Sahabat Sejati

Monday 31 January 2011

Musykil proses penyusunan al-quran


Soalan:

Sudah lama saya tertanya-tanya pada diri, saya ingin tahu sewaktu Rasulullah saw wafat dahulu, al-Quran dikatakan masih berkecamuk, belum tersusun sebagaimana sekarang. Bagaimana al-Quran yang Rasulullah saw tidak menyusunnya, disusun oleh orang-orang yang selepas daripada baginda? Apakah jaminan tulisan itu benar-benar menepati kehendak Allah dan Rasul-nya? Mohon penjelasan bagi meyakinkan orang seperti saya.

Jawapan:

PERSOALAN anda ada kewajarannya. Akan tetapi tidak sepatutnya anda menunggu sebegini lama, seolah-olah anda berada di dalam keraguan berpanjangan.

Jangan ragu. Al-Quran yang ada sekarang ini, itulah al-Quran yang ada pada zaman Rasulullah saw sewaktu wafat baginda. Ia tidak lebih dan ia tidak kurang.

Al-Quran berada di dalam hafalan sahabat-sahabat. Mereka benar-benar menghafal dan mengingati al-Quran. Cuma penyusunannya sahaja yang tidak berlaku pada zaman Nabi.

Ia berlaku pada zaman awal sahabat. Atau lebih khusus, ia disusun pada zaman Abu Bakar as-Siddiq ra.

Mari saya jelaskan peristiwanya yang sebenar. Selepas wafat baginda saw, Abu Bakar as-Siddiq dipilih sebagai khalifah yang pertama.

Pada zaman beliau berlaku peperangan Yamaamah. Dalam peperangan itu ramai tentera Islam yang terkorban syahid. Disebut oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya, bahawa yang terkorban itu adalah seramai 700 orang. Kebanyakan daripada yang terkorban itu adalah penghafal-penghafal al-Quranul Karim.

Umar al-Khattab ra. apabila mendengar itu terdetik dihatinya, bisik hatinya, "Kalaulah nanti semua yang menghafal al-Quran mati atau terkorban, apa akan terjadi kepada al-Quran akhirnya."

Oleh kerana itu, beliau menemui Khalifah Abu Bakar dan mengemukakan pandangannya bahawa al-Quran mesti segera disusun rapi.

Al-Quran perlu dijaga, bukan sahaja dihafal, tetapi perlu kepada pembukuan. Sahabat-sahabat yang menghafal al-Quran, akan meninggalkan kita, ayat-ayat yang ada tersimpan ketika itu adalah merupakan kutipan-kutipan yang ditulis di kulit-kulit binatang, di batu-batu putih, di pelepah-pelepah tamar mengikut apa sahaja yang turun, tanpa mematuhi penyusunan yang sebenarnya.

Penyusunan al-Quran mengikut kronologinya, adalah apa yang telah disusun semula oleh Jibril kepada Muhammad saw.

Sebagai contoh al-Quran, mula turunnya Iqra`, iaitu lima ayat pertama dalam Suratul `Alaq dan akhirnya turun ayat dua dari Surah al-Maidah dan ada yang mendakwa ayat 281 Surah al-Baqarah.

Tetapi al-Quran yang wujud sekarang, bermula dengan Surah al-Fatihah dan berakhir dengan Surah an-Nas.

Penyusunan al-Quran menurut seperti yang ada hari ini adalah diterima umum sebagai 'tauqiqi' yang bermaksud, telah sedia tersusun sedemikian di Luh Mahfuz dan diwahyukan kepada Muhammad saw dengan tunjuk ajar Jibril.

Al-Quran turun mengikut kehendak semasa. Maka ia turun mengikut apa sahaja keadaan yang sesuai, tanpa mengikut penyusunan yang sebenar.

Jibril yang datang setiap tahun dalam bulan Ramadhan, menyusun semula secara 'tauqiqi' seperti apa yang dapat kita lihat hari ini.

Zaid bin Tsabit (salah seorang yang amat mahir dengan al-Quran, seorang penulis wahyu daripada Nabi saw), meriwayatkan peristiwa selepas perang Yamaamah tadi, katanya: "Pada suatu hari Khalifah Abu Bakar as-Siddiq memanggilnya menghadap. Lalu Zaid menghadap dan mendapati Umar al-Khattab ada bersama. Abu Bakar berkata, "Umar menemuiku dengan menyatakan kegusarannya tentang ramainya penghafal al-Quran yang terkorban di Yamaamah, beliau bimbang tidak lama lagi al-Quran akan hilang. Oleh kerana itu, elok sangat al-Quran dihimpunkan dengan sepatutnya. Aku (kata Abu Bakar) enggan berbuat demikian kerana Rasulullah saw tidak melakukannya. Bagaimana aku hendak melakukan sesuatu perkara yang tidak dilakukan Rasulullah saw. Umar berkali-kali berkata kepadaku, "Demi Allah, itu adalah baik." Kata Abu Bakar lagi, "Umar mendatangi daku beberapa kali mendesak dihimpunkan al-Quran. Demi Allah tujuannya baik, sehingga Allah melapangkan dadaku sebagaimana Allah melapangkan dada Umar. Kami perlu menghimpunkan al-Quran. Umar dan aku nampak perbuatan itu walaupun tidak dilakukan oleh Rasulullah saw, tetapi ia adalah baik." Abu bakar berkata kepadaku (Zaid), "Kamu anak muda penuh himmah, berakal cerdas, kamu telah bertugas menulis wahyu pada zaman turunnya seperti yang disuruh oleh Rasulullah saw. Maka aku tugaskan kamu untuk mencari dengan teliti dan susun al-Quran itu seperti yang sepatutnya."

Kata Zaid kepada mereka, "Bagaimana saya hendak melakukan sesuatu yang Rasulullah saw tidak melakukannya?" Lalu kata Abu Bakar kepadaku, "Demi Allah ia adalah baik." Lalu diulang banyak kali perkataan itu kepadaku, sehingga Allah melapangkan dadaku sebagaimana dada mereka dilapangkan. Demi Allah (kata Zaid), seandaikan mereka tugaskan kepadaku untuk memindahkan sebuah bukit, akan lebih mudah aku kerjakan daripada mengumpulkan semula al-Quran yang berkecamuk. Tetapi akhirnya aku pun menerima tugas itu dan mengumpulkannya sehingga selesai kerjaku."

Al-Quran yang sedia terkumpul dengan baik dan teratur berada di dalam simpanan Abu Bakar. Selepas wafat Abu Bakar ia disimpan oleh Umar. Selepas Umar wafat, ia disimpan oleh Hafsah binti Umar dan akhirnya al-Quran itu ditulis dengan resam Uthmani pada zaman Uthman bin Affan memerintah.

Itulah al-Quran yang tidak berubah-ubah sejak ditulis pada awal zaman khalifah, sehingga ke hari ini.

Cerita yang sebegini terdapat dalam kitab Sahih Bukhari. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

0 comments:

Post a Comment