mudah-mudahan dengan kesungguhan seseorang bertaubat, kesalahan akan terhapus, semoga Allah SWT akan menerima taubat itu dan selesailah permasalahan tersebut. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

*Allah amat murka mana-mana orang yang mengejek dan memperolokkan mana-mana Rasul.

Tuesday 18 October 2011

Koreksi diri...


Amat sukar untuk menulis sesuatu tentang diri sendiri. Apatah lagi jika ianya berkaitan dengan kelemahan dan kekurangan diri. Itulah hakikatnya.

Jika kita diberikan sehelai kertas dan diminta menulis kelemahan orang lain, tentunya berkajang-kajang yang dapat kita senaraikan. Tetapi jika diminta untuk menulis kelemahan diri sendiri, maka berapa lama masa yang diperlukan, dan kita masih termenung sambil menggaru-garu kepala. Sedangkan kertas masih lagi kosong. Kita tidak mampu, itulah realiti yang harus ditelan.

Menulis sesuatu kecacatan pada diri sendiri, diibarat membuka pekung di dada dan ia bukanlah suatu yang menarik. Kita mengakuinya termasuk saya.

Fitrah manusia

Apakah perasaan kita jika ada sahabat yang berkata:

“Kamu ini hamba Allah yang taat, cantik, baik, cerdik...bla...bla...bla...”
Kita merasa gembira? Sudah tentu! Hati kita seronok, berbunga-bunga, walaupun kita sebenarnya tidak begitu. Tetapi kita memang gembira.

Bagaimana pula jika seorang lagi sahabat berkata:

“Kamu ini degil, tidak sembahyang, bodoh, hamba nafsu...bla...bla...bla...”
Automatik kita akan sakit hati, marah, memberontak tidak setuju. Terasa mahu melayangkan sebijik dua buah tangan, walaupun kita memang begitu. Itulah keadaan kita sebenarnya, tetapi kita marah dan tidak menyukainya.

Kenapa?

Manusia sukakan kepada kesempurnaan dan mencari-cari kesempurnaan. Fitrahnya memang begitu. Lebih-lebih lagi kesempurnaan zahir. Tanyalah kepada sesiapa pun, “Ya...” jawab mereka. Siapa yang tidak mahu kelihatan cantik, gagah, cerdik, kaya, berpengaruh dan berbagai-bagai lagi. Dan itulah di antara kesempurnaan yang menjadi impian, sebagaimana asal penciptaannya dengan sebaik-baik kejadian.

Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya telah Kami ciptakan manusia itu dengan sebaik-baik kejadian.” (at-Tin: 4)

Allah SWT memulakan ayat ini dengan lafaz sumpah iaitu sebaik-baik makhluk yang Allah SWT ciptakan adalah manusia. Bentuk tubuhnya melebihi keindahan bentuk tubuh makhluk yang lain, tentang ukuran badannya, tentang manis air mukanya, sehingga digelar ‘basyar’, ertinya wajah yang menggembirakan. Untuk menyempurnakan lagi penciptaannya dianugerahkan pula akal sebagai pedoman dan pengimbang dalam melakukan sesuatu perkara.

Manusia, sebaik-baik ciptaan...

Justeru, marilah kita memperbanyakkan syukur di atas kurniaan yang amat hebat ini.

Friday 14 October 2011

Sempatkah...???

"Assalamualaikum, ana betul-betul nak minta tolong anta buatkan montaj untuk makan malam di Hotel Seri Malaysia, tarikhnya pada 16 Oktober..."

Panggilan diterima pada 13 Oktober, jam 09:40 malam...

Allah...sempatkah...???


اللّهُمَّ لا سَهْلا إِلا مَا جَعَلْتَهُ سَهْلا وَأَنْتَ
تَجْعَلُ الْحَزْنَ إِذَا شِيئْتَ سَهْلا
“Ya Allah! Tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya mudah. Dan Engkau dapat jadikan susah itu mudah, apabila Engkau menghendakinya...ameen”

Wednesday 12 October 2011

Bicara santai: Indahnya masjid

Allahu akbar...
Allahu akbar...

