Sahabat Sejati

Sunday, 27 June 2010

Catatan kanvas kehidupan


Pantasnya masa berlalu. Jatah umur terus ligat berputar, tanpa kita sedari masa muda berbaki semakin sedikit. Waktu yang berputar adalah sebahagian daripada sejarah yang akan meninggalkan kita, bergerak terus seumpama pedang yang akan memancung kita yang leka.

Pengalaman hidup amat mahal harganya. Justeru pengalaman hidup mestilah ditulis kerana ia akan ditatap oleh generasi akan datang dan sejarah akan membuktikan bahawa kita semua wujud untuk memaknai sebuah kehidupan yang sarat dengan pergulatan hak dan bathil, Islam dan Jahiliah, benar dan belot.

Sejarah adalah bingkisan indah yang harus kita selimutkan dengan fakta yang tepat dan tidak semestinya sejarah selamanya kisah-kisah besar dan heroik, apa sahaja kisah hatta dirasakan kecil ia adalah sesuatu yang penting untuk tatapan generasi akan datang.

Menginsafi kebenaran dan kesaktian sejarah, maka Catatan Kanvas Kehidupan ini lahir di tengah-tengah pembaca sekelian.

Catatan Kanvas Kehidupan adalah titipan pengalaman beberapa pemuda yang bergulat di medan amal jamaie dekad ini. Pelbagai sketsa dan dimensi kehidupan digarap dengan baik, serta bahasa yang mudah dikunyah oleh pembaca, menyoroti pelbagai isu semasa yang berkaitan serta disulam dengan pengalaman terlibat dalam menangani sesuatu isu. Juga esei-esei yang berlatar belakangkan kehidupan peribadi serta berkongsi suka duka mereka mengharungi bahtera perjuangan.

Catatan Kanvas Kehidupan mengajar kita erti persahabatan dan ukhuwwah fillah dalam jamaah, tanpa kosa kata ini berjemaah tidak mempuyai nilai. Umpama pokok tanpa buah, irama tanpa lagu. Nilai Ukhuwwah Fillah inilah memberikan kita kemanisan dalam perjuangan.

Catatan Kanvas Kehidupan mengejutkan kita supaya tidak terlalu mementingkan diri sendiri, prihatin serta menyingkirkan sikap tidak mengambil berat kejerihan teman yang lain.

Catatan Kanvas Kehidupan, perkongsian rasa, cerita pedih duka dan gembira bahagia, himpunan catatan dan pengalaman berselut lumpur di medan jamaah.

Terbahagi kepada 31 tajuk yang dititip oleh Ustaz Ridhuan Mohamad Nor, Ustaz Nasrudin Thantawi, Ustaz Nik Abduh Nik Aziz serta beberapa lagi aktivis pemuda dalam persada politik dan dakwah.

Pengalaman mestilah ditulis agar ia dapat ditatap oleh generasi akan datang...
Tajuk: CATATAN KANVAS KEHIDUPAN
Penulis: Ustaz Ridhuan Mohamad Nor DLL
Penerbit: JUNDI RESOURCES (1706325-W)
Cetakan: Angkatan Edaran Sdn. Bhd.

Friday, 25 June 2010

Bicara santai: Cerita ikan

Ada satu cerita.

Kisah ikan tua dengan ikan muda. Satu hari berkata ikan tua kepada ikan muda.

“Wahai ikan muda semua! Ketika kamu berenang-renang di pantai, berhati-hatilah. Jika kamu nampak makanan sedap yang tergantung, jangan makan kerana di dalamnya ada besi cangkuk iaitu mata pancing. Jika kamu makan nanti kamu akan berada di alam yang lain. Jika kamu mahu makan juga, pastikan kamu makan umpan sahaja,” panjang lebar nasihatnya. Kasih yang tua kepada yang muda. Ikan muda mengangguk, akur.

Hari yang lain.

Ketika ikan muda itu berenang-renang, ia ternampak seseorang sedang mencampakkan umpan udang.

“Sungguh cantik udang itu, nampak menyelerakan,” getus hati kecilnya. Lantas ia terasa mahu memakannya. Tiba-tiba ia teringatkan pesan ikan tua tempoh hari.

“Jangan makan! Di dalamnya ada besi, nanti kamu akan di bawa ke alam lain.”

Ikan muda itu segera berenang tanpa menghiraukan udang yang tergantung meliuk-liuk mengikuti arus. Ia terus berenang dan berenang. Tiba-tiba tercetus dibenaknya.

“Entah-entah ikan tua itu yang mahu makan udang tersebut, sebab itu ia berkata demikian untuk menakut-nakutkan aku.”

Ia segera berpatah balik.

