Sahabat Sejati

Friday 4 February 2011

Sebelum terlambat...

Taubat menurut bahasa ialah KEMBALI. Menurut istilah maksudnya ialah kembali taat kepada Allah SWT setelah sebelumnya berbuat derhaka kepada-Nya.

Sesungguhnya tidak ada manusia pun yang terlepas dari melakukan dosa dalam perjalanan kehidupannya sehari-hari, sebab perkara ini sememangnya merupakan kekurangan manusia. Besar atau kecil kekurangan itu bergantung kepada peribadi manusia itu masing-masing dan sememangnya berbeza-beza. Tetapi pada asalnya kekurangan itu pasti ada dan tidak dapat dihindari sama sekali. Walaupun demikian, Allah SWT masih memberikan kesempatan kepada hamba-Nya untuk kembali bertaubat.

Taubat adalah merupakan penawar bagi setiap orang yang terkena penyakit jiwa. Taubat juga merupakan ubat bagi perbuatan-perbuatan yang buruk dan keji. Itulah taubat, jalan yang perlu dilalui untuk menuju kepada Allah SWT.

Rasulullah saw pernah bersabda kepada Aisyah rha: "Jika engkau melakukan dosa dan bukan merupakan kebiasaan, maka mohonlah ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya, kerana apabila seorang hamba mengakui dosanya, kemudian dia bertaubat kepada Allah, nescaya Allah akan mengampuni dosanya." (Riwayat Bukhari, Muslim dan Ahmad)

Sesungguhnya taubat yang dapat mengubati dosa dan menghilangkan ajakannya adalah taubat yang sebenar-benarnya iaitu yang seikhlas-ikhlasnya. Isilah taubat yang seikhlasnya itu dengan keinsafan dan memandang buruknya dosa yang dilakukan.

Penuhilah hati dengan perasaan sedih serta sesalan yang teramat. Kuatkanlah keinginan untuk meninggalkan dosa-dosa dan tidak akan mengulaginya lagi. Bermujahadah agar dapat membebaskan diri dari cengkaman dan lambaian dosa tersebut. Sesungguhnya katakan "AKU TAKUT AKAN AMARAH ALLAH".

Ada pula yang berkata ketika diseru agar bertaubat: Sesungguhnya sangat susah dan payah untukku bertaubat, kerana aku menyedari bahawa nantinya aku akan melakukan dosa lagi dan aku tidak mempunyai keteguhan hati dalam bertaubat. Demikanlah perkataan ORANG YANG TERTIPU dengan nafsunya.

Allah SWT berfirman: "Katakanlah wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Dialah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (az-Zumar: 53)

Jangan berputus asa, bertaubatlah sementara pintu-Nya masih terbuka luas. Ingatlah, taubat pada masa sihat dan mengharapkan kehidupan, seumpama bersedekah dengan harta pada umur yang masih panjang. Sedangkan taubat pada waktu hampirnya ajal, adalah seumpama bersedekah ketika ajal semakin dekat. Apalah gunanya ketika itu.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berusaha agar ransangan ke arah mahu bertaubat sentiasa subur dan mekar. Alangkah indahnya jika kita dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT, Tuhan yang sentiasa menerima taubat dan suka memaafkan hamba-hamba-Nya.

Anda suka? Mahukah anda bertaubat bersama-sama saya? Saya juga mahu bertaubat bersama anda. Ayuh...

2 comments:

Fina Cempluk said...

smoga kita termasuk hamba yang tawwabin....

abuikhwan said...

Insya-Allah, kita harapkan...

Post a Comment