Sahabat Sejati

Saturday 29 January 2011

Lembutnya lidah


Keupayaan lidah memang tidak dijangka. Ia anggota tubuh yang paling baik dan boleh menjadi paling buruk selain hati. Lembut, tetapi mampu menikam dan mencederakan jika tersalah guna. Buruk akibatnya jika terlanjur kata-kata sehingga boleh mencetuskan ketegangan, pergaduhan, permusuhan dan peperangan. Pepatah orang melayu: “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” menggambarkan akibat daripada lidah yang terlanjur.

Lidah hendaklah dikawal daripada berbicara mengenai hal orang lain seperti mengumpat dan membuat fitnah kepada orang lain. Pada hari ini kita merasa amat seronok berbicara mengenai keburukan dan kekurangan orang lain. Hampir setiap tempat dan ruang yang ada kita gunakan untuk membicarakan aib orang. Tanpa merasa penat dan letih kita mencela, kita mengumpat. Memang berbuat dosa tidak akan merasa letih.

“Penatnya mengumpat.” Tidak ada.

“Letihnya bercakap bohong.” Tidak mungkin.

Daripada Anas bin Malik ra, Rasulullah saw bersabda: “Tidak akan lurus keimanan seseorang hamba sehingga lurus hatinya dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus lidahnya.”

Juga daripada Anas ra, Rasulullah saw telah bersabda: “Ketika aku diangkat ke langit (Mikraj), aku melintasi sekelompok kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga untuk melukai wajah dan dada mereka. Kemudian aku bertanya kepada Jibril: “Siapakah mereka itu, wahai Jibril?” Jawab Jibril: “Mereka ialah orang yang memakan daging manusia dan menjatuhkan kehormatan mereka.” (Riwayat Abu Daud)

Berkata Imam Syafie: “Jagalah lidahmu kawan! Agar ia tidak menyengatmu kerana lidah tidak ubah seperti ular berbisa. Banyak orang binasa akibat perbuatan lidah padahal dulu mereka dihormati kawan-kawannya.”

Lidah yang digunakan untuk menyuruh berbuat kebaikan akan menghasilkan ganjaran dari Allah SWT. Apabila pihak yang kedua mengikuti pula kebaikan yang diserunya maka orang-orang yang menyeru juga akan memperolehi ganjaran hasil dari amalan-amalan yang dilakukan oleh pihak kedua, ketiga, keempat dan seterusnya sehingga hari kiamat.

Daripada Ibnu Mas`ud ra. telah bersabda Rasulullah saw: "Barangsiapa yang menunjukkan ke arah kebaikan maka untuknya ganjaran sebagaimana orang yang melakukannya." (Muslim).

Begitu juga sesiapa yang mengajak manusia ke arah maksiat, maka ia dianggap bersubahat dengan perlakuan maksiat tersebut. Apa sahaja sumbangan terhadap perlakuan dosa tersebut, ia akan memperolehi. Begitulah rantaian seterusnya sehingga hari kiamat.

Sabda Rasulullah saw: "Sesiapa yang menyeru kepada hidayah maka untuknya ganjaran seumpama ganjaran-ganjaran orang yang menikmatinya, tidaklah berkurang (sedikit juapun) yang demikian dari ganjaran-ganjaran mereka apa-apa pun. Dan barangsiapa yang menyeru kepada kesesatan (maksiat) maka untuknya balasan dosa seumpama dosa-dosa orang yang mengikutinya tidaklah mengurangkan dengan yang sedemikian dari dosa-dosa mereka apa-apa pun."

