Sahabat Sejati

Monday 31 January 2011

Musykil proses penyusunan al-quran


Soalan:

Sudah lama saya tertanya-tanya pada diri, saya ingin tahu sewaktu Rasulullah saw wafat dahulu, al-Quran dikatakan masih berkecamuk, belum tersusun sebagaimana sekarang. Bagaimana al-Quran yang Rasulullah saw tidak menyusunnya, disusun oleh orang-orang yang selepas daripada baginda? Apakah jaminan tulisan itu benar-benar menepati kehendak Allah dan Rasul-nya? Mohon penjelasan bagi meyakinkan orang seperti saya.

Jawapan:

PERSOALAN anda ada kewajarannya. Akan tetapi tidak sepatutnya anda menunggu sebegini lama, seolah-olah anda berada di dalam keraguan berpanjangan.

Jangan ragu. Al-Quran yang ada sekarang ini, itulah al-Quran yang ada pada zaman Rasulullah saw sewaktu wafat baginda. Ia tidak lebih dan ia tidak kurang.

Al-Quran berada di dalam hafalan sahabat-sahabat. Mereka benar-benar menghafal dan mengingati al-Quran. Cuma penyusunannya sahaja yang tidak berlaku pada zaman Nabi.

Ia berlaku pada zaman awal sahabat. Atau lebih khusus, ia disusun pada zaman Abu Bakar as-Siddiq ra.

Mari saya jelaskan peristiwanya yang sebenar. Selepas wafat baginda saw, Abu Bakar as-Siddiq dipilih sebagai khalifah yang pertama.

Pada zaman beliau berlaku peperangan Yamaamah. Dalam peperangan itu ramai tentera Islam yang terkorban syahid. Disebut oleh Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya, bahawa yang terkorban itu adalah seramai 700 orang. Kebanyakan daripada yang terkorban itu adalah penghafal-penghafal al-Quranul Karim.

Umar al-Khattab ra. apabila mendengar itu terdetik dihatinya, bisik hatinya, "Kalaulah nanti semua yang menghafal al-Quran mati atau terkorban, apa akan terjadi kepada al-Quran akhirnya."

Oleh kerana itu, beliau menemui Khalifah Abu Bakar dan mengemukakan pandangannya bahawa al-Quran mesti segera disusun rapi.

Al-Quran perlu dijaga, bukan sahaja dihafal, tetapi perlu kepada pembukuan. Sahabat-sahabat yang menghafal al-Quran, akan meninggalkan kita, ayat-ayat yang ada tersimpan ketika itu adalah merupakan kutipan-kutipan yang ditulis di kulit-kulit binatang, di batu-batu putih, di pelepah-pelepah tamar mengikut apa sahaja yang turun, tanpa mematuhi penyusunan yang sebenarnya.

Penyusunan al-Quran mengikut kronologinya, adalah apa yang telah disusun semula oleh Jibril kepada Muhammad saw.

Sebagai contoh al-Quran, mula turunnya Iqra`, iaitu lima ayat pertama dalam Suratul `Alaq dan akhirnya turun ayat dua dari Surah al-Maidah dan ada yang mendakwa ayat 281 Surah al-Baqarah.

Tetapi al-Quran yang wujud sekarang, bermula dengan Surah al-Fatihah dan berakhir dengan Surah an-Nas.

Penyusunan al-Quran menurut seperti yang ada hari ini adalah diterima umum sebagai 'tauqiqi' yang bermaksud, telah sedia tersusun sedemikian di Luh Mahfuz dan diwahyukan kepada Muhammad saw dengan tunjuk ajar Jibril.

Al-Quran turun mengikut kehendak semasa. Maka ia turun mengikut apa sahaja keadaan yang sesuai, tanpa mengikut penyusunan yang sebenar.

Jibril yang datang setiap tahun dalam bulan Ramadhan, menyusun semula secara 'tauqiqi' seperti apa yang dapat kita lihat hari ini.

Zaid bin Tsabit (salah seorang yang amat mahir dengan al-Quran, seorang penulis wahyu daripada Nabi saw), meriwayatkan peristiwa selepas perang Yamaamah tadi, katanya: "Pada suatu hari Khalifah Abu Bakar as-Siddiq memanggilnya menghadap. Lalu Zaid menghadap dan mendapati Umar al-Khattab ada bersama. Abu Bakar berkata, "Umar menemuiku dengan menyatakan kegusarannya tentang ramainya penghafal al-Quran yang terkorban di Yamaamah, beliau bimbang tidak lama lagi al-Quran akan hilang. Oleh kerana itu, elok sangat al-Quran dihimpunkan dengan sepatutnya. Aku (kata Abu Bakar) enggan berbuat demikian kerana Rasulullah saw tidak melakukannya. Bagaimana aku hendak melakukan sesuatu perkara yang tidak dilakukan Rasulullah saw. Umar berkali-kali berkata kepadaku, "Demi Allah, itu adalah baik." Kata Abu Bakar lagi, "Umar mendatangi daku beberapa kali mendesak dihimpunkan al-Quran. Demi Allah tujuannya baik, sehingga Allah melapangkan dadaku sebagaimana Allah melapangkan dada Umar. Kami perlu menghimpunkan al-Quran. Umar dan aku nampak perbuatan itu walaupun tidak dilakukan oleh Rasulullah saw, tetapi ia adalah baik." Abu bakar berkata kepadaku (Zaid), "Kamu anak muda penuh himmah, berakal cerdas, kamu telah bertugas menulis wahyu pada zaman turunnya seperti yang disuruh oleh Rasulullah saw. Maka aku tugaskan kamu untuk mencari dengan teliti dan susun al-Quran itu seperti yang sepatutnya."

Kata Zaid kepada mereka, "Bagaimana saya hendak melakukan sesuatu yang Rasulullah saw tidak melakukannya?" Lalu kata Abu Bakar kepadaku, "Demi Allah ia adalah baik." Lalu diulang banyak kali perkataan itu kepadaku, sehingga Allah melapangkan dadaku sebagaimana dada mereka dilapangkan. Demi Allah (kata Zaid), seandaikan mereka tugaskan kepadaku untuk memindahkan sebuah bukit, akan lebih mudah aku kerjakan daripada mengumpulkan semula al-Quran yang berkecamuk. Tetapi akhirnya aku pun menerima tugas itu dan mengumpulkannya sehingga selesai kerjaku."

Al-Quran yang sedia terkumpul dengan baik dan teratur berada di dalam simpanan Abu Bakar. Selepas wafat Abu Bakar ia disimpan oleh Umar. Selepas Umar wafat, ia disimpan oleh Hafsah binti Umar dan akhirnya al-Quran itu ditulis dengan resam Uthmani pada zaman Uthman bin Affan memerintah.

Itulah al-Quran yang tidak berubah-ubah sejak ditulis pada awal zaman khalifah, sehingga ke hari ini.

Cerita yang sebegini terdapat dalam kitab Sahih Bukhari. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

360 sendi di dalam tubuh manusia


Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah kurnia-Nya kita semua masih lagi diberikan kesempatan untuk bernafas. Kita diberikan bermacam-macam nikmat baik nikmat sihat, nikmat lapang masa, nikmat makan, minum, berjalan ke sana dan kemari. Jika mahu dihitung semuanya pasti tidak akan cukup lembaran untuk menulisnya.

Oleh itu marilah kita memuji dan memuliakan Allah, mengerjakan apa yang diperintahkan dan meninggalkan apa yang dilarang. Mudah-mudahan kita semua akan diselamatkan dari azab-Nya yang amat pedih dan seterusnya dimasukkan ke dalam syurga idaman.

Sesungguhnya Allah SWT menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Setiap susunan tubuh badan dijadikan seimbang dan dengan ukuran yang tepat. Di dalam tubuh badan anak Adam itu pula Allah ciptakan 360 sendi supaya mudah untuk bergerak dan melakukan berbagai-bagai gerak kerja. Demikianlah betapa halusnya ciptaan Allah SWT kepada hamba-Nya yang bergelar manusia.

Dari Ummul Mukminin Sayyidatina Aisyah rha. bahawa Rasulullah saw telah bersabda, “Setiap manusia keturunan Adam diciptakan di atas 360 persendian. Barang siapa yang bertakbir, bertahmid, bertahlil, bertasbih, dan beristighfar kepada Allah, menyingkirkan batu, atau duri atau tulang dari jalan, memerintahkan kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran sejumlah persendian itu maka ia telah berjalan menjauhi api neraka.”(Riwayat Muslim, Kitab al-Zakat, hadis No. 1675)

Menurut Prof. Dr. Zaghlul Raghib al-Najjar (Buku Induk Mukjizat Ilmiah Hadis Nabi: 196-203), kata al-sulama dalam hadis di atas bererti al-mufashshal (sendi/penyambung). Kata al-sulama secara harfiah bererti tulang jari dan seluruh telapak tangan. Kadang-kadang kata ini dipergunakan untuk menyebut seluruh tulang dalam tubuh dan persendiannya. Adapun yang dimaksud sendi adalah titik pertemuan antara tulang. Keseluruhan persendian boleh bergerak meskipun sebahagian lagi bersifat statik, seperti sendi tengkorak.

