Sahabat Sejati

Thursday, 29 July 2010

Diam seketika

Dalam suasana yang penuh serabut ini, saya memerhatikan dunia sekeliling. Membuka mata dan fikiran tetapi mengunci kata-kata dari berbicara. Namun diam bukan diam seumpama menjeruk pekasam, tetapi diam mencari akal merawat rasa.

Seribu satu macam gawat. Mahu disebut satu persatu.... mat rempit, zina, buang anak, arak, judi.

Rasuah...
Penyelewengan...
ISA...

Kecelaruan pemikiran masyarakat hari ini semakin membarah. Lihat pula kegawatan yang berlaku di dalam diri, mana noktahnya. Yang tidak baik dilihat baik, yang tidak baik dilihat baik. Yang salah dianggap pejuang, yang benar itulah dianggap pengkhianat.

Gawatnya hari ini.

Sesaknya nafas memerhati semua yang berlaku, lalu saya jernihkan dengan merenung ungkapan mulia seorang Nabi:

Daripada Abu Hurairah r.a katanya: “Pada suatu masa ketika Rasulullah saw sedang berada di dalam satu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A`rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah saw, “Bilakah akan terjadinya hari kiamat?” Maka Nabi saw pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, “Beliau (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan,tetapi pertanyaan itu tidak disukainya.” Sementara yang lain pula berkata, “Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu.” Sehingga apabila Nabi saw selesai dari percakapannya beliau bersabda, “Dimana orang yang bertanya tentang hari kiamat itu tadi?” Lalu Arab Badwi itu menyahut, “Ya, saya wahai Rasulullah”. Naka Nabi saw bersabda, “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari kiamat.” Arab Badwi itu bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?” Nabi saw menjawab, “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari kiamat.” (Riwayat Bukhari).

Mengapa begini Malaysiaku yang tercinta....

Wednesday, 28 July 2010

CERAMAH AGAMA

MUSLIMIN DAN MUSLIMAT DI JEMPUT HADIR

Thursday, 22 July 2010

Allah ar-Razzaq


Satu fakta. Baca dan fikirkan.

Seekor ikan paus biru akan memakan sebanyak 2500 kg (2.5 tan) pada setiap kali makan. Jika ikan paus ini makan tiga kali sehari, bermakna ia akan memakan sebanyak 7500 kg (7.5 tan) sehari.

Jika seorang manusia makan sebanyak 1.5 kg setiap hari, sepanjang hidupnya selama 70 tahun, jumlah makanan yang dimakan oleh manusia hany alah menyamai jumlah makanan untuk 6 hari bagi ikan paus biru. Bayangkan betapa banyaknya makanan yang diperlukan oleh beribu-ribu ikan paus biru di lautan dan sedikitnya keperluan makanan kita di mana manusia telah menghabiskan sebahagian besar dari masa hidupnya berusaha mencari rezeki.

Maha Kuasa Allah yang telah memberi rezeki kepada makhluk-Nya yang begitu banyak di lautan, di daratan dan di mana-mana sahaja.

“Tidak ada sesuatu yang melata di muka bumi ini, melainkan ditanggung rezekinya oleh Allah. Dan Dia (Allah) mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya, semua itu tercatat di dalam kitab yang nyata.” (Hud: 6).

Betapa kerdilnya kita dan betapa berharapnya kita kepada Allah. Maha Suci Allah yang bersifat dengan sifat ar-Razzaq iaitu Maha Pemberi Rezeki. Banyak perkara di dunia ini yang dipermudahkan oleh Allah SWT untuk manusia agar digunakan dalam usahanya mencari rezeki. Oleh itu, jangan sesekali sampai kita lupa kepada Allah SWT apabila kita telah mendapat nikmat dari-Nya.

Wednesday, 21 July 2010

CERAMAH UMUM

Dengarkan ceramah umum yang akan mengupas isu-isu semasa oleh pimpinan kita...






HADIR BERAMAI-RAMAI.....