Laungan kalimah membesarkan Allah berkumandang, membelah keheningan dan kesunyian. Maka berpusu-pusulah mereka yang mahu menjadi tetamu-Nya. Tunduk dan patuh menyahut panggilan muazzin-Nya, mengaku sebagai hamba yang beriman dan bertaqwa.

Ada yang berjalan, cepat atau lambat dan ada yang berkenderaan. Tidak mahu ketinggalan. Semuanya menuju arah yang satu.

Itulah masjid...gedung rahmat Allah di muka bumi.

“(Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di dalam rumah-rumah (Allah, yakni masjid-masjid) yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; bertasbih bagi-Nya di dalam rumah itu pada waktu pagi dan petang.” (An-Nuur:36).

Usaha pertama Rasulullah saw ketika hijrah ialah membina masjid Quba`. Sesudah itu ketika tiba di Madinah, baginda dan para sahabat bertungkus lumus membina pula masjid Nabawi. Sehingga sekarang masjid semakin banyak didirikan di seluruh dunia. Ini adalah kerana kepentingan masjid sebagai pusat perhubungan dan titik perpaduan umat Islam.

Masjid bukanlah tempat beribadah semata-mata, tetapi yang lebih penting dari itu sebagai pusat perkembangan ilmu, yang fungsinya untuk membina akhlaq dan pemikiran serta tempat mengatur strategi perang, betapa luasnya peranan masjid di zaman Rasulullah saw.

“Sesungguhnya masjid yang diasaskan atas dasar taqwa itu, lebih berhak untuk engkau berdiri (bersolat dan beramal) di dalamnya; di dalamnya terdapat ‘rijaal’ (lelaki-lelaki) yang suka menyucikan dirinya. Dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri (zahir dan batin).” (At-Taubah:108)

Masjid adalah jantung umat Islam, tempat bertapaknya hati-hati yang tulus, terikat dengan kasih dan cinta Allah. Jika kita menghubungkan diri kita dengan masjid maka kita akan menikmati cinta dan kasih sayang Allah. Sesungguhnya cinta dan kasih sayang Allah amat tinggi nilainya. Sumber ketenangan abadi.

Demikianlah betapa tinggi nilai masjid sebagai pusat utama kepada umat Islam. Marilah kita bersama-sama mencintai masjid kerana salah satu golongan yang mendapat naungan Allah SWT pada hari yang tiada naungan selain dari naungan-Nya ialah seseorang yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid.

Bicara hadis

'Seketika di Masjid Kristal'

Pengalaman menjelajah di seluruh pelosok negara dalam setiap program Amal dan Dakwah banyak menghadiah pengalaman buat saya. Tentunya masjid sebagai persinggahan utama buat melepaskan penat dan seterusnya menjadi tempat bermalam melelapkan mata. Di samping mudah melaksanakan ibadat tanpa gangguan.

Ya, persinggahan yang mendamaikan.

“Masjid di Malaysia cantik-cantik,” kata seorang kenalan dari Selatan Thailand suatu ketika dahulu.

Ya, saya akui kenyataannya, masjid di Malaysia cantik dan lebih indah lagi jika ianya dimakmurkan dengan sewajarnya.

Teringat satu hadis Rasulullah saw:

Dari Anas bin Malik ra. bahawasanya Rasulullah saw bersabda: “Tidak berlaku (terjadi) kiamat sehingga umatku bermegah-megah dengan (binaan) masjid.” (Hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ahmad dalam kitab Musnadnya, 3: 134,145. Dalam Sunan Nasai 2:23. Dalam Sunan Abu Daud, 449. Dalam Sunan Ibnu Majah, 739)
Hadis ini termasuk dalam hadis akhir zaman dan membenarkan kerasulan Nabi Muhammad saw.

Disebutkan di antara tanda kiamat ialah umat Islam berbangga dan bermegah-megah dengan binaan masjid. Mereka lebih mementingkan keindahan dan kecantikan masjid tetapi dari segi pengisian dan kemakmurannya kosong dan hambar.

