Sahabat Sejati

Tuesday 4 January 2011

Ada ayat al-Quran tidak boleh diguna pakai?

Soalan:

Betulkah ada di dalam al-Quran sekarang, ayat-ayat yang tidak boleh diguna pakai. Dalam erti kata lain, ayat ada tetapi hukumnya tidak boleh diterima pakai. Betulkah begitu? Bolehkah perjelaskan kekeliruan saya.

Jawapan:

Pertanyaan anda mungkin dimaksudkan dengan persoalan nasakh dan mansukh. Persoalan nasakh dan mansukh ini perlu difahami dengan baik.

Elok difahami dahulu makna nasakh. Nasakh ertinya buang, atau tukar ganti. Di dalam al-Quran ada nasakh yang khusus, seperti firman Allah (mafhum-Nya): "Apa sahaja ayat keterangan yang Kami mansukh-kan (batalkan), atau yang Kami tinggalkan (atau tangguhkan), Kami datangkan ganti yang lebih baik daripadanya, atau yang setanding dengannya. Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu?" (al-Baqarah: 106).

Ayat itu secara jelas, Allah nyatakan ada ayat al-Quran yang dibuang, atau dinasakh-kan hukumnya. Di dalam ayat al-Quran disebut, nasakh ayat dengan ayat.

Ertinya ada ayat al-Quran, di dalam al-Quran yang kita gunakan sekarang, hukum telah dibuang, dan diganti dengan hukum baru yang disebut dalam ayat yang baru.

Contohnya, firman Allah (mafhum-Nya): "Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah daripada tempat tinggalnya...(hingga akhir ayat)." (al-Baqarah: 240).

Ayat ini menurut sesetengah mufassirin, bermaksud isteri yang kematian suami, hendaklah terus tinggal dirumah suaminya itu selama satu tahun, dengan mendapat nafkah (belanja hidup), daripada harta peninggalan suami sepanjang setahun.

Kemudian Allah nasakh tempoh setahun itu, dengan ditukarkan dengan tempoh empat bulan sepuluh hari, menerusi firman-Nya (mafhum-Nya): "Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beredah) selama empat bulan hari... (hingga akhir ayat)." (al-Baqarah: 234)

Ini disebut dalam istilahnya oleh fuqaha`, ayat mula tadi (al-Baqarah ayat 240), mansukh (terbatal atau tertukar). Manakala ayat kedua (al-Baqarah ayat 234), adalah naasikh.

Demikian juga dalam ayat yang mula tadi, disebut tempoh nafkah selama setahun, dinasakh oleh ayat pusaka yang memperuntukkan kepada isteri yang kematian suaminya, dia mendapat 1/8 dari harta suami atau 1/4, bergantung kepada keadaan waris-warisnya.

Firman Allah (mafhum-Nya): "Dan bagi kamu satu perdua daripada harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak. Tetapi jika mereka mempunyai anak maka kamu beroleh satu perempat daripada harta yang mereka tinggalkan, sesudah ditunaikan wasiat yang mereka wasiatkan dan sesudah dibayarkan hutangnya.

Dan bagi mereka (isteri-isteri) pula satu perempat dari harta yang kamu tinggalkan, jika kamu tidak mempunyai anak. tetapi kalau kamu mempunyai anak maka bahagian mereka (isteri-isteri kamu) ialah satu perlapan dari harta yang kamu tinggalkan, seudah ditunaikan wasiat yang kamu wasiatkan, dan sesudah dibayarkan hutang kamu...(hingga akhir ayat)." (an-Nisa`: 12)

Hal-hal sebegini memang wujud dalam al-Quran, ia dikenali sebagai naasikh mansukh. Perkara ini hanya diketahui oleh ilmuan Islam dan tersangat panjang perbahasannya dalam kitab-kitab tafsir.

Dalam pada itu berlaku khilaf dikalangan ulama`, di dalam menafsirkan ayat-ayat berkenaan. Ada ayat yang dikatakan sesetengah mufassirun sebagai mansukh, manakala sebahagian yang lainnya mengatakan tidak, dengan dalil masing-masing yang panjang lebar.

Yang penting, anda perlu memahami bahawa wujud naasikh mansukh itu dalam al-Quran. Mengapa berlaku demikian? Hikmah sebenarnya Allah sahaja yang mengetahui. Tetapi Allah menyebut di dalam ayat yang awal tadi, jika pun berlaku pemansuhan, Allah gantikan dengan yang lebih baik daripadanya, atau sama dengannya dengan sedikit sebanyak perbezaan.

Ini menunjukkan bahawa, Allah mengetahui keperluan manusia dan Allah menunjukkan ada ketikanya, hukum Allah itu rigid (tidak berubah) dan ada ketikanya hukum Islam itu fleksibel (lunak) dan boleh berubah.

Atas itulah maka fuqaha` secara khusus mengambil langkah berijtihad, berusaha mengeluarkan hukum-hukum baru yang diperlukan oleh ummah, bagi menyesuaikan Islam bagi perkara-perkara yang diharuskan, dengan perantaraan hukum-hukum ijtihad.

Hukum ijtihad, adalh hukum yang boleh berubah-ubah. Hukum al-Quran yang sabit, ada sekarang, adalah hukum qat`ie (tidak boleh berubah).

Hukum yang tidak boleh berubah tidak banyak. Terutamanya hukum hudud. Hukum yang boleh berubah adalah hukum zanni atau hukum ijtihad, ia berubah mengikut keperluan masa dan keadaan. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato` Dr Harun Din

1 comments:

||aLeaSaRa|| said...

tq ye nice n3,b4 pilih doa utk dikongsikan kite pastikan ada hadis/firman Allah/sabda rasulullah untuk menyokong doa itu.Cuma kdg2 keliru baca buku agama terbitan indonesia..

Post a Comment