Sahabat Sejati

Tuesday, 3 May 2011

Apa yang semakin jauh.....masa lalu

Kenangan lalu...

“Minta-mintalah sempat sembahyang Jumaat,” saya mengomel sendirian.

Hari ini saya pulang ke kampung bersendirian kerana mahu menyelesaikan urusan keluarga. Untuk memaksimumkan waktu rehat, saya memilih untuk menaiki bas ekspres, walaupun ada sedikit rasa cuak. Insya-Allah selamat, doa yang tidak putus-putus dibibir mulut.

Bas terus bergerak laju membelah aspal jalan. Di kiri dan kanan terbentang kehijauan hutan.

Turun dari bas ekspres saya menyambung perjalanan dengan ‘bas runcit’ pula. Bas runcit adalah istilah perkhidmatan bas yang menurun dan menaikkan penumpang di sepanjang laluan. Hajat di hati mahu melelapkan mata sebentar, tetapi bimbang pula terlepas simpang tempat saya mahu berhenti. Sebagaimana yang pernah saya alami ketika balik dari asrama sewaktu bersekolah dulu. Terpaksa menelefon abang datang menjemput di perhentian bas berikutnya.

Alhamdulillah, saya tiba di rumah emak kira-kira 20 minit sebelum azan Jumaat berkumandang. Bergegas saya bersiap-siap untuk ke masjid.

Kenangan masjid lama

Masjid ini sudah banyak yang berubah. Dulu ianya diperbuat daripada kayu sekarang sudah bertukar batu, seiring dengan pertukaran masa dan ketika. Beduk yang sering digunakan untuk memberitahu masuknya waktu sembahyang juga sudah tiada entah ke mana, bagaikan masih tergambar keriuhan sewaktu belajar memalunya bersama rakan-rakan, berbagai irama yang bunyi yang terhasil dek kerana salah memalunya. Begitu juga kawasan sekitarnya yang semakin sempit kerana banyak prasarana yang didirikan.

Sesungguhnya masjid ini banyak menyimpan nostalgia kepada diri saya. Halamannya adalah tempat saya berkejar bersama rakan sewaktu belajar fardhu `ain pada sebelah petang. Jika hujung minggu pula, saya sering tidur di situ bersama rakan-rakan. Terutamanya pada hujung minggu bulan Ramadhan, cukup seronok. Waktu sahur pula pasti ada yang menghantar juadah, kadang-kala cukup mewah dengan nasi, lauk-pauk dan kuih muih. Demikianlah istimewanya bulan Ramadhan, masing-masing berlumba membuat kebajikan. Ada juga di antara mereka yang telah ‘pergi’ mengadap Tuhan, semoga kebaikan mereka semua diganjari pahala yang sebanyaknya.

Azan Jumaat sayup-sayup berkumandang.

Khutbah hari ini menceritakan isu Palestin. Isu yang sentiasa segar dan relevan setiap masa. Jihad membebaskannya, peranan dan tanggungjawab setiap muslim, konspirasi Yahudi, kebodohan penguasa Arab yang menerima perjanjian demi perjanjian, begitu juga tipu daya “syaitan besar dunia” Amerika Syarikat. Alhamdulillah, khutbah ini amat menyuntik semangat saya mendengarnya walaupun dalam keadaan keletihan yang belum hilang. Biasanya terpaksa berjihad melawan mengantuk yang menyerang seiring dengan khutbah yang layu.

Seronok juga bertemu dengan pakcik-pakcik dan atuk-atuk yang masih saya kenal. Kesemua mereka adalah sebahagian dari diri saya ketika dahulu. Suka duka, pahit manis sebuah perjalanan, semuanya masih jelas di ruang ingatan. Pertemuan yang sungguh bermakna andai dilihat dengan mata hati.

Perasaan yang keliru

Entah apa yang tidak kena malam ini, sulit benar untuk melelapkan mata.

