Sahabat Sejati

Tuesday, 29 March 2011

Sama-sama beringat...

Indahnya masa muda. Ianya percuma tetapi akan ditanya.

Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan Muslim dari Amru bin Maimun ra. bahawa pada suatu hari Rasulullah saw telah menyampaikan pengajarannya kepada seorang lelaki, dengan sabdanya yang bermaksud:

“Rebutlah peluang lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain, iaitu masa muda sebelum datangnya hari tua.....”

Masa muda tidak selamanya, tiba masanya usia tua akan bertamu. Setiap detik yang berlalu hanya tinggal kenangan. Masa muda, jika tidak diperguna sebaiknya maka sesalan yang berpanjangan, jika tidak dimanfaat menurut selayaknya, pasti akan meninggalkan sesuatu yang pahit.

Masa tua, apa yang indah padanya? Tenaga pun tidak seberapa. Mata dan telinga sudah berkurang deria. Kaki dan tangan lemah segalanya. Selera makan pun sudah menurun walau dihidang apa sahaja. Sakit sering melanda kerana sudah tiada upaya melawan penyakit. Semuanya amat terbatas. Itulah usia tua.

Masa muda amat berharga, oleh itu mengsia-siakannya seumpama menempah derita dan sengsara. Menyesal kemudian tidak berguna. Masa muda yang dilalui adalah satu amanah, maka ia akan ditanya semula oleh Allah SWT. Kemanakah usia muda itu telah dihabiskan? Beruntunglah jika ianya diguna untuk taat dan ibadat. Namun, bagaimana pula jika maksiat dan dosa yang diperlakukan? Muhasabahlah, agar tidak menyesal kemudian hari.

Sama-sama beringat...

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, maka bagi mereka pahala yang tidak putus-putus." (at-Tin: 4-6)

Monday, 28 March 2011

Berikan aku secebis nasihat

Berikan aku secebis nasihat
Duhai teman seperjuangan
Buat azimat melangkah kaki
Kerana perjalanan masih panjang
Entahkan sampai menuju cahaya
Atau tersasar ke jurang gelita

Berikan aku secebis nasihat
Duhai teman seperjuangan
Kujadikan panduan menyusuri kehidupan
Bukan mudah berkelana di bumi Tuhan
Pasti banyak cabaran mendatang

Aku pernah tiba di daerah sepi
Aku pernah sampai di daerah songsang
Merenung dan memerhati satu pandangan
Mereka yang berlari mencari kebendaan
Mereka yang terselit di celahan keseronokan
Namun semuanya tersungkur kehampaan

Berikan aku secebis nasihat
Duhai teman seperjuangan
Agar tidak tandus taqwa kemarau iman
Kerana sesalan bukan kepalang
Selama roda kehidupan dunia berjalan

Berikan aku secebis nasihat
Duhai teman seperjuangan
Semoga kita dilimpahi kesejahteraan...

Saudara kalian,
abuikhwan
Kuantan, Pahang
27 Mac 2011
12:05 pagi


Rasulullah saw bersabda:
"Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang baik akhlaqnya, yang merendah diri, yang mengasihi dan dikasihi dan tidak ada kebaikan bagi orang yang tidak mengasihi dan dikasihi." (Riwayat Tabrani, disahihkan oleh al-Albani)

Saturday, 26 March 2011

Hukum makan gaji kerja di bank konvensional


Soalan:

Kami bekerja dengan bank-bank konvensional (bank riba). Wang gaji kami, jelas daripada hasil riba itu. Ada orang kata boleh makan, ada yang kata haram mutlak. Hendak mencari kerja lain bukan senang. Apakah hukum memakan gaji daripada bank-bank konvensional tersebut? Tolong jelaskan yang sebenarnya.

Jawapan:

SELURUH umat Islam wajib mengetahui secara dharurah (mesti mengetahui), bahawa riba dan seluruh sistem yang berteraskan kepada riba adalah haram.

Allah dan Rasul-Nya mengharamkan riba dengan jelas menerusi al-Quran dan as-Sunnah. Firman Allah (mafhumnya): "Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkan (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang-orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan Rasul-Nya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa." (al-Baqarah 278-279)

Jabir bin Abdullah ra. meriwayatkan hadis daripada Rasulullah saw (mafhumnya): "Rasulullah saw melaknati pengambil riba, pembeli riba, saksi kedua-duanya, semua mereka adalah sama." (Riwayat Imam Muslim)

Banyak lagi hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas`ud, an-Nasa`i dan sebagainya, semuanya membawa makna yang hampir sama, iaitu pengharaman riba.

Oleh itu seboleh-bolehnya, dengan kudrat yang ada pada kita umat Islam, amalan riba hendaklah kita jauhi, kita perangi riba dengan sedaya upaya yang ada pada kita.

Kerana, amalan ini bukan sahaja diharamkan oleh Allah dan Rasul-Nya malah Allah dan Rasul-Nya melaknati amalan riba hingga ke hari kiamat.

Akan tetapi, kita hidup dalam dunia yang realiti, bukan khayali. Kita lahir dan membesar dalam satu zaman di mana sistem bukan Islam telah menguasai seluruh peghidupan kita.

Umat Islam telah terjajah sistem ekonomi mereka. Sistem ekonomi Islam dimatikan. Sistem ekonomi kapitalis Barat, diagung-agungkan. Sistem konvensional atau lebih senang difaham, sistem riba, telah mencengkam penghidupan umat dan ekonomi mereka.

Sebut bank sahaja, mestinya bank riba, bank Islam tidak ada. Hanya sejak akhir-akhir ini baru mula bernafas dan berkembang sistem perbankan Islam.

Namun demikian, ia masih jauh ketinggalan jika hendak dibandingkan dengan perbankan konvensional. Perbankan konvensional, masih menyeluruh dan menguasai sistem yang ada.

Ramai daripada kalangan kita terlibat dengan sistem itu. Lebih-lebih lagi yang terlibat dalam perniagaan perdagangan dalam dan luar negara, perbankan konvensional merupakan perbankan utama.

Dalam satu hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah, Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): "Akan berlaku ke atas umat aku suatu ketika nanti, tidak ada yang terselamat daripada amalan riba, semuanya terlibat memakannya. Dan sesiapa yang tidak memakannya, akan juga terkena debunya."

Ertinya hadis ini memberi suatu gambaran, bahawa riba sudah menjadi seperti suatu kemestian, atau ia menjadi suatu penyakit yang menyeluruh. Mahu tidak mahu, umat Islam mesti terlibat dengannya.

Perbankan Islam masih baru jika dibandingkan dengan perbankan konvensional.

Cuba renungkan semula sebelum tahun 1983, sebelum Akta Perbankan Islam diluluskan oleh kerajaan untuk Bank Islam beroperasi di Malaysia. Sebelumnya, 100 peratus bank-bank di Malaysia adalah riba.

Seandainya hendak dikatakan haram secara mutlak bekerja di bank-bank konvensional sebelum ada perbankan Islam, maka dimanakah kita akan dapat orang-orang Islam yang berpengalaman dalam industri perbankan, bagi membolehkan mereka mengendalikan Bank Islam apabila dibuka nanti.

Mestilah ada dan harus ada orang Islam yang terpaksa bekerja dalam bank-bank konvensional untuk benar-benar mahir dalam urusan perbankan. Merekalah nanti akan bertugas untuk mengubah perbankan yang tidak Islam kepada Islam.

Ertinya ada keharusan sementara. Bukan selama-lamanya. Ia bertujuan bagi memantapkan sistem perbankan Islam.

Oleh kerana itu ada keharusan dan telah terbukti keperluan. Bagi mereka yang ada pengalaman di perbankan konvensional, mereka ini kini menerajui perbankan Islam pada zaman awalnya, hingga dapat beroperasi dan berkembang.

Kini perbankan Islam di Malaysia telah mencapai umur lebih suku abad. Hukum keharusan yang saya nyatakan di atas, sepatutnya mula beransur-ansur berubah kepada haram, apabila sistem perbankan Islam, benar-benar boleh mengambil tempat sistem perbankan konvensional.

Apa yang berlaku boleh disifatkan sebagai amat perlu, yang boleh dianggap dharurah. Apabila dharurah, maka yang haram menjadi rukhsah (keharusan sementara).

Yang dharurah pula, hendaklah dibuat sekadar dharurah sahaja. Apabila tiada dharurah, hendaklah kembali kepada asal.

Seperti memakan bangkai sebagai contoh, ia haram. Tetapi jika terpaksa dimakan untuk menyambung hidup, ia diharuskan, tetapi jika ada makanan lain, maka habis dharurah dan hukum bangkai itu kembali kepada haram.

Demikianlah juga dengan perbankan ini. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Cetusan rasa: Bawa hatimu...


Sesungguhnya hati ini milik-Nya. Seringkali ia berbolak-balik, seringkali juga ia terumbang-ambing bak sampan di tengah samudera. Adakala ia tandus dan kering apabila nafsu menyelubungi. Kadang-kadang ia selembut bayu bilamana iman dan akal menguasainya.

Hidayah juga milik-Nya. Disaat hati kita terpinga-pinga tidak keruan. Tiba-tiba terang benderang suluhan cahaya dari-Nya. Ketika itu kenangan silam menjelma satu persatu. Dosa dan maksiat bagaikan terpampang di depan mata. Jika ketika ini malaikat maut merenggut nyawa, pasti ular, kala jengking dan ulat-ulat sedang menanti.

Dengan rahmat-Nya kita masih diberikan masa...

Kejarlah hari-hari yang telah ditinggalkan, tumpahkan air mata penyesalan. Kerana pintu taubat senantiasa terbuka. Alangkah indahnya saat-saat itu, manisnya buah iman yang mula berputik.

Masa berputar, telah kita tinggalkan hari yang hitam. Namun, nafsu yang bersembunyi tidak pernah alpa, bersama syaitan yang tidak pernah kecewa. Menanti peluang, meninjau-ninjau jika ada peluang yang terhidang.