“Wah, ada lagi! Memang rezeki aku hari ini,” ia berkira-kira di dalam hati, lalu terus menyambar udang tersebut. Memang sedap rasanya.

Aduh sakitnya!

Tali pancing disentap.

Ikan muda itu terasa ada sesuatu yang mencucuk mulutnya. Ia terasa sakit dan pedih. Ia meronta-ronta untuk melepaskan diri, tetapi tidak berjaya. Ia terasa dirinya ditarik ke atas, sehinggalah ia tiba di permukaan air. Ketika itu barulah ia teringat pesan ikan tua tersebut.

“Jangan makan, kerana di dalamnya umpan yang kamu lihat sedap itu ada besi yang mencangkuk. Nanti kamu akan ditarik keluar dari lautan ini kamu akan dibawa ke alam lain.”

Begitulah pesannya.
“Memang benar kata-kata ikan tua itu, kalaulah aku mendengar nasihatnya,” ikan muda itu berkata seakan menyesali kedegilannya, tetapi itu semua tidak berguna lagi. Nasi sudah menjadi bubur. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Pepatah orang dulu-dulu.

Ia ditarik ke atas. Ia melihat pemancing tersebut lalu hatinya menyumpah seranah. Ia cuba menggelepar untuk melepaskan diri. Sia-sia. Lalu tubuhnya dipegang dengan kasar, mata pancing ditarik dengan kuat tanpa belas kasihan. Ia merasa sakit yang amat sangat. Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Sedangkan jika satu sisik yang tercabut pun amat sakit inikan pula mata kail dicabut dengan segala kekuatan.

“Sakitnya.” Ia menjerit.

Akhirnya, tubuhnya yang lemah itu dicampak ke dalam bakul. Ia cuba melompat tetapi tenaganya semakin berkurangan. Ia melihat kiri dan kanan, ramai yang senasib dengannya.

Ia berkata di dalam hati, “nampaknya bukan aku sahaja, ramai lagi yang tertipu,” ia tersenyum kelat.

Semakin lama tubuhnya semakin lemah. Saat kematiannya telah tiba lalu matilah ia disebabkan kedegilannya itu. Tetapi cerita belum berakhir, walaupun zahirnya ia telah mati tetapi hakikat perasaannya masih ada lagi, masih hidup lagi. Ia melihat jasadnya terkulai di dalam bakul bersama teman yang lain.

Tiba-tiba bakul diangkat, lalu dimasukkan ke dalam kereta. Seumur hidup inilah pertama kali ia naik kereta. Setelah berpusing-pusing, sampailah ia disatu tempat dan ia dilonggok bersama ikan yang lain. Setelah itu jasadnya ditimbus dengan air batu, ia merasa sejuk yang amat sangat. Rupa-rupanya ia berada di pasar. Patutlah ramai manusia yang lalu lalang, getusnya.

Tiba-tiba ia dimasukkan ke dalam plastik bersama dengan sawi, bayam dan lain-lain lagi. Seorang perempuan tua telah membelinya. Lalu ia dibawa naik kereta sekali lagi menuju ke rumah perempuan tua tersebut. Setelah samapai, ia diletakkan di dalam sinki.

Tidak berapa lama, ia melihat perempuan tua tadi datang kembali dalam keadaan bengis, berbeza dengan dipasar tadi, cantik. Ditangannya ada sebilah pisau. Ia merayu agar dirinya tidak diapa-apakan. Tiba-tiba tubuhnya dipegang, tanpa belas kasihan perutnya dibelah. Pada masa itu ia merasa kesakitan, tetapi apakan daya tubuhnya tidak boleh bergerak hanya boleh merayu. Siapa yang mahu mendengar. Selepas itu isi perutnya dikeluarkan dan dibuang. Ia melihat isi perutnya banyak yang hitam dari yang putih. Kemudian sisiknya dibuang, amat sakit.

Tubuhnya dikelar satu-satu. Tubuhnya dibasuh. Dibuang segala kotoran dan dipotong dua. Lalu tubuhnya ditoskan sebentar. Syukur. Ia merasa azabnya telah berakhir.
Rupa-rupanya tidak, tubuhnya yang telah terpotong itu digaul pula dengan garam dan kunyit.

“Sakitnya......” ia menjerit.

Ia melihat api dihidupkan dan diletakkan kuali. Ia merayu, “tolong...jangan azab diriku! Aku sudah tidak mampu menahannya...Tolong!

Setelah itu minyak pun dituang ke dalam kuali, setelah minyak itu panas mendidih perempuan tersebut mengambil tubuhnya lalu dicampakkan ke dalam minyak yang sedang mendidih itu. Ia dibiarkan seketika, dipusing ke kiri dan kanan. Bayangkan dalam keadaan tubuh yang dikelar, digaul dengan garam dan kunyit, lalu dicampakkan ke dalam minyak panas yang mendidih, betapa azabnya. Sehingga keluar mata keluar isi-isi tubuhnya.

