Sahabat Sejati

Friday 14 January 2011

Ikut papan tanda Allah, selamat...




Kereta yang dinaiki meluncur laju membelah aspal jalan menyusuri Lebuhraya Pantai Timur. Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang ketika ini, mungkin kerana di luar musim perayaan. Di kiri dan kanan terbentang hutan hijau nan luas yang amat menyejukkan mata.

Sayup-sayup di kejauhan kaki langit menjulang tinggi bukit-bukau yang dilitupi awan putih bersih, bertompok-tompok bak kapas. Semua ini menambah kedamaian hati.

"Subhanallah, indahnya ciptaan-Mu di kanvas alam..." getus hati kecil.

Fitrah manusia memang suka kepada keindahan dan kecantikan. Tanyalah kepada sesiapa pun, pasti dia menjawab suka kepada keduanya. Apabila melihat sesuatu yang buruk secara automatik dia akan menolak. Saya juga begitu.

Perjalanan ke SMA Pulau Tawar berjalan dengan lancar, Alhamdulillah.

Ikut papan tanda

Teringat tazkirah seorang senior semasa di asrama dahulu.

“Kehidupan di dunia ini adalah suatu perjalanan menuju menuju destinasi terakhir di mana manusia akan bertemu dengan Tuhannya. Bila mana manusia bermusafir, papan tanda jalan dijadikan panduan supaya tidak tersesat. Papan tanda menunjukkan arah yang patut dilalui dan berapa jauh perjalanan berbaki. Allah telah menurunkan al-Quran sebagai panduan untuk menjamin supaya perjalanan hidup manusia selamat dan diberkati samada di dunia maupun akhirat.”

Sangat menyedihkan barah yang menimpa masyarakat hari ini.

Penyakit rohani...
Kegawatan moral...
Kecelaruan pemikiran...
Akhlaq?? Akhlaq?? Akhlaq??

Manusia sibuk bertungkus lumus mencari penyelesaian dan mencipta teori untuk mengatasi kegawatan jiwa. Kita adakan konsert, pelbagai aktiviti remaja seperti berekreasi di hutan, air terjun, menonton wayang gambar dan sebagainya. Tetapi tanpa disedari apa yang dicipta oleh manusia menambah lagi kerosakan jiwa. Selalunya begitu.

Di dalam Islam telah tersedia kesemua penawar bagi kudis ini. Papan tanda Allah.

Daripada Abu Hurairah ra. Katanya Nabi saw telah bersabda: “Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan keduanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Rasulullah saw.” (Riwayat Malik).

Islam yang syumul dan lengkap telah membentangkan jalan keluar. Rasulullah saw telah menjelaskan sesiapa yang berpegang dengan dua pusaka yang ditinggalkan akan selamat di dunia dan akhirat. Sesungguhnya al-Quran adalah alat penyembuh dan penggilap jiwa manusia untuk kembali ke jalan yang lurus. Inilah penawar yang terlepas pandang dan dilupakan oleh manusia.

Islam dari dulu menganjurkan umatnya membaca dan mengkaji kandungan al-Quran. Lihatlah para sahabat terdahulu yang begitu akrab dengan al-Quran. Hasilnya mereka menjadi umat yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Tidakkah kita mahu mencontohi mereka? Tepuk dada tanyalah iman di dada. Kita sendiri ada jawapannya dan kita yang memilihnya. Buatlah pilihan yang tepat agar kita dapat meneruskan kecemerlangan generasi para sahabat terdahulu.

Akhirnya…

Akhirnya saya sampai di SMA Pulau Tawar tanpa sebarang masalah. Mudahnya, mengapa? Walaupun ia adalah kali pertama saya ke sini. Kerana saya mengikut arahan papan tanda di kiri dan kanan jalan. Jika tidak, mungkin saya akan tersesat. Papan tanda banyak membantu.

Untuk menuju akhirat ikutlah papan tanda Allah, panduan yang menyelamatkan. Itulah al-Quran.

Allah berfirman: "Dan kami turunkan dari al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman." (al-Israa`: 82).

Ikut papan tanda Allah...

Anda mampu mengubahnya!

0 comments:

Post a Comment