Sepanjang perjalanan, tidak sedikit ujian yang mendatang. Betapa sukarnya jalan menuju Tuhan. Jatuh dan bangun, penat dan letih, kiri dan kanan ada yang tumbang. Tidak mustahil kita juga akan keciciran.

Bawalah hati yang suci untuk bertemu Tuhan. Bermohonlah dengan air mata yang mengalir agar sampai ke destinasi yang dituju, syurga Allah yang menjadi idaman...

“Hari Akhirat yang tiada guna lagi harta dan anak pinak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera.” (asy-Syuara': 88-89)

Thursday, 24 March 2011

Kehidupan ini...


Hakikat perjalanan sebuah kehidupan, tiada siapa yang mampu menduga apa yang akan berlaku dalam kehidupan pada masa hadapan. Apa jua perancangan kita hanyalah satu perancangan, sedangkan ketentuan pasti kembali kepada Allah SWT. Kadang-kadang kita mahukan sesuatu, tetapi Dia kurniakan sebaliknya. Kerana Dialah Yang Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Alhamdulillah, betapa luasnya rahmat Allah. Tidak dapat dihitung-hitung. Air dan udara yang diberi percuma, tidak pernah dipinta dalam doa. Sama ada hamba itu taat ataupun engkar, semuanya mengalir tanpa henti.

"Dan sekiranya kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menghitungnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan lagi Maha Penyayang." (an-Nahl: 18)

Hidup ini benar-benar satu ujian. Pejam dan celik yang mengiringi malam dan siang lantas memendekkan usia tanpa disedari. Di saat tempoh hidup yang semakin singkat, sesekali kesihatan terjejas, jiwa terasa lemah. Letih, jemu dan segala kebosanan yang melanda.

Ada masanya kita merasa gembira, adakala kita berduka. Terkadang kita tersenyum, banyak kali juga kita menangis. Adakalanya perjalanan ini terasa terlalu lapang, namun sesekali rasa terlalu sempit. Kadang-kadang semakin menghimpit. Mengapa? Begitu sulit untuk memahaminya.

Itulah hakikat ujian kehidupan, dari Tuhan buat hamba-Nya. Semua itu merupakan ujian yang sepatutnya di lalui dengan penuh kesedaran. Sedar bahawa ianya ketentuan dari Tuhan, sama ada baik atau buruk.

“…dan Kami datangkan kepadamu kesusahan dan kesenangan sebagai fitnah (ujian). Dan kepada Kami-lah kamu akan dikembalikan.” (al-Anbia’: 35)

Sesungguhnya hati nurani kita sentiasa mahu menghubungi Allah dengan cinta, beribadat dan taat, kerana ia mengetahui bahawa Dialah yang mentadbir urusan-Nya dan urusan tiap-tiap sesuatu di sekeliling-Nya menurut hikmah dan tadbir-Nya. Itu adalah fitrah. Tiada siapa yang dapat membantah. Namun sampaikah kita kepada-Nya?

Oleh itu segera perkukuh rasa berhubung dengan Allah (Ma'iyatulLah), mudah-mudahan ia menjadi penawar, sebelum hati semakin jauh, semakin terasa sempit. Sibukkanlah diri dengan amal dan dakwah. Semoga tubuh kembali terasa segar, hati menjadi hidup menghirup nafas panjang perjuangan dengan kelapangan dada dan kebesaran jiwa.

“Maka tetaplah kamu di atas jalan yang benar sebagaimana yang diperintahkan kepadamu dan (juga) kepada orang yang telah bertaubat bersamamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (Hud: 112).

Mari menghitung diri...

Wednesday, 23 March 2011

Salam sejahtera duhai ayahanda

“Along, Haikal, ini kubur atuk. Abi sedih atuk dah tiada.” Saya memberitahu anak-anak. Cuba untuk memahamkan mereka siapakah insan yang bersemadi di antara dua nisan di bawah rimbun pohon angsana yang besar itu.

“Atuk dah mati, tapi abi belum mati kan?” Along bertanya.

Pagi yang hening, saya membawa anak-anak menziarahi pusara ayah. Hajat hati mahu berdoa, lebih-lebih lagi telah lama saya tidak menziarahinya. Tanpa disedari sudah 32 tahun ayah pergi meninggalkan kami sekeluarga. Pantasnya masa berlalu.

“Nanti abi juga akan mati macam atuk, macam orang-orang lain. Nanti bila abi mati along dan Haikal datanglah ziarah kubur abi ye,” saya menyambung lagi sambil merenung wajah mereka.

Saya tahu hari ini mungkin mereka tidak mengerti tentang kematian dan keutamaan menziarahi kubur, namun satu hari nanti mereka pasti akan memahaminya. Samalah seperti saya yang juga tidak mengerti tatkala dibawa oleh abang menziarahi kubur ayah semasa kecil dahulu. Saya hanya melihat abang menadah tangan berdoa di sisi kubur ayah. Saya hanya mengerti setelah usia separuh menginjak dewasa.

Melihat dua nisan yang tegak setia menemani, gugur juga air mata ini. Dalam sebak yang mengigit jiwa, saya benamkan kasih dan rindu seorang anak yang ‘ditinggalkan’ ketika berusia tiga tahun.

Teringat satu kisah yang diceritakan oleh Umar al-Khattab, para sahabat pernah bersama-sama Rasulullah saw pergi ke satu tanah perkuburan. Lalu baginda duduk di satu kubur, berhampiran para sahabat. Setelah itu baginda menangis bercucuran air mata. Melihat Rasulullah saw menangis, lalu para sahabat turut menangis.

Nabi bertanya: “Mengapa kamu semua menangis?”

“Kami menangis kerana melihat engkau menangis, ya Rasulullah,” jawab sahabat.

Lalu Rasulullah saw menjawab: “Ini adalah kubur ibuku, Aminah binti Wahab. Aku meminta izin Tuhanku untuk menziarahi kubur ini, lantas diizinkan. Lalu aku memohon supaya ibuku diampunkan.” (Riwayat Ibnu Majah)

Doa buat ayah

Doa merupakan antara bantuan si anak untuk orang tuanya.

Rasulullah saw bersabda: “Apabila mati anak Adam (seseorang) maka terputus hubungannya dengan dunia, kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.” (Riwayat Muslim).

Ibu bapa yang terbaring di liang lahad amat mengharapkan doa dari anak-anaknya, mereka umpama orang yang sedang karam tenggelam timbul, menggapai-gapaikan tangan memohon bantuan. Mereka selalu menunggu doa dari anak-anak mereka dan juga saudara-saudara sesama Muslim. Mereka itu menunggu doa dari orang-orang yang masih hidup, ibarat seorang ibu tua yang tidak kuat mencari nafkah lagi, menunggu-nunggu pemberian dari anak-anaknya.

Sebuah hadis dari Ummu Salamah yang mengatakan ketika Rasulullah saw datang mengunjungi Abu Salamah, ketika dia terbaring dan matanya tunduk. Rasulullah saw menutup matanya lalu bersabda:

"Doakanlah dia, malaikat pun turut mengaminkan apa-apa yang kamu baca itu."

Sesudah itu Rasulullah saw turut sama berdoa: "Ya Allah! Ampunkanlah Abu Salamah dan tinggikanlah darjatnya dan tempatkanlah dia di tempat orang-orang yang muhtadin. Dan janganlah dia dihukum terhadap kesalahan-kesalahannya. Ampunilah kami dan dia juga, ya Allah. Lapangkanlah kuburnya." (Riwayat Muslim)

Justeru itu, berdoalah wahai anak terhadap orang tuamu.

Melangkah pergi

Terasa berat langkah kaki yang di atur tatkala meninggalkan pusara ayah.

"Satu hari nanti, abi juga akan tidur di sini. Apabila tiba masanya," getus hati kecil, sambil memimpin anak-anak melewati celah-celah nisan mereka yang telah berkelana.

Salam sejahtera duhai ayahanda, juga buat semua penduduk kampung ini dari kalangan orang-orang yang beriman. Kamu semua telah pun mendahului, insya-Allah kami akan menyusul selepas ini.....

Di pusara ayahanda

Saturday, 19 March 2011

Berbalah berhubung minum air dimasuki lalat


Soalan:

Saya dan beberapa orang kawan adalah doktor pelatih yang sedang berkhidmat di sebuah hospital kerajaan. Suatu hari dalam satu perjumpaan dengan ramai doktor kanan dan pakar, timbul persoalan lalat yang terjatuh ke dalam air minuman seorang doktor kanan. Ada yang kata tidak mengapa, selamkan lalat itu dalam minuman dan buang lalat, kemudian minumlah, ada hadis mengenainya, kata seorang dotor. Kata doktor lain dengan suara yang agak keras, "bullshit (mengarut), lalat adalah pembawa kuman dan penyakit. Hadis apa yang macam itu." Akhirnya isu ini menjadi pertengkaran. Saya ingin bertanya, adakah hadis sahih tentang ini? Apakah ia sesuai? Mohon penjelasan.

Jawapan:

HADIS tentang lalat yang saudara ajukan pada persoalan, memang wujud. Hadis itu menurut ulama hadis adalah sahih, riwayat al-Imam al-Bukhari. Kesahihan hadis ini tidak pernah dipertikaikan oleh ulama hadis, ia betul-betul sahih.

Hadis tersebut sepenuhnya diriwayatkan sebegini. Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): "Apabila lalat terjatuh ke dalam bekas minuman kamu, maka hendaklah direndamkan (ditenggelamkan) lalat ke dalam air minuman itu, sesungguhnya pada salah satu sayapnya ada penyakit, dan disayap yang satu lagi ada penawar (antidot) kepada penyakit tadi."

Perlu kita fahami jika hadis sahih ertinya betul. Rasulullah tidak bercakap mengikut kehendak nafsunya atau mengikut sedap mulutnya.

Rasulullah saw mengikut wahyu Allah. Firman Allah (mafhumnya): "Dan dia (Muhammad) tidak menuturkan sesuatu (berhubung agama) mengikut hawa nafsunya. Malahan segala apa yang dipertuturkannya adalah wahyu daripada Allah kepadanya." (an-Najm: 3-4).
Hadis tentang lalat tadi, adalah hadis sahih yang tidak diragui sama sekali.

