Sahabat Sejati

Sunday 31 July 2011

Tetamu yang dirindui


Ramadhan bakal menjelma.

Bulan yang terkandung keberkatan, kerahmatan dan keampunan, serta bulan yang dijanjikan gandaan pahala yang melimpah-ruah. Kedatangannya amat dinanti-nantikan oleh orang yang bertaqwa. Sesungguhnya kelebihan dan keistimewaan Ramadhan bukan lagi satu rahsia. Allah SWT telah memilih daripada bulan ini satu detik paling bersejarah dalam kehidupan umat sejagat, iaitu detik turunnya kitab suci paling agung. Kitab yang diturunkan khusus untuk memberi petunjuk kepada manusia ke jalan yang benar dan diredhai.

Firman Allah SWT:

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)...” (al-Baqarah: 185)

Ada yang merasa gembira dan senang dengan kedatangan Ramadhan, kegembiraannya seperti menunggu kedatangan sang kekasih yang amat dirindui. Ini ditunjukkan oleh para sahabat generasi awal. Diceritakan para sahabat menanti Ramadhan seumpama menanti hari perkahwinan. Doa sentiasa dipanjatkan untuk sampai ke bulan yang dirindui. Tiada seorang pun antara kaum Muslimin yang bersedih hati ketika menghadapi Ramadhan. Sebaliknya mereka bersuka cita dan bergembira, menyambutnya dengan penuh cerdas dan semangat yang menyala-nyala.

Saiyidina Umar al-Khattab ra. amat gembira setiap kali menjelang ramadhan dan beliau akan berkata:

“Selamat datang bulan yang akan membersihkan kami, sebab Ramadhan ini semuanya baik, puasa pada siang harinya dan bangun pada malamnya, dan sedekah (belanja) dalam bulan ini sama dengan membelanjai perjuangan jihad fi sabilillah.”

Diceritakan ada di antara ulama silam yang berdoa enam bulan sebelum kedatangan Ramadhan agar mereka dapat memasuki bulan Ramadhan. Begitulah gambaran seorang Muslim yang merindui datangnya Ramadhan.

Ada juga yang biasa-biasa sahaja dengan kedatangan Ramadhan. Baginya bulan Ramadhan tiada beza dengan bulan-bulan yang lain. Makan minum dan apa sahaja kegiatannya sama sahaja dengan bulan lain.Merasa senang dengan hari-hari yang telah dilaluinya, tidak nampak keistimewaan Ramadhan itu.

Yang lebih teruk ialah mereka yang rasa terbeban dan terseksa dengan kedatangan Ramadhan. Seolah-olah Ramadhan adalah tetamu yang tidak diundang. Menunggu-nunggu berakhirnya Ramadhan dengan keluh kesah, manakala Idul Fitri seperti hari kemerdekaan lagaknya.

Tak kenal maka tak cinta

Satu analogi!

Bagaimana perasaan kita jika seorang rakan memperkenalkan kita dengan seorang rakannya. Mungkin kita rasa biasa dan tidak mahu berlebih-lebih mengambil tahu kerana kita tidak mengenalinya. Kita rasa dia seorang yang biasa sahaja.

Bagaimana pula jika diperkenalkan dengan rakannya yang kta ketahui seorang yang hebat, popular, baik hati, public figure. Tidakkah kita merasa teruja untuk bersahabat dengannya? Kalau boleh mahu bercakap-cakap setiap masa dengannya.

Begitulah perbandingan bagi orang yang mengetahui kehebatan dan keistimewaan Ramadhan. Pasti dia tidak sabar-sabar menanti kedatangan Ramadhan. Dan kalau boleh biarlah Ramadhan sepanjang tahun kerana tidak mahu berpisah dengannya.

Oleh itu, perlu untuk kita mempelajari dan mengetahui keistimewaan serta kelebihan Ramadhan agar hati kita sentiasa tumbuh kerinduan padanya. Barulah kita terasa bahagia dan gembira bukan terbeban dan terseksa.

Ramadhan, kehadirannya dinanti, pemergiannya ditangisi, ketiadaannya dirindui.

Friday 29 July 2011

Transformasi Ramadan



Ramadan tiba berulang masa.

Pada suatu ketika, ketibaan Ramadan sinonim dengan kegemilangan umat. Ramadan mencatat kemenangan di medan Badar dan pembebasan Kota Makkah. Ramadan juga mengiringi ketibaan Islam di bumi Andalus. Ramadan mewarnai kejayaan Salahuddin al-Ayyubi membebaskan al-Masjid al-Aqsa daripada cengkaman cengkaman Tentera Salib. Malah Ramadan juga menyaksikan kejayaan Saifuddin Qutz menumpaskan kemaraan Moghul di medan 'Ain Jalut.

Demikianlah Ramadan dan kejayaan silam. Masihkah Muslim dan Ramadan, intim dalam hubungan yang gilang-gemilang itu? Bagaimana Ramadan semalam dan bagaimana pula Ramadan hari ini? Masihkah Ramadan itu suatu latihan dan proses Rabbani, atau hanya adat di limpahan nikmat?

TRANSFORMASI RAMADAN mengajak kaum Muslimin menjernihkan pandangan.

Ia bukan manual fiqh pada membicarakan teras hukum dan perundangan.

Ia adalah senaskhah peringatan buat renungan.
Agar Ramadan ditempuh dengan penghayatan.
Bukan bulan manusia rancak memusimkan agama tanpa makna.
Jangan berpuasa tanpa agama.
Jangan beragama tanpa Tuhan.

"Wahai orang-orang yang beriman, puasa diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas umat sebelummu, agar (dengan puasa itu) kamu menjadi insan yang bertaqwa." (al-Baqarah: 183)

Tajuk : Transformasi Ramadan
Penulis : Hasrizal Abdul Jamil
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
M/S : 151
Harga : SM 18.00 / SS 20.00

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

Monday 25 July 2011

Cerita pendek...sebelum tidur

Udin : Mak, belikan saya iguana... Saya nak bela iguanalah.

Ibu : Iguana? Hisy...kita nak bagi iguana tu makan apa?

Udin : Alahh, mak belilah iguana yang dekat sangkarnya ada tulis "Dilarang memberi makanan".

Ibadat, satu keperluan bukan bebanan!

Setiap pagi, apabila terjaga dari tidur, saat mencelikkan mata, kita memuji serta memanjatkan kesyukuran kepada-Nya.

Kemudian kita menyiapkan diri untuk tunduk sujud kepada-Nya.

Cuba bertanya ke dalam diri, “Mengapa kamu lakukan semua ini wahai diri?”

Dengarlah apa jawapan diri.

“Aku bersembahyang kerana ia suatu tanggungjawabku kepada-Nya.....”

Atau.

“Aku lakukan ini kerana aku memerlukan-Nya dan tanda kasih kepada-Nya.....”

Mungkin sekali pandang kedua-dua jawapan betul dan tiada bezanya, tetapi jika diperhati dengan sedalamnya seakan ada garis pemisah yang merintangi keduanya. Benar, garis halus yang memisahkannya!

Kita bersembahyang kerana satu tanggungjawab, memang ia tanggungjawab kita selaku hamba-Nya. Tiada yang dapat menafikannya.

Allah SWT berfirman:
"Tidak Aku (Allah) jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku." (adz-Zariyat: 56).

Tetapi jika semata tanggungjawab, tidak mustahil ada harinya kita akan rasa cuak, berat dan malas. Lalu sembahyang terasa satu bebanan pula. Hilanglah kemanisan dan keindahannya. Akhirnya kita mengeluh, “nak buat macam mana....dah tanggungjawab.” (Na`udzubillah)

Tetapi jika kita melakukannya kerana tanggungjawab lalu ditambah pula kerana cinta dan kasih kepada-Nya, maka kita akan menjumpai kemanisan dan ketenangan saat melakukannya.

Daripada Anas ra. bersabda Rasulullah saw: "Tiga perkara sesiapa memilikinya akan memperolehi kemanisan iman; Jadikan Allah dan Rasul-Nya perkara yang paling dikasihi mengatasi yang lain, mengatasi seseorang kerana Allah dan enggan kembali kepada kekufuran seperti enggan di bakar dalam api." (Bukhari)

Oleh itu, perbetulkanlah pandangan kita dalam melakukan solat termasuk ibadat-ibadat yang lain. Sesungguhnya ibadat yang dilakukan dengan kasih sayang pasti akan menumpahkan kasih sayang-Nya. Tiada kasih sayang bagi mereka yag tiada kasih sayang.