Secara amnya, tubuh badan manusia terbahagi kepada 5 bahagian:

1 - Kepala dan muka
2 - leher
3 - bahagian badan: dada dan abdomen
4 - sepasang tangan
5 - sepasang kaki

Ensiklopedia Hathchinson yang terbit pada 1995 pun menyatakan bahwa jumlah tulang dalam kerangka tubuh manusia hanya 206 dan disambungkan oleh beberapa sendi. Manakala, Dr Hamid Ahmad Hamid dalam bukunya “Rihlah al-Iman fi Jism al-Insan” atau “Wisata Iman dalam Tubuh Manusia” menyebutkan bahwa jumlah keseluruhan persedian tulang manusia adalah 360 sebagaimana disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW.

Terdapat tiga jenis sendi utama dan sendi ini pula terbahagi kepada kepada sembilan jenis sendi yang lain iaitu:

1 - Sendi pada kepala dan muka =53
2 - Sendi di antara kepala dan tulang vertebra atas =5
3 - Sendi pada tulang rusuk =92
4 - Sendi di antara tulang vertebra =69
5 - Sendi tangan dan pergelangan bahu =12
6 - Sendi pergelangan tangan dan ke bawah =54
7 - Sendi pinggul =5
8 - Sendi di antara peha, pinggang, lutut, betis dan buku lali =10
9 - Sendi kaki (buku lali dan kebawah) =60

Jumlahnya =360

Jumlah 360 sendi ini adalah purata yang diambil tanpa mengira peringkat umur. Kajian anatomi secara terperinci hanya dibuat kira-kira 200 tahun yang lalu. Ungkapan Rasulullah saw yang menyebut dengan tegas jumlah persendian sebanyak 360 merupakan sesuatu yang sangat menakjubkan. Bagaimana tidak, pada zaman ketika tidak ada satu pun ilmu pengetahuan yang secara khusus membahas anatomi tubuh manusia, jumlah tulang dan persendiannya, di tengah masyarakat primitif yang belum mengenal ilmu pengetahuan, penelitian dan kajian, Rasulullah SAW mengungkapkan hadis yang luar biasa ini. Tidak dinafikan lagi bahawa segala apa yang disampaikan oleh Rasulullah saw adalah benar dan secara terus diinspirasikan oleh Allah sebagai panduan untuk seluruh umat manusia. Wallahua`lam.

"Wahai manusia! Apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat dosa) terhadap Tuhan kamu Yang Maha Pemurah.
Tuhan yang telah mengatur kejadianmu lalu menjadikan anggotamu sesuai (dengan tujuan yang kerananya diadakan anggota itu) serta menjadikan (binaan tubuh badanmu) sama padan dengan kekuatannya.
Dalam bentuk dan rupa apa sahaja yang dikehendaki, Dia susunkan kejadianmu." (al-Infithar: 6-8)

Olahan dari tulisan:
:Dr Mohammad Sayied
(Hon. Secretary of Islamic Foundation, Narobi, Kenya)
:Ir. Rony Ardiansyah, MT, IP-U.
(Dosen Pasca Sarjana Mgister Teknik Sipil UIR)

Sunday 30 January 2011

Kenangan masih basah: Darjah satu


Madah pujangga: “Lihatlah dunia dari mata burung, jangan lihat dari dalam tempurung.”

Darjah satu. Titik permulaan keluar dari kepompong kehidupan, melihat dunia dari kacamata yang lebih luas. Tidak lagi melihat dunia yang sempit, dunia yang berlegar di persekitaran rumah sahaja. Pengalaman dan pelajaran yang baru bermula. Perubahan diri, kawan-kawan, persekitaran, permainan dan juga corak pemikiran.

Wahh..pengalaman baru. Gementar, takut, teruja, gembira dan bermacam-macam perasaan, semuanya bersatu. Lebih-lebih lagi saya yang tidak pernah memasuki tadika. Jadi segalanya asing dan baru. Menangis?? Tidak sekali-kali.

Emak membekalkan air teh dan wang saku sebanyak tiga puluh sen, jumlah yang cukup mewah ketika itu. Berjalan kaki ke sekolah bersama kakak yang di darjah tiga, turut ditemani abang yang sudah pun bersekolah menengah, beliau bersekolah pada waktu petang. Jarak ke sekolah hampir dua kilometer. Jauh?? Entahlah, tidak terasa pula jauhnya waktu itu, mungkin kerana ramai yang sama-sama berjalan kaki, berduyun-duyun memikul beg sekolah. Yang berbasikal pun tidak ramai. Van dan bas sekolah belum wujud lagi, seingat saya demikian.

Sewaktu pulang ke kampung baru-baru ini, saya menyusuri jalan yang sama ketika ke sekolah dulu. Sekarang jalan itu sudah cantik dan semakin lebar. Hmm..tidak sanggup rasanya berjalan kaki jika disuruh sekarang ini, saya angkat tangan menyerah kalah. Hairan, mengapa dulu tidak terasa jauh. Mungkin dulu semangat orang muda, tenaga masih kuat. Sekarang usia sudah meningkat, jadi semangat dan kudrat tinggal ‘takat-takat’ sahaja.

Justeru itu, disebut dalam hadis: “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara.....waktu muda sebelum tua, waktu sihat sebelum sakit.....”

Masuk kelas

Pemandangan biasa hari pertama persekolahan, suasana sibuk dengan ibubapa yang menghantar anak-anak. Saya pula dihantar oleh kakak yang bersekolah bersama-sama. Tidak pernah saya memikirkan mengapa emak tidak menghantar saya pada hari pertama persekolahan, tidak pernah sekali-kali.

Semuanya diuruskan oleh kakak, mencari kelas dan juga membeli makanan di kantin.

Saya ditempatkan di dalam kelas satu merah. Di dalam kelas, segala-galanya terasa agak perlahan, hingar-bingar. Mahu menunggu waktu rehat, membosankan. Mahu menunggu loceng tamat kelas, bertambah-tambah lambat rasanya.

Sekolah, bosan dan meletihkan.

Waktu pulang saya bagaikan tiada kaki untuk berjalan, kepenatan. Mujurlah kakak bersimpati membawa beg saya. Sambil berjalan saya melihat kasih seorang kakak kepada adiknya, agar adiknya tidak jemu untuk ke sekolah pada keesokan hari...

Saturday 29 January 2011

Lembutnya lidah


Keupayaan lidah memang tidak dijangka. Ia anggota tubuh yang paling baik dan boleh menjadi paling buruk selain hati. Lembut, tetapi mampu menikam dan mencederakan jika tersalah guna. Buruk akibatnya jika terlanjur kata-kata sehingga boleh mencetuskan ketegangan, pergaduhan, permusuhan dan peperangan. Pepatah orang melayu: “Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.” menggambarkan akibat daripada lidah yang terlanjur.

Lidah hendaklah dikawal daripada berbicara mengenai hal orang lain seperti mengumpat dan membuat fitnah kepada orang lain. Pada hari ini kita merasa amat seronok berbicara mengenai keburukan dan kekurangan orang lain. Hampir setiap tempat dan ruang yang ada kita gunakan untuk membicarakan aib orang. Tanpa merasa penat dan letih kita mencela, kita mengumpat. Memang berbuat dosa tidak akan merasa letih.

“Penatnya mengumpat.” Tidak ada.

“Letihnya bercakap bohong.” Tidak mungkin.

Daripada Anas bin Malik ra, Rasulullah saw bersabda: “Tidak akan lurus keimanan seseorang hamba sehingga lurus hatinya dan tidak akan lurus hatinya sehingga lurus lidahnya.”

Juga daripada Anas ra, Rasulullah saw telah bersabda: “Ketika aku diangkat ke langit (Mikraj), aku melintasi sekelompok kaum yang mempunyai kuku daripada tembaga untuk melukai wajah dan dada mereka. Kemudian aku bertanya kepada Jibril: “Siapakah mereka itu, wahai Jibril?” Jawab Jibril: “Mereka ialah orang yang memakan daging manusia dan menjatuhkan kehormatan mereka.” (Riwayat Abu Daud)

Berkata Imam Syafie: “Jagalah lidahmu kawan! Agar ia tidak menyengatmu kerana lidah tidak ubah seperti ular berbisa. Banyak orang binasa akibat perbuatan lidah padahal dulu mereka dihormati kawan-kawannya.”

Lidah yang digunakan untuk menyuruh berbuat kebaikan akan menghasilkan ganjaran dari Allah SWT. Apabila pihak yang kedua mengikuti pula kebaikan yang diserunya maka orang-orang yang menyeru juga akan memperolehi ganjaran hasil dari amalan-amalan yang dilakukan oleh pihak kedua, ketiga, keempat dan seterusnya sehingga hari kiamat.

Daripada Ibnu Mas`ud ra. telah bersabda Rasulullah saw: "Barangsiapa yang menunjukkan ke arah kebaikan maka untuknya ganjaran sebagaimana orang yang melakukannya." (Muslim).

Begitu juga sesiapa yang mengajak manusia ke arah maksiat, maka ia dianggap bersubahat dengan perlakuan maksiat tersebut. Apa sahaja sumbangan terhadap perlakuan dosa tersebut, ia akan memperolehi. Begitulah rantaian seterusnya sehingga hari kiamat.

