Sahabat Sejati

Saturday, 30 January 2010

2 malam di PUTRA, Balok

DATANGLAH BERAMAI-RAMAI. BAWA KELUARGA, SAUDARA MARA, JIRAN TETANGGA DAN SAHABAT HANDAI. (klik pada gambar)
KAUNTER PENDAFTARAN PEMILIH DAN SEMAKAN PEMILIH TURUT DIBUKA

Wednesday, 27 January 2010

Padanya kutemui hikmah

2004...

“Pakcik, pakcik ni dah tua dah uzur, apa tak berat ke pakcik buat kerja-kerja macam ni.”

“Apa boleh buat, kena cari makan bos.”

Masih saya ingati dialog diantara Harun Mahfiz (P. Ramlee) dengan pakcik tua yang akhirnya menjadi datuk mertuanya. Saya kira ramai yang masih mengingatinya di dalam filem “Anak Bapak”.

Hasrat saya untuk menegurnya seperti demikian tidak kesampaian, bagaikan tersekat di kerongkong.

Akhirnya saya mendekatinya setelah melihat dia berhenti menyapu dan duduk di simen kaki lima. Sambil mengesat peluh di dahi, dia meneguk air minuman yang di bawanya.

“Assalamualaikum pakcik,” tegur saya sambil menghulurkan tangan untuk bersalam.

“Waalaikum salam, ada apa-apa yang boleh pakcik tolong.” Jawabnya ramah sambil tersenyum.

“Pakcik sibuk ke? Saya cuma nak berborak dengan pakcik, dulu saya tengok orang lain yang menyapu di sini.”

“Oh boleh, mari kita duduk di kerusi bawah pokok sana.”

Kami berjalan beriringan. “Tukang sapu yang dulu dah berhenti. Pakcik yang gantikannya.”

Kami melabuhkan punggung di kerusi panjang itu. Sungguh selesa berbual di situ. Sesekali angin bertiup perlahan, nyaman.

Pakcik Abu (bukan nama sebenar) memang berasal dari kawasan situ. Usianya sekitar 60-an. Usia yang sepatutnya dihabiskan dengan duduk di rumah melayani sisa-sia hidup, ataupun bermain dengan cucu-cucu. Tetapi tidak bagi insan yang seorang ini, masih jua melangkah mencari sesuap rezeki. Isterinya telah ‘pergi’ kira-kira 4 tahun yang lalu. Tatkala menyebut tentang isterinya, saya lihat matanya berkaca. Saya dapat merasakan betapa dalamnya kasih terhadap isterinya. Ya, melalui kata-katanya. Perkongsian hidup dengan isterinya, makcik Rokiah (bukan nama sebenar) dikurniakan 5 orang cahaya mata. Mereka semua sudah berkeluarga.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah diciptakan-Nya untuk kamu isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu mendapat sakinah (ketenangan hati). Dan dijadikan-Nya kasih sayang antara kamu (suami isteri). Sesungguhnya yang demikian menjadi tanda-tanda kebesaran (Allah) bagi orang-orang yang berfikir.” (30:21)

Terima kasih pakcik

“Kenapa pakcik tak tinggal bersama anak-anak?” Saya bertanya meredakan suasana.

Dengan nada perlahan dia bersuara, “mereka ada mengajak, tapi pakcik tak nak menyusahkan mereka semua. Mereka pun ada keluarga sendiri. Apa yang pakcik harapkan hanyalah doa serta kepatuhan mereka kepada agama. Itulah sebagai bonus buat pakcik.”

Saya terpaku mendengar kata-katanya, sungguh mengharukan. Hingga tiada perkataan yang mampu saya tuturkan. Diam dan terus diam.

Tambahnya lagi, dia sudah ‘membawa’ mereka ke dunia, membesarkan dengan penuh kasih sayang. Serta membekalkan ilmu dunia dan akhirat sekadar termampu dan selebihnya diserahkan kepada Yang Maha Kuasa.

“Pakcik hanya mengharapkan balasan dari Allah SWT, mudah-mudahan Dia mengampuni dan meredhai segala apa yang pakcik lakukan.” Dengan perlahan pakcik Abu bersuara sambil menepuk bahu saya.

“Didiklah anak-anak kamu atas 3 perkara: mencintai Nabi kamu, mencintai ahli baitnya dan membaca al-Quran. Sebab, kandungan al-Quran itu berada pada naungan singgahsana Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain daripada perlindungan-Nya.” (Riwayat at-Thabrani)

“Pakcik gembira dengan kerja ni?”

