Sahabat Sejati

Saturday, 29 May 2010

GERAKAN MANSUHKAN JUDI



Peringatan Allah:
:Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, judi berhala dan bertenung nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dan adalah dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.” (Al-Maidah: 90).

Tetapi...

Timbalan menteri Kewangan, Datuk Awang Adek Hussein, berkata tindakan kerajaan (meluluskan Judi Bolasepak Piala Dunia) itu bagi mengelakkan berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini. (TAK TAHU PULA ADA JUDI HALAL DAN ADA JUDI HARAM???..)

Keburukan Judi:

- meningkatkan aktiviti Ah Long
- Merugikan pendapatan rakyat dan negara kerana ramai jadi kaki judi
- Menimbulkan masalah rumahtangga dan penindasan kepada ahli kelurga
- Menimbulkan masalah jenayah samun untuk cari duit berjudi
- Menimbulkan masalah dalam sukan
- Dosa besar kepada agama dan pendapatan judi tidak berkat


Tuntutan Rakyat:

- Mansuhkan kelulusan semua lesen judi termasuk judi bolasepak piala dunia
- Mansuhkan pengeluaran lesen premis judi di peringkat kerajaan tempatan
- Tutup premis-premis judi sedia ada
- Isytiharkan aktiviti perjudian sebagai musuh negara
- Perangi sindiket-sindiket judi


AYUH!!! SERTAI KAMI BERARAK KE ISTANA NEGARA MEMBANTAH KELULUSAN JUDI INI

2 PETANG 3 JULAI 2010 KUALA LUMPUR

Thursday, 27 May 2010

Sekadar renungan di tanah perkuburan


Kumail berkata, “Aku bersama-sama Ali ra. di dalam satu perjalanan. Beliau sampai di satu tempat yang tidak berpenghuni lalu beliau menghampiri sebuah kubur lalu berkata: “Wahai kamu penghuni kubur! Wahai kamu yang tinggal di kalangan orang-orang yang telah binasa! Wahai penghuni belukar lagi sunyi sepi! Betapa hal keadaanmu di dunia sebelah sana?” Beliau menyambung lagi: “Berita dari kami ialah bahawa segala apa yang telah kamu tinggalkan baik berupa harta dan kekayaan telah lama diagih-agihkan, anak-anakmu telah lama menjadi yatim, jandamu telah lama berkahwin semula. Sekarang beritahulah berita mengenaimu. “Beliau berpaling kepadaku: “Wahai Kumail! Jikalau mereka dapat berkata-kata, nescayalah mereka akan memberitahu kita bahawa perbekalan yang terbaik sekali untuk akhirat ialah taqwa. “Airmata mengalir tatkala beliau menambah kata-kata: “Wahai Kumail! Kubur adalah merupakan peti amalan, tetapi hanyalah disedari apabila seseorang itu meninggal dunia.”

Segala amalan kita sama ada baik atau buruk akan disimpan di dalam kubur. Dinyatakan dalam sebuah hadis bahawa seseorang itu akan menemui amalan-amalannya yang baik di kubur di dalam bentuk seorang yang menjadi teman setia yang bersahabat dan mententeramkan di sana.tetapi amalan-amalan buruknya menjadi sehodoh-hodoh makhluk yang akan mengeluarkan bau busuk, menambah lagi azabnya.

Suatu ketika Rasulullah saw bertanya kepada para sahabat: “Tahukah kamu hubungan antara kaum kerabat, harta dan amalan-amalan dengan diri kamu?”

Sahabat-sahabat pun menyatakan keinginan untuk mengetahuinya. Baginda bersabda:

“Ia dapat diumpamakan sebagai seorang yang mempunyai tiga saudara. Apabila dia hampir mati, dia pun memanggil salah seorang saudaranya lalu bertanya kepadanya: “Wahai saudaraku! Kamu maklum malapetaka yang menimpaku? Apakah pertolongan yang dapat kamu berikan pada saat ini?” Saudara itu menjawab: “Aku akan memanggil tabib untuk mengubatimu, dia akan memeriksa dan menjagamu. Apabila kamu mati, daku akan memandikan kamu, kafan dan membawa kamu ke kubur. Kemudian aku akan mendoakan kamu setelah dikebumikan. Saudara ini ialah sanak saudara dan kaum kerabat.”

Soalan yang sama ditanyakan kepada saudara yang kedua yang kemudian dijawab olehnya: “Daku akan sentiasa bersama-sama selagi hidupmu. Sebaik-baik sahaja kamu mati, maka daku akan berpindah kepada orang lain.” Saudara ini ialah harta dunianya. Dia menyoal pula saudaranya yang ketiga dengan soalan yang sama, kemudian di jawab:

“Daku tidak akan meninggalkanmu walau semasa kamu berada di dalam kubur, daku akan memberatkan timbanganmu di neraca apabila amalan-amalannya yang baik.”Sekarang beritahulah daku, saudara jenis yang manakah yang mendatangkan faedah yang lebih kepada orang tersebut?”

Sahabat-sahabat menjawab: “Ya Rasulullah! Saudara yang terakhir itulah yang paling bermanfaat kepadanya. Tidak ada keraguan mengenainya. Saudaranya yang dua lagi tidak mendatangkan apa-apa pertolongan.”

Monday, 24 May 2010

Lapan tahun kita bersama

Lapan tahun kita bersama. Nur Adawiyah nama diberi. Cahaya penawar memberi erti. Semoga menjadi cahaya penawar menghilangkan keresahan hati abi dan ummi.