Sabda Rasulullah saw: "Sesiapa yang menyeru kepada hidayah maka untuknya ganjaran seumpama ganjaran-ganjaran orang yang menikmatinya, tidaklah berkurang (sedikit juapun) yang demikian dari ganjaran-ganjaran mereka apa-apa pun. Dan barangsiapa yang menyeru kepada kesesatan (maksiat) maka untuknya balasan dosa seumpama dosa-dosa orang yang mengikutinya tidaklah mengurangkan dengan yang sedemikian dari dosa-dosa mereka apa-apa pun."

Oleh yang demikian gunakanlah lidah dengan sebaiknya, sejajar dengan kehendak Allah SWT agar kita tidak terjerumus ke dalam golongan pengumpat dan pencela. Sabda Rasulullah saw:

Daripada Ibnu Umar ra. katanya Rasulullah saw bersabda: "Janganlah (kamu) memperbanyakkan ucapan tanpa zikir kepada Allah, kerana sesungguhnya ucapan tanpa mengingati Allah adalah mengeraskan hati dan sesungguhnya manusia yang paling jauh (dari rahmat) Allah adalah pemilik hati yang keras." (at-Tirmidzi)

Mengumpat yang diharuskan

Walaupun mengumpat adalah diharamkan tetapi di dalam keadaan-keadaan yang tertentu yang mengandungi maslah (alasan untuk tujuan kebaikan) sebagaimana pendapat al-Imam an-Nawawi, ianya diharuskan:

Pertama:
Kezaliman. Oleh itu harus kepada orang yang dizalimi untuk mengadu mengenai kezaliman yang dilakukan ke atasnya kepada orang-orang yang bertanggungjawab: Kadi seumpamanya dan barangsiapa yang mempunyai bidang kuasa untuk melindunginya dari kezaliman tersebut. Hendaklah dia menceritakan kepada mereka bahawa si fulan telah menzaliminya dengan perbuatan yang tertentu.

Kedua:
Meminta pertolongan untuk mengubah kemungkaran dan menghalangi kemaksiatan yang dilakukan oleh orang lain. Apabila seseorang itu mengetahui bahawa si fulan melakukan kemaksiatan, hendaklah dia meminta pertolongan dari barang siapa yang diharapkan dan mempunyai kemampuan untuk mencegah kemungkaran yang dilakukan oleh si fulan itu. Sekiranya maksudnya untuk tujuan-tujuan yang lain umpamanya untuk memburuk-burukannya dan menjatuhkan air mukanya, ia adalah diharamkan.

Ketiga:
Meminta fatwa. Orang yang meminta fatwa akan berkata kepada Mufti bahawa si fulan menzalimi aku, oleh itu bagaimanakah caranya untuk berlepas diri darinya. Diharuskan untuk menjelaskan jenis-jenis kezaliman itu.

Keempat:
Memberi amaran kepada orang-orang Islam mengenai kejahatan seseorang dan menasihati mereka atas yang demikian itu. Umpamanya si fulan tidak jujur dan pendusta dan seseorang yang lain ingin meninggalkan amanah kepadanya, maka diharuskan ke atas orang-orang yang mengetahui sifat-sifat buruknya itu kepada si pemberi amanah.

Kelima:
Sekiranya si fulan amat dikenali dengan kefasiqan dan bid`ahnya seperti kaki botol dan mengadu domba manusia, merampas harta orang lain, penzina dan sebagainya maka hendaklah menyatakan jenis-jenis kemungkarannya.

Keenam:
Umpatan untuk memenuhi maksud pengenalan. Sekiranya seseorang itu amat dikenali dengan sesuatu nama panggilan atau gelaran umpamanya si tempang ataupun si pendek dengan niat pengenalan (ta`aruf) adalah diharuskan. Diharamkan semata-mata untuk mempersenda-sendakannya. Ini adalah harus sekiranya tiada kemungkinan untuk mengenali dirinya kecuali dengan cara yang lain dan sekiranya ada cara yang lain maka ia adalah afdhal.

Penutup

Seseorang yang sudah terlanjur mencela dan mengumpat orang lain hendaklah merasa menyesal, lalu diikuti dengan bertaubat kepada Allah SWT. Mudah-mudahan Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosanya itu. Selepas itu hendaklah memohon maaf daripada orang yang telah diumpatnya dan meminta keredhaannya agar terlepas sama sekali dari kekangan dosanya. Ini sekiranya dia boleh melakukan dan tidak takut kepada sesuatu yang mungkin akan terjadi ke atas dirinya, misalnya dendam dari orang yang diumpatnya.

Sebaiknya ialah kita berhati-hati dalam berbicara, befikir sebelum mengeluarkan kata-kata. Agar tidak ada yang terluka. Wallahua`lam.

Friday 28 January 2011

Untukmu WANITA


Wanita,
Dirimu begitu berharga.
Seindah-indah hiasan di dunia adalah Wanita Solehah.
Peribadinya terjaga dan terpelihara.

Duhai wanita, dalam kelembutanmu, suburkan ketegasan,
berlandaskan ilmu keredhaan Tuhan.

Wanita mempunyai peranan yang amat penting dalam kehidupan manusiawi. Sebagai ibu, isteri dan rakan seperjuangan kaum lelaki dalam menegakkan perintah dan larangan Islam di atas muka bumi. Rosaknya kaum wanita membawa seribu satu macam bencana terhadap dunia. Rosaknya wanita membawa pasti akan meruntuh institusi keluarga dan membawa kehancuran sebuah negara. Wanita boleh menjadi punca dan sumber iman bagi kaum lelaki, boleh juga menjadi sumber dosa dan kebinasaan.

Menyedari hal ini, buku ini dihasilkan bagi menghampiri kaum wanita dan menghulurkan secebis nasihat buat tatapan mereka. Ia turut dikhususkan untuk para lelaki yang sedang berusaha mencari-cari intipati ilmu kebaikan dan nasihat untuk hidangan mereka yang bernama ibu, isteri, kakak, adik dan anak.

Ditulis dalam bentuk gabungan ulangan santai, ilmiah dan sederhana berserta kisah teladan, cerita, pengalaman, dalil dan fakta. Format umum buku ini pula adalah dalam bentuk soal jawab, hasil kombinasi soalan-soalan yang diutarakan oleh pelbagai pihak kepada penulis dalam tempoh empat tahun.

Tajuk buku : Untukmu WANITA
Penulis : Zaharuddin Abd Rahman (www.zaharuddin.net)
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
Harga : Rm21.00 / Rm23.00
M/S : 214

Bahagian Satu: WANITA, Aurat dan Maruah

Jika anda berada di hadapan Baginda SAW, adakah Rasulullah akan tersenyum atau sebaliknya? Jika sebaliknya, bagaimana pula peluang wanita seperti ini untuk mendapat syafaat Nabi SAW di akhirat kelak?

Bahagian Dua: WANITA dan Munakahat

Tiada salahnya 'perigi cari timba'. Ada wanita yang berkenan kepada lelaki yang baik namun menghadapi masalah untuk mulakan langkah.

Bahagian Tiga: WANITA dan Rumah Tangga

Cemburu itu satu tuntutan. Fahami dan sedarilah bahawa anda sebenarnya memiliki seorang suami yang bertanggungjawab dan sedang subur imannya.

Untukmu WANITA sesuai untuk semua golongan wanita yang minat membaca dan berfikir berkenaan tanggungjawab mereka terhadap Allah SWT khasnya, diri mereka dan masyarakat sekeliling. Semoga buku ini mampu memberikan sentuhan kesedaran buat mereka yang masih leka dengan tipu daya dunia.

Untukmu WANITA hadiah istimewa buat insan bernama wanita. Menggarap pelbagai permasalahan wanita yang merangkumi isu aurat, maruah, munakahat dan rumah tangga.

Untukmu WANITA dipersembahkan dalam bentuk soal-jawab. Santai dan bersahaja. Dikukuhkan dengan dalil-dalil al-Quran dan hadis untuk rujukan dan bimbingan. Juga diselitkan kisah-kisah motivasi sebagai iktibar membentuk peribadi solehah.

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu!!

Madah Muhammad Iqbal


Jangan dipilih hidup bagaikan nyanyian ombak.......
Hanya bernyanyi, ketika terhempas di pantai.....

tapi.....

Jadilah kamu ibarat air bah....
Menggugah dan mengubah dunia dgn amalmu!

Thursday 27 January 2011

Apakah hukum hobi bela burung?


Soalan:

Apa pandangan tuan berhubung hobi membela burung, seperti burung merbuk, burung tekukur dan ayam serama. Ada yang untuk dipertandingkan suaranya, sabung ayam atau semata-mata untuk berhibur dengan mendengar suaranya dan melihat kecantikannya. Bertahun-tahun burung itu terkurung dalam sangkar, sehingga ada yang mati beragan. Wajarkah hobi itu pada pandangan Islam? Mohon penjelasan.

Jawapan:

ISLAM amat mengharamkan kezaliman dalam apa bentuk sekalipun, sama ada sesama manusia, atau haiwan, termasuk burung.

Perbuatan mengurung makhluk yang hidup dalam kurungan yang sempit, seperti mengurung burung dalam sangkar adalah sama dengan memenjarakan manusia, tanpa sebarang kesalahan yang dilakukan.