Oleh yang demikian gunakanlah lidah dengan sebaiknya, sejajar dengan kehendak Allah SWT agar kita tidak terjerumus ke dalam golongan pengumpat dan pencela. Sabda Rasulullah saw:

Daripada Ibnu Umar ra. katanya Rasulullah saw bersabda: "Janganlah (kamu) memperbanyakkan ucapan tanpa zikir kepada Allah, kerana sesungguhnya ucapan tanpa mengingati Allah adalah mengeraskan hati dan sesungguhnya manusia yang paling jauh (dari rahmat) Allah adalah pemilik hati yang keras." (at-Tirmidzi)

Mengumpat yang diharuskan

Walaupun mengumpat adalah diharamkan tetapi di dalam keadaan-keadaan yang tertentu yang mengandungi maslah (alasan untuk tujuan kebaikan) sebagaimana pendapat al-Imam an-Nawawi, ianya diharuskan:

Pertama:
Kezaliman. Oleh itu harus kepada orang yang dizalimi untuk mengadu mengenai kezaliman yang dilakukan ke atasnya kepada orang-orang yang bertanggungjawab: Kadi seumpamanya dan barangsiapa yang mempunyai bidang kuasa untuk melindunginya dari kezaliman tersebut. Hendaklah dia menceritakan kepada mereka bahawa si fulan telah menzaliminya dengan perbuatan yang tertentu.

Kedua:
Meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran dan menghalangi kemaksiatan yang dilakukan oleh orang lain. Apabila seseorang itu mengetahui bahawa si fulan melakukan kemaksiatan, hendaklah dia meminta pertolongan dari barang siapa yang diharapkan dan mempunyai kemampuan untuk mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh si fulan itu. Sekiranya maksudnya untuk tujuan-tujuan yang lain umpamanya untuk memburuk-burukannya dan menjatuhkan air mukanya, ia adalah diharamkan.

Ketiga:
Meminta fatwa. Orang yang meminta fatwa akan berkata kepada Mufti bahawa si fulan menzalimi aku, oleh itu bagaimanakah caranya untuk berlepas diri darinya. Diharuskan untuk menjelaskan jenis-jenis kezaliman itu.

Keempat:
Memberi amaran kepada orang-orang Islam mengenai kejahatan seseorang dan menasihati mereka atas yang demikian itu. Umpamanya si fulan tidak jujur dan pendusta dan seseorang yang lain ingin meninggalkan amanah kepadanya, maka diharuskan ke atas orang-orang yang mengetahui sifat-sifat buruknya itu kepada si pemberi amanah.

Kelima:
Sekiranya si fulan amat dikenali dengan kefasiqan dan bid`ahnya seperti kaki botol dan mengadu domba manusia, merampas harta orang lain, penzina dan sebagainya maka hendaklah menyatakan jenis-jenis kemungkarannya.

Keenam:
Umpatan untuk memenuhi maksud pengenalan. Sekiranya seseorang itu amat dikenali dengan sesuatu nama panggilan atau gelaran umpamanya si tempang ataupun si pendek dengan niat pengenalan (ta`aruf) adalah diharuskan. Diharamkan semata-mata untuk mempersenda-sendakannya. Ini adalah harus sekiranya tiada kemungkinan untuk mengenali dirinya kecuali dengan cara yang lain dan sekiranya ada cara yang lain maka ia adalah afdhal.

Penutup

Seseorang yang sudah terlanjur mencela dan mengumpat orang lain hendaklah merasa menyesal, lalu diikuti dengan bertaubat kepada Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosanya itu. Selepas itu hendaklah memohon maaf daripada orang yang telah diumpatnya dan meminta keredhaannya agar terlepas sama sekali dari kekangan dosanya. Ini sekiranya dia boleh melakukan dan tidak takut kepada sesuatu yang mungkin akan terjadi ke atas dirinya, misalnya dendam dari orang yang diumpatnya.

Sebaiknya ialah kita berhati-hati dalam berbicara, befikir sebelum mengeluarkan kata-kata. Agar tidak ada yang terluka. Wallahua`lam.

2 comments:

RuMaH TuA said...

Bermanfaat~~~

"usaha atas iman"

abuikhwan said...

Semoga dipermudahkan untuk beramal dengan kebaikan...usaha atas iman dan kesungguhan.

Post a Comment