“Ya, pakcik sangat gembira. Apa yang nak dimalukan, sekurang-kurangnya dapat melatih diri pakcik. Bukankah menjaga kebersihan itu tuntutan agama, melambangkan iman kita?” soalan yang saya jawab dengan hanya mengangguk.

Sambungnya lagi, “pakcik menolong orang lain menjaga kebersihan. Sebelum menjaga kebersihan orang lain, pakcik kena pastikan diri pakcik dulu yang bersih, baik kebersihan luaran dan lebih-lebih lagi kebersihan dalaman. Iaitu hati yang bersih dari sifat yang keji, mungkin orang lihat pakcik orang susah kerja sebagai tukang sapu. Tetapi pakcik yakin kesusahan ini adalah satu ujian kebaikan buat pakcik. Dengan menyapu pakcik dapat buang sifat sombong dalam diri, sifat menjadi tuan. Sedangkan pakcik adalah hamba, hamba kepada Allah. Betul tak?”

Sungguh di ketika ini saya sudah tidak terdaya lagi untuk melafazkan kata. Terasa bagaikan bertubi-tubi persoalan ke dalam diri, hingga tepu di dalam dada. Siapalah aku...

Hampir sejam kami berbual, banyak nasihat dan tauladan yang dapat saya kutip darinya. Mudah-mudahan saya mampu menghadamnya.

“Tak apalah pakcik, saya minta diri dulu. Insya-Allah ada masa nanti kita jumpa lagi,” ujar saya.

“Baiklah, pakcik pun nak sambung kerja semula. Jalan elok-elok,” kami bersalaman.

Saya melangkah lemah meninggalkan dia yang istimewa. Bagaikan luruh jiwa saya, terungkai keegoan yang membaluti diri. Hilang perasaan ‘memiliki’. Benar, dalam kesusahan itu ada jalan menuju kesejahteraan iman, andai kita leburkan sifat tuan, sifat memiliki, kita adalah hamba. Tanpa saya sedari hati saya menangis. Mudah-mudahan pertemuan yang singkat ini menjadi proses mendidik jiwa yang sedang sakit ini.

Maha Suci Tuhan yang memberikan saya ilmu dan hikmah pada hari ini, walaupun hanya dari lidah orang biasa. Seorang tukang sapu tua.

“Terima kasih pakcik”

Padanya kutemui hikmah...

Sunday, 24 January 2010

“Allah is the God of all people on earth.”-Qaradawi

Sumber: Herman Samsudeen

Qaradawi: Islam is a religion of tolerance, patience, forbearance and peace.
Acts of violence does not represent the Muslim majority.

Prominent Islamic scholar Sheikh Yousuf al-Qaradawi denounced the recent violent attacks against Christians in Muslim countries, claiming that most of these attacks were mainly due to “ignorance rather than intolerance” on the part of Muslims.

In his Friday sermon, Sheikh Qaradawi emphasized that Muslims should show respect to followers of other faiths since the “different religions” of the world were part of God’s will.

Qaradawi, who is the head of the International Union for Muslim Scholars (IUMS), also lamented some Muslims’ ignorance of Islam asserting that it is forbidden to have any prejudice against followers of other religions.

"According to the Qur’an, Muslims should not depart from justice even with those who hate them or to whom Muslims have aversion, no Muslim has the right to decide the result of the differences between the world’s religions. The scholar, who is also the president of the European Fatwa Council, urged Muslims to help promote a culture of tolerance in the world, saying that the Qur’an on all humans irrespective of their religious affiliations bestowed dignity.

Giving an example of the tolerance of Islam, he referred to a Hadith, which tells of Prophet Muhammad standing up during a funeral procession of a Jew to show respect.

Referring to the recent killing of six Coptic Christians in Upper Egypt, Qaradawi branded the accused as a “thug”.

Qaradawi also criticized the arson attacks by Muslims on churches in Malaysia, which were prompted by a controversy over the use of the Arabic word Allah by Christians. “Allah is the God of all people on earth.”-Ikhwanweb

Tuesday, 19 January 2010

Rindu itu datang tiba-tiba

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya dengan penuh belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (Al-Israa’: 24)


Saya termenung di jendela, memerhatikan rintik-rintik hujan yang menimpa bumi. Bagaikan ada perasaan sebak di dalam dada.

Suara tawa gembira kanak-kanak yang bermain hujan tidak dapat meredakan perasaan saya ketika ini.