Perbuatan itu adalah suatu penganiayaan atau kezaliman yang diharamkan oleh syarak. Allah berfirman (mafhumnya): “Dan sesiapa yang berlaku zalim ke atasmu, Kami akan menjatuhkan ke atasnya azab yang besar.” (al-Furqan: 19)

Dalam sebuah hadis daripada Jabir ra, katanya Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): “Takutilah atau jauhilah daripada melakukan kezaliman kerana kezaliman itu akan mengundang azab Allah ke atas pelakunya pada hari Kiamat.” (Riwayat Imam Muslim)

Burung adalah makhluk Allah yang juga mempunyai perasaan untuk hidup bebas, bersukaria, berkawan, berpasangan, beranak-pinak tanpa diganggu sesiapa.
Tiba-tiba burung-burung itu dikurung dalam kurungan yang kecil, sehingga ada yang mati dalam kurungan tersebut.

Dalam suatu hadis sahih Jabir bin Abdullah meriwayatkan Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): “Seorang perempuan diazab pada hari kiamat angkara seekor kucing yang dikurungnya sehingga mati, tanpa memberi makan dan minum atau membebaskannya untuk mencari makanan sendiri di muka bumi.” (Riwayat Imam Muslim)

Apa bezanya kisah seekor kucing yang dikurung hingga mati, sehingga orang yang mengurungnya dimasukkan ke dalam neraka, dengan seorang yang mengurung seekor burung, juga hingga mati?

Persoalan utama di sini ialah soal kezaliman. Kezaliman amat dilarang.
Kita sebagai manusia, juga akan merasakan diri teraniaya apabila kita terkurung dalam sebuah istana yang indah, walaupun diberi dengan segala macam kehidupan, diberi makan minum, hiburan dan sebagainya, tetapi kita tidak diberi kebebasan. Hanya terperap atau terkurung dalam kurungan itu sahaja.

Jika kita boleh merasakan keadaan ini sebagai suatu kezaliman, maka bayangkan burung yang kita kurung dalam sangkar kecil, yang hanya diberi makan sejenis makanan atau beberapa jenis makanan yang terhad, sedangkan burung-burung itu seharusnya hidup bebas, berkelamin, bersukaria dan boleh menikmati apa jua makanan yang mereka pilih sendiri daripada rezeki yang Allah berikan.

Burung atau haiwan adalah makhluk Allah, mereka beriman kepada Allah, sesuai dengan kehidupan dan alam mereka.

Firman Allah SWT (mafhumnya): “Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah sentiasa bertasbih kepadanya sekelian makhluk yang ada di langit dan juga di bumi, dan burung-burung yang terbang berbaris bersaf-saf di angkasa, masing-masing sedia mengetahui cara beribadah kepada Allah dan memuji-muji Allah. Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.” (an-Nuur: 41)

Seandainya, burung yang dikurung itu, yang kebetulan mengenali Allah, bertasbih kepada Allah, bersolat kepada Allah, mematuhi perintah Allah, ia dekat dengan Allah, tiba-tiba dizalimi.

Jika burung itu berdoa yang tidak baik kepada Allah, memohon Allah menurunkan bala kepada insan yang menzalimi mereka, apa yang terjadi? Ingatlah bahawa doa makhluk yang dizalimi, tidak akan dipersia-siakan oleh Allah SWT.

Oleh itu, wajarlah diinsafi bahawa perbuatan mengurung makhluk-makhluk yang seperti ini, padahnya amat besar jika hendak dibandingkan dengan faedah yang boleh didapati. Faedah keseronokan mendengar suara burung-burung itu, sedangkan hati mereka menangis, suara kicauan mereka, mana tahu ketika itu mereka sedang memaki hamun orang yang mengurung mereka.

Kelak insan yang zalim akan mendapat balasan Allah SWT yang begitu teruk dan azabnya begitu dahsyat. Tidak akan berasa beruntung walaupun sedikit.

Maka dengan sebab itulah Islam mengharamkannya. Wallahu`alam.

Sumber: Bersama Dato` Dr Harun Din

Wednesday 26 January 2011

Bicara santai: Catatan kosong


Saya keletihan...

Hanya satu hari sahaja saya dapat berehat di rumah selepas balik dari negeri Johor. Keesokan harinya saya bertolak pula ke ibukota Kuala Lumpur atas urusan keluarga. Untuk memaksimum masa rehat, saya memilih untuk pergi dengan menaiki bas ekspres. Walaupun ada juga rasa cuak dan gerun dengan statistik kemalangan yang melibatkan bas ekspres. 'Bismillahi tawakkaltu ilallah' Insya-Allah selamat, saya meredakan perasaan. Semasa berada di Kuala Lumpur, seorang sahabat menghubungi dan mengajak ke Johor untuk program di sana.

"Insya-Allah," itulah jawapan yang sesuai ketika ini.

Melihat diari program-program Jabatan Amal IM di tahun 2011 ini baik program di dalam dan luar kawasan terasa letih dan memenatkan. "Semakin berkurangan masa dengan keluarga" getus hati kecil saya sendirian. Namun di satu sudut yang lain saya memanjatkan rasa syukur kerana ini adalah satu peluang untuk saya memberi dan menambah amal bakti. Itulah yang sentiasa saya ingat dan sematkan di dalam dada.

Pondok kecil abuikhwan pula terbengkalai beberapa hari. Baru malam ini saya dapat menjengahnya. Mudah-mudahan ia tidak ditumbuhi "lalang".

Isya-Allah, Jumaat ini akan ke Johor sekali lagi. Terbengkalai pula pondok abuikhwan.

"Dan katakanlah (wahai Muhammad), "Hendaklah kamu bekerja! Maka Allah akan melihat pekerjaanmu, begitu juga Rasul-Nya dan orang-orang mukmin. Dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Maha Mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan." (at-Taubah: 105)

Seeru `ala barakatillah!

Sunday 23 January 2011

Kembara ke Labis

Alhamdulillah, selamat tiba dirumah setelah tiga hari bermusafir ke selatan tanahair. Bukan jauh pun cuma di Labis sahaja. Tetapi perjalanan bersama rakan-rakan amat besar nilainya, kerana melaluinya kita dapat mengenali hati budi seseorang.

Sesungguhnya persaudaraan dalam Islam persaudaraan yang hakiki. Jiwa boleh jadi sakit manakala peluh, airmata dan darah boleh mengalir keluar namu semuanya tidak mampu untuk menghapuskan nikmat persahabatan dan persaudaraan di jalan-Nya. Persaudaraan yang wujud atas dasar ukhuwah Islamiyyah dapat melahirkan sikap lemah lembut, sabar, bertolak ansur, tidak mementingkan diri sendiri dan berusaha menjaga hubungan baik.

Itulah yang saya perolehi dalam kembara kali ini. "Kembara Mencari Hamba"

Kata ahli hikmah: "Selemah-lemah manusia ialah orang yang tak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yang mensia-siakan sahabat yang telah dicari." Singgah minum di Bandar Muadzam Shah, jam menunjukkan hampir satu pagi.


Tanya seorang sahabat, "nak makan otak-otak?"
"Datang sini nak makan otak-otak, kat Kuantan pun banyak otak-otak," jawab saya.
"Otak-otak kat Johor ni lain dengan yang kat Pahang," katanya lagi.
Memang betul lain, kalau di Pahang otak-otak ada ikan dan kelapa tetapi otak-otak Johor macam sosej. Tetapi dibungkus tetap sama di dalam daun kelapa. Begitulah kita semua, walaupun dari mana anda Pahang, Johor, Melaka, Kedah, tetapi kita adalah sama iaitu rakyat Malaysia.


Membantu para doktor dalam Program Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Felda Tenang, Labis, elhamdulillah semoga ianya dinilai oleh Allah SWT.


Masjid an-Nur, Tenang. Inilah persinggahan yang memberikan ketenangan.

Di hadapan Kedai Muslimat yang terletak di Bandar Labis, menjual pelbagai barangan keluaran Muslim.
"Hidup memerlukan pengorbananan. Pengorbanan memerlukan perjuangan.
Perjuangan memerlukan ketabahan. Ketabahan memerlukan keyakinan.
Keyakinan pula menentukan kejayaan. Kejayaan pula akan menentukan
kebahagiaan."

Friday 21 January 2011

Lapar sehari, kenyang sehari...


Sesungguhnya tiap detik dan ketika dunia ini disibukkan dengan penghuninya yang sentiasa bergerak mencari keperluan hidup. Realiti hidup masa kini memerlukan biaya hidup yang tinggi. Ada juga yang bukan sekadar memenuhi keperluan hidup, tidak kurang yang memburu harta. Malam dan siang berusaha untuk menghimpunnya. Maka berlumba-lumbalah mereka menempatkan diri di celahan kebendaan. Masing-masing tidak mahu ketinggalan.

Sifirnya mudah. Tiada siapa yang ingin hidup miskin, tiada siapa yang ingin hidup melarat. Kerana itu adalah suatu yang menampakkan kehinaan bagi segelintir orang dan melambangkan status kehidupan.

Benarkah begitu?

Satu hari Rasulullah saw dikunjungi oleh malaikat Jibril, membawa tawaran dari Allah SWT untuk menukarkan semua bukit-bukit batu di sekitar Makkah menjadi bukit emas. Rasulullah saw ketika mendengar tawaran itu menjelaskan sikapnya kepada malaikat Jibril itu melalui doanya yang bermaksud:

"Tidak wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku lebih suka dalam hidupku berkeadaan lapar sehari dan kenyang sehari, kerana ketika waktu lapar dapatlah aku `bertadharruk` (merintih merayu) terhadap-Mu ya Tuhanku, dan apabila aku dalam keadaan kenyang maka dapatlah aku memuji-Mu dan mensyukuri nikmat-Mu ya Allah."

