Sahabat Sejati

Tuesday, 31 August 2010

Merdeka! Merdeka!


Tanggal tiga puluh satu
Bulan lapan, lima puluh tujuh
Merdeka! Merdeka!
Tetaplah merdeka
Ia pasti menjadi sejarah...

Berkumandang lagu... berselang-seli laungan Merdeka! Merdeka!

Jika di analogikan kepada manusia, usia 53 tahun adalah satu usia yang melebihi tahap kematangan. Tentu banyak pengalaman dan pembelajaran yang telah di kutip semasa dalam perjalanan kehidupan.

Sukar untuk saya sembunyikan, betapa berbunga perasaan yang hadir. Mengenang usia kemerdekaan negara yang tercinta ini telah punmenjangkau 53 tahun. Ribuan kesyukuran saya panjatkan di atas nikmat kemerdekaan ini, terungkailah belenggu penjajahan, terlucutlah simpulan jahiliah barat yang mengikat watan ini. Itu jika diukur dari sudut kemerdekaannya daripada belenggu penjajahan.

Kemerdekaan bukanlah sesuatu yang murah harganya. Kemerdekaan adalah hasil dari perjuangan, perjuangan pasti memerlukan pengorbanan baik harta, masa, tenaga, buah fikiran, hatta nyawa sekalipun. Bukan sedikit darah dan air mata yang tumpah membasahi bumi tercinta ini, demi sebuah kebebasan.

Namun, pergorbanan ini tidak memberi apa-apa jika kita tidak menghayati erti kemerdekaan sebenar. Apa yang kita lihat senario hari ini, kemerdekaan hanyalah sekadar sambutan dengan acara hiburan. Pertunjukan bunga api, jeritan merdeka! Merdeka! serta konsert artis, hanya itu sahaja tanda cintakan negara, ‘tetapi yang berkumpul di bawah pentas entah apa aksinya...’

“Itulah lumrah yang berlaku apabila menjelang 31 Ogos...” kata seorang pakcik yang prihatin.

Amat jarang nikmat kemerdekaan ini disambut dengan majlis kesyukuran kepada Allah SWT. Jika ditanya, pernahkah kita sujud kesyukuran kerana nikmat kemerdekaan ini, jawapannya... tepuk dada tanya iman. Demikianlah kita sering lupa dan lalai dengan nikmat kesenangan, Allah SWT hanya diingati apabila ditimpa kesusahan.

Rasulullah saw bersabda:

“Peliharalah Allah nescaya engkau dapati-Nya berada di hadapanmu, menyertai dan menolongmu. Kenallah Allah pada masa lapang, nescaya Dia kenal pada masa susah dikala dirimu sedang menghadapi perkara yang sukar.” (Riwayat at-Tirmidzi)

Hakikat sebuah merdeka

Saya ingin berkongsi satu kisah hakikat kemerdekaan...

Bilal bin Rabah (hamba kulit hitam) adalah di antara tujuh orang yang pertama menzahirkan keIslaman secara terangan meskipun diancam oleh kafir musyrik.

Apabila mengetahui hambanya, Bilal telah memeluk Islam, tuannya telah menyeksa Bilal dengan memakaikan baju besi dan kemudian dijemur di tengah padang pasir yang sangat panas. Ketika ditanya tentang pegangan agamanya, Bilal tetap mengatakan Ahad! Ahad! (Allah Yang Esa). Bilal kemudian diseret ke lereng-lereng gunung tetapi beliau tetap dengan pegangannya. Imannya utuh tidak bergoncang sedikit pun. Melihat tiada apa perubahan berlaku dalam diri Bilal, mereka kemudian mempertingkatkan lagi seksaan dengan meletakkan batu besar di atas dadanya yang terjemur di bawah terik pancaran matahari. Namun tiada yang keluar dari mulutnya kecuali Ahad! Ahad!.

Apabila Saiyidina Abu Bakar di beritahu tentang seksaan yang dialami oleh Bilal, beliau terus berjumpa dengan Umaiyah lalu meminta Bilal dijual kepadanya. Lalu Umaiyah menjual Bilal dengan harga sembilan uqiyah emas. Setelah itu Saiyidina Abu Bakar membebaskan Bilal.

Demikianlah, membebaskan diri dari perhambaan sesama makhluq kepada ketundukkan kepada Allah SWT, mengguna pakai hukum dan peraturan Allah SWT dari terikat dengan undang-undang jahiliah. Itulah hakikat kemerdekaan sebenar.

Merdekakan diri

Hari ini, apakah erti kemerdekaan jika ditanya? 53 tahun berbagai kejayaan telah kita kecapi. Tetapi apakah selama itu kita telah mengukuhkan akar tunjang yang menunjam. Bebaskan akal dari belenggu nafsu, lepaskan lilitan diri dari ideologi barat dan sekular. Keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT itulah akar tunjangnya. Kita mahukan kemajuan, tiada siapa yang menolak kemajuan dan pembangunan, kerana Islam juga menuntut kemewahan dan kemajuan, tetapi yang seiring dengan kehendak agama.

Kemunduran dan kesengsaraan boleh menyebabkan rasa kehambaan kepada Allah berpindah kepada kehambaan sesama manusia. Oleh itu, dasarilah pembangunan dan kemajuan dengan lantai keimanan disuburi dengan baja ketaqwaan. Pasti lahir generasi merdeka yang tunduk kepada Allah SWT.

Allah SWT menyatakan:

“Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya, dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.” (ali-Imraan:185).

Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya. Itulah sebenar-benarnya kemerdekaan...

Sunday, 29 August 2010

Ramadhan ini.....

“Sheikh, err..perlahan sedikit,” saya berkata kepada Sheikh Azlan yang sedang memandu. Sedikit gusar di dalam hati, melihat meter kereta serta kenderaan yang bersimpang siur di jalan raya.

“Tak apa, kita nak pergi menuntut ilmu, kalau mati...insya Allah syahid,” jawabnya bersahaja sambil ketawa kecil, lalu memperlahankan kenderaan.

Jam menunjukkan hampir pukul 6.00 petang, tetapi hari telah pun gelap. Awan hitam bertompok, menunjukkan tanda-tanda hujan lebat akan turun. Kami dalam perjalanan menuju ke Masjid Sungai Isap untuk mendengar kuliah Ustaz Azhar Idrus, kuliah dijangka bermula pada pukul 6.00 petang.

Jalan raya agak sibuk, berpusu-pusu dengan kenderaan. Mungkin yang baru pulang dari bekerja dan mungkin juga yang keluar mencari juadah berbuka. Bagi saya dan keluarga, juadah berbuka tahun ini amat sederhana hanya kurma dan sedikit kuih yang dibuat sendiri serta air. Alhamdulillah.

Rintik-rintik halus mula gugur menimpa bumi, menambah kedinginan petang Ramadhan ini. Cuaca sebegini menghadirkan rasa sebak di hati, namun demikian terselit juga rasa syukur kerana tahun ini Allah menambah pada saya untuk beramal melalui kesibukan dalam program kemasyarakatan, kadang-kadang hampir setiap malam saya keluar ke PUTRA untuk mengemaskini program-program yang telah di susun.

Kenderaan terus membelah aspal jalan diiringi zikir munajat oleh Almarhum Ustaz Asri Ibrahim di corong radio. Sayu mengenangkan dirinya yang telah pergi tanpa mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buatnya. Semoga rohnya di tempatkan di kalangan solehin.

Kuliah ustaz Azhar Idrus

Masjid Sungai Isap asalnya adalah sebuah surau yang kemudiannya telah dinaik taraf sebagai masjid oleh JAIP, ekoran pertambahan ahli jemaah disitu serta masjid lama tidak dapat menampung jemaah solat Jumaat. Seingat saya sudah dua kali saya ke sini mendengar kuliah, sebelum ianya bergelar masjid. Semoga masjid ini makmur dengan majlis ilmu.

Masjid penuh sesak dengan ahli jemaah. Pemandangan biasa apabila kuliah Ustaz Azhar Idrus. Saya teringat kuliah beliau di Masjid Qaryah Balok sebelum Ramadhan, di dalam masjid sesak begitu juga di perkarangan yang dibentang kanvas, sehingga ada yang terpaksa berdiri. Ramai yang terpaksa pulang selepas kuliah dan bersolat isya` di rumah kerana ketiadaan ruang. Entahlah...mungkin kerana cara penyampaiannya yang terang dan jelas serta mencuit hati dengan contoh-contoh yang melucukan.

Ustaz Azhar tiba sedikit lewat dalam hujan lebat yang mencurah. Isi kuliahnya berkisar kepada fasa kedua Ramadhan...KEAMPUNAN ALLAH. Walaupun sebentar tetapi minda saya terasa kenyang, puas.

Setelah berbuka dan bersolat maghrib, kami memulakan perjalanan pulang dalam hujan yang masih renyai-renyai.

Musolla ar-Raudhah

Kami singgah di Musolla ar-Raudhah untuk bertarawih di situ. Musolla ini baru didirikan dan penggeraknya adalah Ustaz Nasrudin Thantawi, cukup subur dengan majlis ilmu. Ini merupakan tarawih yang pertama di sini dan di adakan di perkarangannya yang diberi nama Dataran Ilmu Imam Nawawi. Malam ini tazkirah dijadualkan akan disampaikan oleh Ustaz Dasuki Abd Rani, tetapi beliau tidak dapat hadir atas sebab-sebab yang tertentu lalu di gantikan dengan Ustaz Zukiman al-Jihadi yang tidak kurang hebatnya.