Mendung hati saya semendung petang yang kelam itu.

Pandangan saya berkaca, tanpa saya sedari ada butir-butir halus jernih mengalir membasahi pipi.

Apakah yang meruntun perasaan saya ketika ini. Apakah yang menyesakkan dada saya sehingga saya kehibaan sebegini rasa...

Pandangan saya menembusi pepohon renek yang merimbun subur di hadapan rumah bonda. Bagaikan terbayang di ruangan mata wajah lembut penuh kasih ayahanda.

Sungguh, di waktu-waktu begini saya amat merindui ayahanda. Insan yang telah meninggalkan saya buat selama-lamanya. Ayahanda pergi ketika saya sedang bertatih mencari kehidupan. Apalah umur saya ketika itu untuk memahami erti perpisahan.

Saya mengalih pandangan ke sisi. Terlihat seraut wajah dimamah usia penuh ketabahan. Wajah yang telah menumpahkan jutaan kasih sayang. Saya menyedari bonda jua kerinduan. Rindu pada kenangan lalu. Kenangan bersama insan yang telah berkongsi kehidupan, berkongsi pahit manis membesarkan kami semua.

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibubapanya. Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun (dengan yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibubapamu dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Luqman: 14)

Di pusara ayahanda

....pagi itu, saya di pusara ayahanda, setelah agak lama tidak menziarahinya. Terpaku seketika di hadapan pusara sepi di bawah redup rimbun pohon kemboja. Masih tegak berdiri dua nisan kaku yang setia menemani. Saya memanjatkan doa buat insan yang banyak meninggalkan butir-butir nasihat buat kami semua. Semuanya saya simpan kukuh di sanubari. Buat bekalan hari mendatang.

Tatkala saya melangkah pergi meninggalkan ayahanda keseorangan, terasa begitu payah untuk mengatur langkah. Ketika ini saya benar-benar merasai kesedihan itu. Kesedihan apabila rindu itu datang tiba-tiba. Mungkin kesedihan saya ini hanyalah secebis rasa dalam menafsirkan makna sebuah kasih sayang, jua makna sebuah perpisahan yang hakiki. Benar, kesedihan dan kerinduan itu amat menyakitkan.

Namun, saya tahu kesedihan saya tidak memberi apa-apa makna, kerana yang ayahanda perlukan hanyalah doa. Doa dari anak-anaknya. Doa sebagai cahaya untuk meneranginya...
Wala takuunu kallazina nasullaha...

Lamunan saya terhenti, gemersik suara muazzin mengalunkan ayat-ayat suci al-Quran berkumandang dari surau berhampiran rumah bonda. Menandakan hampirnya masuk waktu maghrib.

Saya menyeka air jernih yang masih berbaki di kelopak mata.

“Sungguh jauh lamunan ini, cukup jauh.” hati kecil berbisik.

“Ya Allah, ampunilah dosa kedua ibu bapaku, rahmatilah mereka, kasihanilah mereka. Masukkanlah mereka ke dalam keredhaan-Mu ya Allah...” Doa tulus kasih seorang anak.

Doakan kami (Rabbani)

Ayah ibu
Ampuni dosa kami semua
Ayah ibu
Doakan kami dunia dan akhirat

Dari kecil sehingga dewasa
Kau menyayang dan sering memanja
Menanam iman menyemaikan taqwa
Mengajar kami muliakan agama

Ayah ibu
Berkorban jiwa berkorbankan harta
Ayah ibu
Semoga Allah tinggikan darjatmu

Sebelum nyawa meninggalkan jasad
Sebelum suria terbitnya di barat
Kau amanahkan al-Quran dan Sunnah
Jadi panduan di akhir zaman

Belaianmu masih ku terasa
Ya Allah tempatkan mereka di syurga

Kami cintakan Allah
Kami kasihkan Rasul
Kami sayangkan ayah
Kami sayangi ibu...

Thursday, 14 January 2010

Jernihkan kembali

“Hish…serabutnya kepala, semuanya tak kena. Buat ini salah, buat itu pun salah, tak buat lagi salah.”

Adakalanya hati resah tidak keruan. Jiwa tertekan, emosi berkecamuk membungkam fikiran. Semuanya tidak menjadi. Mengapa?

“Adoii...dah 20 kali baca tak ingat-ingat lagi, macamana ni esok dah nak kena ‘test’ dah.”

Adakalanya ingatan menjadi pudar. Di hadapan semuanya hitam dan kelam. Buntu dan kelu. Benak semakin senak. Mengapa?