Manusia dan harta seumpama semut dan gula, satu analogi mudah. Cuba lihat dirumah kita jika ada gula yang tumpah, pasti ada semut yang menghurungnya. Mula-mula hanya seekor, kemudian semakin banyak yang datang. Demikianlah manusia, jika ada peluang-peluang mendapat dan menambahkan harta, maka akan berduyun-duyunlah manusia merebutnya. Contohnya jika ada terjumpanya emas di perut bumi. Begitu juga dengan pelaburan intrnet, skim cepat kaya, skim piramid dan sebagainya. Berlumba-lumba makhluk manusia mendapatkannya. Kerana mahu kaya.

Cuba bayangkan jika tawaran yang dikemukakan kepada Rasulullah saw ditawarkan kepada kita. Pasti kita akan melompat menerimanya. Bermacam-macam pujian kepada Tuhan kerana memberikan nikmat itu.

"Doaku telah dimakbulkan!"

"Mungkin Tuhan beri kerana aku beribadat dan taat kepada-Nya"

Mungkin ada dialog seperti di atas.

Namun bagi Rasulullah saw tidak begitu. Baginda tidak menerima tawaran dari Allah SWT untuk menukar bukit-bukau kepada emas kerana baginda lebih mudah mengingati Allah dalam keadaan kehidupan sekarang lapar sehari dan kenyang sehari. Syukur dan tadharruk (merintih merayu).

Sebagai kesimpulannya, hendaklah kita mempunyai pendirian, misi dan visi dalam penumpukan harta ini. Adakah harta yang dikumpul ini mendapat keredhaan atau kemurkaan Allah SWT. Marilah kita memastikan harta yang dikumpul dapat menyelamatkan kita kelak, dan melaluinya kita menambah amal kebajikan. Akhirnya marilah kita meminta hidayah dan taufiq agar kita sentiasa dilandasan yang benar. Mudah-mudahan kita kembali dalam keadaan diredhai-Nya. Insya-Allah

Thursday 20 January 2011

Ehsan dalam kehidupan


Hari Ahad. Satu pagi yang cerah saya menemani isteri membeli ikan dan sayur di pasar. Sebenarnya saya jarang dapat menemaninya, kerana kebiasaan hujung minggu saya dipenuhi dengan program-program amal. Seronok juga, bertemu dengan sahabat-sahabat yang turut sama ke pasar ikan ini. Teringat kepada cerita Laksamana Do Re Mi, sewaktu ‘Mi’ lakonan seniman Ibrahim Din tawar menawar harga sayur.

“Pucuk ubi berapa sen?”

“Pucuk ubi sepuluh sen.” Jawab gadis si penjual itu.

“Jantung pisang?” Tanya si `Mi` lagi.

“Jantung pisang dua puluh sen”.

Wahh..murahnya, kalaulah sekarang ini harga masih seperti itu...

Ehsan dalam kehidupan

Kami sudah selesai membeli dan berjalan keluar dari pasar. Dalam suasana kesibukan manusia bertali arus mencari sesuatu, tiba-tiba pandangan mata tertumpu pada satu episod kehidupan yang jarang kelihatan. Sesuatu yang amat menarik perhatian saya sehingga saya berhenti berjalan untuk memberi tumpuan kepadanya.

"Tengok pakcik tu," saya berkata kepada isteri sambil anak mata melirik pada seorang tua di bawah pohon angsana yang merimbun. Daun-daunnya melambai-lambai dijamah bayu pagi.

"Bagus ya, jarang yang mahu buat macam tu," balas isteri saya.

"Ya, kita pun belum mampu dapat buat sepertinya," saya menjawab mengiyakan kata-kata isteri saya.

Sungguh asyik saya melihat pakcik itu memberi makan kucing-kucing yang berkeliaran di pasar ikan ini. Tanpa menghiraukan orang yang lalu-lalang, dia memotong keropok yang dibelinya kepada potongan-potongan kecil lalu disuakan pada kucing-kucing tersebut. Kucing-kucing tersebut amat manja dengannya.

Menyaksikan peristiwa ini, saya teringat satu hadis yang masyhur...

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda: “Ketika seorang lelaki sedang berjalan di jalanan dan beliau amat kehausan, tiba-tiba beliau terjumpa sebuah telaga. Beliau segera turun ke dalam telaga tersebut untuk meminum airnya. Kemudian apabila beliau keluar dari telaga tersebut, beliau melihat seekor anjing mengeluarkan lidahnya menjilat-jilat debu kerana kehausan. Lelaki tersebut berkata di dalam hatinya: Anjing ini mesti kehausan seperti aku. Oleh itu, beliau turun semula ke dalam telaga dan memasukkan air ke dalam kasutnya yang diperbuat dari kulit iaitu khuf dan menggunakan mulutnya untuk menggigit kasut tersebut supaya dapat membawa naik kasut yang berisikan air itu untuk diberikan kepada anjing tersebut. Melihat hal itu, Allah berterima kasih kepadanya, dan mengampuninya. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah! Sesungguhnya perbuatan kita terhadap binatang seperti anjing tersebut boleh mendapatkan pahala? Rasulullah saw menjawab: Setiap yang mempunyai roh (bernyawa) ada pahalanya.”

Hadis ini sebenarnya terbahagi kepada dua keadaan iaitu hadis sahih dan hadis kiasan. Cerita tentang lelaki yang memberi minum kepada anjing itu adalah benar tetapi dia akan masuk ke syurga bukan kerana memberi minum anjing itu tetapi kerana sifat belas ehsannya kepada haiwan. Fikirkanlah jika berbelas ehsan kepada haiwan lagi dibalas syurga apatah lagi jika berbelas ehsan sesama manusia.

Begitu juga hadis yang juga dari Abu Hurairah ra, Nabi saw bersabda: “Sesungguhnya seorang wanita pelacur melihat seekor anjing sedang mengelilingi sebuah telaga pada hari yang sangat panas. Anjing itu berusaha menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Beliau kemudian menggunakan kasutnya yang dibuat dari kulit iaitu khuf untuk mengambil air telaga tersebut sehingga anjing tadi dapat minum. Oleh kerana perbuatannya itu, dosa wanita tersebut diampunkan.”

Penutup

Memberi adalah sebahagian daripada kasih sayang. Sesungguhnya yang membuatkan manusia paling gembira ialah dengan memberikan kebahagiaan kepada sesama makhluk. Mengapa? Kerana dengan memberi akan mewujudkan kerendahan hati di hadapan Tuhan serta menghilangkan rasa mementingkan diri sendiri. Bagaimana jika di dunia ini tiada sifat ehsan. Manusia tiada sifat ehsan kepada sesama makhluk. Suami tiada sifat ehsan kepada isteri, ibu tiada sifat ehsan kepada anaknya. Ketua keluarga tiada sifat ehsan kepada keluarganya dan pemimpin tiada sifat ehsan kepada rakyatnya. Anda boleh bayangkan apa yang akan terjadi. Pasti rosak dunia ini. Hancur sistem dan moral kemanusiaan.

Fikirkanlah, hidup ini adalah umpama roda. Adakalanya berada ditingkat atas dan boleh jadi jatuh tersungkur. Kekayaan, pengaruh, pangkat dan kekuasaan adalah seperti `baju`. Ia boleh hilang sekelip mata. Mungkin di waktu itu kita pula yang memerlukan ehsan daripada orang lain. Siapa tau!

Sebagai penutupnya, renungilah satu hadis yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah, Rasulullah saw bersabda: ”Sesiapa yang tidak ada sifat ehsan kepada orang lain, maka dia tidak akan akan mendapat ehsan.”

Ayuh! Mari memberi kerana kita ada ehsan...

Ehsan sesama makhluk

Tuesday 18 January 2011

I LOVE YOU TOO!!



Memang ajaiblah jika ada rumah tangga yang aman damai lagi harmoni sepanjang hayat. Tiada taufan, tiada badai! Tenaaaaaaaang memanjang. Langsung tidak ada suasana tegang biarpun sesaat. Ajaib sungguh! Jika ada TIDAK tergolong dalam rumah tangga ajaib ini, hah...elok sangatlah (kunyah) lumat buku I LOVE YOU TOO!! ini.

"I LOVE YOU TOO!!" Sudah berapa kalikah ungkapan ini anda ucapkan kepada pasangan masing-masing setelah sekian lama mendirikan rumah tangga?

Gelagat suami, karenah isteri, ragam anak-anak itulah yang menjadi warna alam rumah tangga. Mereka inilah watak-watak utama dalam kehidupan berumah tangga. Dan watak-watak inilah yang melatari I LOVE YOU TOO!!

Sebuah keluarga bermula dengan sepasang suami isteri. Kemudian berkembang dengan kelahiran zuriat dan generasi berikutnya. Dalam proses pengembangan ini, tentulah ada tempoh-tempoh yang terkadang tidak terbayangkan dek kita akan `haru-biru`nya.

Puas dicari puncanya, puas dicari jalan penyelesaian yang kekadang kita terlepas pandang bahawasanya kebanyakan masalah rumah tangga sebenarnya berpunca daripada kita sendiri-kita yang bernama PEREMPUAN, ISTERI, EMAK, LELAKI, SUAMI, AYAH maupun ANAK.