Ibadat, satu keperluan bukan bebanan!

Hukum terima gaji daripada usaha menipu


Soalan:

Dalam kehidupan bernegara seperti kita hari ini, ada orang yang mendapat gaji lumayan, tetapi didapati dengan cara yang tidak sah, atau dengan lain bahasa, diperolehi dengan cara yang terang-terangan menipu. Bagaimana dengan hukum gaji yang diterima daripada jawatan tersebut. Mohon penjelasan.

Jawapan:

JUJUR adalah sifat terpuji. Tipu khianat adalah pekerjaan terkeji. Apa sahaja yang namanya tipu menipu wajib dihindari.

Kita harus beramal dengan sifat-sifat terpuji, kerana dengannya kehidupan kita akan lebih diberkati.

Rezeki yang didapati dengan cara yang halal, nescaya akan mendatangkan kebaikan di dunia dan akhirat.

Hidup ini adalah sementara. Semua akan berakhir dengan mengadap Allah `Azzawajalla. Jika sumber rezeki kita diperolehi daripada sesuatu yang halal, maka beruntunglah kita dan berbarakahlah hidup kita hingga kita kembali kepada-Nya.

Jika berlaku sebaliknya, mendapat rezeki dari sumber yang haram, maka Rasulullah saw pernah bersabda (mafhumnya): "Daging yang tumbuh dari makanan yang haram, maka nerakalah nanti tempatnya di akhirat kelak."

Jawatan adalah amanah besar yang perlu dipikul dengan ikhlas.

Rasulullah saw pernah bersabda kepada Abu Dzar yang hanya datang memohon suatu jawatan daripada baginda untuk beliau berkhidmat dalam kerajaan Islam.

Sabda Baginda saw (mafhumnya): "Wahai Abu Dzar, jawatan (yang) kamu (pohon itu) adalah amanah dan di hari Kiamat kehinaan dan penyesalan, melainkan yang menunaikan haknya."

Rasulullah saw menolak permohonan Abu Dzar kerana beliau tidak layak menerima jawatan tersebut kerana tidak sesuai baginya. Rasulullah saw menolaknya dengan peringatan kepada Abu Dzar, mafhumnya, jika diserahkan juga kepada beliau, di akhirat kelak, akan menyesal dan mendapat penghinaan daripada Allah yang tidak akan habis disesali.

Bayangkan itu jawatan yang sah. Jika diberi secara sah sekalipun, namun akibat daripada itu amat besar, jika tidak ditunaikan hak itu dengan penuh amanah dan tanggungjawab serta efisyen dalam menjalankan kerja.

Anda persoalkan jawatan yang tidak sah, yang diperolehi dengan cara yang menipu pula. Jelas itu bukan haknya. Malah hak orang lain.

Seolah-olah diambilnya jawatan itu dengan cara merampas atau menipu. Maka pastilah pekerjaan itu adalah haram. Di atas ketidaksahihan jawatan itu, maka hasil gaji yang diperolehi daripada jawatan yang tidak sah adalah haram. maka daging yang tumbuh daripada itu, maka nerakalah tempat penyudahnya.

Gaji yang diperolehi daripada jawatan yang didapati daripada cara yang haram, yang digunakan untuk makan minum, pakaian dan sebagainya, tentulah tidak akan mendatangkan barakah.

Suatu ketika di zaman Rasulullah saw dahulu, ada seorang lelaki sedang mengangkat tangan, berdoa bersungguh-sungguh ke hadrat Allah SWT di bawah panas terik matahari. Melihat keadaannya Rasulullah saw yang mengetahui keadaan sebenar lelaki itu, lalu baginda bersabda (mafhumnya): "Lelaki tersebut berdoa, dalam keadaan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya juga haram. Bagaimana Allah hendak memakbulkan permintaannya."

Mesej daripada hadis sebegini, menunjukkan, andai seseorang itu mendapat kerjanya daripada sumber haram, hasilnya juga haram, maka tidak akan dimakbulkan Allah doanya.

Maka hendaklah kita menghindari perbuatan seperti itu dan menjaga kebaikan diri dari dunia hingga akhirat. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Saturday 23 July 2011

Cetusan rasa: wahai diri, bersyukurlah


Allah SWT berfirman:

“Maka ingatlah kepada-Ku, nescaya Aku mengingati kamu. Dan bersyukurlah kamu kepada-Ku dan jangan kamu mengkufuri (akan nikmat-Ku).” (al-Baqarah: 152)

Wahai diri...

Panjatkanlah kesyukuran seandainya di waktu pagi kau masih mampu mencelikkan mata, bangun dalam keadaan sihat dan segar. Ingatlah, di ketika ini ada orang yang tidak mampu melakukannya kerana ajal telah menjengah.

Wahai diri...

Panjatkanlah kesyukuran seandainya di waktu ini kau masih mempunyai atap buat berteduh dari hujan dan panas, biarpun hanya pondok kecil. Ingatlah di ketika ini ada orang yang hanya berbumbungkan langit terbentang luas.

Wahai diri...

Panjatkanlah kesyukuran seandainya di waktu ini kau masih memiliki selera untuk menikmati apa yang terhidang. Ingatlah kerana di ketika ini ada orang yang hanya mampu memandang kerana terlantar di katil sakit.

Wahai diri...

Panjatkanlah kesyukuran seandainya di dalam rumahmu masih ada makanan yang tersimpan buat bekalan. Ingatlah di ketika ini ada orang yang bergelandangan ke sana ke mari mencari sesuap nasi ibarat kais pagi makan pagi.

Wahai diri...

Panjatkanlah kesyukuran seandainya kau masih mampu memutikkan senyuman di kelopak bibir, merasa bahagia dan gembira dengan kehidupan ini. Ingatlah di ketika ini ada orang yang menderita dan berduka nestapa kerana bosan dengan perjalanan hidupnya.

Wahai diri...

Panjatkanlah kesyukuran seandainya kau masih mampu membaca dan memahami bilah-bilah bahasa coretan ini. Ingatlah di ketika ini ada orang yang tidak mampu membaca dan menulis kerana tiada kesempatan untuknya belajar.

Wahai diri...

Panjatkanlah kesyukuran seandainya kau masih memiliki sekeping hati untuk bersyukur dengan segala nikmat-Nya. Ingatlah di ketika ini ada orang yang hatinya telah dimatikan oleh-Nya. Sedangkan dia sendiri tidak menyedari lalu kehidupannya tidak memberi apa-apa erti sekadar satu kehidupan sama seperti kehidupan makhluk-makhluk yang lain.

Allah SWT berfirman:

“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah) mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai. (al-‘Araaf: 179)

Nikmatilah hari-hari yang indah ini dengan merenung segala pemberian-Nya dan bersyukurlah kepada-Nya kerana nikmat pemberian yang tidak pernah habis ini.

Sesungguhnya Allah, Tuhan kita yang amat penyayang.

Friday 22 July 2011

Takirah pagi Jumaat...

Satu kisah...

Apabila Mat terjumpa Alia dia terus memakai ketayap. Bukan senang nak memenangi hati Alia. Mat juga tahu ayah Alia alim orangnya. Bukan sebarang orang boleh menjadi menantunya. Mujurlah Mat pandai berlakon.

Apabila melihat ketayap dia atas kepala Mat tak pernah lekang, Haji Dolah setuju nikahkan anaknya dengan si Mat. Dengan sekali lafaz, sahlah akad nikah.

Malam pertama Mat dan Alia lambat tidur. Banyak benda nak dikemas, biasalah kalau kenduri kahwin. Akhirnya semua tertidur setelah jam 3.00 pagi. Esoknya Haji Dolah kejutkan seluruh ahli keluarga sembahyang subuh berjemaah. Mat terlambat bangun. Lalu Haji Dolah menyuruh Mat sembahyang seorang diri.

Mat pun iqamat dan tunaikan sembahyang subuh. Selesai memberi salam, Haji Dolah bertanya, "Hai, Mat kenapa solat subuh tiga rakaat?"

Lantas Mat menjawab, "Eh...iya ke tiga rakaat? Rasa-rasanya dah cukup empat rakaat tadi ayah."
"Ini kes mengantuk sangat pasal berkemas semalam," sambung Mat lagi dengan selamba.

Haji Dolah, "??????..."

Moral: Jangan malu untuk menuntut ilmu.

Rasulullah saw bersabda: "Menuntut ilmu itu satu kewajipan atas setiap Muslim" (HR Ibnu Majah)

Wednesday 20 July 2011

BUKAN SUSAH NAK FAHAM



BUKAN SUSAH NAK FAHAM merupakan bacaan ringan yang ditulis dalam bahasa yang mudah namun sarat dengan pengajaran. Terdiri daripada himpunan ceritera yang sangat menarik.