“Beribadatlah secara luar biasa, semoga Allah SWT mengurniakan kita pahala yang luar biasa, serta lakukan kerja-kerja Islam dengan luar biasa, mudah-mudahan Allah SWT menganugerahkan kepada kita kemenangan yang luar biasa,” katanya yang tidak lekang dengan dialek Terengganunya.

Kami membelah malam pulang ke rumah, semoga apa yang dilakukan hari ini di kira amal ibadat di sisi-Nya.

“Terima kasih, insya Allah jumpa lagi. Assalamualaikum,”

“Wa`alaikum as-salam.”

Kami berpisah. Jam menunjukkan pukul 12 lebih, keluarga telah pun tidur, sedang dibuai mimpi barangkali.


'Bersama Sheikh Azlan di hadapan rumah YAB Menteri Besar Kelantan'

Malam itu

Sukar untuk melelapkan mata.

Berbagai perkara menerjah di minda, bercampur baur. Sedih mengenangkan sahabat-sahabat yang telah mendahului, tidak sempat menyambut Ramadhan tahun ini. Mudah-mudahan Allah SWT memberikan rahmat dan kerehatan buat mereka. Demikian jua buatku janji yang pasti itu...

Terkenang juga Ramadhan di zaman kanak-kanak, cukup meriah. Hari pertama sahaja berbuka di rumah, manakala hari seterusnya berbuka di surau berhampiran rumah bonda. Selepas asar kami menolong pakcik-pakcik memasak menu berbuka,

selepas itu mengatur di atas meja dan sama-sama menunggu azan maghrib dilaungkan. Pakcik-pakcik yang pernah menjadi tukang masak sukarela di surau itu semuanya telah pergi mengadap Pencipta, termasuk Cikgu Hamdan, Pak Ngah Majid dan Pakcik Abdullah. "Dari Dia kami datang kepada Dia jua kami dikembalikan." Kini tradisi memasak juadah berbuka di surau itu telah pun terhenti. Nostalgia manis yang menyebabkan saya selalu tersenyum seorang diri apabila mengenangkannya, kadang-kadang menitiskan air mata kerinduan pada kenangan lalu. Benarlah kata-kata pujangga “rindu itu amat menyakitkan”.

Fikiran saya melayang mengingatkan tajuk akhbar yang dibaca semalam. Pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi, bagaikan bermusim. Zina dan rogol tanpa mengira bulan Ramadhan. Rempit? Berbagai-bagai krisis moral lagi...

Apakah ini bala yang menimpa umat akhir zaman, kerana kelalaian dan...? Ataupun kerana kebiadapan ‘mereka’ yang berani memperkotak-katikkan serta mempermainkan hukum serta undang-undang Allah.

Ya Allah! Jangan azab kami atas kelalaian kami yang dhaif ini....

Rasuah?
Kenaikan harga barang?
Kezaliman?
ISA ada lagi...

Hari raya akan kunjung tiba...
Merdeka...menjana transformasi...apa tu???

Dalam keributan fikiran yang kacau bilau ini, saya....zzz...zzz...zzzzz..

Friday, 27 August 2010

Ghazwah Badar al-Kubra

Ghazwah Badar al-Kubra atau digelar peperangan Badar bukan suatu yang remeh dalam sejarah Islam. Ianya adalah peperangan pertama, penentu arah tuju sejarah dan ujian getir kepada umat Islam. Peperangan dinamakan oleh Allah di dalam al-Quran sebagai Hari Furqan, iaitu hari pembeza iman dan kufur.

Peristiwa yang juga berlaku pada tanggal 17 Ramadhan Tahun ke 2 Hijrah (13 Mac 624M) ini adalah peristiwa yang menjadi mercu tanda kehebatan kalimah Tauhid di mata dunia.

Pertembungan di antara tentera Islam pimpinan Rasulullah saw seramai 313 hingga 317 orang dengan tentera Musyrikin seramai 1300 orang yang dipimpin oleh Abu Jahal Ibnu Hisham.

Satu pertembungan yang getir sehingga Rasulullah saw menadah tangan sehingga jatuh selendang rida`nya di bahu, baginda merintih dalam munajat yang masyhur:

“Ya Allah Ya Tuhanku, tunaikanlah apa yang telah engkau janjikan kepadaku. Ya Allah Ya Tuhanku, kurniakanlah apa yang telah engkau janjikan kepadaku. Ya Allah Ya Tuhanku, jika binasa pasukan ini, nescaya tiada siapa lagi yang menyembah-Mu di dunia ini.”

Rasulullah saw memanggil para sahabatnya dari kalangan Muhajirin dan Ansar untuk bermusyawarah bagi menghadapi situasi yang getir ini. apakah mereka bersedia untuk berperang dalam keadaan negara Islam yang masih diperingkat awal, atau mengelak dari peperangan.

Tanpa lengah, al Miqdad bin al Aswad dari kalangan Muhajirin tampil seraya berkata:

“Wahai Rasulullah, teruskan apa yang telah ditunjukkan kepadamu dari Allah nescaya kami bersama, demi Allah kami tidaka akan berkata kepadamu sebagaimana berkata Bani Israel kepada Nabi Musa, pergilah kamu bersama tuhanmu, berperanglah kamu berdua, kami mahu tinggal di sini sahaja. Tetapi kami akan berkata: Pergilah kamu bersama tuhanmu, kami akan berperang bersama kamu berdua, maka demi tuhan yang membangkitkan dengan kebenaran. Kalau engkau berjalan dengan kami ke Birk al-Ghimad (satu tempat yang jauh di Yaman) nescaya kami pergi bersamamu sehingga sampai, walau apa pun yang terjadi.”

Rasulullah saw memuji sikap tegas al-Miqdad lalu mendoakannya.

“Berilah pendapat kamu wahai manusia.” Rasulullah saw meminta pendapat pihak Ansar yang sejak dari mula hanya mendiamkan diri. Dalam iqrar `Aqaba, mereka bersetuju akan melindungi Madinah daripada sebarang serangan musuh tetapi mereka tidak mengadakan iqrar akan menyerang keluar dari Madinah.

Tiba-tiba tampil Saad bin Muadz ra. wakil dari Ansar lalu berkata, “Demi Allah, seperti kamu mahukan kenyataan dari kami pula, ya Rasulullah!”

Rasulullah saw menjawab, “Ya!”

Lalu Saad bin Muadz menegaskan:

“Demi sesungguhnya kami telah beriman kepadamu, percaya kepadamu, kami bersaksi bahawa apa yang kamu datangkan kepada kami itu adalah benar dan kami berikan atas dasar itu janji-janji dan ikatan kesetiaan. Kami sedia mendengar dan taat kepadamu. Maka teruskanlah wahai Rasulullah kepada apa sahaja yang engkau kehendaki. Maka demi Tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran, kalau sekiranya kamu bentangkan kepada kami laut yang luas lalu engkau mengharunginya nescaya kami akan mengharunginya bersamamu. Tiada seorang pun di antara kami yang akan berundur kebelakang dan tidaklah kami merasai benci apabila engkau bertemu musuh dan kami akan bersama kamu esok.

“Sesungguhnya kami adalah orang –orang yang sabar di medan perang, benar mengotakan apa yang kami kata sekiranya bertempur dengan musuh dan mudah-mudahan Allah membuktikan kepadamu dari kami, apa yang memuaskan hati kamu dengan melihat sendiri apa yang kami lakukan. Marilah kita teruskan perjalanan, mudah-mudahan Allah memberkati kita.”

Rasulullah tersenyum senang hati mendengar penegasan dari pihak Ansar, wajah baginda yang mulia berseri-seri. Baginda segera bangkit lalu mengerahkan para sahabat untuk berangkat menuju ke medan dengan sabdanya:

Berangkat dan bergembiralah kamu, sesungguhnya Allah SWT telah berjanji kepadaku salah satu dari dua pasukan (pasukan pimpinan Abu Sufian atau Abu Jahal) Demi Allah, seakan-akan aku nampak tempat binasa mereka.”

Bermula perang

Perang Badar (gambar hiasan)

17 Ramadhan 2 Hijrah (13 Mac 624M), pagi itu cuaca tenang. Padang pasir yang sunyi sepi tidak berpenghuni bakal berubah wajah. Dua pasukan sedang mengatur pertarungan yang bakal menjadi perang pertama dalam sejarah Islam. Kedua-dua pasukan saling berhadapan. Lalu bergema suara takbir dari pasukan tentera Islam. Menerawang ke udara.

ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR! ALLAHU AKBAR!

Bergerincing mata pedang membelah sunyi...
Bersimpang-siur anak panah menghujani langit...
Debu dan pasir halus berterbangan memenuhi udara...
Dihenyak kencang kuda dan unta...

Laungan takbir pembakar semangat...
Malaikat turun membantu dengan izin-Nya...
Bersulam dentingan pedang berlaga nyaring...
Darah pekat mengalir membasahi padang pasir...