Oleh kerana itu, ianya adalah benar. Adaun apa yang dipertengkarkan adalah mungkin golongan yang anda maksudkan tersebut, terdedah kepada permasalahan kesihatan yang rata-ratanya tahu mudarat yang boleh berpunca daripada lalat.

Lalat membawa kuman berpenyakit. Menghinggapi tempat kotoran dan kuman yang melekat pada kakinya atau mulutnya, boleh menjadi punca ada makanan atau minuman kita kotor serta menjejaskan kesihatan. Permasalahan betul atau tidak, lalat yang ada dua sayap itu, satu ada penyakit dan satu lagi ada penawar, masih tidak dikaji dengan mendalam.

Dan belum ada jawapan pasti betulkah berlaku seperti yang disebutkan dalam hadis Nabi Rasulullah saw di atas. Rasulullah saw bukanlah doktor, bukan juga pakar kaji penyakit. Akan tetapi apa yang baginda sebutkan adalah kenyataan. Ia hadis Nabi saw.

Terpulanglah kepada kita untuk mengkaji sedalam-dalamnya. Mungkin hadis itu hadis ransangan untuk mengkaji perihal lalat.

Lalat bukan perkara baru timbul. Ia sudah lama wujud. Maka saya sarankan kepada pihak pakar mengkajinya. Tidak wajar ada pihak terus mengatakan ia sebagai bullshit atau mengarut, sedangkan yang membuat kenyataan itu adalah Rasulullah saw.

Hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari di atas, adalah hadis sahih, cuma tidak muttafakun `alaih (tidak sama-sama dikatakan sahih oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim). Ertinya Imam Muslim tidak meriwayatkan hadis itu.

Namun demikian, sebagai umat Islam, kita perlu meletakkan perkara sebegini, sebagai ada perkara yang terselindung di sebaliknya. Oleh itu, maka saya nasihatkan agar hal-hal sebegini, jangan sampai dijadikan pertengkaran yang menimbulkan perbalahan. Ia adalah fakta benar berdasarkan kepada hadis sahih. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Friday, 18 March 2011

Kenangan masih basah: Cuti sekolah


Jumaat. Hari terakhir persekolahan sebelum cuti penggal pertama. Tidak sabar rasanya untuk pulang ke kampung. Pakaian pun awal-awal sudah di kemas. Hati dan perasaan sudah berada di kampung bersama keluarga, jasad sahaja yang masih di sekolah.

“Anta nak balik sebelum atau selepas Jumaat?” Tanya sahabat saya, Fitri tatkala kami beriringan pulang dari sekolah menuju ke asrama. Tidak jauh mana, kira-kira 300 meter sahaja jaraknya.

“Selepas Jumaat, kalau sebelum Jumaat alamatnya tak sembahyang Jumaat la..., lagipun bas akhir pukul 5 petang ,” saya menjawab sambil tersenyum.

Terasa begitu lama khutbah Jumaat hari ini. Sekejap-sekejap saya melihat jam di tangan.

“Bila nak habis khutbah ni....”

Innallaha ya`murukum bil `adli wal ihsan.....

Ketinggalan bas

“Bas dah bergerak dik…” beritahu gadis penjaga kaunter tiket.

“Haa…” Badan saya sudah separuh senget mendengar “bas dah bergerak dik” tersirap darah dan longgar lutut dibuatnya, seperti tidak berpijak di bumi.

Dengan langkah yang longlai, saya kembali ke kerusi stesen bas. Duduk memerhatikan orang ramai yang lalu lalang, baju melayu sudah basah dengan peluh. Apakah hari ini hari malang bagi saya, saya tidak pasti. Kepada Allah jua saya kembalikan rasa debar dan takut yang menjalar di dalam dada. Saya menarik nafas dalam-dalam cuba bertenang sebaik mungkin, memikirkan apakah tindakan seterusnya.

“Takkan nak balik ke sekolah semula,” getus saya di dalam hati, sambil mengira baki wang di dalam poket. Lima ringgit! Apa yang boleh dibuat dengan lima ringgit. Kepala ligat berfikir, namun tidak ketemu jua penyelesaiannya.

“Apa aku nak buat ni?”

Entahlah saya sendiri tidak pasti, hanya berserah sepenuhnya pada Allah SWT. Saya sudah buntu mencari ikhtiar.

Sabar!

“Sabar. Allah tidak akan menguji hamba-Nya diluar batas kemampuannya. Relalah terhadap segala taqdir dan segala keputusan-Nya, bersabar atas segala ujian-Nya. Allah telah memberi jaminan, bagi orang mukmin itu telah ditetapkan bahawa Dia tidak mengujinya melainkan demi kemaslahatannya, baik di dunia maupun di akhirat. Yang paling penting sabar serta redha terhadap ujian itu.”
“Sesungguhnya hanya orang-orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” (Az-Zumar: 10)

“Allah pasti akan menolong hamba-Nya yang bersabar apabila ditimpa ujian. Hanya Dia yang Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi hamba-Nya. Biasanya pertolongan akan datang ketika kita sudah benar-benar tidak berdaya. Untuk itu tetaplah berbaik sangka kepada-Nya, disamping berdoa dan berikhtiar.Jangan se kali-kali menyalahkan taqdir atau berputus asa. Ingatlah Allah SWT tidak zalim kepada hamba-Nya.”

Menurut Syeikh Ibnu Atho`illah: “Sesungguhnya cubaan-cubaan itu seumpama permadani yang disulam dari berbagai macam kurnia Allah. Kerana itu bagi siapa sahaja yang ingin mendapatkan kurnia-Nya, maka ia harus duduk di atasnya dengan sabar dan tawakal.”

Teringat kembali bait-bait mutiara ilmu yang disampaikan oleh abang Syukri dalam usrah di musolla sekolah pada dua hari lepas. Ianya ada saya catatkan di dalam buku nota dan saya sentiasa mengulang-ulang membacanya.

Mendengar tanpa mencatit seumpama menulis di atas permukaan air, kata sang murabbi dan saya menggenggam erat azimat berharga tersebut.

Pertolongan-Nya, alhamdulillah!

“Eh, anta belum balik lagi?” tiba-tiba terdengar suara menyapa dari belakang, sekaligus mematikan lamunan panjang tadi. Saya segera berpaling. Seraut wajah yang saya kenali sedang tersenyum.

Ohh…abang Ihsan, ana ketinggalan bas,” saya menerangkan kepadanya. Abang Hadi turut bersamanya. Saya menghulurkan tangan untuk bersalam.

Mereka berdua adalah pelajar tingkatan 5. Di sekolah kami, abang-abang ‘senior’ amat dihormati. Mereka dipandang oleh adik-adik sebagai ‘ulama’ kerana akhlaq dan peribadi mereka.

“Ketinggalan bas? Macam mana jadi begitu?” Abang Ihsan bertanya lagi sambil duduk di sebelah saya.

“Lepas beli tiket tadi ana pergi sembahyang Asar dulu, ingatkan sempat, ” jawab saya sambil menunjukkan tiket bas yang sudah dibeli.

“Habis macam mana sekarang?” soal abang Hadi pula.

“Entahlah, ana pun tak tahu nak buat apa,” saya menjawab lemah.

Keadaan sudah tidak sibuk seperti tadi kerana ramai yang telah menaiki bas. Yang tinggal pun hanya mereka yang tinggal berdekatan bandar atau pun yang menunggu keluarga datang mengambil.

“Macam ni, kalau tak keberatan anta ikut ana balik ke rumah ana. Esok ana minta ayah ana hantar anta ke sini semula.” Abang Ihsan memberi cadangan sambil memegang bahu saya. Hanya itu pilihan yang ada, saya menganggukkan kepala tanda setuju.

Saya mengikut abang Ihsan ke rumahnya. Manakala abang Hadi pula membelikan tiket bas ekspres untuk saya pulang esok menggunakan duitnya. Kalau ada duit bayarlah, kalau tak ada ana halalkan, katanya.

Malam ini saya tidur dengan seribu persoalan di dalam kepala. Betapa Allah Maha Pengasih dan Penyayang. Di saat saya kelihatan lemah dengan asakan ujian, Dia datangkan pertolongan yang tidak terduga. Tanpa saya sedari air mata mengalir membasahi pipi. Sebak yang penuh di dada. Dalam keharuan itu saya terlena mengharap terbitnya sinar mentari hari esok.

“Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkeinginan terhadap apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat, dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memlihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (al-Hasyar: 9)

Keesokkannya saya melambaikan tangan ucapan selamat tinggal kepada abang Ihsan dan bapanya serta abang Hadi yang turut menemani.

Saya coretkan kisah ini sebagai satu iktibar dan tauladan. Mungkin tanpa terjadinya peristiwa ini, saya tidak belajar apa-apa rasanya diuji dengan kesusahan. Memahami hakikat sabar dan menikmati manisnya sifat kesabaran. Kerana peristiwa itu juga, saya mengenang kembali wajah-wajah yang mengutamakan saudaranya melebihi kepentingan dirinya sendiri. Manisnya ukhuwwah di atas jalan iman dan ihsan.

Syukur pada-Mu ya Allah.

Terima kasih abang Ihsan dan abang Hadi…

Thursday, 17 March 2011

Cetusan rasa: Jangan jadi keldai...

Entah mengapa. Seringkali saya gagal mengawal diri. Tuhan sahaja yang mengetahui betapa peritnya saya bermujahadah. Doa sudah, pendinding pun sudah, namun hanya sebentar sahaja mujarabnya. Lebih terasa tatkala di ‘tengah bulan’, sungguh memeritkan.

Tidak mampu saya menahan gelodak nafsu yang meronta-meronta. Semakin dilawan semakin menyeksa jiwa. Saya cuba mengatur langkah, dan seperti yang sudah terduga tewas jua akhirnya. Mengapa saya terlalu lemah di hadapan kedai buku. Penyakit lama sejak di zaman sekolah. Tersungkur saya di pintunya.