Diperkemaskan dengan tamsilan-tamsilan logik bagi memudahkan pembaca memahami persoalan-persoalan agama yang kadangkala mengguggat keimanan kita. Sekali gus memotivasikan pembaca untuk lebih menghayati ajaran Islam. Juga terdapat empat buah cerpen sebagai bacaan bonus.

... seorang murid, yang dikenali sebagai murid yang pendiam, bangun dan memberi isyarat mahu bertanyakan soalan.
Tanya dia kepada ustazah, “Ustazah, kalau Allah menyuruh kita solat, macam mana pula Allah solat?”
Seluruh kelas terpana dengan soalan pelajar itu.
Ustazah mereka juga terkedu sekejap sebelum dapat mencari jawapan yang sesuai bagi menjawab persoalan anak muridnya itu.
Seketika kemudian baharulah ustazah menjawab dengan bertanya kembali kepada pelajarnya itu, “Kenapa awak datang ke sekolah?”
“Kerana mahu belajar,” jawabnya ringkas.
“Selain daripada itu?”
“Kerana mak dan ayah saya suruh.”
“Tapi mereka tidak datang sekolah bukan?”
“Ya.”
“Begitulah juga Allah. Dia yang menyuruh kita bersolat untuk menyembah diri-Nya. Maka Dia tidak perlulah bersolat. Sebagaimana mak dan ayah kita suruh kita datang ke sekolah, sedangkan mereka tidak datang ke sekolah.”
Murid tersebut mengangguk, berpuas hati dengan jawapan daripada ustazah mereka itu.
(Petikan dari kulit belakang )

Tajuk : BUKAN SUSAH NAK FAHAM
Penulis : Zahiruddin Zabidi
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
M/S : 198
Harga : SM 19.00 / SS 21.00

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan!

Tuesday 19 July 2011

Cetusan rasa: abuikhwan 35 tahun

Lebih suku abad berkelana di bumi Tuhan.

Setiap kali menjelangnya tarikh seperti hari ini, ia hanya memberitahu diriku bahawa setahun lagi telah bertambah janji untuk aku menghampiri kematian.

Hidup bukan lagi permainan dan keseronokan, bukan sekadar mencuba-cuba.

Ia adalah perjuangan.



Sabda Rasulullah saw:

“Rebutlah lima keadaan sebelum datang lima keadaan yang lain, iaitu keadaan muda sebelum kedatangan waktu tuamu, keadaan sihatmu sebelum kedatangan waktu sakitmu, keadaan kaya (berada) sebelum ketibaan keadaan fakirmu, keadaan lapangmu sebelum kedatangan waktu sibukmu dan masa hidupmu sebelum tibanya kematianmu.” [Diriwayatkan oleh al-Imam al-Hakim daripada Ibnu Abbas radiallahuanhu]

Subhanallah!

Cepatnya masa berlalu…

Siapkanlah bekalanmu wahai diri (abuikhwan)


Siang dan malam silih berganti mengiringi pejam dan celik. Putaran masa yang bergerak tanpa henti, meninggalkan sesiapa sahaja yang masih lalai. Ibarat tidur di dalam jaga.

Tanpa peduli.

Tanpa simpati.

Semuanya hanya disedari tatkala berganti bulan, bersalin tahun.

“Ahh...sudah bertambah setahun umurku.”

Kata-kata yang biasa, sudah dijangka.

Namun apakah yang dipandang pada usia yang bertambah. Sekadar satu kiraan yang tiada nilai?

Tanpa memberi apa-apa pengertian, jauh sekali menukilkan keinsafan.

Manusia sentiasa terlupa, lumrahnya memang begitu.

Tarikh istimewa???

Hening subuh 19 Julai 2011.

Hari yang istimewa, detik indah dalam penantian.

Aku masih di sini.

“Hmm..hari ini usiaku sudah menginjak 35 tahun.”

35 tahun, selama itulah diri ini menumpang dibumi-Nya. Berkelana ke sana ke sini. Menghirup uidara sepuasnya, makan dan minum dengan semahunya. Sedangkan itu semua tidak pernah dipinta dalam doa.

Keliru dengan perasaan sebenar yang menyelubungi diri. Gembira dengan ulangtahun kelahiran ini? Kadang-kadang aku terfikir, apa yang ada pada sebuah kelahiran untuk dikenang? Setiap kali menjelangnya tarikh seperti hari ini, ia hanya memberitahu diriku bahawa setahun lagi telah bertambah janji untuk aku menghampiri kematian.

“Setiap yang bernyawa (berjiwa) pasti akan merasai mati.” (Ali ‘Imran: 185).

Dengan penuh kusyuk dan rendah hati aku mulakan pagi nan damai ini dengan sujud kepada-Mu. Aku menadah tangan, melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran, kerana dengan izin-Nya masih diberikan peluang untuk menghirup nafas. Membuka mata melihat dunia yang luas ini. Sungguh besar nikmat kehidupan yang ditaqdirkan, tidak mungkin hati dapat mengingkarinya.

Biarpun kehidupan ini, kadang-kala ada resah dan gelisah.

Ada penat dan lelah.

Ada pahit dan jerih.

Namun masih ada lagi bahagia dan gembira, biarpun sekelumit cuma.

Demikianlah percikan kasih sayang-Nya yang tidak pernah menghampakan.

Terima kasih Tuhan

Petang yang damai.

Aku berdiri di jendela, memerhati langit bersih, remang-remang cahaya merah di ufuk.

Burung-burung berterbangan.

Kanak-kanak masih berlari berkejaran di padang.

Daun-daun kering berguguran, melayang-layang tanpa kemudi di pupuk angin petang.
Entah mengapa tiba-tiba hatiku digamit, sehingga mata asyik memerhatikan daun-daun kering yang gugur itu. Ada sesuatu yang bermain di puncak benak.

Daun kering itu asalnya dari sebutir biji benih. Lalu berpucuk tunas, muda, lemah dan mudah patah.

Kemudian ia semakin melebar, semakin hijau warnanya dan menjadi dewasa.

Hari silih berganti, daun yang hijau tampak kekuningan. Selepas itu bertukar menjadi coklat. Layu dan kekeringan. Akhirnya gugur ditiup angin. Begitulah hayat sehelai daun.

Hati kecil ini mencelah, itulah gambaran kehidupan. Setiap detik dan ketika kita akan mengalami perubahan demi perubahan, perpindahan demi perpindahan yang telah ditetapkannya. Mampukah sesiapa menolak dan menepisnya?

Pantasnya roda kehidupan berputar. Meraba-raba kepala yang telah berkurang rambutnya, Uban juga telah memutih sehelai dua.

Terasa baru semalam mengenal dunia...

Terasa baru semalam memasuki alam persekolahan...

Terasa baru semalam melafazkan kalimah “Aku Terima Nikahnya.”

Terasa baru semalam melafazkan kalimah membesarkan Allah ditelinga anak...

Hari ini usia telah pun menghampiri angka 40.

Lalu teringat kepada pesanan Rasulullah saw kepada umatnya:

“Tanda Allah membenci seseorang hamba-Nya; ia akan sentiasa sibuk dengan perkara yang tiada kaitan dengan dirinya. Sesungguhnya sesaat umur yang pergi tanpa digunakan di dalam ibadah, pasti membuatkan manusia menyesal di kemudian hari. Sesiapa yang telah mencapai umur empat puluh tahun, sedangkan amalan kebaikannya terlalu sedikit dibandingkan dengan kejahatan yang dilakukannya, maka bersedialah untuk ke neraka."

Bergetar hati ini, kerana nasihat ini sebenarnya sudah cukup menjadi ingatan kepada orang yang berakal.

Ambillah sedikit masa untuk merenung jauh kehidupan ini. Sesungguhnya kehidupan ini adalah pengorbanan, pandanglah dengan mata hati yang ikhlas bukan dengan nafsu yang bertapak di dalam diri.

Semalam, sudah pun berlalu, disimpan dalam lipatan untuk dibuka pada hari akhirat nanti. Esok, tidak pasti apa yang akan berlaku. Malahan sebentar lagi pun tidak jelas dan nyata, apatah lagi mahu memikirkan hari esok. Kerana taqdir hidup bukan milik kita. Ia kepunyaan Allah.