Ketika pertempuran sedang memuncak, kelihatan seorang anak muda bernama Muadz bin Amru sedang mencari sesuatu. Matanya melilau memerhatikan tentera Quraisy yang sedang di asak tentera Islam.

“Tunjukkan kepadaku di mana Abu Jahal! Tunjukkan kepadaku di mana Abu Jahal!” Teriaknya.

Ibnu Ishaq menyebut di dalam kitabnya Sirah an-Nabawiyyah bahawa Muadz bin Amru bin Jamuh telah berjaya merempuh benteng yang dibuat dari lembing dan tombak untuk melindungi Abu Jahal sehingga Muadz berjaya menetak di tengah betis Abu Jahal.

Malangnya, tanpa disedari datang Ikrimah anak Abu Jahal lalu menetak dan terkena tangan kanannya sehingga hampir putus. Muadz akhirnya mengheret tangannya yang terkulai untuk meneruskan peperangan dan apabila terasa sakit, dia memijak tangannya dan menyentap sehingga putus.

Tanpa menghiraukan kesakitannya, Muadz menyerang Abu Jahal sekali lagi dan berjaya menetak sehingga hampir maut. Sejurus itu, datang pula Abdullah bin Mas`ud memancung leher Abu Jahal hingga bercerai dari badan. Lalu beliau membawa kepala Abu Jahal kepada Rasulullah saw, lantas baginda bersabda:

“Allah yang tiada Tuhan melainkan Dia, Allahu Akbar. Segala puji bagi Allah yang benar janji-Nya. Dan Dia yang menolong para hamba-Nya. Dan menghancurkan tentera bersekutu dengan sendirinya.”

Kemudian Rasulullah saw menyambung:

Inilah fira`un kepada ummat ini.”

Perang Badar berakhir dengan kemenangan tentera Islam. Seramai 70 orang tentera Quraisy terbunuh dan 70 orang lagi dijadikan tawanan perang. Manakala pihak tentera Islam pula 14 orang yang syahid. Mereka terdiri daripada 6 orang Muhajirin dan 8 orang dari kalangan Ansar.

“(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Dia perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): “Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut. Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berit gembira dan supayahati kamu tenang tenteram dengannya, dan kemenangan itu pula hanyalah dari sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (al-Anfaal: 9-10)

Thursday, 26 August 2010

Berilah tangisan keinsafan..


Anas ra. berkata: Rasulullah saw bersabda di dalam satu khutbahnya: "Andaikata kamu mengetahui sebagaimana yang aku ketahui, nescaya kau akan sedikit ketawa dan banyak menangis." Anas berkata: seketika itu para sahabat menutup muka masing-masing sambil menangis teresak-esak.

Hari ini aku juga menangis, menangis dan terus menangis. Tetapi tangisanku amat jauh bezanya dengan tangisan para solehin. Jika para solehin menangis kerana mengenang nasibnya di akhirat, bagaimana pula aku? Mungkin aku menangis kerana takut kehilangan dunia, atau mungkin kerana takutkan kematianku. Tangisan yang datang dari hati yang lalai dan tidak redha akan ketentuan-Nya.

Kalau para solehin takut berpisah dengan iman dan terluput rasa cinta kepada Ilahi, bagaimana pula diriku? Mungkin aku takut berpisah dengan dosa dan maksiat. Jika mereka takut menghadapi akhirat yang panjang masanya, amat dahsyat keadaannya, tetapi aku bagaikan tenang menghadapinya.

Tetapi tatkala para solehin berani menghadapi gelombang hidup serta ujian dunia, aku pula tersepuk rebah lantaran kecewa kerana gagal dalam hidup. Betapa lemahnya jiwa ini...

Ya Tuhan, bantulah diri ini, berilah kekuatan menghadapi hari-hari mendatang.

Wednesday, 25 August 2010

CERAMAH PALESTIN AR-RAUDHAH

Menjadi umat yang prihatin dengan nasib saudara seagama. Hadir beramai-ramai...


“Sesungguhnya Jerusalem bukanlah milik orang Palestin sahaja, walaupun mereka adalah orang yang paling berhak terhadapnya, dan bukan pula milik orang Arab sahaja, walaupun mereka orang yang paling dituntut membelanya, tetapi Jerusalem adalah milik setiap Muslim dimana ia berada, di timur, di barat, utara dan selatan, baik dia sebagai pemerintah ataupun rakyat, baik dia seorang terpelajar ataupun buta huruf, kaya, miskin, lelaki, perempuan sesuai dengan kemampuan mereka masing-masing.

“Wahai umat Islam bangkitlah! Sudah tiba masanya untuk berjaga-jaga dan bersungguh-sungguh, loceng bahaya sudah berbunyi...! Jerusalem...! Baitul Maqdis...! Baitul Maqdis...! Baitul Maqdis...!” (Dr. Yusuf al-Qardhawi)

“Dan katakanlah, “Bekerjalah kamu, maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat pekerjaan itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakan-Nya kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan.” (at-Taubah: 105).

Monday, 23 August 2010

Jangan marah...

Kemarahan sering menutup akal fikiran.
Kemarahan sering mengundang penyesalan.
Kemarahan sering menghiris hati dan perasaan.

Jeleknya api kemarahan.

Teringat pesan Rasulullah saw agar menjadi mukmin yang gagah dengan mengekang kemarahan.

“Bukanlah orang yang kuat itu kerana bergusti, namun orang yang kuat itu ialah siapa yang dapat menguasai dirinya ketika marah.” (H.R Muttafaqun `alaihi)

Justeru di bulan Ramadhan yang melimpah-ruah rahmat dan keberkatan ini, kekanglah diri dari menghambur kemarahan.

Andaikata kamu dinista hingga menghiris duka...pedulikan.
Andaikata kamu diajak beradu tenaga siapa berkuasa...pedulikan.
Andaikata kamu dipancing kemarahan yang menyala...pedulikan.

Sebaliknya, berkatalah...AKU BERPUASA.

Sabda Rasulullah saw:

“Puasa adalah benteng. Barangsiapa di antara kamu yang sedang berpuasa, hendaklah jangan berkata keji dan jahil. Maka apabila ada orang yang menyerang dan mencacimu, maka katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa!” (H.R Bukhari dan Muslim)

Tunjukkan kejantananmu dengan mengekang kemarahanmu, pasti bahagia.

Anda mampu mengubahnya!




Saturday, 21 August 2010

Berakhir semester pertama!


Berakhir semester pertama!

Kita telah pun meninggalkan semester pertama Ramadhan. Bagaimanakah keadaan kita? Cuba lihat amal ibadat kita sepanjang semester pertama ini, meningkat atau sekadar biasa sahaja. Adakah kita berjaya memperolehi ijazah rahmat yang ditawarkan pada semester pertama ini? Kita harapkan demikian. Jika tidak amatlah rugi kerana telah melepaskan peluang yang besar ini.

Rahmat merupakan segala pemberian Tuhan kepada manusia, sebagai tanda kasih sayang-Nya. Orang Islam amat bergantung kepada rahmat Allah SWT setiap masa dan keadaan. Tiada satu detik pun melainkan harapan kita kepada Allah yang dengan rahmat-Nya kita dapat mengecapi kebahagiaan, kebaikan dan kegembiraan. Firman Allah SWT:

“Sekiranya tiada kurniaan Allah dan rahmat-Nya ke atas kamu di dunia dan di akhirat nescaya kamu ditimpa azab yang besar.” (an-Nuur: 14)

Bagaimana mahu memperolehi rahmat Allah ini. Sesungguhnya keseluruhan rahmat Allah terletak di dalam ketaatan kepada-Nya serta ketaatan kepada Rasul-Nya. Ini di tegaskan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

“Dan taatilah Allah dan Rasul-Nya, mudah-mudahan kamu dirahmati.” (ali-Imran: 132).

Oleh itu, taatilah perintah-Nya dan perintah Rasul-Nya kerana pasti kebaikan yang akan diperolehi. Sebaliknya jika kita mengkhianatinya maka pasti rahmat itu akan terangkat serta semakin menjauh dari kita. Allah menyatakan:

“Katakanlah! Taatilah Allah dan Rasul-Nya dan jika kamu berpaling maka sesungguhnya kewajipan Rasul adalah apa yang dibebankan kepadamu. Dan jika kamu taat kepada-Nya nescaya kamu mendapat petunjuk. Dan tidaklah lain kewajipan Rasul itu melainkan menyampaikan (amanah Allah) dengan terang.” (an-Nuur: 54).

Allah menurunkan al-Quran sebagai satu rahmat kepada manusia. Senario masyarakat hari ini memandang al-Quran hanya sebagai sebuah buku, mereka memandang al-Quran dengan pandangan yang sinis, pandangan yang biasa. Sedangkan al-Quran ini adalah sesuatu yang luarbiasa, mustahillah al-Quran itu sesuatu yang biasa sedangkan ia diturunkan kepada Rasulullah saw yang merupakan rahmat untuk seluruh alam ini.

Allah berfirman:

“Dan Kami turunkan dari al-Quran itu sesuatu yang menjadi penyembuh dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.” (al-Isra`: 82).

Dan juga pengutusan Rasul. Allah berfirman:

“Dan tidaklah Kami utuskan engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat bagi seluruh alam.” (al-Anbiya`: 107).