Monday, 19 July 2010

Abu Ikhwan 34 tahun


Heningnya fajar hari ini, hari yang amat istimewa. Telah genap usiaku 34 tahun. Lebih suku abad menumpang di bumi Tuhan. Makan dan minum semahunya,menghirup udara sepuasnya. Terbitkah rasa syukur pada-Nya?

Pagi tadi dua anak perempuanku menghulurkan kad ucapan kelahiran yang dibuatnya sendiri. Ummu Ikhwan telah mendahului.

“Selamat hari lahir abi,” ucap mereka sambil tersenyum.

Perlahan kubuka, kutatap lalu kubaca. Bertatah doa bersulam luahan rasa kasih mereka. Terharu dan sebak, seakan bergenang air jernih di kelopak mata. Ku tatap wajah mereka satu persatu.

“Terima kasih anakku,” jawabku seraya mengucup dahi mereka. Mudah-mudahan kalian semua menjadi penyejuk mata dan penyisih sesak di hati abi, doaku di dalam hati.

Hari gembira atau hari keinsafan

Aku cuba mencari kepastian, bertanya pada diri, hari seperti ini apakah perasaan sebenar yang menyelubungi diri. Gembira? Atau keliru.

Apakah aku merasa gembira dengan ulangtahun kelahiran yang ke 34? Kadang-kadang aku terfikir, apa yang ada pada sebuah kelahiran untuk dikenang? Setiap kali menjelangnya tarikh seperti hari ini, ia hanya memberitahu diriku bahawa setahun lagi telah bertambah janji untuk aku menghampiri kematian.

Kini usiaku menjengah menuju angka 40, semuanya cepat dan pantas sekali. Tidak mungkin ada penangguhan. Bermula dari kelahiran, kemudian menjadi kanak-kanak. Seterusnya remaja dan dewasa. Kini menghitung usia meniti hari-hari mendatang menuju Tuhan. Meraba rambut dikepala yang sudah memutih sehelai dua, tidak lupa kedut di muka. Saban hari tenaga mulai kurang, namun hati masih degil tidak mahu mengakui hakikat “aku sudah tua”.

Antara nasihat Rasulullah saw kepada umatnya:

“Tanda Allah membenci seseorang hamba-Nya; ia akan sentiasa sibuk dengan perkara yang tiada kaitan dengan dirinya. Sesungguhnya sesaat umur yang pergi tanpa digunakan di dalam ibadah, pasti membuatkan manusia menyesal di kemudian hari. Sesiapa yang telah mencapai umur empat puluh tahun, sedangkan amalan kebaikannya terlalu sedikit dibandingkan dengan kejahatan yang dilakukannya, maka bersedialah untuk ke neraka.”

Nasihat ini sebenarnya sudah cukup menjadi ingatan kepada orang yang berakal.
Roda kehidupan berputar dengan pantas, membawa kita ke usia senja. Jika di usia begini masih lagi ghairah memburu harta dan pangkat, hidup masih bergelumang maksiat maka tunggulah saat penyesalan yang tiada sudahnya.

Nilai sebenar umur adalah pada ketaatan kepada Allah SWT. Taat dan ibadah itu ialah “patuh kepada Allah SWT dalam perkara suruhan dan larangan, dengan lisan dan perbuatan.” Oleh itu segeralah bertaubat sebelum terlambat. Mudah-mudahan...

Friday, 16 July 2010

Jagalah lidah


Telah di riwayatkan di dalam sebuah hadith bahawa baginda saw bersabda, “sesiapa yang mengambil tanggungjawab untuk dua perkara bahawa dia tidak akan menyalahgunakan kedua-duanya, iaitu apa yang ada di antara dua bibir (yakni percakapan) dan apa yang di antara dua belah kaki (yakni kemaluan), maka aku jaminkan syurga baginya.”