Lamunan terhenti

"Apa yang dimenungkan tu? Jauh nampaknya," tiba-tiba isteri menegur dari belakang, sambil menyuakan senyuman manis penuh perisa. Ahh...isteri solehah.

Lamunan panjang mati di tengah jalan.

Waktu maghrib hampir menjengah, saya segera bersiap-siap untuk ke surau.

"Hidup ini bukan lagi untuk mencuba-cuba, tetapi untuk menjadi sebaik-baik hamba. Sebagaimana asal kejadian dengan sebaik-baiknya. Teruskan memanjat tangga-tangga kehidupan, sebelum bertemu dengan-Nya," benak berkata-kata.

Firman Allah SWT:

Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan; (Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bumi itu hidup dengan subur kembali menumbuhkan beraneka jenis tumbuh-tumbuhan yang indah permai." (al-Hajj: 5)

Monday 18 July 2011

Bagaimana melupuskan wang hasil riba?

Soalan:

Hasil atau keuntungan daripada simpanan bank nasional (bank riba)adalah haram. Mana lebih baik, sama ada dibiarkan keuntungan itu di dalam bank tanpa mengambilnya atau memanfaatnya? Pada hal, kita disaran untuk membuat kebajikan, sama ada mendermakannya ke badan-badan khairat atau perjuangan Islam untuk menentang kezaliman dan sebagainya. Mohon penjelasan, terima kasih.

Jawapan:

KEUNTUNGAN yang diberikan oleh bank konvensional kepada para penyimpan adalah jelas haramnya kerana ia berasaskan riba.

Oleh itu mengambil untuk kemaslahatan atau kegunaan penyimpan adalah haram, berdasarkan kepada kaedah-kaedah feqah yang bermaksud: "Setiap yang haram mengambilnya, maka haram juga memanfaatkannya."

Membiarkan wang tersebut tanpa mengambilnya daripada bank, bererti memberikan atau menyerahkan wang tersebut kepada bank.

Hukum memberi wang haram kepada pihak yang mengambilnya untuk tujuan apa pun adalah haram. Ini kerana wang yang diberi percuma kepada bank konvensional itu, akan semakin memperkukuhkan kedudukannya dalam melaksanakan agenda haramnya. Maka anda menjadi penyumbang kepada sesuatu sistem yang haram.

Akan tetapi, mengambilnya dengan niat bukan untuk faedah diri, adalah suatu kemestian. Ke mana wang itu hendak dilupuskan?

Tentulah ia harus disalurkan kepada saluran berikut:

i) Bakar atau dicampak ke dalam laut. Hukumnya haram kerana mensia-siakan harta yang boleh dimanfaatkan.

ii) Membelanjakannya untuk membayar cukai atau `makan angin` atau membeli minyak kereta atau membuat tandas. Ini juga haram kerana menyalahi kaedah feqah yang disebutkan di awal tadi.

iii) Memberikannya kepada kemaslahatan orang lain yang amat-amat memerlukan. Seperti memberi kepada faqir miskin atau badan kebajikan yang amat memerlukan dana, dengan tidak memberitahu kepada mereka, dari mana sumbernya wang derma tersebut.

Pada saya, yang ketiga (iii) inilah yang hampir dengan kaedah syarak. Ini berdasarkan suatu peristiwa yang berlaku ke atas Rasulullah saw, bahawa baginda pada suatu ketika telah dihidangkan kepadanya hidangan kambing bakar yang siap dimasak untuk dimakan.

Kambing yang telah dihidangkan itu, memberitahu kepada Rasulullah saw bahawa ia adalah haram.

Rasulullah saw lalu bersabda kepada sahabat yang ada di situ (mafhumnya): "Ambillah kambing ini, dan beri makanlah kepada orang-orang tawanan."

Ini bererti Rasulullah saw tidak memanfaatkan kambing itu untuk dirinya dan untuk para sahabatnya, malah diberi kepada orang lain, iaitu orang tawanan yang memerlukan makanan tersebut.

Dalam Al-Athar (amalan sahabat), Abu Bakar as-Siddiq, pernah memenangi pertaruhan (pada waktu sebelum diharamkan) dengan kaum musyrikin. Apabila beliau menang dalam pertaruhan itu dan mendapat habuannya, maka jatuhlah hukum bahawa harta yang dimenanginya itu diharamkan. Maka Abu Bakar bersedekah kepada kaum faqir miskin.

Inilah bermaslahat dalam konteks kita pada hari ini, di mana terdapat umat Islam yang memerlukan bantuan.

Maka oleh itu, wang riba tersebut, ada asasnya di dalam syarak, untuk diberikan kepada mereka yang memerlukan dan jangan sia-siakan begitu sahaja.

Persoalan sama ada dapat pahala atau tidak daripada tindakan tersebut, terserahlah kepada Allah. Yang penting kita:

i) Terhindar daripada amalan memakan riba.

ii) Tidak melakukan perkara yang ternyata haram, seperti membinasakan harta tanpa memanfaatkannya.

iii) Niat hendak menolong golongan yang tidak bernasib baik sehingga nasib mereka terbela, adalah amalan baik yang harus diteruskan.

Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Al-Fatihah...


Semalam.

Ketika sedang menyelak lembaran-lembaran warkah mutiara ilmu, tiba-tiba diterpa dengan pesanan ringkas dari seorang sahabat. Pengambilan hak-Nya.

“Al-Fathah, YB Dr Lo` Lo` Ghazali telah kembali ke rahmatullah sebentar tadi di Hospital Selayang, jam 10.15 malam.”

Innalillahi wa inna ilaihi raji`uun.

Sekalung doa dalam munajat kepada Allah SWT, agar Allah SWT mengurniakan keampunan dan kasih sayang-Nya dengan penuh limpahan yang berterusan. Serta limpahan rahmat dan maghfirah seluas-luasnya ke atas ruhnya, dan ditempatkan bersama golongan yang diredai-Nya.

Demikianlah bahasa doa yang dipanjatkan bersama sedikit cebisan kesedihan.

Yang pergi telah pun berlalu kesibukan dunia baginya, manakala yang masih diberikan kesempatan bernafas belum tentu nasibnya. Maka perbanyakkanlah bekal buat bertemu dengan-Nya. Sesungguhnya segala janji-Nya adalah benar.

Sesungguhnya kematian itu adalah suatu yang pasti. Tiada siapa yang dapat lari darinya. Setiap kali kita melihat orang-orang yang mati disekeliling kita, sebenarnya kita melihat kematian kita. Begitu juga apabila kita melihat kuburan kerabat, saudara-mara serta sahabat kita, sebenarnya kita melihat kuburan kita.

Ketika kematian menjemput, semua kenyataan dalam hidup lenyap. Tiada lagi kenangan, tiada lagi hari-hari indah. Renungkanlah kesempatan hidup ini, persiapkanlah sebanyaknya bekalan yang akan dibawa. Kerana selepas ini kehidupan yang panjang dan amat dahsyat hal keadaannya. Oleh itu, ambillah kematian itu sebagai pelajaran penting yang mesti diingati.

“Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamatlah disempurnakan pahalamu. Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sesungguhnya dia telah beruntung. Kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan.” (ali-Imraan: 185)

Fitrah kehidupan, pasti ada perhentian. Siapa yang dulu siapa yang kemudian. Sesungguhnya kembali ke Rahmatullah, hanya sekadar perpindahan daripada kepenatan dunia menuju kepada kerehatan di barzakh.

Secebis tulisan sahabat saya al-Fadhil Ustaz Riduan Mohd Nor:

“Melihat lorong gelap itu,aku teringatkan seorang aktivis muslimah tegar yg memulakan program menyantuni gelandangan kota termasuk pekerja-pekerja seks yang membuka peha meraih rezeki. Dia wanita besi yang tabah, sekental karang di lautan, tak tertahan asakan kuat , dia terus berlari menebarkan pengaruh jamaah. Aku mengenalinya lewat tulisannya dalam Majalah Muslimah semenjak aku di kampus. Seorang doktor perubatan yang juga seorang aktivis muslimat. Dia terus menuju ke puncak apabila sepenuh masa di medan, banyak sumbangannya termasuk memajukan Nisa'....”

"Allahumma firglaha war hamha..."

Sunday 17 July 2011

Tidak berhati-hati manusia dalam mencari rezeki

Telah bersabda Rasulullah saw:

"Akan datang kepada manusia suatu zaman di mana pada zaman itu seseorang tidak akan mempedulikan lagi apa-apa yang dia dapatkan, apakah ia berasal dari yang halal ataukah dari yang haram." (Diriwayatkan oeh Thabrani dari `Urwah bin Zubair dan dari Anas. Telah berkata al-Haithami bahawa sanadnya adalah baik dan para perawinya adalah para periwayat hadis-hadis sahih.)