Saturday, 22 May 2010

Rawatan Islam

Semua di jemput hadir....

Bukan Jumaat yang biasa


Hari ini bukan Jumaat yang biasa. Walaupun cuaca cerah, mentari bersinar memancarkan cahayanya tetapi ada sesuatu yang bergetar di perasaan. Sebak. Tatkala membaca SMS yang dihantar oleh rakan.

“Assalamualaikum, sahabat kita saudara Kamaruzaman telah kembali ke rahmatullah pukul 8.00 pagi tadi.”

Saya tersentak. Terasa mustahil berita yang saya terima. Segalanya begitu mengejutkan.

Bagaikan tidak percaya, malam tadi kami bersama rakan-rakan yang lain di dalam program Ijtima` Tarbawi di PUTRA. Sama-sama mendengar pembentangan kertas kerja yang disampaikan oleh Ustaz Nasrudin Thantawi. Beliau tidak menunjukkan tanda-tanda kelainan. Semuanya seperti biasa. Namun sudah ketentuan-Nya.

Saya dimaklumkan beliau telah rebah di bilik air pada paginya. Beliau telah dibawa ke hospital tetapi meninggal di dalam perjalanan.

Kenangan

Saya mempunyai banyak kenangan dengannya. Beliaulah yang bertanggungjawab memperkenalkan saya dengan jemaah PAS. Setiap kali ada program baik ceramah, kuliah, tarbiyah dan sebagainya, beliau akan memaklumkan kepada saya.

“Malam ni ada ceramah di markaz, datanglah, ajak kawan-kawan juga,” beliau mengingatkan.

Pernah beliau membawa saya dan beberapa rakan lagi mendengar ceramah di kawasan Jengka. Kami menumpang van sahabat yang tinggal di Sungai Soi, Rahim namanya.

Satu lagi kelebihannya ialah beliau pandai mengurut. Tidak sedikit yang pernah merasai sentuhan tangannya. Sambil mengurut beliau akan berceloteh. Macam-macam cerita yang keluar dari mulutnya, lucu, sedih, pahit jerih perjuangan dan sebagainya. Mungkin dengan kelebihan itu, beliau mempunyai ramai kawan. Seingat saya demikian seadanya.

Ketentuan

Sukar untuk saya ungkapkan apa yang ada di dalam hati. Hanyalah sekalung doa saya panjatkan, semoga Allah swt mengurniakan keampunan serta curahan rahmat yang berterusan kepadanya. Manakala buat keluarga beliau, mudah-mudahan Allah swt memberikan jutaan kesabaran dan ketabahan.

Demikianlah fitrah kehidupan, bertemu janji yang pasti. Siapa yang dulu siapa yang kemudian.

Thursday, 20 May 2010

15 Maksiat yang menurunkan bala

Daripada Ali bin Abi Talib ra. Rasulullah saw bersabda: “Apabila umatku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu:

1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.
2. Apabila amanah dijadikan sumber keuntungan
3. Zakat dijadikan hutang
4. Suami memperturutkan kehendak isteri
5. Anak derhaka terhadap ibunya
6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya
7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya
8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid
9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka
10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya
11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat
12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)
13. Para artis disanjung-sanjung
14. Muzik banyak dimainkan
15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat)

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain.” (Tirmidzi).

Wednesday, 19 May 2010

Suka meniru


Semalam saya ke bandar kerana ada urusan penting. Setelah menyelesaikan beberapa urusan, sengaja saya masuk ke dalam sebuah pusat membeli belah. Hajat di hati membeli sedikit buah tangan untuk di bawa pulang.

Ramai juga pengunjung, maklumlah hari Sabtu. Kebanyakannya dikalangan remaja, budak sekolah. Apa yang menarik perhatian saya adalah 'dressing' dan penampilan mereka. Ada yang rambut terpacak, ada yang berseluar kecil di bawah. Ada juga yang koyak di lutut. Manakala yang perempuannya dengan baju ketat laksana sarung nangka. Menonjol apa yang tidak sepatutnya. Dengan dialog yang tidak sanggup kita dengar.

"Eh.. setan kau nak makan apa ha?"

"Gua nak makan mee gorenglah... babi."

Begitulah diantara dialog yang didengari. Terkejut rasanya.

Cerita zaman budak-budak

Melihat remaja kita yang suka meniru-niru budaya asing, teringat saya satu cerita yang pernah dikisahkan oleh seorang guru semasa sekolah rendah dahulu. Begini kisahnya.

Seekor kera berada di atas sepohon pokok. Ia ternampak seorang tukang gunting sedang menggunting rambut seorang budak di bawah pokok. Ia tertarik hati dan asyik melihat gelagat tukang gunting yang menggunakan gunting dan pisau cukur. Pekerjaan tukang gunting itu menarik perhatiannya sehinggalah selesai tukang gunting itu menggunting rambut budak tersebut.

Setelah selesai, tukang gunting itu pun beredar dari situ untuk makan. Dia meninggalkan perkakasnya di bawah pokok itu. Sang kera segera turun dari pokok untuk melihat gunting dan cukur yang digunakan oleh gunting tadi. Tergerak di hatinya untuk meniru perbuatan tukang gunting. Ia pun mengambil gunting lalu menggunting bulu/rambut di badan dan di kepalanya. Setelah itu ia mengambil pisau cukur pula. Cepat-cepat ia meraut bulu di badannya. Dalam kegopohannya pisau cukur itu memotong sebahagian hidungnya. Kera menjerit kesakitan. Darah bercucuran mengalir dari mukanya. Sang kera mula menyesal atas perbuatannya meniru perbuatan tukang gunting itu.

