Sahabat Sejati

Saturday, 7 May 2011

Bicara santai: Cerita ketika kilat dan guruh


Hujan masih lagi turun di iringi angin kencang. Meliuk-liuk pokok-pokok hiasan yang sederetan terpacak di tepi jalan. Saya masih lagi berdiri di luar pasaraya sambil memeluk erat beg yang berisi barangan yang dibeli. Hati tidak putus-putus berdoa agar hujan segera reda.

Terdetik rasa menyesal kerana tidak membawa payung sewaktu keluar tadi, biarpun sudah diperingatkan oleh isteri.

"Alaa, bukan jauh sangat sempat balik ni,"balas kepada isteri. Hati juga sudah menjangkakan hujan akan turun, melihat kepada awan hitam yang bertompok-tompok. Akhirnya beginilah jadinya, tersangkut di hadapan pasaraya. Walaupun jarak yang tidaklah berapa jauh tetapi melangkah dalam keadaan hujan begini pasti kebasahan. Mungkin juga boleh demam nanti, maklumlah `orang tua`.

Sesekali kilat memancar, guruh pula galak berdentum di langit. Menambah gerun dan risau di dada.

Teringat kepada firman Allah SWT:

“Dialah yang memperlihatkan kepadamu (menciptakan) kilat yang menakutkan (akan disambar petir) dan memberikan harapan (akan turunnya hujan). Dan Dia yang menciptakan awan tebal yang mendung. Dan guruh bertasbih memuji Allah, (begitu juga) malaikat-malaikat kerana takut (berhadapan) kepada-Nya. Allah yang melepaskan petir, lalu ditimpakan-Nya (disambarkan-Nya) kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Dan mereka mempersoal (menyangkal) akan kekuasaan Allah. Dan Allah itu amat berat seksaan-Nya.” (ar-Ra`du: 12-13)

Kilat merupakan bukti di antara tanda-tanda kekuasaan dan keagungan Allah SWT. Ia menanamkan harapan pada diri seseorang, sebagaimana juga ia menanamkan rasa takut dan khuatir. Kilat juga memberi khabar gembira kepada manusia akan turunnya rahmat Allah, iaitu hujan.

Sebahagian ulama menyimpulkan rahmat Allah itu termasuk HUJAN, rezeki, doa dimakbulkan, taubat diterima serta taufiq dan hidayah.

Oleh itu perbanyakkan doa ketika permulaan hujan kerana ia adalah rahmat Allah.

Satu hadis yang masyhur:

Daripada`Atha` bin Abu Rabah ra. katanya, dia mendengar Ummul Mukminin A`isyah rha. berkata: "Bila angin bertiup kencang dan langit mendung berawan banyak, tampak kegelisahan di wajah baginda berjalan mundar-mandir. Apabila hujan turun wajah baginda berubah menjadi gembira dan kegelisahannya hilang. A`isyah berkata: Aku bertanya kepada baginda, apa yang menyebabkan baginda begitu gelisah." Baginda menjawab: Aku bimbang kalau-kalau angin mendung itu menjadi laknat yang ditimpakan kepada umatku. Tetapi bila hujan telah turun maka hal itu adalah rahmat." (Muslim)

Manakala guruh yang kita dengar begitu dahsyat pula adalah tasbih alam yang memuja dan memuji kepada Allah. Begitu juga para malaikat turut sama bertasbih bersama petir. Bukan itu sahaja, dikatakan seluruh alam ini bertasbih kepada Allah

Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya; akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun. (al-Israa’: 44)

Deru alur dan tiupan angin yang nyaman itu adalah tasbih kepada Allah. Titisan hujan dan nyanyian cengkerik malam itu adalah tasbih kepada Allah. Kokokan ayam adalah tasbih kepada Allah. Sahutan katak di paya dan bising mergastua di hutan juga tasbih kepada Allah. Cuma akal sahaja yang tidak memahaminya.

Degumm!!! Detuman guruh memeranjatkan saya sekaligus mematikan lamunan.

Ahh...jauh pula saya mengelamun. Hujan masih lagi turun dan langsung tidak menunjukkan rasa simpati kepada saya. Hari pula semakin gelap menghampiri waktu maghrib. Nampaknya saya terpaksa meredah hujan.

“Basah pun basahlah, takkan nak tunggu sampai malam....” hati berkira-kira.

Kilat...

Petir dan guruh...

Bismillah...saya mengatur langkah.

4 comments:

sha said...

Tazkirah yang bagus, ada cerita..

oo, baru saya tahu.. Alam juga turut bertasbih semasa petir dan guruh, bersama deru angin yang dingin.

perbanyakkan doa pada awal hujan, ya..

abuikhwan said...

Alhamdulillah, semoga memberi manfaat

Anugerah Insani said...

as salam....suka baca info islamik kat blog ustaz ni..banyak yg tak tahu jadi tahu..satu medium dakwah yg cukup lengkap..perbanyakkan lagi info menarik ya ustaz.. :0)

abuikhwan said...

I-Allah, moga dipermudahkan..

Post a Comment