Akhirnya melangkah keluar dari Ajwa Muslim Shop dengan poket yang faqir tetapi hati yang kembang berbunga seribu kepuasan. Tiga buah buku yang telah saya beli pada hari semalam. Bila agaknya dapat menghadam kesemuanya, jangan sampai jadi keldai dah la...

Perbandingan orang-orang (Yahudi) yang ditanggungjawab dan ditugaskan (mengetahui dan melaksanakan hukum) Kitab Taurat, kemudian mereka tidak menyempurnakan tanggungjawab dan tugas itu, samalah seperti keldai yang memikul bendela kitab-kitab besar (sedang ia tidak mengetahui kandungannya). buruk sungguh bandingan kaum yang mendustakan ayat-ayat keterangan Allah; dan (ingatlah), Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang zalim. (Al-Jumu’ah : 5)

Buku-buku yang telah dibeli...


Furu’ Al-Masa’il wa Usul al-Wasa`il merupakan sebuah karya terjemahan dari kitab asal yang ditulis oleh ulama’ nusantara terkenal Maulana Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang disampaikan dalam bentuk soal jawab menyentuh soal-soal syariat yang merangkumi aspek-aspek ibadat, munakahat, muamalat dan jinayat.

Menurut Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz, penyusun semula buku ini, “saya lebih berminat untuk terus melayari lembaran kitab Furu‘ Almasa’il setiap kali saya berhadapan dengan masalah fiqah. Akhirnya dengan kehendak Allah jua, terdetik persoalan di hati saya, kenapa kitab yang seindah itu, disimpan hanya untuk menjadi tatapan dan rujukan golongan tertentu sahaja. Alangkah baiknya sekiranya kitab yang bermutu seperti itu dapat dimanfaatkan oleh generasi masa kini. Khazanah ilmu yang terkandung di dalamnya dapat dikongsi dan ditatap bersama. Akhirnya, timbullah keinginan saya untuk menyusun semula kitab tersebut dengan gaya bahasa masa kini untuk memudahkan generasi hari ini membaca dan memahaminya, khususnya bagi mereka yang dahagakan ilmu.”



Mengisahkan suka duka perjalanan hidup penulis sebelum memeluk Islam sehingga dapat mengucap dua kalimah shahadah. Seribu satu keperitan, penganiayaan, kekecewaan dan kesedihan yang dilalui sepanjang perjalanan yang ditempuhi semata-mata mencari secebis kebahagiaan di muka bumi Allah ini. Satu perkongsian yang dapat membuka lembaran baru kepada saudara-saudara pembaca supaya menghargai nikmat Islam dan Iman.


Sambungan kepada buku Travelog Shahadah. Melalui buku ini penulis merungkai persoalan-persoalan berdasarkan pengalaman hidup yang pernah dilalui. Persoalan-persoalan yang dikongsi bukan sahaja patut dipertanyakan oleh insan seperti penulis dan para pendakwah yang yang lain, namun, perkara ini terlalu penting bagi manusia bertanya kepada diri masing-masing.

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu!

Wednesday, 16 March 2011

Bolehkah ayat Quran ditulis seni khat yang mengelirukan?


Soalan:

Zaman ini masyarakat Islam suka sangat kepada perhiasan. Mereka suka menghiasi rumah dengan ayat-ayat al-Quran, hatta di masjid-masjid penuh dengan ayat-ayat al-Quran. Banyak sangat saya dapati ayat-ayat al-Quran itu ditulis atau dihias secara khusus, mementingkan seni tulisan, tetapi amat sukar dibaca, mahupun dikalangan orang terpelajar sendiri. Apakah ia bertepatan dengan kehendak Islam?

Jawapan:

PERSOALAN asas yang anda tanyakan ialah, sama ada boleh atau tidak ayat-ayat al-Quran ditulis untuk dipamerkan di dinding, sama ada masjid, rumah atau di premis awam dan sebagainya.

Jawapan saya, harus berbuat demikian, tetapi bukan tujuan sekadar perhiasan buat sedap mata memandang.

Harus dengan tujuan untuk dibaca oleh orang yang melihatnya. Membaca al-Quran, sama ada daripada mana-mana tulisan, termasuk yang tertera di dinding adalah diberi pahala.

Satu huruf yang dibaca, dibalas dengan 10 pahala seperti yang disebut dalam hadis-hadis sahih tentang pahala membaca al-Quran. Jika difahami maknanya dan dituruti tuntutannya, maka bertambah lagi pahalanya.

Oleh kerana itu di Kaabah, ada kain kelambunya dihiasi dengan ayat-ayat al-Quran. Dalam Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa, penuh dengan ayat-ayat al-Quran.

Malah di masjid-masjid di negara kita, dimana sahaja, dihiasi dengan ayat-ayat al-Quran. Di rumah-rumah pun tidak ketinggalan.

Persoalan anda bukan sekadar mengenai ayat yang menghiasi masjid, tetapi ia menyentuh perihal cara atau stail penulisan ayat tersebut. Ia disebut sebagai khat.

Ia juga dikatakan sebagai kaligrafi Arab, dengan berbagai-bagai nama khat, seperti Nasakh, Raq`ag, Thulus, Diwani, Farsi dan pelbagai nama lain. Inilah yang menimbulkan masalah dalam penulisan.

Lihat semula, penulisan al-Quran yang diguna pakai pada hari ini dalam al-Quran Mushaf Uthmani sekarang ini, adalah berbentuk khat Nasakh. Jelas dan mudah dibaca.

Itulah sepatutnya yang ditulis pada dinding, atau dibuat 'frame' untuk digantung. Tujuannya untuk baca dengan mudah dan dimaknakan untuk difahami ayat tersebut.

Akan tetapi pengukir-pengukir ayat al-Quran mementingkan nilai seni khatnya, dengan sengaja mereka cipta bentuk-bentuk tulisan yang bersimpang-siur, masuk-memasuk huruf-hurufnya, yang awal dikemudiankan yang kemudian didahulukan, sehingga tidak diketahui mana pangkal mana hujungnya.

Disusun ayat-ayat itu dalam bentuk rupa orang yang sedang bertasyahud, rupa burung, rupa kapal dan sebagainya, maka hilanglah tujuan asal dipamerkan ayat-ayat tersebut untuk mudah dibaca.

Berubah kepada mengutamakan seni khat dan nilai keindahan, yang mereka cipta sahaja yang tahu apa ayatnya dan bagaimana membacanya sedangkan orang lain siapa pun tidak tahu membacanya.

Apa faedahnya ayat yang terang dan mudah dibaca, diubah kepada bentuk huruf sehingga tidak diketahui bagaimana hendak membacanya.

Pengalaman saya ketika berkunjung ke rumah seorang korporat ditunjukkan kepada saya sebuah 'frame' berupa perhiasan seolah-seolah lukisan atau 'modern art' yang amat tinggi nilai seninya.

Ada gambaran semacam pokok dan burung besar yang terbang, langit berawan dan terdapat titisan air hujan dengan kombinasi warna yang boleh dikatakan amat menarik.

Kawan saya itu memberitahu saya, dia membelinya dengan harga 10,000 pound sterling. Lukisan itu menggunakan ayat al-Quran. Lalu dia bertanya kepada saya apakah ayat itu dan bagaimana membacanya.

Saya gagal membacanya sehingga saya 'give up' saya tidak tahu membacanya. Akhirnya kawan saya memberitahu saya, ini adalah lukisan berteraskan kepada ayat seribu dinar.

Baru ternampak saya dihujung lukisan itu terdapat tulisan macam nombor dua, selepas itu ada semacam tulisan al-Thalaq. Ia adalah ayat seribu dinar iaitu ayat dua Surah at-Thalaq.

Saya menggeleng kepala kerana sudahlah harganya kira-kira 60,000; hendak dibaca pula tidak boleh.

Barangkali penulisnya mementingkan seni khat dan keindahan warna-warninya, sehingga hilang langsung fungsi ayat itu sebenarnya.

Maka akan sia-sialah ayat itu, sedangkan Allah SWT menyebut dalam al-Quran (mafhumnya): "Bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari al-Quran..." (al-Muzammil: 20)

Ayat ini bermaksud ialah al-Quran untuk mudah dibaca dan mudah dihafal. Jika hendak membacanya sukar, bagaimana hendak menghafalnya?

Oleh kerana itu saya nasihatkan, tulislah al-Quran dalam bentuk tulisan atau khat yang orang ramai mudah membacanya, bukan sengaja memayahkan perkara yang sememangnya mudah.

Jika nilai tulisan yang dibuat perhiasan itu begitu besar sehingga puluhan ribu ringgit, sedangkan nilainya sekadar sedap mata memandang sahaja, ia akan mengundang kepada pembaziran yang nyata.

Jika pembaziran berlaku, maka hukumnya adalah haram.

Oleh itu saya menyeru supaya tulisan ayat yang dipilih untuk diguna menghiasi dinding-dinding, hendaklah yang senang dilihat, senang dibaca dan senang difahami maknanya. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Monday, 14 March 2011

Umpama berteduh di bawah pohon rendang


Abdullah bin Mas`ud seorang sahabat yang juga murid setia Rasulullah saw, sentiasa berada di sisi Rasulullah. Dimana Rasulullah berada di situ Abdullah bin Mas`ud akan berada. Beliau akan meneliti dan mencatit setiap apa jua yang diucapkan oleh Rasulullah saw serta mengambil pengajaran dari setiap perbuatan Rasulullah. Demikianlah caranya Abdullah bin Mas`ud menimba ilmu.

Suatu ketika Abdullah bin Mas`ud melihat Rasulullah sedang berbaring, apabila baginda bangun dari tempat perbaringannya, Abdullah bin Mas`ud terlihat ada kesan jalur-jalur tikar di belakang Nabi, ini disebabkan tikar alas tidur Nabi diperbuat dari daun kurma yang kasar, maka kesan tikar itu amatlah ketara. Timbullah rasa belas kasihan di hati Abdullah bin Mas`ud.