Rahmat Alllah SWT ke atas orang-orang yang beriman di dalam kehidupan dunia adalah merupakan petunjuk dan hidayah ke atas jalan yang lurus. Dengan hidayah tersebut mereka dapat beribadah dan dapat mentaati Allah dan Rasul-Nya. Begitu juga jika tanpa hidayah, maka kehidupan seumpama di dalam kegelapan dan kekeliruan dalam menentukan apakah kebaikan dan apakah keburukan. Manakala rahmat Allah SWT ke atas orang-orang yang beriman di hari akhirat adalah penyelamat dari bahan bakaran api neraka Allah SWT dan dimasukkan ke dalam syurga. Demikianlah mahalnya hidayah dan rahmat Allah.

Justeru itu sahabat sekelian, marilah kita memohon kekuatan agar dapat menggapai rahmat Allah SWT yang mahal itu. Jika sebelum ini ibadat kita hanya biasa sahaja, maka di semester Ramadhan yang kedua ini beribadatlah dengan luar biasa agar Allah SWT mengurniakan kepada kita sesuatu yang luarbiasa juga.

Begitu juga lakukanlah kerja-kerja Islam dengan luar biasa, mudah-mudahan Allah SWT memberikan kepada kita kemenangan yang luar biasa.

Semester kedua, adakah anda sudah bersedia...

Thursday, 19 August 2010

Tazkirah Ramadhan di Musolla ar-Raudhah

(Artikel ini adalah berdasarkan kuliah yang telah disampaikan oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil pada 02 Ramadhan 1431H, di Dataran Ilmu Imam an-Nawawi, Musolla ar-Raudhah Pelindung Perdana, Kuantan)



Katakan tidak, ketika ‘tidak’ diperlukan, iaitu ketika kita perlu berkata ‘tidak’ di tempat yang sepatutnya maka katakanlah ‘TIDAK’.



Bukanlah berpuasa itu sekadar menahan dari makan dan minum. Sesungguhnya puasa itu juga adalah menahan diri dari perkara yang sia-sia dan kotor (lucah). Jika kamu dimaki oleh seseorang atau diperbodohkannya, maka berkatalah: Sesungguhnya aku berpuasa [riwayat Ibn Khuzaimah dan al-Hakim / Sahih al-Targhib 1068]


Tidak makan kerana tiada makanan, itu bukan puasa yang mendidik gelora anak muda.

Tidak minum kerana tiada minuman, itu bukan puasa yang berfungsi mentarbiyyah nafsu yang berkeinginan tinggi.

Sebaliknya jika kita ada segalanya untuk dimakan, lalu kita memilih untuk tidak makan kerana mahu mentaati Allah, maka barulah ia jadi sebuah latihan.

Apakah latihan itu?

Latihan untuk berkata TIDAK kepada sesetengah keinginan diri kerana mahu mentaati Allah. Latihan yang meningkatkan daya kawalan diri.

Manusia yang gagal berkata tidak kepada sebahagian keinginan diri, mereka menjadi hamba kepada nafsu dan diri sendiri. Manusia ini disesatkan oleh Allah, biar pun dengan ilmu yang berlapis tujuh di dada dan minda.

Ketika manusia tidak mampu berkata ‘tidak’ di saat perlu berkata ‘tidak’, maka dia menjadi hamba kepada dirinya.”

“Apakah engkau tidak melihat gelagat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipatuhinya, justeru dia disesatkan oleh Allah di atas ilmu, dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah Allah (menjadikan Dia berkeadaan demikian)? Oleh itu, mengapa kamu (Wahai orang-orang yang ingkar) tidak ingat dan insaf?” [al-Jaathiyah 45: 23]

Itulah bencana lemah kawalan diri.

Sentiasa terpaksa mengikut apa sahaja yang diinginkan hingga tidak mampu berkata tidak di mana perlu.

“TIDAK” bukan bermakna Islam mahu mengongkong. Islam memberi kebebasan kerana kebebasan itu satu keperluan, tetapi perlu ada kawalan dan panduan supaya tidak tersasar dari landasan yang menjerumus diri kepada kebinasaan.

Kita berpuasa bukan kerana tiada makanan. Tetapi puasa kerana melatih diri untuk terkawal. Tidak makan di depan makanan, kerana Tuhan. Bukan bertahan dari membalas kerana lemah dan berjiwa pondan. Tetapi belajar untuk memilih tindakan.
Marah itu perlu, sesekali ia memang perlu. Tapi kalau sentiasa marah dan penuh bangkangan, hingga setiap patah kata hanya mengungkapkan kemarahan dan ketidak setujuan… ia tidak tepat dengan contoh Baginda Junjungan.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah marah, tetapi marahnya diredakan dengan bermesyuarat dengan sahabat mencari yang terbaik pada tindakan. Sebab marah itu emosi. Bila kita emosional, kita tidak rasional. Bertindak secara tidak rasional itulah yang sering mengundang sesalan.

“Belajarlah untuk mengawal diri, kerana natijah disebaliknya adalah kebahagiaan dan keberuntungan. Rasulullah saw adalah contoh manusia yang paling kuat kawalan dirinya,”

Semasa seorang Badwi datang ke masjid, menjadi tetamu biadab yang kencing di dinding rumah Allah itu, apakah anda kira Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tiada sifat marah?
Tidak mampu marah adalah bacul, pasif ala si Luncai terjun dengan labu-labunya, biarkan! Biarkan! Pasif!
Tetapi Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak marah bukan kerana tidak mampu marah. Baginda itu seorang yang amat ekspresif. Khutbahnya pernah memerahkan mata kerana begitu memaksudkan apa yang dikata.
Tetapi Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu gagah… gagah tulen iaitu pada keupayaan diri mengawal marah.
Sahabat melenting dan mahu membelasah si Badwi itu, namun Baginda menegah.
“Biar dia habiskan urusannya!”, kata Baginda tenang.
Lantas Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam meminta air dan sendiri membersihkannya.
Itulah jiwa kuat yang tulen.
Bukanlah gagah itu pada gagahnya orang bergusti. Akan tetapi gagah itu ialah pada upaya mengawal diri ketika marah!
Kita mengukur jantan diri dan hebat berjuang kalau kita pandai mengamuk. Tetapi Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengajar bahawa yang gagah itu ialah pada upaya mengawal diri. Khususnya ketika marah.

Pernah sekali, seorang anak muda datang kepada Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanyakan tentang kebarangkalian yang ada untuk dirinya dibenarkan berzina.
Zina itu bukanlah sesuatu yang terlalu sulit untuk difahami akan keburukannya. Segala sebab itu ada untuk pertanyaan itu dibalas dengan kemarahan oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Malah riwayat di atas menceritakan bagaimana orang ramai yang ada ketika itu menyerbu anak muda berkenaan, memarahinya dengan ungkapan “mah, mah!”, iaitu suatu sebutan kemarahan yang keras terhadap kelancangan mulut seorang anak muda yang meminta izin berzina dari Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Namun Baginda itu orangnya penuh hikmah. Berhikmah dalam erti memberikan reaksi yang tepat dengan keperluan. Diajarnya anak muda itu dengan apa yang disebut hari ini sebagai The Golden Rules iaitu “treat others as you would like to be treated.”, bersikaplah kepada orang lain sebagaimana apa yang kamu harapkan dari orang lain untuk bersikap demikian terhadap dirimu”.
Pemuda itu dibawa mendekati Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
“Wahai pemuda,” sapa Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Lemah lembut, “Apakah kamu suka kalau perbuatan zina itu dilakukan orang lain terhadap ibumu?”
“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah yang menjadikan aku sebagai tebusan anda, saya tidak ingin itu terjadi,” jawabnya. “Begitu juga kebanyakan manusia, tidak menyukai atau menginginkan perbuatan zina itu dilakukan terhadap ibu mereka,” ujar Nabi.
“Apakah kamu senang zina itu dilakukan terhadap anak-anak perempuanmu kelak?” tanya Baginda selanjutnya.
“Sama sekali aku tidak menginginkan hal itu terjadi, ya Rasulullah. Demi Allah, bermimpi pun saya tidak ingin.”
“Begitu pula kebanyakan manusia, mereka tidak senang kalau sampai perbuatan zina itu terjadi pada anak-anak perempuan mereka. Apakah kamu senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuanmu?” tanya Baginda lagi.
“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah saya tidak senang.”
“Begitu juga dengan orang lain, sama dengan anda, tidak senang kalau zina itu dilakukan terhadap adik beradik perempuan mereka. Apakah kamu ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudaramu?”
“Tidak, ya Rasulullah. Demi Allah tidak,” tandasnya.
“Kebanyakan manusia juga tidak ingin itu terjadi pada ibu-ibu saudara mereka.”
Nabi saw. kemudian meletakkan tangan beliau pada tubuh pemuda itu dan mendoakannya: “Ya Allah, bersihkanlah hatinya, dan peliharalah kemaluannya serta ampunilah dosa pemuda ini”

Kalaulah anak muda yang bermulut lancang itu dibalas dengan lempang atas nama dakwah, apakah kebaikan yang terhasil daripadanya?
Mengawal diri, menahan diri dalam kemarahan, dan menterjemahkan tindak balas dalam bentuk dakwah yang lebih empati, khasiatnya sungguh besar dalam mengubah kemungkaran kepada peluang maaruf.
Hal inilah yang perlu kita teladani. Suatu kejayaan besar, terbit dari kejayaan menguruskan perkara yang amat basic, iaitu keupayaan mengawal diri, pro aktif dan tidak cepat melatah.
Pendakwah perlu bersungguh-sungguh menghayati mesej ini. Masyarakat sudah tahu dengan jelas apa yang kita tidak suka. Tetapi mereka belum nampak apa yang kita ada dan sejauh mana kita upaya. Bahasa dakwah kita harus banyak yang bersifat menerang dan berdamping. Memujuk bukan mengutuk. Bahasa rahmah dan bukan amarah.
Bahasa ceramah, bahasa akhbar, bahasa majalah, bahasa dakwah… Ramadhan mengajar kita agar menyampaikannya dengan penuh hemah dan terkawal.
Jantan dan gagah di sisi Islam itu lebih halus dan berkuasa, dari yang disangka!