Carilah puncanya...

“Perbuatan baik adalah sesuatu yang menenangkan jiwa dan mententeramkan hati, sedangkan dosa adalah sesuatu yang tidak menenangkan jiwa dan tidak mententeramkan hati, meskipun engkau mendapat fatwa dari orang ramai.” (Riwayat Imam Ahmad)

“Sesungguhnya mukmin itu apabila berdosa akan meninggalkan titik hitam dihatinya. Jika ia bertaubat dan berhenti melakukan dosa serta memohon ampun terhapuslah titik hitam itu dari hatinya dan jika bertambah dosa, maka titik hitam itu akan bertambah besar. Itulah dosa yang disebut oleh Allah dalam kitab-Nya.” (Riwayat Ibnu Majah dan Imam Ahmad)

Ya, sedikit sebanyak mungkin kerana dosa kita kepada Allah. Dosa yang mengundang keresahan, kegoncangan dan gejolak di dalam jiwa.

Dosa yang menimbulkan kegelapan hati dan apabila hati menjadi gelap, ia pun menjadi keras dan jauhlah pemilik hati itu dari Allah. Lalu tertutuplah pandangan daripada kebenaran.

Ubatilah ia...

Maka penawar yang paling mujarab adalah dengan bertaubat kepada Allah. Itulah rahmat yang dikurniakan kepada kita, hamba yang lalai dan leka. Tiap detik dan ketika.

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenarnya. Mudah-mudahan Tuhanmu menghapuskan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai.” (66: 8)

Taubat adalah jalan menuju keampunan. Maka ia akan menyingkirkan perasaan-perasaan yang meresahkan. Menjernihkan jiwa, menguraikan kekusutan.

“Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami dan jika Engkau tidak mengampuni dan mengasihani kami, nescaya kami menjadi orang-orang yang merugi.” (7: 23)

Bertaubatlah sementara diberikan kesempatan.

"Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang luasnya langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." (3: 133)

Bukankah rasa ingin bertaubat itu rasa seorang hamba?

Tuesday, 12 January 2010

`Finding Nemo` yang tersirat

“Abi, malam ni cerita ‘finding Nemo’ kat tv, achik nak tengoklah,” beritahu anak perempuan saya dimuka pintu, tatkala saya pulang dari kerja.

“Finding Nemo tu cerita apa?” Sengaja saya menduganya.

“Cerita ikanlah abi.”

“Ok, nanti kita tengok sama-sama,” saya menjawab sambil tersenyum.

Malam itu televisyen menayangkan filem animasi, finding Nemo. Memang cerita-cerita yang sebegini amat diminati oleh kanak-kanak. Tidak terkecuali orang dewasa.

Saya turut sama menontonnya bersama keluarga. Saya cuba untuk memberi tumpuan sepenuhnya, dengan hasrat mahu mencari mesej disebalik filem ini. Mungkin ada ruang-ruang pengajaran yang dapat saya ambil.

Kisah finding Nemo

Finding Nemo adalah kisah sebuah keluarga ikan badut yang tinggal di terumbu karang. Terdiri daripada Marlin, si bapa dan Nemo, anaknya. Mereka sering berbeza pendapat. Marlin bapa yang amat berhati-hati (penakut), manakala Nemo mempunyai sifat ingin tahu, yang akhirnya menyebabkan ia ditangkap oleh manusia.

Marlin tidak dapat berbuat apa-apa. Sekadar melihat dari jauh anaknya dibawa. Namun, kerana kasih sayang Marlin membuat keputusan untuk mencari anaknya. Dalam perjalanannya, ia bertemu dengan Dory, seekor ikan yang mempunyai sifat pelupa. Dory banyak membantunya, walaupun sering menimbulkan masalah. Ditampilkan juga seekor ikan jerung yang ingin menjadi vegetarian, bernama Bruce.

Sementara itu, Nemo dikurung di dalam akuarium seorang doktor gigi di bandaraya Sydney. Di sana ia bertemu dengan ikan-ikan lain yang turut menerima nasib yang sama. Melalui Nigel, si burung camar, Nemo mendapat tahu bahawa ayahnya sedang mencarinya.

Nemo dan rakan-rakannya mengatur rancangan untuk melepaskan diri. Akhirnya melalui pertolongan Nigel, mereka berjaya melepaskan diri dari akuarium itu. Nemo dapat bertemu semula dengan bapanya.

Kuasa kasih sayang

Saya amat terkesan setelah menonton filem ini. Apa yang ditonjolkan adalah kasih sayang si bapa kepada anaknya. Sungguh luarbiasa!

