Sahabat Sejati

Saturday 8 January 2011

Kenangan masih basah: Atuk ceritalah lagi...

“Kura-kura itu pun berjalan dan terus berjalan, meninggalkan arnab yang masih lagi terlena di bawah pokok. Ia terus berjalan sehingga ke garisan penamat.”

“Jadi kura-kuralah yang menang?” saya bertanya.

“Haa...kura-kuralah yang menang, apabila sang arnab terjaga dari tidur, ia melihat kura-kura telah pun sampai ke garisan penamat. Sang arnab merasa amat malu dan menyesal. Jadi kita tidak boleh bercakap besar dan menyombongkan diri walaupun kita pandai, kuat dan sebagainya. Tuhan tidak suka orang yang sombong dan bercakap besar. Macam sang arnab, akhirnya diri sendiri yang rugi. Ingat tu,” atuk mengakhiri cerita. Seperti biasa pasti ada nasihat yang terselit.

“Atuk ceritalah lagi,” kami meminta atuk bercerita lagi. Seronok mendengar cerita atuk.

“Atuk ceritalah kisah atuk masa kecil dulu,” pinta sepupu saya pula.

Masing-masing menunjuk muka simpati, merayu pada atuk.

“Dah..dah! Pergi masuk tidur, atuk nak berehat tu,” jerit emak dari dapur. Dengan muka yang mendung kami melangkah longlai menuju ke bilik tidur. Lebih-lebih lagi apabila melihat Mak Usu yang sedang mengemas pinggan bersama ibu menjeling dengan nada mengejek.

“Nanti esok atuk cerita lagi ye,” kata kami. Atuk mengangguk sambil menguntum senyum.

Atuk memang suka bercerita. Setiap kali pulang ke kampung saya akan segera mendapatkan atuk untuk mendengar cerita. Sepupu-sepupu saya yang tinggal berhampiran rumah atuk juga akan datang bermalam di rumah atuk. Kami akan meminta atuk bercerita, dan atuk sabar melayani karenah kami, cucu-cucunya.

Kadang-kadang atuk bercerita kisah haiwan, adakalanya cerita zaman Jepun, kadang-kadang kisah atuk zaman kanak-kanak dan bermacam-macam cerita lagi. Tidak lupa atuk akan selitkan kata-kata nasihat serta pengajaran dari kisah-kisah yang disampaikan. Demikianlah atuk, memang suka bercerita.

“Pokok rambutan tu dulu pernah atuk jatuh dan calar balar badan kerana nak ambil sarang burung,” kata atuk sambil menudingkan jarinya ke arah pokok rambutan di hujung pagar. Sudah bergenerasi ia tegak di situ, sebahagian dahannya sudah mati.

“Zaman jepun dulu susah, makanan tak cukup. Beras kena campur dengan ubi kayu, sekarang semuanya dah berubah dah senang.”

Kami semua mendengar dengan penuh minat. Kadangkala berderai tawa apabila atuk menceritakan kisah lucu.

Kadang-kadang atuk membawa kami menaiki motosikal roda tiganya, menjengah lorong ke lorong, berpusing-pusing melihat ceruk kampung yang pastinya menyimpan banyak kenangan kepada atuk.

“Tengok pokok tu, yang besar tu, masa atuk kecil dulu dah ada pokok tu. Entahlah dah berapa tahun umurnya,” kata atuk tatkala kami mengikutinya ke kebun.

“Haa.. kat bawah sana dulu ada alur air, masa kecil dulu atuk selalu ke situ menangkap ikan dan mandi-manda dengan kawan-kawan. Sekarang semuanya dah tak ada.” Jelas atuk sambil menudingkan jarinya. Kami semua memandang ke arah kawasan yang atuk maksudkan, semuanya sudah menjadi taman perumahan. Saya perasan seakan ada perasaan sayu dan rindu pada wajah atuk.

April 1988

Pagi itu, saya sedang bersiap-siap untuk ke sekolah. Suasana seperti biasa, bagaikan tiada apa-apa yang berlaku. Ketika saya sedang menyarungkan pakaian sekolah, tiba-tiba emak bersuara, “Hari ini Wan tak payah pergi ke sekolah, kita nak balik kampung. Ada perkara mustahak.”

“Kenapa?” Saya bertanya untuk mendapatkan kepastian.