Zaman yang disebutkan ini telah pun berlaku, dan zaman ini merupakan zaman ketandusan rohani dan juga zaman materialisme. Sesuatu itu dipandang dengan nilai harta. Manusia berlumba-lumba untuk menumpuk-numpuk kekayaan. Masing-masing bercakar-cakaran untuk menempatkan diri di celahan kebendaan demi memenuhi kehendak nafsu yang menggila.

Ulama` menyatakan bahawa zaman ini berlaku kerana banyaknya tersebar kerosakan, meluasnya kejahilan, hilangnya rasa perikemanusiaan, tersebarnya rasuah dan riba, manusia semakin bakhil, harga barang-barang yang meningkat naik dan banyaknya berlaku bencana.

Maka seorang muslim yang keluar untuk mencari rezeki yang halal akan menemukan kesusahan, tanpa ada jalan keluar, sehingga ia mendapatkan harta yang haram dan ia menikmatinya dengan senang hati.

Barangkali hal inilah yang menyebabkan terhijabnya doa kita. Walaupun kita sentiasa berdoa tetapi susahnya doa tersebut dimakbulkan.

Rasulullah saw bersabda:

"Perbaikilah makanmu maka doamu akan mustajab." (Riwayat Thabrani)

Thursday 14 July 2011

Kenangan masih basah: Sang Murabbi

Sang murabbi, umpama pelita yang menyinari...

“Separuh dari keberkatan ilmu ialah dengan kamu mengamalkannya, dan separuh lagi ialah dengan kamu menghormati guru kamu,” kata ustaz Yusri, guru Bahasa Arab saya. Suaranya lembut seperti biasa.

Kelas hari itu hening, tidak terasa terik mentari membakar siang.

“Guru adalah ibu bapa di sekolah, sebagaimana ibu bapa adalah guru di rumah. Jadi, hormatilah mereka agar ilmu yang diterima ada keberkatan. Guru tidak meminta dibalas pengorbanan mereka, cukuplah sekadar dipanjatkan dalam doa anak-anak muridnya.” Sambungnya lagi, ada sedikit getaran pada nada suaranya.

Saya dan rakan-rakan tekun mendengar suara kasih yang lahir dari naluri seorang murabbi kepada anak muridnya.

“Saya sentiasa mendoakan kamu semua beroleh kejayaan dan menjadi manusia yang berguna serta mendapat rahmat dari-Nya,” ustaz Yusri menyudahkan kata-katanya. Senyuman seribu makna dilemparkan tetapi mendalam sekali pengertiannya.

Hari ini adalah hari terakhir ustaz Yusri bersama kami. Selepas ini beliau akan berangkat ke Timur Tengah untuk menyambung kembali pelajarannya. Bait-bait mutiara nasihatnya pada hari ini bagaikan amanat terakhirnya sebelum melangkah meninggalkan bumi bertuah ini. Ada terdetik rasa sayu dan sebak di hati, setelah tiga tahun menadah telinga, mengambil mutiara hikmah seorang murabbi.

Dia bukan sekadar seorang guru, tetapi lebih daripada itu. Kesungguhannya mendidik minda dan jiwa, menyampaikan butir-butir nasihat tanpa jemu, menyebabkan saya melihat dirinya umpama seorang bapa. Itulah yang saya rasakan setiap kali ‘menyerah diri’ kepadanya.

Segalanya adalah nostalgia.

Dimana silapnya

Seringkali saya termenung.

Menyelak lembaran-lembaran akhbar, menonton di peti televisyen, hidangan berita-berita yang amat asing ketika dahulu.

Tetapi tidak hari ini.

“Murid memukul guru, merosakkan kenderaan guru, merosakkan harta benda sekolah dan seribu macam kerosakan moral yang amat meruncing.” Semuanya sudah menjadi kebiasaan dan bagaikan mainan halwa telinga.

Generasi hari ini sudah hilang budi dan pekerti, inilah realitinya.

Dimana silapnya?

Entahlah...saya tiada jawapan untuk itu, hilang segala tutur kata.

Memikirkannya makin menambah sesak di dada.

Seingat saya, ada juga di antara kami yang nakal, tetapi nakal kami masih ada batasan dan tahu tata susila. Tidak sehingga menyanggah teguran guru dengan dendam yang terbuku. Tiada biadab, tiada kurang ajar. Tetapi kenakalan hari ini terlalu jauh berbeza.

Saya benar-benar kesedihan, tatkala mengamati kelakuan generasi pelajar hari ini. Sedikit sebanyak hari-hari saya ketika bergelar pelajar masih hangat di ingatan. Menghormati guru adalah sebesar-besar kewajipan.

Hari ini

Fikiran saya terbang ke sana ke sini, mengusik kenangan lama. Ada pahit ada manis tapi penuh makna.

Mengingati sesusuk tubuh yang banyak membentuk saya menjadi manusia. Sang murabbi yang mendidik saya matang sebelum usia, memberi faham tentang Islam sebagai bekal dalam perjalanan panjang penuh liku.

Mana mungkin saya lupakan segala jasanya dan jasa guru-guru yang lain. Justeru, sentiasalah saya panjatkan doa buat mereka semua dan saya letakkan penghormatan kasih seorang murid kepada gurunya agar keberkatan dari ilmu yang dicurahkan sentiasa bersama saya, walau dimana saya berada. Selagi nafas masih di dalam jasad.

Kata-kata hikmahnya sentiasa terulang di benak ini...

“Separuh dari keberkatan ilmu ialah dengan kamu mengamalkannya, dan separuh lagi ialah dengan kamu menghormati guru kamu.”

Sentiasa saya ingati mutiara itu...

Perjalanan panjang penuh liku, mutiara nasihat sang murabbi sebagai bekalan

Bingkisan hati...


Hidup ini bukan pilihan, tetapi menurut ketentuan-Nya.

Apa jua perancangan yang dilakukan, tidak mampu diduga kesudahannya. Bahagia atau derita, kejayaan atau kecundang. Kerana Dia yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui apa yang tersirat di sebalik taqdir-Nya.

Kita merancang, berikhtiar, berdoa, selepas itu pulangkan segala kesudahan menurut kehendak-Nya.

Apa yang telah ditaqdirkan, penerimaannya mestilah dengan hati yang redha dan pasrah. Jangan ada sedikit penyesalan yang akan membibitkan noda-noda dosa walaupun sebesar debu. Pandanglah segala ketentuan itu sebagai satu anugerah yang terindah. Umpama pemberian daripada seorang kekasih buat kekasihnya. Memberi dengan cinta dan kasih. Manisnya jika itu tersemat di sanubari.

Berjalan di bumi Allah yang luas ini.

Sedar atau tidak, setiap episod yang dilayari dalam perjalanan hidup sentiasa terselit ibrah dan pengajaran.Begitu jua musibah, sebenarnya ia adalah didikan dari-Nya. Namun tidak semua dapat dimengertikan, andai tidak dicungkil dengan pandangan mata hati. Buta mata tidak nampak jalan di dunia, tetapi buta hati di dalam dada, pasti seribu sengsara.

Sesekali ada waktu dan ketikanya, bila bersendirian melayani perasaan. Tidak semena-mena memori silam menjengah di ruangan mata. Lalu ia memenuhi rongga hati dan benak pun mula mengatur bicara.

“Indahnya kehidupan lalu.”

Namun sekadar kata-kata kosong tanpa warna kerana semuanya telah menjadi sejarah.

Semuanya tidak sesekali akan berulang. Putaran jarum waktu tidak akan berundur ke belakang. Masa yang berlalu seumpama air sungai yang mengalir.

Janganlah engkau meratap, andai dulu tersilap langkah. Yakinlah walaupun seburuk mana taqdir dirimu, sesungguhnya rahmat Allah tetap luas untukmu. Jangan letih untuk merintih, jangan jemu untuk merayu.

Mujahadah itu pahit, tetapi syurga itu manis.

Gapaikanlah...

“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis di dalam kitab (Lauhul Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. (Kami jelaskan yang demikian itu) supaya kamu jangan berdukacita terhadap apa yang luput dari kamu, dan supaya kamu jangan terlalu gembira terhadap apa yang diberikan-Nya kepadamu. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang sombong lagi membanggakan diri.” (al-Hadid: 22-23)

Sunday 10 July 2011

Cetusan Rasa: Kembara Mencari Hamba

“Anta tak mahu buat blog ke?” Tanya seorang sahabat pada suatu hari.