Berkata Ibnu Mas`ud: "Ya Rasulullah, sekiranya kamu memerintahkan aku untuk mencari hamparan yang lembut untukmu nescaya aku akan berusaha mendapatkannya."

Tetapi Rasulullah saw bersabda yang bermaksud:

"Bagiku berada di dunia ini ibarat seorang yang berjalan di tengah panas lalu singgah sebentar berteduh di bawah sepohon kayu yang rendang, selepas beristirehat barang seketika untuk menghilangkan penat, maka beredarlah dia meninggalkan pohon rendang itu dan meneruskan perjalanan."

Sungguh jelas apa yang diperingatkan oleh Rasulullah saw kepada umatnya. Kehidupan di dunia ini seumpama seorang musafir yang berteduh di bawah pohon ketika hari panas. Sekadar singgah sebentar untuk menghilangkan penat selepas itu meneruskan kembali perjalanan. Dunia adalah tempat persinggahan dan juga untuk mencari persiapan yang akan dibawa ke sana.

Rasulullah menyebut ibarat berteduh sebentar di bawah pohon yang rendang, tetapi kadang kala manusia lalai dan leka. Mereka asyik dan terlena, lebih-lebih lagi jika pohon itu berbuah lebat. Berehat sambil menikmati buah yang ranum serta hembusan angin yang nyaman. Masa yang singkat tidak dihiraukan. Akhirnya mereka tertidur di bawah pohon tersebut.

Manusia yang dilalaikan dengan isi dunia pasti akan menghadapi penyesalan yang tidak sudah-sudah. Sebagaimana firman Allah SWT:

Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia, kami akan mengerjakan amal yang soleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin." (as-Sajadah: 12)

Justeru itu, beringatlah sentiasa. Segera beramal untuk bekalan di hari akhirat. Masa yang sangat singkat mestilah dihargai. Kesempatan hanyalah sekali, maka isilah kehidupan ini dengan amal kebaikan. Jika terlalai dan tersasar, maka kesempatan kedua tidak akan ada lagi.

Semoga menjadi peringatan bersama...

Sunday, 13 March 2011

Ada atau tidak titian as-sirat?

Soalan:

Sudah banyak kali saya dengar, orang yang ada ilmu menyebutkan bahawa titian siraat mustaqim, yang pernah dikatakan ada di atas neraka jahanam untuk dilalui itu, kata mereka tidak ada atau tidak sabit ada. Sedangkan kebanyakan orang berpegang dengan adanya titian tersebut. Saya agak keliru dan bingung, mohon pandangan.

Jawapan:

SAYA nasihatkan agar perkara-perkara ghaibiyat sebegini, jangan dijadikan isu.

Ada atau tidak ada titian as-sirat bukan siraatal mustaqim, di atas neraka jahanam itu, serahkan kepada ahli-ahlinya untuk memutuskannya.

Yang penting, kita perlu yakin ada hari akhirat, hari pembalasan ada. Syurga neraka ada. Tengoklah nanti, setelah kita dibangunkan di akhirat, ada atau tidak ada.

Jika ada, kita akan lintasinya. Jika tidak ada pun pasti kita dimasukkan ke syurga atau ke neraka. Wal`iyazubillah.

Oleh kerana soalan sedemikian, saya pun pernah ditanya dalam ceramah-ceramah dan ada yang telefon dan SMS. Maka saya terpanggil untuk menjawabnya.

Pada pengetahuan saya, sirat atau titian di atas neraka jahanam, untuk dilalui adalah benar wujud, tanpa sebarang keraguan.

Bagi yang mengatakan tidak wujud, saya hormati pandangan mereka, mungkin mereka ada hujah yang tersendiri.

Adapun hujah saya, saya sandarkan kepada al-Quran, as-Sunah dan ijma` ulama`.

Kita berbeza hanya pada tafsiran dan kefahaman sahaja. Sumber ambilan hukum adalah sama.

Perkara ghaib atau ghaibiyat, mestilah pegangan berdasarkan kepada al-Quran dan as-Sunah.

Dalam al-Quranul Karim, Allah berfirman (mafhumnya): "Dan tiada seorang pun di antara kamu melainkan akan sampai kepadanya; (yang demikian) adalah satu perkara yang mesti (berlaku) yang telah ditetapkan oleh Tuhanmu. Kemudian Kami akan selamatkan orang-orang yang bertaqwa dan Kami akan biarkan orang-orang yang zalim (dengan kekufurannya dan maksiatnya) tinggal berlutut di dalam neraka itu." (Maryam: 71 - 72)

Dalam tafsir al-Qurtubi, juzuk 11 halaman 136, ketika membuat tafsiran ayat di atas ada disebutkan: "Perkataan 'wariduha' di dalam ayat di atas, menurut firqah ulama`, adalah melintasi laluan as-sirat di atas neraka."

Firman Allah (mafhumnya): "(Mata hati orang-orang yang menderhaka itu rosak) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa menghapuskan bentuk dan biji mata kepala mereka menjadi rata, sehingga masing-masing menerpa mencari-cari jalan (yang biasa mereka lalui). (Kiranya dijadikan demikian) maka bagaimanakah mereka dapat melihatnya? (Kekuatan akal fikiran mereka juga tidak sihat) dan kalau Kami kehendaki, Kami berkuasa mengubahkan keadaan jasmani mereka (menjadi kaku beku) di tempat yang mereka berada padanya; maka dengan itu, mereka tidak dapat mara ke hadapan dan juga tidak dapat undur ke belakang." (Yaasin: 66 - 67)

Di dalam tafsir al-Qurtubi juga, pada juzuk 15 halaman 50, ada disebut yang bermaksud: "Diriwayatkan bahawa Abdullah bin Salam, membuat tafsiran ayat di atas dengan katanya yang bermaksud: (Di hari kiamat, titian as-sirat, dibentangkan di atas neraka, lalu seruan dilaungkan agar Nabi Muhammad saw dan umatnya melintasi sirat itu terlebih dahulu. Apabila mereka berada di atas titian as-sirat itu, yang menderhaka Allah di kalangan umat Muhammad, akan dibutakan mata mereka, meraba-raba di dalam kegelapan dan terjatuh ke dalam neraka. Sedangkan yang beriman terselamat daripadanya."

Dalam hadis Sahih Muslim, Rasulullah saw bersabda dengan jelas (mafhumnya): "Kemudian, dijadikan Allah (al-Jisru), iaitu laluan atau jambatan di atas neraka jahanam. Lalu ditanya kepada Rasulullah saw, apakah itu al-Jisru? Jawab baginda, itu adalah laluan yang akan mudah tergelincir kaki dan jatuh ke bawah. Tetapi akan terselamat orang yang benar-benar imannya, dan akan tergelincir jatuh ke neraka orang yang menderhakai Allah SWT."

Di dalam Kitab al-Aqidah al-Islamiyah wa-Khususuha karangan Abdul Rahman Hassan al-Maidani, di halaman 659 (kitab yang amat tebal) ada tajuk besar 'as-Sirat' (Titian), diulas panjang lebar dan dengan jelas.

Pengarang mengatakan, "as-Sirat (Titian) wujud. Ia adalah laluan di atas neraka jahanam. Semua manusia pasti melaluinya.Orang mukmin yang benar imannya, merentasi sirat itu dengan laju dan mudah. Yang derhaka kepada Allah, yang kufur, akan jatuh ke dalam neraka."

Beliau berhujah dengan ayat 71 dan 72 surah Maryam yang saya sebut pada awal-awal tadi. Al-Imam an-Nawawi rahimahullah, dalam Kitab Syarah Muslim menyebut: "Sesungguhnya, telah berijma' ulama' salaf tentang wujudnya as-sirat iaitu suatu jisr (jambatan) atas neraka yang akan dilalui oleh kesemua manusia, al-mukminun terselamat, yang lainnya terjatuh ke dalam neraka."

Itulah pandangan dan pilihan saya dalam permasalahan ini. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Friday, 11 March 2011

Ibrah dari seekor ibu kucing


“Subhanallah...” Saya menarik nafas dalam-dalam.

Tidak semena-mena perasaan tenang dan tenteram menyelinap ke dalam diri, puas. Ketenangan yang tidak mampu saya ungkapkan dengan kata-kata, tetapi saya merasai dan menikmati ketenangan itu. Suasana yang bening di dalam rumah Allah menambahkan lagi ketenangan yang hadir. Tenang, damai dan mendamaikan. Mungkin orang lain juga merasainya seperti saya, entahlah.

“Agaknya ketenangan dari keberkatan majlis ilmu di rumah Allah,” saya menduga tetapi penuh keyakinan.

Teringat ungkapan Rasulullah saw bahawa majlis ilmu adalah seumpama taman syurga. Bertuah sesiapa yang mendapatnya, taman syurga di dunia. Itupun ketenangannya sukar digambarkan, bagaimana pula jika taman syurga yang sebenarnya diakhirat kelak. Pasti berlebih-lebih lagi.

Satu hadis riwayat Bukhari dan Muslim, daripada Abu Hurairah ra berkata, Rasulullah SAW bersabda (yang bermaksud): Allah SWT berfirman: “Aku sudah menyediakan buat hamba-Ku yang soleh sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga serta belum pernah terlintas oleh hati seseorang."

Manakala para malaikat pula memayungkan mereka yang berada di dalam majlis ilmu dengan sayap-sayapnya.

Sabda Rasulullah saw: “Sesungguhnya para malaikat mengembangkan sayap-sayapnya kepada para penuntut ilmu, kerana redha dengan apa yang dilakukannya.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Betapa besarnya kelebihan majlis ilmu bagi mereka yang mengerti.

Majlis ilmu

Malam ini kuliah maghrib membahaskan buku “Apa Ertinya Saya Menganut Islam” karangan al-marhum Syeikh Dr Fathi Yakan. Seorang tokoh Islam yang cukup dikenali. Beliau telah meninggal dunia pada tanggal 13 Jun 2009 pada usia 76 tahun. (semoga Allah merahmatinya)

Saya memperkemaskan sila, sabar menunggu gugusan mutiara ilmu yang akan terbit dari ulas bibir sang ustaz.