Ianya bukan sahaja berlaku di negara kita, bahkan di seluruh dunia terutamanya di negara-negara Teluk.

Rasulullah saw bersabda:

“Saya tidak diperintahkan untuk menjulangkan masjid-masjid.” (Riwayat Abu Daud dengan sanad yang sahih, Sunan Abu Daud no. 448)
Kata Ibnu Abbas: “Sungguh kamu akan menghiasinya sebagaimana kaum Yahudi dan Nasrani menghiasinya.”

Dalam satu hadis yang lain, Rasulullah saw bersabda:

“Di antara tanda dari sudah mendekatnya kiamat adalah bahawa orang akan melihat bulan sabit seperti sebelumnya, maka orang akan mengatakan satu bentuk darinya untuk dua malam dan masjid akan dijadikan sebagai tempat bersiar-siar dan matinya mendadak.” (Hadis hasan menurut at-Tayalisy dari Anas dan dalam kitab “as-Sahihah” Al-Albani no. 2292)
Di akhir zaman, manusia mula berkurang hormatnya kepada syiar dan syariat Allah SWT. Sedangkan membesarkan syiar-syiar agama adalah sebahagian daripada ketaqwaan dan iman. Ini disebut oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

“(Ikutilah yang) demikian! Sesiapa yang menghormati syiar-syiar Allah (amal ibadah di bulan-bulan haji), maka itu adalah (tanda) hati yang bertaqwa.” (al-Hajj: 32)

Jika kita lihat kerosakan akhlaq manusia dalam menghormati syiar-syiar Allah amat ketara kebelakangan ini. Ada yang tidak segan silu merokok di dalam masjid. Saya ada pengalaman itu di salah sebuah masjid utara semenanjung. Saya pula yang terasa malu dan segan.

Ada juga yang singgah di masjid kerana mahu ke tandas, ada juga yang sekadar mahu berehat atau tidur sebentar kemudian terus berlalu tanpa menunaikan solat sunat dua rakaat misalnya, sebagai tanda kehormatan terhadap rumah Allah.

Anda boleh melihat dan menilainya.

Coretan ini bukanlah mahu menidakkan usaha sesetengah pihak jauh sekali mahu memperlekehkan sesiapa, tetapi sekadar peringatan bersama untuk difikir-fikirkan.

Semoga kita semua sentiasa di bawah naungan rahmat-Nya.

Rileks sekejap...

Seorang doktor haiwan dipanggil untuk pemeriksaan seekor gajah yang mati di sebuah zoo. Apabila sampai di kandang gajah tersebut, doktor itu melihat seorang lelaki sedang duduk di samping bangkai gajah itu. Air mata berlinangan pada wajah lelaki itu.

Lalu doktor itu menyapa: "Mesti kamu sedihkan? Yalah haiwan yang kamu bela dan sayang sudah mati. Tentulah sedih. Tak mengapa, saya faham perasaan kamu." Kata doktor itu cuba menenangkan lelaki tersebut.

"Saya bukan penjaga gajah ni," jawab lelaki itu.

"Habis tu, kenapa awak menangis?" tanya doktor haiwan itu kehairanan

"Apa tak menangis... sayalah orang yang ditugaskan untuk menggali kubur dan menanam bangkai gajah ni," jawab lelaki itu dengan wajah sedih sambil berlalu pergi.


'Ini bukan lelaki yang ditugaskan untuk menggali dan menanam bangkai gajah itu...'

Monday 10 October 2011

Senang lenang tanpa penyakit ciri ahli neraka?

Soalan:

Benarkah ada anggapan yang menyatakan bahawa penyakit yang terkena kepada manusia adalah berpunca daripada dosanya kepada Allah SWT. Semakin besar dosanya semakin teruk sakitnya. Dan yang tidak ada sakit bermakna ia tiada dosa kerana dikasihi Allah, lalu dilindungi dari semua bala. Saya agak keliru, jelaskan ungkapan tersebut.