Akhirnya ia dikeluarkan lalu diletakkan ke dalam pinggan yang cantik berukir. Ia merasa tenang seketika. Ia merasakan telah berakhir azab yang ditanggungnya selama ini.

“Azabku telah berakhir..azabku telah berakhir...”

Tiba-tiba ia melihat disekelilingnya ada lelaki, ada perempuan, ada yang muda dan ada yang tua. Lalu dagingnya ditarik, dicabut, dimamah sehingga tinggal tulang. Lalu tulang itu pula dicampakkan kepada kucing. Tulangnya, kepalanya dimakan pula oleh kucing. Tamatlah riwayat seekor ikan.

Apa pengajarannya

Mungkin anda bertanya mengapa saya menceritakan kisah ikan ini terlalu terperinci, satu persatu. Sedangkan semua sudah mengetahui memang begitu keadaannya. Sebenarnya sengaja saya berbuat demikian supaya sahabat sekelian turut sama membayangkan keadaan dan situasi yang berlaku, tiap detik dan ketika apa yang sedang dihadapi oleh ikan muda tersebut. Demikianlah kesakitan yang terpaksa ditanggung, betapa azabnya.

Sahabat sekelian! Itulah kehidupan dunia, nampak cantik tetapi sangat bahaya, di dalamnya ada 1001 kemungkinan.

Kepada anak-anak muda, apabila ada ulama’ yang memberi nasihat, berhati-hati dengan kehidupan dunia, walaupun nampak cantik tetapi waspada. Walaupun kita mendapat sesuatu yang cantik dan menggembirakan tetapi jika ia tidak memberi manfaat maka tiada gunanya. Sebagaimana nasihat ikan tua kepada ikan muda, walaupun kamu nampak udang itu cantik, merah menyelerakan, berhati-hati kerana di dalamnya ada besi yang akan mencangkuk kamu.

Dunia ini sifatnya sementara, tiba masa kita akan disentak oleh malaikat dan akan dibawa ke alam barzakh, alam yang tidak pernah kita fikir dan kita lihat keadaannya. Ingatlah betapa pangkat, harta benda, kedudukan dan pengaruh tidak semua menjadi kebaikan, jika tidak dilapisi dengan iman dan taqwa.

Cerita ikan itu adalah cerita kita, untuk kita jadikan renungan dan ingatan.

Demikianlah berakhir kehidupan di dunia.

Thursday, 24 June 2010

Exam, sungguh tidak bersedia


اللّهُمَّ لا سَهْلا إِلا مَا جَعَلْتَهُ سَهْلا وَأَنْتَ
تَجْعَلُ الْحَزْنَ إِذَا شِيئْتَ سَهْلا
“Ya Allah! Tidak ada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya mudah. Dan Engkau dapat jadikan susah itu mudah, apabila Engkau menghendakinya.”

Moga dipermudahkan dalam mendepani medan tempur ini.
Ameen…ya Rabbal `alameen.

Tuesday, 22 June 2010

Tatkala hujan turun

Kesan pemanasan global..?? Mungkin. Atau kifarah dosa-dosa semalam. Jika benar, ucapan keampunan kami semua pohonkan.

Cuaca sejak kebelakangan ini lain macam rasanya. Agak panas, terik dan memeritkan. Di rumah kipas berputar hampir 24 jam. Selepas mandi pun badan masih berpeluh, meruap-ruap. Terasa seperti tidak mahu keluar dari bilik air atau pun terasa mahu berendam sahaja di dalam kolah. Agar hilang rasa panas yang meresahkan. Rakan-rakan di tempat kerja juga mengeluh, “panasnya.” Ada juga yang sempat memberi tazkirah secara lawak: “Ala! baru panas kat dunia, kat sana lebih lagi...”

Panasnya...

Mencari damai penyejuk diri

Hujung minggu saya mencari ketenangan hati. Membawa keluarga pulang ke kampung yang sememangnya mendamaikan. Yang paling gembira adalah anak-anak. Dapat berlari di halaman hijau, mengejar ayam di bawah rumah serta bergayut di dahan ceri yang merimbun subur di hadapan rumah bonda, sambil mata melilau, mengintai buahnya yang sudah masak. Saya turut menumpang rasa gembira anak-anak, si ahli fitrah.

Allah jua yang tahu betapa damainya hati saya. Pulang ke rumah papan, rumah yang menyimpan 1001 rahsia suka duka kehidupan. Rumah tempat saya dibesarkan, meniti hari menuju usia matang. Lebih-lebih lagi dapat bertemu dan mencium tangan bonda. Jiwa saya begitu damai sekali di dalam pelukan bonda. Sejuk hati saya bersama sejuknya curahan hujan yang turun pada petang itu.