Tidak semena-mena hati menjadi sebak dan basah. Jiwa meronta-ronta seperti kehilangan sesuatu, tetapi entah apa yang hilang. Saya sendiri tidak pasti apa jawapannya. Perasaan yang sama, sentiasa berulang. Beginilah keadaan saya setiap kali pulang ke kampung, dalam riuh tawa dan ria, disebalik senda gurau bersama keluarga dan saudara-mara, terselit sedikit kesayuan yang tersorok di sudut hati yang paling dalam. Dalam diam-diam hati saya menangis.

Perlahan-lahan langkah saya atur menuju ke jendela lalu daunnya saya selak agar bayu malam yang berhembus segera menerpa ke wajah.

Ahh..nyamannya menyelinap ke segenap urat saraf.

Bulan sudah tinggi, kelam cahayanya menyimbah bumi, manakala bintang-bintang berkerlipan di kejauhan menghiasi dada langit.

Cepatnya masa berlalu, di bilik inilah dahulu saya bersama abang-abang bergelak ketawa sebelum melelapkan mata. Bertepuk bertampar, menolak dan menepis di dalam gelap.

Degumm!! Kadang-kadang tangan atau kaki tertampan pada dinding.

Tidurr!!! Jerit emak dari bilik sebelah lantas mematikan gurau senda kami. Tersengih di dalam gelap.

Biarpun sesukar mana hari-hari yang ditempuhi ketika itu, tetapi ia adalah satu kebahagiaan.

Apa yang semakin jauh...

Jauh...

Teringat satu peringatan Imam al-Ghazali kepada murid-muridnya, yang diungkapkan melalui ENAM persoalan hidup. Salah satunya ialah:

"Apa yang paling jauh dari diri kita di dunia ini?"

Pelbagai jawapan yang diberikan oleh murid-muridnya. Ada yang menjawab bulan, matahari, bintang-bintang, langit dan negara China.

Lalu Imam al-Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang mereka berikan adalah benar. Tapi yang paling benar adalah "masa yang telah berlalu". Semakin hari kita semakin jauh meninggalkan zaman kanak-kanak yang suci dan fitrah. Apa sahaja usaha kita, walau apapun kenderaan yang diguna, kita tetap tidak dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan tuntutan agama.

Kenangan masa lalu masih menghantui diri?

Mengingati masa lalu dan bersedih hati kerananya adalah satu tindakan yang tidak sepatutnya. Bimbang ia akan mematikan keinginan meneruskan kehidupan dan perlahan-lahan membinasakan masa depan, sedangkan jalan yang terbentang masih luas.

Masa yang berlalu telah menjadi kenangan di dalam lipatan memori. Walau sedalam mana kesedihan kita. Ianya tidak akan kembali lagi walau apapun usaha kita.

Lepaskan dan bebaskan diri dari bayangan masa lalu. Jangan dibakar diri ini kerana perjalanan masih panjang, jalan yang terbentang perlu dilalui.

Apakah salah untuk mengingati masa lalu? Semestinya tidak, kerana mengingati masa lalu untuk diambil pengajaran dan tauladan adalah satu kebaikan yang boleh memberi manfaat. Apa yang dilarang adalah apabila kenangan lalu membuatkan kita sentiasa bersedih dan meratap hiba lalu menjerumuskan diri kepada kehidupan yang gundah sentiasa gulana.

Oleh itu, pandanglah ke hadapan, hadapilah hari mendatang dengan kesabaran dan keazaman. Melangkah dan terus melangkah sehingga beroleh kebahagian.

Insya-Allah...

Jalan yang terbentang, perjalanan mesti diteruskan biarpun banyak liku-liku dan cabaran yang mendatang...

4 comments:

||aLeaSaRa|| said...

hati meronta untuk menaipkan bicara..kelu membaca memori sahabat.tiada bait yang sesuai untuk dibalas,hanya sampaikan salam utk bonda tersayang dgn ucapan dari kami semua "selamat hari ibu".

abuikhwan said...

I-Allah, (juga kelu....)

Mrs.Yie said...

banyak pengajaran yg saya dapat bila membaca entri ni..memang kadang2 saya pun selalu terkenang zaman kanak2 dan remaja dulu..sesekali terasa sebak dan x tahu kenapa..

abuikhwan said...

mungkin masih ada rindu pada kenangan itu...

Post a Comment