Jawapan:

ANGGAPAN yang puan sebutkan itu hanyalah semata-mata anggapan dan bukannya kenyataan. Dari sudut syarat hampir berlaku sebaliknya, dalam hadis sahih riwayat al-Imam al-Bukhari, daripada Abu Hurairah, Rasulullah saw pernah bersabda (mafhumnya): “Sesiapa yang Allah inginkan kepadanya sesuatu kebaikan, lalu Allah mengujinya dengan penyakit.”

Nabi Ayub as. diuji dengan penyakit yang dahsyat. Berpuluh-puluh tahun menderita tanpa dosa yang baginda lakukan.

Nabi Yaakub as. diuji dengan berbagai kesusahan. Sedih menanggung penderitaan. Menangis kerana kehilangan anak sehingga buta kedua-dua matanya.

Nabi Muhammad saw, ditimpa pelbagai ujian termasuk penyakit. Malah pernah kena sihir sebagaimana yang dinyatakan dalam hadis sahih riwayat Imam Bukhari.

Abu Sa`id al-khudry menceritakan: Pada satu hari dia telah pergi menemui Rasulullah saw, pada ketika itu baginda sedang demam. Lalu beliau meletakkan tangannya ke atas tubuh Rasululah saw, beliau mendapati tubuh dan tangan Rasulullah sangat panas. Lalu dia berkata kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, alangkah beratnya cubaan Allah kepada tuan.” Lalu baginda menjawab, “Sesungguhnya kami (para Rasul) sememangnya begitu. Dilipatgandakan cubaan-Nya terhadap kami dan dilipatgandakan pahala-Nya kepada kami.”

“Saya pun bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah di kalangan manusia yang paling berat menerima ujian?”

Baginda menjawab, “Para Nabi.”

“Kemudian siapa ya Rasulullah?” soal saya

Kata baginda, “Kemudian orang-orang soleh. Bahkan ada di antara mereka yang diuji dengan kefaqiran sehingga dia tidak memiliki apa-apa kecuali sehelai kain untuk menutup auratnya. Sehingga ada di atara mereka yang merasa gembira menerima musibah itu, sebagaimana ada di antara kamu yang gembira menikmati kesenangan dunia.” (Riwayat Ibnu Majah)

Lebih jelas daripada itu Rasulullah saw pernah bersabda dalam sebuah hadis riwayat Abu Hurairah (mafhumnya): “Seseorang Muslim tidak ditimpa sesuatu musibah seperti keletihan (yang amat sangat), berpenyakit, kebingungan, kesedihan, kesengsaraan dan kedukacitaan, sehinggalah kepada ujian terkena duri yang menyakiti dirinya, melainkan Allah menghapuskan dosa-dosanya.” (Riwayat al-Bukhari)

Adapun anggapan orang yang tidak pernah kena sakit, kononnya dia disayangi Allah, lalu dilindungi-Nya daripada segala penyakit, juga amat tidak benar sama sekali. Kerana ada hadis yang menyatakan sebaliknya.

Abu Hurairah dalam sebuah hadis menceritakan, kisah kecil iaitu berlaku suatu hari ada seorang Arab Badwi datang menemui Rasulullah saw dan terjadi dialog seperti berikut:

Rasulullah saw bertanya kepada Badwi itu, “Adakah engkau pernah mengalami serangan Ummu Mildam?”

Dia bertanya Rasulullah, “Apa itu Ummu Mildam?”

Jawab Rasulullah, “Rasa panas dahsyat yang dirasai di antara kulit dan daging, sangat menyeksakan.”

Orang itu menjawab, “Saya tidak tahu dan tidak pernah merasainya.”

Rasulullah saw bertanya lagi, “Adakah engkau pernah rasa sakit kepala dan kepening-peningan yang berat?”

Dia bertanya kembali, “Penyakit apa itu?”

Rasulullah menjelaskan kepadanya, “Iaitu rasa sakit berdenyut-denyut di kepala, seperti ditikam atau dipukul hingga tak keruan.”

Dia menjawab, “Tidak pernah sekalipun saya menghadapi demikian.”

