Sahabat Sejati

Thursday 18 August 2011

Hasad dengki yang membakar

Jalan menuju ke rumah bonda

Kesempatan pulang ke kampung amat saya nantikan. Selain dapat bertemu bonda dan keluarga, bermacam-macam lagi aktiviti yang dapat saya lakukan.

Di antaranya membersih halaman rumah bonda.

Memotong rumput, mengumpul daun-daun kering dan kayu-kayu buruk kemudian membakarnya. Ahh...terasa puas. Maklumlah di tempat tinggal saya, tidak ada peluang membakar sampah kerana akan mengganggu penghuni yang lain, biasalah taman perumahan.

Tak pasal-pasal nanti di saman pihak perbandaran...

Melihat yang tersirat

Saya mengumpul daun-daun kering di tempat pembakaran lalu menghidupkan api. Dengan cepat api memakannya. Asap berkepul-kepul naik ke udara. Saya mencampakkan pula ranting-ranting dan kayu-kayu buruk. Sekejap sahaja api semakin marak menyala itu membaham kayu-kayu tadi.

Bahang panas memijar ke muka, tidak tertahan rasanya. Hmm...baru api dunia, tidak sampai sebesar debu berbanding api neraka yang sememangnya tiada terbanding akan kepanasannya. Di dalam al-Quran, Allah SWT menceritakan bagaimana keadaan orang-orang kafir tatkala melihat api neraka yang menjulang-julang.

Firman Allah SWT: “Sesungguhnya Kami telah memperingatkan kepada kamu akan (terjadinya) azab yang dekat, pada hari manusia melihat apa yang telah diperbuat oleh kedua-dua tangannya. Dan orang kafir berkata, “Aduhai! Alangkah baiknya kalau dulu aku hanya menjadi tanah!” (an-Naba’: 40)

Sesalan dan keluhan! Di saat ianya tidak berguna lagi. “Kalau dahulu aku hanya menjadi tanah, kalau dulu aku tidak menjadi manusia. Tidak tercatat dalam diari kehidupan, tentu tidak begini azab yang aku rasakan.

Sesalan yang tiada gunanya.

Hasad dengki umpama api

Melihat api yang semakin marak membakar, lantas benak saya ligat mengingatkan pada satu peringatan Nabi saw:

“Hendaklah kamu menjauhi sifat hasad dengki, kerana sifat dengki itu menghapuskan segala amalan kebajikan seperti mana api memakan kayu-kayu.” (Riwayat Abu Daud dari Abi Hurairah)

Begitu buruk sekali kesan hasad dengki, sehinggakan Rasulullah saw mengumpamakan ia sebagai api yang membakar segala kebaikan.

Hasad atau dengki merupakan sifat yang amat tercela. Ia bersumberkan dari iri hati atau ketidaksenangan dalam hati. Ia amat keji kerana boleh mendatangkan akibat buruk bukan sahaja kepada orang didengkikannya, bahkan kepada puak dan masyarakat seluruhnya. Apabila bersarang sifat dengki, maka segala kebaikan akan lenyap dan terhapus sama sekali. Yang tinggal hanyalah keburukan dan dendam kesumat sahaja.

Oleh yang demikian tiap-tiap orang Islam hendaklah menjauhkan diri daripada hasad dengki yang tercela ini.

Menurut Imam al-Mutawalli al-Sya`rawi, hasad adalah mengharapkan hilangnya nikmat daripada orang yang didengki melalui ucapan atau perbuatan.

Yang dimaksudkan nikmat ini ialah yang berbentuk dunia seperti kekayaan harta, pangkat, keluarga yang bahagia, kecantikan, kesihatan dan lain-lain lagi. Maakala ada nikmat yang berbentuk akhirat seperti iman, amal, taqwa dan sebagainya. Jadi, orang yang hasad ini akan cuba untuk menghilangkan nikmat-nikmat tersebut yang ada pada orang lain.

Sebagaimana sabda Rasulullah saw: “Ingatlah bahawa setiap nikmat Allah SWT ada musuhnya.” Baginda saw ditanya: “Siapakah musuh nikmat-nikmat Allah SWT itu, ya Rasulullah. Jawab Rasulullah saw: “Musuh tersebut ialah mereka yang dengki terhadap nikmat kurniaan Allah SWT yang diberikan kepada manusia lain.” (Riwayat at-Thabrani)

Hasad boleh berlaku kepada sesiapa sahaja baik orang miskin, kaya, jahil, berilmu, berjawatan, yang berpengaruh dan sebagainya. Orang kaya boleh hasad kepada orang kaya yang lain, mungkin juga orang kaya boleh hasad kepada orang miskin, agar orang miskin itu sentiasa miskin. Begitu juga orang yang berilmu, boleh hasad kepada orang berilmu yang lain atau kepada orang jahil. Begitulah seterusnya.