“Kenapa?” Saya bertanya semula.

“Anta boleh sampaikan dakwah anta melalui penulisan, berkongsi dengan orang ramai.” Jawabnya kembali.

Saya bersetuju. Beliau membantu saya menghasilkan sebuah blog. Lalu, dalam bertatih muncullah blog abuikhwan dengan temanya “Kembara Mencari Hamba”. Saya menulis berbagai perkara, fokusnya lebih kepada dakwah, menyampaikan tinta-tinta nasihat dalam kehidupan selaku hamba kepada-nya.

Ia satu ketika dahulu di tahun 2009.

Saya tidak lupa

Saya menulis. Walaupun bukan seorang penulis yang baik dan malu untuk mengakui seorang penulis atau pun blogger, tetapi saya terus menulis. Saya amat gembira jika apa yang saya tulis itu sampai kepada orang ramai dan mereka mengambil manfaat daripadanya. Saya benar-benar menghargai mereka semua.

Menyedari diri tidak memiliki ilmu dan pengajian agama yang tinggi, senantiasa saya memohon kepada-Nya agar dipermudahkan dan diberkati apa yang ditulis. Saya tidak pernah maksudkan “Kembara Mencari Hamba” sebagai tempat untuk mengajar para pembaca, tidak sekali-kali. Tetapi ia hanyalah satu wadah perkongsian pengalaman hidup yang terkandung di dalamnya pengajaran dan kebaikan. Lebih dari itu, saya berharap ia menjadi pencetus untuk kita sama-sama berfikir bahawa kehidupan ini amat berharga.

Benar, hidup ini amat berharga, namun ramai yang mempersia-siakannya.

Namun di sisi yang lain, tersayat sedikit kebimbangan yang bersarang.

Saya tidak mahu lemas di alam blog. Saya tidak mahu menjadi seorang yang baik di alam maya tetapi sebaliknya di alam realiti.

Saya tidak lupa bahawa Dia Tuhan yang Maha Mendengar dan Maha Melihat. Meneliti dan menghitung setiap perbuatan hamba-Nya. Setiap kali jari galak menari pada butang-butang huruf yang mencoret perkataan yang diluahkan, pasti ia menjadi satu di antara dua. Sama ada menjadi pahala atau menjadi butir dosa. Tidak ada yang pergi begitu sahaja umpama debu yang diterbangkan angin. Pergi tanpa sebarang nilai.

Namun, kebimbangan yang tajam menujah fikiran ini saya redakan dengan meyakinkan sanubari bahawa apa yang dilakukan ini adalah peluang untuk memutikkan amal. Dunia adalah ladang akhirat. Apa yang disemai itulah yang akan dituai nanti.

Semasa perjalanan Israk dan Mi`raj, Allah SWT memperlihatkan kepada Rasulullah saw satu golongan yang menanam gandum dan kemudian menuainya. Begitulah setiap kali, menanam, mengeluarkan hasil dan menuainya, dalam masa yang singkat.

Jibril as. menerangkan kepada Rasulullah saw bahawa mereka adalah golongan yang semasa hidupnya sentiasa membuat kebajikan, lalu Allah SWT menganugerahkan kepadanya pahala yang tidak putus-putus. Semuanya akan dinikmati di akhirat
kelak.

Allah SWT berfirman:

“Barang siapa yang mengerjakan kebaikan walau seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Dan barangsiapa yang mengerjakan kejahatan walau sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya pula.” (surah al-Zalzalah: 7 - 8)

Semoga apa yang dibaca di dalam blog ini tatkala menelusurinya, dapat menyentuh dan menyejukkan hati. Sama-sama kita berfikir dan bermuhasabah diri serta berdoa agar sentiasa di dalam keredhaan-Nya.

Saya doakannya.

Saudara kalian,
abuikhwan

Thursday 7 July 2011

Kisah sebelum tidur


Assalamualaikum teman-teman...

Entahlah apa yang nak dicoretkan, malam-malam begini.

Tiba-tiba teringat satu cerita yang disampaikan oleh seorang sahabat semasa berkursus BTN dahulu.

Sahabat ini berasal dari negeri Terengganu, pekat pula loghatnya dengan huruf ‘G’ yang sentiasa ada di hujung perkataan yang dituturkan.

Berborak beramai-ramai sebelum melelapkan mata, setelah tepu kepala di dewan kuliah dan memercik peluh beraktiviti di padang. Bermacam-macam cerita yang keluar bersama loghat masing-masing. Lucu, Terengganu tak memahami bahasa Kedah, Negeri Sembilan tak memahami loghat Kelantan. Tetapi itu semua bukannya satu masalah.

Sesungguhnya silaturrahim tidak terhalang kerana berlainan bahasa dan negeri, tetapi ianya lahir dari hati yang ikhlas mahu bersahabat dan kenal mengenal di antara satu sama lain.

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal." (al-Hujurat: 13)

Ya, untuk kita saling kenal mengenal.

Teringat satu syair yang masyhur dari Saiyidina Ali kaw. tentang kelebihan manusia:

“Sesungguhnya manusia dari segi perbandingan, mereka adalah sama sahaja, bapa mereka adalah Adam as. dan ibu mereka adalah Hawa. Mereka adalah daripada satu jiwa dan roh yang bercampur-campur dan tulang-tulang yang dijadikan pada mereka, dan mempunyai anggota-anggota.

Begitulah keadaan manusia, maka sekiranya bagi mereka mempunyai asal-usul keturunan, kedudukan yang dibanggakan olehnya, maka semua mereka berasal dari tanah dan air, oleh itu tiada kelebihan melainkan bagi mereka yang berilmu, sesungguhnya mereka adalah di atas petunjuk dan barangsiapa yang meminta petunjuk, maka sesungguhnya dia mendapat satu dalil dan kenyataan yang terang dan kadar bagi setiap orang itu ialah apa yang dia lakukan, dan sesungguhnya tanda kelakian bagi seseorang itu ialah perbuatan yang dia lakukan bukan dengan percakapan sahaja. Dan sesungguhnya yang menjadi seteru kepada seseorang itu ialah kejahilannya, dan orang yang jahil itu menjadi musuh kepada orang yang berilmu.”

Kisah sebelum tidur

Oh ya, begini kisahnya...

Pak Pandir dan Mak Andeh mengadu kepada doktor tentang masalah ingatan yang mereka alami. Selepas membuat pemeriksaan, doktor memberitahu, kesihatan Pak Pandir dan Mak Andeh, dalam keadaan normal. Tetapi supaya tidak mudah lupa, mereka dinasihatkan menulis apa yang mereka inginkan di atas kertas.

Malam itu, sambil menonton cerita P. Ramlee, Pak Pandir meminta Mak Andeh toolong masakkanya mi segera perisa kari.

"Tulis tu...perisa kari!" Pesan Pak Pandir.

"Alah, tak payah, saya boleh ingat!" jawab Mak Andeh.

Baru Mak Andeh hendak pergi ke dapur, Pak Pandir berkata lagi, "Jangan lupa masukkan telur sebiji."

"Okey."

"Tulis pada kertas, nanti lupa."

"Alah, saya ingat."

"Satu lagi," kata Pak Pandir, "masukkan cili padi sikit. Mak Andehnya, tulis kat kertas, nanti lupa!"

"Alah...saya ingatlah. Maggi kari, taruk telur dengan cili."

Dua puluh minit kemudian Mak Andeh kembali ke ruang tamu. Tetapi yang dibawanya bukan maggi kari yang ada telur dan cili padi, tetapi cekodok! Pak Pandir marah betul. Kata Pak Pandir...

"Kan saya dah cakap tadi, tulis, tulis, tapi awak degil. Ha...kan awak dah lupa bawa sosnya!"

Demikianlah kisah sebelum tidur, dari seorang rakan...

Semoga ada sedikit pengajaran.

Siapa pun kamu, dari mana berasal. Kedah, Pahang, Melaka, ataupun dari mana sahaja bukan menjadi persoalan, tetapi kita semua adalah rakyat MALAYSIA.

Saya sayang Malaysia

Wednesday 6 July 2011

Tanpa kita sedari...


Lihat jam di tangan anda. Putaran jarum yang bergerak, sedetik demi sedetik. Tanpa sedar membawa kita ke saat penghujung kehidupan. Tanpa kita sedari...

Ya, saat itu pasti akan tiba. Setelah kita datang, kita pasti akan pulang. Perpisahan yang kadang-kadang dilupakan. Tidak ada yang kekal selamanya, kerana ia sementara cuma sifat dan lakunya.