“Semoga Ramadhan kali ini dapat menjana sifat taqwa serta melatih kita meningkatkan kawalan diri. Dan juga katakanlah ‘tidak’ di saat ‘tidak’ itu diperlukan.

Anda mampu mengubahnya!

Musolla ar-Raudhah,
Pelindung Perdana, Kuantan.
02 Ramadhan 1431H.

Wednesday, 18 August 2010

Solat tarawih yang istimewa

Di antara ibadat khusus yang ada di dalam bulan Ramadhan yang tidak terdapat di bulan lain ialah solat tarawih. Ia merupakan salah satu ibadat menghidupkan bulan Ramadhan. Ia dinamakan tarawih kerana para jemaah berehat selepas dua salam. Menurut riwayat, Rasulullah saw mengerjakan solat tarawih sebanyak lapan rakaat setiap malam tetapi apabila pulang ke rumah, baginda menyambung solatnya tetapi tidak dapat dipastikan berapakah bilangannya, kemudian diakhiri dengan witir. Hukumnya adalah sunat muakkad dan boleh dikerjakan sendirian.

Tujuan solat tarawih adalah untuk membiasakan diri melaksanakan ibadah malam. Sebagaimana namanya tarawih yang bermaksud rehat, maka ia tidak perlu dilakukan secara tergesa-gesa. Dan sebaik-baiknya sedikit renungan pendek atau tazkirah selepas empat rakaat, kemudian disambung semula bertarawih, ataupun tazkirah dilakukan selepas tamat solat tarawih sepertimana yang dilakukan oleh kebanyakan masjid dan surau hari ini. Semua ini adalah untuk mengambil peluang menyampaikan ilmu dan nasihat di atas kedatangan ramai ke masjid dan surau yang tidak kedapatan di bulan selain Ramadhan. Namun begitu, sesetengah tempat mewajibkan solat tarawih dilakukan sebanyak dua puluh rakaat semata-mata untuk untuk mengelakkan slot penyampaian tazkirah, dengan alasan ada tazkirah yang berbau politik.

Allah menjanjikan ganjaran yang besar kepada mereka yang menunaikan solat tarawih ini. Nilai ganjaran itu berbeza bagi setiap malam. Semakin hari, ganjarannya semakin besar. Tetapi apa yang berlaku sekarang semakin hampir ke penghujung Ramadhan jemaah semakin berkurangan, jika diawal Ramadhan masjid penuh sehingga melimpah keluar, kadang-kadang sehingga pihak jawatankuasa masjid berkira-kira untuk mencari dana bagi membesarkan masjid pada tahun hadapan. Masuk sepuluh akhir Ramadhan masjid menjadi lengang, inilah kesilapan yang sering berlaku saban tahun.

Disamping memberikan ruang bagi hamba-hamba-Nya mendapat ganjaran yang besar, solat tarawih juga diumpamakan sebagai senaman untuk menguatkan badan setelah seharian menahan diri dengan berlapar.

Imam Hasan al-Banna menyelesaikan pertelingkahan tarawih

Satu kisah masyhur yang perlu kita ambil pengajarannya. Kadang-kadang kita terlepas pandang dan menjadikannya satu masalah. Sedangkan natijahnya adalah amat besar kepada kesatuan umat Islam.

Semasa hayat Imam Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras. Akhirnya, apabila Imam Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini? Beliau tidak terus menjawab masalah itu. Beliau berpendapat bahawa jika beliau membenarkan salah satu daripadanya bermakna beliau akan mengeruhkan suasana yang sedia tegang.

Sebaliknya beliau bertanya, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?”

Mereka menjawab, “Solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.

Lantas Imam Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”.

Selesai satu permasalahan yang remeh.

Marilah sahabat sekelian kita memperbanyakkan amalan kita di bulan yang mulia ini. Hindarkanlah siang kita dengan perkara-perkara yang boleh membatalkan pahala puasa. Manakala hidupkanlah malam dengan pengabdian yang tulus kepada Allah SWT. Hentikan sengketa sesama kita, jadikan Ramadhan ini satu wasilah untuk kita bersatu atas nama agama. Semoga Ramadhan ini adalah yang terbaik. Pastikan...

Tuesday, 17 August 2010

Anjing dan bayang-bayang, masih relevan


Ketika saya kecil, saya selalu membaca buku-buku yang mengandungi kisah-kisah pengajaran. Saya suka dengan kisah-kisah pengajaran kerana ia memberi panduan supaya kita berhati-hati dalam kehidupan dan banyak nasihat yang berguna yang boleh kita pelajari. Di antara kisah yang pernah saya baca ialah kisah anjing dan bayang-bayang. Saya pasti sahabat sekelian juga pernah mendengar kisah ini. Saya sukakan kisah ini kerana ia memberi pengajaran kepada saya supaya jangan bersikap tamak serta sentiasa bersifat qana`ah.

Begini kisahnya...

Pada suatu hari, seekor anjing yang kelaparan merayau-rayau di sebuah lorong umtuk mencari makanan.

“Laparnya perutku,” katanya di dalam hati sambil kepalanya melingas-lingas kiri dan kanan. Ia terus berjalan sambil matanya liar memerhati kalau-kalau ada makanan. Akhirnya ia berjumpa seketul tulang di dalam sebuah tong sampah. Anjing itu terus menggonggong tulang tersebut dan berlari menuju kerumahnya.

Dalam perjalanan pulang ia melalui sebuah jambatan di atas sebatang anak sungai. Ketika meniti jambatan, tiba-tiba ia terpandang bayang-bayangnya di permukaan air. Ia menyangka ada seekor anjing lain yang menggonggong tulang sepertinya.

Ia mula berfikir, “kalau aku dapat tulang yang ada padanya pasti aku juga yang untung.” Perasaan tamak mula menguasai dirinya. Ia ingin merampas `tulang` dari `anjing` itu. Tanpa berlengah ia pun menyalak garang, dengan harapan `anjing` itu akan merasa takut. Sebaik sahaja ia membuka mulut, tulang yang digonggongnya pun jatuh ke dalam sungai lalu tenggelam. Ia hanya mampu memerhatikan sahaja dan merasa amat menyesal kerana sifat tamaknya itu telah merugikannya. Ia melangkah lesu dengan perut yang masih berbunyi.

Pengajarannya

Kisah ini amat memberi kesan kepada saya, sesungguhnya sifat tamak adalah satu sifat mazmumah dan dicela oleh Allah. Sifat ini akan merugikan pemiliknya. Orang yang dikuasai sifat tamak selalunya akan melakukan apa sahaja cara asalkan dapat memiliki apa yang dihajati, biarpun perkara itu bersalahan dengan agama. Mereka tidak akan berhenti menumpukkan harta sehinggalah nyawa berpisah dengan jasad.


“Berlumba-lumba (memperbanyakkan harta dan anak-anak) telah melalaikan kamu. Sehingga kamu masuk ke dalam kubur.” (at-Takaathur: 1-2).

Saya jadi sedar bahawa rezeki adalah kurniaan Allah dan telah ditentukan bahagian seseorang itu. Janganlah sesekali tamak terhadap milik orang lain serta janganlah pula berhati tamak untuk mencari harta dengan segenap jalan yang ada tanpa melihat baik buruknya dan halal haramnya. Jika tidak terjerumuslah kita ke dalam lembah keburukan dan kehinaan. Memang benar setiap manusia itu mempunyai sifat tamak dan haloba sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah saw:

“Apabila anak Adam itu diberi selembah emas, ia mengharapkan dua lembah emas dan begitulah seterusnya, dan itu akan berakhir sehingga mulutnya penuh dengan tanah.”

Saya teringat apa yang telah disebut oleh Hatim al-`Assam kepada sahabatnya Syaqiq al-Balkhiy: “Aku melihat setiap orang berusaha mencari rezeki hidup, sehingga sanggup melanggar batas syubhat dan haram, malah sanggup menjual maruah diri. Aku pun merenung kembali kepada firman Allah:


“Dan tiada satu makhluk pun di atas muka bumi kecuali Allah telah menentukan rezekinya. Dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam kitab (Louh Mahfuz)yang nyata.” (Hud: 6)

Tahulah aku bahawa rezekiku telah ditentukan dan dijamin oleh Allah SWT. Lalu aku pun menumpukan pada kerja ibadatku kepada Allah, dan kukekang sifat tamakku terhadap yang selain daripada itu.”