Kerana kasih sayang, apa sahaja sanggup dilakukan. Walaupun tindakan itu diluar kemampuan diri. Inilah kuasa cinta.

Firman Allah SWT:
“Kepunyaan Allah kerajaan langit dan bumi, Dia menciptakan apa yang Dia kehendaki. Dia mengurniakan anak-anak perempuan dan lelaki kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Atau dianugerahkan-Nya (dua jenis) anak lelaki dan perempuan (kepada sesiapa yang Dia kehendaki). Dan Dia menjadikan mandul sesiapa yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya dia Maha Mengetahui dan Maha Kuasa. (42: 49-50)

Sesungguhnya anak-anak merupakan anugerah sekaligus amanah kepada ibu bapa. Mereka umpama permata yang menyinari kehidupan. Oleh itu mereka perlu dijaga dan digilap agar sentiasa bersinar. Amanah ini akan ditanya oleh Allah di akhirat nanti, apakah kita telah menunaikannya dengan sebaiknya ataupun sebaliknya.

Kasih sayang ibu bapa adalah kurniaan Allah. Dia yang mencampakkan rasa cinta dan kasih ke dalam hati keduanya. Namun perasaan kasih itu tidak memberi erti jika tidak dilapisi dengan iman. Justeru itu, Islam tampil sebagai manual terbaik dalam memberikan bimbingan dan panduan kepada ibu bapa untuk melahirkan generasi yang dirahmati serta diredhai Allah s.w.t. Jika tidak, akan jadilah seperti ‘Sazali’ di dalam filem Anakku Sazali.

Kegagalan dalam mendidik mereka akan mengundang akibat serta penyesalan di akhirat nanti.

Firman AllahSWT:
“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu-batu...(66: 6)

Di samping mendidik anak-anak menjadi soleh dan solehah, mereka juga perlu diproses atau ditarbiyah agar mampu membina benteng ketahanan diri dari gejala yang merosakkan. Dan juga mampu memikul tanggungjawab dakwah kepada masyarakat sekeliling. Dan yang paling penting sebagai sumber sedekah jariah yang bukan sahaja dapat membantu kita sewaktu di dunia bahkan diharap dapat membantu kita sampai ke alam akhirat.

Rasulullah saw bersabda:
“Apabila telah mati seorang anak Adam, maka terputuslah amalnya kecuali tiga perkara, iaitu: Sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang soleh yang mendoakannya.”

Oleh itu marilah sama-sama kita memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita. Untuk melihat generasi yang terbaik dimasa hadapan, korbankanlah sedikit masa dan harta untuk mereka, hulurkan kasih sayang dan tunjukkanlah contoh yang terbaik kepada mereka serta mengambil tahu hal-hal yang berkaitan dengan kehidupan mereka. Inilah kasih sayang sebenar.

Mudah-mudahan anak-anakku menjadi penyejuk mata dan penawar hatiku.

Doa abi untuk kalian...

Sunday, 10 January 2010

Hikam pereda emosi

“Tanamlah dirimu di dalam tanah kerendahan, sebab tiap sesuatu yang tumbuh tetapi tidak ditanam, maka tidak sempurna hasil buahnya.”

Tiada sesuatu yang lebih bahaya bagi seorang yang beramal, daripada menginginkan kedudukan dan terkenal di tengah-tengah masyarakat umum. Dan ini termasuk keinginan hawa nafsu yang utama.

Rasulullah saw bersabda:

“Sesiapa yang merendah diri maka Allah akan memuliakannya, dan sesiapa yang sombong (besar diri), Allah akan menghinanya.”

Ibrahim bin Adham berkata:

“Tidak benar-benar bertujuan kepada Allah, siapa yang ingin masyhur (terkenal).”

Ayyub assakh-Tiyany ra berkata:

“Demi Allah tiada seorang hamba yang sungguh-sungguh ikhlas pada Allah, melainkan ia merasa senang, gembira jika ia tidak mengetahui kedudukan dirinya.”