Hadis yang lain menyatakan bahawa kebanyakan manusia akan masuk neraka kerana dua perkara ini. Sebuah hadis lagi menyatakan bahawa seseorang mengucap sesuatu perkataan hanya dengan tujuan manusia dapat kesempatan untuk ketawa sedikit dan gembira dengan lucunya, tetapi akibatnya ia dicampakkan jauh ke dalam neraka Jahannam seperti jauhnya langit dan bumi.

Hadrat Sufian Saqafi ra. telah bertanya kepada baginda Rasulullah saw, “perkara apakah yang baginda paling takut bagi umat tuan?” Baginda saw memegang lidahnya sendiri yang berkat lalu bersabda, “inilah.” (Misykat)

Disamping itu ada banyak lagi riwayat-riwayat yang menyatakan perkara ini dengan berbagai cara. Walhal kita sangat-sangat lalai daripadanya. Sesungguhnya manusia harus sedar supaya perkataan yang diucapkannya, walaupun tidak mendatangkan faedah apa-apa, sekurang-kurangnya tidak memerangkapnya dalam musibah dan bahaya.

Hadrat Sufian Thauri ra. adalah merupakan Imam hadis dan fiqh yang masyhur. Beliau berkata, “aku telah melakukan satu dosa yang akibatnya adalah selama lima bulan aku telah kehlangan taufik untuk sembahyang tahajjud.” Salah seorang telah bertanya. “Apakah dosa itu?” Beliau menjawab, “melihat salah seorang menangis, aku telah menyatakan kepada diri sendiri bahawa orang ini adalah mempunyai sifat riya` (yakni menunjuk-menunjukkan kepada manusia).” (Ihya`).

Itu adalah akibat bercakap sia-sia dengan dirinya sendiri. Walhal kita sentiasa meneruskan bercakap sia-sia akan perkataan yang lebih keras lagi mengenai orang lain secaraterang-terangan dan tanpa apa-apa alasan. Jika sekiranya ada permusuhan dengan sesiapa, maka kita tidak ragu-ragu untuk mengumpat dan membohonginya. Setiap kebaikannya di sisi kita menjadi sebagai keaiban dan setiap keaibannya menjadi keburukan yang terlalu besar, kemudian kita mengumumkannya.

Thursday, 15 July 2010

MENYERU KEPADA ALLAH: panduan untuk pendakwah muda


“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh, dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?” (Fussilat: 33).
Kita semua telah mengetahui hakikat ini. Betapa menyeru kepada kebaikan atau amar makruf itu adalah sesuatu yang amat besar nilainya di sisi Allah SWT, walaupun hanya dengan sepatah kata. Selagi mana kita sentiasa istiqamah dengan usaha menyeru kepada ketaatan kepada Allah.

Setiap Muslim mempunyai tanggungjawab untuk menyampaikan Islam walaupun dengan sepatah perkataan, kerana dakwah itu suatu perjuangan yang tiada titik noktahnya selagi mana manusia terus wujud di muka tempatnya..

Islam boleh disampaikan melalui pelbagai cara dan kaedah sama ada melalui lisan, penulisan ataupun perbuatan. Penyampaian itu perlulah dibuat menggunakan kaedah yang paling baik sesuai dengan khalayak dan audien yang didepaninya. Selain ilmu, untuk menjadi seorang pendakwah yang efektif, ia memerlukan kesabaran, kesungguhan dan motivasi untuk menghadapi sebarang bentuk karenah serta permasalahan bahkan penentangan daripada kalangan yang didakwahkannya. Justeru itu, ia menuntut seseorng pendakwah supaya sentiasa bersiap siaga terhadap apa sahaja kemungkinan yang dihadapinya.

Pendakwah juga penting untuk membuat persediaan bagi memastikan dakwahnya mencapai sasaran dan keperluan masyarakat. Seseorang pendakwah juga perlu mampu melakukan penyesuaian terhadap persekitarannya supaya kehadirannya dapat diterima oleh penduduk setempat.