Oleh itu sahabat sekelian, marilah kita berdoa semoga negara Malaysia yang kita cintai ini bebas daripada `mereka` yang bersifat tamak haloba, bebas dari gejala sosial yang sedang membarah kini, bebas dari gejala rasuah yang kronik yang rakus membaham....

Kita harapkan.

Monday, 16 August 2010

Tujuan hidup manusia


“Dan jika kamu mengikuti kebanyakan manusia di muka bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan kamu dari jalan (kebenaran) Allah. Mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata. Dan mereka hanyalah berkata bohong (yang tidak ada dasar kebenarannya). (Al-An`aam:116).

Setiap insan di dunia ini pasti mempunyai tujuan hidup masing-masing. Tidak ada manusia yang berkata bahawa mereka sekadar hidup dan tidak tahu mengapa mereka hidup. Mustahil.

Tujuan hidup berbagai-bagai dan terpulang kepada individu itu sendiri. Tujuan hidup yang berbagai inilah yang mencorak dan mewarnai perjalanan hidup manusia. Tidak dinafikan dalam mengharungi arus kehidupan ada yang tersasar dari lapangan tujuan hidup. Mereka dibayangi tujuan hidup yang rapuh dan kabur. Mereka mudah di pengaruhi manusia di sekeliling mereka, lalu mereka tenggelam dalam arus yang menyesatkan dan semakin jauh dari kebenaran.

Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya ketika menafsirkan ayat di atas:

“Melalui ayat ini Allah memperingatkan kembali kepada kita tentang bahayanya mengikuti pendapat orang ramai yang menyebabkan mereka menyimpang jauh dari jalan Allah. Biasanya pendapat dan fikiran seseorang itu semata-mata andaian dan sangkaan semata-mata yang bukan dari sumber ilmu pengetahuan yang benar. Justeru itu, kepercayaan yang bulat kepada Allah mesti ada pada setiap manusia, yang tidak dapat dipengaruhi oleh apa-apa dan sesiapa pun.”

Sesungguhnya tidak ada jaminan bahawa pendapat orang ramai itu benar dan selamat. Namun apa yang berlaku manusia lebih cenderung kepada bilangan yang banyak. Sehingga mereka mengukur dan menilai kebenaran itu berdasarkan jumlah manusia ramai. Inilah yang sepatutnya kita khuatiri jika pendapat yang banyak itulah yang menyeleweng manusia dari jalan Allah. Oleh yang demikian firman Allah di dalam surah al-An`aam ayat 116 memperingatkan kita supaya berhati-hati dalam kehidupan, dan bertegas agar tidak tidak tertipu dan terpedaya pendapat dan tingkah laku sebahagian besar manusia.

Secara umumnya al-Quran menggambarkan tujuan utama hidup manusia di dunia boleh dibahagi kepada tiga tujuan:

Pertama

Manusia yang menjadikan hidupnya untuk mencari keredhaan Allah SWT semata-mata. Mereka menggunakan tenaga, masa, fikiran, harta dan jiwa untuk mendapat redha Allah. Mereka berjuang menegakkan agama Allah.

Firman Allah SWT:

“Dan ada diantara manusia yang menjual dirinya kerana mencari keredhaan Allah dan Allah Maha penyantun kepada hamba-hamba-Nya.” (al-Baqarah: 207)

Imam Jalaluddin al-Mahadi dan Imam Jalaluddin as-Suyuti menyatakan maksud ‘menjual dirinya’ dalam ayat ini ialah sanggup mengorban dirinya semata-mata ketaatan dan kepatuhan pada perintah Allah SWT.

Oleh itu, setiap manusia yang mengaku beriman kepada Allah dan Rasul-Nya mestilah bersedia mengorbankan seluruh tenaga dan jiwa raga kepada Allah. Tiada tujuan selain mencari keredhaan Allah SWT.

Kedua

Manusia yang menjadikan hidupnya untuk dunia semata-mata. Mereka menghabiskan tenaga dan jiwa serta masa hanyalah untuk kesenangan dan keseronokan demi memuaskan keinginan nafsunya, mereka ingin hidup berkekalan di dunia. Tujuan hidup mereka kabur dan mereka melupai kebesaran dan nikmat Allah SWT.

Allah berfirman:

“Dan orang-orang kafir itu bersenang-senang (di dunia) dan mereka makan seperti makannya binatang-binatang.” (Muhammad: 12)

Allah SWT menyatakan kelakuan orang-orang yang mengingkari-Nya adalah seperti haiwan. Mereka makan seperti makannya haiwan. Mereka tidak pernah mengambil tahu apa yang mereka makan sama ada halal atau pun haram. Mereka hidup dalam keadaan berseronok-seronok, bersukaria dengan dunia serta menurut hawa nafsu. Mereka berebut-rebut mengutip kekayaan dan keseronokan dunia tanpa memikirkan ke mana selepas ini. Amat malang sekali jika ada di antara orang Islam yang turut terpedaya dengan kehidupan ini. Hidup yang tiada pegangan, tiada memberi manfaat masa, harta dan tenaga.

Firman Allah SWT:

“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada wanita-wanita, anak-anak, harta benda yang melimpah-ruah dari emas dan perak, kuda tunggangan pilihan, binatang-binatang ternak dan tanam-tanaman. Itulah kesenangan hidup di dunia. Dan kepada Allah jualah tempat kembali yang sebaik-baiknya.” (Ali-Imran: 14).

Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya: “Sesungguhnya Allah SWT memberitahu apa yang disukai dan dicintai oleh manusia dalam kehidupan dunia yang berupa pelbagai kesenangan dan kemewahan seperti wanita-wanita, anak-anak...tetapi kemudiannya Allah SWT akhiri ayat ini dengan peringatan bahawa semua itu merupakan kebahagiaan hidup di dunia, kesenangan dan keindahan yang akan hilang dan lenyap. Sedangkan di sisi Allah tempat kembali yang sebaik-baiknya.

Sepatutnya segala kenikmatan yang diberikan oleh Allah SWT digunakan semata-mata untuk mencari keredhaan-Nya, yang demikian adalah sebaiknya. Namun demikian, mutakhir ini kita lihat berbagai serangan fizikal dan pemikiran yang menimpa umat Islam. Lihatlah apa yang ada di dalam media masa serta media cetak sekarang. Kebanyakannya adalah mengajak ke arah berhibur yang melampau-lampau. Cara hidup hedonisma yang di canang dari segenap penjuru. Maka tidak hairanlah umat Islam kini mulai lalai dan leka serta semakin jauh dari cara hidup Islam. Sensitiviti terhadap sesuatu isu yang melibatkan umat Islam pudar dan terpadam, jiwa umat Islam mati. Yang tinggalah puntung-puntung jasad yang condong menanti rebah.

Ketiga

Ada pula yang tujuan hidupnya sentiasa berubah-rubah mengikut peredaran zaman. Mereka seumpama lalang yang meliuk-liuk menurut angin yang bertiup. Mereka akan beribadat atau berjuang jika ianya memberi manfaat atau mendapat pujian dan sanjungan. Tetapi jika ibadat tersebut menyebabkanya tergugat serta di timpa kesusahan atau pun keperitan maka ia segera berlalu, mereka lari meninggalkannya.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Hajj, ayat 11:

“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan berada di tepi, maka jika ia beroleh kebajikan tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh sesuatu bencana berbaliklah ia kebelakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat, yang demikian itu adalah kerugian yang amat nyata.”

Apa yang hendak dikatakan kepada golongan manusia seperti ini. Jelas golongan ini seumpama tidak mengerti hakikat hidup. Mereka sekadar mempertahankan kehidupan tanpa melihat kepada kebenaran. Agama diperlukan untuk mempertahankan serta kepentingan sendiri. Namun jika agama dianggap mengongkong serta menyekat kebebasan maka agama dicampak ke tepi. Mereka inilah yang disebut oleh Allah SWT sebagai golongan yang rugi di dunia dan akhirat.

Ibnu Kathir menjelaskan di dalam tafsirnya berkenaan ayat ke 11 surah al-Hajj: Sesungguhnya di antara hamba-hamba-Nya, ada yang menyembah Allah dengan keyakinan separuh-separuh dan iman yang amat rapuh. Apabila penglihatan mereka dalam ibadat menemui kebajikan dan menyebabkan nasib yang baik dalam kehidupan maka mereka tetap dalam ibadat dan menganggap agama itu baik dan benar.akan tetapi apabila diuji dengan musibah yang membawa kepada kerugian maka ia berpaling ke belakang serta mempersalahkan agama.

Betapa ramai golongan yang sebegini dalam kehidupan kita hari ini. Mereka berjuang bersungguh-sungguh serta mengajak manusia ke arah kebaikan dan menegah kepada keburukan. Mereka bekerja dan mencurahkan masa, tenaga dan harta untuk perjuangan. Tetapi apabila berhadapan dengan ujian yang berat, risiko perjuangan lalu mereka berpaling. Mereka menukar haluan perjuangan, melompat sana dan sini. Mereka mengucapkan selamat tinggal kepada perjuangan yang mereka lalu kerana telah mendapat platform baru yang membantu mereka melepaskan diri dari ujian tersebut. Lompat sana, lompat sini....