Setelah lelaki tersebut beredar dari majlis berkenaan, baginda bersabda kepada sahabat-sahabat yang masih ada di situ dengan katanya: “Sesiapa yang mahu melihat contoh atau rupa seorang lelaki daripada bakal-bakal penghuni neraka, maka lihatlah kepada lelaki tadi.” (Riwayat Ibnu Hibban dalam sahihnya)

Oleh itu, dari semua keterangan di atas, jelas kepada kita bahawa Allah akan menguji seluruh hamba-Nya dengan pelbagai ujian.
Dalam ujian tersebut amat ketara, jika berlaku kepada orang yang muqarrabin kepada Allah dan taat kepada Allah, itu adalah ujian yang akan dibalas dengan ganjaran yang cukup besar.

Dan orang yang tidak pernah diuji Allah SWT jelas petunjuk-Nya, iaitu orang-orang itu diberi kesenangan oleh Allah dan ia akan ketemu dengan balasan Allah SWT pada hari kiamat. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Thursday 6 October 2011

Diam jika tidak tahu...


“Astaghfirullah...” perkataan pertama yang terpacul dari mulut diikuti dengan gelengan kepala beberapa kali.

Entah apa yang mahu diucapkan. Membaca jawapan-jawapan mereka, mulanya tersirap perasaan marah tetapi bertukar kasihan pula selepas itu.

Siapakah yang mahu dipersalahkan, yang bertanya atau yang ditanya?

Yang bertanya sepatutnya pandai-pandai memilih orang yang ingin ditanya. Janganlah semberono sahaja. Seringkali, apabila berlaku sesuatu isu maka wartawan akan menemuramah sesiapa sahaja untuk mendapat pandangan. Penjual cendol, penumpang LRT, pekerja kedai basikal dan sebagainya untuk mendapat jawapan (contoh). Lalu jadilah lain yang di tanya lain yang dijawab. Sepatutnya bertanyalah pada yang ahli dalam bidang berkenaan.

Yang ditanya pula, sepatutnya tidak memandai-mandai memberi komen pada perkara yang tidak diketahui. Jika tidak tahu diam sahaja, itu lebih baik. Teringat analogi yang dibuat oleh guru saya: "Apabila seseorang itu diam sahaja di dalam mesyuarat, kita kata orang itu bodoh agaknya, itu kita kata sedangkan belum pasti dia itu bodoh. Tiba-tiba dia bercakap...confirm bodoh."

Begitulah perumpamaannya. Jangan memperbodohkan diri sendiri.

Sebelum kita mengkritik dan memberi pandangan haruslah kita melapik perdebatan kita dengan ilmu. Kerana kata-kata tanpa ilmu diibaratkan membelah kayu api diatas kaki sendiri. Menurut Imam Syafie, setiap pandangan itu mesti berdasarkan atas ilmu pengetahuan kerana ilmu pengetahuan itu datangnya dari Tuhan yang menciptakan.

Ya, jika tidak tahu, diam sahaja.

Isu hudud

Isu hudud ini bukan isu politik, ia adalah satu isu tuntutan agama untuk umat Islam seluruhnya.

Hudud adalah hukum yang berteraskan kepada prinsip keadilan dan hikmah yang sangat besar buat kehidupan manusia di atas muka bumi ini. Mencerca, menghina dan memperlekehkan hukum Allah ini seperti mengatakan hukum Hudud tidak adil, kejam, primitif, ketinggalan zaman, tidak sesuai di zaman moden, mencetus huru hara dan sebagainya adalah perbuatan yang boleh menggugurkan iman seseorang justeru ia telah memperkecil dan mendustakan Allah SWT. Allah tegaskan akibat perbuatan mereka di dalam surah an Nisa' ayat 56.