Mu`adz bin Jabal ra berkata, bersabda Rasulullah saw:

“Sesungguhnya sedikit riya` itu sudah termasuk syirik. Dan siapa yang memusuhi seorang waliyullah, bererti telah berperang kepada Allah. Dan Allah kasih sayang pada hamba yang taqwa, yang tersembunyi (tidak terkenal), yang bila tidak ada, tidak dicari, dan bila hadir, tidak dipanggil dan tidak dikenal. Hati mereka sebagai pelita hidayat, mereka terhindar dari segala kegelapan kesukaran.” (Hikam: Syeikh Ibnu Atha`illah )

Ali bin Abi Talib ra berkata:

“Hendaklah kamu sentiasa merendah diri, jangan mencari kemasyhuran dan jangan membangga-banggakan kepintaran. Tetapi biasakanlah hidup tenang dan suka berdiam diri, nescaya kamu akan selamat dan disukai oleh kaum solehin.”

Sekadar muhasabah diri. Pereda emosi.

Melihat seorang insan di herdik oleh seorang pengawal keselamatan sebuah hospital, terimbau peristiwa yang sama ke atas diri ini. Dalam hati ada jua berkata, “ pengawal keselamatan ni datang dari zaman mana, tiada adab langsung. Cakaplah elok-elok.”
Semoga Allah mengampunkan dosaku, dia dan mereka.


Thursday, 7 January 2010

Kami menangis bersamamu Palestin

Subuh itu hening, bayu pagi berhembusan lembut, sungguh damai ketika ini.

Namun keheningan itu dikejutkan dengan letupan demi letupan. Asap hitam menyelubungi udara. Jeritan dan tangisan bergema. Mayat bergelimpangan.

Gaza gelap gelita. Bekalan letrik terputus. Hospital, sekolah, masjid, rumah-rumah tersungkur menyembah bumi. Ramai yang terkorban, disamping yang lain cedera. Bukan sahaja para pejuang Hamas, tetapi orang awam termasuk bayi, kanak-kanak, perempuan, orang tua.

Sekatan demi sekatan dikenakan terutamanya bantuan kemanusiaan yang menjadi keperluan utama rakyat Palestin. Sehinggalah kemuncaknya apa yang berlaku kini iaitu penutupan pintu sempadan oleh kerajaan zalim Mesir.

Inilah kehidupan kami

Penderitaan yang cukup lama...terlalu lama.

Palestine, bumi indah milik seluruh umat Islam. Tanah suci yang perlu dipertahankan. Bumi yang kita gantungkan hati dan sanubari kita pada Masjidil Aqsa, kiblat pertama umat Islam. Bumi Isra` dan Mi`raj yang diberkati seluruhnya.

Titisan air jernih yang laju membasahi pipi anak-anak yang melihat ibu bapa terkorban, para isteri yang kehilangan suami. Si tua sayu merenung di celahan runtuhan. Apakah masih ada buatnya harapan.
Kami melihat semua ini...

Sesekali ingin jua kami jeritkan,

“Lihatlah anak-anak kami yang kelaparan! Lihatlah anak muda kami ditangkap tanpa pembelaan, warga kami di hospital tanpa rawatan.”

“Mengapa kami di biarkan sendirian mempertahankan bumi ini!

“Dimanakah umat Islam yang seagama dan seaqidah dengan kami!

Rintihan telah lama membisu, simpati sudah lama berlalu, telah kering air mata. Doa jua yang kami pohonkan. Buat mengiringi perjuangan kami.

Tuhan berilah kami kesabaran...

Meneruskan perjuangan atau syahid bertemu- Mu Tuhan.

Tuesday, 5 January 2010

Pertemuan yang memberi makna

Fatah al-Maushili rah. berkata: “Bukankah seorang yang sakit itu apabila tidak mahu makan dan minum dan tidak mengambil ubat, akhirnya akan mati?” Sahabat-sahabatnya menjawab: “Ya benar.” Dia berkata lagi: “Demikian pula hati apabila tidak menerima hikmat dan ilmu selama tiga hari, pasti ia akan mati.”

Tubuh badan memerlukan makanan dan minuman. Tanpa keduanya tubuh akan menjadi lemah dan tidak bermaya. Begitu juga hati atau jiwa yang memerlukan makanan untuk hidup. Tidak lain dan bukan makanan jiwa adalah ilmu dan hikmat. Tanpanya hati akan menjadi sakit.

Pesan Luqman al-Hakim:

“Wahai anakku, pergaulilah para ulama`, rapatilah mereka dengan dua lututmu, kerana Allah swt menghidupkan hati dengan cahaya hikmah sebagaimana Dia menghidupkan bumi dengan hujan yang lebat daripada langit.”

Islam amat menitikberatkan ilmu, kerana ilmu menjauhkan seseorang itu daripada kejahilan. Lebih-lebih lagi dalam perkara agama. Kejahilan dalam perkara agama mudah mengheret manusia ke arah kemurkaan Allah.