Tajuk : I LOVE YOU TOO!!
Penulis :Badrul Hisham Shari
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
Harga : RM19.00 / RM21.00
M/S : 190

I LOVE YOU TOO!! Merupakan himpunan sketsa rumah tangga yang digarap dalam bahasa yang mudah dan ilustrasi penuh unsur humor, namu sarat dengan mesej dan panduan. Merupakan sebuah buku motivasi Islam yang mengupas isu-isu rumah tangga-peranan suami, isteri, ibu, bapa dan anak-anak dalam mengharungi hidup seharian. Selain itu hal-hal ibadah harian juga disentuh. Ada yang sinis, ada yang lucu!

I LOVE YOU TOO!! terbahagi kepada beberapa bab:

-Tentang Perempuan
*Kenapa Tak kahwin-Kahwin Lagi?
*Sukarnya Mencari Khadijah!
*`Audition` Calon Suami
*Wanita Super

-Tentang Lelaki
*Yang Bernama Lelaki a.k.a Suami
*PANBUSEN Panaskan Rumahtangga
*If Anything Happen To Me...
*Sporting Si Luncai Moden

-Tentang Zuriat
*Transfer Tanggungjawab Tak Semudah Transfer Akaun!
*Mari Cermin Muka Kita
*'Melaburlah' Demi Akhirat
*Anak Kita Buat Apa Tu?
*Penyakit 'Karenah Budak Besar' Sudah Mari!
*Episod Kejar Mengejar
*Ikan Masak Fried Chicken
*Budak-Budak Inilah Harapan Kita
*Duty Ibu Bapa tak Pernah Ada Off

-Iklim Rumah Tangga
*Dia Tenang, Engkau Pun Tenang
*Ragam Romantis Emak Dan Ayah
*Wang Besar Wang Haram
*Kemana Hilang Special Servis Isteri?

-Mencarik Adat
*Kenapa Lelaki Suka Pada Aku?
*Bikin Bakal Mentua Cair
*The Making Of...'Cerita Tentang Kahwin'
*Nak Sebut Sayang Pun Malu...

-Memaknakan Ibadah
*Post-Mortem Amalan
*Aduh! Macam Mana Kita?
*Ada Hati Nak Masuk Syurga
*Score Penalti Semasa Ramadhan
*Pergi Mungkin Tak Kembali
*Jangan Usung Guni Bocor, Pahala Tak Dapat Dosa Berterabur!

Dalam mengkritik ada mendidik. Dalam mengena ada seloka. Dalam menempelak ada melawak. Dalam mencubit ada menggeletek. Inilah keistimewaan dan kekuatan buku I LOVE YOU TOO!!

Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu!!

Benarkah bulan terbelah dua pada zaman Rasulullah?

Soalan:

Sudah banyak kali saya mendengar cerita mengenai mukjizat Nabi Muhammad saw membelah bulan. Cerita itu hakikat atau ilusi (khayalan) manusia zaman itu sahaja. Jika betul-betul terbelah dua, tentu ada fakta fizikal secara geografi, kerana manusia berjaya mendarat di bulan, kesannya tentu dapat dilihat sehingga ke hari ini. Pernahkah manusia menemui kesan tersebut, mohon penjelasan.

Jawapan:

KISAH bulan terbelah dua, bukan ilusi atau khayalan. Ia bukan sihir dan silap mata. Malah ianya kisah yang benar-benar berlaku, sungguh berlaku secara waqi`e (berlaku di alam nyata).

Bulan terbelah dua pada zaman Rasulullah saw adalah kisah benar yang dirakamkan dalam al-Quranul Karim di satu surah yang Allah namakan sendiri Suratul Qamar (Surah Bulan).

Firman Allah (mafhum-Nya): “Telah hampir saat (kedatangan hari kiamat) dan terbelahlah bulan.

“Dan kalau mereka (kaum musyrik Makkah) melihat sesuatu mukjizat, mereka berpaling engkar sambil berkata: (Ini ialah) sihir yang terus menerus berlaku.
“Dan (telah menjadi adat) mereka mendustakan (Nabi Muhammad dan mukjizat-mukjizat yang dibawanya) serta menurut hawa nafsu mereka, sedang tiap-tiap perkara tetap (menurut keadaan yang ditentukan oleh Allah).
“Dan sesungguhnya! Telah sampai kepada mereka (dengan perantaraan al-Quran), sebahagian daripada kisah-kisah dan berita (umat-umat yang telah lalu), yang mengandungi perkara-perkara yang cukup untuk mencegah mereka (dari perbuatan yang kufur itu).
“(Yang demikian ialah) pengajaran yang cukup sempurna; dalam pada itu, segala peringatan dan amaran tidak akan mendatangkan faedah (kepada mereka yang engkar). (al-Qamar: 1-5).

Amat jelas dalam ayat di atas bulan terbelah dua, kisahnya cukup jelas disebut dalam kitab-kitab sirah dan hadis-hadis sahih antaranya, al-Imam Ahmad bin Hanbal meriwayatkan hadis daripada Jabir bin Mat`am katanya (mafhum): “Pada zaman Rasulullah saw bulan telah terbelah dua, benar-benar terlihat dua belahannya, satu di bukit sebelah kanan, satu di bukit sebelah kiri. Orang-orang kafir berkata Muhammad telah melakukan sihir. Ada pula di kalangan mereka yang menjawab, kalau sihir dilakukan, maka yang kena sihir adalah kita di sini, dan sihir tidak mungkin terkena kepada semua orang di tempat lain.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Apabila berlaku sedemikian, Rasulullah saw bersabda yang mafhumnya: “Ya Allah, Kamulah yang menjadi saksi, ini adalah benar.”

Abdullah bin Mas`ud meriwayatkan hadis (mafhumnya): “Bulan terbelah dua pada zaman Rasulullah saw. Kaum Quraisy berkata ini adalah sihir Ibnu Abi Kabshah. Mereka berkata lagi, tunggu dahulu, jangan percaya apa yang kita lihat ini, sehinggalah pengembara-pengembara di padang pasir dari ahli-ahli Badiah, tiba di Makkah dalam sehari dua ini, kita tanya mereka tentang peristiwa ini, mereka lihat atau tidak. Kalau mereka tidak melihat, ini (bulan terbelah dua) adalah sihir, jika mereka melihatnya, maka apa yang kita nampak benar-benar berlaku, maka ia mungkin berlaku.”

Keesokan dan beberapa hari berikutnya, maka tibalah pengembara-pengembara tersebut, semua mereka menceritakan peristiwa yang sama, bahawa mereka lihat pada malam itu, bulan terbelah dua.

Namun demikian kuffar Makkah tetap mengingkari secara degil dan keras kepala. Maka dari sinilah turunnya ayat yang saya paparkan di atas.

Adapun bukti fizikal berdasarkan fakta, apakah di atas bulan terdapat rekahan yang menunjukkan bulan itu pernah terbelah dua.

Memang telah wujud bukti tersebut. Pengunjung-pengunjung bulan yang terdiri daripada angkasawan Amerika Syarikat dan Rusia, pernah merakamkan gambar di atas bulan yang menunjukkan kesan rekahan besar di atas bulan, mengelilingi bulan sebesar bulan itu.
Gambar yang diambil telah pun tersiar di beberapa akhbar dunia dan disiarkan dalam sebuah majalah tempatan kita yang bernama al-Hunafa isu 2009/2010 di bawah tajuk ‘Splitting of the Moon’ yang bermaksud bulan terbelah.

Oleh kerana telah disedari bahawa jika dibesar-besarkan cerita tersebut dan diketahui umum bulan terbelah dua, dengan kesan yang nyata, maka akan terbuktilah satu lagi bukti yang paling nyata dan kuat.

Ia memperjelaskan bahawa al-Quran itu benar, mukjizat Nabi Muhammad adalah benar. Dengan sendirinya membuktikan Islam itu benar. Maka ketika itu akan kecewalah orang yang kuffar.

Bahawa Rasulullah saw membuktikan mukjizatnya kepada musyrikin Makkah dan dengan bukti pengembara padang pasir, telah menjadikan mereka keras kepala dan engkar. Mereka menolak kebenaran yang dibawa dengan nyata.

Lihatlah sekarang, dalam zaman sains dan teknologi, amat terbukti dengan paparan yang begitu nyata bahawa bulan meninggalkan rekahannya di sepanjang lilit bulatannya, menandakan benarnya mukjizat yang telah berlaku ke atas Nabi Muhammad saw.

Inilah satu bukti nyata bahawa mujizat Nabi-nabi yang terdahulu, semuanya telah hilang kesan, sedangkan mukjizat Nabi Muhammad, dengan al-Quran sebagai kepala segala mukjizat boleh dilihat, dan dilihat sehingga sekarang.

Ini membuktikan bahawa Islam adalah agama Allah yang benar. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Monday 17 January 2011

Aku juga mahu menangis...

Siapakah yang tak pernah menangis,
Di hujung setiap ketawa dan lupa,
Siapakah diantara kita yang memalingkan muka,
Ketika mendengar kalimah Tuhan,
Banyak bakti yang dapat diberi,
Sepanjang hidup yang sesingkat ini,
Lautan manusia berombakkan nafsu,
Kebenaran terdampar di pantai kecewa...