Alhamdulillah petang ini hujan. Mencurah-curah menyirami bumi yang sekian lama kering. Bunyi berdetap hujan menarik perhatian saya. Terasa seperti sudah lama saya tidak mendengar bising hujan menimpa atap zink. Biarpun membingitkan telinga tetapi bagi saya ia bagaikan irama yang mengasyikkan.

Saya segera beredar ke jendela, melepaskan pandangan ke arah padang hijau yang luas di hujung jalan. Memerhatikan rintik-intik hujan yang menimpa bumi. Hujan dari cucur atap memercik ke wajah, saya biarkan. Perlahan-lahan fikiran saya menerawang, terimbau kenangan lalu. Kenangan di zaman kanak-kanak yang penuh dengan kemanisan. Hujan bagaikan sesuatu yang amat dinanti-nantikan.

Mandi hujan!

Kenangan masih basah

Saya masih ingat, betapa saya suka mandi hujan di zaman kanak-kanak dahulu. Kumpulan kami ramai. Berlari menendang bola di halaman rumah bonda. Halaman yang dulu di rasakan cukup luas. Tetapi sekarang terasa semakin sempit. Entahlah, mungkin saya yang semakin membesar.

Kemudian kami berlari dan sengaja menyungsur merebahkan badan dalam lopak-lopak air yang bertakung. Habis badan dan pakaian diselaputi air tanah. Masing-masing ketawa kelucuan. Setelah penat, kami bertolakan berebut mandi di bawah cucuran atap. Kadang-kadang kami mengayuh basikal beramai-ramai di dalam hujan menjelajah seluruh pelusuk kampung. Pakcik dan makcik yang sedang berehat di beranda menggeleng kepala melihat gelagat kami.

Ahh..sungguh indah mengingatkan saat-saat itu.

Saya pernah bercerita dengan seorang sahabat, “seronoknya zaman kanak-kanak dulu tiap kali hujan turun, mesti mandi hujan. Tapi sekarang saya dah tak jumpa budak-budak yang mandi hujan. Mungkin ibu bapa melarang kerana takut demam. Tapi saya dulu selalu mandi hujan, tak demam pun.”

“Zaman dulu tak macam zaman sekarang.” Jawab sahabat.

“Apa yang bezanya.”

“Budak-budak dulu tahan lasak, masuk hutan, masuk paya, panjat bukit dan macam-macam lagi. Lagipun hujan sekarang hujan berasid agaknya, itu yang ibu bapa bimbang dan tak benarkan anak-anak mandi hujan. Kalau demam kena pergi ke klinik keluar duit lagi, dan tak boleh ke sekolah, tak ke sekolah tak dapat belajar, tak belajar nanti tak lulus periksa pula,” kata sahabat saya. Ada maksud yang tersirat disebalik kata-katanya.

Saya terdiam. Kata-kata sahabat saya itu mematikan perbualan kami.

Mandi hujan. Itulah di antara permainan kami dahulu dan cara kami beriadah. Termasuk juga permainan bedil buluh, gasing, layang-layang, konda-kondi, ting-ting dan sebagainya. Boleh dikatakan kebanyakan permainan dahulu semuanya dalam bentuk berjemaah. Ada komunikasi ada interaksi. Ada yang sampai berbalah. Tetapi hanya sekejap sahaja. Jiwa kanak-kanak, jiwa fitrah, sebentar sahaja panasnya Selepas itu melastik burung bersama semula.

Begitu juga dengan alatan permainan semuanya di hasilkan mengikut kreativiti sendiri. Sungguh berbeza dengan permainan sekarang. Semuanya berbateri dan berskrin, ada PS2, PSP dan sebagainya. Yang menyebabkan si pemainnya terpisah dengan persekitaran. Hanya dengan dunia mereka. Aku..aku, kamu..kamu.

Nostalgia yang ditinggalkan

Hujan belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti, walaupun sudah teduh sedikit. Nostalgia lalu masih sarat bersarang di minda. Mata saya berkaca. Perlahan-lahan saya mengesat pelupuk mata yang bergenang tidak semena-mena. Sudah jauh kenangan itu ditinggalkan.

“Apa yang dimenungkan tu? Jauh benar nampaknya,” tiba-tiba isteri saya menegur dari belakang. “Mari ke hadapan, minum petang, Noni dan emak ada buatkan kuih,” sambungnya lagi.

“Tak ada apa-apa, tengok hujan seronok juga rasanya,” saya menjawab. Saya kira itulah jawapan yang mampu saya ucapkan.