إِنَّ الَّذِينَ كَفَرُوا بِآيَاتِنَا سَوْفَ نُصْلِيهِمْ نَارًا كُلَّمَا نَضِجَتْ جُلُودُهُم بَدَّلْنَاهُمْ جُلُودًا غَيْرَهَا لِيَذُوقُوا الْعَذَابَ إِنَّ اللَّهَ كَانَ عَزِيزًا حَكِيمًا
"Sesungguhnya orang-orang yang kufur ingkar kepada ayat-ayat keterangan Kami, Kami akan panggang mereka diatas api neraka. Setiap kali kulit mereka masak hangus, Kami gantikan untuk mereka kulit yang lain supaya mereka dapat merasa azab sengsara itu dan (ingatlah) sesungguhnya Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana."

Aqidah adalah alat terpenting dalam diri manusia yang menentukan hubungan mereka dengan Allah SWT. Jika ia tidak dijaga atau dirosakkan maka berlakulah krisis keyakinan manusia terhadap kebenaran yang ada di dalam al-Quran dan apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw.

Dengan kecelaruan ini, lalu lahirlah manusia yang cara berfikir hanya bersandarkan kepada akal semata-mata. tidak lagi berpandukan kepada wahyu Ilahi di dalam al-Quran yang diperjelaskan oleh Rasul-Nya.

Ingatlah kepada satu peringatan daripada Rasulullah saw:

Daripada Abdullah bin 'Amr r.a, Nabi saw bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak mencabut (menghilangkan) ilmu daripada manusia. Tetapi Allah mencabut ilmu dengan mencabut roh (mematikan) para ulama. Sehinggalah tiada lagi orang yang alim (ulama) yang tinggal. Ketika itu, manusia akan melantik ketua mereka yang jahil. Apabila orang menanyakan sesuatu, mereka mengeluarkan fatwa tanpa asas ilmu. Maka, sesatlah mereka dan menyesatkan orang lain." (Riwayat al-Bukhari)

Kita mohon perlindungan-Nya.

**Mengapa harus kita takut pada hukuman yang ditetapkan agama jika diri tidak mempunyai hajat atau niat melakukan kesalahan?

Monday 3 October 2011

Allah sayang, manusia pun sayang...bagaimana?


Apakah formula amalan yang boleh menyebabkan disayangi oleh Allah SWT dan dalam masa yang sama manusia turut menyayangi? Tentu sukar sekali mencari jawapannya.

Realitinya jika seseorang itu disayangi oleh Allah SWT dalam waktu yang sama tidak mustahil ramai pula manusia membencinya. Manakala jika seseorang itu disayangi oleh manusia, mungkin Allah SWT pula murka kepadanya.

Kebanyakannya untuk meraih kasih sayang dan perhatian, maka kehendak satu pihak terpaksa dikesampingkan. Kebiasaannya seseorang akan tunduk kepada kemahuan dan desakan manusia walaupun ianya belum tentu kebenarannya. Dan mereka, tanpa rasa bersalah akan melalaikan kehendak atau kemahuan Allah SWT. Sedangkan kehendak Allah mestilah didahulukan mengatasi kehendak yang lain, hatta kehendak ibu bapa sendiri.

Ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah, apabila Allah dan Rasul-Nya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barangsiapa menderhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnyah dia telah sesat, dengan kesesatan yang nyata.” (al-Ahzab: 36)

Perintah Allah dan Rasul-Nya adalah mutlak, ianya mesti dipatuhi sama ada suka atau benci. Susahkah untuk mentaati perintah Allah?

Jawapan tidak!

Jika kita sentiasa mematri di dalam minda bahawa apa sahaja yang diperintahkah baik suruhan ataupun tegahan adalah kebaikan yang akhir memberi keuntungan kepada kita. Ya, Allah tidak sekali-kali menzalimi hamba-Nya, tetapi hamba-Nyalah yang menzalimi diri sendiri

Formula disayangi

Perkataan Islam berasal daripada perkataan Arab (aslama, yuslimu, islaman) yang bermaksud tunduk, patuh dan ia juga bermaksud selamat, sejahtera serta damai.

Islam adalah cara hidup Islam yang sifatnya sempurna kerana ia adalah agama Allah Yang Maha Sempurna, adalah satu cara sistem hidup manusia yang berpaksikan kebenaran. Kesempurnaan sistem hidup ini merangkumi aspek pendidikan dan pembelajaran, kekeluargaan, kemasyarakatan, politik, ekonomi, ketenteraan dan sebagainya. Tiada satu pun perkara yang diabaikan oleh Islam dari sekecil-kecil perkara hinggalah yang sebesarnya.