Banyak aspek yang perlu dipelajari untuk menjadi seorang penceramah yang disegani dan efektif. Jika hanya bersandar kepada gelaran dan imej semata-mata, ia tidak akan membawa seseorang pergi jauh dalam bidang ini. Berdakwah tidak sama dengan orang yang menjual ubat di tepi jalan. Agama tidak boleh disampaikan dengan cara menipu dan membohongi orang.

Judul buku : Menyeru Kepada Allah
Penulis : A. Ubaidillah Alias
Penerbit : Rijal Media
Harga : RM14 (SM)/RM17 (S/S)

Buku Menyeru Kepada Allah ini ditujukan kepada semua generasi umat Islam untuk memberi kefahaman kepada mereka bagaimana untuk memperolehi hidayah Allah. Buku ini memuatkan tujuh prinsip utama:

1. Hidayah Itu Hanya Milik Allah
2. Bersangka Baik
3. Mencintai Bahasa Arab
4. Menelusuri Kisah Sirah dan Teladan
5. Perbaiki Dirimu Terlebih Dahulu
6. Benar dalam Penyampaian dan Tindakan
7. Pendakwah Itu Penyelamat

Buku Menyeru Kepada Allah walaupun ringkas, padat dengan kisah sirah dan teladan yang pernah dilalui oleh generasi silam dalam menyampaikan dakwah kepada manusia. Buku ini juga boleh dianggap mini ensiklopedia dakwah yang boleh dibawa ke mana-mana sebagai rujukan untuk memulakan kempen berdakwah.

Antara prinsip yang diketengahkan oleh penulis ialah agar daie atau pendakwah terlebih dahulu memulakan dakwah pada diri sendiri sebelum menyuruh orang lain melakukannya. Apa yang penting segenap pendekatannya adalah berteraskan kebenaran dalam penyampaian dan tindakan, kerana sesungguhnya daie atau pendakwah adalah penyelamat manusia daripada jatuh kepada jurang kebinasaan.

“Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu”

Monday, 12 July 2010

Syukur pada-Mu, Tuhan

Alhamdulillah.

Itulah semulia-mulia kalimah yang selayaknya saya ucapkan, selaku hamba yang menumpang di bumi-Nya serta sentiasa mengharapkan nikmat-Nya.

Saya mempunyai banyak alasan untuk berkata demikian. Setelah merenung perjalanan hidup ini. Segala suka duka, perit jerih yang dilalui. Sesungguhnya Allah terlalu melimpah ruah nikmat pemberian-Nya, memberi tanpa berkira-kira. Demikianlah keyakinan saya, mudah-mudahan ia terpatri kukuh di dalam hati sanubari ini.

Petang itu...


Kenderaan yang dinaiki meluncur laju membelah aspal jalan. Sahabat saya, Sheikh Azlan memandu tenang di iringi alunan munajat kumpulan Rabbani di corong radio. Sungguh mendamaikan dan mengasyikkan. Terkenang seketika kepada al-Marhum ustaz Asri Ibrahim. Kemerduan suaranya.

Kami seramai lapan orang dalam perjalanan menuju ke Surau Kampung Cherating untuk program penerangan dan dialog Jabatan Amal Indera Mahkota bersama penduduk setempat. Dalam erti kata lain, untuk memperkenalkan Jabatan Amal serta mendaftar ahli baru. Turut bersama, Ustaz Suhaimi Saad yang akan menyampaikan kuliah maghrib di situ.

Kenderaan bergerak lancar. Perjalanan di isi dengan perbualan, sekali-sekala bersulam derai tawa, apabila ada perkara-perkara lucu yang datang bertamu. Sungguh mesra. Itulah nikmat ukhuwah yang didasari dengan keikhlasan. Ukhuwah fillah.

“Anta pergi tak Jambori Amal Negeri tahun ni?” Tanya sahabat di sebelah yang merupakan salah sorang senior di dalam Jabatan Amal Indera Mahkota.

“Entahlah, hajat tu memang nak pergi tapi tak tahu lagi,” jawab saya.

“Ana pun begitu juga,” jawabnya pula.

Kenderaan terus bergerak menuju destinasi.