Hujan sudah beransur reda. Titik-titik hujan masih berdetap di atas bumbung. Lamunan saya mati di sapa kesayuan, saya segera menuju ke dapur dengan kepala yang sarat berisi kenangan. Indahnya kenangan itu...

Kenangan demi kenangan
Tidak mampu untuk ku lupakan
Tali air, paya, sawah dan ladang
ku jelajahan ku teroka bersama teman

Namun kini semua itu tinggal kenangan
Satu demi satu hilang dari kehidupan
Semakin jauh jarak masa perjalanan
Semakin jauh nostalgia ditinggalkan

Ingin rasanya jika dapat ku ulang
Buat pengubat rindu hati dan perasaan.

Friday, 18 June 2010

Bicara santai: cerita kenduri kahwin

“Abang, ni ada satu lagi kad jemputan kenduri kahwin,” beritahu isteri saya sambil menghulurkannya kepada saya.

“Siapa yang bagi,” tanya saya sambil membelek-belek kad tersebut.

“Makcik Saodah yang hantar tadi, anaknya yang nombor tiga kahwin,” jelas isteri saya.

“Ohh..makcik Saodah,” terbayang wajah beliau suami isteri yang cukup mesra dengan semua orang. Rumahnya di simpang tiga jalan.

“Banyak betul kenduri kahwin minggu ni, hari yang sama pulak tu,” saya mengomel sendirian.

Hampir sepuluh jemputan kenduri kahwin yang saya terima. Termasuk dari rakan-rakan sekerja. Ada yang hari Sabtu dan ada yang hari Ahad. Tetapi itu bukanlah sesuatu yang pelik, kerana sekarang ini musim cuti sekolah. Hari yang sesuai untuk berkumpul keluarga dan sanak saudara. Kalau hujung minggu bukan cuti sekolah mungkin susah sedikit, terkejar-kejar masa.

Dan bagi saya mungkin terpaksa membuat pilihan untuk pergi ke rumah yang mana satu, kerana untuk memenuhi semua jemputan rasanya sesuatu yang agak mustahil.

Kenduri kahwin dulu-dulu

Bercerita tentang kenduri kahwin, saya perhatikan cukup berbeza dahulu dan sekarang. Memang banyak perbezaannya. Saya teringat ketika zaman kanak-kanak dahulu, kerja-kerja kenduri kahwin di lakukan secara berjemaah. Bermula dari membina bangsal, menyembelih lembu dan menyiang, mengukur kelapa, membasuh beras hinggalah memasak nasi dan lauk pauk, semuanya dalam suasana bergotong-royong. Cukup harmoni.

Kalau sebut kenduri kahwin mesti ada pokok kelapa yang ditebang. Batangnya dibuat tiang tempat duduk, umbutnya dibuat sayur. Masa itu dapatlah minum air kelapa muda sepuasnya. Bangsal pula dibuat daripada buluh. Tak perlu disewa kanopi dan sebagainya. Manakala barang-barang untuk memasak jarang dibeli, jiran-jiran yang datang akan membawa sesuatu untuk diberikan kepada tuan rumah seperti beras, gula, kopi, sayur-sayur dan sebagainya. Pendek kata setiap orang akan membawa sesuatu sebagai hadiah kepada tuan rumah.

Malam kenduri atau biasanya disebut sebagai ‘malam besar’ lebih meriah lagi. Tua muda, lelaki dan perempuan semuanya berkumpul di bangsal. Yang perempuan di bangsal dapur menyiang bawang dan sebagainya. Yang lelaki di bangsal utama mmotong daging, ada yang berborak. Di ketika itu macam-macam cerita dan 1001 kisah yang dapat kita dengar.

“Ingat tak masa kita kecil-kecil dulu, kamu yang paling penakut sekali, tiap kali balik mengaji mesti menangis.” Kata seorang pakcik tua kepada sahabatnya, mengimbau zaman kanak-kanaknya dahulu. Puluhan tahun telah berlalu.

“Engkau tu yang suka menyakat.” Balas sahabatnya pula. Nostalgia lalu yang diingat kembali.

3 golongan

Sebenarnya jika kita perhati dan kita fiikirkan mungkin kita akan perasan. Apa dia? Cuba lihat tetamu yang datang kenduri kahwin, ada beberapa golongan. Saya lihat ia boleh dibahagikan kepada 3 golongan. Perhatikan..

1. Kawan rapat kita. Kita jumpa dia dan jemput ke rumah, tanpa kad jemputan. Dan dia akan datang pada awal pagi. Datang untuk bekerja basuh pinggan, angkat lauk dan sebagainya. Dia bekerja sampailah ke petang.

