Sahabat Sejati

Friday 7 January 2011

Apakah hukum 'khatan' perempuan?

Soalan:

Apa sebenarnya hukum khatan atau bersunat untuk anak perempuan. Betulkah ada yang mengatakan hukumnya haram. Bolehkah dinyatakan dalil-dalil yang jelas untuk menghilangkan kekeliruan saya?

Jawapan:

ISTILAH sebenarnya bukan khatan, bukan bersunat tetapi al-khifadz. Khatan atau khitan adalah untuk lelaki, khifadz adalah untuk perempuan.

Ulama` dari dulu hingga sekarang tidak bersependapat dalam permasalahan ini. Umumnya menyatakan tidaklah wajib dan tidak dituntut seperti yang dituntut ke atas orang lelaki.

Ada pula mengatakan sunat pun tidak dan ada yang mengatakan jangan dibuat sama sekali. Mungkin itulah yang anda maksudkan sebagai haram.

Di Mesir, suatu ketika dahulu timbul permasalahan ini. Ia dibincangkan dengan suasana yang amat panas.

Para doktor perubatan mengatakan ketidaksetujuan mereka dilakukan khifadz ini. Kesemua mereka menentang dilakukan khifadz dengan hujah-hujah kedoktoran mereka, yang pada mereka khifadz itu jelas keburukannya dan tidak nampak sebarang kebaikan.

Kebanyakan mereka mengatakan bahawa perbuatan itu merupakan suatu penganiayaan kepada perempuan, malah memudaratkan mereka.

Ada ulama` besar Mesir menyokong pandangan para doktor itu dengan hujah syarak menyatakan, oleh kerana pandangan pakar (doktor pakar) bahawa khifadz itu memudaratkan, maka Islam menolak kemudaratan dan jangan dilakukan khifadz.

Al-marhum as-Syeikh Mahmud Syaltut, Sheikhul Azhar menyokong pendapat tersebut. As-Syeikh Muhammad Muttawwalli as-Sya`rawi apabila ditanya berkenaan masalah ini dalam ceramahnya beliau menjawab dengan ringkas: "Bagi lelaki adalah khitan, bagi perempuan adalah khifadz."

Ertinya, beliau mempertahankan khifadz itu sebagai suatu amalan yang patut diteruskan.

Dari sudut pandangan mazhab-mazhab feqah pula, dalam Mazhab as-Syafie, lelaki dan perempuan dituntut melakukannya. Ada mazhab lain, lelaki wajib, perempuan tidak.

Ulama` kontemporari, Profesor Dr Yusuf al-Qardhawi dalam Kitab al-Fatawa, juzuk satu, halaman 468 menyatakan: "Bagi orang perempuan dilakukan khifadz, tetapi jangan melampau, jangan keterlaluan, lakukan sedikit sahaja sekadar memenuhi tuntutan khifadz, jangan sampai membuang organ perempuan itu."

Inilah yang seharusnya menjadi pegangan kita, orang perempuan harus melakukannya, tetapi jangan berlebih-lebih. Jangan memotong sebarang organ.

Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw ketika baginda bersabda kepada golongan yang melakukan tugas khifadz pada zaman tersebut, kepada Ummu Atiyyah dengan katanya (mafhumnya): "Ringanilah dan jangan melampui."
Rasulullah saw pernah bersabda mafhumnya: "Khitan adalah sunnah (bukan sunat) bagi lelaki dan khifadz adalah makramah (kemuliaan) bagi perempuan."

Yang pastinya khifadz bagi golongan perempuan tidak wajib. Maka bagi saya, khifadz elok dilakukan, jangan keterlaluan dan pilihlah yang paling sederhana. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

5 comments:

Anonymous said...

ooh..maknanya kalo x khifadz..x pe lah kn.

Bintu Sazali said...

Alhamdulillah. ni la yg sy cari. Jarang jumpa topik camni sbb org malu nk bincang. agaknya la?..

Utk Novelgurl (nk bg jwpn sikit..huhu), yg sy tahu, khifadz ni slain utk tujuan kesihatan, ada lg hikmah yg lain. Slh satunya adalah utk mengawal nafsu. Kalau dibuang sedikit bhgian tu (mengikut cara n prosedur yg betul) akan terkawal nafsu seks seorg pompuan tu.

Kalau terlebih, takut tak bernfsu. Kalau kurang takut terlebih. Kalau sedang2, mk itu yg sepatutnya.

Betul ke macam tu saudara Abu Ikhwan?..
mohon penjelasan..

abuikhwan said...

Dari sudut hukum ianya harus dan elok dilakukan, jangan keterlaluan dan pilihlah yang paling sederhana.

Menurut Ibnu Taimiyah tujuan khifadz adalah untuk menstabilkan syahwat, sebagai salah satu cara untuk mengatasi perbuatan keji seperti zina. Sebaliknya, jika khifadz dilakukan secara berlebihan, maka boleh menimbulkan lemah syahwat.

Maksudnya ia menjadi pengimbang antara nafsu haiwan (keterlaluan) dengan tidak bernafsu sama sekali. Ianya menempatkan manusia di posisi pertengahan. Seumpama api yang terlalu kecil, masakan tidak sempurna masaknya, tetapi jika api terlalu besar masakan boleh hangus.

Manakala dari sudut kesihatan, ramai pakar perubatan yang mengatakan khitan dan khifadz dapat menghindarkan banyak masalah kesihatan. (terlalu panjang utk disenaraikan). Hikmah yang tepat disebalik pengsyariatannya, Allah SWT yang Maha Mengatahui. Wallahua`lam.

Rujukan:
-Dr. Abdullah Nashih Ulwan (Tarbiyatul aulad fi al-Islam)
-Dr Shabri al-Qabani (Hayatuna al-Jinsiyah)
-Dr Ali Akbar (Masa`il Fighiyah al-Hadithah)
-Dr Edgar Schoen (Archives of Disease in Childhood)

Bintu Sazali said...

Alhamdulillah..jadi betullah apa yg sy tahu tu?..
Syukran jazilan ya..:)

munna said...

munna baru je mencari hukum untuk bersunat pada anak perempuan ni... terima kasih...bolehlah munna sunatkan anak tanpa was-was lagi selepas ni

Post a Comment