Berdasarkan kisah di atas kita mestilah mempunyai identiti sendiri. Jangan kita suka meniru budaya lain. Kerana sesuatu budaya itu tidak semestinya baik dan sesuai dengan keadaan kita. Lebih-lebih lagi jika meniru-niru perbuatan orang lain tanpa mengetahui baik dan buruknya.

Oleh itu marilah kita kembali kepada Islam yang lebih terang dan terserlah identitinya. Kita tidak perlu meniru budaya lain kerana Islam itu telah lengkap segalanya.

Maka berkatalah..."Islam adalah identitiku.. alhamdulillah."

Sunday, 16 May 2010

Selamat Hari Guru

16 Mei datang lagi. Yang pastinya ada sesuatu yang istimewa perlu disambut. Tidak lain dan bukan ia adalah hari guru. Sambutan hari guru yang dirayakan pada 16 Mei setiap tahun adalah untuk menyatakan penghargaan kepada para guru. Segala penat dan pahit jerih dalam mendidik anak bangsa dihargai oleh pihak kerajaan. Sama ada kita menyambutnya ataupun tidak, guru sewajarnya dihargai kerana tidak sedikit jasa para guru. Saya teringat di antara bait kata sebuah sajak:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang raja menaiki tahta,
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara,
Jika hari ini seorang ulama` yang mulia,
Jika hari ini seorang peguam menang bicara,
Jika hari ini seorang penulis terkemuka,
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa,
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa,
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca...

Tiada siapa yang dapat menafikan betapa besarnya peranan guru. Tugas menyampaikan ilmu dan yang paling penting adalah mendidik dan memanusiakan manusia agar lebih berkemanusiaan. Semestinya ia bukan sesuatu yang mudah. Lebih-lebih lagi di zaman yang amat mencabar ini. Zaman manusia menempatkan diri di celahan sifat kebendaan.

Saya teringat kepada guru kelas saya semasa di sekolah menengah dahulu. Puan Halimah Jahid namanya. Tunjuk ajar dan nasihatnya masih membekas sehingga kini. Masih saya ingati di antara butir-butir nasihat yang disampaikan. Beliau membahasakan dirinya sebagai umi. Kami turut memanggilnya umi walaupun pada mulanya agak kekok juga.

"Umi harap anak-anak umi semuanya menjadi manusia. Biar miskin harta jangan miskin ilmu, kerana ilmu adalah penyuluh kehidupan dan cahaya kebenaran." Diantara nasihatnya.

Saya cuba mendapatkan pandangan dari beberapa orang rakan mengenai guru. Berbagai komen yang saya dengar. Semuanya memberikan komen yang memuji dan menghargai pengorbanan serta kepayahan guru.

Ada yang berkata:
“Guru seorang yang istimewa. Seorang pendidik yang berjiwa kental dan berhati mulia. Mampu mendidik anak-anak bangsa sehingga berjaya. Guru di ibaratkan sebuah pelita menerangi kehidupan yang gelap gelita. Tanpa guru sebuah kejayaan amat sukar untuk dicipta.”

Manakala seorang lagi menyatakan:
“Guru ibarat orang yang paling penting dalam hidup setiap insan selepas kedua ibu bapa kita. Jadi, menghormati mereka adalah sesuatu yang sangat penting juga. Guru juga menjalankan tugas dan tanggungjawab yang sama dengan ibu bapa kita iaitu memimpin dan membawa kita ke jalan kehidupan yang penuh bermakna. Ibarat mencorak sesuatu ke atas sehelai kain putih. Jika cantik coraknya, maka cantiklah kainnya. Tetapi jika buruk coraknya, maka buruklah an

Itulah guru kita,
Dari tidak tahu kepada tahu,
Dari bodoh kepada pandai,
Dari nakal kepada penuh disiplin,
Dari malas kepada rajin,
Dan dengan keberkatan guru kita...
Kita pandai membaca, kita pandai mengira, kita pandai menulis,
Dan yang penting,
Kita pandai berfikir mana yang baik mana yang buruk,
Dan renung dan fikirkanlah pengorbanan guru anda.”

Demikianlah berapa pandangan yang sempat saya ambil, terima kasih kepada rakan yang sudi berkongsi pandangan.

Guru terbaik

Satu kisah yang dinukilkan di dalam kitab untuk sama-sama kita ambil tauladan.

Sedang Nabi Muhammad saw sedang duduk bersama para sahabat, muncul seorang pemuda berjumpa kepadanya lalu berkata: “Izinkan saya untuk berzina.” Mendengar perkataan pemuda itu, para sahabat terpinga-pinga dan merasa marah.

Namun Nabi Muhammad bersikap tenang dan melayan dengan baik. Baginda menyuruh pemuda itu hampir kepadanya lalu bertanya: “Mahukah engkau jika orang lain berzina dengan ibumu?”

Pemuda itu menjawab “tidak!” Lantas Nabi bersabda, “Kalau begitu, orang lain juga tidak suka berbuat jahat kepada ibu-ibu mereka.” Kemudian Nabi mengajukan soalan kedua, “sukakah kamu jika orang lain berbuat jahat dengan saudara perempuanmu? Atau sukakahkamu jika isteri kamu dinodai orang lain?” Kesemua soalan itu di jawab oleh pemuda itu dengan “Tidak!”