Berkata seorang ahli hikmah:

Seorang hamba akan berkata ketika kematiannya, “Wahai malaikat maut berilah tangguh kepadaku satu hari sahaja, agar aku dapat beramal soleh buat diriku!” Malaikat maut menjawab, “Engkau telah menghabiskan hari-hari itu, maka tiada lagi hari itu buatmu. Engkau telah menghabiskan waktu-waktu, maka tiada waktu lagi bagimu.” Hamba itu berkata, “Izinkan aku berkata!” Lalu ia berkata lagi, “Beri tangguhlah aku beberapa saat!” Malaikat maut menjawab, “Engkau telah menghabiskan perkataanmu, maka tiada perkataan lagi buatmu.”

Tiada mengetahui ketentuan masa yang tepat bila kita akan keluar dari jasad ini, kerana ketentuan itu adalah milik-Nya.

Kita seumpama orang asing yang singgah di bumi asing untuk mencari bekalan, maka setelah tiba masa yang ditentukan kita akan berangkat pulang ke negeri ‘asal’ bersama bekalan yang diharapkan dapat memberi manfaat nanti.

Oleh itu,bersegeralah menuju keampunan-Nya yang seluas langit dan bumi.

“Supaya Allah memberi keampunan kepadamu terhadap dosamu yang telah lalu dan yang akan datang serta menyempurnakan nikmat-Nya atasmu dan memimpin kamu kepada jalan yang lurus.” (al-Fath: 2)

Kita dambakan...

Tuesday 5 July 2011

Pelaburan haram: Apa hukum terima wang Perkeso?

Soalan:

Fakta yang ada pada kita ialah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ada saham besar dalam syarikat Carlsberg. Bolehkah ahli-ahlinya mengambil manfaat daripada wang tersebut, apabila mereka ditimpa musibah? Bagaimana pula hukum mereka yang bekerja dalam Perkeso itu mendapat gajinya?

Jawapan:

PERKESO adalah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan antara lainnya bertujuan membela dan mempertahankan hak-hak pekerja.

Cara ia menjana kewangan adalah dengan terkumpulnya wang caruman pekerja, ia dilaburkan bagi mendapat keuntungan. Dari keuntungan tersebut ia akan dikembalikan kepada pekerja menurut peraturan daripada akta yang sedia ada, seperti membayar pampasan, ganti rugi dan sebagainya.

Tujuan Perkeso itu diwujudkan, jelas bagi tujuan kebajikan. Sepatutnya yang mengurus Perkeso itu melaburkan dana tersebut kepada kegiatan ekonomi yang halal, walaupun hasilnya tidak sebanyak hasil pelaburan sumber haram.

Pulangan yang halal, akan dikembalikan kepada pekerja daripada sumber yang halal. Ini adalah cara yang terbaik.

Akan tetapi, jika sekiranya dana terbabit dilaburkan ke syarikat yang jelas menjalankan kegiatan haram seperti yang anda sebut dalam soalan di atas, maka keuntungan yang diperolehi daripadanya, adalah haram.

Kerja yang dilakukan dengan melaburkan wang pekerja kepada dana yang haram, merupakan kerja yang diputuskan oleh peneraju atau pentadbir Perkeso. Maka merekalah yang bertanggungjawab di atas dosa keputusan terbabit. Pekerja dan mereka yang mencarum tidak terlibat. Maka dosa melakukan yang haram itu ditanggung oleh pihak yang terbabit membuat keputusan.

Sekiranya, pekerja tidak mengetahui wang mereka dilaburkan ke mana, sama ada haram atau halal, maka jelaslah pendapatan daripada Perkeso yang diberikan kepada pekerja, adalah pampasan yang harus atau baik sangka, wang mereka yang dilaburkan menerusi syarikat yang halal.

Pekerja mencarum kepada Perkeso, mereka berhak menerima pulangan seperti yang dikuatkuasakan di dalam peraturan. Oleh itu, pampasan yang berhak diterima adalah harus diambil ke atasnya, oleh ahli atau pekerja yang sah.

Yang nyata haramnya adalah kepada pembuat keputusan. Perkara yang haram, akan haramlah hasilnya.

Yang mendapat pampasan adalah harus kerana hak mereka sebagai penyumbang dana yang terikat dengan syarat-syarat tertentu.

Adapun hukum bekerja dalam Perkeso, adalah harus pada dasarnya kerana perbadanan tersebut pada zahirnya tidak diwujudkan untuk melakukan sesuatu yang haram. 'Core business'nya adalah tidak haram. Cuma sebahagian daripada aktivitinya adalah haram.

Sedangkan bekerja dalam bank konvensional yang amalannya adalah riba pun diharuskan, dengan syarat tidak redha atau berpuashati dengan business tersebut. Bahkan orang Islam yang bekerja di bank konvensional mesti berusaha mengubah majikan mereka kepada menguruskan hal kegiatan perniagaannya pada perkara yang diharuskan oleh syarak. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Monday 4 July 2011

Nikmat penglihatan yang tidak ternilai


Mata untuk melihat.

Nikmat penglihatan yang dianugerahkan oleh Allah SWT amat tinggi nilainya. Mungkin kerana kita tidak dilahirkan dalam keadaan buta, maka amat sukar bagi kita untuk merasai dan menyedarinya.

Jika ditanya kepada si buta apakah impian emasnya?

Sudah tentu kita semua dapat mengagak apakah jawapannya. Pasti si buta tadi menginginkan agar diberikan penglihatan. Dan kita lihat betapa bersyukurnya dia jika impian emasnya diizinkan oleh Allah SWT. Demikianlah anugerah terindah bagi dirinya.

Cuba kita bayangkan pula jika kita ditimpa musibah yang menyebabkan kehilangan penglihatan. Bagaimanakah keadaan kita ketika itu.? Sudah tentu ini akan menyusahkan hidup kita untuk melakukan berbagai urusan. Saat itu, barulah kita menyedari betapa besar dan berharganya anugerah penglihatan. Fikirkan sendiri sejauh mana kita dapat menyesuaikan diri menjalani kehidupan tanpa penglihatan ini.

Satu cerita

Bercerita tentang mata, saya teringat satu kisah di dalam hadis yang masyhur.

Diceritakan oleh Muhammad bin al-Munkadir daripada Jabir ra. katanya:

Rasulullah saw keluar kepada kami dan bersabda: “Malaikat Jibril telah datang kepadaku dan berkata, wahai Muhammad, demi Allah yang mengutuskanmu sebagai nabi yang besar, sesungguhnya ada seorang hamba Allah yang beribadat selama lima ratus tahun di atas sebuah bukit. Luas bukit tersebut tiga puluh hasta kali tiga puluh hasta dan dikelilingi oleh laut seluas empat ribu farsakh dari segenap penjuru.

Di situ Allah SWT mengeluarkan sumber air segar selebar satu jari dari bawah bukit, juga pohon delima yang berbuah setiap hari. Maka di waktu siang turunlah orang itu untuk berwuduk dan memetik delima, lalu dimakannya, kemudian berdiri sembahyang dan ia meminta kepada Tuhan supaya dimatikan dalam keadaan sujud, dan supaya badannya tidak disentuh bumi atau lain-lainnya hingga bangkit dihari kiamat sambil bersujud.

Maka Allah SWT telah menerima permintaannya, kerana itu tiap kami naik turun dari langit selalu melihat ia sedang sujud. Jibril berkata: "Kami dapat dalam ilmu, bahawa ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dan dihadapkan kepada Allah SWT, lalu Allah SWT menyuruh: "Masukkanlah hamba-Ku itu ke dalam syurga dangan rahmat-Ku. "Maka berkata orang itu: "Dengan amalku." Maka Allah SWT menyuruh Malaikat supaya menghitung semua amalnya dan nikmat-Ku iaitu nikmat melihat (penglihatan), tiba-tiba nikmat penglihatan itu telah mengelilingi ibadatnya selama lima ratus tahun, sedang nikmat-nikmat Allah SWT yang lain-lainnya belum dihitung lagi. Maka Allah SWT berfirman: "Masukkan ia ke dalam neraka." Dan ketika ditarik menuju ke neraka, ia berkata: "Masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmat-Mu."