Tiba-tiba. Skkreeetttt................!!

Mencicit bunyi roda menggigit dada aspal. Kami yang sedang leka berbual terdorong ke hadapan, akibat tidak mengenakan tali pinggang keledar. Tabiat yang tidak baik yang menyusahkan diri, hampir-hampir menyebabkan kecederaan.

“Allahu akbar....!!” Hampir serentak kami semua bertakbir.

“Kenapa ni???

Di hadapan kami sebuah kereta telah membrek secara mengejut kerana mengelak sebiji bola yang entah dari mana datangnya. Saya tidak pasti, mungkin dari sekolah yang berada di tepi jalan. Mujurlah Sheikh Azlan sempat menekan brek, hanya seinci lagi mahu melanggar belakang kereta tersebut. Tetapi nasib yang lebih baik, apabila beliau tidak membalas ke kanan kerana di hadapan bertentangan sebuah kereta meluncur laju. Jika tidak pasti perkara yang lebih buruk akan berlaku. Syukur pada-Mu, Tuhan. Masing-masing mengurut dada, melepaskan keluhan kelegaan, kalau tidak mungkin ‘syahid’ kesemuanya.

Setelah memeriksa keadaan, semuanya berada di dalam keadaan baik, kecuali perasaan kami yang tercalar sedikit. Masih ada sedikit debaran. Kami meneruskan perjalanan kerana waktu azan maghrib hampir masuk.

Nasib baik!

Syukur pada-Mu, Tuhan

Saya teringat dalam satu kuliah yang disampaikan oleh Tuan Guru Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan dengan nikmat Allah. Katanya nikmat yang Allah SWT berikan kepada manusia terlalu banyak. Baik manusia taat atau manusia yang engkar. Semuanya diberi.

Memang benar terlalu banyak nikmat yang Allah SWT berikan, sama ada kita sedar atau lalai. Tanda tidak habis nikmat Allah ialah dengan adanya perkataan ‘nasib baik’.

“Dia tu ‘eksiden’ nasib baik tak apa-apa.”

Kalau patah tangan, “nasib baik patah sebelah tangan, kalau dua-dua tak boleh nak buat kerja.”

Kalau patah kedua-dua tangan, “nasib baik patah tangan, kaki tak patah kalau tidak.....”

Kalau patah kaki dan tangan, “nasib baik kepala tak apa-apa...”

Kalau lagi teruk, “si anu eksiden, nasib baik hidup lagi kalau tidak siapa nak jaga anaknya. Tengok pada kereta memang tak ada harapan.”

Kalau dah mati, “nasib baik mati, kalau hidup tentu susah orang nak menjaganya.”

Lihat! Mati pun masih nasib baik lagi.

Firman Allah SWT:

“Dan diberikannya kepadamu semua (sumber keperluanmu) yang kamu mohonkan. Sekiranya kamu (cuba menghitung) kurniaan Allah, maka tidak akan terhitung olehmu (berapa jumlahnya). Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan ingkar (tidak mensyukuri nikmat Allah).” (Ibrahim: 34)
Nikmat Allah tidak terhitung banyaknya dan tidak ternilai harganya. Walaupun sebelah mata yang buta, ia tidak dapat diganti dengan beribu-ribu ringgit. Begitu juga dengan anggota badan yang lain, nikmat akal dan fikiran yang dengannya kita dapat memanfaatkan isi alam yang terbentang luas ini. Oleh itu kita wajib bersyukur kepada Allah atas nikmat yang melimpah ruah ini, lebih-lebih lagi bersyukur dengan nikmat Islam dan Iman.

Marilah kita berpegang teguh dengan tali Allah iaitu al-Quran dan sunnah, yang dengan keduanya memberi panduan dan pembeza antara yang benar dan salah serta sebagai sumber kekuatan kepada Islam. Marilah kita hidupkan budaya amar makruf dan nahi mungkar, ingat-mengingati di antara satu sama lain. Mudah-mudahan dengan semua ini akan membina masyarakat ke arah kehidupan yang beragama serta menjadi masyarakat madani yang mempunyai jati diri dan cemerlang, bukan hanya di dunia malahan di akhirat yang abadi.