Air mata seperti mutiara,
Apakah itu rasa keinsafan,
Rintihan dari hati yang rindu,
Apakah itu hakikat cintamu...
(Zubir Ali,almarhum)

Adakalanya jiwa saya bagaikan terserap ke dalam lagu ini, tanpa saya sedari titisan manik-manik jernih mengalirkan membasahi pipi tatkala mendengar alunannya yang puitis dan syahdu. Ahh...hati manusia, ada masa seumpama batu dan boleh menjadi lembut jika kena caranya...

Menangis adalah sebahagian proses semulajadi yang dianugerahkan ALLAH kepada kita. Ada orang menangis kerana sedih, ada yang terlalu gembira, ada juga yang menangis kerana marah dan ada juga yang menangis tanpa apa-apa sebab. Walaupun sesetengah orang mengaitkan tangisan itu dengan wanita dan sebagai lambang kelemahan, namun hakikatnya ia tidak benar.

Sesungguhnya setitis air mata taubat dan penyesalan mampu memadamkan api neraka yang marak membakar. Oleh itu berilah tangisan keinsafan, bertaubatlah dengan mengeluarkan air mata penyesalan. Kenangkanlah kelemahan diri berbanding kekuasaan Allah, cucurilah air mata ketaqwaan mudah-mudahan air mata itu akan menjadi saksi di hadapan Allah. Fikirkan, ini adalah kelebihan wanita yang fitrahnya mudah mengalirkan air mata berbanding lelaki, kerana jiwa mereka halus dan mudah tersentuh.

Tetapi janganlah sengaja mengalirkan air mata untuk menagih simpati manusia ataupun menarik perhatian lelaki. Kelak air mata inilah yang akan mengheretnya ke neraka. Wal`iyuzubillah.

Tingkat tangisan

- Tangisan kerana malu, umpama tangisan Nabi Adam as.
- Tangisan kerana kesalahan, umpama tangisan Nabi Daud as.
- Tangisan kerana takut dan bimbang, umpama tangisan Nabi Yahya as.
- Tangisan kerana kehilangan sesuatu, umpama tangisan Nabi Yaakub as.
- Tangisan kerana rindu dan cinta, umpama tangisan Nabi Syuaib as.
- Tangisan kerana merasakan kehebatan, umpama tangisan sekelian para nabi

Satu kisah...

Telah diriwayatkan dari `Atha, bahawa dia berkata: Saya, Ibnu Umar dan Ubai bin Amrin telah datang menemui Siti Aisyah .

Kata Ibnu Umar: “Ya Siti Aisyah, ceritakanlah kepada kami sekelian sesuatu yang paling mengkagumkan dari Nabi saw.”

Maka Siti Aisyah menangis lalu berkata: “Pada suatu malam, yang malam itu memang giliran saya, baginda datang kepada saya, maka bersentuhanlah kulit baginda dan kulit saya, lalu baginda bersabda: “Ya Aisyah, izinkanlah saya beribadah kepada Tuhanku!”

Kata saya: “Sesungguhnya saya tidak suka memperturutkan hawa nafsu saya, bahkan saya suka ibadahmu kepada Allah Ta`ala.”

Maka Nabi saw berdiri menuju ke tempat air di dalam rumah sambil menangis, lalu mengambil wudhu` dan memperbanyak tuangan air. Selanjutnya Nabi membuka al-Quran, maka baginda menangis sehingga air matanya bercucuran jatuh ke tanah.

Maka datanglah sahabat Bilal, sedangkan beliau masih dalam keadaan menangis. Kata Bilal: “Ya Rasulullah, demi ayahku dan demi ibuku, aduhai Rasulullah apakah yang menyebabkan engkau menangis, maka sesungguhnya Allah Ta`ala telah mengampuni semua dosa engkau yang telah lalu dan yang akan datang.”

Maka Nabi saw bersabda: “Apakah saya tidak menjadi hamba yang bersyukur? Apakah yang menghalangi saya menangis, kerana sesungguhnya malam tadi Allah Ta`ala telah menurunkan wahyu-Nya, iaitu:

“Sesungguhnya di dalam penciptaan langit-langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal. Iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit-langit dan bumi (seraya berkata), “Tuhan kami, tiadalah Engkau ciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.” (Ali-Imran: 190-191).

"Ya Bilal, tidak akan dapat memadamkan api neraka, kecuali air mata. Celakalah orang yang membaca ayat ini tanpa memikirkan isinya." (Sahih berdasarkan persyaratan Bukhari).

#Merenung kekuasaan dan ciptaan-Nya... sehingga mengalir air mata keinsafan, merasakan betapa lemah dan kerdilnya diri ini.

Sunday 16 January 2011

Terima kasih, award pengubat letih


Alhamdulillah, selamat sampai ke rumah setelah menempuh perjalanan panjang selama tujuh jam. Perjalanan yang bukan sekadar perjalanan kosong, tetapi perjalanan mencari makna diri dan mencelik mata hati.

Saya adalah makhluk istimewa, seperti yang telah Dia firmankan: "Dan sesungguhnya telah Aku ciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian." Justeru itu, saya percaya bahawa saya bukan biasa-biasa tetapi untuk menjadi luar biasa. Untuk itu saya perlukan persiapan dan persediaan agar luar biasa itu dapat saya capai.

Firman Allah SWT:
"Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang Mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat berjaga-jaga." (at-Taubah: 122)

Ayat ini adalah mutiara penuntut ilmu. Amat besar sekali makna yang tersirat di sebaliknya. Kerana itu Allah meletakkan kalimah NAFARA, menuntut ilmu seumpama bergulat di medan jihad. Berkorban masa, tenaga, harta serta nyawa sekalipun. Semua itu mahal harganya.

Demikianlah seadanya.

Hajat di hati ingin memblog, namun keupayaan diri ketika ini sangat terbatas. Dengan badan yang amat letih serta fikiran yang bersimpul-simpul, membuatkan hajat itu terencat. Kelopak mata pula bagai dijahit-jahit. Sesungguhnya 'mahu' saya tidak dapat mengatasi 'mampu'. Akhirnya saya mengalah kepada fitrah. Melelapkan mata merehatkan jasad dan minda.

Sebelum belayar jauh ke alam mimpi saya berbesar hati mengucapkan terima kasih kepada miss eqa di atas award yang diberi, setelah menjadi followers ke 100. Tak sangka ye...

Inilah sahaja yang mampu dicoretkan...

Kenangan masih basah: Saya rindukan hari-hari itu...

Kata pujangga: “Rindu itu amat menyakitkan.”

Entah kenapa kebelakangan ini, saya amat rindukan hari-hari yang telah berlalu. Kerinduan yang menyebabkan saya jadi sebak. Jiwa saya sakit merindui hari-hari itu. Kadang-kadang ada air mata yang menitis keluar. Rindu yang keluar dari kenangan itu kadang-kadang amat menekan jiwa.

Saya dan rindu pada sesuatu

Saya sering terkenang desa saya yang dahulu. Desa yang belum terusik dengan kemajuan yang rakus, menukar anak-anak kampung menjadi cacat budi dan tidak pandai berbahasa. Di saat semak belukar masih luas, ketika paya masih berair, tempat saya meranduk bersama rakan mencari secebis kedamaian dekat dengan alam. Tatkala desa diserkup kelam malam, ditemani cahaya andang daun kelapa, kami berduyun-duyun ke rumah tuan guru belajar mengaji, berzanji, marhaban dan seribu satu ilmu bekalan kehidupan. Indahnya zaman itu. Biarpun ketika itu zaman hitam putih, namun perjalanan hidup ketika itu dipenuhi lorekan warna, di sana ada secebis damai diri yang telah hilang hari ini.

Kadang-kadang saya merindui zaman kehidupan di asrama dahulu yang penuh disiplin dan menjaga masa. Makan berjadual, solat lima waktu berjemaah dan ada kumpulan mengulangkaji pelajaran. Saya teringat di antara maghrib dan isya` wajib berada di musolla sekolah, berlumba-lumba menghafal surah-surah pilihan jika tiada kuliah yang disampaikan. Sebelum tidur mendengar cerita dari senior yang bertandang, selalunya katil saya yang menjadi mangsa berkumpul. Kerapkali senior akan bercerita kisah-kisah hantu di kawasan asrama untuk menyakat dan menakut-nakutkan kami semua.

Teringat juga kepada teman-teman seperjuangan yang sama-sama mewakafkan diri di medan menuntut ilmu. Tanpa jemu menadah kitab sebagai persedian diri guna hari mendatang. Besarnya erti persahabatan dan ukhuwwah fillah, tanpanya persahabatan tiada nilai, kosong dan suram.

Semua itu bagaikan baru semalam berlalu, kadang-kadang ia bertamu di alam mimpi.

Adakalanya untuk mengubati kerinduan ini, saya akan membelek-belek buku yang sederetan di dalam almari. Menyelak halaman demi halaman, lebih terasa tatkala tersua dengan nota-nota kusam yang banyak kedapatan pada Qamus al-Marbawy yang banyak berjasa. Begitu juga dengan lakaran yang lebih kepada contengan di dalam Mukhallis Qawaid al-Lughatul `Arabiyyah, kebosanan barangkali atau mereda pening kepala yang melanda tatkala ber-`irab dalam subjek Lughah al-`Arabiyyah.

Akan terubatkah rindu ini?