Rasulullah saw kemudian meletakkan tangannya yang mulia ke atas pemuda itu sambil berdoa, “Ya Allah, sucikan hatikanlah hati pemuda ini. Ampunkanlah dosanya dan peliharakanlah ia dari melakukan zina.

Sejak peristiwa itu, tiadalah perkara yang paling di benci pemuda tu selain zina.

Nah! Demikianlah contoh terbaik yang ditunjukkan oleh guru yang terbaik, Nabi Muhammad saw.

Menurut Imam Ghazali di antara ciri-ciri guru yang cemerlang ialah:

-Mempunyai rasa simpati kepada murid dan menganggap serta melayani mereka sebagaimana anaknya sendiri.

-Mengikuti tingkah laku dan sunnah Nabi Muhammad saw dan tidak meminta imbuhan atas perkhidmatan yang diberinya.

-Tidak menasihati atau membenarkan muridnya melaksanakan sesuatu tugas kecuali dia (guru) benar-benar terlatih dan berpengetahuan tentang perkara tersebut.

-Menasihati murid-muridnya supaya meninggalkan kelakuan buruk secara lembut, bukannya dengan memarahi mereka.

-Tidak sekali-kali merendah-rendahkan disiplin ilmu yang lain di hadapan murid-muridnya.
-Hadkan pembelanjaran bersesuaian dengan tahap pemahaman murid dan tidak sesekali memaksa mereka mencapai sesuatu diluar kemampuan.

-Menyediakan bahan pembelajaran yang mudah difahami, jelas dan bersesuaian dengan tahap perkembangan akal murid khususnya murid yang kurang pintar.

Jika kita lihat pada hari ini betapa bejatnya kerosakan moral remaja, maka nasihat dari Hujjatul Islam Imam Ghazali ini perlu kita ambil sebagai panduan dalam mendidik generasi dan membentuk sakhsiah pelajar.

Thursday, 13 May 2010

Sanah Helwah Ya Bunayya

'Semoga membesar menjadi tonggak dan pejuang agama'

Monday, 10 May 2010

Mengapa hatinya mati

Syafiq El-Balakhi rah. meriwayatkan bahawa semasa Ibrahim bin Adham ra sedang berjalan-jalan di negeri Basrah, dia ditanya oleh penduduk negeri itu. Mereka bertanya, "Ya Ibrahim! Mengapa doa kami tidak diendahkan lagi, padahal bukankah Allah telah berfirman: "Apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu tentangKu, maka jawablah: Bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku." (l-Baqarah: 186).

Lalu Ibrahim bin Adham memberi jawapan kepada mereka. Katanya: "Wahai penduduk Basrah, itu disebabkan kerana qalbu kamu telah dimatikan oleh sepuluh perkara. Jika demikian mana mugkin Allah swt akan menyambut permohonan doa kamu."

"Adapun sepuluh perkara yang menunda daripada diterima oleh Allah swt akan doa kamu adalah:

1- Kamu telah mengenal Allah, tetapi tidak menunaikan hak-Nya.

2- Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi tidak mengamalkan isinya.

3- Kamu mengaku cintakan Rasulullah, tetapi meninggalkan sunnahnya.

4- Kamu mengaku bencikan syaitan, tetapi mematuhi ajakannya.

5- Kamu mengaku ingin masuk syurga, tetapi kamu menjerumuskan diri ke dalam maksiat.

6- Kamu meyakini neraka itu pasti, tetapi tidak pernah berusaha lari daripadanya.

7- Kamu meyakini mati itu satu kepastian, tetapi kamu tidak pernah bersiap untuknya.

8- Kamu sibuk dengan keburukan orang lain, tetapi mengabaikan keburukan diri sendiri.

9- Setiap waktu kamu menguburkan orang mati, tetapi kamu tidak pernah merenunginya.

10- Kamu menikmati nikmat Allah, tetapi tidak pernah mensyukurinya.

Sama-sama mengambil peringatan....

Sunday, 9 May 2010

Selamat Hari Ibu


Ketika saya menyelongkar bahan-bahan tazkirah yang ada di dalam laptop, tiba-tiba pandangan mata saya melirik pada satu artikel yang cukup menarik. Sebenarnya artikel tersebut adalah sebuah sajak yang dikirim oleh seorang sahabat kira-kira 2 tahun yang lalu. Artikel yang dikirim melalui sistem e-mail itu saya simpan di dalam 'folder tazkirah'. Masya-Allah lamanya sehingga saya terlupa mengenainya. Lumrah seorang hamba, lupa dan alpa.

Sajak ini walaupun hanya biasa-biasa sahaja dengan bahasa yang santai tetapi mempunyai pengertian yang amat menyentuh jiwa saya. Meneliti bait-bait yang tertulis, lantas membuatkan saya berfikir sejenak tentang diri ini...

Saya tidak mengetahui siapakah penulis sajak ini, tetapi saya mengharapkan agar penulisnya sentiasa berada di dalam kebaikan.