Syukur pada-Mu, Tuhan


`Bergambar seusai program'

Monday, 5 July 2010

Demi masa - Ingat 5 perkara


DEMI MASA (Raihan)

Demi masa
Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan yang beriman dan beramal soleh

Demi masa
Sesungguhnya manusia kerugian
Melainkan nasihat kepada kebenaran dan kesabaran

Gunakan kesempatan yang masih diberi
Moga kita takkan menyesal
Masa usia kita jangan disiakan kerna ia takkan kembali

Ingat lima perkara sebelum lima perkara

Sihat sebelum sakit
Muda sebelum tua
Kaya sebelum miskin
Lapang sebelum sempit
Hidup sebelum mati

Sungguh asyik lagu “Demi Masa’ alunan kumpulan Raihan. Terhingguk-hingguk kepala menyanyikannya. Ada yang mengambil sebagai hiburan, ada yang merenung sebagai peringatan. Apa pun tujuan kita, ia mengingatkan kita tentang MASA.

Rasulullah saw bersabda kepada Abdullah bin Umar ra:

“Jikalau engkau berada di waktu pagi, maka janganlah menunggu-nunggu datangnya waktu petang (untuk mencari bekal kematian) dan jikalau engkau di waktu petang maka jangan meunggu-nunggu datangnya waktu pagi (untuk itu pula). Ambillah kemanfaatan sewaktu hidupmu ini untuk bekal kematianmu dan sewaktu engkau masih sihat untuk bekal sakitmu.” (Riwayat Ibnu Hibban)

Dua puluh empat jam sehari adalah masa yang diberikan yang diberikan oleh Tuhan kepada manusia, tidak lebih tidak kurang. Maka manfaatkanlah sebaik-baiknya.

John C. Maxwell berkata:

Bagi mengetahui nilai satu tahun... tanyakanlah
kepada murid yang gagal dalam ujian akhir
Bagi mengetahui nilai satu bulan... tanyakanlah
kepada ibu yang melahirkan bayi yang tidak cukup bulan
Bagi mengetahui nilai satu minggu... tanyakanlah
kepada editor sebuah majalah berita minggu
Bagi mengetahui nilai satu hari... tanyakanlah
kepada buruh harian yang mempunyai enam anak
Bagi mengetahui nilai satu minit... tanyakanlah
kepada kekasih yang sedang menunggu waktu bertemu
Bagi mengetahui nilai satu saat... tanyakanlah
kepada orang yang terselamat daripada kemalangan
Bagi mengetahui nilai satu milisaat...tanyakanlah
kepada pemenang pingat perak dalam sukan Olimpik

Bagi mereka yang bijaksana, mereka akan melatih diri dan menyusun masa serta menggunakannya sebaik mungkin. Kerana masa yang lepas tidak akan dapat dikembalikan semula. Mengharapkan masa depan tanpa pernah melabur potensi diri kita hari ini, ibarat seorang petani yang mengharapkan tuaian tanpa pernah menabur benih.

Bagi kita umat Islam lebih lagi, apakah kita mengharapkan pahala dan kenikmatan syurga tanpa beramal? Cukupkah kita sekadar berangan-angan?

Ingatlah, betapa banyak Allah bersumpah dengan masa di dalam al-Quran untuk menunjukkan peri pentingnya masa. Oleh itu segeralah beramal untuk kehidupan yang abadi.

Berkata Abid ad-Dunya yang meriwayat isnad dari Mujahid: “Tak satu pun hari kecuali mengatakan, wahai anak Adam, hari ini aku masuk ke dalam kehidupanmu dan tidak akan kembali kepada kehidupanmu setelah hari ini.”