Hari-hari yang telah berlalu mencetuskan kenangan yang tersendiri. Ada bau rindu di situ, rindu itulah yang membasahkan perasaan saya hari ini. Saya tahu kesedihan, menangisi hari semalam adalah sesuatu yang sia-sia. Kerana hari-hari yang telah berlalu tidak mungkin berulang kembali. Semuanya telah menjadi kisah dan sejarah, yang telah disimpan di dalam lipatan memori.

Seandai kita bertanya adakah kita bahagia pada kehidupan yang lalu berbanding hari ini? Tentunya kita ada seribu satu sebab untuk berkata demikian. Sesungguhnya semalam telah pun berlalu, hari ini untuk kita corakkan bahagia atau sengsara dan esok belum tentu kepunyaan kita. Mungkin telah tersurat untuk kita tidak sempat menjengah matahari hari esok.

Hidup adalah satu pusingan perubahan yang tidak henti-henti. Hidup sebenar ialah hari ini, inilah yang realiti. Namun, kenangan semalam yang menjenguk dijiwa selepas perjalanan masa, itulah yang mematangkan fikiran. Nostalgia itulah yang mengajar erti kehidupan, ukhuwah, cinta dan kasih sayang.

Saat ini saya masih lagi bertanya, AKAN TERUBATKAH RINDU INI?

Merenung hari-hari yang telah berlalu, saya rindukannya...

Saturday 15 January 2011

Kiamat: Bolehkah dipercayai ramalan saintis ?

Soalan:

Permasalahan bilakah kiamat telah dijawab oleh beberapa saintis hari ini, dengan menentukan tarikh kehancuran dunia dan alam ini pada tarikh yang telah ditetapkan, seperti yang tersebar dalam internet dan khidmat SMS. Bolehkah dipercayai dan apa hukum mempercayainya? Mohon penjelasan.

Jawapan:

Ramai juga orang yang bertanya saya melalui majlis-majlis ceramah, melalui telefon dan SMS berkenaan hal yang berkaitan.

Saya berpendapat bahawa perkara tarikh kiamat ini, termasuk dalam perkara asas pegangan kita yang perlu diserahkan kepada Allah SWT sepenuhnya, tanpa berpegang atau merujuk kepada mana-mana makhluk.

Kiamat adalah kerja Allah. Tidak patut makhluk hendak campurtangan dalam hal yang besar sebegini. Ia tidak sepatutnya dicampuri.

Dalam al-Quran, Allah berfirman (mafhum-Nya): "Manusia bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang kedatangan hari kiamat; katakanlah: "Sesungguhnya pengetahuan mengenainya hanya ada disisi Allah." Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui? - boleh jadi masa datangnya tidak lama lagi." (al-Ahzab:63).

Tarikh berlaku kiamat adalah termasuk dalam perkara-perkara ghaib. Perkara ghaib, Allah sahaja yang mengetahuinya dan tidak diberitahu sesiapa pun melainkan kepada Rasul pilihan-Nya sahaja.

Firman Allah (mafhum-Nya): "Tuhanlah sahaja yang mengetahui segala yang ghaib; maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapa pun. Melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan)." (al-Jinn:26-27).

Namun demikian, Nabi Muhammad saw pun tidak mengetahui bilakah kiamat. Bukan sahaja Rasulullah, malah malaikat Jibril as. pun tidak mengetahuinya.

Dalam Sahih Muslim, diperturunkan hadis riwayat Umar al-Khattab, mengkisahkan perihal Jibril mengadap Nabi Muhammad saw bertanyakan bilakah kiamat akan berlaku, maka baginda menjawab; "Yang ditanya tidak akan lebih tahu daripada yang bertanya."

Maksud kata baginda ialah, makhluk yang paling amanah daripada kalangan penghuni langit, seperti Jibril yang paling dekat dengan Allah, menjadi utusan Allah kepada para anbiyak, khusus Muhammad saw pun tidak mengetahui bila kiamat sehingga bertanya kepada Nabi saw.

Kedua-dua makhluk yang paling rapat dengan Allah, tidak tahu tarikh, maka apakah logiknya yang boleh diterima akal, orang lain dari mereka berdua, khususnya saintis yang kafir hari ini, boleh mengetahui tarikh kiamat dan disebarkan kepada umum seperti yang anda tanyakan kepada saya sekarang.

Dalam hadis Ibnu Umar yang disahihkan oleh Imam al-Bukhari, Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): "Anak-anak kunci (rahsia) perkara ghaib ada lima perkara, tiada yang mengetahuinya melainkan Allah SWT sahaja."

Rasulullah membaca ayat al-Quranul Karim (mafhumnya): "Sesungguhnya disisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. Dan Dialah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui yang sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (samada baik atau jahat): Dan tiada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya." (Luqman: 34).

Dalam kitab Tafsir Ibnu Katsir ketika membuat tafsiran ayat di atas disebutkan:

"Itulah perkara-perkara ghaib yang menjadi anak kunci rahsia yang diketahui oleh Allah SWT sahaja. Maka tidak diberitahu kepada sesiapa pun hatta kepada Rasul yang diutus, atau kepada malaikat yang muqarrab (hampir) kepada Allah SWT."

Jika inilah keadaannya, maka mana mungkin orang kafir boleh meramal atau menetapkan tarikh kiamat. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din

Friday 14 January 2011

Ikut papan tanda Allah, selamat...




Kereta yang dinaiki meluncur laju membelah aspal jalan menyusuri Lebuhraya Pantai Timur. Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang ketika ini, mungkin kerana di luar musim perayaan. Di kiri dan kanan terbentang hutan hijau nan luas yang amat menyejukkan mata.

Sayup-sayup di kejauhan kaki langit menjulang tinggi bukit-bukau yang dilitupi awan putih bersih, bertompok-tompok bak kapas. Semua ini menambah kedamaian hati.

"Subhanallah, indahnya ciptaan-Mu di kanvas alam..." getus hati kecil.

Fitrah manusia memang suka kepada keindahan dan kecantikan. Tanyalah kepada sesiapa pun, pasti dia menjawab suka kepada keduanya. Apabila melihat sesuatu yang buruk secara automatik dia akan menolak. Saya juga begitu.

Perjalanan ke SMA Pulau Tawar berjalan dengan lancar, Alhamdulillah.

Ikut papan tanda

Teringat tazkirah seorang senior semasa di asrama dahulu.

“Kehidupan di dunia ini adalah suatu perjalanan menuju menuju destinasi terakhir di mana manusia akan bertemu dengan Tuhannya. Bila mana manusia bermusafir, papan tanda jalan dijadikan panduan supaya tidak tersesat. Papan tanda menunjukkan arah yang patut dilalui dan berapa jauh perjalanan berbaki. Allah telah menurunkan al-Quran sebagai panduan untuk menjamin supaya perjalanan hidup manusia selamat dan diberkati samada di dunia maupun akhirat.”

Sangat menyedihkan barah yang menimpa masyarakat hari ini.

Penyakit rohani...
Kegawatan moral...
Kecelaruan pemikiran...
Akhlaq?? Akhlaq?? Akhlaq??

Manusia sibuk bertungkus lumus mencari penyelesaian dan mencipta teori untuk mengatasi kegawatan jiwa. Kita adakan konsert, pelbagai aktiviti remaja seperti berekreasi di hutan, air terjun, menonton wayang gambar dan sebagainya. Tetapi tanpa disedari apa yang dicipta oleh manusia menambah lagi kerosakan jiwa. Selalunya begitu.

Di dalam Islam telah tersedia kesemua penawar bagi kudis ini. Papan tanda Allah.

Daripada Abu Hurairah ra. Katanya Nabi saw telah bersabda: “Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya selagi kamu berpegang dengan keduanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Rasulullah saw.” (Riwayat Malik).

Islam yang syumul dan lengkap telah membentangkan jalan keluar. Rasulullah saw telah menjelaskan sesiapa yang berpegang dengan dua pusaka yang ditinggalkan akan selamat di dunia dan akhirat. Sesungguhnya al-Quran adalah alat penyembuh dan penggilap jiwa manusia untuk kembali ke jalan yang lurus. Inilah penawar yang terlepas pandang dan dilupakan oleh manusia.

Islam dari dulu menganjurkan umatnya membaca dan mengkaji kandungan al-Quran. Lihatlah para sahabat terdahulu yang begitu akrab dengan al-Quran. Hasilnya mereka menjadi umat yang cemerlang di dunia dan di akhirat. Tidakkah kita mahu mencontohi mereka? Tepuk dada tanyalah iman di dada. Kita sendiri ada jawapannya dan kita yang memilihnya. Buatlah pilihan yang tepat agar kita dapat meneruskan kecemerlangan generasi para sahabat terdahulu.

Akhirnya…

Akhirnya saya sampai di SMA Pulau Tawar tanpa sebarang masalah. Mudahnya, mengapa? Walaupun ia adalah kali pertama saya ke sini. Kerana saya mengikut arahan papan tanda di kiri dan kanan jalan. Jika tidak, mungkin saya akan tersesat. Papan tanda banyak membantu.

Untuk menuju akhirat ikutlah papan tanda Allah, panduan yang menyelamatkan. Itulah al-Quran.

Allah berfirman: "Dan kami turunkan dari al-Quran itu sesuatu yang menjadi penawar (penyembuh) dan rahmat bagi orang-orang yang beriman." (al-Israa`: 82).

Ikut papan tanda Allah...

Anda mampu mengubahnya!