Maka Allah SWT berfirman kepada Malaikat: "Kembalikanlah ia." Lalu ditanya oleh Allah SWT: "Hambaku, siapa yang menjadikan kau daripada tiadakepada ada?" Jawabnya: "Engkau wahai Tuhan." Lalu ditanya: "Apakah itu kerana amalmu atau rahmat-Ku?" Jawabnya: "Dengan rahmat-Mu.” Lalu ditanya: "Siapakah yang memberi kekuatan kepadamu untuk beribadat selama lima ratus tahun?" Jawabnya: "Engkau Tuhanku." Lalu ditanya lagi: "Dan siapakah yang menempatkan kau di atas bukit dan di tengah laut dan mengeluarkan air segar yang tawar dari tengah-tengah laut yang masin getir dan menumbuhkan buah delima setiap pagi, padahal buah itu hanya berbuah satu tahun satu kali, lalu kau minta kepada-Ku untuk mati sujud, siapakah yang berbuat itu semua?" Jawabnya: "Engkau Tuhanku." Firman Allah SWT: "Maka semua itu dengan rahmat-Ku." Malaikat Jibril berkata: "Segala sesuatu terjadi dengan rahmat Allah SWT."

Benar, segala-galanya adalah dari rahmat-Nya.

Menginsafi kasih sayang Allah

Oleh itu marilah sama-sama kita merenung sejenak dan berfikir dengan akal yang waras. Betapa besarnya anugerah nikmat penglihatan ini serta nikmat-nikmat yang lain. Seharusnya kita bersyukur dengan banyaknya. Marilah kita menggunakan nikmat penglihatan yang diberikan dengan sebaiknya. Gunakannya untuk mencari redha Allah SWT.

Mata, lihatlah kebesaran dan keagungan Allah SWT pada alam yang luas terbentang ini. Ataupun lihatlah pada dirimu, ciptaan yang sempurna berbanding dengan makhluk-makhluk yang lain, itulah rahmat Allah yang paling dekat yang mudah untuk kita rasakan. Maka bersyukurlah kepada-Nya setiap masa dan ketika.

Perhatikan! Alam yang terbentang ini, semoga terbit keinsafan pada nikmat penglihatan yang di anugerah dari percikan rahmat-Nya

Ingatlah firman-Nya:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan; dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikut-pengikutnya) melakukan perkara yang keji dan perbuatan yang mungkar. Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan RAHMAT-NYA kepada kamu, nescaya tidak ada seorang pun di antara kamu menjadi bersih dari dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui.” (an-Nur: 21)

Sesungguhnya Allah, dengan rahmat dan kurnia-Nya tidaklah lain semata-mata untuk menunjukkan betapa kasih sayang dan pemurahnya Dia pada sekelian hamba-Nya.

Dan masuk bulan Sya`ban...


Sedar tak sedar Rejab sudah pun melabuhkan tirainya. Resahnya saya tatkala melambai ia pergi mengiringi terbenamnya mentari petang.

“Cepatnya masa berlalu, pejam celik, pejam celik dah pun masuk bulan Sya`ban, ,” begitulah ayat yang akan terpacul dari mulut kita setiap kali berlalunya masa. Sudah dijangka.

Demikianlah penilaian masa dari kefahaman fitrah manusia di akhir zaman ini.

Jika zaman generasi terdahulu, mungkin masa mengejar manusia kerana mereka tidak mengira masa dan berlumba-lumba membuat kebaikan, kebajikan dan beramal ibadat. Setiap masa terisi dengan segala yang bermanfaat. Mutakhir ini mungkin pula manusia mengejar masa, kerana dirasakan betapa singkatnya masa.

Kadang-kadang kerana lajunya mengejar masa, hingga tercicir iman dan amal. Kehidupan semakin mengelirukan. Di hadapan jalan yang bersimpang siur dan mengkucar-kacirkan. Kita sangka kita membina tetapi tanpa sedar kita meruntuhkan.

Tazkirah kematian

Masa terus jua berlalu dan berlalu...

Mendekatkan kepada sesuatu yang pasti. Tiada yang akan terlepas darinya, kerana ia memang ketentuan-Nya sejak dari azali. Itulah kematian yang sering dilupakan, sedangkan manusia dan kematian ibarat sepasang kekasih yang akan bertemu akhirnya.

Katakanlah, Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu Dia beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan. (al-Jumu'a: 8)

Kata Imam al-Ghazali bahawa masalah mati adalah sangat besar dan kebanyakan manusia melupakannya.

Bayangkan!

Saudara-mara dan sahabat handai yang telah berkelana menuju ke ‘sana’. Bagaimanakah keadaan mereka. Dibawa ke tanah perkuburan kemudian diletakkan ke tanah. Bagaimana tanah telah menukar wajah mereka yang cantik, badan mereka yang gagah menjadi sedaifnya.

Ikramah ra. berkata bahawa pada malam Baraat (Lailatul Baraat – Nisfu Sya`ban) kesemua hukum-hukum untuk sepanjang tahun diputuskan dan diserahkan kepada malaikat termasuklah senarai orang-orang yang akan mati dan senarai orang-orang yang akan pergi ke Tanah Suci untuk mengerjakan haji. Tidak boleh berlaku apa-apa kekurangan atau berlebihan daripadanya di sepanjang tahun.

Ummul Mukminin Saiyidatina A`isyah r.anha berkata bahawa Rasulullah saw biasanya memperbanyakkan puasa di bulan Sya`ban, kerana di bulan inilah senarai kesemua senarai semua orang yang akan mati pada sepanjang tahun akan disiapkan.

Dalam sebuah hadis yang lain, bahawa Saiyidatina A`isyah r.anha telah bertanya kepada baginda Rasulullah saw akan sebabnya baginda memperbanyakkan puasa pada bulan Sya`ban. Baginda menjawab, "Di akhir bulan ini ditulis senarai kesemua orang yang akan mati sepanjang tahun. Aku berhasrat agar semasa namaku dicatit dalam senarai itu, aku sedang berpuasa."

Oleh itu, jangan sesekali lupa bekerja untuk kehidupan kita di akhirat, sebelum ajal menemui kita dimana pada masa itu kita sudah tiada peluang untuk melakukan amalan baik.

Sebagaimana firman Allah SWT:

"Dan mereka berteriak di dalam neraka itu, “Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami nescaya kami akan mengerjakan amal yang soleh berlainan dengan yang telah kami kerjakan,” Dan apakah Kami tidak memanjangkan umurmu dalam masa yang cukup untuk berfikir bagi orang yang mahu berfikir, dan (apakah tidak) datang kepada kamu pemberi peringatan? Maka rasakanlah (azab Kami) dan tidak ada bagi orang-orang yang zalim seorang penolong." (al-Fatir: 37)

Sama-sama kita beringat...

Saturday 2 July 2011

Cetusan rasa: Dia yang Maha Mendengar

Kesunyian.

Tiada teman untuk meluah perasaan tatkala dilanda kesedihan. Tiada siapa mahu diadukan gelodak jiwa tatkala diserkup kegagalan.

Seluruh alam bagaikan menekup telinga. Tiada simpati yang dihulur bahkan memalingkan mukanya. Begitulah yang dirasa.

Sendirian.

Kata pepatah orang dulu-dulu, “Teman ketawa mudah dicari, teman menangis sukar ditemui.”

Ada benarnya.

Namun...

Tidak ‘Dia’ yang bersifat dengan As-Sami`. Dia yang Maha Mendengar bisikan dan rintihan hati manusia. Dia umpama kekasih yang setia, sentiasa mahu mendengar luahan rasa dan pengaduan para hamba-Nya. Jika manusia, pasti akan ada rasa jemu jika diadukan kepadanya berulang-ulang kali, dan tidak mustahil boleh menaikkan kemarahan dan menimbulkan pergaduhan.

Tetapi Dia yang bersifat dengan As-Sami` sentiasa melebarkan kasih sayangnya untuk mendengar pengaduan hamba-Nya tanpa mengira siapa pun dia. Orang tua, orang muda, kaya atau miskin, cantik atau hodoh, raja atau rakyat biasa, orang jahil atau terpelajar dan sebagainya. Semua pengaduan didengar. Jika manusia mungkin memilih-milih untuk mendengar pengaduan. Mungkin kerana kaum kerabat atau yang ada kepentingan dengannya.

Justeru, adukanlah apa yang menyesakkan dada hanya kepada-Nya. Dia pasti tidak mensia-siakannya.

Mengapa saya gagal melihat Dia yang bersifat As-Sami` itu?

Ya! Saya sering terlupa. Sedangkan Dia mengingatkannya di dalam firman-Nya:

“Sekelian makhluk yang ada di langit dan di bumi selalu meminta kepada-Nya. Setiap waktu Dia di dalam urusan-Nya.” (Ar-Rahman: 29)

Dia tidak akan mempersia-siakanmu!