2. Tetamu yang kita bagi kad. Dia datang waktu tengahari iaitu waktu makan. Lepas makan dia akan jumpa tuan rumah dan bersalam. Waktu itu tuan rumah akan pakai baju banyak poket.

3. Tetamu yang datang bersama pengantin. Kita tidak jemput atau bagi kad jemputan kepadanya. Dia datang dan duduk di meja bersama pengantin, makan lauk pengantin. Lepas makan, terus balik. Kadang-kadang tuan rumah pun dia tak jumpa. Inilah tetamu yang paling tak guna agaknya.

Rupa-rupanya apabila saya fikirkan, tetamu yang datang kenduri kahwin ehh.. sama macam tetamu yang datang ke rumah Allah. Ada persamaan ke... Tak pernah terfikir pula. Bagaimana persamaannya? Perhatikan.

1. Tetamu yang pertama iaitu apabila mendengar azan, dia terus ke masjid. Apabila azan, maka dia akan tahu ini adalah tanggungjawab yang harus ditunaikan. Orang yang sebegini biasanya diberi amanah oleh Allah untuk jaga agama. Dia tahu dia ada kerja agama.

2. Bila ada kuliah dia akan datang. Jika tiada kuliah maka tak nampaklah mukanya. Seumpama ada kad jemputan dia datang, jika tiada kad jemputan maka tak nampaklah mukanya. Ramai orang begini.

3. Tetamu yang datang apabila ada ‘orang besar’ datang. Maksudnya jika ada program-program besar di masjid maka dia akan datang. Ibarat orang yang datang bersama pengantin. Inilah tetamu yang tak guna agaknya.

Oleh itu, perhatikanlah di golongan manakah kita. Satu, dua atau tiga. Jika golongan yang pertama alhamdulillah, istiqamah. Jika golongan kedua, boleh tahan dan ada harapan cuma perlu tingkatkan lagi prestasi. Tetapi jika di golongan yang ketiga, berhati-hatilah. Kerana disitu pasti ada yang tidak kena. Muhasabah diri. Mudah-mudahan sempat kembali kepada kebaikan.

Ehh... aku golongan mana pula...

Wednesday, 9 June 2010

Masih ada al-Kibr...

Rasulullah SAW berkata “Sesungguhnya Nabi Allah Nuh Alayhi as-Salaam ketika nazak menghadapi kematian, beliau berkata kepada anaknya:

“Sesungguhnya aku mahu meninggalkan wasiat kepada kamu. Aku perintahkan kepada kamu dua perkara dan aku tegah kamu daripada dua perkara.

Aku perintahkan kamu dengan Laa Ilaaha IllaLlaah. Sesungguhnya jika tujuh petala langit dan bumi diletakkan di suatu timbangan dan Laa Ilaaha IllaLlaah diletakkan di suatu timbangan yang lain, nescaya Laa Ilaaha IllaLlaah itu lebih berat. Seandainya tujuh petala langit dan bumi itu suatu rangkaian yang samar dan rapuh, ia terjalin kukuh dan kemas dengan Laa Ilaaha IllaLlaah.

Aku juga memerintahkan kamu dengan Tasbih dan Takbir. Sesungguhnya dengan demikian terhasil kesejahteraan setiap sesuatu dan dengannya jua makhluk dikurniakan rezeki.

Aku tegah kamu dari Syirik dan Kibr (takabbur)”

Sahabat bertanya, Ya Rasulallah, sesungguhnya Syirik itu telah kami arif mengenainya. Namun, apakah yang dimaksudkan dengan Kibr? Adakah menjadi Kibr jika seseorang itu memakai sepasang kasut yang baik dengan talinya yang baik?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Kata Sahabat berkenaan, atau apakah dengan seseorang itu mempunyai perhiasan dan beliau memakainya (lalu dianggap Kibr)?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Kata Sahabat berkenaan lagi, atau apakah seseorang itu mempunyai haiwan tunggangan dan beliau menunggangnya (lalu dianggap Kibr)?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Kata Sahabat tersebut, atau adakah jika sesiapa di kalangan kami mempunyai ramai teman dan beliau duduk bersama mereka (lalu dianggap Kibr)?

Rasulullah SAW menjawab, “Tidak”

Lalu Sahabat tersebut bertanya, kalaulah begitu ya Rasulallah, maka apakah sebenarnya Kibr itu?

Nabi SAW menjawab, “Al-Kibr itu ialah meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!”

[Dikeluarkan oleh Ahmad di dalam al-Musnad 2: 169, 170, 225. Dan oleh al-Bayhaqi di dalam al-Asmaa’ wa as-Sifaat: 79]

Jangan takabbur

Jelas bahawa sifat takabbur itu amat berbahaya sehingga boleh menjadikan seseorang itu kufur terhadap ajaran Allah. Seorang yang takabbur akan menganggap dirinya serba tahu dan ia tidak akan mahu belajar perkara yang ia tidak tahu atau tidak bersesuaian dengan keinginannya.