Saya melihat kiri dan kanan, wajah-wajah yang sentiasa melazimi majlis ilmu. Ada rona ceria dari raut wajah mereka. Ada juga yang sudah mengangkat punggung seusai solat maghrib tadi.

“Ada hal yang lebih penting agaknya,” saya cuba bersangka baik.

Alhamdulillah, amat menarik kuliah yang disampaikan. Saya cukup teruja mendengarnya. Laju tangan saya mencatat butir-butir pengajaran sebagai nota ilmu. Sekurang-kurangnya ada sesuatu yang boleh saya bawa balik. Teringat kata-kata murabbi di zaman belajar dahulu agar sentiasa membawa pen dan kertas.

“Kemana sahaja kamu pergi pastikan ada pen dan kertas untuk mencatat, itu syarat dalam menuntut ilmu. Jika kamu menuntut ilmu tanpa membuat sebarang catatan, itu seumpama kamu menulis di atas takungan air. Tidak akan memberi bekas apa yang disampaikan, sekadar riak-riak di permukaan sahaja.” Begitu dalam kiasan dan saya memegang erat azimat berharga sang murabbi.

Ibrah dari seekor ibu kucing

Tatkala kuliah maghrib hampir menuju ke penghujung, tiba-tiba seekor ibu kucing melalui di celah-celah peha jemaah sambil menggonggong anaknya.

Ibu kucing tersebut membawa anaknya ke ruang hadapan masjid lalu meletakkannya di tepi rak sejadah. Selepas itu ia balik semula mengambil anaknya yang lain membawa ke tempat yang sama sehingga cukup tiga ekor.

Saya memerhati dengan penuh minat.

Mungkin kerana agak terganggu dengan suara anak kucing yang mengiau-ngiau, seorang pakcik bergegas menangkap ibu kucing itu bersama anaknya lalu membawa ke luar. Tidak berapa lama kemudian, ibu kucing tadi menggonggong semula anaknya lalu membawa ke tepi rak sejadah tadi.

“Haa...tengok betapa sayangnya dia pada anaknya,” kata ustaz.

Hati saya berdetik. Benar-benar tersentuh dengan kelakuan ibu kucing tersebut, betapa hebatnya. Kasih ibu!

Firman Allah SWT:

“Kami wasiatkan kepada manusia, supaya ia berbuat baik kepada ibu bapanya. Ibunya yang mengandung dia dengan berbadan lemah yang berlipat ganda, melahirkannya dan menyusukannya, dan mencerainya dari susu sesudah dua tahun lamanya. Sebab itu hendaklah berterima kasih kepada-Ku dan kepada ibu bapamu.” (Luqman: 14)

Kehidupan seorang manusia, sebahagian besarnya bergantung kepada belaian kasih sayang dan kasih mesranya seorang ibu. Ibulah yang mengandungkan dengan seribu kepayahan, ibulah yang melahirkan sehingga bersabung nyawa diantara hidup dan mati, dialah yang menyusukan, memandikan dan menyuap makan. Beratnya beban yang ditanggung oleh seorang ibu.

“Syurga di bawah tapak kaki ibu” ungkapan yang menggambar ketinggian seorang ibu. Kita sering terlupakannya. Tidak sempat membayangkan jika ada anak yang membenci ibunya sendiri. Malahan ada yang membenci sehingga peringkat membentak ibunya. Ada yang sanggup berkata “Aku tidak diminta dilahirkan di dunia ini.” Benci yang teramat sangat.

Sesungguhnya ibu juga tidak minta mengandung dan melahirkan kita. Apa guna mengandung dan melahirkan seorang pembenci. Namun kerana sifat kasih sayang, kita menumpang selama sembilan bulan di dalam alam rahim. Ibu tidak pernah menyesal melahirkan kita.

Sahabat sekelian! Renungkanlah betapa besarnya fungsi wanita sebagai ibu.

“Ketika datang seorang kepada Rasulullah SAW lalu bertanya: “Siapakah orang yang paling berhak saya pergauli dengan baik? Jawab baginda: Ibumu.” Kemudian siapa lagi? Jawabnya lagi: “Ibumu! Kemudian siapa? Jawabnya: “Ibumu! Dan lalu siapa? Jawab baginda: “Ayahmu! (Bukhari dan Muslim)

Terima kasih Tuhan!

Manusia perlu kepada petunjuk dan didikan Allah. Sama ada melalui ayat-ayat Allah SWT yang termaktub di dalam kitab-Nya ataupun dengan memerhati pada kejadian alam ini.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Aali-Imraan: 191)

Kadang-kadang Allah mendatangkan pelajaran pada beberapa peristiwa yang berlaku di sekeliling kita. Maknanya segala apa yang berlaku itu pasti ada hikmah dan tujuannya. Perkara yang berlaku itu akan membawa kepada perkara yang lain dan akan mencetuskan kesan yang lain. Sambung-menyambung dan kait-berkait dengan benda-benda yang lain. Ini hanya akan kita rasai apabila kita merenung dan berfikir.

Dalam kehidupan seharian, tentunya kita sentiasa bersua dengan berbagai-bagai kejadian atau peristiwa. Ada peristiwa lucu, sedih, takut, bimbang dan sebagainya. Demikianlah perjalanan hidup manusia, memang begitu.

Tetapi apakah yang ada di fikiran kita tatkala melihat dengan sesuatu peristiwa atau kejadian. Adakah kita peduli, kebanyakannya kita hanya melihat apa yang berlaku dengan pandangan yang kaku tanpa memikirkan hikmah atau pengajaran. Kita tidak mengambil ibrah yang tersirat sedangkan setiap yang berlaku adalah dari Allah SWT dan pastinya ia tidak sia-sia.

Entah mengapa malam ini lena saya terganggu. Seraut wajah kasih ibu menerpa di ruangan mata. Apa khabar ibu ketika ini, lenakah tidurnya, selerakah makannya. Tiba-tiba perasaan ini menjadi sebak dan hiba.

Maha Suci Allah. Sesungguhnya ibrah yang Dia datangkan melalui ibu kucing tadi benar-benar memberi makna yang amat menyentuh hati. Menusuk ke sanubari yang paling dalam, hingga gugur air mata saya.

Terima kasih Tuhan.

Thursday, 10 March 2011

Kembara Mencari Hamba: Biarlah seperti burung kecil itu


Saya memang suka menulis. Tetapi saya bukanlah seorang penulis yang baik, banyak yang perlu saya pelajari selok belok dunia penulisan ini dan saya benar-benar mengakuinya.

Jika sahabat membaca tulisan-tulisan di dalam blog saya, kebanyakannya berkisar kepada nasihat dan tazkirah. Memang itulah niat saya ketika mewujudkan blog abuikhwan ini. Saya berharap dapat berkongsi sedikit pengetahuan yang dikurniakan oleh Allah SWT. Mudah-mudahan dengannya kita semua mendapat manfaat. Tetapi yang lebih utama nasihat dan peringatan tersebut lebih kepada diri saya sendiri. Itulah yang sentiasa saya ingat dan sematkan di dalam diri.

Mengapa pentingnya peringatan dan nasihat-menasihati dalam kehidupan manusia? Apa yang saya rasa kehidupan ini adalah sesuatu yang hebat, dan indahnya pula apabila kita saling ingat-mengingati dan nasihat-menasihati dalam perkara kebenaran. Ini bermakna di dalam diri kita masih ada sifat peduli dan ambil tahu, darinya akan menumbuhkan rasa kasih sayang sesama insan. Betapa damai dan tenangnya apabila hidup dalam suasana kasih sayang.

Menebarkan kasih sayang dan perhatian melalui nasihat dan peringatan sesama insan tidak perlu mengeluarkan belanja yang mahal. Ia hanya memerlukan kesungguhan dan rela dalam melakukannya. Demikianlah, kita adalah hamba yang dicipta dengan bibit-bibit kemurahan hati untuk berkongsi kebaikan. Besarnya kurniaan Tuhan.

Semua ada peranan

Sesungguhnya setiap orang perlu berperanan dalam menyebarkan kebaikan dan mencegah keburukan. Sumbangan itu bukanlah perlu yang besar-besar sebaliknya mengikut kemampuan masing-masing. Jika ada yang boleh berceramah dan mengajar, maka dengan mengajar. Yang mampu menulis hendaklah menulis, biarpun sebaris ayat. Di peringkat yang lebih tinggi iaitu yang ada kuasa, maka gunakan kuasa yang ada untuk menyebarkan kebaikan dan menghalang kemungkaran. Tidak kira siapa, kewajipan berdakwah pasti ada. Ingatlah sekecil-kecil dakwah ialah pada diri sendiri.

Allah SWT tidak pernah bertanya sama ada kita berjaya atau tidak dalam usaha itu, tetapi yang akan ditanya ialah sama ada kita melakukan usaha itu atau tidak. Ambillah kisah seekor burung kecil yang pada ketika Nabi Ibrahim as. dibakar oleh Raja Namrud, bersungguh-sungguh menyiram api menjulang itu dengan mencurahkan air yang ditampung di dalam paruhnya. Jika difikirkan apalah sangat usaha yang sedemikian, takkan terpadam api yang menjulang raksasa itu.

Namun, apabila ditanya kepada burung itu apakah dibuatnya kerana tidak mungkin api itu padam dengan perbuatannya yang nampak sia-sia itu, burung itu berkata dia takut kepada Allah SWT, ia hanya menjalankan tanggungjawab untuk menegakkan kebenaran dan menghalang kejahatan; untuk api itu padam bukan urusannya, itu urusan Allah SWT, Sang Pencipta alam ini. Ertinya burung itu menjalankan peranan setakat yang mampu dilakukannya. Walaupun kisah ini dikatakan bersumberkan israiliyyat tetapi inilah contoh yang perlu kita ambil dalam menyebarkan kebaikan.

Kembara mencari hamba

Sukarnya mencari jiwa hamba...

Firman Allah SWT:
“Wahai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah dan Dialah Allah Yang Maha Kaya (tidak bergantung kepada apa jua pun) lagi Maha Terpuji.” (Al-Faatir: 15).