IBU
Orang kata aku lahir dari perut...IBU
Bila dahaga, yang susukan aku...IBU
Bila lapar, yang suapkan aku...IBU
Bila keseorangan, yang sentiasa disampingku...IBU
Kata ibu, perkataan pertama yang aku sebut...MA!
Bila bangun tidur, aku cari...IBU
Bila menangis, orang pertama yang datang...IBU
Bila nak bermanja.. aku dekati...IBU
Bila nak bergesel.. aku duduk sebelah...IBU
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya...IBU
Bila nakal, yang memarahi aku...IBU
Bila merajuk.. yang memujukku cuma...IBU
Bila melakukan kesalahan.. yang paling cepat marah...IBU
Bila takut, yang tenangkan aku...IBU
Bila nak peluk.. yang aku suka peluk...IBU
Aku selalu teringatkan...IBU
Bila sedih, aku mesti telefon...IBU
Bila seronok.. orang pertama aku nak beritahu...IBU
Bila bengang.. aku suka luah pada...IBU
Bila takut, aku selalu panggil...IBUUUUUUUUUUU!"
Bila sakit, orang yang paling risau adalah...IBU
Bila nak exam, orang yang paling sibuk juga...IBU
Bila buat hal, yang marah aku dulu...IBU
Bila ada masalah, yang paling risau...IBU
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ini...IBU
Yang selalu masak makanan kegemaranku...IBU
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barangku...IBU
Yang selalu berleter kepadaku...IBU
Yang selalu puji aku...IBU
Bila nak kahwin...
Orang pertama aku tunjuk dan rujuk...IBU
Aku ada pasangan hidup sendiri
Bila seronok.. aku cari pasanganku
Bila sedih.. aku cari IBU
Bila berjaya.. aku ceritakan pada pasanganku
Bila gagal.. aku ceritakan pada IBU
Bila bahagia, aku peluk erat pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat IBUku
Bila nak bercuti.. aku bawa pasanganku
Bila sibuk.. aku hantar anak ke rumah IBU
Bila sambut hari kekasih.. aku hadiahi bunga pada pasanganku
Bila sambut hari IBU...
Aku cuma dapat ucapkan "SELAMAT HARI IBU..."
Selalu.. aku ingat pasanganku
Selalu.. IBU ingat kat aku
Bila-bila.. aku akan telefon pasanganku
Entah bila.. aku nak telefon IBU
Selalu.. aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila.. aku nak belikan hadiah untuk IBUku
Maafkan anakmu... IBU...

Friday, 7 May 2010

Di sebalik ujian itu...

“Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sesuatu: perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta benda, dengan kematian, dan kekurangan hasil tanam-tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang bersabar (menghadapi ujian itu). (Orang-orang yang sabar) iaitu apabila di timpakan kesusahan (musibah), lalu mereka berkata: Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah jua kami akan dikembalikan.” (Al-Baqarah: 155-156).

Tidak mudah melihat 1001 ujian terkumpul di depan mata. Juga tidak sama dengan yang merasai dan memikulnya.

Itulah yang cuba saya selami tatkala melihat mereka yang ditimpakan ujian.
Saya merenung.... keharuan tatkala kesabaran dan harapan mereka menggunung tinggi. Apakah saya mampu bertahan sekiranya saya berada di tempat mereka. Apakah mampu bibir saya melafazkan kalimah keinsafan jika saya berganti nasib dengan mereka. Apakah dapat saya fikirkan ujian itu satu nikmat yang terkandung hikmah di dalamnya tatkala saya pula yang menerima ujian. Sungguh berat untuk saya ungkapkan. Mungkin saya berjaya menghadapinya, atau mungkin saya jua terlena tewas dek ketipisan iman di dada.

Kita memang layak diuji

Sesungguhnya setiap ujian yang ditimpakan itu pasti ada hikmah disebaliknya. Tidak mungkin Allah SWT menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia, walaupun diciptakan seekor nyamuk pasti di situ ada tujuan dan manfaatnya. Mungkin kita tidak menyedari atau mengetahuinya. Namun percayalah hikmah disebalik ujian itu adalah semata-mata dari sifat kasih sayang-Nya.

Dengan adanya ujian, kita akan sentiasa berifikir dan muhasabah diri. Ingat kepada Allah. Di situ kita akan merasai manisnya kasih sayang Allah SWT yang menyedarkan kita dari kelalaian dan keasyikan hidup.

Sesungguhnya apa sahaja masalah yang membelenggu dan menghimpit kehidupan, merupakan salah satu dari kaedah tarbiah Allah Yang Maha Pemurah kepada para hamba-Nya. Mungkin dalam keadaan sihat, kaya ataupun sempurna, kita mampu untuk mengucapkan kalimah syukur. Ataupun mengakui keimanan kita (iidak kurang juga yang hanyut). Akan tetapi tatkala ditimpa musibah atau ujian, barulah kita dapat melihat gambaran atau keadaan sebenar hakikat keimanan yang kita lafazkan itu. Adakah boleh bersabar dan redha atau meratap kerunsingan kerana putus asa, kecewa dan sebagainya.

Benarlah ungkapan penuh hikmah, jika tidak diuji dengan lapar kita tidak akan tahu nikmatnya kenyang. Jika tidak diuji dengan sakit kita tidak akan tahu nikmatnya sihat. Jika tidak diuji dengan sibuk kita tidak akan tahu betapa besarnya nikmat lapang. Jika tidak di uji dengan cubaan hidup, kita tidak akan tahu setebal mana keimanan kita terhadap ketentuan Allah SWT. Tepuk dada tanya iman.

Janganlah kita beranggapan bahawa apabila Allah SWT menurunkan musibah atau ujian maka itu tandanya Allah tidak menyayangi kita dan jangan sekali-kali menyatakan Allah telah menzalimi kita. Jangan. Jangan begitu. Sematkan di dalam jiwa kita bahawa setiap ujian itu terkandung hikmah kebaikan. Walaupun tampak zahirnya amat pahit. Seumpama ubat yang pahit tetapi pahitnya itulah yang menjadi penawar penyembuh penyakit.