Takbur atau kesombongan menghalang seseorang daripada menginsafi kecacatannya sebagai seorang manusia. Apabila ia memperolehi suatu pengetahuan yang ia suka, maka ia akan taksub kepadanya sehingga mengetepikan pandangan lain tanpa menilainya terlebih dahulu. Tidak mustahil juga ketaksubannya pada satu pandangan atau fahaman menjadikannya orang yang menyangkal ajaran Allah yang sebenar.

Ada yang berkata untuk membanteras gejala judi ‘haram’, maka kita perlu keluarkan lesen judi. Dengan itu dapatlah mengawal perjudian haram itu. Maka menjadi halallah judi itu. Seumpama judi itu haram tapi jika ada lesen maka ia halal. Betul ke begitu? Pening juga mahu memikirkannya. Ada ke judi haram dan judi halal. Bukan ke semua bentuk perjudian adalah haram, ada lesen ke tiada lesen semuanya haram. Rasanya itulah yang dipelajari dulu.

Sebenarnya dalam perkara nafsu, kita tidak boleh menggunakan nafsu untuk menyelesaikannya. Untuk menyelesaikan masalah nafsu kita perlu merujuk kepada yang menciptakan nafsu itu. Judi adalah berpunca daripada nafsu, maka untuk menyelesaikannya maka perlu dirujuk kepada Allah. Kembali kepada formula penyelesaian iaitu al-Quran serta hadis Nabi saw.

Jangan menidakkan hukum yang telah termaktub. Mengapa masih mahu mengambil peraturan selain dari apa yang diturunkan oleh Allah. Sedangkan ia adalah yang terbaik. Yang pastinya kita masih ada sifat , “Al-Kibr iaitu meremeh-temehkan kebenaran (safah al-haq) dan menindas manusia (ghamth an-Naas)!”

Tuesday, 8 June 2010

Ceramah di PUTRA

Jemput datang beramai-ramai...




Friday, 4 June 2010

Bekerja untuk melihat apa yang kita percaya.

“Kota Constantinople itu akan berada di tangan umat ini”, pesan Baginda SAW kepada sahabat yang keletihan di medan Khandaq.

Constantinople?

Janji itu keterlaluan.

Masakan tidak. Penduduk Madinah hanya segelintir. Mereka itu pula antara hidup dan mati, tatkala dikepung segenap Barisan Nasionalis Arab yang bergabung membentuk tentera Ahzab. Tiba-tiba baginda SAW memberikan janji bahawa kita yang kecil, antara hidup dan mati ini, akan menundukkan Constantinople, kota terbesar di dunia itu.

Apakah ini suatu kemustahilan?

Beginilah cara Nabi SAW memotivasikan sahabat.

Percaya selepas melihat sesuatu tiada nilai iman. Ia hanya suatu ikrar pada sesuatu yang telah ada hasilnya. Percaya seperti ini percaya murahan yang tidak berhajatkan kepada usaha dan pengorbanan.

Namun Baginda SAW mengajar para sahabat supaya percaya sebelum melihat sesuatu, dan bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Itulah hebatnya motivasi minda mukmin profesional.

Mereka percaya sebelum melihat dan bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Kita belum pernah melihat Syurga, namun kita mempercayainya. Maka bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya.

Kita juga belum pernah melihat kemenangan Islam, bahkan diselubungi kekalahan demi kekalahan. Namun kita percaya bahawa hari esok adalah untuk Islam. Maka bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya.

Bahawa kemenangan adalah milik Islam.

Andai cukup syarat-syaratnya.

Adaptasi dari tulisan Ustaz Hasrizal Abd Jamil (mencari kemenangan dengan Acuan Allah)

Wednesday, 2 June 2010

Cerita kucing: miau miau...

“Banyaknya kucing, rasanya dulu tak banyak macam ni,” kata isteri saya.

“Dah jadi tempat pembuangan kucing pulak pasar ikan ni,” saya menjawab.

Kami ke pasar untuk membeli lauk buat makan tengahari. Sesuatu yang amat saya perasan ialah jumlah kucing di pasar ini semakin banyak. Ada yang jantan, betina. Ada yang dewasa dan masih kecil mengekori ibu.

“Tetapi bagus juga buang di sini, sisa makanan banyak, lagipun boleh menghindarkan tikus serta ular. Kalau buang di tempat yang tiada orang, menganiaya pula,” saya mengomel sendirian.