Seringkali saya bertanya pada diri. Mengapakah dalam kehidupan sehari-hari kita kurang menghayati makna jiwa hamba. Setiap hari kita selalunya bertindak selaku ‘tuan’, tidak sebagai hamba. Maka, dengan itulah terbitnya keegoan, kesombongan, riya` dan segala macam sifat mazmumah. Demikianlah yang mewarnai kehidupan kita sehari-hari. Tambahan pula, tanpa merasa diri ini hamba kepada Tuhan, maka kita juga jarang mengingati-Nya dan kurang berusaha untuk mendekati-Nya.

Kerana itulah motto blog abuikhwan ini adalah “Kembara Mencari Hamba”, sebagai satu peringatan buat diri saya. Hidup ini adalah satu pengembaraan menuju destinasi iaitu menggapai kemuliaan di sisi Tuhan. Mereka yang bagaimanakah yang mendapat kemuliaan di sisi Tuhan? Tentunya seorang hamba Allah, hamba kepada Allah. Oleh itu biarlah perjalanan hidup kita ini semata-mata untuk mencari sifat kehambaan kepada Allah.

Setiap insan mahu menjadi hamba Allah. Tanyalah kepada sesiapa pun. Tetapi adakah hamba Allah sekadar di mulut atau hamba Allah yang kita tuliskan di dalam borang derma, ‘Hamba Allah”???

Oleh itu, saya menyeru marilah kita menjadi hamba Allah yang sebenarnya. Hamba Allah yang tunduk dan patuh pada perintah-Nya dan dalam masa yang sama kita meninggalkan tegahan-Nya.

“Dan tidaklah Aku menjadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepada-Ku.” (Al-Zaariyat: ayat 56)

Oleh itu, marilah kita sama-sama memikirkan, adakah kita mempunyai sifat seorang hamba kepada Tuhannya atau masih lagi menganggap dirinya seorang ‘tuan’?

Marilah kita sama-sama berusaha menggapainya...Hamba itu mulia, hamba itu bahagia.

“KEMBARA MENCARI HAMBA” biarlah seperti burung kecil itu.....

Saudara kalian,
abuikhwan,
Kuantan, Pahang

Wednesday, 9 March 2011

Travelog Shahadah dan Travelog Hidayah

Allah SWT berfirman:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu keterangan-keterangan (dalil-dalil dan bukti) dari Tuhan kamu, oleh itu sesiapa melihat (kebenaran dan menerimanya) maka (faedahnya terpulang) kepada dirinya sendirinya, dan sesiapa yang buta (dan enggan menerimanya) maka (bahayanya tertimpalah) ke atas dirinya sendiri. Dan tiadalah saya berkewajipan menjaga dan mengawasi kamu." (al-An`am: 104)

Buku Travelog Shahadah dan sambungannya Travelog Hidayah

Hakikat perjalanan sebuah kehidupan, tiada siapa yang mampu menduga apa yang akan berlaku dalam diari kehidupan masa hadapan. Apa pun perancangan kita, di sana ketentuannya pasti akan kembali kepada Allah. Kerana Dialah jua yang Maha Berkuasa lagi Maha Berkehendak. Kadang-kadang kita mahukan sesuatu, namun Allah kurniakan sebaliknya.

Demikianlah muqaddimah yang saya baca di dalam buku pertama "Travelog Shahadah".

Buku ini mengisahkan suka duka perjalanan hidup penulis sebelum memeluk Islam sehingga mengucap dua kalimah syahadah pada pagi yang bersejarah.

Lahir dalam keluarga yang beragama Kristian tanpa pegangan yang kukuh mahupun apa-apa petunjuk dan panduan bagi menempuhi asam garam kehidupan. Semua ini mengajar erti kesabaran, mujahadah dan menghayati prinsip-prinsip agama selepas memeluk Islam. Selama 22 tahun hidup dalam jahiliah. Terlalu banyak onak duri yang ditempuhi. Namun ternyata kasih sayang Allah terlalu besar dan luas. Di saat segala-galanya kian jauh dan semakin jauh, Allah menunjukkan beberapa tanda-tanda kekuasaan-Nya, sehingga meyakinkan bahawa agama Islam itu adalah benar. Betapa hebatnya dan sempurnanya syariat Islam sehingga mampu mengubah seluruh kehidupan penulis.

Sesungguhnya hidayah itu milik Allah walaupun pelbagai onak duri di tempuhi Allah tetap memilih dirinya untuk bersama Islam. Akhirnya, di bumi barakah Kelantan Darul Naim beliau dipermudahkan untuk melafazkan kalimah syahadah. Niat murni beliau untuk mendalami Islam seterusnya mengajar pula kepada orang lain dikabulkan Allah SWT.

Membaca buku ini amat menyentuh perasaan, betapa hidayah Allah itu amat mahal harganya. Lebih mahal lagi apabila hidayah itu didapati dengan 1001 kepayahan, penderitaan dan tekanan berbanding hidayah yang didapati dengan 'terpijak'. Kadang-kadang sesuatu yang mudah didapati mudah juga perginya. Setelah ia pergi maka sulitlah mahu merebutnya kembali. Itulah kebimbangan saya. maka jagailah ia sebaik-baiknya.

Benarlah kata Imam al-Ghazali: "Apabila yang dicari itu sesuatu yang berharga maka panjangnya jalan menuju dan banyak pula rintangan yang menghalang."

Banyak bait-bait mutiara ilmu dan permata hikmah yang kedapatan di dalam buku ini. Apatah lagi ia ditulis berdasarkan pengalaman sebenar penulis yang jika dihayati akan menyedarkan kita tentang kekuasaan Allah untuk memberi hidayah kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Ustaz Muhammad Rashidi Abdullah

Ustaz Muhammad Rashidi Abdullah dilahirkan di Kuching, Sarawak pada 22 Disember 1980. Memulakan alam persekolahan di SRK Kg Selampit, Lundu dan seterusnya ke SMK Lundu dalam bahagian Kuching. Memeluk Islam pada tahun 2002 dan mendaftar secara rasminya pada 23 September 2003 di M.A.I.Selangor. Kemudian mengikuti pengajian awal dalam bidang agama di Institut Dakwah Islamiah PERKIM ,Kelantan. Seterusnya ke Madrasah Al-Irsyad, Penang, Kuliyyah Pondok Darul Nai’m, Kelantan dan Madrasah Al-Hidayah, Terengganu.

Berasal dari keluarga yang menganuti Kristian Katolik, manakala ibu dan 2 orang abang beliau merupakan penganut yang taat dan mempunyai jawatan dalam gereja. Beliau sendiri pernah menjadi pembantu paderi selama beberapa tahun sebelum mengambil keputusan untuk memeluk Islam. Telah berjaya mengislamkan 13 individu termasuk 1 keluarga sepanjang berdakwah dilapangan dakwah melalui internet, diskusi dan lain-lain.

Kini aktif menyampaikan ceramah, kuliah, membentang kertas kerja, ahli panel forum di jabatan-jabatan kerajaan, badan-badan korporat dan swasta, institusi pendidikan seperti SMK, Universiti dan Institut Latihan, masjid dan surau seluruh negara, beliau juga sering dijemput oleh jabatan kerajaan, swasta mahupun institusi pendidikan dan syarikat-syarikat motivasi dan latihan ke program atau kem remaja sebagai penceramah, ketua fasilitator mahupun sebagai pengarah program.

Saya bersama Ustaz Muhammad Rashidi Abdullah semasa satu program di Negeri Terengganu

Tuesday, 8 March 2011

Didikan dari-Nya, merenung dan memerhati


Perjalanan hidup manusia dari dahulu hingga kini menempuh berbagai-bagai peristiwa. Apa sahaja yang berlaku adalah sejarah yang melukiskan putaran roda kehidupan manusia yang dengannya tersimpan hikmah dan pelajaran.

Semua peristiwa yang berlalu itu harus kita mengerti dan kita pelajari sehingga kita memahami bahawa itulah didikan dari Allah SWT. Untuk itu, apapun yang berlaku baik ditimpa sesuatu musibah atau menerima sesuatu nikmat, hendaklah ditanyakan pada diri sendiri, “apakah pelajaran yang di sebalik semua ini?” Fikirkanlah, semua yang berlaku ke atas kita pasti ada tujuan yang tertentu, maka barulah hidup kita sentiasa bertujuan. Kata ahli-ahli sufi, setiap yang berlaku dalam hidup ialah ‘mehnah’ – maksudnya didikan terus dari Allah. Kuncinya adalah BERFIKIR.

Manusia perlu kepada Tuhan. Justeru itu mereka perlu mengenal Tuhan. Kenal dengan merenung dan memerhati ayat-ayat Allah yang dibaca. Begitu juga kenal dengan memerhati dan berfikir akan kejadian alam ini. Semua ini akan memutikkan rasa kehebatan Allah SWT dan begitu kerdil dan lemahnya diri kita.

Firman Allah SWT:

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.” (Aali-Imraan: 191)

Inilah yang cuba saya selami.

Pokok cili tumbuh disebelah pokok mempelam. Tegak di atas tanah yang sama, menyedut air dan galian yang sama tetapi berbeza rasa. Cili rasanya pedas manakala mempelam rasanya manis. Tidak pula cili menjadi manis kerana duduk di sebelah pokok mempelam.

Saya memerhati seekor ibu ayam memimpin anak-anaknya mencari makan. Mencakar-cakar tanah dan berketak memanggil anak-anaknya. Jika ada yang mengganggu, si ibu akan mengejarnya dengan kepak yang mengembang. Saya takjub melihat kasih sayang ini.

Demikianlah kebesaran Allah SWT.

Fitrah manusia, memerhati dan berfikir untuk memahami rahsia alam dan kehidupan. Seterusnya menghadirkan cinta, kasih dan taat pada-Nya. Justeru itu, renungilah hakikat kehidupan ini, andai kita punya mata hati pasti kita akan memahami.