Friday, 13 August 2010

Berpuasalah wahai si Muslim

Dr. Yusuf al-Qardhawi ketika menyarankan supaya melatih anak-anak berpuasa mengatakan: Ketika umat Islam zaman dahulu berpuasa, anak-anak mereka yang kecil juga turut berpuasa. Hinggakan mereka memberikan permainan buat anak-anak itu daripada pelepah kurma....bulu-bulu yang dihambur-hamburkan supaya waktu berpuasa itu tidak disedari berlalu pergi sehingga tibanya waktu berbuka. Oleh kerana itu, setiap Muslim hendaklah berusaha melatih anak-anaknya berpuasa supaya membesar dalam keadaan menunaikan ibadat ini.

Bagi anak-anak yang berumur tujuh tahun hendaklah disuruh berpuasa. Manakala yang berumur sepuluh tahun hendaklah dipukul jika tidak berpuasa. Ada kemungkinan dia berpuasa sehari dan berbuka sehari, tetapi dengan demikian dia dapat dilatih berpuasa keseluruhan bulan Ramadhan. Kebaikan itu dibentuk dengan kebiasaan. Demikian juga kejahatan dilatih menerusi kebiasaan.

Satu sketsa

Bulan Ramadhan begini teringat satu cerita lama, yang diceritakan oleh ustaz semasa bersekolah agama dulu. Pada masa itu cerita ini saya ambil hanyalah sebagai satu hiburan halwa telinga, tetapi apabila telah dewasa barulah terlihat hikmahnya...

Pada satu ketika seekor lembu sedang berfikir bagaimana ia boleh mengalahkan manusia yang diketahui hebat. Sedang sang lembu berfikir ia terus meragut rumput di hadapannya. Ia tahu bahawa tugas untuk memakan rumput adalah tugas yang telah diperintahkan oleh Allah kepadanya, maka sang lembu berkata kepada dirinya bahawa ia lebih baik daripada manusia.

Sedang sang lembu berfikir nampaklah ia beberapa orang yang tidak berpuasa di bulan Ramadhan. Lalu berkata lembu kepada mereka: “Sebenarnya aku lebih baik daripada kamu kerana aku patuh pada perintah Allah sedangkan kamu yang Allah perintahkan puasa di bulan Ramadhan, kamu tidak berpuasa maka aku lebih baik daripada kamu!”

Manusia pula berkata: “Wahai lembu yang bodoh, kamu tiada akal sedangkan Allah anugerahkan akal kepada manusia maka aku lebih baik daripada kamu.”

Begitulah cerita di mana manusia yang ego tidak pernah mahu merasakan dirinya bersalah dan kadangkala makhluk yang tidak dikurniakan Allah akal adalah lebih baik daripada manusia yang ada fikiran…

Siapakah yang cerdik, manusia yang berakal atau lembu yang tidak mempunyai berakal yang hanya meragut rumput di padang. Fikir-fikirkan...

Oleh itu, latihlah berpuasa di usia rebung supaya ianya menjadi satu kebiasaan. Jika telah menjadi buluh maka amatlah sulit untuk berbuat demikian. Pasti puasa dilihat sebagai satu beban yang berat dan tidak mampu dipikul.

Mudah-mudahan Ramadhan kali ini menjana rasa dan nilai taqwa sebagaimana yang disebut oleh Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 183.

Wednesday, 11 August 2010

Islam Liberal dan Pluralisme Agama


Satu isu yang telah disebutkan oleh Dr. Yusof al-Qardhawi yang menyatakan umat Islam hari ini tidak berperang dengan pedang dan senjata sebaliknya berperang dengan menggunakan pemikiran. Serangan pemikiran yang dilalui oleh umat Islam kini sudah di tahap parah dan memerlukan rawatan segera dari sudut kesedaran dan kefahaman mengenai serangan pemikiran ini sekaligus mengkaji cara bagaimana mendepaninya.

Matlamat Ghazwatul Fikri atau perang filsafat kebudayaan dan agama ini telah dihalakan kepada Islam, tidak lain ialah untuk menghancurkan kekuatannya di lapangan pemikiran, sehingga cara berfikir umat itu akhirnya mewarisi pemikiran penjajah.

Anwar al-Jundi telah menyatakan: “mereka (orientalis) telah membuat satu rancangan yang halus dan teratur bagi menyerang umat Islam, serangan-serangan itu telah meresap dan mengalir ke dalam fikiran dan kehidupan umat Islam dengan perlahan tetapi berkesan. Langkah-langkah seperti ini akhirnya meluas ke bidang kebudayaan, persuratan, pelajaran iaitu dengan cara menghantar anak-anak Islam ke luar negeri, dan pembebasan wanita dari ikatan-ikatan agamanya dan memberi hak yang sama seperti lelaki.”

Mulailah kedengaran suara-suara orientalis dan missionary Kristian untuk membaratkan umat Islam dan oleh sebab agama Islam itulah yang dianuti oleh seluruh umat di dunia Arab, serta Islam pula menjadi asas kebudayaan, filsafat dan kesemua perkaranya, maka kegiatan mereka pun ditumpukan kepada seluruhnya.

Islam Liberal merupakan penyamaran bentuk baru fahaman Muktazilah yang dikembangkan melalui penulisan dan wacana ilmu serta mendapat dukungan daripada musuh-musuh Islam seperti Ford Foundation dan Conrad, ditunjang pula oleh regim umat Islam yang berselimut dan senafas dengan musuh Islam.

Plural agama pula semakin menampakkan wajah hodohnya di negara ini. Dengan menggunakan alasan masyarakat majmuk, merapatkan jurang integrasi antara kaum dan agama, memaut perpaduan antara etnik.

Buku ini bertujuan mendedahkan isu tentang pemalsuan aqidah yang sedang menerobos dan merosakkan aqidah ummah. Serangan pemikiran ini berbeza dengan apa yang difahami dan dipelajari dalam kitab-kitab kuning yang diajar oleh tuan-tuan guru, pondok, surau, masjid-masjid seperti fahaman Muktazilah, Qadariyah, Syiah, Isma`iliah, Batiniah, Jabariah, Zaidiah dan pelbagai penyelewengan aqidah yang berlaku di zaman pertengahan.

Oleh kerana itu, diharap buku ini mampu memberi suatu input yang baik lagi bermanfaat kepada pembaca budiman. Bahkan mampu menyedarkan kita akan peri pentingnya kita berperanan dalam menangkis serangan pemikiran yang bermaharajalela dalam minda umat Islam hari ini.

Judul : Islam Liberal dan Pluralisme Agama
Pengarang : Ridhuan Mohd Nor
: Ahmad Adnan Fadzil
Penerbit : JUNDI RESOURCES (1706325-W)
Cetakan : Angkatan Edaran Ent. Sdn Bhd

Tuesday, 10 August 2010

Salam Ramadhan 1431H

Burung berkicau membuka tirai
Awan mendung berarak damai
Setahun sudah Ramadhan berlalu
Kini menjelma kembali bertamu

Suria petang di celahan awan
Memancar cahaya indah sekali
Sya`ban pergi berganti Ramadhan
Menambah amal itu yang dicari

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Mudah-mudahan Ramadhan kali ini adalah yang terbaik, justeru setiap detik sentiasa terisi dengan amal kebajikan.

Penuhi siang dengan kebaikan sesama manusia
Isikan malam dengan mengharap kebaikan daripada Allah.

Bulan rahmat
Bulan keampunan
Bulan keberkatan
Bulan menabung amalan

Bersama kita menggapainya…

Monday, 9 August 2010

Jambori Amal Pahang kali ke - 13

“Letih!”

Itulah kalimah yang meluncur dari mulut saya tatkala tiba dirumah. Selama 3 hari saya berkampung di dalam hutan Kuala Kenau dalam program Jambori Amal Negeri Pahang. Bermula 6 – 8 Ogos, selama itulah saya berperang dengan agas yang rakus menggigit kaki dan tangan setiap malam. Merah berbintat-bintat.

Dilantik sebagai salah seorang urusetia, mengawal peserta seramai hampir 300 orang bukanlah satu kerja yang mudah. Rata-rata mereka berumur 7 – 17 tahun, berbagai karenah dan 1001 satu perangai yang terpaksa dihadapi.

Dengan kerjasama dari rakan-rakan yang lain, semuanya berjalan dengan lancar. Alhamdulillah.

Hari pertama

Saya tiba lewat petang. Setelah membina khemah, terus turun ke sungai untuk mengambil wudhuk kerana azan maghrib telah berkumandang dilaungkan oleh salah seorang peserta. Setelah selesai solat maghrib diikuti pula dengan kuliah sebagai pengisian yang telah disampaikan oleh Ustaz Saharudin Mohamad, beliau adalah Timbalan Pengarah Jabatan Amal Pahang.

Ketika para peserta menikmati makan malam, kami urusetia bermesyuarat untuk merangka dan mengemaskini aktiviti-aktiviti yang akan dilakukan esok.
Pukul satu pagi saya turun ke sungai untuk mandi bersama 3 lagi rakan. Badan melekit dan gatal-gatal. Itulah kesempatan yang ada.




