Sahabat Sejati

Monday 10 January 2011

Ibu yang tiada dua

Tidak dapat saya bayangkan di fikiran ada insan yang sanggup melakukan perbuatan sedemikian. Bagaimanakah hatinya ketika itu. Kering? Beku? Atau sekeras batu… Tidak mampu saya memikirkannya.

Itulah persoalan yang berlegar dibenak tatkala membaca tajuk akhbar hari ini.

Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan
Buang emak buang saudara
Kerana kekasih hamba turutkan

Harian Metro 10 Januari 2011

Mengapa ini terjadi. Mengapa ada anak yang memusuhi ibu bapa. Mengapa ada anak yang menyakiti ibu bapa?

Saya tidak nafikan ‘produk’ anak derhaka juga sedikit sebanyak berpunca dari ibu bapa itu sendiri. Kegagalan mereka...

Memang benar, tiada siapa yang dapat menerima jika baru dilahirkan lalu dibuang ditimbunan sampah, ditinggal di dalam kotak atau disangkut di pagar surau. Tiada siapa yang dapat menerima jika saban hari dipukul, didera, disumpah seranah dan di marah. Adakah yang dapat menerima jika dipinggir dan dibeza-bezakan kasih sayang.

Mungkin inilah yang menimbulkan bibit-bibit kebencian atau rasa tidak berpuas hati anak-anak kepada ibu bapa. Mana ada orang yang mampu menyayangi orang yang tidak menyayangi mereka.

Tetapi siapalah kita untuk menjatuhkan hukuman kepada mereka. Kesilapan mereka biarlah Tuhan yang menilainya. Tugas kita adalah memaafkan dan menyayangi mereka tanpa meletakkan apa-apa syarat. Janganlah membalas ‘kejahatan’ mereka dengan ‘kejahatan’ kita.

Kita hanya ada seorang ibu dan seorang bapa. Baik dan buruk, busuk dan wangi dan apa sahaja itulah ibu dan bapa kita. Sayangilah mereka.

Kisah Juraij

Satu masa lalu terdapat seorang ahli ibadah yang bernama Juraij. Beliau banyak beribadah sehingga didirikan sebuah biara untuknya, dan dia tinggal di dalamnya. Suatu ketika ibunya datang pada saat dia sedang mendirikan solat.

Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!”

Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.”

Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.

Pada keesokan hari ibunya datang semula dan Juraij masih sedang bersolat. Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!”

Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.”

Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.

Pada keesokan hari ibunya datang semula (untuk kali ketiga) dan Juraij masih sedang bersolat. Ibunya memanggilnya: “Wahai Juraij!”

Juraij berkata dalam hatinya: “Wahai Tuhan, ibuku (memanggil) padahal aku bersolat.”

Juraij memilih untuk meneruskan solatnya sehingga ibunya pergi.

Lantas ibunya berdoa: “Ya Allah! Janganlah Engkau matikan Juraij melainkan setelah dia melihat wajah-wajah pelacur!”

Sejak saat itu kaum Bani Israil mula berbincang berkenaan Juraij dan ibadahnya. Ada seorang pelacur yang berdandan cantik berkata: “Jika kalian kehendaki, aku akan menggodanya untuk kalian.”

Maka pelacur itu menawarkan diri kepada Juraij, tetapi Juraij sama sekali tidak mengendahkannya. Lalu pelacur tersebut mendatangi seorang pengembala kambing yang sedang berteduh di biara Juraij, menyerahkan diri kepadanya sehingga pengembala itu menyetubuhinya. Pelacur tersebut menjadi hamil. Ketika anak itu dilahirkan, pelacur tersebut mendakwa: “Ini adalah anak Juraij.”

Maka orang ramai mendatangi Juraij, memaksanya keluar, menghancurkan biaranya dan memukulnya. Juraij bertanya: “Kenapakah kalian melakukan semua ini?”

Mereka menjawab: “Engkau telah melacur dengan pelacur ini sehingga dia melahirkan anak kamu!”

Juraij bertanya: “Di manakah anak tersebut?”

Lalu bayi itu dibawa kepada Juraij. Dia berkata: “Biarkan aku, aku ingin bersolat terlebih dahulu.”

Maka Juraij bersolat. Setelah selesai, Juraij mendatangi bayi tersebut, memukul di perutnya, lalu bertanya: “Wahai bayi, siapakah ayah kamu?”

Bayi itu menjawab: “Ayahku adalah seorang pengembala kambing.”

Tatkala mendengar jawapan tersebut, orang ramai kembali kepada Juraij, menyentuhnya dan menciumnya (kerana mereka telah bersalah dalam menuduhnya) dan berkata: “Kami akan membangunkan semula biara kamu yang kami hancurkan dengan emas.”

Juraij menjawab: “Tidak, tetapi bangunkanlah ia dengan tanah sebagaimana asalnya.”

Demikian sebuah kisah benar yang berlaku kepada umat terdahulu yang diceritakan oleh Rasulullah saw. Ia diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam sahihnya hadis nombor 3436 dan Imam Muslim dalam kitab sahihnya, hadis nombor 2550.

Kisah Juraij seorang ahli ibadah yang kemudian terfitnah dengan seorang wanita pelacur. Hal ini disebabkan perilaku Juraij yang lebih mengutamakan ibadah sunnah daripada berbakti kepada orang tua.

2 comments:

Bungasunti-Maternityandnursing said...

ibu memang 1 je. dh xde nnti baru terasa

abuikhwan said...

sayangi mereka sementara mereka masih ada..

Post a Comment