Bersabarlah menerima ujian

“Demi sesungguhnya Kami akan menguji kamu, sehingga Kami mengetahui orang-orang yang berjuang diantara kamu dan orang-orang yang sabar dan Kami siarkan perkhabaranmu.” (Muhammad: 31).

Apa yang kita lihat ramai di kalangan manusia yang mensyukuri nikmat kesenangan, tetapi apabila di timpa ujian mereka mula resah bergoncang jiwa. Lalu disalah anggap sebagai satu bala yang tak sepatutnya dihadapi. Dan yang lebih buruk lagi apabila mula mempersoalkan dan menyalahkan Allah atas musibah tersebut. Na`uzubillah.

“Mengapa aku yang ditimpa musibah, apa salahku.”

“Apa dosaku sehingga aku diuji sedemikian rupa.”

Jangan begitu.

Tingkatkanlah kesabaran, menerima ketentuan Allah SWT dan redha dan apa yang paling penting, yakin bahawa Allah SWT pasti akan menolong kita. Ingatlah Dia yang menciptakan keresahan, Dia juga yang menurunkan ketenangan. Dia yang menurunkan penyakit, jangan lupa Dia juga yang membekalkannya dengan penawar. Allah yang memberikan ujian, maka sudah pastiah Dia juga yang membuka jalan penyelesaian. Justeru itu, tugas ita adalah berikhtiar bersungguh-sungguh dan tidak lupa berdoa dengan sepenuh hati. Janganlah hanya berserah diri menghitung hari dan berpeluk tubuh tanpa melakukan apa-apa. Umpama tewas sebelum berjuang.

Kata Asy`as bin Qais: “Jika engkau menghadapi musibah itu dengan penuh kesabaran dan keimanan serta mengharapkan keredhaan Allah, itu lebih baik bagimu. Jika tidak demikian, maka dirimu seperti haiwan.”

Diantara tujuan dan faedah-faedah musibah atau ujian adalah:

-Sebagai pembeza di antara mukmin yang kuat dan mukmin yang lemah jiwanya. Cukup sukar untuk mengetahui sikap mukmin yang kuat dan mukmin yang lemah kerana ianya tertanam dan tersembunyi di dalam hati pemiliknya. Namun apabila di timpakan ujian, maka dapatlah kita melihat siapakah yang mukmin dan sebaliknya. Ia jelas dapat di lihat melalui sikap dan keadaan mereka tatkala ditimpa ujian. Ada yang masih tersenyum dan tidak kurang juga yang tersepuk tenggelam dalam airmata keresahan.

-Ujian juga berfungsi sebagai kifarah atau penebus dosanya. Ini berdasarkan sabda Rsulullah saw: “Apa pun yang menimpa diri seseorang mukmin dari kepayahan, kesakitan, kesusahan dan apa sahajakeresahan yang dirasakan. Melainkan Allah SWT akan menghapuskan sebahagian dari keburukannya.”

-Sebagai proses mendidik dan membentuk peribadi. Dengan ujian atau musibah maka seseorang itu akan lebih bersedia menghadapi hari-hari yang mendatang. Serta menjadikan jiwanya kuat dan tahan lasak dan mematangkan fikirannya.

-Menguji tahap kesabaran dan ketaatan kepada Allah SWT. Yakni walaupun ditimpa musibah dan kesusahan, tetapi itu semua tidak menjadikannya malas dalam beribadat. Ada manusia yang apabila ditimpa musibah, lalu dia menjadikan musibah itu sebagai penghalang untuk melakukan ketaatan kepada Allah SWT.

Memetik tulisan Ustaz Hasrizal yang saya kira amat baik untuk kita fikirkan serta kita renungkan jauh ke dalam lubuk hati yang tulus:

“Perkara pertama yang perlu kita penuhi, adalah dengan membetulkan sangka dan kepercayaan kita kepada-Nya. Jangan sekali-kali kita menganggap bahawa sakit ini merupakan suatu musibah, nasib buruk atau hukuman. Tidak… Dalam hidup kita, sihat dan sakit kedua-duanya adalah ujian. Kita diberikan kesihatan untuk menguji adakah kita syukur dan berterima kasih kepada-Nya. Kita diuji dengan kesakitan untuk menguji adakah kita sabar dan ingat kepada-Nya.

Jadi, sakit dan sihat, dua-dua adalah ujian, dan dua-dua boleh jadi baik atau buruk. Baik jika kita positif terhadapnya, dan buruk jika kita memilih untuk berfikiran negatif terhadapnya.” .

Sesungguhnya “disebalik ujian itu” ada sinar bahagia, ada cahaya yang menerangi, ada syurga yang menanti. Justeru itu bersabarlah dalam menghadapi ujian kerana “kita memang layak di uji”....

Thursday, 6 May 2010

Sabar dalam berdoa

Ketika saya budak-budak dahulu, saya sering ke surau yang terletak berhampiran dengan rumah. Jika ada ustaz yang menyampaikan kuliah, saya akan duduk sama mendengar bersama jemaah yang lain. Saya teringat satu kuliah yang disampaikan oleh seorang ustaz yang menceritakan berkenaan dengan doa.


Jika kita boleh memilih kehendak kita sendiri, pasti kita akan memilih yang terbaik. Jika kita berkuasa ke atas kehidupan kita, pasti kita akan menjadikan segala-galanya menurut keinginan dan kemahuan kita. Kita akan jadikan perjalanan hidup kita hanya yang indah-indah belaka. Tetapi mampukah kita berbuat demikian, tidak mungkin. Apalah daya kita, kerana kita adalah hamba, sifat hamba adalah lemah dan tidak memiliki. Kehidupan kita semuanya ditentukan menurut kehendak Tuan yang memiliki. Kita amat mengharap belas dan kasihan Allah SWT. Justeru itu, apa yang dapat kita lakukan adalah berdoa selain dari berusaha. Kerana Allah jua yang mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya.

“Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan Dialah juga yang memiliki. Dan mereka tidak mempunyai pilihan (selain dari pilihan Allah). Maha Suci Allah dan Maha Tinggilah keadaan-Nya. Dan Tuhanmu mengetahui apa yang disembunyikan hati mereka dan apa yang mereka zahirkan.” (Al-Qashah: 68-69)

Sebaiknya seorang hamba yang tidak mengetahui apa yang akan terjadi mengakui akan kelemahan dirinya. Maka apabila Tuhan Yang Maha Mengetahui memilih untuknya sesuatu, hendaklah dia redha dan berlapang dada menerimanya. Walaupun seolah-olah pada pandangannya apa yang ditakdirkan itu tidak baik baginya, pahit dan pedih menelannya. Tetapi percayalah itu adalah pilihan Allah yang terbaik.


“Mungkin kamu membenci sesuatu sedangkan itulah yang terbaik bagi kamu, dan mungkin kamu menyukai sesuatu sedangkan ia tidak baik bagi kamu. Dan Allah yang mengetahui kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216).

Nah, tidakkah kita merasa tenang setelah membaca ayat ini. Patrikanlah di dalam diri kita bahawa apa sahaja yang ditakdirkan Allah kepada kita adalah yang terbaik untuk kita. Dan itu merupakan tanda kasih sayang-Nya kepada kita.

Jangan jemu berdoa

Kadang-kadang kita merasakan telah lama kita meminta dan merintih kepada Allah. Setiap masa kita berdoa memohon dari-Nya. Namun tidak juga diperkenankan. Apakah yang ada di benak kita. Adakah doa kita tidak didengar oleh Allah atau kita merasakan rintihan dan tangisan kita disia-siakan? Jangan begitu.

Mengapa manusia terlalu cepat berputus asa dalam berdoa? Alangkah ruginya orang yang berhenti berdoa kerana jemu dan merasakan doanya tidak diperkenankan. Jangan putus harapan.

“Dah lama aku berdoa, tapi sampai sekarang tak makbul pun. Allah tak sayangkan aku ke?”

“Sampai bila aku nak berdoa, kalau apa yang aku minta tak dapat.”

“Hari-hari aku berdoa, tapi hidup susah juga.”

Nasihat saya, jangan begitu.

Tidakkah kita pernah mendengar kisah Nabi Musa dan Nabi Harun yang berdoa kepada Allah, supaya dibinasakan Fir`aun. Maka Allah memakbulkan doa mereka berdua setelah 40 tahun.

Empat puluh tahun!

“Dan Nabi Musa berkata: “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau telah memberi kepada Fir`aun dan kaumnya perhiasan dan harta benda dalam kehidupan dunia. Wahai Tuhan kami! (Pemberian itu) mereka pergunakan untuk menyesatkan (manusia) dari jalan-Mu. Wahai Tuhan kami! Binasakanlah harta benda mereka dan tutuplah hati mereka. Maka tidak beriman hingga mereka melihat seksaan yang berat.” (Yunus: 88)

Maka setelah 40 tahun doa dua orang Rasul itu diperkenankan. Maka siapalah kita ini untuk memaksa Allah mempercepatkan permohonan doa kita. Sabar dan terus berdoa.

Diriwayatkan daripada Abu Sa`id al-Khudri ra. bahawa Rasulullah saw bersabda: “Tidak ada seorang Muslim yang membaca doa di mana tiada pada doanya itu hal yang menimbulkan dosa dan memutuskan hubungan silaturrahim, melainkan Allah pasti akan memberikan kepada orang itu dengan doanya salah satu dari tiga macam. Adakalanya Allah segera memperkenankan doanya. Adakalanya Allah menjadikan doanya sebagai pahala yang tersimpan di akhirat. Dan adakalanya Allah memalingkan dan menghindarkan sebarang kejahatan (bala dan bencana) daripada orang itu sesuai dengan doanya.”
Berkata seorang sahabat: “Kalau begitu lebih baik kita memperbanyakkan doa!” Rasulullah saw bersabda: Allah akan memperbanyakkan pemberian-Nya.” (Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim, katanya semua perawinya adalah sahih).

Daripada hadis ini jelas kepada kita setiap doa yang bersungguh-sungguh pasti akan dimakbulkan, kecuali dalam perkara dosa dan memutuskan tali silaturrahim. Oleh itu, tidak sedikit pun kerugian jika kita sentiasa memanjatkan doa, memohon kepada Allah SWT. Apa yang perlu kita ingat ialah menuruti adab-adab berdoa agar ianya tidak menjejaskan doa tersebut.

Kata Syeikh Ibn Atho`illah: Janganlah kelambatan masa pemberian Tuhan kepadamu, padahal engkau bersungguh-sungguh dalam berdoa menyebabkan patah harapan, sebab Allah telah menjamin menerima semua doa dalam apa yang Dia kehendaki untukmu, bukan menurut kehendakmu dan pada waktu yang ditentukan-Nya, bukan pada waktu yang engkau tentukan.”

Oleh itu, teruskan meminta dan mengharap kepada Allah. Sematkan di dalam hati kita keyakinan yang mantap bahawa doa kita pasti dimakbulkan. Itulah sebaik-baik pengharapan.