Ustaz Saharudin mengimamkan solat maghrib


Sebahagian urusetia

Hari kedua

Kuliah subuh


Sesi riadah pagi yang dipimpin oleh abuikhwan



Timbalan Pengarah 4 Amal Pusat, saudara Azwan Ismail merasmikan Jambori Amal Pahang kali ke- 13 seterusnya melancarkan Kadet serta Briged Amal Pahang.

Segak bergaya



abuikhwan

Hari ketiga


Pertandingan pertolongan cemas

Setiausaha DPP Pahang, Ustaz Junaidi Ishak merasmikan penutup jambori kali ini

Insya-Allah jumpa semula di Temerloh pada tahun hadapan

Thursday, 5 August 2010

Selamat mencari taqwa


Pantasnya putaran waktu. Siang dan malam silih berganti. Terasa bagaikan baru semalam Ramadhan meninggalkan kita. Kini Ramadhan kembali menjelma, ada yang gembira, ada yang biasa-biasa tidak kurang juga yang duka dan nestapa. Namun, bagi orang yang beriman Ramadhan menjadi tetamu yang amat dirindui, kerana rahmat dan keampunan yang ada di dalamnya. Di dalam bulan Ramadhan inilah semua orang Islam diwajibkan berpuasa, satu amalan yang amat tinggi nilainya di sisi Allah swt.

Kita sebagai umat Islam amatlah beruntung kerana dianugerahkan oleh Allah swt hadiah yang amat istimewa ini, sehingga Allah sendiri yang membalas ganjarannya. Apa jua ibadat yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan ini pahalanya berlipat kali ganda.

Allah swt berfirman: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang-orang yang sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa (kepada Allah swt).” (al-Baqarah:183)

Ayat ini merupakan tema yang penting yang perlu kita fahami dan hayati apabila memasuki gerbang Ramadhan. Ia bukan sahaja menjelaskan tentang perintah berpuasa di bulan Ramadhan tetapi merupakan satu penegasan terhadap kesan dan natijah dari ibadah puasa yang dilaksanakan. Apa yang perlu dicapai dalam proses puasa adalah ‘taqwa’.

Menurut Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam menafsirkan ayat surah al-Baqarah 183, bahawa ibadah puasa melahirkan ketaqwaan kepada Allah swt melalui beberapa faktor:

1 - Puasa mendidik jiwa untuk takut kepada Allah swt dalam keadaan sembunyi dan terbuka. Ini kerana tiada siapa yang memantau dan memerhati seseorang yang berpuasa melainkan Allah swt. (Seseorang boleh makan lalu berpura-pura lapar di hadapan manusia tetapi tidak di hadapan Allah swt).

2 - Mengekang ketelanjuran syahwat dan meringankan pengaruh serta penguasaannya. (Lantaran puasa melemahkan gelora nafsu).

3 - Mencetus naluri yang peka dan bersifat belas simpati terhadap insan yang lain. (Lapar sewaktu berpuasa adalah mengingatkan kita kepada mereka yang miskin dan tidak bernasib baik).

4 - Ibadah puasa memahamkan kita pengertian persamaan kedudukan taraf orang-orang kaya dan miskin (Di sisi Allah swt).

5 - Meletakkan kehidupan insan dan pengurusannya di atas sistem (yang benar dan menepati fitrah) dan mendisiplinkannya.

6 - Memulihkan struktur dalaman tubuh, menguatkan kesihatan dan membebaskan jasad dari sebarang unsur yang boleh memudharatkannya. (Tafsir al-Munir: Juzuk ke-2 m/s: 130)

Rebutlah peluang untuk menjadi muttaqin...

Marilah kita sama-sama merebut tawaran dan anugerah dari Allah ini, janganlah kita menjadi orang–orang yang tidak mendapat manfaat dan ganjaran yang besar di bulan Ramadhan ini. Sebagaimana malaikat Jibril menerangkan kepada Baginda saw bahawa orang yang tidak mendapat pengampunan dalam bulan Ramadhan ini adalah orang-orang yang benar celaka dan malang.

Sama-samalah kita memohon keampunan kepada Allah swt sempena Ramadhan ini. Isilah masa dengan beribadat dan melakukan ketaatan sebanyaknya, kerana kita tidak tahu adakah kita dapat menghabiskan Ramadhan sehingga penghujungnya.

Ya Allah! Terimalah amal kami yang sedikit dan cacat bergelumang dosa ini. Sesungguhnya kami gembira dengan kedatangan Ramadhan ini. Sampaikanlah kami sehingga penghujung Ramadhan ini. Kami memohon sepenuh hati kami, ampunkanlah dosa-dosa kami dan jauhkanlah kami dari azab neraka-Mu yang dahsyat itu. Amin...

Wednesday, 4 August 2010

Mengapa kamu berlaku zuhud di dunia

Seorang lelaki bertanya kepada Hasan Basri: “Wahai imam, apakah penyebab (rahsia) dari sikap zuhudmu terhadap dunia?”

Beliau menjawab: “Ada empat hal. Ketika aku sudah mengetahui bahawa rezekiku tidak akan diambil oleh orang lain maka tenanglah hatiku. Ketika aku telah mengetahui bahawa amalku tidak akan dikerjakan oleh orang lain, aku menyibukkan diriku dengannya. Ketika aku telah mengetahui bahawa Allah selalu mengawasi diriku, aku malu apabila Dia melihatku melakukan sesuatu maksiat. Ketika aku telah mengetahui telah bahawa maut sedang menungguku, aku mempersiapkan bekal untuk menghadapi Tuhanku.”

Moga menjadi ingatan kita bersama...

Monday, 2 August 2010

Marah kerana sayang

“Aduh, sakitnya telinga...rasa macam nak tercabut,” kata Ali di dalam hati tatkala tangan ibunya memulas telinga. Merah dan terasa tebal cuping telinganya.

“Jangan main tepi jalan, tu nampak kereta banyak lalu lalang,” beritahu ibunya sambil menghalakan telunjuk ke arah jalan.

Sakitnya rasa hati. Semuanya salah.

Dialog ini sebagai satu perumpamaan.

Ketika zaman kanak-kanak, mungkin kita pernah dipiat atau ditarik telinga oleh ibu atau bapa, kerana kita bermain di tepi jalan. Mungkin kita akan berkata seperti dialog di atas. Atau mungkin lebih keras lagi atau hanya tarik muka masam, memprotes dan memberontak.

Kenapa kita berkelakuan demikian, sekiranya kita faham tidak mungkin demikian tindakan yang ditunjukkan malahan pasti kita akan berterima kasih atas kesakitan yang kita terima itu. Kerana tindakan ibu atau bapa kita boleh menyelamatkan kita dari dilanggar. Mana lebih sakit ditarik telinga atau dilanggar lori?

Tetapi kita tidak faham didikan ayah dan ibu, sebab itu kita jadi marah dan memprotes. Sekiranya mahu dibandingkan sekadar ditarik telinga apalah sangat, tetapi jika dibiarkan dilanggar lori tentu lebih parah.

Jika kita faham, mungkin ini kata kita, “tak apalah hanya tarik telinga, ibu marah aku main tepi jalan kerana takut aku dilanggar lori. Kalau tidak nanti mungkin patah tangan, kaki, silap-silap boleh terbang nyawa. Baiknya ibu dan ayah aku ini bertanggungjawab, itu tandanya mereka sayang pada aku.”

Sekiranya begitulah fikiran kita, maka hilanglah perasaan sakit hati, terbanglah perasaan ingin memprotes dan sebagainya.

Bayangkan, sejak dari dulu hingga sekarang seluruh guru yang ada di dalam dunia ini membiarkan sahaja anak muridnya membuat apa sahaja, walaupun perbuatan yang salah. Mereka tidak akan marah dan tidak akan rotan. Anak murid mahu bermain, mahu pukul kawan yang lain, tidak mahu belajar dan sebagainya. Apa agaknya yang akan terjadi kepada mereka, ataupun bagaimana keadaan mereka suatu hari nanti. Kerana sayang... nanti murid sakit hati.

Bayangkan pula, sebagai ibu bapa, anak tidak buat kerja rumah, malas membaca buku, tidak mendengar kata. Kita biarkan sahaja, tegur tidak, marah tidak rotan pun tidak. Kerana sayang... nanti kalau marah atau rotan mereka akan sakit hati. Apa akan jadi pada anak kita.

Mungkin sekarang baru kita faham mengapa guru, ibu bapa atau orang yang lebih tua buat begitu. Kerana sayang. Jika kita tidak pernah ditegur atau ditarik telinga entah kita akan jadi apa.

Begitulah jika kita faham mengapa Allah susahkan kita, mengapa Allah uji kita. Sebenarnya kerana sayang. Allah uji kita untuk mendekatkan kita kepada-Nya. Allah susahkan, jentik-jentik sedikit di dunia kerana mahu memberi yang lebih baik di akhirat nanti.

Jika kita faham sebagaimana anak-anak yang faham mengapa ibu dan bapa tarik telinga, dan murid yang faham mengapa cikgu merotan mereka, maka kita akan berterima kasih dan bersyukur kepada Allah kerana `tarik telinga dan jentik-jentik kita sedikit`. Alhamdulillah...