Terima kasih ustaz

'Sessi bergambar seusai kuliah'

Tidak tergambar di fikiran saya apabila di beritahu al-fadhil Ustaz Ridhuan Mohd Nor akan singgah menyampaikan kuliahnya di tempat saya. Beliau dalam perjalanan balik dari menyampaikan ceramah di Besut malam sebelumnya. Dalam renyai-renyai hujan yang membasahi bumi, saya menyusuri perjalanan menuju ke masjid. Perjalanan ke majlis ilmu, yang diumpama taman syurga oleh junjungan mulia.

Masih belum ramai jemaah yang hadir.

“Awal lagi agaknya,” saya bermonolog sendirian.

Kuliahnya pada malam itu berkisar kepada isu Palestin yang belum selesai sehingga kini. Saya rasa kuliahnya memberi bekas kepada hadirin. Setiap kali beliau menceritakan akan kezaliman tentera rejim Israel, saya melihat ada hadirin yang menggeleng kepala, sampai bergoncang badan sambil menggenggam tangan, yang menggertap bibir pun ada seperti menahan kemarahan. Mungkin jika di tawarkan untuk dihantar ke Palestin malam itu juga, sanggup rasanya. (mungkin??)

Sebelum pulang sempat saya membeli beberapa buah buku tulisan Ustaz Ridhuan untuk memperkayakan pengetahuan. Sebenarnya buku-buku tersebut telah lama berada di pasaran, cuma saya belum berkesempatan membelinya ketika itu.

'Khazanah yang tidak ternilai harganya'

Tersenyum puas, lebih-lebih lagi apabila ustaz menurunkan tandatangannya pada buku-buku yang dibeli. Cuma saya tidak pasti bila saya dapat menghadamkan kesemua buku-buku tersebut.

“Ustaz, doakan kebaikan untuk ana,” saya berbisik kepadanya ketika kami bersalaman sebelum berpelukan tanda perpisahan.

“Ana harap anta begitu juga.”

Masing-masing menuju destinasi.

'Bukit Gantang 29 Mac 2009'

Sunday, 3 January 2010

Musafir yang melahirkan ukhuwwah

Ada sesuatu yang istimewa di Negeri Terengganu. Setiap kali saya ke sana pasti ada satu macam perasaan yang hadir dalam diri. Satu perasaan yang amat sulit untuk saya jelaskan. Namun saya merasainya. Perasaan itulah yang menyebabkan saya ingin ke sana lagi.

Kali terakhir saya ke sana hampir sedekad yang lalu, meraikan perkahwinan seorang sahabat. Masih segar di ingatan ketika rombongan kami singgah bersolat Jumaat di Masjid Rusila yang damai itu.

Perancangan Tuhan, saat itu hadir kembali apabila seorang sahabat berbangsa Tionghua mengajak saya menemannya ke sana. Ada urusan yang nak diselesaikan. Cheong namanya.

“Amacam jadi pergi,” tanya beliau

Insya-Allah, berapa orang?

“Termasuk ‘you’ 4 orang, Zawidi dan Mat Amin pun pergi,” balasnya.

Beliau memang sinonim dengan kalimah insya-Allah, masya-Allah, alhamdulillah, Allahuakbar. Tempias pergaulan dengan kami barangkali.

Hari yang dijanjikan. 3.30 petang kami memulakan perjalanan. Tergambar keceriaan di wajah masing-masing. Lebih-lebih lagi si Zawidi, ada-ada sahaja ideanya untuk menggamatkan suasana. Perjalanan selesa dan lancar, tidak banyak kenderaan di jalan raya.

`Singgah makan di Marang yang mendamaikan`

Kami berhenti makan di Marang, terasa lembut bayu laut Cina Selatan menyapa pipi kami. Sungguh mendamaikan. Nun di sana Pulau Kapas tersergam bagaikan menggamit kami agar ke sana. Kami solat maghrib dan isya` di surau berhampiran.

Kuala Terengganu: hari 1

Kami berpusing-pusing di sekitar bandaraya Kuala Terengganu. Kedai sudah banyak yang ditutup, sedangkan malam masih awal lagi. Akhirnya kami ‘parking’ di Dataran Syahbandar.

“Jom kita minum dulu,” cadang Cheong

Kami minum di warung berhampiran. Terasa begitu erat persahabatan kami. Lebih-lebih lagi dalam keadaan bermusafir begini. Banyak perkara yang dibualkan.