Jika hari itu telah habis, maka ia akan dilipat untuk disimpan hingga dibuka kembali pada hari akhirat. Ketika itu ia akan ditanya kembali tentang masa yang telah diberi. Apakah kita telah bersedia untuk menjawabnya. Tepuk dada tanya iman kita yang semakin meruncing di akhir zaman ini. Allah....

Thursday, 1 July 2010

Ingat dan lupa

Semalam ustaz bercerita.

Dua sahabat karib bermusafir merentasi padang pasir yang terbentang luas. Di tengah-tengah perjalanan itu berlaku sedikit perbezaan pendapat. Pada mulanya biasa sahaja, tetapi lama kelamaan ia semakin tegang lalu membawa kepada pertengkaran. Akibat tidak dapat menahan kesabaran, salah seorang daripada mereka memukul sahabatnya.

Dengan rasa sedih dan hiba, sahabat yang dipukul itu mengambil sebatang ranting kayu lalu menulis di atas pasir:

“Hari ini sahabat baikku telah memukulku.”

Mereka kemudiannya meneruskan kembali perjalanan. Setelah lama berjalan, mereka berdua sampai di sebatang sungai. Tanpa berlengah, sahabat yang dipukul itu terjun ke dalam sungai untuk menyejukkan dirinya. Tiba-tiba ketika sedang seronok berenang, dia terasa kakinya tersangkut pada sesuatu. Dia gagal mengawal dirinya dan hampir tenggelam. Dia menjerit meminta tolong.

Melihat keadaan itu, sahabatnya yang berdiri di atas tebing segera terjun dan melepaskan kakinya yang tersepit pada dahan kayu di dalam sungai. Setelah naik ke tepi sungai tersebut, dia mengucapkan terima kasih kepada sahabat yang telah menyelamatkannya. Lalu dia memahat pada seketul batu tulisan:

“Hari ini sahabat baikku telah menyelamatkan nyawaku.”

Sahabatnya bertanya, “mengapa sewaktu aku memukulmu engkau menulis di atas pasir, dan sekarang engkau memahat pula di atas batu.

Jawab sahabat tersebut, “aku menulis di atas pasir kerana mengharapkan ia akan hilang ditiup angin, tetapi aku memahat di atas batu kerana mengharapkan agar aku mengingati sampai bila-bila.”


Abu Ikhwan sedang mendengar kuliah. Mana satu Abu Ikhwan?

PESANAN IMAM AL-GHAZALI

Saya teringat kepada pesanan Imam al-Ghazali di dalam satu tulisannya. Beliau menyatakan bahawa kita perlu ingat 2 perkara dan lupakan 2 perkara. Setelah saya amati, pesanannya itu memberi hikmah yang amat besar dalam menjalani kehidupan ini.

Ingat 1

Ingatlah kebaikan orang kepada kita.

Apa sahaja kebaikan yang orang lakukan kepada kita hendaklah kita ingat. Ini akan menerbitkan rasa menghargai dan terima kasih setelah menerima kebaikan itu. Jika kebaikan daripada manusia kita mesti ingat dan hargai apatah lagi kebaikan pihak yang paling banyak memberikan kebaikan, iaitu ALLAH SWT. Ingatlah kebaikan ALLAH terlalu banyak. Hitunglah betapa baiknya ALLAH kepada kita.

Jika setiap hari kita balik bekerja, ada sejambak bunga di muka pintu, tidak teringinkah kita untuk kenal siapa pengirimnya? Tidak mahukah kita mengucapkan terima kasih kepadanya?
Jika kita bertuah memiliki ibu bapa yang penyayang, isteri yang baik hati, suami yang luhur budi, anak-anak penyejuk mata dan hati, tidak teringinkah kita untuk mengetahui siapa Pengirim semua itu kepada kehidupan ini?

Lupa 1

Lupakan kebaikan kita kepada orang.

Lupa. Jangan diungkit-ungkit, jangan disebut-sebut. Apatah lagi dengan tujuan mahu menyakiti. Kita bimbang dengan mengungkit itu akan ada hati yang terguris, akan ada perasaan yang terhiris. Lalu dengan mengungkit itu akan meruntuhkan pula pahala yang telah dibina. Maka sia-sia apa yang diusahakan.