“Nanti emak ceritakan, pergi tukar pakaian,” kata emak lagi dengan suara yang tersekat-sekat, saya lihat wajah emak suram. Saya kebingungan.

Di dalam perjalanan, emak asyik menangis. Saya kehairanan dan mengesyaki sesuatu yang tidak baik telah berlaku. Abang memandu tenang, memberi tumpuan kepada pemanduannya.

“Kenapa emak menangis, apa yang dah berlaku?” saya bertanya untuk memecahkan kebuntuan, sarat bersarang di minda.

“Pagi tadi Pak Ngah kamu telefon, bagitahu atuk kamu dah tak ada,” kata emak, air matanya semakin lebat bercucuran.

Menurut abang, atuk jatuh di bilik air ketika mahu mengambil wudhuk dan tidak sedarkan diri. Atuk ‘pergi’ meninggalkan kami semua ketika hampir azan subuh berkumandang.

Jenazah atuk selamat disempurnakan.

Atuk dan cerita

Kini lebih suku abad atuk meninggalkan kami. Mungkin bagi sesetengah orang, ia bukanlah suatu yang perlu disedihkan. Ia proses kehidupan yang biasa. Tetapi kesedihan saya kerana bayangan atuk semakin kabur di ingatan, selepas satu demi satu nilai kehidupan, diubah oleh perjalanan masa dan persekitaran.

Kini...

Segala kenangan dan ceritanya tidak lagi kedengaran. Saya membesar seiring dengan cerita atuk. Banyak tauladan dan pengajaran yang saya dapat melaluinya. Saya amat merindui cerita atuk.

Hari ini saya cuba mewarisi kesukaan bercerita seperti atuk. Walaupun sebenarnya saya bercerita lebih untuk mengubat kerinduan pada diri sendiri. Saya cuba bercerita kepada anak-anak segala pengalaman hidup yang dilalui, agar kenangan hidup itu tidak terluput hilang begitu sahaja di ketika mana berlalunya masa dan zaman kelupaan seiring bertambahnya usia.

Sesungguhnya...

Baru kini saya mengerti mengapa atuk suka bercerita, setelah usia saya separuh tersisa. Benar, sesungguhnya atuk mahu mengenang kembali perjalanan hidupnya yang semakin jauh ditinggalkan. Semakin pudar dimamah masa dan ketika. Mungkin dengan bercerita kepada anak cucu, atuk dapat mengubati kerinduannya pada masa lalu.

Atuk memang kesunyian, sejak kematian nenek. Mujurlah ada mak usu, adik ibu yang bongsu yang tinggal bersamanya.

Semoga kami menjadi sebahagian penghibur hati atuk dan mengubat kerinduan atuk pada nenek, kenangan lalu ketika zaman kanak-kanak, kenangan bersama rakan-rakan dan seribu satu kenangan lagi.

Tiada lagi kedengaran suara, atuk ceritalah lagi...

'Kenangan masih basah'

3 comments:

||aLeaSaRa|| said...

sahabat..kite pun rindu teramat sgt pd arwah atok lelaki.masa kecil kite dibesarkan kedua-dua atok sebab mak,abah tiada jdh.kite mbesar dgn pnh ksh syg,selalu tak lupa belikan buku BI dan jawi supaya kite pandai.kite cucu kesayangan dan dah darjah 4 pun tido sama2 dua atok.menghampiri penghujung hayat,atok sudah mula suka bercakap sesuatu berulang-ulang hingga kdg kala dtg rasa jemu.sehari sebelum atok mnggl,kite bz ulgkaji utk final exam.di kampung semua sepupu dan anak2 yg lalu di depannya,atok sebut nama kite.....tak lama lps tu atok mghembuskan nafas terakhir.sayunya hati blk kg pagi2 buta pukul 3am kite nangis,nangis dan nangis dan sampai je kite terus peluk arwah dan baca yassin dan lgsg tak tidur hga iringi ke kubur.rasanya kite fhm perasaan sahabat...al-Fatihah utk semuanya.

Iman_Inside said...

sgt menyentuh perasaan..tbe2 rase rindu kat atuk yg xpernah sy jumpe sjk mule mencelik mate kat dunia ni..semoga ditempatkan dalam kalangan yang soleh..amin.

abuikhwan said...

Semoga mereka semua di dalam rahmat-Nya, ameen.

Post a Comment