Minat kucing

Saya memang minat memelihara kucing. Masa budak-budak dahulu saya banyak memelihara kucing. Ada yang jantan dan ada yang betina. Saya bermain dengannya, memandikannya, tidur pun dengan kucing.

Minat kepada kucing mengalir kepada anak saya. Yang paling sukakan kucing ialah anak perempuan saya, angah. Jika makan di kedai dia boleh tidak jadi makan kerana asyik melayan kucing. Kadang-kadang sampai makanannya terbahagi dua dengan kucing, sama banyak. Kalau pergi ke mana-mana, pantang berjumpa kucing pasti hendak dibawa balik.

Saya teringat satu kisah yang diceritakan oleh guru semasa bersekolah dulu. Ia kisah mengenai kucing. Apabila saya fikirkan ia benar-benar sesuatu yang tersirat dan sentiasa kita lupa. Oleh itu marilah kita renungkan betapa lalainya kita dan alpanya kita. Begini kisahnya.

Telah datang seorang ahli sufi di hadapan rumah serang lelaki. Ahli sufi itu terkejut apabila mendapati lelaki itu sedang memukul seekor kucing. Ahli sufi bertanya kepada lelaki tersebut, “kenapa kamu pukul kucing yang lemah ini?” jawab lelaki tersebut, “Aku telah menjumpainya di sebuah lorong ketika ia dalam keadaan yang tersangat lemah dan kesejukan, kemudian aku mengambilnya dan memberinya makanan serta minuman. Aku pelihara sehingga ia benar-benar sihat, tetapi apabila sihat, ia membuang najis di merata tempat di rumahku.”

Kemudian berkatalah ahli sufi tersebut, “Ini sebenarnya peringatan dan tamsilan antara kita dengan Allah. Dia telah memelihara kita sejak dari kecil yang tersangat lemah dan dhaif, lalu Allah beri kita makan, minum, pakaian dan segala-galanya tetapi setelah begitu banyak kebaikan dan nikmat Allah yang kita kecapi, kita derhaka kepada-Nya. Lihatlah betapa baiknya dan rahmatnya Allah, walaupun kita derhaka kepada-Nya, Dia masih belum menyeksa atau memukul kita dengan azab-Nya.”

Kemudian beredarlah ahli sufi dan beristighfarlah lelaki tersebut kerana mengenangkan dosa-dosanya terhadap Allah. Jika ia lambat diperingatkan oleh ahli sufi itu, sudah tentu dipertanggungjawabkan atas kesalahannya di mahkamah Allah kelak kerana percubaan mendera kucingnya…

Merenung nikmat Allah

"Dan diberikan kepadamu semua (sumber keperluanmu) yang kamu mohonkan. Sekiranya kamu (cuba hitung) kurniaan Allah, maka tidak akan terhitung olehmu (berapa jumlahnya). Sesungguhnya manusia itu sangat zalim dan engkar (tidak mensyukuri nikmat Allah). (Ibrahim: 34)

Saban masa dan ketika kita menikmati kurnian Allah. Ketika mula dilahirkan, berbagai nikmat yang tidak putus-putus. Lihatlah apa yang ada pada diri kita. Penglihatan, pendengaran, akal fikiran, kesihatan dan lain-lain lagi. Pasti tidak akan habis jika mahu dihitung satu persatu. Namun, mungkin kita terlepas pandang dan terlupa nikmat itu.

Setiap butir nasi yang dimakan, setiap teguk air yang diminum, setiap zarah udara yang kita sedut, bahkan apa sahaja adalah menunjukkan betapa penyayangnya Allah swt kepada kita.

Namun demikian, ramai manusia yang seolah-olah lupa daratan. Mereka mengambil nikmat Allah tetapi lupa untuk bersyukur kepada-Nya. Ramai yang tidak bersolat dan engkar akan suruha-Nya, bahkan tidak sedikit yang melakukan perkara-perkara yang menjadi tegahan-Nya. Tetapi dengan sifat Rahman-Nya yang luas, Dia tetap memberikan kurniaan-Nya kepada semua makhluk sama ada taat atau tidak.

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?

Allah mengulangi ayat di atas sebanyak 31 kali di dalam surah Ar-Rahman, sebagai amaran dan ingatan serta muhasabah diri, supaya kita menilai semula sejauh mana kesyukuran kita terhadap nikmat-Nya.

Ingatlah, saban masa dan ketika kita berhajat kepada Allah. Oleh itu, perbanyakkanlah berterima kasih kepada-Nya, iaitu dengan sentiasa mengabdikan diri kepada-Nya. Tinggalkan perkara-perkara maksiat. Mudah-mudahan kita termasuk ke dalam golongan yang sentiasa bersyukur. Wallahu a`lam.