"Tidakkah kamu berakal untuk memikirkannya?" (al-Baqarah:76)

Monday, 7 March 2011

Cetusan rasa: Buntu

Buntu.

Otak menjadi beku, akal kelam untuk berfikir.

Entah kenapa.

Saya menjadi resah dan gelisah. Fikiran menerawang sehingga hilang tumpuan. Minda menjadi sarat dengan serabut yang bersarang. Jari menjadi kaku untuk mencoret sesuatu. Beberapa artikel yang saya karang semuanya mati di tengah jalan. Seperti ada yang tidak kena. Menulis tanpa 'rasa' bukanlah sesuatu yang menyenangkan.

"Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana." (Surah Al-Fath: 4)

Mudah-mudahan dengan coretan yang pendek ini saya dapat menghitung diri untuk mengesan punca segala kekusutan ini.

Saturday, 5 March 2011

Benarkah "tabut" boleh datangkan "sakinah"?

Soalan:

Saya hendak tanya berkenaan "tabut" yang ada "sakinah" yang dikurniakan Allah kepada Thalut semasa melawan Jalut. Apa maksudnya?

Jawapan:

KISAH yang saudara ajukan persoalan di atas terkandung dalam al-Quranul Karim, sebagaimana firman Allah (mafhumnya): "Dan Nabi mereka berkata, berkata lagi kepada mereka: "Sesungguhnya tanda kerajaan Thalut itu (yang menunjukkan benarnya daripada Allah) ialah datangnya kepada kamu peti (Tabut) yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa (sakinah) daripada Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian daripada apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga nabi-nabi Musa dan Harun; peti (Tabut) itu dibawa oleh malaikat. Sesungguhnya peristiwa kembali Tabut itu mengandungi satu tanda keterangan bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman." (al-Baqarah: 248)

"At-Tabut" dalam ayat di atas bermaksud, sebuah peti yang diperbuat daripada kayu keras. Ia wujud sejak zaman Nabi Adam as. dan dipusakai turun temurun, sehingga ke zaman Nabi Yaakub as. Ia dikurniakan kepada Bani Israil, ia wujud pada zaman Nabi Daud as.

Terlalu banyak cerita tentang "tabut" ini, penuh dengan keajaiban. Yang penting, seperti yang tersebut di atas, padanya (di dalamnya), berisi barang-barang pusaka peninggalan Nabi Musa dan Nabi Harun, di antaranya tongkat, saki baki papan halwah yang tertulis padanya at-Taurah, pakaian, kasut dan peralatan kedua-dua nabi tersebut.

Apabila masyarakat pada zaman Nabi Syam`un bertelagah mengenai Raja yang mereka minta dinamakan Raja tersebut kepada mereka, sedangkan Allah memilih Thalut sebagai Raja.

Masyarakat tersebut menolak perlantikan Raja atas alasan Thalut miskin dan tidak layak menjadi Raja. Mereka bertelagah. Maka nabi mereka menyatakan bahawa, bukti nyata Thalut menjadi Raja adalah "at-Tabut" yang hilang daripada jagaan mereka yang bertanggungjawab, akan dibawa semula oleh malaikat kepada mereka, dengan meletaknya benar-benar di hadapan Thalut (Raja).

Semua manusia menyaksikannya, "tabut" itu diambil oleh Thalut dan disimpan di rumahnya.

"Tabut" itu mengandungi barang-barang yang ada di dalamnya 'sakinah' yang bermaksud kedamaian dan ketenangan. Ia adalah penyelesaian kepada masalah.

Terbukti dengan datangnya "tabut" itu, hati-hati manusia yang keras dan gusar gulana melawan perintah Allah dan ketentuan-Nya di dalam pemilihan Raja, tiba-tiba menjadi 'sakinah'.

Mereka menerima dan menghormati kenabian Syam`un , serta menghormati Raja mereka iaitu Thalut dan mereka bersedia menjadi tentera untuk melawan Jalut.

Jalut adalah Raja `Amaliqah, bersiap sedia melawan Thalut dengan tenteranya. Menurut satu riwayat, tentera Jalut mengandungi 90,000 orang tentera, namun mereka ditewaskan oleh tentera Thalut dengan izin Allah SWT. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Friday, 4 March 2011

Adakah makhluk lain seperti manusia di planet selain bumi?

Soalan:

Apakah wujud makhluk Allah seperti manusia, wujud di dunia kita ini sahaja, apakah di planet-planet yang lain manusia ini tidak wujud? Adakah terdapat petunjuk-petunjuk di dalam al-Quranul Karim tentang kewujudan makhluk-makhluk seperti manusia, di mayapada ini, selain daripada yang berada di atas muka bumi ini. Semoga boleh menjelaskan persoalan ini. Terima kasih.

Jawapan:

Sewaktu Allah hendak menciptakan Adam as. menjadi penghuni di muka bumi ini, Allah memberitahu kepada malaikat bahawa Allah SWT hendak menjadikan khalifah di muka bumi.

Malaikat lantas bertanya kepada Allah, adakah Allah hendak menjadikan makhluk di atas muka bumi ini, iaitu manusia yang akan melakukan kerosakan dan pertumpahan darah dengan berbunuh-bunuhan sesama mereka.

Kisah ini dirakam Allah dalam firman-Nya (mafhumnya): "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi." Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikankan-Mu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya." (al-Baqarah: 30)

Malaikat adalah makhluk Allah bukan fizikal. Dicipta daripada nur (cahaya), tidak berdarah, berdaging atau bertulang.

Pertanyaan malaikat kepada Allah tersebut merujuk kepada tentulah dijadikan alam manusia, berbentuk, berjisim, berdarah, bertulang dan berurat seperti kita, di mana-mana planet yang ada, sebelum daripada adanya Adam.

Makhluk itu dikatakan berbunuhan sesama sendiri, menunjukkan bahawa makhluk tersebut ada di mana-mana.

Makhluk Allah sudah ramai. Di atas muka bumi ini sahaja pun sudah ramai. Di seluruh mayapada ini, lagi-lagilah ramai.

Bukan sahaja makhluk yang tidak dapat dilihat oleh mata kepala, sememangnya ramai. Yang dapat dilihat pun, di bumi ini, amat banyak.

Lihat kepada cakrawala, berapa banyak bilangan bintang-bintang di langit.

Saya pernah terbaca satu artikel tentang cakrawala, ada ditulis oleh astronomous (ahli kaji bintang), bahawa ada teropong terbesar angkasa di Bukit Baloma (Mount Baloma Telescopic), dikatakan pernah merakam secara digital bilangan objek-objek dari bintang-bintang dan planet di angkasa, begitu banyak sehingga dikatakan mencapai lima puluh angka semuanya.

Jika tujuh angka sudah 1 juta (1,000,000). Kalau 50 angka, bayangkan berapa banyaknya? Angka-angka ini menunjukkan betapa banyaknya bintang yang mengerdip di langit.

Dari bumi, jika kita mendongak ke angkasa di malam yang cerah berseri, kita boleh melihat jutaan bintang-bintang.

Seandainya kita boleh bergerak dan beredar di mana-mana sahaja di bumi, pergi ke planet-planet di angkasa dan melihat semula ke arah bumi kita ini, nescaya kita akan dapati bumi kita ini adalah satu dot (titik) yang halus dan kecil daripada berbilion bintang di angkasa.

Maka jika kita bertanya diri kita, apakah daripada berbilion biji bintang, yang sama dapat kita lihat di angkasa, hanya di bumi sahaja ada manusia dan di lain tidak? Mungkin persoalan ini sukar dijawab.

Tetapi kita merujuk kepada al-Quranul Karim, kitab hidayah, kitab petunjuk, kita yang ada di dalamnya segala-galanya.

Rujuk di dalam al-Quran, firman Allah (mafhumnya): "Ia menciptakan langit dengan tidak bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya; dan Ia mengadakan di bumi gunung-ganang yang menetapnya supaya bumi itu tidak menghayun-hayunkan kamu; dan Ia biakkan padanya berbagai jenis binatang. Dan Kami menurunkan hujan dari langit, lalu Kami tumbuhkan di bumi berbagai jenis tanaman yang memberi banyak manfaat." (Luqman: 10)

Ayat ini menceritakan mengenai makhluk di bumi. Disebut dalam ayat di atas dalam bahasa Arab disebut perkataan 'baththa'. Dalam kamus Arab, 'baththa' bermaksud menyelerakkan atau menghambur atau menabur ke merata-rata tempat dan sebagainya.

Allah juga menyebut perkataan 'daabbah' dalam ayat itu. Bermaksud makhluk hidup yang melata, berjalan atau merayap di atas muka bumi daripada jenis manusia, haiwan, serangga dan sebagainya.

Yang penting istilah 'daabbah' ini merujuk kepada manusia. Manusia sebahagian daripada 'daabbah'.

Ada tersebut dalam ayat 29 surah as-Syuura, merujuk kepada 'daabbah' juga, tetapi yang merujuk kepada yang di luar daripada bumi, termasuk di bumi.

Dalam konteks makhluk pada ayat di atas, ada disebut oleh Allah dalam firman-Nya (mafhumnya): "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang Ia biakkan pada kedua-duanya daripada makhluk-makhluk yang melata; dan Ia Maha Kuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Ia kehendaki (melakukannya). (as-Syuura: 29)

Ayat 10 surah Luqman dan ayat 29 surah as-Syuura ini menceritakan perihal makhluk yang melata (daabbah), ada di bumi termasuk padanya manusia, dan ayat yang sama untuk makhluk melata (daabbah), yang dihambur atau diserakkan atau ditaburkan di antara langit dan bumi.

Malah dalam beberapa ayat, Allah sentiasa menyebut, bertasbih memuji Allah SWT di kalangan makhluk-makhluk yang berakal di langit-langit dan juga di bumi.

Allah mengulang ayat ini beberapa kali. Ini merujuk kepada makhluk yang dirujukkan kepada istilah dalam bahasa Arab iaitu 'Man'. Ianya merujuk kepada makhluk-makhluk yang berakal tidak sahaja berada di muka bumi ini. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din