“Hmm, kalau tidak kerana aku, tak berkubah masjid ini!” kata si sombong.

“Huh..! Dasar tak mengenang budi, masa dia susah siapa yang tolong. Sudah senang......” cebik si dia.

Jangan begitu. Ingatlah amaran ALLAH SWT di dalam al-Quran:

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. (Al-Baqarah: 264)

Dan yang paling penting jangan sekali-kali diungkit ibadah kita kepada-Nya.
Berapalah sangat ibadah kita jika dibandingkan dengan mana-mana nikmat yang pernah dikurniakan-Nya. Kita lalai, kita leka, kita alpa.

Ingat 2

Ingat keburukan kita kepada orang

Ingatlah keburukan dan kesalahan yang pernah kita lakukan kepada orang lain. Kita memang banyak melakukan kesilapan dan kesalahan baik pada tutur kata dan tingkah laku. Kadang-kadang tanpa kita sedari kata-kata atau perbuatan kita menyakiti orang lain. Kenangkan ia, ingatkan selalu. Bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati. Kita tidak mahu menjadi hamba yang muflis tatkala mendatangi Allah SWT di hari akhirat. Lantaran kebajikan yang di bawa terpaksa diserahkan kepada orang lain dan tidak kurang pula keburukan orang lain pula terpaksa kita pikul. Segera memohon kemaafan agar segalanya jernih semula.

Dalam banyak-banyak keburukan yang pernah kita lakukan sesama manusia, dosa dan kejahatan kita terhadap ALLAH itulah yang paling melata, setiap masa, setiap ketika. Mohon keampunan daripada-Nya, istighfar selalu… kenang-kenangkan salah kita kepada Dia. Sesungguhnya dosa yang paling merbahaya ialah apabila tiada rasa berdosa. Lupa pada segala jahat kita kepada-Nya.

Ingatlah kekurangan diri kita, kesilapan dan kesalahan yang pernah dilakukan selama ini, bukan untuk menyeksa diri, tetapi agar berhati-hati.

Lupa 2

Lupa keburukan orang kepada kita.

Manakala keburukan dan kesalahan orang kepada kita, lupakanlah. Ia akan menghindarkan kita menjadi seorang pendendam. Sifat pendendam amat bahaya kerana ia akan merosakkan hubungan kemanusiaan. Orang yang pendendam hidupnya sentiasa tidak tenteram, resah dan gelisah selagi dendamnya tidak terbalas. Benarlah ungkapan yang menyatakan “Manusia yang paling tidak bahagia ialah manusia yang gagal memaafkan kesalahan orang terhadapnya.” Berdendam siang dan malam, memikul beban sepanjang masa.

Jika kita yang gagal memaafkan atau melupakan kesalahan orang kepada kita, maka ia akan terus menyeksa hidup serta mengheret diri ke dalam konflik diri sendiri. Atau makna yang lebih mudah kita berperang dengan perasaan sendiri. Demikianlah deritanya hidup jika gagal memberi maaf, gagal melupakan salah orang kepada kita.

MAAFKANLAH SEADANYA

Kita hamba yang tak memiliki apa-apa, saban masa dan ketika kita melakukan dosa. Kita banyak melanggar perintah-Nya. Justeru itu, kita amat mendambakan keampunan dari-Nya. Maafkanlah manusia, agar Dia maafkan kita.

Kata Datuk Fadzilah Kamsah: “Maafkanlah semua kesalahan orang kepada kita setiap hari sebelum melelapkan mata. Jika kita memaafkan orang lain maka ALLAH SWT akan membuka pintu hati orang lain untuk memaafkan kita.”

...Wahai Tuhan ku tak layak ke syurga-Mu
Namun tak pula aku sanggup ke neraka-Mu
Ampunkan dosaku terimalah taubatku
Sesungguhnya Engkaulah pengampun dosa-dosa besar...