Bagaimana mahu disayangi oleh Allah SWT dan manusia?

Islam telah mengemukakan satu formula sebagaimana yang diceritakan oleh seorang sahabat yang bernama Sahal bin Saad yang mendengar dari Rasulullah saw.

Suatu hari Sahal bin Saad ra. berada dalam majlis Nabi saw, lalu datang seorang sahabat bertanya kepada Nabi saw: “Ya Rasulullah! Ajarkan kepadaku sejenis amalan yang sekiranya aku lakukan menyebabkan Allah SWT sayang kepadaku dan manusia juga sayang kepada aku.” Lalu Rasulullah bersabda: “Hendaklah kamu zahid terhadap dunia nescaya Allah sayang kepadamu, dan hendaklah juga kamu zahid akan kekayaan dunia yang ada ditangan orang lain, nescaya orang akan sayang kepadamu.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Allah SWT amat sayang kepada orang yang bersikap zuhud supaya tidak lupa akan tujuan hidupnya beribadat kepada Tuhan. Tetapi, zuhud bukan bermakna meninggalkan dunia atau melupakan habuannya di dunia ini sebagaimana yang difahami oleh sesetengah orang. Satu kesilapan jika kita maksudkan zuhud itu meninggalkan kepentingan dunia sehingga dunia ini diwarisi oleh tangan-tangan orang yang tidak baik, lebih-lebih lagi tangan-tangan kuffar. Maka akan rosaklah dunia ini. Jika demikian, tidak wujud dalam sejarah umat Islam orang-orang seperti Abdul Rahman bin Auf, Usman bin Affan dan lain-lainnya.

Lihatlah kemurahan hati Abdul Rahman bin Auf yang menghadiahkan kesemua harta dagangan dan 700 ekor unta demi kepentingan akhirat. Beliau seorang yang zuhud terhadap harta dunia. Kekayaan berada di tangannya tetapi tidak melekat di hatinya.

Zuhud juga bukanlah bermakna kemiskinan, kerana kemiskinan itu akan menyiksa dan meresahkan jiwa. Berapa ramai yang menjual diri dan agamanya ekoran dari kemiskinan.

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik; sabda Rasulullah SAW: "Hampir saja kefaqiran membawa kepada kekufuran dan hampir sahaja sifat hasad mengalahkan ketetapan qadar (Allah).” Hadis di atas diriwayatkan oleh Imam Baihaqi dalam Syu`ab al-Iman (juz 14, Hlm 125) dan juga al-Quda`i dalam Musnad beliau (juz 2, hlm 425).

Akan tetapi zuhud itu adalah tidak lupa apabila diberikan kesenangan dan tidak pula terlalu mengeluh apabila susah. Dengan erti kata lain, kesenangan dan kesusahan itu tidak mengawal dirinya. Harta tidak menguasainya akan tetapi dialah yang menguasai harta.

Kebanyakan tercetusnya persengketaan dan perbalahan di kalangan masyarakat manusia adalah kerana tersemainya sifat tamak terhadap kekayaan orang lain, keinginan untuk menguasai harta pihak lain. Maka terbitlah bibit-bibit kebencian yang boleh mengundang peperangan yang dahsyat.

Oleh itu, Islam yang sejahtera menganjurkan manusia agar bersifat zuhud terhadap harta kepunyaan orang lain. Mengapa ya? Kerana dengan sifat itu bererti dia tidak menyusahkan orang lain dan membibitkan suasana harmoni, damai dan sejahtera di kalangan masyarakat.

Inilah formula yang diajar oleh Nabi saw untuk kita ikuti. Marilah kita mempraktikkannya.

Zuhudlah terhadap dunia dan apa yang ada ditangan manusia. Nescaya anda akan disayangi oleh Allah SWT dan manusia seluruhnya.