Sahabat Sejati

Thursday 10 March 2011

Kembara Mencari Hamba: Biarlah seperti burung kecil itu


Saya memang suka menulis. Tetapi saya bukanlah seorang penulis yang baik, banyak yang perlu saya pelajari selok belok dunia penulisan ini dan saya benar-benar mengakuinya.

Jika sahabat membaca tulisan-tulisan di dalam blog saya, kebanyakannya berkisar kepada nasihat dan tazkirah. Memang itulah niat saya ketika mewujudkan blog abuikhwan ini. Saya berharap dapat berkongsi sedikit pengetahuan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Mudah-mudahan dengannya kita semua mendapat manfaat. Tetapi yang lebih utama nasihat dan peringatan tersebut lebih kepada diri saya sendiri. Itulah yang sentiasa saya ingat dan sematkan di dalam diri.

Mengapa pentingnya peringatan dan nasihat-menasihati dalam kehidupan manusia? Apa yang saya rasa kehidupan ini adalah sesuatu yang hebat, dan indahnya pula apabila kita saling ingat-mengingati dan nasihat-menasihati dalam perkara kebenaran. Ini bermakna di dalam diri kita masih ada sifat peduli dan ambil tahu, darinya akan menumbuhkan rasa kasih sayang sesama insan. Betapa damai dan tenangnya apabila hidup dalam suasana kasih sayang.

Menebarkan kasih sayang dan perhatian melalui nasihat dan peringatan sesama insan tidak perlu mengeluarkan belanja yang mahal. Ia hanya memerlukan kesungguhan dan rela dalam melakukannya. Demikianlah, kita adalah hamba yang dicipta dengan bibit-bibit kemurahan hati untuk berkongsi kebaikan. Besarnya kurniaan Tuhan.

Semua ada peranan

Sesungguhnya setiap orang perlu berperanan dalam menyebarkan kebaikan dan mencegah keburukan. Sumbangan itu bukanlah perlu yang besar-besar sebaliknya mengikut kemampuan masing-masing. Jika ada yang boleh berceramah dan mengajar, maka dengan mengajar. Yang mampu menulis hendaklah menulis, biarpun sebaris ayat. Di peringkat yang lebih tinggi iaitu yang ada kuasa, maka gunakan kuasa yang ada untuk menyebarkan kebaikan dan menghalang kemungkaran. Tidak kira siapa, kewajipan berdakwah pasti ada. Ingatlah sekecil-kecil dakwah ialah pada diri sendiri.

Allah SWT tidak pernah bertanya sama ada kita berjaya atau tidak dalam usaha itu, tetapi yang akan ditanya ialah sama ada kita melakukan usaha itu atau tidak. Ambillah kisah seekor burung kecil yang pada ketika Nabi Ibrahim as. dibakar oleh Raja Namrud, bersungguh-sungguh menyiram api menjulang itu dengan mencurahkan air yang ditampung di dalam paruhnya. Jika difikirkan apalah sangat usaha yang sedemikian, takkan terpadam api yang menjulang raksasa itu.

Namun, apabila ditanya kepada burung itu apakah dibuatnya kerana tidak mungkin api itu padam dengan perbuatannya yang nampak sia-sia itu, burung itu berkata dia takut kepada Allah SWT, ia hanya menjalankan tanggungjawab untuk menegakkan kebenaran dan menghalang kejahatan; untuk api itu padam bukan urusannya, itu urusan Allah SWT, Sang Pencipta alam ini. Ertinya burung itu menjalankan peranan setakat yang mampu dilakukannya. Walaupun kisah ini dikatakan bersumberkan israiliyyat tetapi inilah contoh yang perlu kita ambil dalam menyebarkan kebaikan.

Kembara mencari hamba

Sukarnya mencari jiwa hamba...

Firman Allah SWT:
“Wahai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah dan Dialah Allah Yang Maha Kaya (tidak bergantung kepada apa jua pun) lagi Maha Terpuji.” (Al-Faatir: 15).

Seringkali saya bertanya pada diri. Mengapakah dalam kehidupan sehari-hari kita kurang menghayati makna jiwa hamba. Setiap hari kita selalunya bertindak selaku ‘tuan’, tidak sebagai hamba. Maka, dengan itulah terbitnya keegoan, kesombongan, riya` dan segala macam sifat mazmumah. Demikianlah yang mewarnai kehidupan kita sehari-hari. Tambahan pula, tanpa merasa diri ini hamba kepada Tuhan, maka kita juga jarang mengingati-Nya dan kurang berusaha untuk mendekati-Nya.

Kerana itulah motto blog abuikhwan ini adalah “Kembara Mencari Hamba”, sebagai satu peringatan buat diri saya. Hidup ini adalah satu pengembaraan menuju destinasi iaitu menggapai kemuliaan di sisi Tuhan. Mereka yang bagaimanakah yang mendapat kemuliaan di sisi Tuhan? Tentunya seorang hamba Allah, hamba kepada Allah. Oleh itu biarlah perjalanan hidup kita ini semata-mata untuk mencari sifat kehambaan kepada Allah.

Setiap insan mahu menjadi hamba Allah. Tanyalah kepada sesiapa pun. Tetapi adakah hamba Allah sekadar di mulut atau hamba Allah yang kita tuliskan di dalam borang derma, ‘Hamba Allah”???

Oleh itu, saya menyeru marilah kita menjadi hamba Allah yang sebenarnya. Hamba Allah yang tunduk dan patuh pada perintah-Nya dan dalam masa yang sama kita meninggalkan tegahan-Nya.

“Dan tidaklah Aku menjadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” (Al-Zaariyat: ayat 56)

Oleh itu, marilah kita sama-sama memikirkan, adakah kita mempunyai sifat seorang hamba kepada Tuhannya atau masih lagi menganggap dirinya seorang ‘tuan’?

Marilah kita sama-sama berusaha menggapainya...Hamba itu mulia, hamba itu bahagia.

“KEMBARA MENCARI HAMBA” biarlah seperti burung kecil itu.....

Saudara kalian,
abuikhwan,
Kuantan, Pahang

2 comments:

KKS fsktm said...

mohon ijin sharing untuk sebaran..

abuikhwan said...

silakan...(mohon sertakan alamat abuikhwan)

Post a Comment