Bersihkan hati

Bagi insan yang bersih hatinya dari sifat hasad dan dengki, ia akan masuk syurga. Hal ini telah disabdakan Nabi saw sebagai berikut. Anas ra. bercerita:

“Pada suatu hari kami duduk-duduk bersama Rasulullah saw, maka baginda berkata: “Sebentar lagi akan ada yang masuk dari pintu itu seorang laki-laki dari penghuni syurga.” Tidak lama kemudian maka masuklah seorang laki-laki dari Ansar sambil menyeka dan menggerak-gerakkan janggutnya dari air wudhuk, ia membawa seliparnya pada tangan yang kiri, lalu memberi salam. Pada keesokkan harinya baginda saw berkata lagi, bahawa seorang ahli syurga itu akan masuk lagi. Betul ternyata orang itu masuk lagi. Kemudian pada hari ketiga Rasulullah saw berkata begitu pula; dan orang itu pun masuk (ke masjid).”

Setelah Rasulullah saw bangun, orang itu diikuti oleh Abdullah bin Umar dan Abul Ash, lalu berkatalah Abdullah kepadanya:

“Saya bersumpah, tidak akan bersama Nabi di masjid selama tiga hari. Kalau anda berkenan saya akan tinggal di rumahmu selama tiga hari.”

Orang itu berkata: ”Baiklah!”

Abdullah tinggal di rumah orang tersebut selama tiga malam, ia tidak melihat ahli syurga itu bangun untuk bersolat malam. Hanya setiap ia berbalik ke tempat tidurnya dia menyebut nama Allah (berzikir). Dan ia tidak bangun hingga fajar menyinsing. Tetapi Abdullah tidak pernah mendengar dari mulutnya kecuali perkataan yang serba baik.

“Setelah selesai tiga hari, hampir-hampir saja saya mencela amalnya, kerana saya melihat ia tidak berbuat apa-apa,” kata Abdullah bin Umar.

Ku katakan kepadanya: “Wahai hamba Allah, antara saya dan ayah saya tidak ada suatu yang membuatnya marah sehingga saya ingin tinggal di sini. Namun saya mendengar Rasulullah saw berkata begini dan begitu kepada anda.”

Orang itu menjelaskan: “Dan itu kerana engkau melihatku tidak lebih dari itu.”

Setelah saya pergi, maka ia memanggilku. Dia lalu berkata: “Saya tidak berbuat kecuali seperti yang anda lihat, hanya saja dalam jiwa dan hati saya tidak ada sifat hasad, dengki atau iri hati, atau ingin menipu dalam nikmat yang dianugerahkan Allah kepada orang lain.” Abdullah bin Umar berkata kepadanya:

“Itulah sifat yang telah sampai kepadamu yang kami tidak mampu melakukannya.” (Riwayat Imam Ahmad)

Petikan kisah di atas sangat tepat menusuk dan membekas ke dalam hati. Betapa Allah SWT menjanjikan rahmat dan syurga kepada para hamba-Nya yang bersih hati dari sifat hasad dengki, dan sangat murka kepada sesiapa yang cuba menyemarakkan api persengketaan dengan sifat hasad ini.

Hapuskanlah titik-titik hitam di hati yang sentiasa menghasut mata supaya memandang dengan pandangan hasad dengki. Buangkanlah gejolak di dalam jiwa yang dipenuhi nafsu keburukan.

Bukankah seorang mukmin terhadap mukmin yang lain adalah bersaudara?

Hindarilah sifat dengki ini, bersyukurlah kepada Allah dengan apa yang telah diberikan. Memadailah apa yang ada di tangan kita. Semoga kita semua beroleh kebaikan dan kebahagiaan.

Buang yang keruh, ambil yang jernih!

Anda mampu mengubahnya!

2 comments:

Nazihah@Jiha said...

Assalamualaikum ustaz.

kisah tu mmg membekas ke hati.
tak perlulah nak hasad dengki kn..qadak dan qadar Allah dah atur..apa yang orang lain perolehi dan kita perolehi semuanya dari Allah,redhalah..

~selamat berbahagia dikampung halaman ustaz,teringat pula kat kampung~

abuikhwan said...

Betul, redha dengan pemberian-Nya. Namun tidak semua yang boleh bersikap begitu....

Alhamdulillah, damainya hati di kampung halaman.

Post a Comment