Selesai minum kami kembali ke kereta. Saya tersentak melihat keadaan hingar-bingar di situ. Kumpulan anak muda memenuhi kawasan itu. Ada yang bermotor, berkereta, berpasang-pasangan. Kebanyakannya anak melayu Islam. “Beginikah anak bangsaku di bumi Darul Iman yang merdeka ini,” terasa sayu di dalam hati.

Kami tidur di Masjid Al-Muktafi Billah, manakala Cheong mahu tidur di dalam kereta. Sejuk mozek katanya. Entahlah berapa kali saya terjaga kerana nyanyian tanpa melodi, si kecil nyamuk, tetapi yang amat mengganggu ialah dengkuran sahabat di sebelah.

Kuala Terengganu: hari 2

Seusai solat subuh, kami mengemas pakaian. Kami bersarapan di sebuah warung berhampiran kampung Cina. Hari itu saya mengenali nasi kuning yang saya sangkakan adalah nasi berlauk.

` Sarapan pagi dengan nasi kuning, yang disangkakan nasi berlauk`

Setelah menyelesaikan beberapa urusan, kami pun menuju ke Taman Tema Islam (TTI) yang ‘gah’ itu. Kami tidak masuk ke dalam sekadar bergambar di pintu masuk sahaja. Kemudian kami ke Masjid Kristal pula, melihat rekabentuk dan lanskap sekitarnya cukup teruja. Memang layak ia menjadi sebutan ramai. Tetapi apabila masuk ke dalam terasa ‘kosong, sunyi’. Harap-harap turun sakinah namun kelam. Indah sekadar di mata.


`Indah di mata, namun...

“La kecil aje, dari luar nampak besar,” getus saya sendirian.

Kami meninggalkan Masjid Kristal yang ‘indah’ itu menuju ke Muzium Negeri Terengganu. Dengan tiketnya yang semurah RM2, barulah rasa seronok, terubatlah ‘luka’ penangan Masjid Kristal. Hampir 2 jam kami berpusing di dalamnya. Melihat segala macam artifak yang dipamerkan.


`Muzium Negeri Terengganu yang mengubat luka`

Untuk melengkapkan kembara kami di bumi Darul Iman ini, kami bersiar-siar di Pasar Payang. Masing-masing membeli sedikit ole-ole untuk dibawa pulang.

Sebelum pulang kami mendaki Bukit Puteri, menikmati panorama dari puncaknya. Setelah mengambil gambar beberapa keping, kami pun turun dan bersiap untuk pulang.

4.30 petang kami bertolak pulang dengan membawa berbagai kenangan. Nilai ukhuwwah yang terjalin amat tinggi nilai harganya. Tidak mampu untuk saya coretkan semuanya, biarlah ia menjadi kenangan dalam diri. Itulah yang dapat saya rasakan dan saya membawanya pulang bersama.


`Bersama akhi Zawidi`

“Selamat maju jaya ana doakan kepada anta di tempat baru nanti, anggaplah kembara kita ini sebagai meraikan anta”. Sambil bersalaman dengan Zawidi yang akan bertugas di tempat baru selepas ini.

Friday, 1 January 2010

Tanpa tajuk...

“Ketika sampah itu ditarik oleh alat tersebut, saya ternampak satu objek kecil yang terjatuh. Pada awalnya saya ingatkan kepala ikan tetapi apabila dilihat dari dekat, ia seolah-olah ada tali... saya terkejut apabila mendapati ia adalah mayat bayi,” (Sinar Harian: 31 Disember 2009).


Marah, geram, sedih dan sebak bercampur-baur apabila membaca berita-berita yang seumpama ini. Sehingga saya kehilangan rasa untuk menulis, semuanya menjadi kelam dan kaku.

“Dan apabila bayi-bayi perempuan yang dikuburkan hidup-hidup ditanya. Apakah dosanya maka mereka dibunuh.” (81: 8–9)

Itukah yang harus dibayar untuk membeli zaman manusia berlumba-lumba menempatkan diri di celahan sudut kebendaan. Kemanakah hilangnya nilai kemanusiaan dalam diri kita. Saya tiada jawapan untuk itu.

Namun mata hati melihat semua ini...

“Syurga di linkungan dengan segala yang tidak menyenangkan, sedangkan neraka di lingkungan dengan kesenangan yang menggiurkan.” (Riwayat Muslim, Ahmad dan Tirmidzi)

Ingin saya jeritkan: “Apa sudah jadi Malaysiaku hari ini!!!