Ayuh sahabat sekelian, teruskan berdoa!

Saturday, 1 May 2010

Buat apa pakai tudung kalau hati tak betul

“Buat apa pakai tudung kalau hati tak betul”.“Siapa kata orang tak pakai tudung semua jahat?”“Ada seorang kakak tu pakai tudung, tapi perangai buruk, mengumpat sana mengumpat sini”.

Ungkapan-ungkapan begini kerap menjadi alasan sebahagian wanita untuk tidak menutup aurat. Ada juga beralasan demikian untuk menangguhkan dahulu pemakaian tutup aurat buat sementara waktu. Apabila dalaman sudah sempurna, dan hati sudah bersih, barulah sampai waktu untuk melakukan kewajipan lahiriah, seperti menutup aurat.

Kalau alasan begini keluar dari mulut seorang muslimah disebabkan kejahilan, ia sudah cukup menunjukkan satu musibah terhadap dirinya. Kerana kewajipan menutup aurat adalah perkara asas dalam Islam, yang termasuk kategori ‘perkara yang dimaklumi dalam agama secara pasti’.

Tetapi jika seorang muslimah beralasan demikian kerana berhelah dalam kata-kata, sedangkan dia tahu dosa mendedahkan aurat, maka ini adalah musibah yang sangat besar. Bak kata pepatah Arab, “Jika engkau tidak tahu, ia satu musibah. Tetapi jika engkau tahu, maka musibahnya lebih besar”.

Apakah jawapan untuk menjawab mereka yang mendedahkan aurat dengan beralasan demikian?

1- Alasan bahawa tidak perlu menutup aurat kalau hati masih tidak betul. Tunggu iman sudah sempurna barulah nak tutup aurat.

Kita mengambil contoh undang-undang jalan raya. Setiap penunggang motorsikal di atas jalanraya diwajibkan memakai topi keledar keselamatan. Peraturan ini hendaklah dipatuhi samada pengguna selesa memakai topi keledar atau tidak. Samada dia memakai secara ikhlas mematuhi peraturan atau kerana terpaksa.

Seorang pesalah yang berdepan saman trafik kerana tidak memakai topi keledar, bolehkah dia memberi alasan dia tidak selesa memakainya, ataupun dia masih tidak setulus hati memakainya? Kalau hatinya sudah ikhlas mematuhi peraturan kerajaan, dia akan memakainya satu hari nanti. Adakah boleh diterima alasan demikian?

Begitu juga pemakaian tutup aurat adalah satu undang-undang ketetapan Allah Taala atas setiap mukallaf, tanpa mengambil kira tahap imannya. Tanpa mengira tahap keikhlasan dan ketulusan hatinya. Setiap orang yang bergelar muslim dan muslimah wajib menerimanya samada suka atau tidak, rela atau terpaksa. Hati bersih atau tidak, bukan alasan untuk meninggalkan kewajiapan menutup aurat.

2- Alasan bahawa walaupun dia mendedahkan aurat, tetapi dia menjaga maruahnya, tidak melakukan perkara yang tidak senonoh.

Sekali lagi kita mengambil contoh seorang penunggang motorsikal yang tidak memakai topi keledar keselamatan, kononnya dia seorang yang cermat di jalan raya. Tidak menunggang laju, apatah lagi melanggar lampu isyarat merah. Pada perkiraannya tidak mungkin berlaku kemalangan. Adakah alasan demikian diterima untuk mengecualikannya daripada peraturan topi keledar keselamatan?

Tidak sekali-kali. Walaupun dia mendakwa bahawa dia cermat, adakah dia boleh menjamin pemandu-pemandu kenderaan lain juga sepertinya? Betapa ramai pengguna jalan raya terkorban bukan kerana kesalahan dirinya, tetapi akibat kecuaian pemandu lain di hadapan atau belakangnya.

Begitu juga kalau ada wanita mendakwa bahawa hatinya suci, imannya tinggi, amalannya soleh dan maruahnya terjaga. Kononnya ia sudah cukup menjamin keselamatan diri dan maruahnya, tanpa perlu menutup aurat. Atau mendakwa bahawa mendedahkan aurat tidak akan menyebabkan dia melakukan jenayah lain.

Tetapi adakah dia berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi yang melihat auratnya mempunyai hati sesuci hatinya dan iman setinggi imannya juga? Langsung tidak memberi kesan dan tidak membangkitkan nafsu serakah mereka yang berada di hadapan dan belakangnya?

Jadi, perlu diberi kefahaman bahawa kewajipan wanita menutup aurat bukanlah semata-mata untuk menjaga maslahat dan maruah pihak wanita itu sendiri, tetapi maslahah yang lebih besar ialah menjaga masyarakat yang berada di sekelilingnya agar tidak terfitnah disebabkan budaya mendedahkan aurat.

Betapa banyak kes-kes jenayah rogol dan cabul berpunca daripada wanita sendiri yang mempamerkan tubuh badannya yang terdedah di hadapan khalayak lelaki. Maka tutuplah aurat bukan sekadar untuk anda, tetapi juga demi kemaslahatan orang lain di sekeliling.

Kesimpulannya, pemakaian menutup aurat adalah wajib atas setiap muslim dan muslimah, tanpa mengira tahap iman dan ikhlasnya. Dan Kewajipan wanita menutup aurat bukan setakat bagi memelihara maruahnya, tetapi bagi menjaga kemaslahatan masyarakat sekelilingnya.

Sekian.

Sumber: Ustaz Shauqi